Sunday, July 29, 2012

Semua kerusi di Besut ada potensi menang?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Sandaran utama PAS menyusun senarai kerusi-kerusi berpotensi dimenangi dalam pilihan raya ialah penilaian tahap kekuatan dan keupayaan parti di kawasan-kawasan terbabit. Salah satu kayu ukur kekuatan itu ialah jumlah undi diraih calon PAS dalam pilihan raya lepas berbanding undi diperolehi parti lawan. Makanya, yang menjadi perkiraan utama ialah majoriti kemenangan atau kekalahan di kerusi-kerusi dimaksudkan.

Difahamkan, itulah yang secara tradisinya menjadi antara asas penyenaraian kerusi-kerusi berdasarkan keutamaan letak kerja mencapai kemenangan dalam pilihan raya berikutnya. Berdasarkan kepada asas itu, maka menerajui kekuatan PAS Terengganu adalah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang disandang Dato’ Seri Tuan Guru Presiden sendiri. Beliau menewaskan calon BN dengan majoriti 2,686 undi.

Kerusi kedua terkuat ialah Wakaf Mempelam (menang 2,193 undi) disandang Pesuruhjaya PAS Negeri, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, diikuti Batu Burok (1,161) dan Sura (1,000).

Empat lagi kerusi dimenangi PAS mengikut susunatur kekuatannya ialah Manir (432), Bukit Tunggal (336), Bukit Payong (115) dan Ladang (31).

Setelah selesai menyenaraikan kerusi-kerusi dimenangi PAS, ia disambung pula dengan kerusi-kerusi dimenangi BN, tetapi mengikut susunan terbalik. Majoriti paling kecil melambangkan kekuataan BN paling rendah, sekaligus paling berpotensi dirampas oleh PAS.

Maka, menduduki tangga kesembilan selepas lapan kerusi milik PAS kini ialah Dun Paka yang dimenangi BN dengan majoriti hanya 344 undi. Ia diikuti Tepoh (430 undi), Teluk Pasu (462), Cukai (769), Rantau Abang (790) dan Alor Limbat (799).

Senarai keutamaan itu diteruskan di tangga ke-15 oleh Jabi (804), Pengkalan Berangan (930), Bandar (1,142) dan Batu Rakit (1,486). Itulah senarai 18 kerusi yang menjadi sasaran.

Jika diperhatikan, kerusi-kerusi disenaraikan itu telah mewakili hampir kesemua kawasan Parlimen, kecuali Besut. Setiu ada dua, Kuala Nerus (3), Kuala Terengganu (4), Hulu Terengganu (1), Marang (4), Dungun (3) dan Kemaman (1).

Ertinya, dalam menepati sasaran 18 kerusi itu, dua kawasan Parlimen diharapkan dapat mencapai ‘sapu bersih’, apabila keempat-empat kerusi Dun dikategorikan ‘mesti menang’.

Manakala empat kerusi yang diletakkan sebagai ‘bonus’ untuk memperkuatkan kemenangan ialah Kuala Berang (1,592), Kemasek (2118), Seberang Takir (2,430) dan Hulu Besut (2,453). Ertinya, jika berhasrat menang 22 kerusi, maka Parlimen Kuala Nerus juga dikategorikan sebagai sasaran ‘sapu bersih’.

“Itulah signifikannya PGU 4.0 ini. Ia sebenarnya patut dibaca ‘PAS Ganti Umno 4-0’, iaitu kita (PAS) menang keempat-empat kerusi, sapu bersih dalam beberapa Parlimen sasaran kita,” ulas Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Abdullah, dalam perbualannya dengan penulis berhubung Himpunan Hijau PGU 4.0 dianjurkan PAS di Marang baru-baru ini.

Senarai keutamaan kerusi-kerusi tadi boleh disambung hingga selesai kesemua 32 kerusi. Namun yang menjadi sasaran ialah sama ada 18 atau 20, atau mungkin 22 kerusi sahaja.

