Tuesday, August 15, 2000

Haji Abu Bakar bin Abdullah



Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan

ABU Bakar bin Abdullah dilahirkan pada 29 Mei 1952 di Kampung Gemuroh, Tepoh, Kuala Terengganu, dalam sebuah keluarga yang kuat memperjuangkan Islam. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Gemuroh, tidak jauh dari rumahnya. Keadaan latar belakang keluarganya yang ‘kuat PAS’ itu memberikan advantage kepadanya untuk bergiat dengan PAS sedari ‘rebungnya’. Sejak berumur sembilan tahun lagi Abu Bakar telah menampakkan kesungguhannya menyertai gerak kerja dan program yang dianjurkan oleh parti.

Selepas tamat pengajian rendah, Abu Bakar menyambung pelajarannya ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Agama Tok Jiring, berhampiran Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu. Seterusnya beliau melanjutkan lagi pelajarannya di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, di Batu Burok, Kuala Terengganu. Pada tahun 1971 beliau masuk Kolej Islam Klang, Selangor selama dua tahun.

Tahun 1973, Abu Bakar menjadi mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Fakulti Pengajian Islam. Di situlah bakat kepimpinannya terserlah. Beliau terpilih menganggotai barisan Exco Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM, selama beberapa tahun. Dalam kesibukan hidup sebagai mahasiswa itu juga, Abu Bakar sempat mencuri masa mengambil bahagian yang aktif merancang penubuhan sebuah institusi pendidikan swasta di Terengganu.

Bersama-sama empat orang rakannya, iaitu Ustaz Abu Bakar bin Chik (sekarang Ahli
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu), Cikgu Abdul Rashid bin Omar (ketika itu masih tenaga pengajar di Maktab Adabi, Kelantan), Cikgu Safinah binti Jusoh (sekarang Senator) dan Cikgu Raja Hindun binti Raja Abdul Rahman, mereka menubuhkan Maahad Al-Ikhwan (Institut Berakan). Ia mula beroperasi secara tidak rasmi pada 20 September 1976, dan secara rasmi pada 16 Januari 1977.

Kesibukan berpersatuan dan merancang penubuhan Institut Berakan (IB) itu bagaimanapun tidak menjejaskan tumpuannya terhadap pelajaran. Pada tahun 1977 Abu Bakar berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah beserta Diploma Pendidikan di UKM.

Sekembalinya ke Terengganu, beliau terus menumpukan sepenuh perhatiannya ke arah membangunkan IB sebagai sebuah institusi pendidikan swasta yang mampu bersaing dengan lain-lain institusi yang telah established di Kuala Terengganu. Abu Bakar dilantik menjadi Pengetua merangkap Ketua Majlis Syura IB sedari awal penubuhannya.

Pada tahun yang sama, Ustaz Abu Bakar mendirikan rumahtangga. Alhamdulillah, kini beliau dan isteri dianugerahkan 13 orang cahaya mata, suatu pencapaian yang amat membanggakan dalam usaha meramaikan umat Nabi Muhammad s.a.w.

Ustaz Abu Bakar menyambung kembali pengajiannya di UKM pada tahun 1980, dalam jurusan Syariah Islam dan Undang-undang Malaysia. Beliau berjaya memperolehi Ijazah Sarjana dalam jurusan tersebut pada 1983. Tesisnya bertajuk “Ke arah Perlaksanaan Undang-undang Islam di Malaysia: Masalah dan Penyelesaiannya”, telah dibukukan pada tahun 1984.

Abu Bakar juga mengarang buku Panduan Pengurusan Jenazah, disamping aktif menulis di beberapa majalah dan akhbar tempatan. Pernah suatu ketika di sekitar tahun 80-an beliau menjadi Exco Pusat, Gabungan Penulis Islam Malaysia (Gapim) dan Ketua II Gapim Cawangan Terengganu.

Abu Bakar mengambil keputusan menyertai PAS secara rasmi pada tahun 1983, serentak dengan bermulanya era kepimpinan ulamak dalam PAS. Setahun kemudian beliau dilantik menjadi Setiausaha PAS Kawasan Kuala Nerus dan juga Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Tepoh. Beliau kekal memegang kedua-dua jawatan tersebut hingga kini.

Tugasnya dalam parti bertambah berat apabila pada tahun 1986 beliau dilantik pula memegang jawatan Setiausaha Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu. Jawatan itu juga kekal disandangnya hingga kini. Di tahun yang sama juga beliau terpilih sebagai AJK Dewan Pemuda PAS Pusat. Beliau bertahan di sana sehingga tahun 1991. Sewaktu berperanan di situlah beliau diamanahkan menjadi Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pusat.

PASTI adalah institusi pendidikan pra-sekolah yang ditubuhkan PAS untuk menyediakan pentarbiyahan awal bagi anak-anak ahli PAS, sebelum memasuki era persekolahan peringkat rendah.

Di bawah pentadbiran Ustaz Abu Bakar, PASTI berkembang di seluruh negara sebagai pra-sekolah yang cemerlang dan menjadi alternatif kepada Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika), Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) atau Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (Taski) yang dianjurkan oleh pihak-pihak lain. PASTI juga mula memiliki buku teksnya sendiri, bermula di zaman pentadbiran Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Dalam Pilihan Raya Umum 1986 Abu Bakar dipilih sebagai calon PAS untuk bertanding di kerusi DUN Tepoh. Lawannya ialah Datuk Haji Abdul Rashid bin Muhammad yang mewakili BN. Keputusan pilihan raya itu bagaimanapun memihak kepada calon BN. Abu Bakar tewas dengan majoriti 2,071 undi.

Pilihan Raya Umum 1990 sekali lagi menyaksikan Abu Bakar menghadapi calon BN di DUN yang sama. Lawannya kali ini ialah Abdullah @ Wahab bin Said. Sekalipun beliau tewas juga, tetapi majoriti yang dipungut calon BN telah merosot 50 peratus berbanding pilihan raya sebelumnya, iaitu tinggal hanya 1,042 undi.

Dalam Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu pada tahun 1991, Ustaz Abu Bakar telah dipilih menjadi ketua dewan tersebut. Jawatan itu bagaimanapun disandangnya sehingga 1992 sahaja, apabila beliau terpaksa melepaskannya sebagai mematuhi peraturan had umur.

Pilihan Raya Umum 1995 menjadi sejarah tersendiri buat Ustaz Abu Bakar apabila beliau terpilih sebagai ADUN Tepoh. Beliau yang berhadapan sekali lagi dengan Wahab, berjaya mengalahkan calon BN dengan majoriti 344 undi. Beliau memungut 5,079 undi, manakala Wahab mengutip 4,735 undi.

Berbekalkan kemenangan upset itu, Ustaz Abu Bakar mengorak langkah mempertingkatkan lagi khidmat masyarakat di kawasannya. Rekod khidmat yang cemerlang itu membuahkan hasil apabila dalam pilihan raya umum lalu beliau menang selesa ke atas pencabarnya, Hassan bin Ali daripada BN. Beliau mendapat 6,952 undi, berbanding Hassan yang hanya memperolehi 3,895 undi. Majoriti yang dicatat ialah 3,057 undi, sekaligus menjadikan DUN Tepoh sebagai salah satu kawasan paling teguh bagi PAS.

Pada 2 Disember 1999, Yang Berhormat Ustaz Haji Abu Bakar bin Abdullah telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan.


(Artikel ini adalah sebahagian daripada Bab 13, Bahagian C: Profil Pimpinan Terengganu, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment