MENURUT firasat orang tua-tua,
setiap orang yang akan berpulang ke rahmatullah selalunya akan berkelakuan
ganjil untuk beberapa ketika sebelum tiba ajalnya. Ada yang mengatakan tempoh
itu tujuh hari, ada pula riwayat yang lebih kuat menyebut 40 hari. Malah ada
juga yang dikatakan menampakkan tanda-tanda awal kematian sehingga 60 hari
sebelum tiba waktunya.
Berapa pun tempoh sebenarnya,
itu tidak penting. Apa yang kita tahu, secara natural perkara sebegitu memang ada berlaku. Ada orang yang seumur
hidupnya tidak pernah turun ke laut, misalnya, tiba-tiba sahaja amat ghairah
untuk ‘menjadi nelayan’. Tahu-tahu keghairahannya itu membawa padah. Dia mati
di dalam laut, sebelum sempat pulang dari trip
pertamanya ke medan rezeki nelayan itu.
Begitu juga kita pernah dengar
cerita bagaimana orang yang terlalu takut nak masuk hutan. Tiba-tiba pula
tergerak hati nak ikut kawan-kawan pergi berburu. Tahu-tahu dia menemui nahas
di dalam hutan itu. Seperti dia sudah tahu ajalnya sedang menunggunya di situ.
Ada juga orang yang ‘meracau’
entah apa-apa, minta nak makan itu dan ini yang tidak pernah diminta
sebelumnya. Ada pula yang menunjukkan perangai ‘ganjil’ dan lain dari
kebiasaan. Yang selalunya baik, pongah tak tentu hala. Yang terkenal pongahnya,
tiba-tiba menjadi lemah-lembut dan penyayang pula.
Ada suami yang tak semena-mena
berpesan kepada isteri supaya jaga diri dan jaga anak-anak baik-baik. Selalunya
isteri tidak mengesyaki apa-apa, sehinggalah mendapat berita mengejutkan, si
suami menemui ajal begian dan begian. Ada juga ayah yang berpesan kepada
anaknya supaya jaga emak dan adik-adik baik-baik, sekali pun ayah ‘tidak ada’.
Selang tidak lama, ayah memang betul-betul ‘tidak ada’.
Dalam dunia binatang pun,
tanda-tanda awal kematian bukanlah suatu yang asing. Kata orang tua-tua,
apabila seekor gajah pulang ke tempat lahirnya, itu petanda si gajah itu telah
menghampiri saat kematiannya. Ikan paus pula ada cara ‘buang tabiat’nya
tersendiri. Ia akan melemaskan dirinya di air cetek, atau terus mendamparkan
dirinya di tepi pantai. Sehinggakan kumpulan ‘cinta alam’ yang kurang ada kerja
itu pun kelam-kabut apabila sekali-sekala dapat kerja. Atas nama menyelamatkan
nyawa paus, mereka akan ikhtiar menundanya kembali ke lautan luas.
Dunia politik juga tidak lari
dari fenomena semulajadi itu. Kejatuhan sesebuah parti atau pemerintah yang
sedang berkuasa selalunya didahului beberapa petanda awal. Apa yang
membezakannya dengan kematian manusia dan haiwan, dalam politik ia akan berlaku
tidak sangat secara semulajadi. Ia lebih didorong oleh perlakuan dan tindakan
manusia di sesuatu tempat.
Kejatuhan kerajaan Shah Reza
Pahlavi di Iran didahului dengan siri kezaliman. Rakyatnya hidup terkongkong
dan penuh curiga-mencurigai. Antara mereka sukar dibezakan yang mana rakyat
biasa dan yang mana polis perisik khas Savak.
Shah meletakkan diri dan keluarganya pada kehidupan yang terlalu mewah,
sedangkan rata-rata rakyat Iran dihimpit kemiskinan dan kesengsaraan hidup.
Akhirnya kebencian rakyat
terhadap pemerintah sampai ke kemuncaknya. Rakyat menjadi berani untuk
membantah secara terbuka. Mereka turun ke jalan-jalan raya dan sanggup
bertempur dengan pasukan keselamatan, sehingga bumi Iran dibasahi darah mereka.
Shah terpaksa ‘angkat punggung’ apabila fenomena itu berterusan buat beberapa
ketika.
Apa yang berlaku ke atas regim
Haji Moehamed Suharto di Indonesia dua tahun lalu banyak persamaannya dengan
apa yang berlaku di Iran dahulu. Kezaliman terhadap rakyat, terutamanya pihak
pembangkang, kehidupan keluarga para pemimpin yang terlalu bermewah-mewah, dan
kemelesetan ekonomi yang gagal diatasi para pemimpin negara itu, menyebabkan
rakyat hilang hormat terhadap mereka. Akhirnya rakyat memberontak dan
menyingkirkan mereka.
Kejatuhan regim Ferdinand
Marcos di Filipina, selain disebabkan kezaliman dalam pemerintahan dan
kemewahan hidup keluarganya, ialah juga ekoran tindakan kemuncaknya menembak
mati musuh politiknya yang juga ketua pembangkang, Benigno ‘Ninoy’ Aquino.
Peristiwa itu menjadi titik tolak kepada angin perubahan ketara di kalangan
rakyat negara itu. Marcos akhirnya terpaksa melarikan diri ke luar negara dan meninggal
dunia dalam pelarian.
Di negara-negara Barat pula,
beberapa pemimpin menyaksikan kejatuhan masing-masing akibat bermacam-macam
skandal atau krisis. Jika Richard Nixon terkenal sebagai Presiden Amerika
Syarikat yang jatuh kerana skandal Watergate,
George Bush pula gagal mempertahankan kekuasaan Parti Republikan disebabkan
antara lain oleh skandal Iran-Contra.
Rakan mereka di Jerman, Canselor
Helmut Kohl pula jatuh antara lain disebabkan skandal kewangan. Beliau dan
partinya Christian Democratic Union (CDU) dikecam hebat oleh masyarakat
negaranya dan dibabitkan dengan amalan rasuah, apabila menerima sumbangan
kempen pilihan raya daripada ‘penderma rahsia’ (secret donor).
Parti Liberal Demokratik di
Jepun dan Parti Kongress di India masing-masing gagal mempertahankan
kepercayaan rakyat negara mereka ekoran krisis dalaman parti yang berlarutan.
Manakala Parti Konservatif di Britain pula jatuh ekoran krisis ekonomi
negaranya yang gagal diperbaiki oleh pemerintahan John Major.
Secara keseluruhan, berdasarkan
contoh-contoh yang disebut di atas, kejatuhan seseorang pemimpin atau sesebuah
parti pemerintah dari tampuk kekuasaan masing-masing didahului petanda-petanda
awal yang seakan-akan sama. Perangai buruk dalam pemerintahan, seperti berlaku
zalim terhadap lawan politik dan juga rakyat, para pemimpin utama negara
membina kehidupan yang terlalu mewah berbanding kehidupan rakyat jelata, krisis
ekonomi negara yang meletakkan rakyat dalam keadaan terhimpit, amalan rasuah
dan skandal kewangan di kalangan pembesar, atau krisis dalaman parti
masing-masing, menjadi penyakit-penyakit yang telah terbukti meruntuhkan
kekuasaan sesebuah pemerintahan.
Adalah tidak keterlaluan jika
dikatakan bahawa Barisan Nasional (BN), yang telah diberi mandat memerintah
negara ini sejak sekian lama itu, memiliki kesemua petanda awal yang dinyatakan
tadi. Rekod kezaliman atau ketidakadilan pemerintahan BN amat menggerunkan. Ia
berlaku zalim bukan sahaja kepada musuh-musuh politik di kalangan pembangkang,
malah kerap juga ‘melepaskan gian’ sikap ganas itu kepada sesama kalangan
mereka.
