Sunday, September 20, 2009

Menunggu tiba masa undi pos ‘makan diri’ BN


Oleh: Mohd Nasir Awang

BUKAN suatu yang menghairankan jika penentangan PAS terhadap kewujudan undi pos di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang kini dipersendakan. Bertalu-talu komen dan ulasan sinis terhadap usaha parti itu menuntut agar kewujudan pengundi kategori itu dikaji semula, khususnya bagi melihat proses pilihan raya lebih telus dan adil.

Negara akan menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil dalam masa terdekat. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 September memutuskan bahawa tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang, Negeri Sembilan adalah pada 3 Oktober nanti. Sekiranya ada pertandingan maka pembuangan undinya akan disempurnakan pada 11 Oktober.

Pilihan raya kecil itu bakal diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya dari Barisan Nasional (BN), Azman Mohd Nor akibat jangkitan dalam darah pada 4 September lalu. Pada pilihan raya umum lalu Azman mengalahkan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. Beliau memperolehi 6,430 undi berbanding Ramli yang mendapat 4,097 undi.

Kemenangannya itu bagaimana pun dikaitkan dengan undi pos yang sangat jelas memihak kepada BN. Dikatakan daripada lebih 4,000 undi pos, lebih tiga ribu diperolehi BN dan hanya tidak sampai seribu diraih PAS.

Agak ketara tanpa undi pos kekuatan kedua-dua parti di medan pertarungan sebenar adalah seimbang. Boleh dicongak bahawa masing-masing berjaya mengutip sekitar tiga ribu undi warga awam.

Justeru tidak salah, bahkan ada justifikasinya, jika disimpulkan bahawa undi pos menjadi “talian hayat” BN di Bagan Pinang dalam pilihan raya umum lalu. Logiknya, tanpa lebih 3,000 undi pos, majoriti lebih 2,300 itu bukan lagi miliknya.

Kekuatan bonus buat BN itu kini masih wujud. SPR mengesahkan terdapat 4,604 pemilih pos di Dun berkenaan. Sementara BN akan mengemukakan seribu alasan dan rasional mempertahankan kewujudan mereka, PAS pula berusaha meyakinkan SPR bahawa wujud ketidaktelusan dan halangan kebebasan terhadap para pengundi kategori berkenaan.

Suara ini bukan semata-mata untuk menghadapi Bagan Pinang. Ia sudah lama dikumandangkan PAS atas hasrat melihat ketelusan perjalanan pilihan raya dan ketelusan penghayatan demokrasi.

Kenyataan beberapa pemimpin BN yang menyifatkan bantahan terhadap undi pos sebagai isu lapuk mengesahkan ia memang isu yang sudah lama dibangkitkan. Justeru, bantahan PAS ini tidak wajar dilihat sebagai alasan takut malu akan kalah.

Namun, bagai diduga, bukan suatu perkara mudah buat SPR untuk mengubah sesuatu yang telah wujud. Lebih-lebih lagi untuk dilihat tunduk kepada desakan dan tuntutan parti pembangkang. Penghalang utama ialah kerana kewujudan undi pos buat masa ini amat menyelesakan BN.

Sepertimana disebut mutakhir ini, ia ibarat “deposit tetap” buat BN. Undi pos menjadi penyelamat buatnya di banyak konstituensi. Adalah tidak masuk akal dalam keadaan itu BN akan menyetujui penghapusannya.

Apa dipedulikannya soal ketelusan atau halangan kebebasan terhadap pengundi pos, sepertimana didakwa dan dibuktikan pelbagai pihak. BN tidak kisah dicemuh sebagai takut bertarung secara ‘anak jantan’ (berhadapan pengundi secara bebas). Katalah apa nak kata pun, yang dipentingkan BN ialah kemenangan memihak kepadanya.

Bagi saya kedegilan BN dalam melayani bantahan isu undi pos ini satu lagi bukti bahawa parti itu selalu lambat belajar dari kesilapan sendiri. Apa yang baru saja dialaminya di Permatang Pasir sepatutnya menyedarkan BN bahawa apa-apa tuntutan dari pembangkang untuk melihat perjalanan pilihan raya lebih telus dan adil tidak wajar diremehkan sebegitu mudah.

Permatang Pasir bulan lalu menyaksikan giliran BN merasai keperitan dari apa yang diistilahkan sebagai ‘pengundi hantu’. Ia mendakwa kewujudan pengundi hantu antara faktor membantu kemenangan PAS.

Sejauh mana kebenaran dakwaan itu masih tertakluk kepada kajian dan pembuktian. Namun suatu hakikat terserlah, pemimpin BN yang selama ini membisu terhadap isu pengundi hantu serta-merta bertukar lantang membantahnya.

Tidak terfikir oleh kita sebelum ini BN akan menuntut SPR memutihkan daftar pemilih. Hanya setelah tidak menemui alasan lain untuk justifikasi kekalahan di Permatang Pasir, BN terpaksa akur bahawa daftar pemilih yang ada tidak bersih. Bukankah itu antara tuntutan Bersih dua tahun lalu dan perjuangan parti-parti pembangkang sejak sekian lama?

Permatang Pasir membuktikan keselesaan BN dengan pengundi hantu mampu bertukar menjadi “senjata makan tuan”. BN yang terlalu ego untuk mengakui dakwaan pembangkang akhirnya terngadah setelah terhantuk. Apabila terkena batang hidung sendiri barulah ia merungut dan menuntut pengundi hantu dihapuskan.

Kini BN berpaut kukuh pada undi pos. Para pemimpin BN, pengalasis politik berat sebelah serta pengulas dan penulis politik pro-BN kini giat mengemukakan rasional dan justifikasi betapa wajarnya undi pos dikekalkan.

Bayangkan suatu hari nanti undi pos tidak lagi memihak kepada BN. Tatkala itu barulah dapat kita lihat giliran BN pula menjuarai tuntutan agar ia dimansuhkan.

Saya yakin masa untuk itu pasti tiba. Tidak ada yang mustahil dalam politik. Jika sebelum ini tidak terfikir oleh kita pengundi hantu menguntungkan pembangkang, ia didakwa BN telah menjadi realiti di Permatang Pasir.

Begitu juga kes persempadanan pilihan raya. BN sengaja memperbanyakkan ‘kawasan campuran’ ketika ia terlalu yakin dengan sokongan bukan Melayu. Tiba-tiba strategi itu menjadi ‘senjata makan tuan’ pada 2008, apabila undi kaum itu menenggelamkan BN.

BN juga pernah ghairah menaja kepulangan pengundi luar sebagai aset penting membantu kemenangannya, tetapi pengalaman memalukan di Kelantan pada pilihan raya lalu menyebabkan BN serik mengulanginya lain kali.

Jangan ingat mustahil bagi “penguasa” pengundi pos suatu masa nanti dibolak-balikkan hati oleh Allah Taala untuk bersepakat menolak BN. Ketika itu barulah BN berputih mata!

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 1-7 Syawal 1430/20-26 September 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Cara silap rakyat Terengganu manfaatkan peluang Ramadhan


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

BULAN Ramadhan yang diberkati Allah dan dipenuhi dengan segala keberkatan sudah di penghujung. Sebagai umat Islam, inilah masanya untuk kita menilai kembali secara tulus ikhlas sejauh manakah kita telah memanfaatkan sebaiknya kedatangan bulan mulia ini untuk meningkatkan ketaqwaan dan ubudiyah terhadap Allah Azza wa Jalla.

Ramadhan datang hanya sekali dalam setahun. Tidak syak lagi kehadirannya bagaikan peluang keemasan buat Muslim yang beriman menyaratinya dengan berbagai ibadat dan amalan soleh. Selain meneruskan ibadat umum yang telah biasa dilakukan di bulan-bulan lain, Ramadhan juga dihiasi dengan beberapa ibadat khsus.

Hanya di bulan Ramadhan kita lihat keghairahan umat Islam sebegitu memuncak untuk mengunjungi rumah-rumah ibadat, sama ada dinamakan surau, musolla, masjid atau balaisaf untuk solat tarawih. Di bulan mulia itu juga sebahagian umat Islam begitu tekun mentadarus al-Quran.

Sebagai salah satu masa yang dimuliakan Allah sebagai saat paling mustajab untuk berdoa, ramai juga umat Islam mengambil kesempatan bermunajat dan berdoa kepada Allah di sepanjang bulan Ramadhan. Kelebihan amalan sunat di dalamnya disamakan dengan amalan wajib di bulan lain, manakala satu amalan wajib disamakan ganjarannya dengan 70 amalan sama di bulan lain.

Tidak syak lagi segala keistimewaan yang hanya dimiliki oleh Ramadhan itu tidak wajar disia-siakan oleh umat Islam. Amat beruntunglah sesiapa yang memanfaatkan bulan mulia itu untuk meraih sebanyak mungkin pahala dan ganjaran Allah. Sebaliknya, amat rugi dan malang bagi umat Islam yang membiarkan Ramadhan berlalu tanpa merebut peluang ibadat yang terhidang di dalamnya.

Bagaimana pun, tidak semua umat Islam menghayati kuliah umum mengenai kelebihan dan keistimewaan Ramadhan ini. Amat malang apabila masih ada antara mereka yang bukan sahaja tidak memanfaatkan kedatangan Ramadhan untuk ibadat, malah masih mengambil kesempatan melakukan kerja yang menyalahi hukum agama.

Buktinya, bulan puasa di Terengganu tahun ini masih tidak bebas dari kes-kes orang tidak berpuasa. Ada pula pasangan muda menjadikan alasan mahu berbuka puasa bersama untuk berkepit ke bazar Ramadhan sebelum memadu kasih di pantai atau tempat terpencil menjelang senja.

Kedatangan Ramadhan juga gagal menginsafkan ‘tahi-tahi judi’. Walau pun berpuasa, mereka tidak pula meninggalkan tabiat buruk lagi keji itu. Premis-premis judi yang beroperasi secara rahsia di bandar Kuala Terengganu dilaporkan masih dikunjungi, sebahagian besarnya oleh penjudi beragama Islam.

Sebahagian umat Islam lain pula, meski pun tidak terjerumus melakukan maksiat dan kedosaan, memilih cara silap memanfaatkan kedatangan Ramadhan. Antara mereka memilih mengisi masa malam dengan menganjurkan pertandingan sukan, terutama dalam gelanggang.

Memang bukan suatu perkara terlarang untuk umat Islam bersukan atau beriadah di bulan mulia ini. Namun, apa yang kita bicarakan ialah soal meletakkan keutamaan. Telah disebutkan bahawa Ramadhan datang hanya sekali dalam setahun. Peluang keemasan untuk mengaut kelebihan berlipat ganda daripada sesuatu ibadat pula hanya ada ketika itu.

Justeru, adalah amat janggal melihat seorang wakil rakyat menendang bola merasmikan pertandingan futsal di malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan, misalnya, sedangkan tempoh itu sepatutnya umatnya berlumba-lumba mempertingkatkan amal ibadat, khususnya mencari kelebihan Lailatul Qadar.

Satu pihak lain pula, di Terengganu juga, mengambil kesempatan atas ketekunan umat Islam mentadarus al-Quran untuk tujuan yang diragukan kemuliaannya di sisi agama. Sebuah institusi pengajian tinggi di negeri itu minggu lalu menganjurkan Program Tadarus al-Quran 100 Jam Tanpa Henti. Program yang melibatkan seramai 200 pelajar pelbagai jurusan dari universiti berkenaan berlanjutan selama lima hari dan berakhir 13 September lalu.

Meski pun media memetik kenyataan pengarah program berkenaan sebagai mengharapkan tadarus al-Quran yang dibuat itu mampu meningkatkan kefahaman dan penghayatan peserta terhadap kandungan ayat-ayat suci al-Quran, hasrat sebenar penganjurannya tidak disembunyikan.

“Program ini memberi manfaat kepada semua. Namun jika ia dapat memecah rekod sebelum ini, ia adalah satu kelebihan yang membanggakan kami”, akui pengarah berkenaan.

Dilaporkan rekod membaca al-Quran tanpa henti sebelum ini dipegang Sekolah Menengah Matang di Sarawak. Pembacaan dibuatnya selama 50 jam dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBoR).

Ertinya, penganjur mengakui hasrat terbesar dari penganjuran program tadarus al-Quran di Terengganu itu atas tujuan memperbaiki rekod semasa. Ia berjaya mencapai sasaran itu dan diiktiraf MBoR.

Namun, ia tidak berjaya memadan persoalan yang timbul. Apakah Islam membenarkan satu ibadat dibuat untuk tujuan memecahkan rekod? Apakah pelaku dan penganjurnya masih mendapat pahala dan keredhaan Allah, walau pun niat mereka membaca al-Quran itu bukan lagi semata-mata kerana Allah?

Tidak dapat dipastikan apakah pandangan ulama dan ilmuan Islam telah disorot pihak penganjur sebelum merencanakan program berkenaan. Sedangkan bagi kita yang kurang arif tentang hukum-hakam agama pun dapat menilai bahawa sesuatu ibadat yang dilakukan dengan niat bercampur-campur antara lillahi Taala dengan lid-dunia, ibadat itu amat dipertikaikan keikhlasannya.

Niat mentadarus al-Quran sedari awal telah terpesong dari tujuan ibadat. Ia terarah kepada mencari kemasyhuran dan kebanggaan duniawi. Maka apakah ia akan ada keberkatan dan keredhaan dari Allah?

Bagi kita kes tadarus al-Quran untuk rekod itu satu kesilapan cara pihak berkenaan memanfaatkan ibadat khusus itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 20-26 September 2009 dengan tajuk sama)

Sunday, September 6, 2009

Penulisan sejarah perlu fakta lebih luas, objektif


Oleh: Mohd Nasir Awang

SEMACAM ada kesepakatan di kalangan beberapa tokoh negara mengenai kelemahan dalam catatan sejarah negara selama ini. Bagi memperbetulkannya, beberapa pemimpin politik dan tokoh akademik menyarankan penulisan semula yang lebih adil dan objektif, terutama berkaitan perjuangan menuntut kemerdekaan negara.

“Sejarah mencatatkan perjuangan menuntut (kemerdekaan) negara ini disertai oleh pelbagai pihak tidak mengira agama dan bangsa serta kumpulan, (fakta) yang selama ini cuba disorokkan oleh Umno dan BN (Barisan Nasional),” terjah Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Pengkaji dan penulis sejarah itu kesal apabila para pejuang kemerdekaan yang tidak sealiran dengan parti pemerintah sering dilupakan. Nama mereka hampir tidak disebut atau dikenang sebagai tokoh kemerdekaan negara.

Baginya sejarah kemerdekaan perlu ditulis kembali bagi membolehkan rakyat mengetahui fakta dan tokoh sebenar yang turut berjuang menentang penjajah yang selama ini disembunyikan.

Dari perspektif sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap semangat kemerdekaan yang diraikan kini tidak harus dibelenggu bahana politik sempit dan kelam kabut parti politik tertentu. Tidak sukar difahami, parti kelam kabut yang beliau maksudkan itu ialah Umno.

Menurut Anwar, semangat kemerdekaan perlu dilihat dari perspektif rakyat secara keseluruhan, merangkumi perjuangan pelbagai kaum, wadah dan aliran pemikiran.

“Jika dilihat kepada sejarah, Umno bukanlah pejuang tulen menuntut kemerdekaan. Golongan yang lebih awal menuntut kemerdekaan ialah golongan nasionalis seperti PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya), Angkatan Pemuda Insaf (API) yang diketuai Ahmad Boestamam, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang diketuai Shamsiah Fakeh dan juga PKM (Partai Komunis Malaya). Umno hanya menuntut kemerdekaan apabila Tunku (Abdul Rahman Putra al-Haj) menjadi presiden parti,” itu pula pendedahan tokoh media, Said Zahari.

Katanya, adalah tidak benar jika Umno mendakwa hanya mereka pejuang tulen kemerdekaan, sedangkan terdapat kumpulan lain yang terlebih dahulu memperjuangkannya.

Isnin, 31 Ogos lalu, negara kita menyambut kemerdekaan ke-52. Bermakna sudah 52 tahun tanahair tercinta ini bebas dari belenggu dan kongkongan penjajahan. Malangnya tanpa disedari, selama itu juga rakyat sebenarnya tidak dididik dan negara tidak dibina di atas asas sejarah yang betul. Kita masih dibelenggu dan dikongkong oleh penulisan sejarah yang membelakangkan fakta sebenar.

Hal ini diakui sejarawan dan tokoh akademik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim. Beliau mengaitkan kegagalan membina minda masyarakat mengenai pembinaan negara-bangsa dengan kelemahan sukatan pelajaran, terutama penyediaan buku sejarah dengan fakta yang betul.

“Buku sejarah yang ada ditulis oleh orang yang tidak mengkaji sejarah Malaysia secara keseluruhannya. Ini menyebabkan pemikiran generasi muda tidak diberi maklumat benar,” tegasnya (Berita Harian, 31 Ogos).

Paling malang ialah apabila sejarah yang dibentangkan kepada kita menampakkan seolah-olah hanya Umno pihak yang berjasa dan bertanggungjawab memerdekakan negara.

Bagi saya penulisan sejarah yang membelenggu pemikiran rakyat dengan politik sempit itu sebenarnya membuktikan betapa pelakunya masih belum beutl-betul merdeka. Sikap itu malah lebih mirip mengulangi pendekatan dibuat oleh penjajah.

Walau pun pada zahirnya penjajah asing telah berambus dari negara kita, warisan penjajahannya kekal terpampang di sana-sini. Selain tinggalan fizikal dalam bentuk bangunan kediaman, monumen, kubu, tembok, rumah ibadat dan sebagainya, antara warisan penjajah paling mengesankan minda rakyat ialah pemalsuan sejarah negara.

Perlu diakui sejarah kita, sama ada berkaitan penjajahan atau perjuangan kemerdekaan, ditulis mengikut acuan penjajah. Melaluinya penjajah berjaya mengindoktrinasi pemikiran kita mengikut acuan pemikiran yang mereka kehendaki. Antaranya, mereka berjaya menggambarkan keagungan dan kehebatan bangsa penjajah.

Pemalsuan itu bermula sedari awal lagi. Tujuan kedatangan mereka diserlahkan hanya sebagai memburu rempah-ratus dan hasil mahsul negara. Sedangkan penjahahan mereka bermaksud serampang dua mata. Selain peluasan kuasa politik dan ekonomi, mereka juga ada agenda mengembangkan agama mereka.

Sebab itu di saat ketua-ketua gerombolan penjajah menumpukan penguasaan politik serta sibuk memunggah hasil bumi dan khazanah tanahair kita, gerombolan paderi dan mubaligh terlatih dari negara mereka memainkan peranan berasingan, terutama di bidang pendidikan. Pengembangan ajaran Kristian dilaksanakan tanpa gangguan.

Penulisan sejarah oleh penjajah juga membataskan peranan kerajaan Melaka hanya sebagai pelabuhan dagang yang strategik. Pernahkah kita diajar di dalam kelas bahawa kerajaan Melaka yang jatuh ke tangan Portugis pada 1511 itu adalah sebuah kuasa besar Islam di Asia Tenggara?

Tahukah kita bahawa ketika berita penaklukan Melaka oleh Portugis sampai ke Eropah, perayaan besar-besaran menyambut kemenangan itu dilakukan di bandar Vatican? Fikirkan saja apa logiknya bandar suci Kristian itu yang dipilih untuk meraikannya, bukan di Lisbon (ibu negara Portugal)?

Itu menunjukkan bahawa yang dirayakan mereka bukannya semata-mata perluasan kuasa penjajahan, tetapi kemenangan mereka menjatuhkan sebuah kerajaan Islam.

Banyak lagi fakta sejarah negara yang dipesongkan. Antaranya kedatangan orang-orang Jawa ke Johor yang ditulis hanya untuk menanam kelapa. Orang-orang Sumatera pula dikatakan datang ke Negeri Sembilan hanya untuk berkebun. Hakikat bahawa kedatangan mereka ke Tanah Melayu bagi membantu menentang penjajah atas nama Islam telah dipadamkan.

Elok benar jika sejarah negara ditulis semula. Semoga kesempatan itu dimanfaatkan secara bertanggungjawab bagi memasukkan fakta-fakta sebenar yang lebih luas dan objektif dari sumber yang lebih pelbagai.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 9-15 Ramadhan 1430/6-12 September 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Rakyat Terengganu silap besar pilih Adun beronar


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

SERONOK juga membaca komen sinis Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib, berhubung gelagat beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) negeri itu minggu lalu. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir menyifatkan kesepakatan semua Adun BN melakukan protes senyap semasa sidang Dun Terengganu pada 25 dan 26 Ogos lalu sebagai tanda mereka telah “bersatu” dan “bekerjasama”.

“Semua wakil rakyat mereka nampaknya “bersatu” untuk tidak kemukakan soalan dan bagi saya mungkin selesailah (kemelut BN Terengganu) sebab nampak macam ok serta “bekerjasama” di antara mereka (sepakat tidak ambil bahagian)”, ujar Harun, sepertimana dipetik akhbar tempatan, 30 Ogos.

Beliau mengulas pendirian 13 Adun penyokong kerajaan yang memilih untuk ‘membisu’ sepanjang sidang itu. Mereka dilaporkan tidak mengemukakan sebarang soalan dan turut tidak mencelah atau mengganggu wakil-wakil pembangkang, sepertimana tabiat mereka yang lazim.

Dun Terengganu mempunyai 32 kerusi, di mana 24 dimenangi BN. Lapan lagi dimenangi PAS. Sebelas daripada Adun BN menjadi anggota Exco kerajaan negeri. Manakala baki 13 lagi menjadi penyokong kerajaan yang sepatutnya berperanan aktif mempertahankan kerajaan.

Apatah lagi dalam konteks Terengganu, sejak dulu lagi sidang Dun-nya sentiasa panas dan tegang. Ia tidak pernah sunyi daripada pertikaian lidah antara wakil kerajaan dengan pembangkang. Hanya bagi penggal 1978-82 keadaan itu tidak berlaku apabila BN menang mutlak di negeri itu.

Setiap isu dibangkitkan mana-mana pihak akan disanggah pihak lawan. Pertikaian mereka selalunya melarat kepada cabar-mencabar. Pernah beberapa kali ada Adun mengajak Adun parti lawan “bergocoh” (bertumbuk) apabila kehabisan hujah rasional. Pernah juga menteri besar menangis semasa sidang Dun setelah gagal menepis hujah al-Quran dan hadis oleh Adun-Adun pembangkang.

Keadaan sebegitulah yang sering mewarnai sidang Dun Terengganu sejak dulu. Sebab itu apabila keadaan itu berubah sama sekali sejak tahun lalu, ia suatu yang agak luar biasa.

Setakat ini tidak ada pihak, sama ada dari BN mahu pun PAS, yang menerima secara positif sikap “bisu” ditunjukkan Adun-Adun BN itu. Mereka sepakat bahawa perbuatan itu tidak wajar dan merugikan rakyat.

“Memang tidak sepatutnya berlaku protes senyap dalam sidang Dun, sebaliknya wakil rakyat (BN) kena aktif mengemukakan soalan mewakili rakyat dan berhujah mempertahankan kerajaan”, ulas Naib Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Yusof Awang Hitam.

Adun Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak pula menyifatkan perbuatan kumpulan Adun BN itu sebagai tidak profesional. Seperti Yusof, Dr Alias juga menganggap mereka itu tidak menghormati rakyat yang mengundi mereka dan gagal menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat yang mereka wakili.

“Kalau ada rasa tidak puas hati dan bergaduh sesama sendiri sekali pun, sebagai wakil rakyat mereka mesti menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat dengan mengemukakan soalan (kepada sidang Dun)”, ujarnya.

Memang apa yang disebutkan Dr. Alias itu diakui menjadi punca utama tindakan Adun-Adun terbabit. Ia adalah kesan pergeseran dalaman antara mereka ekoran kemelut pelantikan Menteri Besar, Mac 2008 lalu. Tindakan mereka itu membuktikan bahawa luka parah akibat perebutan kuasa itu masih membara ‘bagai api dalam sekam’ pada batang tubuh BN negeri.

Mungkin bagi Adun-Adun terbabit sendiri dan kalangan yang menyokong mereka, tindakan protes senyap itu adalah langkah terbaik menzahirkan sikap mereka terhadap kepimpinan parti dan kerajaan. Mereka seolah-olah sudah menjadi “Adun Bebas”, menyokong PAS tidak, mempertahankan BN pun tidak.

Namun sepertimana disebutkan Dr. Alias, kita tidak boleh halang kalau mereka mahu bergaduh sesama sendiri. Cuma hal itu tidak sepatutnya mendorong Adun-Adun BN itu terus membuat onar sehingga mengenepikan kepentingan rakyat.

Apatah lagi onar minggu lalu bukan kali pertama mereka buat semasa sidang Dun berlangsung. Gelagat negatif mereka sudah dikesan sejak sidang pertama penggal ini pada Mei 2008 lagi.

Jumlah 24 Adun BN yang membentuk tiga perempat suara dalam Dun Terengganu tidak memberi erti apabila sebahagian besar mereka memilih untuk mendiamkan diri, meski pun pelbagai isu dibangkitkan silih-berganti oleh wakil-wakil PAS.

“Adun-Adun Umno (BN) dilihat tidak bermaya walau pun mereka mempunyai jumlah yang besar berbanding PAS. Sebaliknya, semua lapan Adun PAS tidak melepaskan peluang bersuara dalam persidangan tersebut”, memetik semula komen Adun PAS Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, Mei 2008 lalu.

April lalu, kumpulan Adun sama beronar lagi. Mereka memulaukan sidang setelah mendakwa Dun Terengganu tidak cukup selamat untuk mereka hadir. Tiga daripada mereka menerima sistem mesej singkat (sms) ugutan gara-gara usul undi tidak percaya terhadap menteri besar yang didesas-desuskan.

Apa pun alasan yang mungkin terfikir oleh Adun-Adun BN bagi merasionalkan tindakan mereka membisu kali ini, rakyat tidak lagi dapat menilainya suatu yang wajar. Mereka perlu ingat rakyat memilih mereka bukan untuk menjadi ‘bisu’.

Rakyat mengharapkan mereka berperanan sebaik mungkin di mesyuarat tertinggi negeri itu. Tindakan mereka mengutamakan politik peribadi sehingga membelakangkan kepentingan rakyat adalah pengkhianatan nyata terhadap amanah yang dipikul.

Cuma perlu diingat, onar yang berlaku itu tidak boleh dipersalahkan ke atas mereka seratus-peratus. Yang silap besar ialah rakyat juga kerana memilih pemimpin beronar dari parti yang sentiasa beronar menjadi wakil rakyat mereka.

Rakyat Terengganu mesti perbetulkan kesilapan itu. “Bor-bor lah” (cukup-cukuplah) pilih pari beronar lain kali!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 6-12 September 2009 dengan tajuk sama)