Tuesday, August 15, 2000

Profil Tiga Setiausaha MB Terengganu (1999-2004)



Haji Hussin bin Ismail
Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar

HUSSIN bin Ismail dilahirkan pada 10 Mei 1955 di Kampung Tebakang, Bukit Payong, Kuala Terengganu. Mula mendapat pendidikan formal di Sekolah Kebangsaan Tasik (1962-1967), beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Padang Midin, Kuala Terengganu (1968-1970).

Berbekalkan kejayaan cemerlang di peringkat menengah rendah, Hussin berjaya mendapat tempat di Sekolah Menengah Alam Shah, Kuala Lumpur – salah sebuah sekolah berasrama penuh yang sangat berprestij di negara ini. Dari situ beliau melangkah ke menara gading, Universiti Pertanian Malaysia, di Serdang. Dia menamatkan pengajian di sana pada tahun 1979, dengan memperolehi Diploma Sains dan Pendidikan.

Sewaktu di universiti, Hussin mengambil bahagian yang aktif dalam berbagai-bagai persatuan pelajar, seperti Kesatuan Pelajar Islam Semenanjung (KPIS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan pertubuhan belia. Dia juga pernah menjadi Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM).

Sebaik tamat pengajiannya Hussin pun mendirikan rumahtangga. Dia mula bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang. Tugas itu terpaksa ditinggalkannya pada tahun 1980, terdorong oleh minatnya yang mendalam dalam bidang perniagaan. Dia bersama beberapa rakannya telah menubuhkan rangkaian perniagaan Hijrah Agency.

Cikgu Haji Hussin mendaftarkan diri secara rasmi sebagai ahli PAS pada tahun 1981. Tahun berikutnya dia terus diserapkan dalam belasan utama kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Dalam Pilihan Raya Umum 1982, Cikgu Haji Hussin buat pertama kali dipilih untuk bertanding di DUN Bukit Payong. Berdepan dengan calon BN, Abdul Razik bin Taib, Cikgu Haji Hussin mendapat 3,209 undi, manakala pencabarnya memperolehi 3,569. Calon BN itu menang tipis dengan 360 undi.

Sejak itu peranan Cikgu Haji Hussin dalam kepimpinan Pemuda semakin menyerlah, terutama apabila dia menjadi Setiausaha DPPNT dan juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang. Dalam Pilihan Raya Umum 1986, sekali lagi dia diamanahkan bertanding. Kali ini di DUN Serada pula, berdepan dengan calon BN, Jusoh @ Kobi din Musa. Cikgu Haji Hussin memperolehi 3,194 undi, manakala Jusoh mendapat 3,766 undi. Itu bermakna calon BN berjaya mengatasi Cikgu Haji Hussin dengan 572 undi.

Kekalahan dalam pilihan raya bukan bererti kegagalan selama-lamanya. Cikgu Haji Hussin terus berperanan memajukan parti, dan selaku pemimpin utama DPPNT dia bersama rakan-rakan telah berjaya buat julung kalinya menganjurkan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah, pada tahun 1998. Hayatnya dalam Dewan Pemuda Negeri berakhir sebagai Naib Ketua pada tahun 1995, disebabkan peraturan had umur 40 tahun.

Kira-kira dalam tempoh yang sama (1984-1995), Cikgu Haji Hussin turut berperanan di peringkat Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai Exco. Apabila Unit Amal Malaysia ditubuhkan pada tahun 1991, Cikgu Haji Hussin ditugaskan sebagai Pengarahnya. Dia memegang jawatan tersebut hingga sekarang. Namanya pun seakan sinonim dengan Unit Amal. Bahkan lagu temu Unit Amal bertajuk ‘Beramal Kerana Allah’ adalah hasil ciptaan dan gubahannya.

Cikgu Haji Hussin juga adalah Pengerusi Tetap Dewan Pemuda PAS Pusat sejak 1995 hingga sekarang.

Setelah PAS megambilalih pemerintahan Terengganu selepas Pilihan Raya Umum 1999, Tuan Guru MB telah menamakan Cikgu Haji Hussin bin Ismail sebagai Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar.


Haji Zahari bin Mohamad
Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Besar

ZAHARI bin Mohamad dilahirkan dalam sebuah keluarga petani di Kampung Apal, Besut, Terengganu, pada 15 November 1952. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Apal dekat rumahnya (1958-1963) beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jerteh (1964-1969), sebelum menyambung lagi ke Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA) di Batu Burok, Kuala Terengganu (1970-1973).

Atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, pemburuan pendidikan Zahari terhenti beberapa lama. Beliau hanya menyambung kembali pengajiannya pada tahun 1981, dalam jurusan Pengajian Islam, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau berjaya memperolehi ijazah Sarjana Muda pada tahun 1984.

Zahari sempat berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah di Terengganu selama hampir dua tahun (1984-1986), sebelum meletakkan jawatan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1986. Beliau mewakili PAS di DUN Jabi, menentang calon BN, Hassan bin Said. Ustaz Zahari berjaya mengutip 2,941 undi, manakala Hassan memungut 3,491 undi. Kemenangan memihak kepada calon BN itu, dengan majoriti 550 undi.

Pilihan Raya Umum 1990 sekali lagi mempertemukan kedua-dua mereka di DUN yang sama. Kali ini nasib Ustaz Zahari lebih baik. Beliau berjaya mengalahkan Hassan dengan majoriti 1,036 undi. Beliau memperolehi 4,210 undi berbanding Hassan yang memungut 3,174 undi.

Keputusan Pilihan Raya Umum 1995 bagaimanapun amat mengejutkan banyak pihak. Ustaz Zahari yang mempertahankan DUN Jabi tewas dengan hanya 27 undi kepada calon BN, Mohd Lukman bin Muda. Calon BN itu memperolehi 4,124 undi berbanding Ustaz Zahari yang memungut 4,097 undi.

Peristiwa tersebut bagaimanapun membuka kembali peluang bagi Ustaz Zahari untuk meneruskan perburuan ilmunya. Beliau menyambung kembali pengajiannya di UKM, di peringkat Sarjana, pada tahun 1997, dan dua tahun kemudian berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Pengajian Islam.

Pada tanggal 14 Disember 1999, iaitu kira-kira dua minggu selepas pembentukan kerajaan baru pimpinan PAS di Terengganu, Ustaz Zahari bin Mohamad telah dilantik menjadi Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Besar Terengganu.


Zaihan bin Mohd Daud
Setiausaha Khas Kepada Menteri Besar

ZAIHAN bin Mohd Daud dilahirkan dalam sebuah keluarga ‘orang kuat’ PAS di Jerteh, Besut, Terengganu pada 4 Januari 1958. Ayahnya Haji Mohd Daud bin Abdul Samad adalah bekas Menteri Besar kerajaan PAS Terengganu (1959-1961). Manakala ibunya Hajjah Fatimah binti Ismail adalah Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu yang menerajui sayap parti itu selama lebih 16 tahun (1973-1989).

Zaihan mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Kampung Buloh, Besut, dari tahun 1965 hingga 1966. Dia kemudian berpindah ke Tengku Mahmood Primary School, Alor Lintang, Besut, untuk selama empat tahun berikutnya, sebelum melanjutkan pendidikan peringkat menengahnya di Tengku Bariah Secondary Shool, Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Dia menyambung lagi pendidikannya ke Sekolah Menengah Sains Pahang, Kuantan (1974-1975). Seterusnya ke peringkat ijazah di University of Aston, Birmingham, England, dalam jurusan Statistik dan Matematik. Dia berada di sana sehingga tahun 1983.

Sekembali ke tanahair Zaihan berkhidmat dengan beberapa agensi swasta di Kemaman, Terengganu, sebagai Pegawai Akaun dan juga Pegawai Eksekutif syarikat. Di sana juga dia mula bergiat aktif dalam politik dan memegang beberapa jawatan utama parti di peringkat kawasan, seperti Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Ketua Penerangan Kawasan dan terakhir sebagai Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, sebelum berpindah untuk aktif di Kawasan Marang.

Di kawasan barunya Zaihan turut berperanan sebagai Ketua Dewan Pemuda dan juga Ketua Penerangan Kawasan untuk beberapa ketika. Dia juga turut memainkan peranan utama dalam Dewan Pemuda Negeri, sebagai Ketua Penerangan.

Kemenangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang menerusi Pilihan Raya Umum 1990 membuka lembaran baru kerjaya politik Zaihan. Dia dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Marang, dan bertugas sepenuh masa dengan Timbalan Presiden PAS itu sehingga Pilihan Raya Umum 1999.

Apabila kerajaan baru ditubuhkan ekoran kemenangan bergaya PAS ke atas BN di Terengganu, Zaihan bin Mohd Daud turut dianamakan oleh Tuan Guru HajiAbdul Hadi sebagai Setiausaha Khas Kepada Menteri Besar Terengganu.

(Artikel ini adalah Bab 14: Profil Tiga Setiausaha MB, Bahagian C: Profil Pimpinan Terengganu, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment