Thursday, August 30, 2012

Terengganu letak muslimat hanya jika terpaksa


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada benarnya penilaian Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, bahawa kesediaan PAS mengetengahkan calon dari kalangan aktivis muslimatnya adalah bukti keterbukaan parti itu menerima perubahan, selain peka dengan perkembangan dan tuntutan politik semasa.

Bahawa dalam memenuhi tuntutan era moden kini PAS tentu sekali tidak mahu dilihat sebagai parti kampungan yang jumud atau bersikap “tertutup” daripada menerima perubahan, sehingga tidak menampakkan kesediaan beranjak dari keadaan sedia ada.

Secara positif Yang Dipertua PAS Kawasan Besut itu menganggap sebarang keputusan yang diambil kepimpinan parti dalam menentukan siapakah calon yang bakal dipertaruhkan di mana-mana kerusi sudah tentu mengambil kira berbagai aspek, terutama potensi untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
                                                                                       
“Dalam berdepan musuh (di dalam pilihan raya), kita tentunya mahu menawarkan (calon) yang terbaik, dalam ertikata yang paling berpotensi untuk mencapai kemenangan. Maka, sama ada calon itu dari kalangan muslimat atau muslimin, sudah tentu kepimpinan parti sudah menilainya sebaik mungkin sebelum buat keputusan”, ujarnya ketika dihubungi penulis.

Beliau diminta mengulas desas-desus yang agak hangat diperbualkan mutakhir ini bahawa kemungkinan akan ada calon dari kalangan muslimat di negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang. Cakap-cakap mengenainya bukan sekadar berlegar di kalangan para pendukung bawahan PAS, bahkan turut kedengaran di kalangan kepimpinan parti, termasuk kepimpinan tertinggi PAS Terengganu.

Dalam Harakah edisi 17 Ogos, penulis sempat merakamkan cakap-cakap itu sepintas lalu. Turut dipetik ialah pengakuan daripada seorang penggerak utama Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN), sebuah unit organisasi PAS negeri yang paling bertanggungjawab berhubung persiapan menghadapi pilihan raya. Tidak syak lagi jabatan itu antara pihak paling layak dipercayai mengenai sebarang perkembangan terkini dalam parti, termasuk dalam bab percaturan calon.

Sumber berkenaan secara ikhlas mengakui bahawa desakan memang ada, terutama dari Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) agar Terengganu turut mengemukakan calon muslimat pada pilihan raya umum nanti. Bagaimana pun, ia bukan suatu yang mudah untuk diaplikasikan di negeri itu. Katanya, PAS negeri terpaksa mengambilkira berbagai perkara, termasuk sentimen dan persepsi masyarakat umum berkaitan calon muslimat.

Perkara itu turut diakui Bendahari Badan Perhubungan PAS Terengganu, Cikgu Haji Sukrimun Shamsuddin, ketika dihubungi penulis, Isnin lalu.

“Muslimat Pusat (DMPP) memang pada dasarnya desak ada calon muslimat, di setiap negeri, termasuk lah Terengganu. Tetapi maaf cakap, yang sebenarnya tidak ada dalam kepala pimpinan PAS Terengganu untuk letak calon muslimat ni”, akui beliau dengan tegas.

Menurutnya, perkara paling diambilkira kepimpinan negeri ialah persepsi masyarakat awam Terengganu yang agak sensitif dengan penampilan muslimat sebagai ketua.

“Bila (ada ura-ura) nak letak calon muslimat, awal-awal lagi orang persoal, “amboi (dah) takdak orang laki (ke)?”. Soalan ni sangat sensitif, dan soalan ni tak timbul bila calon tu lelaki. Maka kita lebih selesa pilih calon yang tak jadi bahan persoalan orang awal-awal lagi”, sambung Cikgu Sukrimun lagi.

Ya, memang ada munasabahnya pendirian dibuat sebegitu. Apatah lagi matlamat besar menyertai mana-mana pilihan raya tentulah dengan hasrat mencapai kemenangan. Dalam konteks ini, faktor penerimaan masyarakat terhadap seseorang calon memainkan peranan amat besar. Maka, sudah tentu mana-mana parti pun akan memilih individu terbaik sebagai calon, yang paling tidak bermasalah atau yang paling tidak menjadi rungutan dan persoalan orang.

