Labels

Showing posts with label Harakahdaily. Show all posts
Showing posts with label Harakahdaily. Show all posts

Monday, October 31, 2011

Khatam: Surat Terbuka untuk Malaysia Book of Records


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Sekalung tahniah buat Malaysia Book of Records (MBoR) di atas komitmennya merakamkan kejayaan dan pencapaian penting yang berlaku di tanahair ini. Tidak syak lagi peranan dimainkan pihak ini memberikan saham sangat baik dalam membina masyarakat berpengetahuan dan bermaklumat.

Sebagai seorang warganegara yang menyanjung tinggi sebarang usaha menganjurkan masyarakat celik maklumat, saya tidak ketinggalan amat mengalu-alukan kewujudan MBoR di tengah-tengah kerancakan kemajuan teknologi maklumat, pembangunan negara dan perkembangan politik.

Dengan adanya institusi yang mengkhususkan tumpuan kepada kerja-kerja merakam dan menyimpan rekod-rekod dicipta dalam negara, terutama membabitkan beberapa tahun kebelakangan ini, diharap akan menjadi nilai tambah dalam usaha menyemarakkan lagi budaya celik maklumat dalam masyarakat kita.

Mengambilkira peranannya sebagai tempat rujuk yang setakat ini dianggap paling berautoriti berhubung catatan rekod-rekod di negara ini, MBoR sudah semestinya memastikan segala yang dicatat dan diiktirafnya menepati piawaian. Segala fakta mestilah tepat dan benar. Manakala dalam hal yang memerlukan kepastian berhubung kriteria yang perlu dipenuhi bagi melayakkan sesuatu dianggap rekod, MBoR juga perlu memastikan kriteria-kriteria itu dipenuhi sebaiknya.

Di atas rasa prihatin terhadap kredibiliti itulah, saya merasa terpanggil untuk melontarkan sedikit perbahasan mengenai kaedah atau ketelitian diambil pihak MBoR dalam memastikan sesuatu yang dianggap rekod itu benar-benar mencukupi syarat kelayakan atau piawaiannya sebelum diberikan pengiktirafan. Apa yang saya utarakan ini boleh dianggap teguran, pandangan atau mungkin juga bantahan.

Kita difahamkan Sabtu, 29 Oktober, MBoR sekali lagi ke Terengganu bagi menyaksikan satu program besar yang sengaja dirancang untuk dicatatkan di dalam rekod tersebut. Kerajaan negeri menerusi Yayasan Islam Terengganu (YIT) sekali lagi menghimpunkan ribuan kanak-kanak sekolah pada majlis khatam al-Quran secara beramai-ramai. Majlis berkenaan dilangsungkan secara serentak mengikut kawasan Parlimen di tujuh lokasi berbeza di seluruh negeri itu.

Menurut laporan media cetak pada keesokannya, program tersebut telah berjaya memaut penyertaan seramai 20,133 murid, sekali gus melakar sejarah tersendiri. Mereka termasuklah seramai 6,325 murid dari sekolah-sekolah di seluruh Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang berkumpul di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Serentak itu, seramai 3,149 murid dari seluruh Parlimen Besut berhimpun di Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja. Sejumlah 2,311 rakan sebaya mereka dari Setiu pula berada di Masjid Bandar Permaisuri. Manakala 1,910 murid Hulu Terengganu berkumpul di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang.

Di Marang, seramai 2,744 lagi berkumpul di Masjid Sultanah Nur Zahirah. Manakala seramai 2,024 murid berhimpun di Dataran Padang Merdeka, Dungun, diikuti 1,670 lagi di Masjid Sultan Ahmad, Kemaman.

Dilaporkan majlis itu anjuran bersama YIT, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT). Menepati hasrat penganjurannya, program Sabtu lalu sekali lagi berjaya mendapat pengiktirafan MBoR sebagai majlis khatam al-Quran secara serentak paling besar. Ia malah memecahkan rekod dicatat negeri itu sendiri tahun lalu yang merekod kehadiran seramai 16,929 murid.

Tidak syak lagi pencapaian itu bakal dijadikan modal politik oleh parti pemerintah. Paling tidak ia akan digembar-gemburkan sebagai bukti betapa serius kerajaan negeri mendidik anak-anak sedari usia awal mereka untuk menamatkan pembacaan al-Quran.

Namun, bukan itu hasrat saya mengulas perkara ini. Biar lah orang politik kekal dengan keghairahan meraih mileage politik. Itu sudah tabiat mereka. Lagi pun sedari awal perancangan menganjurkan program ini pun kita sudah dapat menelah bahawa ia sebenarnya lebih didorong hasrat mencipta rekod dan mencari kemasyhuran.

Mana tidaknya jika diambilkira betapa saban tahun perkara dijadikan sasaran utama penganjurannya ialah mempertingkat jumlah murid yang dikumpulkan dalam program serupa dan bukannya aspek-aspek lain yang lebih bermakna atau lebih mencabar.

Sebab itu dapat kita saksikan rekod itu dengan mudah berulangkali dipecahkan oleh pihak sama saban tahun. Ia sudah menjadi agenda yang sedaya mungkin dipastikan berlaku sehingga sudah hilang seri dan gahnya. Rasanya tidak begitu sukar bagi rakyat negara ini yang mengikuti perkembangan perkara itu, khususnya yang berada di Terengganu beberapa tahun kebelakangan ini mengakui hakikat itu.

Malah tidak sukar juga untuk mereka mengimbau kembali bagaimana riuh dan hebohnya apabila buat pertama kalinya majlis sedemikian diadakan pada 2006 lalu. Kejayaan mengumpulkan seramai 937 kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun yang belajar di Tadika YIT dalam satu majlis untuk khatam al-Quran secara serentak benar-benar dijadikan bahan meraih mileage politik oleh parti pemerintah.

Ia diberikan laporan meluas oleh media-media arus perdana dan diulangsiar beberapa kali oleh pelbagai saluran propaganda milik kerajaan negeri. Tidak cukup setakat itu, berpuluh papantanda gergasi memaparkan gambar kanak-kanak sedang mengaji al-Quran beserta angka 937 itu dipacakkan di segenap jalan utama di serata negeri.

Rekod itu diperbaharui oleh pihak sama dengan penganjuran majlis serupa pada 2007. Seramai 2,010 kanak-kanak pula dihimpunkan. Kali ini turut melibatkan murid-murid Tadika Kemas dan prasekolah JPNT, selain Tadika YIT. Kejayaan sama diulang-ulang saban tahun dengan peningkatan jumlah murid yang terlibat.

Sementara sebilangan khalayak umum menghulurkan tahniah kepada pihak penganjur, khususnya kerajaan Terengganu di atas kejayaan itu, sebahagian lagi mengikuti perkembangan itu dengan perasaan sedikit gundah dan kesal. Mereka termasuklah sebilangan ibubapa dan guru-guru yang mengajar al-Quran kepada murid-murid terbabit sendiri.

Sebab-musabab kekesalan itu saya kira amat wajar diperhalusi oleh semua pihak, terutama MBoR, kerana ia membabitkan kredibiliti rekod yang didakwa telah dicipta itu. Menurut maklumat yang saya perolehi daripada sebilangan rakan dan kenalan yang terlibat dengan program ini (terutama sebagai ibubapa kepada murid terbabit), tahap pencapaian pembacaan murid-murid tersebut tidak lah sepertimana didakwa.

Menurut mereka, fakta mendakwa kesemua murid yang hadir dan terlibat dengan setiap program itu saban tahun sudah khatam al-Quran amat mengeliru dan layak dipertikaikan. Ada bukti sangat meyakinkan betapa sebahagian besar murid-murid terbabit sebenarnya baru di peringkat awal pembacaan al-Quran. Mereka mungkin telah mengenal huruf dan dapat membaca sendiri tanpa perlukan tunjuk ajar atau bimbingan guru. Tetapi sekadar dapat membaca dan menghafal beberapa surah belum sesuai dianggap sebagai khatam.

Sebahagian yang tidak sedikit daripada murid terbabit baru sekadar khatam mukaddam atau baru berada pada juz-juz awal pembacaan. Mereka belum pun tamat membaca separuh al-Quran dan terlalu jauh untuk dianggap telah khatam. Sedangkan istilah khatam yang difahami dan diterimapakai dalam tradisi pembelajaran al-Quran ialah kejayaan menamatkan pembacaan kesemua 30 juzuk kitab suci itu.

Ertinya dakwaan mengatakan kesemua murid terbabit dalam majlis itu telah khatam al-Quran adalah sesuatu yang amat dipertikaikan. Sekiranya itu hakikat yang berlaku, bererti rekod yang didakwa telah dicipta itu sebenarnya suatu yang tidak menepati kriteria atau piawaian sebenar dan amat dikesalkan.

Justeru saya mencadangkan agar MBoR mengambil perhatian serius tentang kesahihan dakwaan ini. Untuk itu ada baiknya MBoR turun semula ke Terengganu, bertemu secara peribadi dengan sebilangan ibubapa atau guru-guru terbabit. Dapatkan kepastian mereka tentang tahap pencapaian pembacaan al-Quran murid-murid disenaraikan itu.

Siasatan boleh dilakukan. Saya kira tidak sedikit para ibubapa kepada murid-murid terbabit yang sanggup memberikan keterangan dan pengakuan ikhlas. Mereka lebih tahu tentang tahap pembacaan al-Quran anak masing-masing. Mereka tidak akan teragak mengakui bahawa anak-anak mereka yang disenaraikan sebagai murid yang telah khatam al-Quran itu sebenarnya masih belum layak dikategorikan sedemikian.

Jika terbukti nanti apa yang mereka ragukan di atas sememangnya realiti, maka MBoR berhak memperbetulkan kembali keadaan, termasuk kemungkinan menarik balik pengiktirafan tersebut. Yang bersalah dalam hal ini bukannya MBoR. Ia mungkin bertindak secara terpaksa bagi memenuhi serakah politik parti pemerintah.

Atau mungkin ia tidak dibekalkan pemahaman yang betul mengenai kriteria dan prasyarat kelayakan khatam al-Quran mengikut tradisi ilmu Islam. Mungkin juga kerana mereka meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak penganjur yang diketahui sebagai pihak bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama dalam masyarakat.

Ertinya yang jelek, buruk perangai dan wajar dipersalahkan dalam hal ini ialah parti pemerintah yang menaungi ketiga-tiga jabatan penganjur itu. Hanya semata-mata bagi memenuhi agenda politik, rakyat dipaksa terima pembohongan mereka.

Apa yang dipaksakan ke atas MBoR untuk diperakui sebagai catatan rekod itu sebenarnya pembohongan yang amat keji dan sangat dikesalkan. Semata-mata untuk mencipta nama dan meraih kemasyhuran yang disirati agenda mencari mileage politik, pihak penganjur sanggup membohongi rakyat tentang kehebatan pencapaiannya.

Saya kira pihak paling wajar bertindak memperbetulkan kepalsuan ini ialah MBoR. Apatah lagi ia melibatkan pemalsuan fakta yang dicatat dalam rekod negara. Sedangkan fakta itu bakal menjadi sejarah tertulis yang akan dijadikan rujukan generasi puluhan tahun akan datang.

Lebih-lebih lagi perkembangan politik kebelakangan ini mengajar kita betapa aspek sejarah negara juga menjadi isu utama yang tidak sayugia dipandang remeh. Kesedaran mengenai keperluan merakam dan memperakui fakta-fakta alternatif kepada catatan sejarah diterimapakai selama ini sepatutnya mengajar kita betapa kesilapan orang terdahulu dalam merakam sejarah memang berlaku.

Maka amat sayugia kita mengambil pengajaran dari perkembangan itu dan jangan mengulangi kesilapan serupa. Kita perlu memastikan sebarang catatan sejarah yang sedang kita pahat kini dirakamkan dengan fakta yang benar dan maklumat yang tepat.

Catatan hari ini bakal menjadi sejarah di masa akan datang. Ia bakal dirujuk generasi kemudian dan dianggap sebagai suatu catatan yang benar. Sedangkan ketika itu kita yang berusia hampir separuh abad ini besar kemungkinan sudah tidak ada di dunia ini untuk menerangkan perkara sebenar.

Jika itu berlaku, bererti kita telah membenarkan pemalsuan fakta sejarah berlaku di zaman kita. Akhirnya kita ‘mislead’ generasi anak-cucu kita dengan fakta palsu. Kemungkinan itu mesti diperbetulkan sekarang!

(Artikel ini ditulis untuk siaran laman HarakahDAILY 31 Oktober 2011)

Saturday, October 22, 2011

Agenda Islamik sukarkan BN rampas Kelantan


Oleh: Mohd. Nasir Awang

“Berdasarkan perkembangan terkini, Umno memang serius untuk merampas Kelantan daripada PAS. Sejak 1990, PAS menang di Kelantan dan telah melalui ujian empat kali pilihan raya umum (PRU) iaitu 1995, 1999, 2004 dan 2008. Kesemuanya menyaksikan tindakan ‘kalut’ Umno ingin merampas Kelantan.”

Petikan itu adalah pemula bicara Wan Nik Wan Yussof lewat artikelnya ‘Umno agresif serang Kelantan’ yang termuat di tabloid Harakah, edisi Jumaat, 21 Oktober. Penulis adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS negeri.

Menerusi tulisan itu beliau membekalkan fakta tindakan Umno termasuk menggunakan berbagai taktik kotor sepanjang dua dekad parti itu berusaha menawan semula negeri tersebut. Contoh-contoh terkini seumpama taburan wang ehsan dan pembatalan projek lebuhraya Gua Musang-Kuala Krai-Kota Bharu memperkuatkan hakikat kebobrokan Umno yang menguasai kerajaan Pusat.

Sememangnya tekad Umno merampas pemerintahan negeri itu daripada PAS amat tinggi. Apatah lagi ia nyaris-nyaris merealisasikan hasrat itu lewat PRU 2004. Kelebihan tiga kerusi dimiliki PAS bertukar menjadi hanya satu kerusi selepas kekalahannya di Pengkalan Pasir seketika kemudian. Perbezaan hanya satu kerusi, bahkan salah satu kerusi dimenangi PAS itu hanya dengan dua undi, menyebabkan kegilaan Umno mengambil alih Kelantan semakin mencanak.

Keghairahan itu mendorong ia sampai ke peringkat sanggup melakukan siri ‘penderaan’ (meminjam istilah Wan Nik) terhadap rakyat Kelantan, kononnya agar mereka serik berkerajaankan PAS dan beralih arah memberi sokongan kepada Umno pula.

Usah dihitung kenyataan dan siaran yang memperlekeh perjalanan pemerintahan negeri. Gema-riuh kemiskinan rakyat Kelantan, kehidupan mereka yang didakwa sempit dan melarat beserta kegagalan kerajaan negeri menyediakan peluang kerja menjadi ratib yang bagaikan ‘nasi makan air minum’ buat segenap lapisan pendukung Umno.

Manakala persepsi dan andaian kononnya hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu membawa kemajuan dan pembangunan sekali gus membahagiakan kehidupan rakyat negeri itu turut menjadi bahan propaganda berterusan sejak dulu hingga kini.

Tidak cukup dengan segenap peringkat Umno di Kelantan, para pemimpin parti itu dari negeri-negeri lain ikut menokok-tambah cerita-cerita memburukkan negeri itu. Manakala para pemimpin Umno Pusat juga pantang ada kesempatan pasti dimanfaatkan semaksima mungkin untuk melontarkan serangan terhadap kerajaan dipimpin PAS itu.

Itulah gambaran betapa agresifnya Umno. Sebab itu agak pelik dan menghairankan apabila ditengah-tengah kegilaan itu ada menteri yang berkunjung ke Kelantan beberapa hari lalu menuturkan kenyataan yang boleh difahami sebagai memuji sesuatu mengenai kehidupan rakyat Kelantan. Apatah lagi perkara dipuji, bahkan cuba ditiru itu, ada hubungkait dengan agenda disemarakkan kerajaan PAS negeri.

Sebuah harian pada Selasa (18 Oktober) lalu memetik kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang berhasrat memperluaskan pengunaan tulisan jawi yang diamalkan di Kelantan ke negeri-negeri lain.

“Kementerian juga ingin melihat supaya penggunaan jawi seperti yang lumrah digunakan di Kelantan dapat digunakan di negeri-negeri lain dengan skrip dalam tulisan itu dijadikan tarikan,” akhbar itu memetik katanya.

Biar pun hasratnya yang khusus hanyalah bagi menjadikan tulisan jawi sebagai medium untuk mencatatkan kisah berkaitan budaya dan penceritaan secara lisan, hakikat penggunaan jawi dalam masyarakat Kelantan yang disebutnya itu mencakupi pelbagai sektor hidup yang jauh lebih luas.

Bahkan tidak sukar diakui betapa Kelantan di bawah PAS menjadi negeri paling ke depan dalam usaha mengetengahkan pengguna tulisan yang menjadi warisan bangsa itu dalam urusan seharian, termasuk urusan-urusan rasmi kerajaan.

Sebermula pemerintahan PAS pada 1990, difahamkan minit mesyuarat Exco negeri itu telah diubah daripada menggunakan tulisan rumi kepada jawi. Apakah ada negeri-negeri lain, terutama yang diterajui Umno yang turut mengambil langkah serupa?

Selain itu papan tanda jalan juga disertakan tulisan jawi bersama-sama tulisan rumi. Langkah itu disusuli peraturan mewajibkan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda premis perniagaan, papan iklan dan kain pemidang.

Bermula pertengahan 2009 lalu pula, Kelantan mara setapak lagi dalam memartabatkan tulisan jawi. Semua urusan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu diarah menggunakan tulisan jawi. Ia termasuklah penyediaan minit mesyuarat kesemua PBT.

Tidak syak lagi keprihatinan luar biasa kerajaan negeri di bawah PAS terhadap penggunaan tulisan jawi menjadi pendorong utama menyemarakkan lagi penggunaannya secara lebih meluas dalam masyarakat.

Hakikat letak duduk tulisan jawi yang bersebati dengan masyarakat Kelantan itulah yang barangkali menyentuh hati Rais sehingga mendorong beliau mencadangkan agar kelaziman itu diperluaskan pula ke negeri-negeri lain.

Diakui atau tidak, cadangan menteri itu sebenarnya suatu pengiktirafan terhadap kelebihan dimiliki Kelantan di bawah PAS berbanding negeri-negeri lain, khususnya yang dikuasai Umno sejak berdekad. Justeru, bagaimana mungkin khalayak pencinta warisan budaya bangsa, khususnya yang tegar memperjuangkan penggunaan tulisan jawi secara serius akan memberikan kepercayaan kepada Umno untuk menggantikan PAS?

Apatah lagi keprihatinan PAS itu turut dikaitkan dengan agenda mendaulatkan Islam dalam pemerintahannya. Semua tahu tulisan jawi adalah variasi dan derivasi tulisan Arab yang juga tulisan kitab suci al-Quran.

Ia juga dikira bersebati dengan tradisi ilmu Islam, terutama apabila ratusan kitab lama yang masih digunakan secara meluas di pusat-pusat pengajian Islam ditulis menggunakan tulisan itu. Dari perspektif itu, usaha PAS memartabatkan jawi adalah sealiran dengan hasrat menyemarakkan ilmu Islam dalam masyarakat.

Justeru, apakah wajar ada penganjur pengajian Islam dan pencinta ilmu agama tidak menyokong langkah kerajaan PAS Kelantan dalam hal ini? Bagaimana mungkin pula mereka akan memilih Umno untuk mengambil alih pemerintahan?

Kebetulan pula beberapa hari lalu berlangsung Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan. Di dalamnya banyak diserlahkan keprihatinan dan keseriusan kerajaan negeri mendaulatkan Islam dalam kehidupan rakyatnya.

Antara perkara agak menarik diperkatakan dan turut mendapat perhatian media arus perdana ialah arahan terbaru kerajaan negeri mengenai kemakmuran surau di pusat-pusat beli-belah. Dewan dimaklumkan bahawa kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) telah mengeluarkan arahan kepada semua pusat beli-belah dan pasar raya supaya menyediakan imam untuk mengetuai solat di surau premis masing-masing.

Arahan itu sekali gus menggambarkan keseriusan PAS memastikan rakyat melaksanakan ibadat, khususnya solat dalam keadaan paling baik, yakni secara berjamaah. Di mana komitmen para pemimpin PAS dalam hal ini tidak wajar dipertikaikan lagi. Sebagai pemimpin Islam yang bercakap mahu menegakkan Islam, mereka bukan setakat mendirikan Islam dalam diri mereka sahaja, tetapi turut menjadi pendorong orang dipimpinnya menjadi hamba yang taat kepada suruhan agama.

Ia menepati firman Allah di dalam surah al-Hajj ayat 41, yang secara jelas memperincikan sifat pemimpin Islam iaitu apabila mereka diberikan kekuasaan oleh Allah di atas mukabumi, mereka akan mengutamakan urusan mendirikan solat. Kepatuhan itu sekaligus menjadi contoh buat rakyat mengikuti mereka pula.

Ertinya, pemimpin Islam perlu sentiasa ke hadapan di dalam mengajak dan menggalakkan rakyat untuk sama-sama menghayati perintah Allah, terutama dalam menyempurnakan solat. Itulah yang terbukti diusahakan kerajaan PAS.

Malangnya, hari ini para pemimpin Umno lebih ghairah mengajak rakyat ke pesta hiburan dan majlis suka-ria. Bahkan ada pula pemimpin yang sanggup mengiklankan ke seluruh alam maya mengajak rakyat untuk meluangkan masa bersama-samanya menonton siaran langsung perlawanan bolasepak melibatkan pasukan luar negara yang diminatinya. Astaghfirullah al-Azim!

Arahan memastikan surau pusat beli-belah dimakmurkan dengan solat jamaah itu juga bagai menempelak beberapa negeri diperintah Umno. Manakan tidak apabila kerap dilaporkan media bagaimana ada negeri yang hingga kini gagal menyelesaikan masalah kekurangan imam dan bilal di seluruh negeri.

Jangan dikatakan untuk memastikan surau persendirian di premis perniagaan sebegitu disediakan imam bertugas, kegagalan dihadapi negeri-negeri diperintah Umno malah melibatkan masjid-masjid mukim dan masjid daerah. Apa yang berlaku di Terengganu adalah contoh yang amat ketara.

Kebanyakan masjid di negeri itu memang tidak cukup imam dan bilal. Bahkan ada masjid yang terpaksa menggunakan “khidmat” tv untuk melaungkan azan tatkala masuk waktu solat. Itulah yang dilaporkan berlaku di salah sebuah masjid jamek di Kemaman, awal tahun ini.

Beberapa perkara disebutkan di atas hanyalah contoh siri agenda Islamik yang dilaksanakan kerajaan PAS Kelantan. Sama ada dalam isu tulisan jawi mahu pun arahan memakmurkan surau, hakikat bersebati di sebalik isu-isu tersebut sebenarnya menyerlahkan perbezaan amat ketara antara halatuju dan keprihatinan pemerintahan PAS berhubung hal ehwal Islam berbanding Umno.

Sepertimana ditekankan Wan Nik lewat tulisannya tadi, pemerintahan PAS selama 21 tahun di Kelantan boleh dianggap bukti bernyawa bahawa parti itu “adalah satu-satunya parti Islam yang memperjuangkan dasar politik dan pentadbiran Islam serta luhur di atas landasan perjuangan Rasulullah s.a.w.”

Justeru, jika pun Umno Kelantan tampil dengan Gelombang Merah yang ikut disertai taburan wang ehsan dan berbagai umpan kebendaan lain, semuanya itu insya Allah menjadi kecil dan tidak mampu menandingi nikmat berpayung  di bawah pemerintahan Islam di terajui PAS. Selagi rakyat Kelantan berpegang kepada dasar dan fahaman sedemikian, maka pada adat katanya payah lah sikit Umno nak merampas semula negeri itu daripada PAS!

(Artikel ini disiarkan laman harakahdaily.net pada 22 Oktober 2011 di ruangan 'Pendapat dan Analisis' dengan tajuk sama)

Tuesday, October 18, 2011

PAS Terengganu tekad ‘bayar’ kezaliman Umno

Oleh: Mohd. Nasir Awang

Tentu ada sebab sangat munasabah mengapa daripada sebegitu banyak perkara atau isu yang boleh digarap, PAS Terengganu memilih untuk mengetengahkan isu tanah sebagai salah satu agenda diutamakannya jika diberi peluang kembali memerintah negeri itu lewat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Umum mengetahui ia bukan isu baru. Namun seperkara yang pasti, isu tanah mempunyai nilai sentimental sangat tinggi buat warga Terengganu. Sebut saja soal hakmilik tanah, ia akan segera mengingatkan mereka kepada berbagai perkara yang bersebati dengan isu ini.

Pertama, isu tanah sepanjang masa akan dikaitkan dengan kehebatan kerajaan PAS berbanding kerajaan terdahulu yang digantinya. Walau pun hayat pemerintahannya sangat singkat, parti itu telah membuktikan kecekapan dan keazaman tingginya menyelesaikan permasalahan rakyat. PAS berjaya menyelesaikan permasalahan yang gagal diselesaikan Barisan Nasional (BN) sejak puluhan tahun.

Kedua, isu tanah juga turut menyimpan ingatan rakyat Terengganu terhadap kerakusan dan kezaliman BN. Isu pembahagian tanah seakan sinonim dengan tragedi perampasannya oleh kerajaan diterajui Umno.

Semua rakyat yang prihatin dan celik mata hati akan segera terbayang bagaimana para pemimpin parti Melayu itu bertindak seakan manusia tidak waras apabila tanpa kasihan belas dan pertimbangan kemanusiaan sanggup merampas tanah dan merobohkan rumah-rumah rakyat yang baru didirikan.

Puncanya hanya satu – Umno tidak sanggup menanggung malu berterusan apabila rakyat bercakap soal kejayaan PAS mengagih dan menyelesaikan hakmilik tanah yang gagal dibuat kerajaan BN sebelumnya.

Memang di atara kejayaan pentadbiran kerajaan PAS Terengganu paling menonjol ialah soal menyelesaikan pemilikan tanah rakyat. Kerajana PAS melakukan reformasi pentadbiran tanah dengan menyusun semula sistem pelupusannya.

Antaranya mengurangkan karenah birokrasi dalam proses permohonan dan kelulusan. PAS juga menurunkan lebih banyak kuasa membuat keputusan ke peringkat pentadbiran tanah daerah. Sebelum itu segala keputusan berkenaan hanya dibuat di peringkat negeri.

Permohonan tanah rakyat yang ditutup secara rasmi oleh BN sebelumnya sejak 1975 dibuka semula sebaik PAS memerintah. Manakala kadar premium tanah diturunkan daripada 20% kepada 10% harga pasaran tanah. Malah bagi golongan miskin kadar itu diturunkan lagi kepada hanya 5%.

Kaedah pelupusan yang cepat dan singkat juga dikenalpasti. Antaranya menggunakan khidmat juruukur tanah berlesen (JTB), apabila juruukur tetap di pejabat-pejabat tanah terbukti gagal menepati tahap penyelesaian diperlukan.

Hasilnya puluhan ribu rakyat negeri itu, termasuk ribuan ahli dan penyokong Umno yang selama berpuluh tahun menunggu peluang memiliki tanah telah diberikan hakmilik masing-masing. Kejayaaan itulah yang amat memalukan Umno, kerana selama 38 tahun ia memerintah Terengganu sebelum itu (1961-1999) perkara tersebut gagal diselesaikannya.

Tanah adalah harta tetap yang amat bernilai dan nilainya sentiasa meningkat masa ke masa. Ia lebih bernilai berbanding pemberian subsidi lembu-kambing beserta bangsalnya. Ia bukan setanding nilai sebuah bot enjin sangkut, tong fiber, pukat atau lain-lain perkakasan nelayan. Bahkan ia jauh lebih bernilai berbanding huluran RM300 atau RM500 wang ehsan saban tahun untuk kalangan terpilih.

Anugerah sangat bermakna itu bagaimana pun menjadi tidak menentu gara-gara tindakan balas dendam kerajaan BN yang kembali berkuasa sejak 2004. Semua proses permohonan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang telah diluluskan dibekukan.

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Terengganu di dalam surat rasminya kepada semua pentadbir tanah daerah bertarikh 7 April 2004 memperincikan arahan tersebut. Semua permohonan RTB yang telah diluluskan tidak boleh dikeluarkan Jadual 5A (surat tawaran membuat bayaran hakmilik tanah).

Semua permohonan RTB yang telah dikeluarkan Jadual 5A pula tidak boleh diterima bayarannya. Manakala semua permohonan yang telah dijelaskan bayarannya juga tidak boleh dikeluarkan hakmilik.

Di masa sama, segala kerja oleh JTB seperti siasatan, kerja-kerja pengukuran, penyediaan layout/pelan, jabatan teknikal, tunjuk lot, penyediaan pelan hakmilik dan lain-lain kerja yang berkaitan turut dibekukan.

Hasilnya berlakulah tragedi perampasan tanah secara besar-besaran melibatkan ribuan lot tanah yang telah pun dianugerahkan kepada rakyat. Ia bukan sahaja melibatkan pengambilan semula lot-lot tanah kosong, tetapi turut membabitkan perobohan rumah-rumah rakyat, yang sebahagiannya masih dalam pembinaan, manakala sebilangan lagi telah pun siap dan diduduki.

Kekejaman Umno ketika itu amat sukar dibayangkan. Agak munasabah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut dalam salah satu sessi perbahasan di sidang Dun Terengganu ketika itu menyifatkan kerajaan Umno lebih teruk dan lebih jahat daripada Yahudi Israel. Katanya, Israel hanya merampas tanah dan meroboh rumah orang Palestin yang berlainan agama dan bangsa, tetapi kerajaan Umno tergamak membuat perkara sama terhadap rakyat yang sebangsa dan seagama mereka.

Kegilaan Umno bahkan sampai ke peringkat gagal bertolak ansur dalam soal berkaitan agama apabila turut memangsakan sebuah masjid yang telah pun digunakan di Kemaman. Bagi menjustifikasi tindakan biadab itu ia melontarkan berbagai dakwaan dan fitnah, termasuk mengaitkan rumah Allah itu sebagai markas sekumpulan manusia yang merancang untuk mengadakan huru-hara dan mengancam keselamatan negara.

Fitnah itu terbukti satu alasan diada-adakan kerana sampai hari ini tiada seorang pun di antara penduduk terbabit diseret ke muka pengadilan di atas dakwaan itu. Kesemua tindakan rakus dan zalim itu tersimpan dalam memori rakyat Terengganu. Diharap garapan semula isu ini membantu menyegarkan ingatan itu, seterusnya mendorong mereka membuat pilihan sebaiknya dalam pilihan raya nanti.

Sebab itu suatu pilihan amat tepat dan bermakna apabila PAS Terengganu meletakkan perkara menyelesaikan isu rampasan tanah oleh BN sebagai salah satu di antara lima perkara paling diutamakan dalam manifesto pilihan rayanya kali ini.

Empat lagi perkara awal yang akan dilaksanakan PAS jika diberi amanah memerintah negeri itu termasuklah mengembalikan peraturan menghapuskan cukai pintu rumah kediaman dan memperuntukkan cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan wanita yang kematian suami.

Turut diumumkan ialah usaha PAS menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh tiga tahun, selain program merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas untuk rakyat miskin.

Bertemakan "Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan", dokumen yang menjelaskan perancangan dan halatuju pemerintahan PAS itu telah disempurnakan pelancarannya oleh Presiden parti, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada aturcara penutup program Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU) di Pantai Pandak, Kuala Terengganu, malam Sabtu lalu.

Penonjolan kelima-lima perkara tersebut dianggap kena pada masa dan sesuai dengan perkembangan politik mutakhir ini yang menyaksikan tahap pemikiran massa yang semakin terbuka dan rasional. Menyebutkan perkara-perkara berkenaan akan mudah mengingatkan sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan politik kepada beberapa hakikat yang beraku di Terengganu, terutama sejak 1999 lalu.

Dari perspektif itu, manifesto diumumkan Sabtu lalu boleh dianggap penegasan bertulis yang menggambarkan tekad PAS Terengganu untuk mengajak rakyat negeri itu sama-sama ‘membayar’ kembali segala kezaliman Umno serta pembohongan dan kegagalan pemerintahan BN sejak tujuh tahun lalu.

Semoga lontaran itu mampu mengusik jiwa rakyat dan membantu mereka membuat pilihan sebaiknya dalam pilihan raya nanti, sejajar hasrat Tuan Guru Presiden dalam ucapannya yang antara lain menyebut, sebuah kerajaan yang diberi amanah memerintah perlu menunaikan tiga tanggungjawab utama iaitu menjadi kerajaan yang memperhambakan diri pada Tuhan, memberi makan kepada rakyat sehingga rakyat tidak lapar dan menjaga keselamatan dalam negara.

(Artikel ini disiarkan laman harakahdaily.net pada 18 Oktober 2011 di ruangan 'PENDAPAT DAN ANALISIS'.)

Saturday, October 15, 2011

Akta Murtad, mujurnya kalau Umno sokong!

Oleh: Mohd. Nasir Awang

Jika tidak kerana keegoan Umno yang terlampau mengutamakan sentimen politik, pada adatnya negara kita sudah pun memiliki undang-undang khusus menangani gejala murtad. Paling lewat pun pada sekitar awal 90-an dulu, sudah ada usaha secara serius dan bersaluran oleh PAS untuk membuka jalan perbahasan secara positif dan signifikan ke arah penggubalan suatu undang-undang berkaitan murtad.

Ahli Parlimen PAS dari Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ketika itu sebagai Timbalan Presiden PAS telah memohon membawa usul yang dinamakan Rang Undang-Undang Persendirian (Murtad) di Dewan Rakyat. Malangnya, usaha sebegitu baik gagal disempurnakan. Ia ditolak sedari awal dan tidak diberi laluan untuk dibahaskan.

Punca utama ialah apabila ia tidak mendapat sokongan daripada walau seorang pun menteri, khususnya menteri dari Umno yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Sedangkan menurut aturan dan peraturan diterimapakai Parlimen, sesuatu rang undang-undang yang hendak diterima untuk dibahaskan mestilah dikemukakan oleh seorang menteri dan disokong oleh seorang menteri lain.

Kes itu membuktikan betapa Umno sanggup mengenepikan kepentingan agama semata-mata demi menjaga imej dan maruah politiknya. Ia tidak bersedia untuk menerimapakai sebarang idea dan cadangan pihak pembangkang, lebih-lebih lagi sekiranya ia datang daripada PAS yang disifatkan sebagai ‘musuh tradisi’nya dalam meraih sokongan masyarakat Melayu-Islam.

Keegoan politik itu telah menyebabkan Umno buta mata hati dan gagal membuat pertimbangan yang sewajarnya, walau pun apa yang dikemukakan PAS itu membabitkan soal menjaga kesucian aqidah dan kepercayaan umat Islam.

Sebab itu jika ada pemimpin Umno mendakwa mereka memperjuangkan kedaulatan Islam, rakyat jangan sesekali percaya. Malah jika dalam keadaan tertentu apabila dilihat mampu meraih markah politik, kerap juga pemimpin Umno mengatakan mereka tidak mementingkan soal fahaman politik.

Lebih-lebih lagi apabila keadaan memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak, Umno akan cuba melupakan rakyat tentang sikap dan pendiriannya selama ini yang amat berpilih kasih dalam melayan pihak yang tidak sealiran dengannya.

Seruan agar tidak mengutamakan sentimen atau fahaman politik hanya dikumandangkan Umno sebagai usaha mewujudkan persepsi kononnya parti lawan yang berperangai sedemikian. Sedangkan yang sebenarnya paling kuat beramal dengan sikap dan pendirian tidak demokratik itu adalah tidak lain daripada Umno sendiri.

Hari ini wajah dan suara hipokrasi itu menjelma semula di celah-celah kehangatan perbahasan mengenai isu murtad. Kesedaran masyarakat umum mengenai bahaya gejala kemurtadan umat Islam diulangsuara pelbagai pihak.

Media-media arus perdana yang diketahui menjadi talibarut Umno juga tidak melepaskan peluang. Ia bukan setakat menyuarakan sokongan terhadap harapan dan desakan khalayak yang cintakan kesucian agama Islam, malah secara terancang cuba menggambarkan betapa kerajaan dipimpin Umno juga mendukung hasrat serupa.

Justeru, suara-suara agar umat Islam bersatu mempertahankan kesucian aqidah dan mendepani pihak-pihak yang cuba menceroboh kepercayaan mereka kembali berkumandang. Sepertimana lazimnya, ia turut diiringi desakan dan cabaran keras kepada para pemimpin politik agar mengenepikan sentimen kepartian dan mengutamakan kepentingan agama.

Bahawa dalam menangani isu sebesar dan sepenting gejala murtad ini, para pemimpin Islam tidak sepatutnya terus bertelagah. Sebaliknya, mereka diseru meninggalkan perbalahan politik buat seketika untuk sama-sama mendukung agenda menyelamatkan agama.

Oleh kerana suara itu datang daripada pihak-pihak yang ada kecenderungan sangat jelas kepada parti pemerintah, walau atas apa jua nama pertubuhan yang mereka wakili, maka ia turut diiringi persepsi bahawa pihak yang paling dimaksudkan dalam seruan itu ialah para pemimpin politik beragama Islam dari pihak pembangkang.

Kononnya yang paling kuat berpegang kepada sentimen parti ialah pemimpin dan pengikut pembangkang. Sedangkan yang terbukti tidak simpatetik terhadap perjuangan pihak ketiga mempertahankan Islam selama ini ialah parti yang menunjangi pemerintahan negara ini sendiri.

Masakan tidak jika pengalaman lepas diambil kira. Usah disebut soal kelemahan pentadbiran agama yang acapkali dipertuturkan masyarakat. Tidak payah diperkatakan soal kegagalan kerajaan mengurustadbir wang zakat yang sebegitu banyak untuk menjamin kebajikan golongan kurang berkemampuan sebagai usaha membentengi mereka daripada dakyah agama lain.

Keadaan yang berlaku malah jauh lebih mendukacitakan. Umno bukan sahaja tidak bersedia mengakui kelemahan dan ketidakupayaannya menjaga kedaulatan Islam menerusi kuasa dimilikinya dalam pemerintahan, ia malah tidak bersedia memberi laluan kepada penambahbaikan pentadbiran agama. Ambil saja contoh bagaimana Umno menolak mentah-mentah sebarang usaha menggubal undang-undang berkaitan murtad tadi, hanya semata-mata kerana ia dikemukakan pemimpin pembangkang.

Usaha serupa bukan sekali, bukan dua kali dilakukan PAS. Tuan Guru Abdul Hadi mengulangi cubaan serupa pada penghujung 1999 setelah gagal lebih enam tahun sebelumnya. Malangnya cubaan beliau kali kedua itu juga tidak diberikan layanan lebih baik.

Ia kemudiannya diikuti Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub pada 2006. Ketika itu perbahasan isu murtad sangat hangat, terutama apabila ia dikaitkan dengan kebebasan beragama diperuntukkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Usaha-usaha pihak tertentu mewujudkan justifikasi tindakan mereka mengembangkan agama mereka di kalangan umat Islam, beserta beberapa kes melibatkan wanita Islam menukar agama secara terbuka kepada agama lain, meletakkan negara dalam polemik agama agak panas ketika itu.

Ada konvensyen dianjurkan pihak berkuasa agama negara khusus membincangkan tajuk kebebasan beragama dan isu murtad. Para ilmuan Islam dan ahli akademik masing-masing membentangkan kebimbangan mengenai isu diperbahaskan. Para mufti turut bersuara agar diwujudkan undang-undang menangani gejala merosakkan aqidah umat Islam itu.

Pada tahun itu juga Front Bertindak Anti Murtad (Forkad) ditubuhkan. Di tahun sama, Himpunan Sejuta Umat Islam Mempertahankan Aqidah dan Kesucian Islam dilangsungkan. Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi lokasi himpunan itu menyaksikan kehadiran amat membanggakan.

Suasana sebegitu tegang dengan kemarahan umat Islam berada di kemuncak ketika itu sepatutnya sudah lebih dari cukup untuk negara kita menghasilkan suatu undang-undang menjamin aqidah umat Islam. Sepatutnya segala desakan para ulama, mufti, pertubuhan bukan kerajaan berkepentingan Islam dan khalayak umum agar kerajaan berbuat sesuatu bagi membendung gejala itu berterusan sudah memadai untuk kita melihat wujudnya kini undang-undang dimaksudkan itu.

Namun segala harapan itu bagikan fatamorgana. Dari jauh ia dilihat amat meyakinkan, tetapi apabila tiba semakin hampir kepada realiti, ia sebenarnya hanyalah khayalan.

Kini isu murtad kembali mendapat perhatian umum. Himpunan Sejuta Umat Islam juga bakal diadakan buat kali kedua. Sepertimana siri pertama, ia juga dilaungkan sebagai himpunan tanpa sentimen politik. Ia untuk semua jiwa dan insan beragama Islam. Ia semata-mata di atas agenda mempertahankan aqidah dan melawan pencerobohan kepercayaan umat Islam.

Betul, ia tidak perlu melibatkan politik untuk memaut sokongan dan kehadiran semua pihak. Namun apakah kita hanya mahu kehadiran yang ramai sebagai penghujung agenda perjuangan? Apakah kita tidak mahu mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu, bahawa sebarang usaha sebegitu keras tidak akan mencapai hasil maksud tanpa campurtangan politik?

Di atas permis ia perhimpunan tanpa sentimen politik, himpunan itu nanti mungkin boleh memaut kehadiran yang besar. Tetapi tempik sorak, laungan takbir menyerakkan anak tekak dan gulungan resolusi menyendatkan fail tidak membuahkan hasil maksud apabila ia sewenang-wenangnya ditolak atau disepikan begitu sahaja oleh penguasa politik.

