Tuesday, August 15, 2000

Sejarah PAS di Terengganu


PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) ditubuhkan secara rasminya pada 24 November 1951. Itu secara rasmi. Maka berbeza dengan apa yang lazim difahami, PAS sebenarnya bukanlah lahir dari rahim ataupun tulang rusuk Umno (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu). Benih perjuangan PAS telah ditanam di negara ini jauh lebih awal daripada itu, seawal tahun 1906, apabila gerakan reformasi yang diilhamkan dari kebangkitan Harakatul Islamiyah mula bergerak ke Timur Tengah, khususnya yang dipelopori oleh Sheikh Muhammad Abduh di Mesir. Pengaruh ini menjalar ke alam Melayu melalui Syed Sheikh al-Hadi, yang menerbitkan jurnal al-Imam (1906-1908) dan akhbar al-Ikhwan (1926-1931).

Gerakan reformasi ini begitu berpengaruh dalam masyarakat Melayu sehingga ia meresapi arena politik. Parti politik Melayu pertama, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (Malaya Nationalist Party – MNP) yang diasaskan pada Oktober 1945, telah menubuhkan sayap atau bahagian Islam dalam struktur organisasinya. Sayap Islam MNP inilah yang bertanggungjawab melahirkan Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA), yang darinya wujud pula parti politik Islam pertama di Tanah Melayu, iaitu Hizbul Muslimin.

Umno ditubuhkan sebagai ‘anak emas penjajah’, pada tahun 1946. Mereka melihat keghairahan sokongan yang diberikan masyarakat Islam kepada Hizbul Muslimin dengan penuh cemburu. Atas perkiraan politik itu barangkali penjajah British pun mengharamkan Hizbul Muslimin, pada Jun 1948. Peraturan Darurat diisytiharkan, dan tujuh orang pemimpin utama Hizbul Muslimin ditahan oleh penjajah British. Manakala Umno dan para pemimpinnya dibiarkan terus berpolitik tanpa sebarang persaingan dari mana-mana parti.

Bagaimanapun, semangat dan arus sokongan kental terhadap suara Islam tidak dapat lagi diempang dengan mudah. Dalam hal ini penghargaan perlu dihulurkan kepada Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Mudir Madrasah Ehya As-Shariff, Gunung Semanggol, Perak. Sebagai pemimpin MATA dan juga Hizbul Muslimin yang telah ditahan penjajah British, beliau telah menggarap sebahagian besar “ground work” bagi melebarkan persekitaran untuk memudahkan penubuhan PAS.

Orang banyak menganggap Ustaz Ahmad Fuad Hassan, Ketua Bahagian Islam Umno, yang memainkan peranan dalam penubuhan PAS. Sebenarnya peranan yang dimainkan oleh Ustaz Ahmad Fuad itu lebih didorong oleh tujuannya untuk menyelamatkan karier politik sahabat karibnya, Dato’ Onn Jaafar. Manakala orang perseorangan yang mula-mula membuat inisiatif, yang kemudiannya membawa ke arah penubuhan PAS di perjumpaan Persatuan Ulama-ulama Se-Malaya yang dianjurkan oleh Umno itu, ialah Ustaz Othman Hamzah. Beliau seorang guru di Madrasah Ehya As-Shariff, dan bekas Ahli Jawatankuasa Agung Hizbul Muslimin yang diharamkan itu.

Peranan Hizbul Muslimin dalam penubuhan PAS lebih terserlah apabila sebahagian besar bekas pemimpin utamanya turut aktif menerajui PAS. Nama-nama seperti Ustaz Baharuddin Latif, Haji Khaidir Khatib, Ustaz Yunus Haji Yatimi dan Muhammad Asri Haji Muda adalah antara yang berperanan penting.

Dalam masa dua tahun selepas penubuhannya, PAS mengembangkan sayapnya ke Pantai Timur, cawangan pertamanya di sini ditubuhkan di Pekan Pasir Mas, Kelantan, pada 23 Julai 1953, atas inisiatif Ustaz Amaluddin Darus dan Ahmad Yatim. Seramai 60 orang penduduk pekan tersebut mendaftar menjadi ahli PAS pada hari penubuhannya.

Pergerakan PAS di Terengganu, bagaimanapun, hanya bermula pada tahun 1956, kira-kira setahun selepas Pilihan Raya Umum Pertama (27 Jun 1955). Cawangan pertamanya ditubuhkan di Dungun, pada 6 Julai 1956. Majlis penubuhannya dibuat di Madrasah az-Zainiyah, Sura Gate, Dungun. Seramai 23 orang penggerak utama politik Islam dari seluruh negeri berkumpul membincangkan penubuhan itu. Muhammad Asri Haji Muda hadir sebagai wakil dari Pejabat Agung PAS.

Tuan Guru Haji Zainal Abidin bin Aman dilantik mengetuai cawangan baru itu. Dalam tahun yang sama cawangan di Kuala Terengganu pula ditubuhkan. Ia diikuti dengan Cawangan Kemaman (1957), Cawangan Besut (1958) dan Cawangan Kuala Berang (1958).

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) pula ditubuhkan pada tahun 1957. Pesuruhjayanya yang pertama ialah Haji Muhammad Asri sendiri. Lantikan Asri itu sebenarnya dibuat lebih awal, iaitu sejak 1956, sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan-Terengganu. Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Terengganu selepas beliau ialah Mohd Azzam Hanafiah (1957-59), Haji Mohd Daud Samad (1959-63), Ustaz Haji Omar Shukri Embong (1963-66), Haji Mohd Daud Samad (1966-72), Ustaz Haji Kassim Ahmad (1972-75), Haji Abdul Wahab Yunos (1975-82), Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (1982-89), Ustaz Haji Harun Taib (1989-97) dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (1997 – sekarang).

Penubuhan sayap parti
Sayap pertama parti PAS yang ditubuhkan di Terengganu ialah Dewan Pemuda PAS Negeri. Ia tertubuh secara rasmi pada 20 Januari 1961, melalui satu mesyuarat para pemuda PAS seluruh negeri Terengganu, yang diadakan di Pejabat BPPNT, Jalan Masjid Abidin, Kuala Terengganu. Ustaz Amaluddin Darus selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ketika itu hadir sebagai wakil dari Pejabat Agung PAS.

Setahun selepas penubuhan DPPNT, Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu (DUPNT) pula ditubuhkan. Pelancaran penubuhannya pada 17 Mei 1962, di Kuala Terengganu, dilakukan oleh Pesuruhjaya PAS negeri ketika itu, Ustaz Omar Shukri Embong. Haji Abbas Awang telah dilantik sebagai ketuanya yang pertama. DUPNT kemudiannya diterajui oleh Haji Syafie Mohamad, Ustaz Haji Ghazali Haji Ahmad, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Ustaz Haji Awang Nasaruddin Abu Bakar, yang menjawat jawatan itu sehingga sekarang.

Penubuhan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) berlaku agak lewat, iaitu pada tahun 1973. Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat ketika itu, Ustazah Zubaidah Ali telah hadir menyempurnakan penubuhannya. Hajjah Fatimah Ismail dilantik menjadi ketua DMPNT yang pertama. Beliau menerajuinya selama 16 tahun, iaitu sehingga 1989. Ketua DMPNT seterusnya ialah Hajjah Aishah Awang (1989-91), Hajjah Zaindun Yusoff (1991-97) dan Hajjah Fatimah Ibrahim (1997- sekarang).

Kemenangan pertama
Susur galur perjuangan PAS di Terengganu menyaksikan berbagai-bagai suasana suka-duka yang dipenuhi kegagalan dan juga kejayaan. Penyertaan pertamanya dalam Pilihan Raya Umum 1959 benar-benar memeranjatkan kawan dan lawan. PAS berjaya memenangi 13 daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dan empat daripada enam kerusi Dewan Rakyat, iaitu di Besut, Kuala Trengganu Utara, Trengganu Tengah dan Dungun.

“Kita menang terlalu cepat”, kata Professor Zulkiflee Muhammad sebagai mengulas kemenangan PAS di Terengganu ini. Manakala kerajaan Perikatan pula semacam tergamam oleh kejutan yang tidak disangka-sangka. Pada 20 Jun 1959, kerajaan PAS Terengganu secara rasminya ditubuhkan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Setiu, Mohd Daud Samad, dilantik sebagai Menteri Besar.

Kerajaan PAS Terengganu bagaimanapun tidak dianugerahkan usia yang panjang. Punca utama keruntuhan kerajaan itu ialah percakaran sesama sendiri. Ustaz Amaluddin Darus pernah mencatatkan suasana ketika itu:
“Saya merasa ketakutan dengan kemenangan ini. Kerana di Terengganu saya telah melihat percakaran sama sendiri setelah menang 13 dari 24 kerusi Dewan Negeri. Percakaran itu akan melumpuhkan perpaduan dan keutuhan kerajaan yang akan ditubuhkan di sana. Saya baru beberapa jam meninggalkan Kuala Trengganu. Tanda-tanda kehancuran kerajaan PAS di Trengganu yang bakal ditubuhkan bermula dari apa yang saya saksikan tadi.”

Kelemahan kepimpinan PAS negeri yang tidak mempunyai sebarang pengalaman mentadbir negeri turut menyumbang kepada keruntuhan tersebut. Sementelahan pula strategi politik wang yang dilaksanakan oleh parti Perikatan telah berjaya memperdaya beberapa orang ADUN PAS. Ada di antara mereka yang bertindak keluar PAS untuk menyertai Umno, sehingga berlakunya undi tidak percaya terhadap Kerajaan Negeri, melalui sidang DUN Terengganu pada 30 Oktober 1961, dan seterusnya menamatkan hayat kerajaan PAS di negeri itu.

Sejak dari saat itu PAS menjadi parti pembangkang utama di Terengganu. Ia hanya kembali buat seketika berkongsi menerajui Kerajaan Negeri melalui pakatan PAS-Perikatan. Kerajaan campuran itu berlangsung antara 1972 hingga 1974. Beberapa ADUN PAS diberi tempat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

Dalam Pilihan Raya Umum 1974 PAS seolah-olah tidak wujud apabila semua penyertaannya dilakukan atas tiket Barisan Nasional (BN). Beberapa calon PAS diberi peluang menang mudah di sebilangan kerusi DUN dan juga Parlimen. Beberapa orang ADUN PAS turut dilantik menjadi Ahli MMK, di samping beberapa orang Ahli Dewan Rakyatnya menganggotai Kabinet Persekutuan. Namun perkongsian antara PAS dan Umno itu juga tidak lama. Ia berakhir setelah krisis kepimpinan Kelantan memuncak pada tahun 1977.

Masa berlalu begitu pantas. PAS yang pernah bangkit, telah pernah tersembam. Ia bangkit kembali, dan tersungkur lagi. Bagaimanapun, ia tidak serik dan tidak patah semangat. Ia mampu bangkit semula dan terbukti kini ia telah bangkit semula.

Para pemimpinnya di semua peringkat juga telah silih-berganti datang dan pergi. Nama-nama yang tersenarai sebagai pemimpin utama di peringkat negeri Terengganu itu sebahagian besarnya tidak lagi bersama kita sekarang. Antara mereka ada yang telah dijemput pulang oleh Allah Ta’ala, dan ada juga yang telah bersara dari arena politik aktif akibat keuzuran yang menghambat usia. Tidak kurang juga yang ‘tercicir’ dari jalan perjuangan akibat berbagai-bagai silauan keduniaan.

Pun begitu, segala nikmat yang dikecapi oleh generasi PAS sekarang hasil kemenangan 29 November 1999 lalu, adalah merupakan sambungan mata rantai perjuangan yang telah dirintis oleh mereka itu. Siapalah kita sekarang tanpa adanya mereka dahulu yang telah berjuang dengan serba kepayahan dan penuh keikhlasan. Entah kenal atau tidak kita dengan PAS, kalaulah tidak kerana adanya para pemimpin terdahulu itu! Kita hanya bernasib baik kerana Allah Ta’ala mentakdirkan kemenangan berlaku di zaman kita.

Justeru, jangan merasa terlalu bangga atau besar hati dengan kemenangan ini. Lebih buruk lagi, jika ada di kalangan ahli-ahli PAS yang baru ‘setahun-jagung’ menyertai perjuangan ini, lalu merasakan bahawa kemenangan PAS di Terengganu ini adalah hasil penyertaan dan kerja kuat mereka. Dakwaan sebegitu tidak ada guna langsung dalam kita menjana pengisian kemenangan ini.


(Artikel ini adalah Bab 15 dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment