Thursday, December 29, 2011

Umno patut lebih risau orang tak solat


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Secara literal, ada benarnya kata-kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato’ Senara Muda Mazlan Hashim berhubung masalah dua solat Jumaat dalam satu kariah di negeri itu, minggu lalu. Bahawa isu itu sukar diselesaikan apabila ada pihak “lebih mementingkan agenda lain daripada memelihara kesucian agama Islam”.

Cuma pihak mana yang bersikap demikian itu perlu ditafsirkan secara lebih luas dan tidak terbatas hanya ke arah pihak yang mungkin beliau maksudkan dalam kenyataannya itu.

Sepertimana sedia dimaklumi umum isu solat berasingan dari masjid kariah oleh para penyokong PAS bukan isu baru di Terengganu. Ia berlarutan sejak awal 80-an. Bahkan, di kebanyakan kariah terbabit ia sudah tidak dianggap sebagai masalah oleh masyarakat setempat.

Sebab itu kedengaran cadangan, termasuk dari kalangan pemimpin Umno sendiri, agar masjid-masjid didakwa sebagai punca masalah itu diberikan sahaja pengiktirafan oleh pihak berkuasa agama negeri. Justeru, tidak akan timbul lagi soal menunaikan solat di premis tidak ditauliahkan.

Apatah lagi kedua-dua parti bermusuhan, Umno dan PAS, masing-masing sedang menempa era kepimpinan baru yang berusaha melenyapkan saki-baki gejala perpecahan dalam masyarakat akibat perbezaan fahaman politik itu. Sedangkan hakikat itu tentu tidak berlaku dulu hanya ekoran tindakan PAS. Apakah Umno mahu menafikan peranan jahatnya menyemarakkan perpecahan umat Islam di Terengganu sebelum ini?

Malah, jika isu ini mahu diperbesar dan diperjela-jelakan kononnya kerana ia ditititahkan Tuanku al-Sultan, Umno juga sepatutnya berfikir lebih masak sebelum mengheret isu ini. Sebabnya, ini bukan isu pertama berkaitan perjalanan pentadbiran Islam di Terengganu yang menerima teguran baginda.

Contoh yang tidak sepatutnya dipandang remeh, apatah lagi mahu dilupakan, ialah bagaimana Tuanku Al-Sultan sendiri pernah menegur kerajaan negeri berhubung masalah kekurangan imam dan bilal. Ketika bertitah merasmikan Masjid Sultanah Nur Zahirah di Bandar Marang, lebih enam tahun lalu, Baginda secara terus-terang meminta kerajaan negeri memikirkan kaedah melahirkan pelapis imam dan bilal dalam usaha menangani masalah tersebut yang semakin serius.

Sememangnya apa yang Tuanku titahkan itu realiti yang diketahui umum. Ia menyebabkan berbagai masalah di kariah-kariah sehingga timbul kes-kes memalukan, seperti ada masjid yang terpaksa menggunakan khidmat tv untuk ‘laungkan’ azan setiap kali masuk waktu, kerana ketiadaan bilal bertugas.

Ada pula masjid bertaraf masjid daerah selama bertahun memiliki hanya seorang imam tetap, menyebabkan jawatankuasa masjid berkenaan terpaksa menggunakan khidmat imam tidak bertauliah yang diberi imbuhan dari tabungan masjid.

Kes kekurangan imam dan bilal berlarutan hingga kini, walau pun teguran Tuanku itu telah dibuat baginda pada Julai 2006. Sedangkan dalam titahnya itu baginda turut menasihati kerajaan BN agar mencontohi pendekatan mewujudkan pelapis sepertimana yang pernah dipraktikkan sebelum itu. Baginda hanya menggunakan istilah “satu ketika dahulu”, tetapi difahami ketika dimaksudkan itu ialah di zaman pemerintahan PAS sebelum itu. Andaian itu dapat difahami apabial meneliti titah baginda.

“Sebahagian pegawai masjid dan pendakwah yang berkhidmat hari ini (2006) merupakan mereka yang dilahirkan dari pendekatan ini. Oleh itu perkara ini amat memerlukan kecaknaan dan perhatian kerajaan negeri,” titah baginda.

Justeru, jika Umno cuba memanjangkan isu dua solat Jumaat dalam satu kariah kononnya di atas premis mengambil berat teguran Tuanku Al-Sultan, para pemimpin parti itu sepatutnya terlebih dahulu menilai kegagalan mereka merai dan menyelesaikan teguran baginda yang sudah memakan masa enam tahun itu.

Namun, Umno seakan terlalu bongkak untuk belajar dari kesilapan dan kelemahannya sendiri. Parti itu pernah dikritik hebat dan dicemuh masyarakat Islam kerana lebih mementingkan tindakan terhadap mereka yang mendirikan solat di masjid secara berasingan dari masjid kerajaan, terutama untuk solat Jumaat. Sedangkan soal betapa ramai umat Islam lelaki yang akil-baligh, sihat tubuh badan, tiada uzur syarie tetapi sewenang meninggalkan solat Jumaat tidak pula diberikan perhatian sewajarnya.

Nampak sangat Umno Terengganu tak habis-habis dengan tabiat bangangnya dalam menentukan keutamaan tindakannya. Tumpuan sepatutnya lebih diarahkan kepada operasi mencegah orang lelaki Islam yang cukup syarat tidak menunaikan solat, lebih-lebih lagi solat jumaat. Umno selaku peneraju kerajaan sepatutnya lebih risau tentang masalah itu yang juga semakin serius melanda masyarakat Terengganu, khususnya golongan anak muda.

Sehinggakan ada sebilangan mereka tidak lagi malu atau takut menzahirkan secara terbuka keengganan untuk hadir solat Jumaat atau bersembunyi. Perkara itu tidak sukar dikenalpasti, memandangkan solat Jumaat hanya boleh dilakukan di masjid secara berjamaah pada selang masa tertentu sahaja, tidak seperti solat fardhu yang lima.

Maka tindakan ke atas mereka yang ponteng solat Jumaat tidak sukar disempurnakan. Paling tidak pun tatkala imam mengangkat takbiratul ihram sehingga memberi salam, maka sesiapa saja yang didapati tidak berada di dalam saf solat ketika itu sudah terdedah kepada dakwaan tidak solat Jumaat.

Ada yang langsung tidak ke masjid, sama ada berehat di rumah atau di taman, di tepi pantai dan sebagainya. Ada juga yang kononnya datang ke masjid, teurtama anak-anak muda, tetapi hanya sekadar duduk bersembang di atas motosikal atau kenderaan mereka di kawasan parkir masjid. Bahkan, lebih memalukan lagi, ada antara mereka yang memilih waktu orang sedang solat untuk berlumba haram. Gejala ini sudah berlarutan sekian lama. Apakah tidak ada pihak bertanggungjawab membincang dan memikirkan jalan penyelsaiannya?

Ada yang bertanya, siapa yang mahu bertugas ketika itu, sedangkan semua kamu lelaki Islam perlu bersolat Jumaat. Soalan itu sebenarnya seakan sengaja mahu mencari dalih. Memandangkan sekarang sudah ramai pegawai penguatkuasa agama dari kalangan wanita, mereka boleh dimanfaatkan. Bahkan, pihak berkuasa agama negeri boleh saja mengambil pendekatan bekerjasama dengan pasukan keselamatan, meminjam khidmat anggotanya sama ada anggota wanita atau bukan Islam untuk operasi tersebut. Soalnya hendak atau tidak. Kalau hendak seribu daya, tetapi yang kedengaran seribu dalih itu ialah kerana tidak hendak.

Sebab itu penulis bersetuju secara literal dengan kata-kata Dato’ Senara Muda, bahawa masalah dua solat Jumaat di Terengganu sukar diselesaikan kerana ada pihak “lebih mementingkan agenda lain daripada memelihara kesucian agama Islam”. Bagi kita, pihak dimaksudkan itu ialah Umno!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada yang disiarkan tabloid Harakah, Bil: 1703, 30 Disember 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk sama)

Monday, December 26, 2011

Hipokrasi Umno dalam isu gambar pemimpin


Oleh: Mat Zain Mat Isa

“Pasal gambar pun kecoh satu negeri ke? Bila masa pulak orang PAS pentingkan soal gambar ni?”, begitulah antara reaksi sinis para pendukung Barisan Nasional (BN) Terengganu lebih sedekad lalu.

Kenyataan itu timbul ekoran dakwaan adanya beberapa pejabat milik jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri yang agak ‘liat’ untuk menaikkan gambar Menteri Besar baru, bagi menggantikan gambar bekas MB.

Memang keadaan ketika itu (awal tahun 2000) agak ‘panas’. Pantang ada sikit kesilapan atau pertembungan pendirian, ia akan mudah meleret kepada salah faham dan pertengkaran. Sesetengah kes malah berlarutan menjadi perbalahan politik antara dua kumpulan kakitangan berlainan parti dalam sesebuah pejabat.

Tidak dinafikan ada segelintir penyokong kuat PAS yang agak agresif dalam tindakan dan desakan mereka. Hal itu boleh dirasionalkan, terutama mengambilkira keadaan mereka yang tersisih dan tertekan sejak puluhan tahun di bawah pemerintahan BN. Mereka didiskriminasi dan dipandang serong, bahkan dilayan tidak sama taraf dengan yang lain, hanya semata-mata kerana mereka penyokong PAS.

Lalu apabila parti kesayangan mereka telah berjaya mengambilalih teraju pemerintahan, tentu timbul keinginan agak kuat di kalangan mereka untuk sedikit “membuka dada”. Mereka menjadi antara agen tidak rasmi memastikan apa juga arahan dan pengumuman para pemimpin kerajaan PAS diikuti dan dipatuhi oleh pejabat masing-masing. Sebab itu apabila datang arahan agar gambar MB lama diturunkan dan digantikan dengan gambar MB baru, mereka ini atas kerelaan sendiri bertindak menjadi pendesak.

Memburukkan keadaan ialah apabila sebilangan ketua atau orang kuat di pejabat tertentu adalah juga pendukung kuat BN, khususnya Umno. Mereka ini sengaja menzahirkan ketaksuban kepada parti, termasuk dalam hal yang sepatutnya dipatuhi. Asal saja ada peluang untuk mereka tunjukkan sikap ketidakbersamaan dengan parti pemerintah negeri (PAS), mereka ini sedaya mungkin menzahirkannya.

Salah satu kes yang menimbulkan sedikit kekecohan ialah dalam soal penukaran gambar MB daripada yang lama kepada yang baru. Bagi pendukung Umno yang ketika itu masih dalam keadaan ‘mengigau’ dan belum dapat menerima hakikat kejatuhan kerajaan disokong mereka, arahan agar menurunkan gambar MB lama adalah suatu yang amat memilu dan memalukan.

Lalu berbagai alasan dan justifikasi kedengaran. Ada yang memberikan alasan belum menerima apa-apa arahan rasmi daripada kerajaan baru (PAS), walau pun pentadbiran baru sudah berjalan beberapa bulan. Malah ada yang cuba berdalih kononnya pejabat mereka belum menerima gambar MB baru, sedangkan gambar dimaksudkan itu sudah rata disebarkan dan digantung di seluruh negeri, termasuk di surau dan markas parti.

Ada pula yang menjawab sinis, “apa salahnya kalau tak ditukar gambar-gambar itu? Kata mereka, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (bekas MB) bukan boleh buat apa kalau pun gambar dia kekal di situ? Dia dah tak ada kuasa pun.”

Ertinya, mereka mahu merasionalkan betapa kuasa bukannya pada gambar di dinding. Dalam ertikata sama, para pendukung Umno itu seakan mengatakan jika pun tidak diletakkan gambar MB baru pada dinding, pemimpin itu tetap ketua kerajaan baru dan dia lah yang memiliki kuasa pemerintahan.

Bagi mereka soal memaparkan gambar pemimpin adalah perkara kecil dan remeh-temeh. Ia tidak sepatutnya menimbulkan kekecohan, atau sehingga menyebabkan pihak bertanggungjawab terhadap pemasangannya di dinding mana-mana pejabat dipersoalkan kepatuhan mereka terhadap kerajaan yang memerintah.

Memang para pemimpin kerajaan pimpinan PAS ketika itu tidak begitu mengambil serius soal kedegilan beberapa pejabat menaikkan gambar MB. Sebab itu tidak kedengaran walau seorang pun ketua pejabat atau pegawai bertanggungjawab yang dikenakan apa-apa tindakan di atas keengganan kakitangan mereka melaksanakan arahan itu. Tidak ada pun walau seorang penjawat awam yang ditukar atau diberi teguran disebabkan perkara itu. Jauh sekali untuk digantung tugas atau diberhentikan.

Sebab itu agak memualkan apabila kini khalayak pendukung Umno pula seakan hilang pertimbangan dan tidak dapat mengawal perasaan hanya apabila sehelai bendera memaparkan gambar pemimpin parti itu diturunkan sekumpulan mahasiswa yang meluah rasa tidak puas hati berkaitan permasalahan yang mereka hadapi. Siswa terbabit bukan sahaja diugut untuk ditumbuk dan diludah, malah dibayang akan berdepan tindakan keras termasuk dibuang dari pengajian.

Ertinya, Umno kini mengakui signifikan meletakkan gambar pemimpin di sesuatu premis. Ia sama sekali berlawanan dengan sikap dan pendirian yang mereka ambil di Terengganu lebih sedekad lalu. Hanya kerana sehelai bendera tertera gambar pemimpin Umno diusik, bukan setakat satu negeri, kekecohan kini merebak ke serata negara.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1702, 26 Disember 2011 di ruangan 'KOLUMNIS", F22 dengan tajuk sama)

Thursday, December 15, 2011

Justifikasi palsu Umno tolak laksana hudud


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Tidak ada bezanya kenyataan terbaru Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said berkaitan pelaksanaan hukum hudud berbanding kenyataan lain-lain pemimpin Umno sebelum ini. Biar pun pada zahirnya beliau menegaskan kerajaan negeri pimpinannya tidak menolak usaha melaksanakan hukum Allah itu, hujah dan alasan diberikannya menampakkan pendirian sebaliknya. Ia lebih sebagai dalih mewajarkan kegagalan Umno meneruskan pelaksanaan hukum itu, walau pun ia sebenarnya telah dilulus dan diwartakan di negeri tersebut.

Dalam reaksinya terhadap perbahasan isu tersebut di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu minggu lalu, Ahmad antara lain mendakwa kononnya kerajaan negeri memang bersedia melaksana dan menguatkuasakan hukum hudud dan qisas. Cuma persediaan ke arah itu didakwanya masih belum cukup lengkap, terutama dalam hal berkaitan prasarana dan soal teknikal.

Katanya, untuk melaksanakan dua cabang hukum Islam itu memerlukan persiapan teliti melibatkan semua aspek. Justeru, kerajaan negeri memerlukan masa lebih panjang.

Justifikasi itu barangkali pada perkiraan Ahmad sudah cukup kuat membuktikan keikhlasan Umno menyokong pelaksanaan hukum Islam. Namun dia terlupa alasan sama telah disuarakan orang nombor dua partinya lebih dua bulan lalu dan sudah pun dipertikaikan rakyat, khususnya umat Islam yang cintakan kedaulatan agama.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mengulas kononnya parti itu juga menerima hukum hudud. Cuma ia merasakan masanya belum sesuai untuk hukum itu dilaksanakan di negara ini, mengambilkira banyak faktor.

Lalu apabila dipersoalkan berapa lama diperlukan Umno untuk sampai ke masa ‘sesuai’, isu itu bagaikan menjerut leher parti itu. Para pemimpin parti itu gagal memberikan jawaban meyakinkan.

Asakan serupa membelenggu Ahmad minggu lalu. Dalam keadaan terdesak oleh dalihnya sendiri yang memakan diri, beliau lalu menghamburkan kritikan liar terhadap PAS. Lebih kurang katanya, kalau benar PAS serius terhadap pelaksanaan hudud dan qisas, kenapa tidak direalisasikan sewaktu masih berkuasa dulu. Ahmad mendakwa PAS mempunyai masa lebih tiga tahun untuk laksanakan hudud di Terengganu.

Barangkali beliau menyangka hujahnya itu menyebabkan para pemimpin PAS jatuh terduduk. Dia tersilap lagi. Hujah itu juga sebenarnya kembali menikam dirinya. Ia secara jelas membuktikan betapa menteri besar itu sangat sembrono dan ‘main tangkap muat’ di dalam melepaskan diri.

Sebagai rekod yang diketahui umum, Enakmen Jenayah Syariah II (Hudud dan Qisas) Terengganu diluluskan Dun pada pertengahan 2002. Ia diperkenan dan ditandatangani Tuanku Sultan pada 2 September 2002. Ia hanya diwartakan sebagai undang-undang pada 25 September 2003.

Ertinya, dakwaan mengatakan PAS mempunyai masa tiga tahun untuk pelaksanaan enakmen tersebut adalah suatu hujah yang ‘baham rambang’, memandangkan hayat kerajaan PAS hanya bertahan sehingga Mac 2004. Apalah sangat yang dapat dibuat dalam enam bulan itu?

Pun begitu, masyarakat awam dapat melihat betapa PAS telah membuktikan ia serius menegakkan hukum Tuhan itu. Ia tidak mengambil masa lama, bahkan tidak sampai pun sepenggal pemerintahannya untuk meluluskan enakmen jenayah syariah membabitkan dua hukum tersebut di Terengganu, juga di Kelantan yang diperintahnya.

Sebaliknya Umno pula telah diberi mandat memerintah negara dan negeri-negeri sebaik sahaja rakyat mula kenal proses pilihan raya, iaitu bermula 1955. Malangnya parti itu hingga kini gagal mengemukakan rang undang-undang bersabit hukum itu. Bahkan selepas memerintah selama 56 tahun pun ia masih tidak malu memberi alasan kononnya masih belum cukup masa untuk memperkenal dan memahamkan hukum Islam kepada khalayak umum.

Di situlah rakyat dapat menilai betapa permasalahan sebenar pelaksanaan hudud dan qisas ini bukannya soal mampu atau tidak, atau soal sudah sampai masa sesuai atau belum. Masalah sebenar ialah apakah Umno selaku peneraju pemerintahan negara dan negeri Terengganu serius mahu melaksanakannya atau tidak.

Dalam ertikata lain, sementara PAS berusaha sedaya mungkin mengemukakan hujah dan dalil memahamkan rakyat mengapa hukum Islam wajib dilaksanakan, Umno pula mencari alasan dan dalih untuk tidak melaksakannya.

Namun, sudah menjadi dasar Umno untuk tidak mudah menerima kenyataan. Sebab itu walau pun sudah mati hujah menegakkan dalih-dalihnya, para pemimpin Umno nampaknya belum mati akal. Ada-ada saja hujah loyar buruk dikemukakan untuk menimbulkan keraguan rakyat terhadap kebaikan hukum Islam.

Untuk itu Ahmad tergamak mempertikaikan enakmen yang telah pun diperkenankan Tuanku Sultan itu. Dikatakan pula kononnya enakmen itu membenarkan suami meliwat isteri, hanya disebabkan terdapat ungkapan ‘selain daripada isterinya’ pada membicarakan kesalahan liwat.

Itulah perangai pemimpin Umno. Beliau sanggup merendahkan martabat diri semata-mata mahu menegakkan benang basah. Dengan mengangkat kembali pertikaian itu seolah-olah menggambarkan Ahmad seorang pemimpin yang ‘buta maklumat’ dan tidak mengikuti perbahasan sebelum ini. Penjelasan para ulama, termasuk pemimpin PAS mengenai kekeliruan itu sepatutnya telah memahamkan semua pihak tentang letak duduk sebenar perkara tersebut.

Kesemua hujah dan pertikaian dilontarkan Ahmad di atas sebetulnya membuktikan keadaan terdesak Umno melepaskan diri dalam isu hudud dan qisas ini. Disebabkan gagal mencari hujah, akhirnya mereka tergamak mengemukakan justifikasi palsu untuk menolak pelaksanaan hukum itu.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1699, 16 Disember 2011 di ruangan 'KOLUMNIS' F21 dengan tajuk sama)

Monday, December 12, 2011

Agenda kebajikan dorong kemenangan parti Islam


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Kebangkitan yang disebut sebagai Musim Bunga Arab (the Arab Spring) benar-benar telah menyaksikan proses perubahan politik di rantau berkenaan. Gelombang yang bermula di Tunisia pada 20 Februari lalu itu kemudiannya merebak ke Mesir dan selanjutnya sampai ke Yaman, Syria, Bahrain dan Libya.

Bahkan angin perubahan itu turut meresap secara halus ke negara-negara sekitarnya, termasuk yang tidak diberitakan berlaku protes rakyat secara terbuka. Ia membawa bersama aspirasi rakyat yang rata-rata mahukan perubahan dan pembaharuan positif dalam hidup mereka, sama ada merangkumi aspek politik, ekonomi mahu pun sosial.

Seperkara menarik, kebangkitan rakyat di rantau berkenaan bukan sekadar memangsakan rejim atau pemerintahan sedia ada di negara masing-masing yang dilabel sama ada sebagai diktator, tidak demokratik, menindas rakyat atau sebagainya. Arus perubahan itu bukan setakat menuntut sistem pilihan raya atau pemerintahan berlandaskan lunas demokrasi sebenar.

Ia juga seakan berkongsi aspirasi serupa, iaitu memanfaatkan ruang demokrasi untuk menobatkan kumpulan Islam sebagai alternatif terbaik mengambilalih teraju negara masing-masing. Itulah setakat ini yang agak menyerlah berlaku di rantau berkenaan. Kemenangan Parti An-Nahdhah atau Kebangkitan pimpinan Rachid Gannouchi di Tunisia menjadi titik mula kemenangan kumpulan Islam secara demokratik.

Dalam pilihan raya pertama dan dianggap paling demokratik pernah dilaksanakan di negara itu pada 24 Oktober lalu, parti Islam itu muncul sebagai pemenang paling besar di antara parti-parti bertanding. Undi diperolehinya melayakkan An-Nahdhah menguasai lebih 40 peratus daripada 217 kerusi, sekaligus memungkinkannya menerajui pakatan pemerintah.

Sementara fokus media dan inteligensia antarabangsa lebih terarah selepas itu ke Yaman, Syria dan Mesir berdasarkan liputan dan laporan meluas media mengenai perkembangan bantahan rakyat di negara-negara tersebut, tiba-tiba yang muncul dengan perubahan mengejutkan ialah rakyat Maghribi. Tanpa terlebih dahulu diuar-uarkan masyarakat antarabangsa, rupa-rupanya gelombang perubahan menolak pemerintahan sekular di negara itu berlaku dalam diam. Majoriti rakyatnya turut memberi kepercayaan kepada parti beraspirasi Islam untuk mengubah nasib mereka.

Dalam pilihan raya umum Maghribi pada 25 November lalu, Parti Pembangunan dan Keadilan menang lebih 80 kerusi Majlis Perundangan, sekaligus melayakkannya menerajui pembentukan kerajaan baru negara itu.

Dengan berlakunya perubahan besar di Tunisa dan Maghribi, rantau Afrika Utara bagaikan sudah benar-benar ditenggelami gelombang Musim Bunga Arab yang memihak kepada kumpulan Islam. Fenomena itu semakin diyakini apabila kecenderungan serupa turut tergambar di Mesir.

Dalam pilihan raya tahap kedua minggu lalu, Parti Kebebasan dan Keadilan yang merupakan sayap politik pergerakan Ikhawanul Muslimin dilaporkan memenangi sekurang-kurangnya 40 peratus kerusi di Parlimen. Parti itu sudah pun menang hampir 37 peratus undi dalam pilihan raya pusingan awal yang memberikan kerusi menurut senarai parti. Kini ia menang pula 36 daripada 56 kerusi yang diberikan kepada calon individu.

Biar pun undian untuk kedua-dua dewan di Parlimen Mesir akan hanya diputuskan Mac nanti, gambaran kemenangan kumpulan Islam itu sudah sukar dinafikan. Ia bahkan dinilai bakal menyemarakkan arus perubahan ke arah memilih kumpulan berhaluan sama di negara-negara lain di rantau itu selepas ini.

Seperkara menarik ialah betapa kemenangan parti-parti berhaluan Islam di rantau Afrika Utara itu banyak bertitik-tolak daripada faktor yang sama. Rakyat masing-masing mengambil kesempatan atas gelombang Musim Bunga Arab untuk menuntut perubahan dan pembaharuan. Mereka terlalu benci dan bosan hidup dinaungi parti yang rasuah, menindas, gagal membela nasib rakyat dan gagal juga mengurus ekonomi negara. Lalu mereka akhirnya sepakat memberi kepercayaan kepada kumpulan Islam yang diketahui memiliki rekod cemerlang, terutama ‘bersih rasuah’ dan sangat prihatin terhadap kebajikan mereka.

“Mereka (An-Nahdhah) sangat dekat di hati rakyat melalui kerja-kerja kebajikan yang dilakukan di bawah (akar umbi), jauh sebelum musim pilihan raya lagi, walau pun dalam keadaan parti diharamkan,” kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mengulas kemenangan parti pimpinan rakannya di Tunisia itu.

Hakikat sama turut dikongsi Parti Kebebasan dan Keadilan di Mesir. Ikhwanul Muslimin yang menaunginya sudah sejak berdekad dikenali rakyat negara itu menerusi berbagai perkhidmatan sosial dan aktiviti keagamaan. Antara program kebajikan yang dilakukannya secara berterusan ialah khidmat perubatan kepada berjuta penduduk miskin Mesir.

Sebelum ini kemenangan AKP di Turki mengalahkan parti nasionalis-sekular juga dikaitkan dengan agenda kebajikan yang berterusan dalam masyarakat sejak sekian lama. Mereka tidak menunggu bergelar pemerintah untuk memulakan agenda tersebut. Rakyat sudah dapat melihat dan menikmati kebaikan program kebajikan AKP lama sebelum parti itu menjadi kerajaan.

Kes serupa dapat kita baca dalam analisis pelbagai pihak ke atas kemenangan Hamas dalam pilihan raya umum Palestin, kira-kira lima tahun lalu. Faktor utama diakui mendorong kemenangan besar Hamas menewaskan Fatah selaku parti pemerintah ialah budi dan jasanya kepada rakyat Palestin. Para pemimpin dan pendukung Hamas telah lama dikenali penduduk menerusi pelbagai aktivti kebajikan dilaksanakan.

Ia bergerak dalam masyarakat menerusi jamaah Islam bertemakan kebajikan. Justeru, apabila mereka mengisytiharkan Hamas sebagai parti politik dan bertanding pilihan raya, rakyat tidak sukar memihaknya. Muka-muka pemimpin dan pendukung Hamas terlalu dekat di hati setiap penduduk Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza.

Kejayaan parti dan pergerakan Islam setakat ini harus diiktibar oleh PAS. Tunjang utama kemenangan itu ialah agenda dan aktiviti kebajikan. Apabila bukti secara praktikal sudah ada, maka tidak sukar untuk menerangkan kepada rakyat bahawa kita akan buat itu dan ini sekiranya diberi peluang memerintah.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada yang disiarkan dalam tabloid Harakah Bil: 1698, 12 Disember 2011 di ruangan 'KOLUMNIS' F22 dengan tajuk 'Agenda kebajikan dorong kemenangan An-Nahdhah')

Thursday, December 8, 2011

Wajarkah PAS tunggu dedah calon saat akhir?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Insya Allah PAS tidak akan berdepan masalah perebutan menjadi calon untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti. Jika pun ada lebih daripada satu nama dicalonkan pelbagai peringkat organisasi parti untuk sesuatu kerusi, ia tidak lebih sekadar perbezaan pandangan yang tidak sukar dirai dan dicari titik penyelesaiannya.

Pada adatnya suara-suara berbeza itu tidak akan merebak menjadi perbalahan besar sehingga menjejaskan kelancaran jentera pilihan raya setempat. Jauh sekali untuk sampai ke tahap kronik, sehingga memaksa kepimpinan parti mewajibkan semua ahlinya melafazkan ikrar tata setia, sepertimana yang terpaksa dilakukan Umno mutakhir ini.

Sebagai sebuah parti yang mendukung aspirasi perjuangan Islam dan dikenali amat menitikberatkan soal adab serta akhlak diajar agama dalam setiap keputusan dan tindakannya, PAS selalunya ada kelebihan tersendiri di dalam memadamkan sebarang percanggahan dalaman.

Hakikat itu sama sekali berbeza dengan parti lawannya, Umno yang sudah sinonim dengan politik berpuak, bertelagah dan boikot-memboikot. Ia bukan sahaja berlaku lima tahun sekali tatkala berlangsungnya pilihan raya umum, malah lebih kerap lagi ekoran berlangsungnya pemilihan parti.

Pertelagahan dalaman Umno bukan berakhir setakat protes dan boikot, bahkan sehingga melahirkan parti serpihan. Sejumlah tidak sedikit pemimpin dan pendukung parti itu ‘berhijrah’ menjayakan parti baru, sepertimana disaksikan sejarah politik negara pada 1988 dan 1998.

Kedua-dua peristiwa itu memberikan tamparan hebat kepada Umno. Perbalahan dalamannya menyebabkan parti itu terbelah dua, sekaligus merobek penguasaannya dalam pilihan raya. Jumlah kerusi dipertahankan Umno pada PRU 1990 dan 1999 merosot teruk. Malah ia terlepas dua negeri diperintahnya kepada PAS, masing-masing di Kelantan dan Terengganu.

Rasanya Umno telah banyak belajar daripada episod itu. Bahawa perbezaan pandangan dan pendirian di kalangan ahli-ahlinya bukan suatu yang boleh dianggap remeh. Jika tidak ditangani sedari awal, ia amat berpotensi merebak menjadi tokak dan mendatangkan mudarat besar kepada parti. Pemilihan calon untuk pilihan raya selalunya menjadi medan paling subur untuk perbalahan itu.

Sebab itu bukan suatu yang menghairankan apabila parti Melayu itu kini rancak melaungkan soal taat setia ahlinya sendiri terhadap parti. Sejak beberapa bulan lalu, terutama apabila bayangan PRU-13 semakin menampakkan tanda-tandanya, ahli Umno mula dipasakkan dengan seruan agar mengutamakan kepentingan parti dan mengenepikan kehendak.

Hampir tidak ada pemimpin tertinggi parti itu yang tidak menyuarakan hal itu. Berbekalkan istilah “calon boleh menang” yang dicipta Presidennya sendiri, mereka berusaha keras menyediakan hujah terbaik untuk mengelakkan perpecahan dan perbalahan sesama ahli, terutama di peringkat bawahan.

Ahli Umno sebenarnya sedang dihipnotis dengan istilah “calon boleh menang” agar taat dan tunduk kepada apa juga keputusan pemimpin parti berhubung pemilihan calon. Maka nantinya apabila terpilih sesiapa juga sebagai calon, mereka akan dipaksa menerima kononnya yang dipilih oleh pemimpin itu adalah yang paling “boleh menang” di kalangan sebilangan “calon boleh menang”.

Dalam ungkapan lebih stereotaip, sebarang ketidakpuasan hati ahli bawahan akan ditenangkan dengan ungkapan, “pemimpin tertinggi lebih tahu apa yang baik untuk parti”. Persepsi itulah yang sedang disuburkan di minda pendukung Umno kini.

Apa yang tergambar jelas di Perhimpunan Agung Umno minggu lalu menerangkan hakikat itu. Umno bijak memanipulasi sentimen kebencian para perwakilan dan pendukungnya terhadap pembangkang, setelah ia diapi-apikan oleh hampir setiap pengucap di perhimpunan itu. Lalu di tengah-tengah kebencian itulah ahli Umno dipaksa menuturkan ikrar taat setia tidak berbelah bahagi kepada parti, terutama membabitkan pemilihan calon PRU nanti.

Mereka dipaksa bersumpah menyokong sesiapa pun calon yang bakal dipilih, sama ada yang mereka setuju atau tidak. Mereka juga diminta untuk tidak mengkhianati calon tersebut, lebih-lebih lagi mensabotaj kerja-kerja pilihan raya sehingga menguntungkan parti lawan.

Setakat itu PAS mampu berbangga kerana beberapa sebab. Selain masalah perebutan calon bukan isu besar dalam parti itu, natijah perbezaan pandangan di situ juga tidak merebak sampai ke peringkat menimbulkan perpecahan. Bahkan dalam beberapa kes tertentu, perebutan di kalangan pemimpin PAS lebih kepada menolak pencalonan ke atas masing-masing.

Mengambilkira hakikat itulah timbul persoalan perlukah PAS menunggu saat-saat akhir berlangsungnya PRU untuk mendedahkan calon-calonnya? Apa rasionalnya menanti pembubaran Parlimen untuk memaklumkan kepada individu terbabit bahawa dia akan disenaraikan sebagai calon?

Bahkan, ada kalanya yang empunya diri hanya tahu secara rasmi dia bakal menggalas cabaran parti selang beberapa hari sebelum penamaan calon dilakukan. Sedangkan dia, terutama mereka yang buat pertama kali akan berdepan tugas berat itu, perlukan masa lebih panjang untuk membuat berbagai persiapan.

Selain persediaan kewangan, penampilan diri di dalam masyarakat juga memainkan peranan penting. Bakal calon perlu diberikan isyarat lebih awal untuk membolehkannya turun ke medan. Bukan setakat membiasakan diri dengan jentera dan memperkenalkan diri kepada masyarakat, tetapi perlu dilibatkan oleh segenap organisasi parti di dalam berbagai aktiviti dianjurkan sepanjang tahun.

PAS tidak kurang aktiviti, sama ada membabitkan pendidikan prasekolah, kebajikan mahu pun keagamaan. Mereka yang telah dikenalpasti oleh parti sepatutnya sentiasa ditonjolkan dalam aktiviti-aktiviti seumpama ini. Tidaklah nanti hanya setelah disahkan sebagai calon, dalam tempoh kempen yang singkat itulah mahu dilakukan segalanya, termasuk memperkenalkan diri kepada khalayak pengundi. Kita akhirnya ketinggalan dari aspek memenangi hati rakyat berbanding parti lawan yang mampu mengatasi masalah itu dalam masa singkat dengan umpan bentuk lain.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1697, 9 Disember 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk sama)

Sunday, December 4, 2011

Jangan sekadar perolok pilihan raya olok-olok BN


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada beberapa kesan ke atas pelbagai pihak yang dapat diperhatikan ekoran berlangsungnya simulasi pilihan raya oleh Barisan Nasional (BN) Terengganu minggu lalu. Walau pun secara lahiriahnya ia bukan suatu program yang menghasilkan kegemparan dan bual-bicara hangat dalam masyarakat, program pengundian olok-olok itu sebenarnya telah berjaya meninggalkan kesan psikologi dan emosi, khususnya kepada golongan sasar, pada tahap tertentu.

Biar pun khalayak umum, terutama para pendukung Pakatan Rakyat dan mereka yang memihak pembangkang menganggap program anjuran BN negeri itu sebagai membazir dan sia-sia, bahkan ada yang menyebutnya sebagai ‘kerja orang gila’, ia sebenarnya memberikan kesan positif teurtama dalam konteks memperkasa kekuatan jentera pilihan raya BN negeri itu. Ia suatu amali sangat bermakna membiasakan bukan sahaja tenaga petugas malah sebilangan pengundi sasaran untuk membiasakan diri dengan BN.

Simulasi itu diadakan serentak di seluruh Terengganu pada Sabtu, 26 November. Ia melibatkan kesemua 140 Unit Peti Undi (UPU) di 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun). Sasaran simulasi ialah 60 peratus pengundi baru dan 40 peratus pengundi lama. Mereka yang dipilih kebanyakannya yang berada di dalam senarai penerima pelbagai bantuan kerajaan, sama ada Dana Bakti Remaja, bantuan ihsan, bantuan kebajikan, dana nelayan, e-Kasih dan sebagainya.

Seperkara amat menyerlah, pelaksanaan simulasi itu memanfaatkan beberapa premis awam. Antaranya balairaya, masjid, dewan orang ramai dan pekarangan sekolah. Malangnya, salahguna kuasa itu langsung tidak dianggap kejelikan oleh mana-mana pihak, khususnya masyarakat setempat.

Itu soal penggunaan kemudahan awam. Bagaimana pula dengan dana awam atau peruntukan kerajaan? Setelah sekian lama kita mengenali BN, khususnya Umno, sebagai parti yang bertabiat menyalahgunakan kewangan kerajaan untuk memperkuatkan parti, maka adakah orang boleh menerima kononnya program simulasi pilihan raya BN Terengganu ini disempurnakan tanpa melibatkan walau sesen pun peruntukan kerajaan?

Itulah kesan pertama. BN berjaya mewujudkan persepsi umum bahawa apa yang dibuatnya semuanya baik dan betul. Tidak timbul langsung soal penyalahgunaan kuasa. Khalayak umum seolah boleh menerima apa yang dibuat BN itu sebagai betul dan tidak ada salahnya, walau pun ia secara terbuka menggunakan kemudahan awam dna peruntukan kerajaan untuk menjayakan program parti.

BN telah berjaya mewujudkan persepsi bahawa asal saja sesuatu itu dilakukan BN, semuanya menepati undang-undang dan peraturan.

Kedua, BN berjaya “menyuntik” semangat jenteranya untuk memanaskan badan bagi menghadapi pilihan raya sebenar. Seperti biasa pendorong utama mengaktifkan mereka menjayakan kerja-kerja latihan amali itu dengan penuh kesungguhan ialah tidak lain tidak bukan daripada “fulus”.

Ya, kita diberitahu bahawa hampir segenap peringkat penggerak simulasi mendapat habuan. Setiap ahli jawatankuasa pelaksana di peringkat UPU mendapat imbuhan khas. Dikatakan setiap kali bermesyuarat mereka mendapat elaun sehingga RM50 seorang. Hanya semata-mata di atas premis menjayakan program teresebut, maka beberapa siri mesyuarat diadakan dan kebanyakan ahli jawatankuasa “kenyang” mengaut elaun itu.

Bagi yang tidak terlibat secara langsung sebagai ahli mesyuarat pula, ada juga habuan untuk mereka. Ada yang diberikan kontrak menyediakan makanan dan minuman, bukan hanya untuk setiap kali mesyuarat, bahkan sepanjang beberapa hari kerja persiapan berlangsung.

Manakala pada hari pembuangan undi itu pula, pesanan makanan ditambah untuk setiap pengundi. Bayangkan sahaja apabila setiap UPU mensasarkan 200 pengundi, maka berapakah peruntukan dikeluarkan untuk makan-minum mereka. Congaklah sahaja jumlahnya sekiranya ‘umpan’ serupa turut diagih di kesemua 140 UPU di seluruh negeri.

Ertinya, walau pun simulasi berlangsung hanya sehari, ada pihak yang tersenyum puas dan tersuntik semangat untuk bekerja lagi kerana telah menerima habuan masing-masing.

Ketiga, kesan psikologi kepada para pengundi terpilih. Mereka ini golongan sasar BN, sama ada pengundi baru atau lama. Bagi mereka yang baru pertama kali memangkah, latihan amali ini setidaknya meninggalkan ingatan bahawa pengalaman pertama mereka mengundi ialah dengan memangkah lambang ‘dacing’. BN berharap kesan psikologi itu akan berpanjangan dan bakal diulangi mereka dalam pilihan raya sebenar.

Selain itu, kehadiran mereka ke tempat pembuangan undi bukan setakat fizikal. Mereka hadir dengan dorongan mental dan emosional. Ada suatu perasaan bimbang dan takut di kalangan sebilangan mereka, bahawa sekiranya tidak menyempurkan arahan BN untuk “keluar mengundi”, mereka akan menerima natijah tidak menyenangkan. Paling mereka bimbang ialah kononnya bantuan yang masing-masing terima akan ditarik balik. Nama mereka akan dipotong daripada senarai penerima bantuan kerajaan.

Berdasarkan bual-bicara dalam masyarakat, khalayak pengundi terpilih ini memang ada yang berpendirian begitu. Ertinya, BN telah berjaya mewujudkan ‘budaya takut’ di kalangan golongan sasar ini untuk mengengkari arahan parti itu.

Dalam hal ini agak tidak kena sekiranya PAS memandang remah apa yang dilakukan BN itu dan mengaggapnya sebagai suatu yang sia-sia atau ‘kerja orang gila’. Jangan sekadar memperolok-olokkannya tanpa mengambilkira kesan diraih BN.

Justeru, PAS perlu lebih agresif memberikan reaksi dan serangan balas. Jangan hanya membiarkan penyalahgunaan kuasa oleh BN terhadap kemudahan awam berlalu bagaikan ia suatu lumrah. Rakyat perlu diterang dan difahamkan mengenai tabiat buruk itu agar mereka menilai apa dibuat BN itu sebagai salah dan tidak bermoral.

Di masa sama, wujudkan pettikaian di dalam masyarakat mengenai kewajaran simulasi itu diadakan, terutama apabila ia membabitkan perbelanjaan yang tinggi. Sekiranya tidak dihabiskan untuk itu, banyak perkara lain lebih bermanfaat dapat dilaksanakan untuk rakyat.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1696, 5 Disember 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F14 dengan tajuk "Usah remehkan pilihan raya olok-olok BN")

Thursday, December 1, 2011

Media kita perlu fairplay!

Oleh: Mohd Nasir Awang

Pengasas pertubuhan Forum Antarabangsa Mengenai Globalisasi, Jerry Mander pernah dipetik sebagai mendakwa televisyen adalah media terpenting menjadi perantara proses pensejagatan yang diterajui oleh Barat. Menurutnya, menerusi himpunan nilai-nilai budaya konsumerisme yang menguasai paparannya saban hari, tv sebenarnya berkeupayaan menyeragamkan fikiran manusia sejagat.

Secara lebih spesifik beliau memetik bagaimana iklan-iklan yang sengaja diulangsiar di kaca tv sebenarnya bermaksud menyerang dan menguasai minda penonton sehingga amat sukar untuk mereka lenyapkan paparan iklan itu daripada ingatan mereka.

Sebagai seorang yang memang menjuruskan kerjaya di bidang pemasaran selama bertahun, Mander dianggap pihak yang berwibawa untuk bercakap mengenai pengaruh atau kesan tv terhadap pemikiran masyarakat.

Pandangan sealiran itu turut diluahkan penerbit filem terkenal Amerika Syarikat, Lawrence P. Gordon. Beliau pernah dipetik sebagai mengakui betapa tv mampu merangsang penonton untuk meniru apa yang mereka tonton.

“Hanya mereka yang dungu sahaja yang masih mengatakan bahawa para penonton tidak meniru apa yang mereka lihat di skrin,” katanya.

Reaksinya itu hadir selepas syarikatnya, Paramount Pictures terpaksa menarik balik filem terbarunya, The Warriors apabila penayangannya dikaitkan dengan beberapa insiden keganasan. Dilaporkan tiga pembunuhan berlaku sepanjang minggu pertama filem itu mula ditayangkan pada 1979.

Kenyataan atau pendirian dua individu berautoritatif dalam bidang penyiaran dan perfileman itu tidak syak lagi boleh dijadikan sandaran kukuh mengiyakan pengaruh besar dimiliki tv terhadap pembentukan minda masyarakat. Televisyen telah berperanan sebagai saluran terpenting untuk menyampaikan pemikiran sesuatu pihak, mencakupi nilai-nilai dasar, asas-asas perlakuan dan landasan cara hidup.

Dalam ertikata lain, program-program dipaparkan di tv adalah cerminan cara berfikir dan tahap kematangan sesuatu masyarakat yang terlibat dengannya. Manakala filem atau drama yang dipilih mengisi program penyiarannya dianggap cerminan budaya sesuatu bangsa atau negara.

Sebagaimana sering dikata orang, media secara umumnya adalah kuasa ajaib di zaman ini. Manakala media paling hampir dengan masyarakat dan paling berkesan mempengaruhi kehidupan mereka sudah tentulah tv.

Setelah diakui betapa hebat dan kuat pengaruh tv terhadap pembentukan dan pengembangan minda masyarakat, maka alangkah bagus dan mujurnya jika ia dimanfaatkan sebaiknya untuk menghasilkan kesan yang terbaik.

Dalam konteks negara kita, majoriti penonton tv adalah orang Melayu beragama Islam. Namun, sering dipersoalkan sejauh manakah ciri-ciri budaya masyarakat Melayu beragama Islam dipaparkan di kaca tv kita, khususnya menerusi filem dan drama yang ditayangkan?

Amat mendukacitakan, setakat ini unsur-unsur dipaparkan filem dan drama kita lebih banyak menyajikan kesan negatif berbanding positif. Ia tidak mendidik masyarakat ke arah berfikir secara rasional, sebaliknya agak kerap menghidangkan fakta dan gambaran mengelirukan, sama ada berkaitan negara mahu pun agama.

Banyak drama dan filem kita mendapat kritikan umum, terutama khalayak yang mementingkan nilai budaya dan warisan bangsa. Tema dan plot diketengahkan drama dan filem kita diisi banyak adegan bercanggah dengan budaya masyarakat Malaysia, selain sifatnya yang stereotaip.

Selama berdekad cerita-cerita ditayangkan di tv sering menyogokkan penonton dengan jalan cerita hampir sama yang berpusat kepada kisah cinta dan kasih sayang. Sekali-sekala ditonjolkan juga drama patriotik, yang mengutarakan tema perjuangan bangsa Melayu dan keagungan Islam, cerita berasaskan kisah benar dan seumpamanya. Namun, ia tidak pernah dijadikan agenda utama penyiaran.

Bahkan, minat dan kecenderungan pengeluar drama dan filem lebih terarah kepada mengikut perkembangan semasa dalam negara. Ia bagaikan bermusim. Dalam dua dekad kebelakangan ini misalnya, tema yang menjadi pilihan produser filem dan drama ialah kisah berhubungkait pergolakan jiwa anak muda. Cerita-cerita berkisar kehidupan remaja yang lepas-bebas dan cenderung melakukan aktiviti yang dipandang serong oleh masyarakat banyak diketengahkan.

Para penerbit seakan berlumba-lumba menghasilkan cerita berkaitan aktiviti lumba haram, sama ada motosikal atau pun kereta, gejala gangsterisme, penagihan dadah dan berbagai gejala negatif yang dinisbahkan kepada jiwa memberontak anak-anak muda kita.

Tema diangkat itu didakwa memenuhi selera semasa penonton. Dakwaan itu bagaikan diperakui apabila filem dan drama dengan tema itu juga banyak mendapat pengiktirafan dan diberikan anugerah oleh berbagai pihak.

Oleh kerana telah diakui bahawa filem atau drama dianggap cerminan budaya sesuatu bangsa atau negara, maka timbul persoalan sejauh manakah tema diangkat itu benar-benar mencerminkan budaya hidup masyarakat kita. Apakah perlakuan kurang ajar, bercakap lucah, samseng, tidak menghiraukan perintah dan suruhan agama, serta berbagai gejala kebobrokan akhlak yang ditonjolkan menerusi watak-watak utama dalam filem dan drama kita itu boleh dianggap cerminan sebenar budaya bangsa atau negara kita?

Maaf cakap, kebanyakan cerita dihasilkan bukan sahaja tidak mengutamakan nilai kesopanan dan ketamadunan bangsa, malah sebahagian tidak sedikit jalan ceritanya mengutarakan keruntuhan akhlak dan ketidakmatangan jiwa. Acuan atau susur cerita itu sendiri gagal menunjukkan jati diri umat yang mempunyi tamadun dan budaya tersendiri.

Barangkali tidak salah jika dikatakan para penggiat kita sebenarnya gemar mencedok tema dan bentuk persembahan dihasilkan orang lain. Boleh jadi mereka menjadikan Barat sebagai kayu ukur pencapaian mereka. Maka soal gelagat buruk atau tema negatif dipaparkan Barat tidak lagi dijadikan sempadan, sebaliknya dinilai sebagai memiliki nilai seni lalu dibuat teladan.

Kita seolah-olah lupa betapa Barat sedang mengalami keruntuhan moral yang parah, antaranya ekoran drama dan filemnya. Kes sepertimana diakui Gordon tadi adalah contoh. Akibat terlalu terikut-ikut dengan gaya hidup para artis, akhirnya nilai-nilai buruk dan hodoh telah bertukar menajdi sesuatu yang normal dalam masyarakat Barat, sehingga merosakkan ikatan keluarga, budaya asal mereka, bahkan ajaran agama mereka sendiri.

Cuma agak berbaloi bagi Barat, di sebalik keruntuhan itu mereka berjaya memanfaatkan pencapaian industri hiburan mereka untuk memperkukuhkan tamadun kebendaan, sehingga Barat dipandang hebat oleh dunia. Produk hiburan mereka menjadi tontotan dan langganan masyarakat antarabangsa dan memberikan pulangan ekonomi yang sangat besar.

Dalam keadaan industri perfileman kita masih di tahap bertatih dan belum berupaya menandingi pencapaian kebendaan Barat, maka apa salahnya kita mencipta nilai tersendiri yang sekurang-kurangnya boleh kita banggakan. Oleh itu, filem dan drama kita tidak sepatutnya terus menampilkan imej stereotaip yang ditiru dari kecenderungan dunia hiburan Barat, sehingga menidakkan realiti masyarakat kita sendiri.

Pertikaian sama turut kedengaran mutakhir ini, terutama apabila para produser filem dan drama seakan beralih selera pula kepada tema berkaitan gangguan makhluk halus. Mereka bagaikan berlumba pula menghasilkan kisah-kisah rekaan yang dikaitkan dengan kepercayaan tahyul dan khurafat. Sehinggakan dalam masa yang singkat, berpuluh cerita berbagai judul berkisar tema tersebut disogokkan kepada penonton, termasuk di kaca tv.

Tema terbaru ini mungkin diminati dan menepati selera sebilangan pihak. Bahkan, mungkin ada yang berhujah kononnya cerita-cerita tersebut turut mengetengahkan kaedah penyelesaian menurut Islam ke atas kes-kes dipaparkan. Namun, bagi khalayak yang prihatin terhadap nilai dan hukum agama, drama dan filem tahyul kebelakangan ini sering memaparkan sesuatu yang tidak menepati gambaran Islam sebenarnya.

Ada pertuturan atau perlakuan oleh para pelakon yang kononnya membawakan watak orang beragama, tetapi jauh melencong daripada keperibadian sebenar yang dikehendaki Islam. Ada juga babak-babak tertentu yang secara jelas dikaitkan dengan sesuatu yang barangkali pada perkiraan pihak penerbit atau pengarahnya boleh memberikan fahaman yang betul terhadap Islam, tetapi nilaian sebenar adalah sebaliknya.

Satu adegan yang sudah stereotaip dalam mana-mana cerita tahyul dan khurafat itu ialah peranan dimainkan orang agama dalam menangani masalah rasukan makhluk halus. Dari satu sudut, agak positif apabila produser memilih untuk mengetengahkan peranan agama dalam menyelesaikan masalah hidup umat. Bagaimana pun, hasrat itu tidak semestinya tiada kesan sampingan.

Bagi mereka yang cetek ilmu agama, mungkin timbul pemahaman bahawa untuk menghapuskan gangguan makhluk halus dan menghindari kejahatannya, cukup hanya dengan mempelajari dan mengamalkan bacaan atau perbuatan tertentu. Sedangkan intipati ditekankan ajaran agama ialah setiap diri mestilah mengamalkan segenap ajaran Islam dalam kehidupan.

Paparan secara ringkas dan mudah itu juga memberi gambaran seolah-olah tugas atau fungsi orang agama seperti tok lebai atau imam kampung ialah menghambat gangguan jin atau syaitan. Ia juga boleh menanam tanggapan yang salah terhadap ajaran agama.

Sudah tiba masanya imej drama dan filem Melayu diangkat ke peringkat yang lebih bermakna, terutama dalam konteks menjadi cerminan budaya bangsa dan negara. Sebab itu amat diharapkan hasil seni lakonan kita membantu memahamkan masyarakat terhadap disiplin agama dan budaya bangsa.

Dalam keadaan sekarang, dunia hiburan dan lakonan kita seakan hilang arah. Ia kelihatan tidak banyak memberi sumbangan kepada pembangunan peradaban dan ketamadunan umat.

Dalam keadaan masyarakat yang dilanda berbagai kebobrokan sosial yang bukan sahaja gagal diselesaikan, bahkan semakin membimbangkan kini, adakah patut kita fokuskan tenaga dan para penggiat seni kita hanya ke arah memenuhi agenda dan matlamat hiburan semata-mata?

Bukankah lebih elok, terlanjur kita sudah tidak dapat mengelak atau menghalang khalayak umum daripada menonton filem dan drama, maka kita manfaatkan ruang yang menjadi tumpuan mereka dengan pengisian bermakna dan positif? Corakkan sahaja seni lakonan kita yang menjadi kegemaran anak muda dan anggota masyarakat dengan nilai dan budaya positif dan baik.

Islam bukan jumud sehingga menuntut agar filem atau artis yang berdisiplin mesti mempamerkan kopiah di atas kepala atau menyertakan setiap dialog dengan nas-nas agama. Yang penting ialah disiplin dalam penampilan dan kandungan. Sekadar menampilkan watak berserban atau bertudung belum tentu isi seninya tidak melanggar batasan Islam.

Hal ini boleh dicapai dengan tindakan bersepadu. Selain pihak dipertanggungjawab selama ini terhadap perkembangan dunia seni dan filem, maka golongan agamawan atau yang memiliki ilmu Islam juga wajar dilibatkan dalm pembikinan filem dan drama. Agaknya selama ini industri lakonan kita tidak memandang penting untuk melantik penasihat seni dari sudut agama secara praktikal dan produktif?

Selain itu, apa kata setiap kali dilaksanakan majlis anugerah perfileman atau drama, maka kategori dinilai dan diberi pengiktirafan bukan sahaja kualiti dari sudut pandang berbagai aspek seni, tetapi turut mengetengahkan aspek syariah.

Sepertimana dalam dunia bolasepak ada nilaian disebut ‘fairplay’ berdasarkan sifat positif dan semangat kesukanan ditunjukkan sesuatu pasukan, maka nilaian ‘fairplay’ untuk filem atau drama pula kita sandarkan kepada sejauh mana hasil seni itu tidak menyanggahi syariah, umpamanya. Tidak salah kita mencubanya, bukan?

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan ERA Muslimah edisi sulung Disember 2011 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama yang turut dipilih menjadi tajuk utama majalah)

Sunday, November 27, 2011

Piala Monsun: Yang dipertahan hanyalah ego BN


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Ketika rencana ini ditulis, Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2011 di Pulau Duyong, Terengganu sedang berlangsung. Ia dijadualkan berlanjutan selama enam hari bermula 22 November.

Biar pun pihak penganjur dan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri menganggapnya acara tahunan yang berprestij dan tidak jemu berusaha menggambarkannya sebagai program membanggakan, kontroversi berkisar penganjurannya tidak pernah padam sedari mula ia diadakan.

Pertikaian mengenai kejohanan itu berpusat kepada persoalan sejauh mana ia memberikan manfaat kepada rakyat dan negeri Terengganu. Sejak pertama kali diadakan pada 2005 hingga kini persepsi umum yang lebih popular ialah kejohanan itu lebih sebagai projek yang “belanjanya besar tetapi manfaatnya tiada”.

Apatah lagi setelah kejohanan bertaraf antarabangsa itu memasuki tahun ketujuh, pelbagai pihak termasuk kalangan pemimpin BN sendiri kerap memperakui betapa ia gagal mendatangkan faedah kepada rakyat Terengganu.

Ertinya, pembaziran dan ketiadaan manfaat dari penganjuran Piala Monsun saban tahun bukan lagi semata-mata dakwaan kosong atau fitnah liar parti pembangkang. Pengakuan terbaru mengenai hakikat itu bahkan datangnya daripada pemimpin nombor satu BN Terengganu sendiri.

“Tidak dinafikan kita tidak memperolehi keuntungan dari segi kewangan bagi penganjuran ini, namun kita menerima kunjungan pelancong asing melalui sukan Monsun Cup (Piala Monsun) yang mendapat perhatian dunia,” demikian pengakuan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said, sepertimana dipetik tabloid harian edisi negeri itu, 6 Oktober lalu.

Kenyataan beliau itu sebagai reaksi terhadap desakan Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat agar kontrak penganjuran Piala Monsun yang akan berakhir tahun hadapan tidak disambung kerajaan negeri. Hanafiah mendakwa pulangan diterima rakyat atas penganjuran kejohanan itu amat tidak berbaloi.

Sememangnya kejohanan itu bagaikan terkena sumpahan. Sedari mula ia dianjurkan, ia tidak habis-habis dilanda kontroversi. Pertikaian bahkan bermula dengan pembangunan drastik yang berlaku ke atas Pulau Duyong, semata-mata bagi memenuhi maksud penganjuran Piala Monsun dengan belanja melangkaui ratusan juta ringgit.

Angka sebenar perbelanjaan dihabiskan BN untuk kejohanan itu bagaimana pun tidak pernah didedahkan secara jelas dan bertanggungjawab. Ada-ada saja dolak-dalih pemimpin kerajaan negeri untuk mengelakkan rakyat mendapat maklumat tepat mengenai jumlah wang mereka yang telah dicurahkan BN di pulau tersebut.

Ada laporan mengatakan hanya RM60 juta dihabiskan untuk penyediaan prasarana kejohanan di tahun pertama. Ada pula laporan lain menyebut jumlah kosnya melebihi RM200 juta. Manakala bual-bicara selepas itu mengheret angka tersebut kepada lebih RM300 juta.

Keengganan parti pemerintah mendedahkan angka sebenar perbelanjaan dan berdepan dengan tuntut faham oleh rakyat menyebabkan keseluruhan projek pembangunan di pulau itu sentiasa dipersoalkan. Pertikaian mengenainya bukan setakat menjadi bahan perbahasan di kedai kopi atau pentas ceramah, malah turut menjadi isu pertikaman lidah antara wakil-wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dalam beberapa sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu sebelum ini.

Di masa sama kesan alam sekitar akibat pembangunan tidak teliti dan tergopoh-gapah di Pulau Duyong turut memberi impak negatif terhadap kegiatan ekonomi penduduk beberapa pulau dan daratan sekitarnya. Hal itu diakui oleh dua bekas Adun BN di kawasan terbabit, iaitu Bukit Tunggal dan Seberang Takir. Masing-masing mengakui aktiviti pembangunan tidak teliti di pulau itu menyebabkan paras air sungai menjadi cetek, sekaligus menjejaskan aktiviti ekonomi penduduk sekitar yang sebahagian besar mereka adalah nelayan dan pengusaha bot penambang.

Kontroversi Piala Monsun tambah diperkatakan pada Ogos 2008 apabila Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh mendedahkan beberapa penemuan tidak menyenangkan mengenai penganjuran perahu layar itu. Beliau mengesahkan betapa kejohanan itu “memakan belanja besar tetapi tidak banyak memberikan manfaat kepada kerajaan dan masyarakat Terengganu”.

Ertinya, jika dinilai berdasarkan keluh-kesah rakyat dan pendedahan serta pengakuan oleh pelbagai pihak, termasuk para pemimpin BN sendiri, sudah tidak ada alasan lagi sebenarnya yang mewajarkan kejohanan itu dipertahankan. Namun Ahmad telah menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap akan menyambung kontrak penganjuran Piala Monsun untuk tahun-tahun berikutnya.

Barangkali satu-satunya alasan atau sebab yang tinggal buat BN untuk meneruskan hasrat itu ialah kerana tidak bersedia tunduk kepada desakan dan bantahan rakyat, lebih-lebih lagi parti pembangkang. Meminjam kata-kata Hanafiah, penganjuran Piala Monsun “hanya mahu menonjolkan keegoan kerajaan BN”.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1694, 28 November 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk sama)

Thursday, November 24, 2011

Terengganu lebih daif daripada Afrika Selatan?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Agaknya kalaulah Terengganu kini di bawah PAS, pada adatnya kes wabak Hepatitis A yang sedang melanda beberapa kampung di daerah Hulu Terengganu akan benar-benar dimanipulasi Barisan Nasional (BN) sebagai bahan menyerang kerajaan negeri. Boleh jadi tidak akan ada pemimpin parti itu yang tidak menyuarakan keluhan dan sesalan terhadap apa yang sedang berlaku kini.

Akan ada juga kumpulan demi kumpulan rakyat yang kononnya prihatin terhadap permasalahan itu tampil meluahkan rasa tidak puas hari terhadap kerajaan negeri menerusi berbagai pertubuhan bukan kerajaan. Manakala segenap saluran media arus perdana berkemungkinan dimanfaatkan semahunya untuk berulangkali menyorot kes itu secara negatif.

Kerajaan negeri pimpinan PAS akan dibalun dan dipersalahkan atas petaka menimpa sebilangan rakyat itu. Ia akan didakwa tidak prihatin atau gagal memastikan kesihatan rakyat terjamin, apabila rakyat terpaksa menggunakan bekalan air yang tidak bersih sehingga menyebabkan mereka terdedah kepada risiko dijangkiti wabak tersebut.

Andaian itu tidak mustahil, bahkan berkemungkinan besar berlaku, terutama jika dilihat daripada reaksi dan kecaman diterima kerajaan Kelantan berhubung risiko wabak merbahaya yang didakwa mungkin dihadapi rakyat negeri tersebut akibat permasalahan serupa.

Tabloid harian pada Isnin, 21 November memetik kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang menyalahkan kerajaan negeri diterajui PAS di atas status bekalan air yang dikatakan tercemar. Beliau memetik hasil ujian Kementerian Kesihatan yang mendapati air di negeri itu dicemari berbagai bakteria merbahaya termasuk bakteria E-coli.

Lantas beliau mengandaikan betapa sebahagian besar rakyat Kelantan berisiko terdedah kepada penyakit berbahaya yang boleh membawa maut sekiranya permasalahan itu tidak diatasi segera. Tanpa selindung Awang Adek menyalahkan pihak pengurusan air negeri. Beliau malah secara terbuka memperlekeh negerinya sendiri yang dianggapnya lebih teruk daripada Afrika Selatan.

“Rakyat Kelantan harus menyuarakan keinginan mereka untuk mendapatkan air bersih dan kegagalan menyediakan air bersih menunjukkan negeri ini begitu daif berbanding Afrika Selatan yang sudah tiada masalah E-coli ini,” katanya, dipetik tabloid berkenaan.

Beliau turut menempelak kerajaan  negeri yang diharapnya jangan hanya pandai berceramah saja, tetapi perlu lebih bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan rakyat sentiasa terjamin, terutama dengan menyediakan bekalan air bersih.

Apa yang dilaporkan di Kelantan itu sebenarnya hanya andaian. Andaian itu juga turut disarati sentimen politik, selain wujud unsur berlebih-lebihan. Setakat ini belum ada wabak dimaksudkan itu dilaporkan berlaku. Masih belum ada mangsa E-coli yang direkodkan di negeri itu sebagai akibat daripada meminum air dibekalkan yang didakwa tercemar bakteria itu.

Namun, reaksinya sudah sedemikian keras seakan satu wabak membimbangkan telah pun melanda negeri itu. Bayangkan sebahagian besar rakyat negeri itu ditakutkan dengan kemungkinan menjadi mangsa wabak tersebut. Bahkan, belum pun tercetus wabak itu, kerajaan negeri sudah pun menerima penangannya.

Bayangkan saja andaikata wabak itu telah pun berlaku dan sudah ada sebilangan rakyat Kelantan menjadi mangsanya, sepertimana yang sedang dialami penduduk Hulu Terengganu kini. Agaknya bagai nak kiamat dunia media saban hari menyorot perkembangan membimbangkan itu.

Namun, kegilaan media itu tidak berlaku dalam kes di Terengganu itu, walau pun sudah berminggu berita wabak Hepatitis A itu dilaporkan. Terbaru, tabloid harian edisi negeri itu pada Isnin melaporkan jumlah mangsa wabak tersebut sudah mencecah 57 orang. Semua mangsa adalah penduduk dari Kampung Basung (35 orang), Kampung Pasir Dula (19) dan Kampung Padang Setebu (3).

 Bagaimana pun laporan itu disajikan kepada pembaca dalam bentuk bersahaja, sama seperti laporan dan berita lain. Gambar Exco bertanggungjawab terhadap kesihatan negeri yang sering dilampirkan bersama berita mengenai wabak itu pula sengaja dipilih dengan pose tersengih, walau pun dia sendiri tidak menolak kemungkinan wabak itu merebak ke daerah lain.

Seperkara menarik, punca wabak itu ada persamaan dengan kemungkinan wabak E-coli yang sangat digeruni Awang Adek di Kelantan itu. Hepatitis A di Hulu Terengganu ini juga berpunca daripada amalan penduduk yang tidak menjaga kebersihan, terutama meminum air yang tercemar dan memakan makanan yang tidak dimasak.

Agak pelik, kegagalan BN Terengganu memastikan kesihatan rakyatnya tidak pula menjadi bahan kritikan mana-mana pihak. Apa kata rakyat negeri itu pinjam hujah Awang Adek tadi dan isytiharkan bahawa Terengganu lebih daif daripada Afrika Selatan?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil:1693, 25 November 2011 di ruangan 'KOLUMNIS' N5 dengan tajuk sama)