Dalam konteks Besut, kerusi terbaiknya mengikut penyusunan di atas hanya datang di tangga ke 22, iaitu Hulu Besut. Ia hanya di kategori ‘bonus’ dan bukannya ‘mesti menang’. Keutamaan itu diikuti Kuala Besut (2,631) pada tangga ke 25. Manakala, dua kerusi lagi, Jertih (3,046) dan Kota Putera (3332) masing-masing berada di tangga ke 26 dan 28.

“Memang kita akui senarai asalnya begitu (Hulu Besut dan Kuala Besut sebagai sasaran), tapi kami di PAS Kawasan (Besut) melihat beberapa faktor dan perkembangan lain. Memang, aci boleh kita nak menang belaka, kalau boleh Kuala Besut pun kita nak menangkan. Tapi kalau dikatakan dua kerusi terbaik, maka kita pilih Jertih, selain Hulu Besut”, kata Setiausaha PAS Kawasan Besut, Aminuddin Muhammad Ali.

Seraya memperakui kerusi Hulu Besut sebagai pilihan, beliau turut melontarkan beberapa sandaran memilih Jertih berbanding Kuala Besut. Antaranya, katanya pergolakan dalaman Umno paling ketara di Jertih, sehingga menyukarkan Umno bahagian menentukan lebih awal siapa akan diletakkan sebagai calon BN di situ. Kemelut itu semakin mengusut ekoran ura-ura pengunduran penyandangnya yang disebut-sebut bakal beralih angin ke kerusi Parlimen.

Turut disebutnya sebagai faktor mencerahkan potensi PAS di Jertih ialah hakikat keterbukaan minda pengundi di situ yang lebih terdedah kepada maklumat. Masyarakat Jertih agak ‘metro’ berbanding kawasan lain di Besut. Pendedahan mereka kepada lebih banyak maklumat sekaligus memberikan harapan berhubung kepekaan mereka terhadap angin perubahan politik yang melanda negara. Logiknya, pengundi yang lebih banyak terdedah kepada maklumat peringkat lebih atas (negeri dan nasional) akan lebih mudah untuk berubah.

Penulis sendiri cenderung bersetuju dengan Aminuddin di atas hujah keduanya ini. Di atas hujah sama, penulis tampil dengan senarai susunatur kerusi yang berbeza. Bagi penulis, satu lagi Dun memiliki ciri serupa dengan Jertih (pengundinya celik maklumat) dan berpotensi dimenangi ialah Kota Putera. Bahkan, ia jauh lebih berpotensi berubah berbanding Kuala Besut mahu pun Hulu Besut.

Ertinya, terdapat tiga senarai berbeza dari segi keutamaan atau pilihan kerusi untuk menang di Besut. Jika senarai asal (berdasarkan majoriti kekalahan) meletakkan Kuala Besut dan Hulu Besut, pihak PAS Kawasan kini pula (berdasarkan keyakinan Setiausahanya) memilih Jertih berbanding Kuala Besut, di samping mengekalkan Hulu Besut.

Manakala penulis sendiri pula, selaku pemerhati dari luar kepimpinan parti tetapi dari dalam masyarakat di daerah itu, telah menyatakan pandangan berbeza. Seraya mengekalkan Jertih sebagai pilihan, penulis lebih berminat mencagarkan Kota Putera berbanding Hulu Besut.

Dalam ertikata lain, keempat-empat kerusi Dun di Besut nampaknya ada sandaran hujah dan penilaian berbeza untuk didakwa sebagai berpotensi untuk dimenangi PAS. Menarik, bukan?

(Artikel ini adalah versi lebih panjang (sebelum potong) kepada versi disiarkan akhbar Harakah Bil: 1764, 30 Julai 2012 di ruangan N4 EDITORIAL dengan tajuk sama)

Wednesday, July 25, 2012

RM2,500 sekali ceramah? Uyyo... mana kami ada duit?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

“Tiga ratus rial (ringgit)? Tak banyak ke tu?”, terjah ketua sebuah cawangan PAS. Beliau lantas mencadangkan agar jumlah itu dikurangkan kepada hanya separuh (RM150), atau mungkin ditambah sedikit lagi menjadi RM200.

“Tak sampai hati lah nak bagi kat Abang Mat RM200 je. Penat-lelah dia mari jauh-jauh, minyak kereta lagi, belanja makan-minum dia pulak. Kalau ikutkan, RM300 tu pun tak cukup,” sanggah bendahari cawangan tersebut.

Agak berpanjangan juga kira bicara antara mereka dan beberapa yang lain di belakang pentas. Perkara dibahaskan itu ialah soal wang saguhati yang nak diberikan kepada penceramah utama dalam majlis yang sedang berlangsung di cawangan mereka malam itu.

“Alahh... dia mari jauh-jauh pun, bukan untuk ceramah kat kita setempat jah. Malam kelmarin di Kemaman, semalam (malam tadi) kat Tok Guru (di Rusila, Marang), malam esok katanya di Kubang Kerian. Tiga empat malam juga sekaligus... situ sikit, sini sikit (saguhati), jadi banyak la tu...”, bentak salah seorang petugas yang turut berada di situ, sekaligus cuba menjustifikasi angka saguhati RM200 dicadangkan sang ketua tadi.

Di atas pentas, penceramah dimaksudkan sedang menguasai malam itu. Kelantangan suaranya mengemukakan hujah dan fakta, diselang-seli dengan jenaka dan usikan, benar-benar menghidupkan majlis itu. Dari belakang dapat dilihat dengan jelas bajunya lencun dek kesungguhan memberi penerangan kepada hadirin.

Beliau tidak lain daripada Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu. Ya.. siapa tidak kenal personaliti yang lebih mesra dipanggil Abang Mat itu, penceramah tersohor dan malar segar. Beliau antara hanya segelintir pemimpin PAS yang mampu mengekalkan populariti di pentas ceramah menjangkau tiga dekad. Keupayaannya memukau pendengar dalam setiap kesempatan amat sukar ditandingi.

Sedari usia mudanya, bermula sebagai pendukung Dewan Pemuda PAS Pusat pertengahan 80-an, Abang Mat bagaikan tidak pernah ketinggalan mengambil bahagian sangat aktif memberi penerangan kepada masyarakat berkenaan perjuangan dan pendirian partinya. Apa jua isu melanda negara, bual bicara mengenainya tidak akan lengkap tanpa suara dan pandangan Abang Mat. Para peminat ceramah bagaikan tidak akan puas hati selagi tidak mendengar ulasan dan pidato beliau.

Beliau boleh dianggap penceramah paling top sepanjang zaman. Itu semua orang tahu dan rasanya tidak ada masalah bagi sesiapa pun untuk memperakui hakikat itu. Melainkan orang itu benar-benar “ada masalah” dengan Abang Mat.

Namun, yang tidak ramai orang mahu ambil tahu ialah soal pembiayaan perjalanan beliau ke sana ke mari. Boleh jadi mereka beranggapan itu bukan urusan mereka. Boleh jadi juga mereka sudah sedia maklum mengenai “nasib” atau tahap kemampuan parti mereka dalam hal itu.

Sebab itu, dalam tradisi PAS tidak pernah berlaku kes penceramah ambil kesempatan atas popularitinya untuk menentukan harga kemunculannya. Demi Allah, setakat yang penulis kenal Abang Mat dan beberapa pemidato hebat PAS, hal itu tidak berlaku, tidak pernah dan insya Allah tidak akan berlaku.

Jangan dikatakan untuk memastikan bayaran sejumlah ditetapkan, di ketika tertentu bilamana penganjur menghulurkan jumlah terlalu jauh dari mencukupi pun, amat sukar kedengaran sebarang rungutan daripada pihak beliau. Pejuang tulen seperti mereka terbukti tidak pernah meletakkan soal imbuhan sebagai syarat kehadiran beliau ke mana-mana tempat.

Penulis tidak bermaksud menyanjung peribadi pejuang itu secara berlebihan. Kerana, turut layak berkongsi penghargaan serupa, pada pandangan penulis ialah beberapa pejuang mustadhafin lain yang seangkatan dan senasib dengan Abang Mat. Antara mereka termasuklah Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Almarhum Ustaz Buniyamin Yaakob.

Kesemua mereka ini adalah penceramah bertaraf “A” dalam PAS. Tapi kesemua mereka juga penulis tahu ada cerita tersendiri mengenai kes-kes “memilukan”. Contohnya, antara mereka ada yang berbekalkan hanya beberapa ringgit menempuh perjalanan beratus batu semata-mata untuk memenuhi undangan daripada ahli PAS.

Mereka tetap hadir, walau pun tidak ada sebarang jaminan akan diberikan saguhati berbaloi atau sekurang-kurangnya berpadanan dengan kepenatan, keluangan masa dan seumpamanya. Sedangkan mereka adalah penceramah sepenuh masa, dan tidak ada masa terluang lagi untuk melakukan kerja lain untuk kehidupan mereka.

Itulah keadaan menimpa mereka, sekurang-kurangnya untuk belasan tahun, sehingga mereka dianugerahkan kemenangan dalam pilihan raya. Lalu ada yang memikirkan mereka tidak perlu lagi diberikan saguhati perjalanan. Sedangkan elaun wakil rakyat bukan alasan untuk mereka tidak berhak mendapat bayaran saguhati. Biarkanlah elaun itu digunakan untuk kepentingan rakyat yang mereka wakili.

Mendetailkan kes yang berlaku ke atas Abang Mat dan lain-lain itu hanyalah sebagai kes kajian untuk dijadikan contoh. Mudah-mudahan imbauan semula apa yang berlaku ke atas mereka itu memudahkan mereka yang belum faham, memahami keperitan perjuangan PAS. Bahawa parti ini adalah parti yang miskin, parti mustadhafin, yang bergerak sepenuhnya di atas pembiayaan poket-poket ahlinya.

Bahawa soal kewangan amat sensitif dan dititikberatkan dalam PAS. Ibarat kata orang Amerika, “they watch every dime” (mereka meneliti setiap puluh sen) dalam membelanjakan duit parti. Berjimat-cermat adalah tradisi. Berlebihan dalam perbelanjaan adalah perkara yang mesti dielakkan. Jauh sekali untuk membazir.

Sebab itu soal pemberian saguhati kepada penceramah sering menjadi perkara yang diambil beratkan. Apatah lagi kesempatan mengadakan majlis ceramah bertaraf “A” di peringkat cawangan atau kawasan hanya sekali-sekala. Di situlah menjadi antara punca pendapatan utama untuk sesebuah cawangan atau kawasan.

Maka, sekiranya “terlalu banyak” bahagian daripada hasil kutipan dihabiskan untuk belanja “duit minyak” penceramah, ia suatu yang tidak menyenangkan mereka dan sebolehnya cuba dielakkan. Malangnya, itulah yang mula kedengaran mutakhir ini.

“RM2,500 sekali ceramah? Uyyoo... tak mampu lah kami. Nak cari mana duit sebanyak tu? Kalau orang (pendengar) mari 10 ribu pun, belum tentu boleh kutip RM3,000. Belanja lain-lain macamana?”, rengus seorang ketua cawangan yang ditawarkan kehadiran seorang pendatang baru di pentas PAS.

Yang lain pula sempat menambah, “Tu (RM2,500) kalau bagi Mat Sabu RM500 sekali ceramah pun, boleh dah buat panggil lima kali dia mari ceramah...”

Sebab itu penulis tertarik dengan secebis ingatan dari Pak Samad Said kepada pelbagai pihak yang menyertai PAS mutakhir ini. Katanya, “saya senang bahawa apa juga tindakan itu harus jujur, harus tulus, harus ikhlas. Itu asasnya”.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil: 1763, 27 Julai 2012 di ruangan 'KOLUMNIS' F22, dengan tajuk serupa. Versi dicetak itu turut dipetik laman http://www.detikdaily.net/ pada 29 Julai)

Sunday, July 22, 2012

Besut komited sumbang kerusi menangkan Terengganu


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Bagai diduga, artikel penulis bertajuk “PAS tawan Terengganu  tanpa Besut?” yang tersiar dalam Edisi Isnin, 16 Julai mendapat perhatian agak luar biasa daripada pembaca Harakah, termasuk sebilangan pemimpin dan pendukung PAS khususnya di negeri itu sendiri. Penulis katakan luar biasa kerana reaksi atau komentar balas terhadapnya daripada pelbagai pihak diterima agak cepat, berbanding tulisan-tulisan sebelum ini.

Reaksi spontan yang penulis terima daripada sebilangan pemimpin PAS dan beberapa pemerhati politik sekitar negeri itu agak pelbagai. Sebahagian besarnya, alhamdulillah memberikan komen balas amat rasional dan positif. Mereka mampu mengambil coretan itu sebagai bahan koreksi diri ke arah mempertingkatkan mutu gerakerja dalaman parti.

Namun, ada juga yang tidak begitu gemar, sedari awal membaca tajuk artikel itu lagi. Lalu komentar dan andaian mereka yang menyusul selepas itu banyak menjurus ke arah negatif, sehinggakan ada yang menganggap penulis sengaja meremehkan keupayaan PAS Besut.

Astaghfirullah al-Azim, agak mendukacitakan apabila masih ada di kalangan aktivis parti di zaman ledakan maklumat ini yang gemar ‘menilai buku berdasarkan judul’. Lalu mereka sebegitu mudah melompat kepada kesimpulan hanya dengan membaca tajuk, tanpa peduli untuk memahami apa sebenarnya yang dibahaskan dalam sesuatu tulisan.

“Memang ada sahabat-sahabat (pendukung PAS di Besut) yang berpandangan begitu (negatif terhadap tulisan itu). Saya nasihatkan mereka membaca dengan betul (artikel tersebut) dan cuba fahami maksud penulis. Tidak ada apa yang salah... ia sebenarnya minta kita buat kerja lebih kuat kalau betul-betul nak menang macam kawasan-kawasan lain,” ujar Setiausaha PAS Kawasan Besut, Aminuddin Muhammad Ali.

Reaksi tersebut sedikit melegakan penulis. Sebagai ‘orang lama’ yang terlibat dalam kepimpinan kawasan tersebut dan sayap pemudanya sejak lebih dua dekad lalu, Aminuddin terbukti lebih mudah menyelami arah tuju lontaran idea penulis berbanding sebilangan teman lain.

Sepertimana yang penuliskan sebutkan dalam artikel tersebut, Besut sebelum ini memang diberikan jolokan ‘Pintu Tawan Terengganu’. Nama itu sudah lama kedengaran, sejurus selepas kemenangan PAS di Kelantan pada 1990 lalu. Antara yang mula melontarkan jolokan itu ialah Anuwa Jamalullail, seorang penulis politik kelahiran Besut juga.

Artikel-artikel oleh para penulis politik ketika itu juga banyak mendesak PAS memanfaatkan momentum kemenangan negeri Cik Siti Wan Kembang itu bagi menjadikan Terengganu sebagai ‘Kelantan Kedua’. Maka bagi merealisasikan hasrat itu, secara logiknya ‘pintu’ masuk kemenangan dari Kelantan ke Terengganu ialah melalui Besut.

Jolokan itu semakin dijulang untuk dijadikan kenyataan apabila Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu melancarkan kempen 3T, iaitu ‘Tahun Tawan Terengganu’. Sasaran mereka ialah merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) lewat Pilihan Raya Umum (PRU) 1995.

Walau pun sasaran itu gagal direalisasikan, kemenangan diimpikan datang juga sepenggal kemudian. Terbukti apabila PAS berjaya menawan Terengganu pada 1999, Besut menjadi antara penyumbang utama. Kesemua lima kerusi di kawasan itu (empat Dun, satu Parlimen) disapu bersih oleh PAS.

Dengan kemenangan mutlak itu, tidak ada pihak yang boleh menafikan jika dikatakan bahawa jolokan ‘Besut Pintu Tawan Terengganu’ telah berjaya direalisasikan oleh teman-teman pejuang di daerah itu.

Malangnya, keadaan tidak lagi serupa setelah BN merampas semula negeri itu daripada PAS pada 2004. Besut menerima tamparan paling hebat, terutama apabila kepimpinan utama BN Terengganu diterajui orang daerah itu. Kekuatan BN negeri bagaikan berpusat di Besut.

Begitu juga, kezaliman dan kejahatan BN Terengganu dilihat hasil cetusan para pemimpin Umno Besut. Dalam istilah tempatan, boleh dikatakan bahawa ‘kepala-kepala pengat’ Umno Terengganu majoritinya berada di Besut.

Taktik dan strategi politik dilaksanakan BN menyebabkan Besut menjadi antara kawasan paling sukar dimenangi PAS. Anggapan itu selalunya mengambilkira majoriti kekalahan dalam pilihan raya sebelumnya.

Berdasarkan keputusan PRU 2008, kesemua kerusi di kawasan itu berada di bawah sasaran 20 kerusi yang mesti dimenangi PAS untuk merampas negeri. Kerusi terbaik di Besut hanya berada di tangga ke-21, iaitu Hulu Besut, yang calonnya tewas kepada BN dengan majoriti 2,453. Senarai terdekat pula ialah kerusi Kuala Besut, pada tangga ke-24.

“Memang kita (PAS Besut) akui kita tak masuk senarai 20 (kerusi) target (PAS) negeri (yang mesti dimenangi untuk tawan Terengganu). Apatah lagi bila disebut hanya 18 kerusi tu (sepertimana dalam artikel penulis lalu), makin lah tak masuk senarai. Tapi kami bertegas tidak mahu ketinggalan memberikan sumbangan (kerusi) untuk merampas semula negeri ini dalam pilihan raya nanti,” ujar Aminuddin penuh yakin.

Beliau menaruh harapan dan keyakinan agak tinggi PAS Besut mampu menyumbang dua, atau paling kurang satu kerusi, untuk memenangkan partinya di Terengganu. Kerusi manakah dimaksudkan beliau, dan apakah sandaran keyakinan beliau itu, insya Allah akan kita bicarakan kemudian

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1762, 23 Julai 2012 di ruangan KOLUMNIS F22 dengan tajuk serupa)

Thursday, July 19, 2012

Apabila Umno iktiraf kepemimpinan tokoh PAS


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui apa faktor utama mendorong para pemimpin Barisan Nasional (BN) Terengganu begitu “berlapang dada” memberikan anugerah kepada seorang pemimpin veteran PAS negeri itu minggu lalu. Lebih menjadi tanda tanya ialah apabila parti itu memilih untuk memanfaatkan kehadiran pemimpin nombor satunya untuk menyampaikan sendiri anugerah itu kepada tokoh tersebut.

Itulah persoalan yang timbul ekoran majlis Perdana Menteri bersama warga UiTM di Dungun, Jumaat (13 Julai) lalu. Salah satu aturcara di majlis itu ialah penyampaian Anugerah Tokoh Terbilang kepada bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Abdul Wahab Yunus.

Cerita bergambar mengenainya dilaporkan akhbar-akhbar harian edisi Terengganu pada Sabtu dan Ahad. Mungkin ada “strategi politik” di sebalik tindakan BN memberikan anugerah sebegitu besar kepada tokoh dari parti lawannya itu. Wallahu a’lam.

Apa pun niat sebenar BN, anugerah itu memang suatu yang agak luar biasa dan istimewa untuk seorang tokoh parti lawannya. Sanjungan diterima Abdul Wahab itu turut dipanjangkan media cetak.

Salah satu akhbar itu menamakan beliau sebagai “tokoh pemimpin cemerlang”. Gambar Dato’ Seri Najib Razak sedang memakaikan setanjak/tengkolok ke kepala Abdul Wahab yang berkerusi roda dipaparkan. Bersamanya tertulis: “Najib memakaikan tanjak kepada Abdul Wahab Yunus penerima tokoh pemimpin cemerlang sambil diperhatikan Ahmad Said...”

Sebuah harian lain keesokannya memanfaatkan dua halamannya memuatkan 11 gambar di bawah tajuk “Lawatan PM ke Dungun”. Dua gambar itu bercerita mengenai anugerah diterima Abdul Wahab. Beliau disifatkan sebagai “tokoh masyarakat yang banyak berjasa”.

Baca keterangan salah satu gambar itu, “ANUGERAH... Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sedang memakaikan tengkolok kepada Wahab Yunus sebagai simbolik penganugerahan Tokoh Terbilang oleh Barisan Nasional (BN) Dungun kepada tokoh masyarakat yang banyak berjasa itu.”

Itulah ironisnya. Jika mahu dikatakan tokoh tersebut telah banyak berjasa kepada BN, terutama parti Umno di negeri itu, fakta perjuangan politik dan sosial beliau sama sekali tidak membantu memperkukuhkan dakwaan tersebut.

Sebaliknya, meneliti sejarah penglibatan aktif tokoh itu akan hanya menyebabkan orang mengiktiraf peranan terbaik dimainkannya sepanjang bersama saf kepimpinan PAS di semua peringkat suatu ketika dulu.

Abdul Wahab yang menyertai PAS pada 9 Ogos 1956 pernah memegang berbagai jawatan, di hampir semua peringkat organisasi parti. Di kawasan Dungun, beliau pernah menjadi Setiausaha Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan (1957-1960), Ketua DPP Dungun (1960-1961), Setiausaha PAS Kawasan Dungun (1960-1975) dan Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun (1979-1983).

Kepimpinannya di peringkat negeri terakam menerusi jawatan Ketua DPP Negeri Terengganu (1965-1969), diikuti jawatan-jawatan Bendahari, Setiausaha dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu (1968-1975), sebelum menjawat Pesuruhjaya PAS Terengganu (1975-1982).

Di peringkat Pusat, Abdul Wahab pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1973-1975), Bendahari Agung PAS (1977-1979) dan AJK PAS Pusat (1979-1983).

Abdul Wahab mula bertanding mewakili PAS dalam Pilihan Raya Umum 1964. Walau pun ia tahun paling malang bagi PAS (selepas kehilangan kerajaan Terengganu pada 1961), nasib Abdul Wahab agak baik. Beliau menang di Dun Ulu Dungun dan menjadi salah seorang di antara hanya tiga Adun PAS di Terengganu pada penggal itu.

Pada 1969, beliau memenangi kerusi Parlimen Dungun. Kerusi itu dipertahankannya pada 1974. Walau pun bertanding atas tiket BN, beliau mewakili kuota untuk PAS. Dengan kemenangan itu juga, beserta jawatannya yang kanan di peringkat PAS Pusat, Abdul Wahab dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan (14 April 1977-17 November 1977).

Inilah satu-satunya tempoh waktu yang boleh ditemui di mana tokoh ini berkhidmat kepada rakyat di bawah sepanduk BN. Selepas PAS diusir keluar dari BN, Abdul Wahab membina semula partinya menentang BN. Bahkan, dalam dua pilihan raya umum selepas itu (1978 dan 1982), beliau menjadi calon PAS di Parlimen Dungun dan Dun Jerangau, tetapi tidak menang.

Selepas berlaku krisis kepimpinan PAS membabitkan bekas Presidennya, Dato’ Mohd Asri Muda, Abdul Wahab menyertai pemimpin itu menubuhkan Hamim. Beliau kemudian dikatakan menubuhkan partinya sendiri yang tidak begitu popular.

Abdul Wahab diketahui terlibat dengan perniagaan. Beliau juga aktif sebagai salah seorang peneraju Persatuan Sejarah Terengganu. Namun, tidak diketahui sepanjang tempoh itu beliau memberikan khidmat kepada masyarakat menerusi mana-mana peringkat organisasi BN.

Justeru, anugerah diberikan BN kepada beliau secara sinikal boleh dianggap sebagai “mengiktiraf” kepemimpinan PAS terhadap masyarakat di daerah atau negeri tersebut. PAS sendiri terlebih awal memberikan pengiktirafan untuk itu. Beliau tersenarai di antara 20 Penerima Anugerah Tokoh Jubli Emas PAS Terengganu, Julai 2006 lalu.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1761, 20 Julai 2012, di ruangan KOLUMNIS, F15 dengan tajuk serupa)