Pengalaman lalu sepatutnya mengajar umat Islam negara ini bahawa hanya dengan dokongan politik sesuatu usaha itu mudah direalisasikan. Untuk itu rakyat yang cintakan kesucian aqidah dan sayangkan kedaulatan Islam perlu tahu kepada siapa wajar mereka serahkan sokongan dan kuasa pemerintahan.

Begitu juga, setiap jiwa yang lantang memperjuangkan wujudnya undnag-undang berkaitan murtad ini, terutama dari kalangan penyokong tegar Umno seharusnya berhenti daripada terus memberikan kepercayaan kepada parti itu. Akuilah hakikat bahawa Umno bukannya pihak terbaik untuk diharap menyelesaikan permasalahan dihadapi umat Islam.

Bahkan, mengambilkira pengalaman lalu, rasanya para pemimpin Umno pun tersangat malu untuk menyokong sebarang usaha mewujudkan akta berkenaan. Jika tidak kerana keegoan politiknya yang terlampau mengutamakan sentiment kepartian, sudah lama akta tersebut menjadi realiti.

Justeru, mujur benarlah jika kali ini pemimpin Umno menyokong wujudnya undang-undang murtad!

(Artikel ini disiarkan laman www.harakahdaily.net 15 Oktober 2011 di ruangan 'Pendapat & Analisis'. ia turut dipetik laman www.detikdaily.net pada hari sama untuk ruangan 'Penulis Tamu')

Tuesday, October 11, 2011

Apa ertinya jadi penyokong PAS?


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Dalam ucapannya kepada wakil-wakil rakyat PAS Kelantan yang baru memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) 1964, Almarhum Prof. Zulkiflee Muhammad secara serius menerjah mereka mengenai soal kesungguhan menunaikan tanggungjawab masing-masing. Ucapan amat bernas dan berpandangan jauh itu kemudiannya menjadi wasiat amat bermakna buat para pejuang Islam sepanjang zaman.

Ia dianggap sebagai ‘Amanat Terakhir’ beliau selaku Timbalan Yang Dipertua Agung (kini Presiden) PAS memandangkan itulah ucapan terakhirnya sebelum maut dalam nahas jalan raya dekat Kuantan dalam perjalanan pulang ke Kuala Kangsar, Perak selepas itu.

Antara aspek ditekankan Almarhum dalam wasiatnya itu ialah peri pentingnya setiap wakil rakyat PAS memahami tugas dan kedudukan mereka. Beliau menghuraikan tugas itu di beberapa bahagian ucapannya.

Antara katanya, “perlu kita kenali diri kita pada hari ini, bahawa kita ini telah dipilih oleh rakyat. Rakyat (Kelantan) yang sayang kepada kita (PAS). Rakyat yang sanggup mengenepikan janji-janji Kerajaan Perikatan hendak mencurahkan nikmat-nikmat besar kepada negeri mereka, kerana kita memberitahu mereka bahawa kita ini hendak menjalankan hukum-hukum Tuhan. Bahawa kita ini hendak menyelamatkan hidup mereka di dunia dan di akhirat. Marilah kita hormati rakyat ...”.

Sepintas lalu sahaja pun, petikan ucapan Almarhum itu mengesahkan kita beberapa fakta. Pertama, bahawa soal melaksanakan hukum Islam bukan agenda baru bagi PAS. Ia telah menjadi matlamat perjuangan parti itu sedari awal penubuhannya dan telah lama dikumandangkan.

Justeru amat tidak tepat jika ada yang mempersoalkan kenapa baru sekarang PAS bercakap mengenai isu itu. Malah amat menyalahi fakta sejarah sekiranya masih ada yang mendakwa PAS sengaja menimbulkan isu pelaksanaan hukum Tuhan semata-mata demi menghadapi pilihan raya.

Kedua, bahawa rakyat yang memilih PAS (khususnya yang memilih untuk mengekalkan pemerintahan PAS di Kelantan) menyokong PAS semata-mata kerana janji melaksanakan hukum Tuhan. Mereka telah membuktikan kesungguhan untuk itu sehingga sanggup mengenepikan janji-janji pembangunan dan tawaran kebendaan oleh Perikatan yang menguasai Kerajaan Pusat.

Keadaan yang digambarkan Almarhum Prof. Zulkiflee hampir lima dekad lalu itu tidak ada bezanya dengan hakikat politik kini. PAS masih berdepan halangan dan ancaman serupa. Walau pun Perikatan bertukar nama kepada Barisan Nasional (BN) dan para pemimpin serta pengikutnya berubah watak, namun ideologi dan pendekatan politik mereka tetap sama.

BN meneruskan tabiat menawarkan limpahan pembangunan dan janji kebendaan sebagai lawan kepada janji PAS menegak dan melaksanakan hukum Islam. Justeru, apabila rakyat masih memilih untuk menyokong PAS, bererti mereka kekal dengan sikap sepertimana digambarkan Almarhum dulu, iaitu sanggup mengenepikan janji-janji kebendaan demi melihat Islam ditegakkan.

Ketiga, bahawa menjadi tugas dan tanggungjawab wakil-wakil rakyat PAS dan kerajaan negeri dipimpin parti itu untuk menghormati pilihan rakyat. Bahawa tugas utama mereka ialah menyempurnakan hasrat rakyat yang memilih mereka, iaitu untuk melihat hukum-hukum Tuhan dilaksanakan di negeri mereka.

Sekalung tahniah buat pucuk pimpinan PAS, khususnya Musrsyidul Am merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abduk Aziz Nik Mat yang terbukti amat menghayati fakta sejarah ini. Mereka benar-benar faham maksud sokongan dan pilihan rakyat terhadap parti itu menerusi saban pilihan raya.

Dengan ketegasan PAS meneruskan hasrat mendaulatkan hukum Islam, termasuk hudud dan qisas, parti itu terbukti tidak mensia-siakan kepercayaan diberikan oleh rakyat. Rakyat yang telah memilih untuk menolak janji-janji pembangunan oleh BN itu tahu dan sedar bahawa PAS hanya menawarkan Islam sebagai alternatif kepada mereka.

Justeru, sebarang usaha dan tindakan PAS melaksanakan hukum Islam tidak sepatutnya dipertikaikan mana-mana pihak. Parti itu hanya merai dan menghormati kehendak dan keputusan rakyat yang memilihnya sebagai pemerintah.

PAS perlu bertanggungjawab kepada pengundi dan rakyat yang telah sepakat memilih mereka menerajui kerajaan. Tentu sekali rakyat dan pengundi itu mahu melihat para pemimpin yang mereka pilih mengotakan janji-janji mereka lewat mainfesto parti, terutama hasrat menegakkan sebuah pemerintahan berasaskan al-Quran dan as-Sunnah sepertimana dipahat sekian lama di dalam undang-undang tubuh parti itu.

Rakyat telah memilih PAS secara sah menerusi lunas demokrasi. Mereka telah menyatakan pendirian dan sokongan mereka sejajar dengan hak dan kebebasan yang dijamin Perlembagaan negara.

Inilah hakikat yang sepatutnya tidak terlalu sukar difahami oleh setiap individu yang berpelajaran. Lebih-lebih lagi mereka yang amat menjunjung amalan demokrasi dan mendakwa perjuangan partinya sangat demokratik. Mereka perlu akui bahawa menjadi hak dan kebebasan buat PAS untuk melaksanakan agenda perjuangannya setelah parti itu diberi kepercayaan oleh rakyat.

Semua pihak sepatutnya akur dengan hakikat ini. Justeru tidak sepatutnya kedengaran lagi suara-suara sumbang mempertikai atau membantah sebarang usaha PAS meneruskan agenda memartabatkan Islam sekiranya diberi peluang memerintah. Lebih tidak sayugia lagi andainya suara sedemikian datangnya daripada kelompok yang dikenali sebagai penyokong PAS sendiri.

Dalam sistem politik demokrasi setiap individu berhak dan bebas memilih sama ada untuk menyertai politik atau tidak. Bagi yang mahu terlibat, dia bebas untuk sama ada bergiat secara aktif, separa aktif atau sebarang tahap penglibatan dikehendakinya.

Dia bebas memilih untuk menyokong mana-mana parti politik disukainya. Dia juga bebas untuk tidak menyokong atau menarik balik sokongan kepada mana-mana parti yang dirasakan tidak bersesuaian dengan dirinya.

Namun kebebasan itu ada batasnya. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya menghujah di atas dasar kebebasan hingga ke peringkat memaksa mana-mana parti disokongnya agar berubah mengikut selera dan aspirasi dirinya.

Setiap parti atau organisasi mempunyai dasar, matlamat, halatuju dan aspirasi perjuangan tersendiri. Kesemua unsur dan rukun perjuangan itu selalunya tersemat kukuh menerusi undang-undang tubuh organisasi terbabit. Ia juga dipamer dan dicanangkan sebagai identiti organisasi itu sedari awal kewujudannya.

Sebagai salah sebuah organisasi politik paling tua dalam negara, PAS juga tidak terkecuali memiliki unsur dan rukun dimaksudkan. Ia wujud sedari awal penubuhannya dan tersenarai di dalam Perlembagaan parti. Ia juga disebar luas menerusi segenap saluran penerangan parti, terutama lewat ucapan dan amanat para pemimpinnya sejak dulu.

Kewujudan PAS adalah atas asas menegakkan Islam dan PAS tidak boleh hidup tanpa dasar itu.  Itulah pegangan PAS sejak dulu dan sepatutnya difahami secara jelas oleh setiap individu yang memilih untuk menjadi penyokong PAS.

Sebab itu agak membingungkan dan amat tidak munasabah apabila pemimpin sayap penyokong PAS sendiri tampil membantah hasrat parti itu menyempurnakan agenda perjuangannya. Bahkan suara itu sampai ke peringkat mengugut meninggalkan parti itu sekiranya meneruskan hasrat melaksanakan hukum Tuhan.

Apakah perkembangan ini bermaksud PAS sebenarnya masih berdepan masalah memahamkan penyokong bukan Islamnya mengenai apa yang sebenarnya parti itu tawarkan kepada mereka?

Maaf cakap, dalam beberapa keadaan sayap penyokong PAS lebih menyerlah sebagai pendesak agar PAS berubah menjadi parti yang sealiran dengan aspirasi mereka. Mereka kelihatan belum berupaya meraikan PAS sebagai sebuah parti yang ada dasar dan fahaman perjuangan tersendiri.

Suatu ketika dulu slogan “PAS Untuk Semua” diutarakan parti itu pernah disalahtafsir para penyokong bukan Islamnya sendiri. Mereka menafsirkannya secara literal bagi memenuhi maksud bahawa PAS sepatutnya tampil dengan imej yang dapat diterima semua pihak. Ia termasuk tidak menampilkan imej dan suara Islam, terutama dalam keadaan tertentu bila mana penyokong bukan Islamnya tidak selesa.

Pernah beberapa kali kenyataan pemimpin tertinggi PAS menyentuh bukan Islam dibantah secara terbuka oleh pemimpin sayap penyokongnya. Lebih mengecewakan apabila mereka sanggup mengungkit-ungkit agar PAS mengenang jasa dan budi pengundi bukan Islam yang memenangkan sebilangan calon parti itu dalam pilihan raya lalu. 

Apakah undi dan sokongan yang mereka berikan kepada PAS melayakkan mereka menuntut dan mengugut parti itu? Adakah itu erti menjadi penyokong PAS yang mereka fahami dan pegangi?

Sepatutnya kesediaan mereka menyokong PAS berasaskan kefahaman tentang apa itu PAS dan menerima segala dasar perjuangannya seadanya. Bahkan, lebih diharapkan lagi, mereka sepatutnya memainkan peranan penting dan proaktif memahamkan masyarakat luar PAS, khususnya yang bukan Islam mengenai kebaikan dan kemuliaan perjuangan parti itu. Mereka sepatutnya menjadi agen penerangan dan pemujuk rakyat menyokong PAS.

Malangnya dalam beberapa isu sebelum ini, dan turut menyerlah dalam isu pelaksanaan hudud mutakhir ini, sayap penyokong PAS dari kalangan bukan Islam seakan mengalih peranan kepada mempertikaikan dasar dan tindakan diputuskan PAS.

Kekeliruan ini wajib segera diperbetulkan. Mereka perlu diperjelaskan mengenai peranan selaku penyokong PAS. Jangan sampai nanti musuh mentertawakan kita dan secara sinis menyebut sayap penyokong kita lebih layak digelar “Dewan Himpunan Pembangkang PAS”!

(Artikel ini dihantar untuk siaran laman HarakahDAILY 11 Oktober 2011. Bagaimana pun, di atas seba-sebab tertentu ia tidak disiarkan)

Monday, October 3, 2011

Separuh rakyat Malaysia keturunan penzina?

Oleh: Mohd Nasir Awang

Agaknya tidak ramai yang membaca pendedahan fakta amat memalukan berhubung tahap kebobrokan akhlak remaja kini oleh sebuah tabloid harian pada Sabtu, 1 Oktober. Mungkin juga di kalangan yang terbaca paparan itu pula tidak lagi menganggapnya suatu yang besar atau mengejutkan. Justeru, tidak ada yang peduli jika pun isu sebegitu serius tidak diperpanjangkan perbincangannya.

Laporan dimaksudkan itu mendakwa setiap tiga daripada enam remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini mempunyai rekod hubungan seks luar nikah. Disebutkan antara faktor utama mendorong perbuatan sundal itu ialah perasaan ingin mencuba, terutama sebagai akibat langsung daripada menonton video lucah.

Namun fakta lebih mendukacitakan ialah apabila dikatakan kebanyakan remaja terbabit adalah lulusan universiti, tidak terkecuali yang memiliki PhD. Ertinya, ia bukan hanya dilakukan kalangan remaja liar dan tidak berpelajaran, tetapi turut melibatkan mereka yang memiliki pencapaian akademik agak memuaskan.

Laporan itu memetik hasil Kajian Isu Pembuangan Bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada September hingga November 2010. Ia melibatkan seramai 5,016 responden yang dipilih secara rawak, terdiri daripada 2,457 orang atau 49 peratus remaja lelaki, manakala 2,559 atau 51 peratus responden adalah perempuan.

Di antara dapatan kajian itu, seramai 2,260 responden mengakui terbabit seks bebas. Manakala 1,922 daripada mereka mengetahui rakan mereka mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah.

“Berdasarkan kaji selidik itu juga, sebanyak 52 peratus (2,608) menyatakan rakan mereka melakukan seks sebelum berkahwin dan 76 peratus (3,812) lagi mempunyai rakan pernah menonton video serta memiliki bahan lucah,” laporan itu memetik kata Ketua Pegawai Operasi IPPBM, Zakariah Md Sam.

Sangat membimbangkan kita apabila masyarakat seakan tidak lagi sensitif dengan fakta amat menggerunkan mengenai tahap kebobrokan akhlak remaja kini. Lontaran fakta itu tidak disambut mana-mana media.

Bahkan tabloid yang bertanggungjawab mendedahkannya pun mengambil sikap sekadar melaporkan, seolah-olah hanya untuk mengisi tiga suku mukasuratnya untuk hari itu sahaja. Sedangkan ia diletakkan di bawah kategori laporan ‘EKSKLUSIF’, yang pada kebiasaannya mengundang pelbagai reaksi dan ulasan.

Namun dalam kes ini tiada laporan atau tinjauan susulan dibuat tabloid itu sendiri. Tiada pihak, sama ada aktivis sosial atau warga prihatin yang disorot pandangan dan reaksi mereka. Tidak sepertimana ghairahnya media arus perdana memanjangkan isu filem dan drama tema hantu dan seram yang didakwa berunsur tahyul dan tidak mendidik masyarakat.

Media juga di masa sama masih berselera menghidupkan isu hudud. Atas sebab sangat nyata, ia bermaksud mencari keuntungan politik buat parti pemerintah dan di masa sama menjerumuskan parti-parti pembangkang ke kancah pertikaian lebih buruk.

Namun secebis fakta mengenai akhlak remaja kita itu, walau pun tidak begitu menarik  minat masyarakat (atau sebenarnya sengaja tidak mahu diperpanjangkan media arus perdana?), sebenarnya turut mempunyai hubungkait dengan isu hudud yang digemariuhkan itu.

Lebih-lebih lagi jika kita melihat hukum hudud dan lain-lain cabang hukum Islam itu sebagai salah satu mekanisme dikemukakan Islam untuk menyedar dan mendidik masyarakat dalam ertikata yang lebih luas dan menyeluruh. Bukankah itu yang dapat kita fahami dari firman Allah dan sabda Junjungan s.a.w. tatkala menghuraikan fungsi dan maksud hukum-hukum syariat?

Justeru, amat kena pada masa tatkala khalayak penguasan politik sedang ghairah memperkecil dan memperlekeh usaha mendaulatkan hukum Islam, tiba-tiba fakta kesumbangan akhlak remaja tadi didedahkan.

Sebabnya, pendedahan itu juga menyeret pertikaian terhadap tahap kecemerlangan dan keberkesanan sistem pendidikan negara. Bahawa ia hanya mampu melahirkan insan yang cemerlang akademik, tetapi sangat bobrok akhlak dan jelik keperibadian mereka.

Apa tidaknya apabila kajian tadi mengesahkan 76 peratus daripada yang mengakui terlibat dengan gejala memalukan itu adalah pemegang ijazah, diploma serta PhD?

Justeru, memang tepat sergahan dilontarkan Zakariah, “... jadi bila mereka ini sudah terbabit dengan isu moral, bagaimana golongan ini mampu dijadikan teladan kepada belia lain yang memandang tinggi status mereka sebagai orang yang berpendidikan tinggi”.

Kebetulan pula laporan itu diterbitkan  pada hari sama Perdana Menteri membuat kenyataan mendakwa sistem pendidikan negara kita adalah yang terbaik, malah lebih baik daripada sistem diamalkan beberapa negara maju.

Sudah tentu dengan terdedahnya dapatan kajian tadi, dakwaan Dato’ Seri Najib Razak itu dengan sendirinya layak dipersoalkan. Kajian IPPBM itu tidak menyokong dakwaan beliau itu. Apakah kita tergamak berbangga dan mendakwa sistem pendidikan kita terbaik sekiranya separuh produk dihasilkannya terbabit seks bebas?

Apa gunanya mereka berjaya dan cerdik tetapi tidak tahu di mana letaknya dosa-pahala? Berbanggakah kita dapat menghasilkan ramai cerdik-pandai atau anak-cucu yang sangat cemerlang akademik mereka, sedangkan di masa sama mereka amat bobrok akhlak dan tingkahlaku?

Tidak dinafikan sistem pendidikan sedia ada telah berjaya menghasilkan ramai cerdik pandai, cendikiawan pelbagai bidang dan jurusan. Kita tidak kurang peguam dan pakar undang-undang, tetapi tidak sedikit antara mereka menggunakan pengetahuan luas dalam perundangan untuk memutarbelit fakta dan menukar harta orang menjadi miliknya.

Kita ada berbangga memiliki anak bangsa bergelar doktor, tetapi antara mereka juga ada yang aktif merosakkan generasi muda dengan sindiket penjualan ubat batuk dan seumpamanya.

Apa guna kita ada pakar sejarah, tetapi cenderung memberikan gambaran positif dan memuji kaum penjajah? Apa guna kita ada penggiat ekonomi yang dianggap berjaya dan kononnya membanggakan kaum bimputera, sedangkan hampir setiap langkah mereka menyempurnakan kerja diiringi ‘duit kopi’ atau ‘tumbuk rusuk’?

Pernah disiarkan media sebelum ini mengenai tinjauan terhadap sikap penuntut universiti tempatan berhubung isu rasuah. Bayangkan antara mereka secara terus terang mengakui tidak ada masalah untuk melakukan perbuatan merosakkan itu sekiranya keadaan menghendaki mereka berbuat demikian.

Tinjauan juga pernah dibuat di kalangan penuntut perempuan nmengenai kemungkinan mendapat pasangan lelaki berusia. Sebahagian tidak sedikit antara mereka menyatakan tidak kisah bersuamikan orang tua, asalkan orang itu kaya dan dapat menjamin keperluan kewangan mereka.

Dua kes ini menunjukkan fokus pemikiran penuntut universiti kita sudah terarah kepada mencari dan menjamin kepentingan kebendaan. Soal moral dan nilai positif masyarakat nampaknya sudah tiada dalam perkiraan mereka.

Itu belum lagi kita sebut soal adab sopan dalam tuturkata dan perlakuan mereka, terutama di khalayak awam. Tidak ada rasa hormat terhadap orang tua, bercakap lucah dan kotor. Berkelakuan tidak senonoh, berpakaian macam orang tidak bertamadun dan berbagai lagi perlakuan memualkan.

Lebih teruk lagi, mereka bukan sahaja biadab terhadap sesama manusia, malah tidak kesah untuk berlaku biadab terhadap suruhan dan larangan Tuhan. Apatah lagi mereka membesar dalam suasana sekalian pembesar dan orang terhormat dalam masyarakat bercakap mempertikaikan kewibawaan hukum Tuhan. Segenap saluran media massa pula memberikan gambaran positif terhadap kenyataan dan pendirian sedemikian.

Sebagai kelompok yang banyak membuat keputusan dalam hidup berpandukan perkiraan logik akal, golongan remaja ini terdorong berfikir lebih jauh. Terlintas di fikiran mereka, jika para pemimpin yang berkuasa mengatakan hukum Islam yang datang dari Tuhan itu tidak sesuai dilaksanakan di zaman ini, bermakna Tuhan yang menciptakan hukum itu juga tidak sesuai disembah dan diagungkan.

Lebih meyakinkan lagi mereka ini apabila kenyataan para pemimpin yang kurang asas ilmu agama itu diperakui atau tidak langsung dibantah oleh sebilangan para ulama dan mereka yang dikenali sebagai cendikiawan Islam.

Lalu mereka ini membesar dan membentuk kematangan hidup dalam suasana tidak ada keyakinan terhadap hukum dan peraturan Tuhan. Apabila keagungan hukum suci itu pun sudah tidak dipahat di hati, maka apatah lagi hukum dan undang-undang ciptaan manusia?

Logiknya, jika hukum Tuhan pun mereka tidak rasa apa-apa untuk permainkan, maka apakah kita boleh harap mereka akan merasa gerun dan takut untuk melanggar hukum dan undang-undang manusia? Akibatnya, mereka tidak akan takut untuk rasuah, salahguna kuasa, menyeleweng wang syarikat atau pejabat, menipu dalam perniagaan dan berbagai perbuatan tidak bermoral.

Isu ini sebenanya sangat berkait rapat dengan agenda pembinaan generasi masa depan negara. Kita yang telah dewasa kini tidak akan mampu menongkat langit. Kita semakin menua dan dimamah usia. Kanak-kanak dan remaja hari ini lah bakal mengambil alih segala aktiviti penghidupan. Mereka lah yang akan mengisi segenap tahap penggerak masyarakat, bermula daripada pengikut dan pencacai bawahan sehingga ke pemimpin atasan.

Maka apakah dengan keperibadian remaja yang ada kini segala kemakmuran dan keamanan yang kita kecapi hari ini mampu dikekalkan hingga ke masa depan? Lebih membimbangkan lagi, apakah peribadi-peribadi yang berkemungkinan bakal mengambilalih kepimpinan masyarakat sebegitu dapat kita harapkan untuk menjaga agama di masa depan?

Timbunan kes-kes salah laku sosial, jenayah berat dan keganasan seksual membabitkan remaja yang terhidang di media saban hari kebelakangan sebenarnya mengisyaratkan hakikat amat menakutkan tentang masa depan negara.

Berbalik kepada hasil kajian IPPBM tadi, jika kecenderungan itu dibiarkan berterusan, dan peratusan mereka yang terlibat dengan seks bebas di kalangan generasi akan datang kekal melebihi 50 peratus, maka dapat kita congak apa hakikat yang bakal dihadapi negara kita 30 atau 40 tahun nanti.

Tatkala para remaja yang separuh mereka terdiri daripada bekasan penzina ini menjadi warga paling tua dalam masyarakat, dan tabiat buruk mereka turut sama dilalui ibubapa segenap lapisan umur selepas mereka, maka sudah tentu ketika itu kesemua yang bergelar anak atau cucu kepada mereka adalah beribubapa atau berdatuk-nenekkkan manusia yang ada rekod akviti seks luar nikah.

Alangkah malunya muka dan walangnya hati apabila dikatakan pada ketika itu separuh daripada jumlah rakyat Malaysia adalah dari keturunan bekas penzina! Mohon dijauhkan Allah dari hakikat itu.

Justeru, mengapa tidak kita beri peluang kepada hukum Islam memperbetulkan keadaan dan menyelamatkan negara dari kemungkinan menakutkan itu?

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily edisi Selasa, 4 Oktober 2011 di ruangan 'Pendapat & Analisis' dengan tajuk sama. Ia kemudiannya turut dipetik beberapa laman lain termasuk www.blogged.my/pingbar; www.kl-today.com/; mzubairafandi.blogspot.com/ dan wargamarhaen.blogspot.com/. Laman www.informasi.my/ memuatnya kembali pada 19 Disember 2011 diikuti www.gilerkentang.com/ pada 20 Disember 2011)