ANGIN perubahan dan seruan ke
arah penukaran pemerintahan berkumandang dalam masyarakat Terengganu agak lama
sebelum pilihan raya umum diadakan. Kempen berterusan beserta pendedahan
isu-isu semasa yang tidak henti-henti daripada jentera penerangan PAS di
seluruh negeri, nyata membuahkan hasil.
Semakin ramai anggota
masyarakat menzahirkan minat mereka mengetahui perkembangan politik semasa.
Rasa prihatin mereka itu dizahirkan melalui kehadiran mereka di majlis-majlis
ceramah anjuran PAS, sambutan terhadap institusi pendidikan PAS seperti PASTI
dan beberapa sekolah rendah, serta pembelian akhbar lidah rasmi PAS, Harakah.
Keadaan menjadi tambah
menguntungkan PAS apabila berlakunya pergolakan dalaman yang maha hebat dalam
Umno. Katalisnya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilucutkan jawatan
Timbalan Perdana Menteri, seterusnya disingkirkan dari jawatan Timbalan
Presiden Umno, bahkan dipecat daripada menjadi ahli Umno dalam masa dua hari
berturut-turut.
Apa yang berlaku selanjutnya ke
atas Anwar dan sekalian ahli Umno yang bersama-sama dengannya menolong
memperjelaskan apa yang diperkatakan oleh PAS tentang Umno selama ini.
Masyarakat tiba-tiba menjadi terlalu mudah untuk faham apabila saban hari
mereka melihat, mendengar dan sesetengahnya merasai sendiri pembohongan demi
pembohongan yang dihamburkan oleh pemimpin Umno. Rakyat yang sudah pun tergerak
hati untuk melakukan perubahan, menjadi bertambah terdorong untuk melaksanakan
apa yang mereka hajati itu.
PAS secara umumnya, dan PAS
Terengganu secara khususnya, terbukti berupaya memanipulasi dengan baik angin
perubahan yang bertiup semakin kencang dalam masyarakat itu. Dari situlah
bisikan saraf ‘Acu Ubah Sekali’
menjalar dengan berkesan dari mulut ke mulut, dari mata ke mata dan dari hati ke
hati. Setiap rakyat Terengganu yang layak menyuarakan perubahan menjadi target slogan tersebut. Maka setiap
wasilah dan uslub digunakan sepenuhnya oleh PAS untuk mengajak rakyat ‘Acu Ubah Sekali’.
Perkataan ‘Acu’ dalam bahasa baku Terengganu bermaksud ‘cuba’ atau try. Ia
mengandungi pelawaan atau ajakan secara lembut untuk melakukan sesuatu. Jauh
sekali untuk dikatakan ia mengandungi unsur paksaan atau ugutan. Maka
bertepatan sangat dengan sistem nilai dan moral orang Melayu yang sukakan
pendekatan secara lembut.
Tambahan pula kalimah ‘Sekali’ di akhir slogan itu jelas
menggambarkan bahawa penyerunya benar-benar merayu. Bukan banyak yang diminta,
sekadar sekali sahaja.
Seruan ‘Acu Ubah Sekali’ adalah daripada PAS. Ia bukan ditujukan kepada
sesama para penyokong PAS yang sudah diketahui memang mengundi PAS. Mereka itu
tidak perlu diubah sikap dan pendirian. Bahkan keseluruhan mereka itu menjadi
penyeru-penyeru ke arah perubahan itu.
Sasaran seruan itu ialah para
pengundi yang selama ini menyokong BN dan bekerja keras bagi memastikan
kemenangan BN. Apa yang diharapkan berubah ialah sikap politik mereka dalam
memilih calon atau parti yang bertanding. Orang-orang Umno atau golongan ‘atas
pagar’ yang selama ini memangkah BN, dirayu ‘ubah sekali’ tabiat atau kebiasaan
itu, dalam pilihan raya kali ini.
Dengan ‘ubah sekali’ itulah
diharapkan DUN-DUN yang masih belum dimenangi PAS akan berjaya ditawan.
Manakala bagi DUN-DUN yang telah dimenangi akan menyaksikan peningkatan
sokongan yang ketara kepada calon-calon PAS.
Dalam ertikata yang lain, ‘Acu Ubah Sekali’ tidak bermaksud
menyeru rakyat yang sudah menyokong PAS sebelum ini agar mengubah tabiat
mereka. Ia juga tidak bermaksud agar semua wakil rakyat, termasuk ADUN-ADUN PAS
yang sudah menang, turut diubah. Ia adalah seruan daripada PAS untuk Umno/BN, seruan
daripada jentera PAS untuk para pengundi BN, dan seruan daripada ahli-ahli PAS
keseluruhannya kepada golongan simpatisan BN selama ini.
Satu hakikat yang nyata, para
penyokong dan pengundi BN ada di mana-mana. Waimma
DUN yang mereka menang atau yang dimenangi PAS. Justeru, ‘Acu Ubah Sekali’ bersesuaian untuk diwar-warkan di seluruh pelusuk
negeri. Biar semua orang bercakap soal perubahan.
Mengapa perubahan perlu
dilakukan, sudah tidak menjadi persoalan utama lagi. Rata-rata rakyat dapat
melihat, malah mengalami sendiri, sebab-musabab yang mendorong perasaan ke arah
perubahan. Rakyat merasakan mereka tidak diberi peluang mengecapi nikmat
pembangunan dan hasil kekayaan negeri secara yang sepatutnya. Kalimah ‘Negeri Kaya Rakyat Miskin’ semakin
dirasai kebenarannya apabila terlalu banyak kepentingan rakyat gagal dibela
oleh kerajaan BN.
Isu tol di Jambatan Sultan
Mahmud sebenarnya bukan satu perkara remeh, sebagaimana yang dianggap oleh BN.
Walau pun ia hanya melibatkan RM1 untuk perjalanan pergi dan balik, namun bagi
rakyat bawahan ia merupakan suatu kegagalan BN membela kepentingan mereka.
Persoalannya bukan kecil atau
besar nilai kutipan, tetepi wajar atau tidak ia dikutip dari rakyat. Sedangkan
negeri Terengganu diwar-warkan sebagai negeri kaya. Bahkan, jambatan itu
sendiri pun dibina dengan khazanah kekayaan negeri. Maka apa perlunya lagi
mengutip wang rakyat?
Kerajaan BN juga dilihat gagal
menjaga kepentingan rakyat dengan meneruskan kutipan cukai rumah kediaman,
sedangkan sumber pendapatan daripada hasil kutipan itu tidak seberapa jika
dibandingkan dengan jumlah pendapatan tahunan tetap yang lain. Bagaimana pun
kerajaan BN memandang perkara itu remeh, sedangkan nilai RM50 atau RM100 adalah
suatu yang bermakna bagi sebuah keluarga di kampung.
Penyelewengan dalam pembahagian
zakat dan pengagihan bantuan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) juga
tidak dapat diselindungkan lagi. Dalam kedua-dua kes ini, penyelewengan
didapati berlaku di peringkat ‘mengangkat nama’ penerima, yang mana
kebiasaannya dilakukan oleh ketua kampung masing-masing. Pihak imam mukim dan
Pejabat Agama Daerah selalunya sekadar mengesahkan senarai yang diserahkan oleh
ketua-ketua kampung, tanpa meneliti (atau tanpa dibenarkan meneliti!) dan
menyelidiki sejauh mana para penerima itu benar-benar layak menerima wang
zakat.
Maka berlakulah orang yang
berkereta, yang mempunyai rumah sewa dan juga ada bot di laut, tetapi turut
termasuk dalam senarai orang yang layak menerima zakat saban tahun. Sedangkan
orang-orang yang benar-benar ‘sesak’
dinafikan hak mereka, atas perkiraan kronisme dan nepotisme para ketua kampung.
Begitulah juga dengan penerima
bantuan PPRT yang rata-rata terdiri daripada anak-beranak atau aktivis Umno.
Pertimbangan layak atau tidak bukan lagi atas dasar sumber pendapatan dan tahap
kehidupan, tetapi lebih didorong oleh kepentingan politik dan kekeluargaan.
Maka berlakulah bantuan perumahan diberikan kepada orang yang sudah memiliki
rumah. Lalu mereka sekeluarga menduduki rumah bantuan, dan menjadikan rumah
asal mereka sebagai rumah sewa.
Dalam kes yang lain pula,
seorang penerima yang sepatutnya menerima beberapa ribu ringgit untuk membina
rumah PPRT telah menggunakan peruntukan tersebut untuk membesarkan dapur
rumahnya yang sedia ada.
Ertinya pembahagian atau
pengagihan kekayaan jelas tidak dilakukan secara adil. Akibatnya hanya
segelintir rakyat yang berpeluang mengecapi nikmat kekayaan tersebut. Sedangkan
sebahagian besar rakyat lagi, yang sebahagiannya lebih layak daripada mereka
itu, dinafikan hak menikmati anugerah Allah itu.
Beberapa projek mega yang
dilaksanakan oleh kerajaan BN turut menjadi kecaman rakyat, kerana ia hanya
bermanfaat untuk segelintir orang sahaja. Projek padang golf umpamanya, jelas
mendapat tentangan rakyat. Ia bukan sahaja melibatkan tanah yang luas, tetapi
juga peruntukan yang besar dari kerajaan negeri.
Kedua-dua khazanah negeri itu,
iaitu tanah dan duit, adalah sangat-sangat diperlukan oleh rakyat Terengganu
yang rata-rata dalam tahap miskin dan separa miskin. Mereka berpendapat
alangkah baiknya tanah yang sekian-sekian hektar untuk padang golf itu ditimbus
dan diratakan bagi dibahagi-bahagikan kepada rakyat, untuk dibuat tapak rumah
kediaman!
Apakah kerajaan lebih
mengutamakan kepentingan beberapa kerat ‘orang berada’ untuk menggunakan padang
golf selama beberapa jam dalam seminggu, berbanding ratusan keluarga yang masih
dahagakan tanah untuk tempat tinggal siang dan malam sepanjang hidup mereka?
Malangnya, BN memandang sepi keluhan rakyat itu, dan pembinaan padang golf
diteruskan juga. Rakyat yang tidak bertanah kekal tidak bertanah.
Persoalannya bukan rakyat tidak
setuju dengan pembangunan. Rakyat akan merestui kekayaan negeri yang
dibelanjakan oleh kerajaan, asal sahaja ia seimbang dengan kepentingan rakyat
terbanyak. Biar sepadan antara tanah dan duit kerajaan negeri yang dihabiskan
untuk sesuatu projek dengan nikmat atau manfaat yang diperolehi oleh rakyat, hasil
pembinaan projek berkenaan.
Sebab itulah rakyat tidak
setuju apabila kerajaan BN membina Muzium Negeri di Bukit Losong, Kompleks
Sukan dan Gerbang Persilatan di Gong Badak. Rakyat tidak nampak prioriti
perlaksanaan projek-projek berkenaan dalam keadaan rata-rata rakyat masih
dibelenggu kemiskinan. Jangan dikatakan rakyat dari serata ceruk negeri akan
berduyun-duyun mengunjungi muzium dan kompleks sukan itu, mereka yang berada
beberapa kilometer di sekitar tempat itu pun sebahagian besarnya masih belum
berpeluang mengunjunginya. Maka rakyat bertanya, untuk siapa kerajaan BN membina
bangunan-bangunan tersebut?
Barangkali antara isu yang
paling ‘terjijak’ di hati masyarakat
terbanyak ialah sikap kerajaan Persekutuan yang jelas ‘menganak-tirikan’
Terengganu dalam beberapa aspek. Perdana Menteri pun satu hal juga. Adakah
patut sebuah negeri sekuat Terengganu, yang hanya kalah tujuh kerusi DUN dan
satu kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum 1995, tidak dihadiahkan walau
seorang pun menteri penuh? Sedangkan Kelantan yang lebih separuh kerusi DUN
dikuasai PAS, dan hampir separuh kerusi Parlimen dimenangi PAS, mendapat dua
orang menteri penuh yang menjawat tiga kementerian pula.
Ini bukan soal dengki! Para
pemimpin Umno mesti mengakui hakikat bahawa setiap rakyat di negara ini ada
sentimen kenegerian, sentimen sayangkan negeri masing-masing, banyak atau
sedikit. Setiap warga negara sepatutnya dilayan sama rata. Biarkan Kelantan
dengan keistimewaannya. Tetapi di masa yang sama takkan tak ada langsung
peruntukan menteri penuh untuk Terengganu? Adakah cukup dengan hanya tiga
timbalan menteri sahaja?
Malang lagi bagi rakyat
Terengganu apabila para pemimpin kerajaannya sekadar memandang sepi rungutan
mereka. Memang sudah jadi perangai pemimpin BN, pantang menegur apa jua
keputusan pimpinan mereka. Mereka hanya tahu mengikut. Sedangkan rakyat
terbanyak terasa amat ‘kecil hati’ melihatkan kerajaan BN Pusat melayan negeri
mereka.
Sudahlah Kelantan dan
Terengganu dibezakan dari segi jumlah perjawatan utama itu, pacuan pembangunan
kebendaan juga amat nyata perbezaannya. Sesiapa jua yang berpeluang ke Kota
Bharu sebelum pilihan raya umum lalu, kemudian pergi pula ke Kuala Terengganu,
di sana akan jelas nyata perbezaan. Boleh dibezakan jumlah bangunan tinggi,
jumlah hotel, jumlah pusat membeli-belah.
Dalam keadaan sebegitu pun, BN
Pusat didakwa masih lagi menumpukan saluran projek pembangunan ke Kelantan.
Kebetulan pula kedua-dua menteri yang ada di situ pun bertanggungjawab terhadap
pembangunan. Seorang berjawatan Menteri Pembangunan Usahawan, manakala seorang
lagi Menteri Pembangunan Luar Bandar. Kedua-duanya menjadi saluran bagi
projek-projek pembangunan.
Maka di kalangan rakyat
Terengganu ada yang berpendapat bahawa sememangnya kerajaan BN tidak boleh
diharapkan untuk tambah menaikkan imej Terengganu di peringkat nasional. Kalau
sesama parti BN (antara Pusat dan Negeri) pun tidak dapat menolong Terengganu,
maka apa salahnya menukar kerajaan kepada parti lain? Untung-untung dapat jadi
macam Kelantan, dapat peruntukan Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen
dan lain-lain keistimewaan lagi!
Sindrom ‘Tiru Kelantan’ itu rupa-rupanya tidak terhenti sekadar persoalan
menteri penuh dan isu pembangunan sahaja. Ia turut terseret kepada beberapa
keistimewaan lain yang hanya terdapat atau terlaksana di Kelantan, dan tidak di
negeri-negeri lain yang diperintah oleh BN, termasuk Terengganu.
Di kalangan penjawat awam di
Terengganu, ada yang berasal dari Kelantan, mempunyai keluarga di Kelantan atau
sesetengahnya memang tinggal di Kelantan dan berulang-alik ke tempat kerja di
Terengganu. Lagi pun, dua negeri itu adalah berjiran. Maka apa jua yang berlaku
di Kelantan sememangnya berupaya mempengaruhi pemikiran rakyat Terengganu.
Pemerintahan PAS di Kelantan
alhamdulillah telah berjaya memperkenalkan beberapa keistimewaan untuk
kakitangan yang bernaung di bawah pentadbiran kerajaan negeri. Antaranya ialah
hari kerja lima hari seminggu dan cuti mingguan selama dua hari. Kelantan juga
telah mempelopori cuti bersalin 60 hari, lama sebelum Kerajaan Persekutuan
turut melaksanakannya. Maka apabila PAS Terengganu menjanjikan untuk menambah
cuti mingguan kepada dua hari dan cuti bersalin kepada 90 hari, kakitangan
kerajaan negeri meletakkan keyakinan bahawa ia pasti akan dilaksanakan,
sekiranya PAS diberi mandat memerintah Terengganu.
Kakitangan kerajaan Negeri Kelantan
juga telah sekian lama menikmati kemudahan pinjaman tanpa faedah untuk pelbagai
keperluan hidup. Sedangkan perkara yang sama tidak pula dilakukan oleh kerajaan
BN, walau pun ia berkeupayaan melakukannya.
Langkah kerajaan PAS Kelantan
menutup terus premis perjudian juga amat memalukan rakyat Terengganu. Mereka
berasa malu bukan kerana tidak dapat berjudi di Kelantan, tetapi malu terhadap
sikap kerajaan negeri mereka yang tidak prihatin terhadap tuntutan agama.
Barulah mereka sedar bahawa
bukan susah sangat jika sebuah kerajaan hendak melaksanakan hukum Tuhan.
Sedangkan Kelantan yang jauh lebih miskin daripada Terengganu, bertindak berani
membatalkan lesen judi yang mampu memberi pulangan ratusan ribu ringgit setahun.
Maka apalah sangat hasil judi itu bagi Terengganu yang sudah kaya ini?
Rakyat Terengganu berasa amat
malu bila negeri mereka dilabelkan sebagai ‘pangkalan judi’, setelah kaki-kaki
judi di Kelantan berduyun-duyun mencari tempat perjudian ‘halal’ di Terengganu.
Walau pun kerajaan BN kemudiannya turut bertindak menutup premis judi di
seluruh negeri itu, ia sudah terlambat untuk memenangi hati rakyat. Bahkan, ia
dilihat tidak ikhlas. Lebih kerana didesak oleh kepentingan politik bagi
menghadapi serangan PAS.
Segala kecacatan dan
ketidak-caknaan kerajaan BN terhadap kepentingan rakyat itu menjadi salah satu
pendorong untuk mereka merealisasikan seruan PAS agar ‘Acu Ubah Sekali’. Mereka telah benar-benar mengubah, dan kerajaan
telah pun berubah. Maka kalau mereka benar-benar mahu mengubahnya hanya
‘Sekali’ sahaja pun, itu sudah tidak mengapa bagi PAS. Cukuplah sekali dalam
pilihan raya lalu mereka mengubah kerajaan. Harapnya kerajaan yang ada ini
tidak akan diubah-ubah lagi. Begitulah hendaknya!
(Artikel ini adalah Bab 7, Bahagian B: Tanda-tanda Kemenangan, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)
No comments:
Post a Comment