Muqoddimah
Amanat yang disampaikan oleh
Professor Zulkiflee Muhammad pada pagi 6 Mei1964 adalah satu wasiat yang sangat
penting, yang ditinggalkan olehnya sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS,
kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri PAS yang baru memenangi pilihan raya
pada tahun 1964. Amanat ini berfaedah untuk diperhatikan oleh semua orang yang
telah, sedang dan akan ikut berjuang di jalan Allah menerusi Parti Islam
SeMalaysia (PAS).
Terlalu sedikit orang PAS yang
mengetahui amanat ini. Berbelas-belas tahun ia tersembunyi dari pengetahuan
ramai. Bagaimanapun, semenjak tercetusnya krisis hebat yang menimpa PAS di
Kelantan setelah terhantuk dengan percakaran Datuk Asri Muda-Datuk Muhammad
Nasir, barulah orang mula memperkatakan kembali mengenai amanat Prof Zulkiflee
Muhammad ini.
Orang-orang PAS di Kelantan
waktu itu, khasnya yang terpecah oleh percakaran Asri-Muhammad Nasir, memang
ada antara mereka yang mengetahui, sama ada secara langsung atau tidak
langsung, perkara-perkara yang pernah diamanatkan oleh Prof Zulkiflee Muhammad
ini. Malah antara mereka ada yang mendengarnya sendiri ketika ia diucapkan oleh
Prof Zulkiflee. Sebab itu ada yang beranggapan faktor utama berlakunya krisis
kepimpinan PAS di Kelantan ialah apabila wasiat yang paling berharga ini telah
tidak diendahkan oleh sesiapapun dalam amalan mereka.
Orang dari saf perjuangan Islam
perlu mengetahui sumbangan Prof Zulkiflee Muhammad kepada perjuangan Islam di
negara ini. Bahkan setiap angkatan pejuang Islam perlu meneliti amanat beliau
ini dengan cermat sekali. Bagi yang lama, untuk koreksi diri, manakala bagi
yang baru sebagai panduan dalam berlari. Prof Zulkiflee yang begitu arif dengan
keadaan politik sepanjang tahun-tahun 1959-64, telah mengambil kesempatan
berbicara dengan ahli-ahli Yang Berhormat PAS yang menang dalam Pilihan Raya Umum
1964. Perbicaraan beliau dengan segala keikhlasan dan kesungguhan itu rupanya
adalah pesanan terakhir dari beliau, beberapa jam sebelum meninggalkan dunia
yang fana ini.
Atas hasrat menghidupkan
kembali wasiat yang sangat bermakna itu, kita siarkan semula sebahagian
daripada amanat itu, seperti berikut:
Teks Amanat Terakhir (sedutan)
Saudara Pengerusi, Pesuruhjaya, Saudara-saudara.
Di waktu Saidina Abu Bakar
dijadikan khalifah Rasulullah s.a.w., beliau telah berkata: “Wahai manusia, telah dijadikan aku ketua,
khalifah bagi kamu. Tetapi aku tidaklah orang yang paling baik daripada kamu.”
Beginilah kita pada hari ini.
Kita telah dipilih oleh rakyat, itu tidak bermakna bahawa kita yang paling baik
sekali di antara rakyat-rakyat itu. Tetapi ini adalah satu nikmat yang
diberikan oleh Tuhan kepada kita yang mesti kita pikul dan kita tunaikan
kewajiban-kewajibannya.
Tuan-tuan yang mulia,
Saya mengucapkan
setinggi-tinggi tahniah kepada tuan-tuan atas kejayaan tuan-tuan mendapat
kepercayaan rakyat, dan nikmat kepercayaan itu yang akan membolehkan tuan-tuan
berkhidmat pula kepada rakyat di dalam lingkungan ertikata melaksanakan hukum
Allah SWT, dan menjunjung kedaulatan bangsa kita yang menjadi bumiputera negeri
ini.
Tuan-tuan yang mulia,
Kalau kita lihat kepada
al-Quran, maka dia berkata mereka yang menolong Allah itu ialah “Mereka yang apabila Kami menangkan mereka
di bumi Allah, maka didirikan mereka akan sembahyang (akan agama Allah) dan diberi
mereka akan zakat (akan khidmat-khidmat masyarakat) dan menyuruh mereka dengan
kebajikan, dan mencegah mereka akan kejahatan”.
Dengan ayat-ayat ini dapatlah
tuan-tuan membayangkan bahawa orang yang telah ditolong oleh Allah SWT itu
tugasnya telah dinyatakan oleh al-Quran – menjaga kedaulatan agama, menjaga
khidmat-khidmat masyarakat, melakukan sesuatu yang baik dan mencegah sesuatu
yang jahat. Tidak payah kita belajar jauh, tidak payah kita mengkaji
masalah-masalah yang dalam, cukupilah bahawa empat peranan yang diberikan oleh
Tuhan kepada kita, untuk kita amalkan sebagai orang yang telah mendapat nikmat
kepercayaan rakyat sebagai wakil rakyat ini.
Tuan-tuan yang mulia,
Khalifah-khalifah Islam yang
dahulu dari kita telah menjalankan tugas-tugas negara dengan serba payah dan
dengan keikhlasan yang patut kita ketahui. Kalaupun terluput kita pada lima
tahun yang dahulu pada orang yang telah lama, dan kalau telah terluput dari
mengenalinya dahulu-dahulu bagi ahli yang baru, maka saya pandang satu kesalahan
yang besar sekiranya kita yang menjadi wakil rakyat PAS ini masih tidak mahu
mendekatkan diri kepada semangat-semangat pentadbiran Islam, semangat-semangat
negara Islam, semangat-semangat wilayah Islam yang telah diberikan kepada kita.
Maka saya minta tuan-tuan
menerima cabaran Tuhan, iaitu jangan dijalankan sesuatu kerja sekiranya kita
tidak tahu apa yang hendak kita jalankan. Jadikanlah suatu kewajiban tuan-tuan
mulai dari hari ini, mengkaji pengajaran Islam supaya dapat tuan-tuan memikul
kewajiban tuan-tuan sebagai orang yang tahu apa yang diajarkan oleh Islam.
Jangan ada seorang pun yang takbur, yang merasakan dirinya sudah pandai, bahawa
dirinya sudah tahu apa pengajaran Islam, bahawa dirinya sudah tidak perlu
diajar oleh sesiapa kerana dia sudah menjadi wakil rakyat. Dia perlu
mendekatkan dirinya dengan al-Quran, dengan buku-buku Islam, dengan hadis-hadis
Nabi Muhammad s.a.w, dengan sejarah-sejarah Islam, supaya kita sentiasa ingat
kepada Tuhan.
Percayalah saudara-saudara,
bahawa saudara-saudara dan saya akan gagal dalam kerja ini kalau kita tidak
mahu memperdampingkan diri kita kepada Islam. Berapa orang daripada saudara
yang telah menjadi Ahli Dewan Negeri dan Dewan Rakyat semenjak lima tahun yang
lalu, sudah membaca buku Islam, kerana dia mengatakan bahawa dia ini penganjur
Islam? Berapa orang? Cuba kita fikirkan saudara-saudara. Seorang yang telah
diamanahkan untuk membelah dan mengubat orang sakit, tetapi tidak pernah
membuka buku berkenaan dengan kesakitan manusia.
Kita diamanahkan untuk menjalankan
pentadbiran negara Islam, sudahkah kita tahu apakah pentadbiran negara Islam
itu? Janganlah kita degil saudara-saudara. Marilah kita dekatkan diri kita
kepada pengajaran Islam. Rapatlah diri saudara-saudara kepada al-Quran yang
diturunkan oleh Tuhan, dan rapatlah diri saudara-saudara kepada hadis-hadis
yang diberikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Jangan ada orang yang sombong,
aku sudah tahu. Jangan ada orang yang mengatakan aku sudah luput. Kalau dia
sudah luput daripada mempelajari Islam berhentilah dia dari menjadi ketua-ketua
orang Islam ini. Duduklah dia di rumahnya supaya jangan dia dituduh orang
memakai warna-warna Islam tetapi tidak ada mempunyai isi Islam.
Saudara-saudara yang mulia,
Selain daripada itu perlu kita
kenali diri kita pada hari ini, bahawa kita ini telah dipilih oleh rakyat.
Rakyat yang sayang kepada kita, rakyat yang sanggup mengenepikan janji-janji
Kerajaan Perikatan hendak mencurah nikmat-nikmat besar kepada negeri mereka,
kerana kita memberitahu mereka bahawa kita ini hendak menjalankan hukum-hukum
Tuhan. Bahawa kita ini hendak menyelamatkan hidup mereka di dunia dan di
akhirat. Marilah kita hormati rakyat, dan sentiasalah kita meletakkan kewajipan
diri kita memanjangkan khidmat-khidmat yang telah kita lakukan demi kepentingan
rakyat.
Saya perlu memberitahu kepada
saudara-saudara bahawa satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu perjuangan
ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu
apa-apa, mungkin tidak kuat, tetapi kalau keikhlasan ada pada kita, maka ada
harapan cita-cita ini akan dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya kita
cerdik, cergas, pandai dan kuat sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang
kita hendak perjuangkan.
Saudara yang mulia,
Rukun kedua dari kejayaan kita
sebagai anggota yang mendokong kerajaan ialah perpaduan kita yang kukuh.
Perpaduan inilah yang penting. Kita tahu kita mempunyai musuh. Kita tahu bahawa
musuh itu hendak menghancurkan kita. Maka perpaduan dan kekukuhan perpaduan ini
mesti saudara wujudkan.
Cubalah mengutamakan
kepentingan perjuangan Islam, dan mengenepikan apa saja. Memang di dalam apa
yang kita akan jalankan ini seribu satu macam akan berlaku, seribu satu daya
akan berlaku. Semuanya untuk menodai keutuhan kita, untuk menodai perpaduan
kita yang kukuh. Tetapi saya berharap supaya semuanya ini dapat kita hadapi
dengan baik.
Saudara-saudara yang mulia,
Satu perkara yang perlu saya
sampaikan pada hari ini ialah bahawa saudara-saudara yang menang ini bukan
@#$%^&+X, bukan *^&%$#@, bukan *&@%$#. Yang menang ialah calon
Persatuan Islam SeTanah Melayu (PAS). Marilah kita kukuhkan diri kita dan kita
fahamkan bahawa kita ini orang parti. Boleh jadi ada di antara saudara-saudara
yang merasa dia orang besar, kalau dia bertanding seorang pun dia menang.
Tetapi renunglah saudara-saudara, berapa calon-calon Perikatan yang sudah kalah
dengan kebesaran-kebesaran mereka kalau rakyat tidak mengundi mereka. Orang
yang mempunyai degree, orang yang menjadi lawyer, orang yang kuat, habis kalah
belaka.
Marilah kita pandang bahawa
kita terhutang kepada PAS, yang bukannya persatuan saya, bahkan persatuan
saudara-saudara sendiri. Kita bersama mempunyai persatuan ini. Sebab kita
wujudkan persatuan ini ialah kerana cita-cita Islam. Marilah kita jadikan diri
kita ini semuanya orang-orang yang bertugas dari PAS.
Jadi saudara-saudara sebagai
Ahli Dewan Negeri janganlah saudara-saudara ketepikan PAS negeri ini.
Sentiasalah dipandang bahawa saudara adalah petugas dari PAS. Dan saluran PAS
itu ada di negeri ini untuk memandu dan bekerjasama dengan saudara-saudara
sekalian. Dan ini jauh dari bermakna bahawa PAS ini ingin menekan fikiran
Ahli-ahli Dewan Negeri. Tetapi satu kerjasama yang sungguh di antara kedua
pihak perlu dijalankan menurut saluran-saluran yang telah kita aturkan.
