Oleh: Anuwa Jamalullail
Timbalan Unit Risikan Kewangan Bank Negara Malaysia,
Yusof Sulong dilaporkan telah mencadangkan supaya kerajaan negeri Terengganu
membuat rombakan Exco bagi memastikan Terengganu mencapai agenda penjenamaan
semula. Beliau membuat gesaan itu pada majlis Penerangan dan Diskusi Bajet 2006
di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 25 Disember lalu.
Spekulasi rombakan Exco negeri mula menjadi bahan
percakapan rakyat Terengganu sejak setahun lalu, iaitu belum pun sampai setahun
Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaannya.
Desas-desus itu memuncak pada September 2005 apabila akhbar melaporkan
Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, membayangkan untuk berbuat demikian
dalam salah satu sidang akhbarnya. Idris menegaskan bahawa rombakan boleh
berlaku pada bila-bila masa jika didapati ada anggota Exco gagal menjalankan
tanggungjawab kepada rakyat.
Kini, kerajaan BN sudah berusia hampir dua tahun. Tempoh
itu sudah cukup bagi Idris untuk menilai dan memberi markah kepada anggota Exconya.
Sama ada lulus atau gagal, semuanya bergantung kepada penilaian Idris sendiri.
Ada di antara anggota Exco sedia ada dikatakan “tidak
mesra” dengan rakyat kerana mungkin merasakan diri mereka sudah cukup hebat. Manakala
Idris sendiri pernah didakwa melabelkan beberapa Exconya sebagai “cap ayam”,
lantaran gagal menyempurnakan tugasan yang diberikan.
Dalam bahasa Terengganu, “cap ayam” bermaksud koman,
tidak berkelayakan atau low class.
Walaupun diperintah BN sejak 1961 (hanya empat tahun di
bawah PAS), Terengganu masih dianggap salah sebuah negeri yang ketinggalan
berbanding negeri-negeri lain. Berbeza dengan apa yang sering digambarkan para
pemimpin negeri, tahap pembangunan Terengganu kini tidaklah boleh dibanggakan
sangat. Aktiviti ekonomi rakyatnya ternyata masih lembab.
Beberapa kawasan perindustrian yang dipromosi begitu
hebat masih kosong dan lengang. Pelabur
yang pernah diberitakan berminat membuka perniagaan mereka hingga kini masih
belum muncul.
Prasarana di pusat-pusat perniagaan rakyat tempatan juga
masih di takuk lama. Pasar Jerteh di Besut belum dibuat apa-apa pembaikan atau
penaiktarafan. Pasar buah di Simpang Tiga Ajil di Hulu Terengganu masih daif,
sesak dan menyakitkan mata memandang. Sedangkan ia berada di laluan masuk ke
Terengganu dari pedalaman Pahang.
Kerosakan Pasar Kedai Payang pula lambat dibaiki. Bumbungnya
dikesan bocor, manakala longkangnya tersumbat menyebabkan air sering bertakung.
Keadaan menjadi bertambah kotor dengan sampah sarap yang terbiar.
Unit kedai dan industri di Bukit Kor, Maranag juga
dilaporkan kurang mendapat sambutan kerana lokasi dan kurang kemudahan
berkaitan. Kompleks Perusahaan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU)
berhampiran kawasan itu turut mengalami masalah sama.
Sejak hampir dua tahun lalu juga, bekalan air sering
terputus. Soal tekanan air terlalu rendah pula sudah menjadi lumrah. Ia berlaku
di seluruh negeri. Ke manakah perginya kehebatan para pemimpin BN menyelesaikan
permasalahan tersebut?
Dalam kebuntuan mereka menangani masalah pembangunan,
para pemimpin negeri cuba menukar suasana musim tengkujuh daripada kesedihan
kepada keceriaan. Mereka membawakan Piala Monsun dengan menjemput para
pelancong asing menjayakannya.
Apa yang dipersoalkan rakyat kini ialah sejauh manakah
kesan kejohanan itu kepada ekonomi rakyat? Sepanjang tempoh kejohanan (29
November-4 Disember 2005), berapa banyak penambahan pendapatan diperolehi para
peniaga di sekitar kawasan kejohanan, seperti di Pasar Kedai Payang, Losong dan
Pulau Duyong sendiri? Betulkah hotel dan chalet fully-booked? Sejauh manakah kejohanan itu berjaya menarik
kunjungan pelancong domestik?
Sebenarnya, rakyat Terengganu telah ada jawaban kepada
soalan-soalan berkenaan. Sebab itu, walau pun Idris sendiri pernah menjanjikan
25,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu dalam masa lima tahun ini,
mereka sudah tidak mahu membuang masa menunggu dan mengharapkan janji itu
tertunai. Rakyat telah mencari penyelesaian sendiri bagi mempertingkatkan ekonomi
keluarga.
Antara mereka ada yang sanggup mencari rezeki dengan
mengutip sampah. Sebagaimana dilaporkan akhbar, tujuh keluarga menjadikan
kawasan pelupusan sampah Majlis Daerah Hulu Terengganu di Ajil sebagai tempat
mereka mencari rezeki. Cerita yang sama turut berlaku di kawasan pelupusan
sampah berhampiran Bukit Payong, Marang. Apakah kerja selongkar sampah itu
sebahagian daripada janji 25,000 peluang pekerjaan tadi?
Kebetulan atau tidak, wakil rakyat di kedua-dua DUN
berkenaan (Ajil dan Bukit Payong) adalah anggota Exco kerajaan negeri. Barangkali
ini salah satu petunjuk bahawa apa yang pernah dilafazkan Idris sendiri tentang
kewujudan “Exco cap ayam” itu ada kebenarannya.
Bagi memastikan agenda memajukan negeri tidak tergendala
dengan kehadiran “Exco cap ayam”, Idris perlu mempunyai barisan Exco yang
mantap. Rombakan Exco tidak dapat
dielakkan, biar pun ia ibarat mengeluarkan kentut. Jika dilakukan ia akan berbunyi, berbau busuk
dan memalukan. Tetapi jika ditahan, ia akan terus menyeksa badan!
(Artikel ini
disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 012, 20 Januari 2006, dengan tajuk
sama)