Thursday, April 15, 1999

Analisa awal PAS tawan Terengganu - Teori Domino Menjadi

Oleh: Mohd Nasir Awang
 
SETIAP kali menjelang pilihan raya, kemampuan PAS menawan Terengganu sentiasa menjadi topik perbincangan hangat. Tradisinya, Terengganu adalah antara negeri paling kuat pengaruh PAS.  Sejak Pilihan Raya 1959, PAS membuktikan kemampuannya memenangi hati rakyat negeri itu dan berjaya membentuk kerajaan.

Walau pun kerajaan PAS Terengganu tumbang pada 1961 dan tidak pernah berupaya meraih kemenangan selepas itu, pengaruh PAS tidak pernah padam. Ia boleh dianggap sekadar pudar untuk beberapa ketika tertentu, tetapi menyinari kembali. Turun-naik sokongan pengundi terhadap PAS membuatkan pemimpin Umno tidak pernah jenera tidur.

Barangkali pengalaman paling pahit Umno ialah pada 1990. BN kalah di semua kawasan Parlimen dan DUN Kelantan. Ekoran itu ramai meletakkan harapan jirannya, Terengganu akan menyusul segera ditawan PAS.

Abdullah Hassan, melalui sebuah akhbar harian lewat 1991 menganggap kemenangan PAS di Kelantan itu pencetus “Teori Domino” yang didakwanya bermula di Pantai Timur. Tarmizi Mohd Jam menyusul pula dengan kupasan politiknya, Teori Domino 1994: Terengganu Selepas Kelantan, awal 1992.

Di waktu yang sama, timbul Gagasan 3T atau Tahun Tawan Terengganu yang dipelopori ideanya oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu. Seluruh lapisan jentera pilihan raya PAS di Terengganu digerakkan sebegitu rupa bagi merealisasikan tahun 1994 (atau lebih tepat, Pilihan Raya Umum 1995) sebagai tahun Terengganu ditawan semula PAS. Malangnya, nasib masih belum menyebelahi PAS. Ia menang hanya tujuh kerusi DUN.

Tentu sekali ada punca kenapa PAS gagal menawan Terengganu. Walau pun pada peringkat awal pengaruh PAS begitu menyerlah, namun selalunya berakhir dengan sorak-sorai kemenangan BN. Pilihan Raya Umum 1986, umpamanya, menyaksikan kemuncak kekuatan PAS di Terengganu. Banyak pihak yakin parti itu berupaya menawan Terengganu tapi ia hanya mampu meninggalkan dua batu nesan PAS, di Wakaf Mempelam dan Rhu Rendang.  Tiga kerusi lagi yang dimenangi pada 1982, iaitu Jeram, Batu Burok dan Manir, terlepas.

Untuk tujuan perbincangan elok diteliti semula pengalaman lalu, beserta analisis tentang kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman terhadap kemampuan PAS menawan Terengganu dalam pilihan raya akan datang.

UNSUR KEKUATAN
Terdapat empat unsur kekuatan PAS Terengganu, iaitu kepimpinan, budaya ilmu, khidmat masyarakat dan PASTI.

  1. Kepimpinan
Unsur penting yang menjadi prasyarat untuk mencapai matlamat perjuangan ialah tenaga yang menggerakkannya. Kewujudan saf kepimpinan yang mantap nyata menjadi daya penggerak dan motivator kepada pengikut untuk melaksanakan segala arahan dan gerak kerja parti dengan penuh rasa tanggungjawab, ikhlas dan gigih.

Ciri-ciri ini terbukti wujud dalam kepimpinan PAS Terengganu sejak sekian lama.  Bertunjangkan kekuatan peribadi-peribadi seperti Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Harun Taib, Ustaz Abu Bakar Chik, Mustafa Ali dan Wan Abdul Mutalib Embong, PAS Terengganu sebenarnya memiliki kepimpinan paling mantap berbanding negeri-negeri lain. 

Kelima-lima mereka itulah juga yang mencorakkan kepimpinan PAS Pusat. Semuanya, kecuali Wan Mutalib, yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Pusat, adalah anggota Dewan Harian PAS Pusat. Bermula dengan Ustaz Hadi, Timbalan Presiden; Mustafa, Naib Presiden: Ustaz Harun, Ketua Dewan Ulamak; dan Ustaz Abu Bakar, Ketua Dewan Pemuda.

  1. Budaya Ilmu
Secara tradisi, asas kekuatan PAS ialah di kawasan bendang dan pusat pengajian pondok. Di situlah sebilangan pemimpin utama PAS dilahirkan dan/atau menerima pendidikan awal mereka. Malah beberapa institusi pondok di seluruh negara adalah pangkalan PAS.  Sehinggakan wujud ungkapan popular: “Di mana ada padi di situ ada pondok. Di mana ada pondok di situ ada PAS.” 

Mungkin sinonimiti ini sengaja ditanam dan diabadikan dalam pemikiran masyarakat oleh para pemimpin BN, bagi menggambarkan PAS tidak lebih sebuah parti marhaen, parti pesawah padi dan pak lebai kampungan. Tetapi, dari sudut lain, pada ungkapan itu sebenarnya terpahat unsur kekuatan utama PAS – kecintaan pendokongnya terhadap majlis pengajian ilmu Islam.

Majlis pengajian di pondok-pondok dan di pusat-pusat tarbiyah PAS saban minggu sebenarnya menjadi saluran komunikasi dan medan interaksi paling berkesan antara pemimpin dan pengikut PAS.

Di Terengganu, hampir setiap kawasan parlimen mempunyai pusat tarbiyah yang menjadi tumpuan saban minggu. Kuliah mingguan, yang kebiasaannya diadakan setiap pagi Jumaat, menghimpunkan ratusan, malah ribuan, ahli-ahli PAS dari seluruh kawasan masing-masing sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Di Besut, pusatnya di Padang Luas; Setiu, di Jabi; Kuala Nerus, di Pekan Batu Enam; Kuala Terengganu dan Marang, di Rusila; Hulu Terengganu, di Kubang Lembek; dan Kemaman, di Cukai.

Di samping berpeluang mempertingkatkan pemahaman Islam, penyokong PAS dapat mendengar kupasan perkembangan politik semasa serta arahan-arahan terkini pemimpin.    

  1. Pusat Khidmat Masyarakat
Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu Kali Pertama yang diadakan di Masjid Rusila, 1996, meluluskan kertas dasar bertajuk ‘Pusat Khidmat Masyarakat: Mekanisme Penggerak Ummah’.  Sejak itu, PAS tidak pernah undur ke belakang dalam usaha mereka merealisasikan slogan “Memasyarakatkan PAS”. Matlamat utama Pusat Khidmat Masyarakat ialah menonjolkan imej PAS sebagai jamaah yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.

PAS meletakkan target menubuhkan pusat-pusat khidmat sekurang-kurangnya satu bagi setiap kawasan DUN. Hingga kini, 16 Pusat Khidmat Masyarakat PAS diwujudkan, di seluruh kawasan, kecuali Besut. Pusat-pusat tersebut ialah di Langkap, Batu Rakit, Teluk Pasu, Tepuh, Bukit Tunggal, Seberang Takir, Wakaf Mempelam, Bandar, Batu Buruk, Alur Limbat, Bukit Payung, Manir, Telemong, Kuala Berang, Ajil dan Paka.

Fungsi utama pusat-pusat tersebut ialah menyediakan kemudahan-kemudahan, dalam bentuk peralatan mahu pun perkhidmatan, yang diperlukan oleh orang awam, menjadi tenaga penggerak hal ehwal kebajikan di persekitaran kampung-kampung berdekatan, menerima aduan orang ramai dan menyelesaikannya, dan membantu menguruskan kerja-kerja yang berkaitan agensi kerajaan dan swasta yang diperlukan orang awam.

  1. PASTI
Salah satu daya pemikat masyarakat terhadap PAS ialah institusi pendidikan sekolahnya.  Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) mula ditubuhkan di pertengahan tahun 70-an dengan nama Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI). Ia menyediakan kanak-kanak dengan asas-asas kemahiran 3M (Membaca, Menulis, Mengira) melalui pendidikan amali secara Islam. Kanak-kanak diasuh dengan akhlak dan adab-adab hidup seharian menurut Islam. 

Meski pun belum dibuat kaji selidik prestasi pendidikan kanak-kanak lepasan PASTI di sekolah-sekolah rendah dan menengah, namun beberapa kes rambang meyakinkan masyarakat bahawa kanak-kanak lepasan PASTI mampu menyaingi kecemerlangan rakan-rakan mereka dari pra-sekolah lain.

Tanpa bantuan kepakaran Kementerian Pendidikan, PAS mampu memiliki cukup kepakaran menyediakan kurikulum serta buku teks PASTI yang bermutu dan menepati tahap pembelajaran pra-sekolah.

Berkat ketekunan guru PASTI disertai kecemerlangan akademik pelajarnya, tarikan masyarakat semakin meningkat. Laporan PASTI Negeri Terengganu 1999, menunjukkan peningkatan jumlah PASTI, pelajar dan juga guru-gurunya. Hingga kini, 139 buah PASTI beroperasi, dengan Marang dan Kuala Terengganu mencatat jumlah tertinggi iaitu masing-masing 26 dan 20 buah.

Jumlah pelajar PASTI seluruh negeri, seramai 8,063 orang. Mereka dididik dan diasuh oleh 352 guru terlatih. Di kebanyakan PASTI, jumlah pelajarnya melepasi angka 100 orang. Malah ada pusat yang lebih 300 pelajar, sehingga memaksa pihak Jemaah Pengurus PASTI Qaryah mewujudkan 10 kelas berasingan.

Kemampuan PAS mentadbir institusi pendidikan dengan kurikulum tersendiri mencerminkan kewibawaan parti Islam itu merealisasikan tasawwur pendidikan Islam jika ditakdirkan PAS berkuasa.

UNSUR KELEMAHAN

Unsur-unsur kelemahan PAS Terengganu boleh disimpulkan kepada dua faktor, iaitu faktor dalaman dan luaran.

1.      Dalaman: Tembok Yang Kebal
Harus diakui, tembok pemisah antara ahli-ahli PAS dengan ahli-ahli Umno/BN di Terengganu amat tebal dan terlalu sukar ditembusi.

Apabila gelombang pembersihan aqidah melanda negara ini bermula lewat 70-an lalu, antara negeri yang paling hebat kesedaran rakyatnya mengenai batas-batas iman dan kufur ialah Kelantan dan Terengganu. Assif Shameen, Asiaweek, 14 September 1984 menyifatkan kedua-dua negeri Pantai Timur itu sebagai medan paling tegang bagi pertembungan politik PAS dan Umno. Malah beliau melabelkan Kelantan dan Terengganu sebagai kawasan paling hebat berpolitik di Asia: “These two states of Malaysia (Kelantan dan Terengganu) are possibly the most politicised places in Asia. Everyone I met talked in terms of Umno and PAS, development and Islam.”

Bulan dan dacing terpisah jelas. Kopiah dan songkok juga terbahagi nyata. Meski pun mereka dilihat minum di kedai yang sama, atau di atas meja yang sama sekali pun, tetapi pengamat politik yang arif dengan mudah dapat menentukan mana orang PAS dan mana orang Umno.

Agak berbeza dengan Kelantan, orang-orang PAS di banyak tempat di Terengganu memilih untuk memakmurkan masjid secara berasingan daripada orang-orang Umno. Mereka berjamaah, bahkan bersolat Jumaat, di tempat-tempat eksklusif yang tidak dihadiri melainkan oleh orang-orang kuat PAS sahaja. Jangan dikatakan orang Umno, orang PAS yang tidak cukup kuat pun memilih “jalan selamat” untuk tidak bersembahyang di surau atau masjid eksklusif itu.

Hasilnya, pergerakan dan interaksi ahli-ahli PAS hanya terbatas di kalangan mereka sahaja.  Peluang untuk mereka bersemuka dan berbicara dengan orang-orang Umno hampir tidak wujud. Mesej dakwah sukar menerjah telinga orang-orang Umno, melainkan dari kejauhan melalui pembesar suara majlis-majlis ceramah PAS. Itu pun kalau ada penyokong Umno yang sudi hadir, atau kebetulan ceramah PAS diadakan berdekatan rumah mereka.

Kegawatan politik yang melanda negara selepas 2 September lalu nyata berupaya merubah senario politik Terengganu. Pun begitu bukanlah suatu kerja mudah untuk merobohkan tembok yang begitu kebal dibina belasan tahun. Sebilangan ahli-ahli PAS di peringkat bawahan, yang masing-masing mempunyai sejarah hitam tersendiri berhadapan dengan tokoh-tokoh Umno setempat, menghadapi gangguan jiwa yang hebat ekoran fenomena penghijrahan ahli-ahli Umno ke dalam PAS. Hati dan perasaan mereka dilanda dilema antara mengenangkan “jasa-jasa” bekas ahli-ahli Umno tersebut, dengan dorongan meraikan mereka, atas arahan kepimpinan parti. Mereka sukar menjalin kemesraan dengan “saudara-saudara baru” mereka.

Pada tahap ekstrim, ada ahli-ahli PAS yang memulau terus kehadiran ahli-ahli baru PAS daripada bekas ahli Umno dan menafikan hak ahli-ahli baru untuk bergiat aktif di cawangan masing-masing. Jika tidak dibendung segera, ia akan menjadi ancaman kepada gerak kerja pilihan raya PAS.
     
2.      Dalaman: Tiada Persiapan Rapi
Pengurusan jentera pilihan raya adalah faktor yang cukup penting bagi menentukan kemenangan. Sebagai sebuah gerakan Islam yang berpengalaman, PAS tidak seharusnya mengulangi kelemahan mengurus jentera pilihan raya. Berdasarkan pengalaman dan kajian, pemimpin PAS Terengganu dapat mengesan beberapa kelemahan yang sangat ketara.

Hakikat ini diakui secara jujur oleh Mustafa Ali, Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu lewat kertas kerjanya, “Menghadapi Pilihan Raya Umum 1999: Persiapan Kepimpinan dan Pengurusan Jentera Pilihan Raya”. Ia dibentangkan di Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu kali ke-3, 1998, di Sura, Dungun.

Antara kelemahan nyata, menurut Mustafa, ialah pengabaian aspek persiapan yang rapi. Ia berlaku ekoran sikap ahli dan petugas PAS. Antaranya, suka menyerah dan membebankan kerja kepada hanya satu-satu orang sahaja yang bertanggungjawab di dalam sesuatu jawatankuasa atau unit. Manakala mereka yang selebihnya sekadar mencukupkan bilangan ahli jawatankuasa atau unit dan  lebih gemar menjadi penonton kepada kerja-kerja yang sepatutnya dilaksanakan bersama.

Sikap bersedap hati dengan keyakinan berlebihan juga menyebabkan petugas PAS lalai dan cuai. Mereka mudah dilunakkan dengan cakap-cakap kononnya sokongan terhadap PAS telah meningkat. Sehinggakan terbayang di mata mereka kemenangan yang akan tiba bila-bila masa.

Terdapat kecenderungan di kalangan petugas PAS memandang ringan dan mengabaikan arahan pemimpin mengenai kerja-kerja yang berkaitan dengan pilihan raya seperti pendaftaran pemilih, semakan daftar, bancian kependudukan. Ada yang menjawab: “Gaduh ke mana gak! Pilihan raya kang lambak lagih.”

Ekoran sikap sedemikian, persiapan rapi yang sepatutnya diadakan terlebih awal seringkali gagal direalisasikan, terutama di peringkat akar umbi yakni cawangan dan Unit Peti Undi.

3.      Luaran: Pemilih Yang Kecil
Dewan Undangan Negeri Terengganu mempunyai 32 kawasan. Hanya empat kawasan (statistik Pilihan Raya Umum 1995) yang mempunyai jumlah pemilih melebihi 15,000 orang, iaitu Bandar (17,119), Batu Buruk (16,712), Cukai (15,984) dan Wakaf Mempelam (15,059).  Bahkan, di sepuluh kawasan DUN yang lain, jumlah pemilih berdaftar berada di bawah angka 10,000 orang.

Katakanlah secara purata, sesebuah DUN mempunyai 10 peti undi. Bermakna, setiap peti undi secara purata juga mempunyai antara 1,000-1,500 pengundi. Setiap peti undi pula mempunyai tidak kurang daripada tiga lokaliti atau kampung. Secara kasarnya setiap lokaliti hanya ada 500 pemilih berdaftar, sama ada penyokong PAS, Umno atau golongan atas pagar.

Ia memberi advantage kepada Umno/BN selaku parti yang memerintah. Juak-juak Umno di setiap lokaliti dengan mudah dapat mengenal pasti golongan pengundi sasar dan memantau mereka.

Berdasarkan amalan politik rakus dan salah guna kuasa yang menjadi tradisi Umno, parti itu lebih mampu mewujudkan paling kurang sebuah cawangannya di setiap lokaliti. Melalui cawangan itu, segala bantuan kewangan dan pengagihan subsidi dari jabatan dan agensi kerajaan disalurkan. Pengundi sasar menjadi target utama agihan tersebut. Akhirnya golongan itu dengan sendiri menjadi “malu alah” kepada pemimpin Umno setempat.

PELUANG DAN KESEMPATAN

Terdapat beberapa peluang politik, jika diambil kesempatan secara bijak oleh PAS Terengganu, mampu membantu menambahkan kekuatan. Antaranya ialah kedudukan Terengganu sebagai jiran Kelantan, krisis berpanjangan dalam Umno Terengganu, kebanjiran/penghijrahan ahli-ahli Umno ke dalam PAS, dan undi popular yang tidak jauh berbeza antara PAS dan BN.

1.      Jiran Kelantan 
Kelantan dan Terengganu berjiran. Menurut sejarah, kedua-dua negeri ini pernah sama-sama diperintah oleh Siam dan pernah mendaulatkan pemerintahan dan hukum Islam. Dalam sejarah politik selepas merdeka, kedau-duanya pernah diperintah oleh PAS.

Ekoran kejayaan PAS mengembalikan semula pemerintahannya di Kelantan, ramai mengharapkan  agar Terengganu akan menyusul pula ditawan PAS. Antara sebabnya, kata mereka, sejarah membuktikan PAS terlebih dahulu menang di Terengganu sebelum Kelantan (melalui Pilihan Raya Umum Negeri-negeri 1959). Dengan kata lain, rakyat Terengganu mampu, bahkan pernah, menolak Umno.

Segala kepakaran mengatur taktik dan strategi, serta persiapan pilihan raya yang dimiliki pemimpin PAS Kelantan seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin membantu kemenangan Terengganu. Tenaga-tenaga penerangan PAS Kelantan yang terbukti mampu dan berkebolehan mengupas isu-isu semasa dengan baik dan berkesan sayugia diminta jasa baik mereka memenuhi program penerangan PAS Terengganu.

2.      Krisis Kepimpinan Umno
Cerita mengenai pemimpin Umno Terengganu dilanda krisis bukanlah cerita yang sengaja direka-reka untuk gimik politik. Perebutan jawatan Menteri Besar antara Wan Mokhtar Ahmad dengan Dr.Yusof Noor bukanlah rahsia lagi. Malah, hingga kini, masih ada keyakinan mendalam di kalangan sesetengah ahli Umno, khususnya di Besut, kononnya Ketua Umno Besut itu lambat-laun akan ditabalkan Dr. Mahathir sebagai MB.

Akibat politiking berterusan ia menyebabkan beberapa pemimpin kanan Umno Terengganu terpelanting dari negeri itu. Ada yang dihantar ke Parlimen, seperti Tengku Mahmud Mansor dan Abu Bakar Daud. Ada pula yang hilang terus dari persada politik seperti Ahmad Sidi Ismail.

Walau pun, dari aspek politik, kelemahan musuh bukanlah pengukur kekuatan sebenar sesebuah parti, tetapi sekurang-kurangnya ia memberi ruang yang lebih kepada parti saingannya mengatur langkah dengan lebih selesa. Dalam konteks Terengganu, PAS seharusnya mampu mengatur langkah itu kerana Umno, yang berkrisis sesama sendiri, tentu sekali terjejas tumpuannya untuk mengganggu-gugat langkah-langkah yang diambil lawannya.

3.      Kebanjiran Ahli Umno Menyertai PAS
Ledakan politik negara bermula 2 September 1998 tidak syak lagi menjadi turning point yang sangat positif bagi PAS. Setiap bulan, kemasukan ahli-ahli baru PAS di seluruh negara begitu luar biasa. Sebahagian besar mereka adalah bekas ahli dan aktivis Umno pelbagai peringkat.  Dalam masa lima bulan pertama sejak September itu, ahli baru PAS menjangkau angka 70,000 orang.

Terengganu tidak terkecuali menerima percikan gelombang reformasi ini. Berduyun-duyun ahli-ahli Umno aliran reformasi menyertai PAS di setiap kawasan. Bahkan, lebih menyenangkan lagi, antara mereka ialah bekas orang kuat Umno di bahagian masing-masing. 

PAS Besut menerima sekurang-kurangnya dua bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian, iaitu Abdul Halim Tausah dan Abdul Aziz Abbas. Kedua-duanya kini menjadi tenaga penerangan yang sangat berkesan. Kawasan Setiu juga dilaporkan menerima kehadiran tokoh Umno, Razali Mohamad yang terlibat secara langsung dengan penyeliaan masjid-masjid di daerah tersebut.

Di Dungun, kehadiran dua bekas calon Semangat 46 ke dalam PAS berlaku lebih awal.  Sulong Mahmud, bekas calon DUN Paka dan Tengku Mohd Asri Tengku Hashim, bekas calon DUN Bukit Besi beserta keluarga masing-masing menyertai PAS sebaik sahaja parti asal mereka dibubarkan.
PAS Kemaman turut menerima suntikan tenaga baru. Antaranya, Mohamad Sulong, tenaga penting ABIM Terengganu. Seorang bekas pegawai kerajaan bertukar korporat, Mohamad nyata berperanan besar dalam meraih sokongan masyarakat terhadap PAS. Begitu juga dengan Dr. Alias Abdul Rahman, bekas calon Semangat 46 DUN Cukai. Beliau dikatakan menjadi antara muka utama di setiap pentas ceramah PAS.

Dengan kehadiran bekas tenaga utama parti lawan ke dalam PAS ini, alasan kekurangan tenaga penerangan sudah tidak relevan lagi bagi PAS Terengganu. Lebih-lebih lagi dalam usaha menarik perhatian orang-orang Umno, mereka ini boleh dimanfaatkan oleh PAS kerana mereka lebih mengenali “tempat asal” mereka.

4.      Undi Popular

Berdasarkan laporan Pilihan Raya Umum 1982, 1986, 1990, 1995 yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), perbezaan undi popular antara BN dan PAS tidaklah begitu besar. Pada 1982, undi popular yang diperolehi PAS ialah 40.89% berbanding BN, 56.67%.  perbezaannya sekitar 15%.

Pada 1986, perbezaannya menjarak sedikit melebihi 20 peratus. PAS memungut 39.73%, manakal BN 60.08%. Gabungan undi PAS bersama Semangat 46 pada 1990 menghasilkan 45.04% berbanding BN, 54.24%. Perbezaannya surut kepada hanya sembilan peratus.

Bagaimana pun pada 1995, perbezaan undi popular naik sedikit kepada 11 peratus apabila undi BN meningkat kepada 55.42% dan undi PAS dan S46 susut kepada 44.44%.

Dengan mengandaikan undi popular terhadap PAS akan kekal di tahap tersebut, PAS memerlukan hanya enam peratus peralihan undi untuk menawan Terengganu. Jumlah  enam peratus undi tersebut sudah semestinya didatangkan daripada undi yang sebelum ini berada di tangan BN.

Jumlah pemilih berdaftar di seluruh Terengganu pada 1995 ialah 367,676. Sejumlah 279,715 keluar mengundi. Dengan mengandaikan penambahan yang setara dalam jumlah pemilih, sekitar 350,000 pemilih di Terengganu dijangka akan mengundi pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan daftar pemilih 1998.

Enam peratus daripada jumlah itu ialah sekitar 21,000 orang. Katakanlah, jumlah kerusi yang diharap oleh PAS untuk dimenangi juga 21. Maka untuk menawan Terengganu, PAS perlu mendapatkan paling kurang 1,000 orang pengundi yang beralih di setiap 21 DUN berkenaan. 

Dengan mengekalkan andaian setiap DUN memiliki 10 peti undi, maka setiap peti undi itu mesti berusaha menarik 100 orang pengundi tradisi Umno memangkah bulan kali ini. Dengan gelombang reformasi yang melanda, sudah tentu tidak terlalu sukar mencapai target tersebut.

UNSUR ANCAMAN 

Unsur-unsur ancaman yang pada peringkat awal hanya wujud ekoran kelemahan biasa dalam organisasi mahu pun tarbiyah PAS mampu berkembang menjadi ancaman kepada kekuatan dan keupayaan PAS melaksanakan gerak kerja. Ia menjadi batu penghalang besar. Segala ancaman itu mampu bertapak disebabkan kelemahan-kelemahan yang wujud di kalangan orang PAS.

1.      Penyusupan (undercover)
Antara kelemahan yang wujud di kalangan petugas PAS ialah sikap mudah termakan dan terpengaruh dengan dakyah, propaganda dan strategi musuh. Sikap ini menyediakan saluran yang amat selesa untuk penyusupan “jarum-jarum” musuh. Mereka menyusup secara halus sehingga tanpa disedari mereka sudah berada di tengah-tengah khalayak PAS. Bahkan jarum-jarum musuh ini diterima oleh orang-orang PAS sebagai sebahagian daripada mereka.

Bukan rahsia lagi seorang pegawai Special Branch (SB) mengaku sebagai orang PAS, bersembahyang di surau PAS, malah bertindak menjadi bilal tatkala masuk waktu solatnya.  Ada yang dilantik AJK Kawasan. Sikap mudah termakan dan terpengaruh dengan strategi musuh ini menyebabkan organisasi PAS terdedah kepada segala macam ancaman pihak musuh. Ini mungkin mengakibatkan pendedahan rahsia dan kelemahan parti kepada pihak lawan.

Dalam kes tertentu, jarum-jarum musuh ini bertindak membakar semangat orang-orang PAS agar melakukan sesuatu yang ekstrim dan mengejutkan. Umpamanya, dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Payong, April 1992, seseorang yang tidak diketahui asal usulnya dengan jelas didapati makan tidur, siang malam, di salah sebuah markas pilihan raya PAS.

Beliau secara halus meniup semangat para pemuda PAS di markas berkenaan agar bangkit melawan keegoan BN memperalatkan pasukan keselamatan yang terlalu ramai dikerahkan ke situ. Antara cadangan beliau ialah agar bertindak ala Rambo dengan meletupkan kenderaan-kenderaan milik para pemimpin Umno.

Beliau sendiri bersedia memberikan tunjuk ajar teknik tindakan itu. Mujur juga para pemimpin sempat mencium sesuatu yang tidak enak padanya. Beliau terus menghilang selepas itu.

Begitu juga dalam kes perarakan bermotosikal pemuda PAS meronda jalan-jalan di bandar Kuala Terengganu beberapa malam sebelum hari pembuangan undi, 1986. Para pemuda PAS yang terlalu ghairah dengan bayangan kemenangan, sedangkan di masa yang sama mereka begitu cetek tentang strategi musuh, dan membiarkan diri mereka dirasuk oleh jarum-jarum musuh. Mereka melaungkan Allahu Akbar, memekik perkataan taghut sambil mengibarkan bendera PAS.

Perbuatan itu bukan sahaja memberikan imej ganas dan ekstrim kepada PAS, malah menakutkan para penduduk bandar. Pengundi bertindak tegas menolak PAS dan akhirnya PAS yang pada ketika itu berkeyakinan menawan Terengganu bukan sahaja gagal berbuat demikian, malah kehilangan tiga kerusi yang sedia dimenanginya di sekitar bandar Kuala Terengganu.

2.      Buah Gharib
Boleh dikatakan pada setiap pilihan raya BN mengemukakan senjata terakhir atau buah gharib sebagai pukulan maut terhadap PAS. Senjata akhir ini kebiasaannya ialah mainan media massa memutarbelit dan membesarkan kenyataan atau isu yang melibatkan PAS.  Contohnya, Pilihan Raya Umum 1986, isu-isu besar yang dimainkan ialah PAS dilihat bersikap anti-Melayu, apabila dikatakan cuba menghapuskan hak istimewa orang-orang Melayu, papan tanda Parti Allah, dan muzik pop akan dihapuskan jika PAS menang.

Pada Pilihan Raya Umum 1990, isu-isu besar ialah tengkolok Kadazan yang dipakai Tengku Razaleigh Hamzah, yang menjadi rakan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah ketika itu, dan surat fitnah yang kononnya daripada Mustafa Ali dan Abu Bakar Chik mengandungi kecaman terhadap Semangat 46.

Sebenarnya PAS mampu menangani buah gharib BN itu jika persediaan awal dibuat.  Umpamanya, mengenai isu hak istimewa orang Melayu, Dr. Mahathir sendiri pernah mengecamnya dan menyamakan orang Melayu sebagai kaum Red Indians di benua Amerika yang hidup atas ehsan Indians Reserves. Ia terkandung dalam beberapa ucapan dan tulisan Dr. Mahathir.

Begitu juga dengan isu tengkolok Kadazan. Ada gambar Dr. Mahathir sedang menari dengan wanita Kadazan sambil memakai tengkolok yang sama.

Tindakan counter attack sememangnya penting dan mampu merebahkan BN. PAS telah membuktikannya dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Pasu, Jun 1989. Buah gharib BN ketika itu ialah isu calon PAS, Ustaz Harun Taib enggan bersalam dengan calon BN, Abdul Rahman Mohamad di pusat penamaan calon.

Atas kebijaksanaan Unit Saraf dan Risikan PAS, sekeping gambar Ustaz Harun sedang bersalam dengan Abdul Rahman yang disiarkan oleh akhbar The Star edisi Kuala Lumpur diedarkan kepada pengundi pada petang sebelum hari pembuangan undi. Fitnah BN terbongkar! BN tersungkur di Teluk Pasu, antara lain, dengan counter attack itu.

Paling terkini ialah isu larangan wanita bekerja yang cuba dimainkan oleh Dr. Mahathir ekoran kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Isu itu berkubur apabila Harakah menyiarkan keratan sebuah akhbar harian tahun 1984 yang memuatkan kenyataan Dr. Mahathir sendiri atas perkara itu.

Berdasarkan pengalaman lalu, PAS seharusnya bersedia dari segi maklumat dan data bagi menangkis sebarang kemungkinan serangan buah gharib BN, terutama di dalam tempoh berkempen pilihan raya umum nanti.

Kesimpulannya, para pemimpin PAS Terengganu mesti memanfaatkan kekuatan yang ada pada mereka. Mereka juga perlu memperbaiki dan mengatasi kelemahan-kelemahan, pada segenap lapisan organisasi PAS. Mereka hendaklah mengambil kesempatan sebaik mungkin atas peluang-peluang yang ada di samping menekankan aspek tarbiyah ahli-ahli secara berterusan bagi menangkis unsur-unsur ancaman.

Mampukah pemimpin PAS Terengganu melaksanakan langkah-langkah yang dinyatakan itu? Usaha melaksanakannya adalah suatu kemestian jika PAS bercita-cita menerajui tampuk pemerintahan Terengganu Darul Iman.

(Artikel ini disiarkan majalah Detik Edisi Pengenalan, April 1999 dengan tajuk sama)