Saudara-saudara,
Oleh kerana kerajaan PAS dalam
masa lima tahun yang akan datang ini akan lebih maju, lebih kuat dan lebih
cepat dalam kerjanya, saya berharap kepada saudara-saudara tolonglah lipat,
tolonglah lipatkan kerja-kerja lain, hadapilah tugas kita ini. Rasulullah
s.a.w. pernah berkata: “Kalau kamu
membuat amal dunia hendaklah dipandang bahawa kamu akan hidup seribu tahun yang
akan datang, dan kalau kamu membuat amal akhirat maka pandanglah itu amal yang
akhir bagi kamu.”
Ini juga kita serupa. Di dalam
membuat rancangan, mari kita buat rancangan yang akan kekal seribu tahun.
Tetapi di dalam melaksanakan rancangan, mari kita lakukan seolah-olah hanya
lima tahun saja lagi peluang kita untuk melakukan. Ini perlu kita jadikan motto
kita di dalam kerajaan. Maka saya tidak mahu lagi ada orang yang akan berkata: “Saya tidak sanggup buat kerja ini. Saya
mahu jadi jawatankuasa saja. Bila mesyuarat panggillah saya, akan saya menjadi
hakim boleh atau tidak boleh.”
Kita tidak mahu orang menjadi
jawatankuasa pada masa ini. Kita mahu petugas-petugas yang akan bekerja. Jangan
kita, saya di sana jawatankuasa, di sini jawatankuasa, kerja kita samalah
seperti majistret. Orang membawa kertas berbeban-beban, bertimbun-timbun di
depan kita, akan kita bacalah penyata-penyata, mengangguk atau menggeleng
terpulanglah pada kita. Kalau nasib baik kita angguk, kadang-kadang nasib tidak
baik kita geleng.
Ini tidak ada gunanya
saudara-saudara. Kita mahu orang yang akan berkata kepada Menteri Besarnya:
“Apa kerja yang boleh saya jalankan?” Ini yang kita mahu. Jangan orang yang
berkata, “Jawatankuasa kosong? Saya mahu menjadi jawatankuasa!” Ini kita tidak
mahu. Kita tidak kurang tukang angguk, kita tidak kurang tukang geleng. Tetapi
kita kurang orang yang nak membuat apa yang sudah diangguk, orang yang mencegah
apa yang sudah dinodai.
Saudara-saudara yang mulia,
Saya yakin bahawa beberapa
perubahan besar akan dapat kita lakukan di negeri ini. Tetapi di mana perubahan
itu mula, saudara-saudara? Mulanya saat ini. Di mana mulanya? Di dalam hati
saudara-saudara sekalian. Kalau dia tidak berubah di dalam hati saudara-saudara
sekalian, tidak akan berubah. Kita akan berjalan sedikit demi sedikit. Ubahlah
cara kita berfikir. Ubahlah hati kita. Pandanglah bahawa kita ini adalah orang
yang memasuki medan yang lebih sengit, perjuangan yang lebih hebat, yang perlu
kepada tenaga yang lebih banyak.
Yang perlunya, saudara-saudara
adalah orang pilihan baru yang dipilih, dan buktikanlah bahawa saudara mendapat
pilihan ini dengan mengubah hati saudara yang mahu kerja yang lebih banyak,
tenaga yang lebih kuat untuk membolehkan cita-cita Islam, cita-cita Melayu
berjalan dalam negeri kita yang kita kasihi ini.
Saudara-saudara yang mulia,
Perhubungan kita dengan
Kerajaan Pusat akan bercorak dua. Sama ada Kerajaan Pusat akan baik dengan kita
atau dia akan jahat dengan kita. Marilah kita sedia untuk menghadapi
kedua-duanya ini. Saya belum tahu apakah yang hendak kita buat, sebab
gendangnya belum benar-benar berbunyi. Janganlah kita melompat sebelum rentak
gendang itu kita ketahui ke mana hendak dilagukannya. Tetapi perlu
saudara-saudara, kita fahami, sebab kita ini sudah tua dalam politik, bahawa
Kerajaan Pusat akan menekan kita walaupun dia mengatakan dia tidak akan menekan
kita.
Jadi, apakah keselamatan kita? Apakah
jaminan bahawa kita akan berjalan terus? Satu saja! Perpaduan! Perpaduan, lain
tak ada. Perpaduan kita ini saja yang boleh menjamin kita hidup lama dalam
Kerajaan Negeri ini. Kalau kita pecah, maka akan hancur kita semua.
Marilah kita, saudara-saudara,
memikul beban ini dengan rasa perpaduan yang kuat. Bukan perpaduan di antara
saudara sahaja, tetapi perpaduan di antara saudara-saudara dengan Perhubungan,
dengan rakyat, dengan saya, dengan Jawatankuasa Agung, dengan semuanya. Kita
berpadu sehingga tidak ada kelak yang boleh datang keburukan-keburukan yang
akan menghancurkan kehidupan kita.
Kita tidak dapat menghadapi
Kerajaan Perikatan ini dengan kepandaian kita. Kita tidak dapat menghadapi
kerajaan ini dengan kekerasan kita. Tetapi kita hanya akan dapat menghadapi
keadaan ini dengan tekad bersebulat suara mengatakan: “Kalau aku cuba berpecah
dari rakanku, aku akan dimakan oleh Perikatan dan rakanku juga akan dimakan
Perikatan, dan cita-cita Islam yang aku hebohkan akan dihancurkan di dalam
negeri ini”. Ini perlu kita fahami dan ini perlu menjadi motto kita dalam hidup
kita ini.
Saudara-saudara yang mulia,
Kita boleh memulakan kerajaan
PAS negeri ini dengan kucar-kacir, dan kita akhirkan dengan kehancuran, kalau
kita mahu. Dan kita boleh memulakan Kerajaan Negeri ini dengan berbaik-baik dan
dengan perpaduan yang kukuh, dan kita akhirkan kerajaan ini dengan kejayaan.
Saya berharap supaya masalah ini tidak menjadi masalah pertikaian di antara
saudara-saudara sekalian, supaya masalah ini tidak menjadi masalah pertarungan
kepentingan di antara saudara-saudara sekalian.
Yang perlu kita pandang ialah
bahawa kita mesti mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat, yang dapat bukan nak
menghadapi orang-orang yang ada di dalam kita ini supaya bercakar di antara
satu sama lain, tetapi untuk menghadapi Kerajaan Perikatan yang sentiasa
mengintai peluang untuk menghancurkan kita di dalam negeri kita ini. Jadi,
saudara-saudara, di waktu musuh mengebom kita berdentum-dentum dari langit,
maka janganlah kita asyik memikirkan, “Dia tersepak kaki saya, saya mesti sepak
tulang kering dia.” Ini tidak ada gunanya, dan ini akan mengakibatkan
keruntuhan kita belaka.
Saudara-saudara yang mulia,
Hadapilah masalah di depan
saudara-saudara pada masa yang akan datang dengan kesungguhan. Berjuang dengan
kesungguhan. Bekerja dengan kesungguhan. Bertugas dengan kesungguhan. Berfikir
dengan kesungguhan. Jangan jadikan kerja kita walau apa sekalipun, kerja asal
kerja sahaja. “Apa boleh buat, oleh kerana saya sudah jadi Ahli Dewan Undangan
Negeri, saya pergi mesyuarat. Apa boleh buat, oleh kerana saya jadi Ahli Dewan
Negeri, saya tolong sikit.”
Itu tidak sungguh namanya! Yang
sungguh: “Ini peluang yang saya cari! Dan saya dapat sekarang ini. Saya akan
gunakan seratus peratus demi kepentingan agama saya, bangsa saya, dan tanahair
saya.”
Ini dia dulu waktu kita belum
jadi tuan besar, kita duduk di luar, di kedai-kedai kopi, kita kata: “Eh,
alangkah banyaknya kesalahan orang ini. Mahu dibetulkan begini-begini!”.
Sekarang kita telah diletakkan oleh rakyat di tempat itu, mari kita gunakan
peluang ini dengan kesungguhan.
Kesungguhan, keikhlasan dan
perpaduan akan menjayakan kita.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
(Artikel
ini adalah Bab 16 dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin
Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)
No comments:
Post a Comment