Malah, kezaliman BN tidak
terbatas sekadar di dunia politik. Ia turut terbawa-bawa ke dalam aspek sosial,
perundangan dan ekonomi. Rakyat terbanyak menjadi komponen utama dalam negara
yang menerima kesan paling besar di atas segala perlakuan buruk itu.
Bagi Parti Islam SeMalaysia
(PAS), kezaliman sesebuah pemerintahan yang paling besar ialah apabila ia tidak
meletakkan Islam pada tempat yang sepatutnya. Di Malaysia, Islam jelas menjadi
agama yang diperintah, dan bukannya agama yang memerintah negara. Perlembagaan
negara dengan jelas mensyaratkan mana-mana hukum atau undang-undang yang diadakan
selepas merdeka, yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia, adalah tidak sah
dan terbatal. Ia tidak mengira langsung sama ada kewajiban menegakkan hukum dan
peraturan itu dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran atau tidak.
Sebab itu, Perlembagaan Persekutuan
dikira menjadi halangan utama kepada pelaksanaan hukum dan undang-undang Islam
di mana-mana negeri di negara ini. PAS telah lama memperincikan bentuk
kezaliman ini. Selama setahun dalam era 80-an, PAS mengutarakan tema tahunannya
dengan tajuk ‘Bertindak Menentang
Kezaliman’. Berbagai-bagai bentuk kezaliman diperjelaskan kepada rakyat.
Penekanan utamanya sudah tentulah kezaliman tidak melaksanakan hukum dan
peraturan Allah. Maka PAS secara terus terang menyeru rakyat supaya menolak
pemerintahan BN.
Penerangan berterusan selama
belasan tahun itu rupa-rupanya mula membuahkan hasil. Hakikat itu terbukti
apabila berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-10. BN dengan jelas telah ditolak
oleh rakyat, khususnya para pengundi Melayu beragama Islam. Seluruh negara menyaksikan
kemerosotan undi yang diperolehi calon-calon BN dengan amat ketara, terutama di
kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.
Walau pun BN masih mampu meraih
kemenangan dan mengekalkan majoriti dua-pertiga di Dewan Rakyat, itu tidak
bermakna kekuatannya masih seutuh sebelum ini. Di banyak kawasan yang sebelum
ini menyaksikan kemenangan cemerlang calon-calon BN dengan majoriti puluhan
ribu, kali ini majoriti yang dipungut mereka menjunam kepada hanya beberapa
ratus undi. Mereka menang dengan ‘nyawa-nyawa ikan’ sahaja.
Mungkin luka paling parah bagi
BN dalam sejarahnya menghadapi pilihan raya ialah apabila ia terpaksa
menyaksikan kekalahan beberapa anggota kabinet pusat dan anggota Exco di
beberapa kerajaan negeri. Bayangkan orang sekuat Datuk Seri Megat Junid Megat
Ayub pun boleh kalah. Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna itu tewas di Parlimen Parit, Perak.
Rakan sejawatnya di Kedah,
Datuk Paduka Dr. Abdul Hamid Othman juga turut ditolak oleh rakyat di Parlimen
Sik. Manakala Datuk Dr. Ibrahim Saad, seorang timbalan menteri, turut kecundang
di Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Rakyat Kelantan pula
membuktikan mereka masih tidak bersedia menerima BN. Mereka menumbangkan tiga
anggota kabinet, termasuk dua orang menteri penuh yang bertanggungjawab
terhadap tiga kementerian. Datuk Mustapa Mohamad yang memegang dua jawatan
menteri sekaligus, iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Menteri Kewangan
Kedua, tewas di Parlimen Jeli.
Menteri Pembangunan Luar
Bandar, Datuk Annuar Musa, kecundang di Peringat. Manakala Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paduka Ibrahim Ali, tersembam di Pasir Mas.
Rakyat Terengganu pula menyahut
seruan PAS agar ‘Bangkit Menolak BN’.
Tiga anggota kabinet tersungkur di tangan calon-calon PAS. Timbalan Menteri
Pertanian, Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansur tewas di Parlimen Setiu. Timbalan
Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Idris Jusoh pula kalah di kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kampung Raja. Manakala seorang lagi Timbalan Menteri,
Datuk Abu Bakar Daud, gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Melihatkan kejadian itu seorang
pengamat politik Terengganu berkata, nasib baik juga di kalangan para pemimpin
BN Terengganu tidak ada seorang pun yang dilantik menjadi menteri penuh, dan
ada hanya tiga timbalan menteri sahaja. Kerana, katanya, “sekiranya menteri
penuh sekali pun yang bertanding atas tiket ‘dacing’ (simbol BN), dia akan tersugung (tersembam) juga”.
Bunyinya mungkin agak takbur
sedikit. Namun mood yang dipaparkan oleh para pengundi di Terengganu
lewat pilihan raya lalu memaksa kita untuk tidak semudah itu menolak kebenaran
di sebalik kata-kata hamba Allah tadi. Kalau tidak, masakan pemimpin sekuat Tan
Sri Datuk Seri Amar Diraja Wan Mokhtar Ahmad pun boleh ditewaskan di kawasan
kubu kuat BN.
Bekas Menteri Besar Terengganu
itu bertanding mempertahankan kerusi DUN Cukai, dalam Parlimen Kemaman, yang
terkenal sebagai kawasan paling kebal bagi BN di Terengganu. Beliau pula adalah
pemegang rekod Menteri Besar paling lama menerajui sebuah negeri, iaitu
melebihi 25 tahun.
Namun, rekod pentadbiran yang
didakwa sangat ‘cemerlang’ oleh BN itu terbukti gagal memberikan sebarang advantage kepada parti itu. Segala saham
pembangunan yang dipacu oleh BN selama 38 tahun pemerintahannya (sejak 1961),
seolah-olah dilupakan buat seketika oleh rakyat Terengganu. Mereka bukan mahu
mengatakan pembangunan material itu tidak penting. Tetapi mereka semakin faham
bahawa pembangunan fizikal itu semestinya seiring dengan pembangunan mental dan
spiritual.
Apa gunanya negeri maju kalau
seinci demi seinci tanah warisan pusaka terlepas ke tangan ‘orang lain’,
seperti yang berlaku di Pulau Redang, misalnya? Apa yang boleh dibanggakan
dengan bangunan besar dan tinggi, kalau ia bukan dimiliki oleh umat Islam?
Lebih penting lagi, rakyat yang
semakin faham itu turut mempersoalkan, siapakah sebenarnya yang memperoleh
manfaat langsung daripada segala pacuan pambangunan itu? Alhamdulillah, melalui
pendedahan demi pendedahan yang dilakukan parti-parti alternatif, sekali pun
dengan keterbatasan wasilah penerangan (hanya dengan ceramah dan akhbar Harakah), semakin ramai rakyat yang
menjadi ‘celik politik’. Mereka sedar bahawa jawaban kepada persoalan mereka
itu bersemadi di sebalik isu kronisme dan nepotisme dalam pemerintahan BN.
Terima kasih kepada BN yang
memperkenalkan teknologi maklumat, termasuk kemudahan internet, beserta kempen
kerajaan agar rakyat ‘celik maklumat’. Ternyata teknologi berkenaan bermanfaat
mencelikkan rakyat terhadap pergolakan politik negara. Rakyat yang ‘celik
maklumat’ akhirnya menjadi ‘celik politik’ dan tidak mahu terus-terusan bersama
dengan parti yang terbukti banyak membawa haru-biru dalam negara.
Gelombang ‘celik politik’ itu
telah melanda seluruh negara. Rakyat begitu cepat menelah sepak terajang
politik para pemimpin BN.
(Artikel ini adalah Bab 5, Bahagian B: Tanda-tanda Kemenangan, di dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)
No comments:
Post a Comment