Lebih dibimbangi apabila rungutan itu bukan hanya kedengaran dari kalangan pengundi, malah datang dari khalayak ahli dan penyokong PAS sendiri. Sedangkan mereka itulah yang diharapkan menjadi pendukung menjayakan segala gerakerja pilihan raya nanti.

Pun begitu, pendirian itu bukanlah suatu yang muktamad. Kepimpinan PAS, katanya, senantiasa menghayati disiplin di dalam berjamaah. Maka, soal kepatuhan kepada sebarang keputusan pihak lebih atas adalah suatu yang tidak perlu dipersoalkan.

Sehubungan itu, katanya, PAS Terengganu tidak akan menolak sekiranya pucuk pimpinan memutuskan agar negeri itu turut menampilkan calon muslimatnya. Bahkan, pihaknya telah pun menetapkan beberapa prasyarat yang mengambilkira dan mempertimbangkan berbagai aspek.

“Pertama, calon muslimat hanya diletakkan jika sudah tidak ada orang lelaki untuk jadi calon. Kedua, ada calon lelaki, tetapi timbul masalah lain yang sukar diselesaikan. Maka jika dengan letak calon muslimat ni boleh selesai masalah tu, kita terima”, Cikgu Sukrimun menjelaskan lagi.

Dalam ertikata lain, penulis dapat menyimpulkan bahawa kehadiran calon muslimat di Terengganu bukanlah suatu perkembangan yang dialu-alukan. PAS Terengganu akan hanya menerima cadangan mengetengahkan calon muslimatnya sekiranya keadaan benar-benar memaksa.

“Dah habis takdah arah, maka dengan segala “keberatan” kita terpaksa terima”, ujar Cikgu Sukrimun, menutup bicara.

Kata-kata itu membuatkan penulis terfikir, barangkali inilah maksud “kepimpinan parti sudah menilainya sebaik mungkin sebelum buat keputusan” yang disebutkan Ustaz Wan Azhar tadi.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1771, 31 Ogos 2012 di ruangan 'F22 KOLUMNIS' dengan tajuk sama)

Wednesday, August 15, 2012

Terengganu bakal pertaruh calon muslimat?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

BARANG diizinkan Allah Ta’ala, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang bakal berlangsung dalam masa terdekat ini berkemungkinan menjadi pembuka era baru dalam perjuangan PAS Terengganu, khususnya bagi khalayak muslimatnya. Ura-ura yang semakin hangat dibual bicara di kalangan para pendukung parti di negeri itu mutakhir ini ialah kemungkinan akan ada calon wanita (muslimat) diketengahkan PAS dalam pertarungan itu nanti.

Lebih membukitkan kemungkinan itu ialah apabila dikatakan perkara itu sudah pun mendapat persetujuan daripada kepimpinan tertinggi Dewan Muslimat PAS (DMP), termasuk di peringkat Pusat dan negeri Terengganu. Bahkan, menurut sumber yang rapat dengan Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN), individu yang bakal dicalonkan itu juga sudah pun dikenalpasti.

Andaikata cakap-cakap itu menjadi realiti, bermakna PAS Terengganu bakal mencatat sejarah tersendiri menamatkan kemarau calon muslimatnya dalam tempoh lebih lima dekad. Kali terakhir PAS mengemukakan calon wanita di negeri itu ialah pada Pilihan Raya Parlimen 1959, yang diadakan pada 19 Ogos (ketika itu PRU Negeri-Negeri diadakan secara berasingan).

PAS meletakkan Khadijah Mohd Sidek bagi merebut kerusi Parlimen Dungun. Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Khadijah berjaya mengalahkan Wan Salleh Abdul Kadir yang mewakili Front Sosialis (SF) dan Mohamed Adib Omar (Perikatan). Kemenangan itu sekaligus menjadikannya sebagai Ahli Parlimen Wanita yang pertama daripada PAS, juga wakil rakyat wanita pertama dalam sejarah pilihan raya negara selepas merdeka bagi negeri Terengganu.

Namun, Khadijah bukanlah satu-satunya calon wanita ketika itu. Dalam PRU Negeri Terengganu, yang diadakan lebih awal (20 Jun 1959), sudah ada calon wanita bertanding. Beliau ialah Saripah Azzah Apple Syed Shith. Beliau mewakili Perikatan di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang, berdepan calon-calon daripada Parti Negara (PN), Front Sosialis (SF) dan PAS. Pertarungan itu dimenangi calon PN, Wan Daud Wan Ahmad.

Selepas Khadijah, PAS tidak pernah lagi mengetengahkan muslimatnya sebagai calon. Kelibat calon wanita bagaimana pun terus muncul di pentas pilihan raya Terengganu mewakili parti-parti lain. Lewat PRU 1969 umpamanya, Perikatan meletakkan Teh Hassan sebagai calonnya di Dun Chukai. Beliau menewaskan calon PAS, Mohd Shafii H.G. Ahmad dan calon Bebas, Ismail Yusoff.

Dalam PRU sama, Saripah Azzah Apple sekali lagi diletakkan mewakili Perikatan, kali ini di Dun Binjai. Beliau bagaimana pun kalah lagi, kali ini kepada calon PAS, Mohamed Taib Ismail.

Pada PRU 1974 Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) mempertaruhkan seorang calon wanita, Siti Nor Abdul Hamid Tuah. Beliau diletakkan menentang Lukman Abdul Kadir (calon PAS mewakili BN) di Parlimen Ulu Nerus. Kerusi itu bagaimana pun dimenangi Lukman.

Sejak tarikh itu, tiada lagi calon wanita muncul di Terengganu dalam mana-mana pilihan raya, umum atau kecil, mewakili mana-mana parti pun. Kemarau itu berlarutan sehingga 34 tahun. Hanya pada PRU ke-12 pada 2008 lalu kelibat calon-calon wanita kelihatan kembali.

BN mempertaruhkan Ketua Puteri Umno negeri, Senator Nordiana Shafie bagi merebut kerusi Dun Batu Buruk. Beliau bagaimana pun tewas kepada calon PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu juga menyaksikan kemunculan seorang calon wanita. Beliau ialah Maimun Yusuf, yang bertanding di atas tiket Bebas, menentang calon BN dan PAS. Kerusi bagaimana pun dimenangi calon BN.

Biar pun kedua-dua calon wanita di pentas pilihan raya Terengganu itu gagal dalam pertarungan mereka, cakap-cakap mengenai perlunya ada wakil rakyat dari kaum tersebut masih berterusan. BN sendiri, khususnya Umno dijangka akan tetap mengemukakan paling tidak seorang calon wanita dalam pilihan raya umum nanti. Manakala PAS pula tidak mustahil akan ikut berbuat demikian.

Difahamkan cadangan mengetengahkan wakil muslimat di Terengganu sudah pun tercetus sejurus sebelum PRU ke-12 lalu. Bagaimana pun, DMP negeri ketika itu dikatakan masih berpendirian untuk tidak menuntut sebarang kerusi daripada parti. Sebab itu biar pun saat itu rakan-rakan di negeri-negeri lain ghairah mengetengahkan calon-calon muslimat untuk dibariskan parti dalam PRU lalu, sambutan muslimat Terengganu agak bersahaja.

Kini, suasananya dikatakan sudah berubah. Kemenangan selesa sebilangan calon muslimat di beberapa negeri lewat PRU 2008 dikatakan antara ‘pembuka mata’ bagi muslimat di Terengganu untuk ikut mencuba nasib.

“Memang muslimat negeri (DMP Terengganu) katanya dah setuju.. Pusat lah (DMP Pusat) sebenarnya yang putuskan lebih dulu, setuju ada calon muslimat di Terengganu, tapi setakat ni sorang saja,” ujar seorang ‘orang kuat’ JPN Terengganu kepada penulis baru-baru ini.

Beliau malah mendakwa bahawa individu yang bakal dikemukakan sebagai calon itu juga sudah pun dikenalpasti. Ada pun siapakah tokoh muslimat yang bakal mencatat sejarah itu dan di manakah beliau bakal dipertaruhkan, insya Allah akan kita bicarakan di kesempatan lain.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1769, 17 Ogos 2012 di ruangan 'F22 KOLUMNIS' dengan tajuk sama)

Sunday, August 12, 2012

Orang bertadarus, kita berpesta pelita...


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Kita masih lagi berada di bulan Ramadhan al-Mubarak. Sepertimana yang sering dihuraikan para alim-ulama, gelaran al-Mubarak kepada bulan Ramadhan itu membawa maksud bulan yang diberkati Allah dan dilimpahi penuh keberkatan dari sisi-Nya. Ada pun bagaimana bentuk atau rupa keberkatan itu, hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

Namun, secara luarannya kita kerap didedahkan dengan senarai kelebihan yang hanya ada pada bulan Ramadhan dan tidak ditemui di bulan-bulan lain sepanjang tahun. Antara kelebihan itu ialah ibadat puasa itu sendiri. Ia hanya diwajibkan di bulan Ramadhan.

Di bulan ini syaitan yang merupakan musuh atau penghasut utama umat manusia ke arah melakukan kejahatan dibelenggu. Sepanjang bulan ini pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya, manakala pintu-pintu neraka ditutup rapat.

Ibadat sunat di bulan Ramadhan diberikan ganjaran menyamai ibadat fardhu di bulan lain. Manakala setiap ibadat fardhu yang dikerjakan dijanjikan ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Antara keistimewaan lain lagi ialah solat sunat tarawih, yang memang tidak disyariatkan pada bulan selain Ramadhan. Manakala Lailatul Qadar yang dijamin Allah menyamai seribu bulan juga hanya muncul di bulan ini.

Di bulan ini juga diturunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad saw. Kitab suci ini merupakan mukjizat dan anugerah Allah paling bernilai dan tiada tandingannya, terutama bagi memandu manusia ke jalan selamat, di dunia mahu pun akhirat.

Disebabkan kehadirannya yang dipenuhi keberkatan dari sisi Allah itulah maka kita dapati sebegitu banyak hadith Rasulullah saw yang menggalakkan umat Islam menghidupkan Ramadhan dengan segala macam amal ibadat. Contohnya, hadith-hadith yang menjanjikan penghapusan dosa-dosa silam bagi mereka yang menghidupkan Ramadhan agak banyak diriwayatkan.

Perkara itu rasanya sudah menjadi makluman umum dalam masyarakat kita. Sebab itu bagi sebuah masyarakat muslim yang mukmin, kehadiran Ramadhan amat dinanti-nantikan. Ia dianggap bulan yang menghidangkan peluang keemasan untuk setiap diri bergelar muslim mengaut seberapa banyak mungkin rahmat dan berkat dari sisi Tuhannya.

Malangnya, kecenderungan ke arah kebaikan itu tidak dikongsi semua anggota masyarakat kita. Bagi kelompok tertentu dalam masyarakat kita kebelakangan ini, matlamat menyambut kehadiran Ramadhan sedikit melencong daripada merebut peluang beribadat dan memperbaiki diri itu.

Ada yang menantikan kedatangan Ramadhan dengan mengutamakan perancangan mempertingkatkan pendapatan. Selera umat Islam yang terlalu luar biasa di bulan puasa dimanipulasi untuk kepentingan pelbagai bentuk perniagaan, terutama produk makanan dan minuman.

Walau pun niat mereka ini menyambut Ramadhan sedikit terpesong dari yang sepatutnya, ia tidak lah sampai dianggap penyelewengan. Apatah lagi agama kita juga menggalakkan umatnya berniaga dan mencari rezeki yang halal.

Namun, apa yang pasti mendukacitakan ialah apabila ada kelompok lain yang tertunggu-tunggu kehadiran Ramadhan saban tahun dengan agenda khas yang lebih cenderung ke arah bersuka-ria. Itulah yang diketahui berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini di sebilangan kampung di berhampiran Kuala Terengganu. Kedatangan Ramadhan bagi mereka adalah pelengkap agenda tahunan dalam kalendar pelancongan.

Dilaporkan saban tahun sejak 2008, beberapa kampung di utara Kuala Terengganu terlibat dengan pesta menghias halaman kampung dengan ribuan pelita. Ia bukan lagi sebagai inisiatif penduduk kampung yang sekadar suka-suka mengadakan suasana bercahaya itu, atau atas hasrat menghidupkan tradisi silam, tetapi sudah dikaifiatkan sebagai satu pertandingan.

Pertandingan Pelita Raya sudah dijadikan acara tahunan. Ia dianjurkan kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium Negeri Terengganu dengan kerjasama Pejabat Pelancongan Terengganu.

Kebiasaannya pesta itu berlangsung tiga malam. Ia mendapat penyertaan puluhan keluarga dari tidak kurang lima kampung setiap tahun. Hadiah bernilai tidak kurang RM30,000 turut disediakan.

Difahamkan, pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu antara individu dan antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Sebagai memeriahkan pertandingan itu, setiap pihak berusaha bukan sahaja memasang ratusan pelita berbagai saiz, malah dalam berbagai bentuk dan formasi. Belanja dikeluarkan setiap pihak pula mencecah ratusan malah ribuan ringgit.

Tahun ini acara itu berlangsung lagi. Akhbar harian melaporkan, acara itu bermula Jumaat, 3 Ogos dan berlanjutan selama tiga malam berikutnya. Lima kampung terlibat ialah Kampung Padang Hangus, Kampung Raja, Kampung Bau, Kampung Pagar Ubi dan Kampung Tekong. Manakala seramai 200 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Kita tidak pasti sejauh manakah beratnya saranan agama berhubung menghias indah halaman rumah bagi menyambut Ramadhan. Boleh jadi pihak penganjur memikirkan kepentingan pertandingan ini dari sudut pelancongan dan adat tradisi.

Bahkan, laporan akhbar berkenaan turut menyebutkan tujuan pertandingan itu sebagai “menghidupkan tradisi menyalakan pelita setiap kali menjelang Aidilfitri, selain memelihara khazanah warisan itu, sekaligus sebagai tarikan pelancongan.

Usaha kerajaan negeri mempertingkatkan tarikan pelancongan adalah dialukan. Bagaimana pun mengambil kesempatan di bulan Ramadhan untuk tujuan itu adalah suatu yang wajar dipersoalkan. Apatah lagi yang pasti, banyak hadith menerangkan kelebihan mempertingkatkan amal ibadah khusus, terutama qiyamullail dan iktikaf ketika Ramadhan semakin hampir berlalu.

Tambahan pula di kalangan pemimpin pendukung kerajaan Terengganu kini bukannya tidak ada khalayak yang arif tentang saranan Nabi saw itu. Mereka ini sepatutnya lebih faham keutamaan digariskan agama dan menjadi pihak paling bertanggungjawab mempromosikan Ramadhan sebagai bulan mempertingkatkan amal ibadat, bukannya bersubahat menganjurkan pesta bersuka-ria seperti itu.

Maka keadaan tidak sepatutnya jadi seolah-olah, “orang sibuk bertarawih dan bertadarus al-Quran, kita pula sibuk bersuka-ria dengan pesta pelita”. Ya Allah, apa nak jadi dengan Terengganu?

(Artikel ini adalah versi sebelum potong kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil: 1768, 13-16 Ogos 2012 di ruangan F22 KOLUMNIS dengan tajuk sama)

Saturday, August 4, 2012

Jangan letak calon tak dialukan pengundi


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Artikel penulis disiarkan Harakah minggu lalu berjudul “Semua kerusi di Besut ada potensi menang?” mengundang reaksi bercampur-campur daripada para pembaca. Sebahagian reaksi itu didatangkan terus kepada penulis sendiri, dan sebahagian lagi disampaikan melalui beberapa teman, khususnya di Besut.

Meski pun reaksi mereka agak pelbagai, sebilangan besarnya lebih cenderung mempertikaikan beberapa andaian dilontarkan dalam tulisan tersebut. Kebanyakan mereka bersetuju dengan penilaian asal (senarai keutamaan berdasarkan majoriti kemenangan/kekalahan dalam pilihanraya lalu), bahawa dua kerusi terkuat dan paling berpotensi bagi PAS di kawasan Parlimen Besut ialah Kuala Besut dan Hulu Besut.

Lalu ada yang mempertikaikan, bagaimana mungkin Jertih boleh diletakkan sebagai Dewan Undangan Negeri (Dun) sasaran berbanding Kuala Besut (sepertimana ditegaskan Setiausaha Kawasan Besut, Paksu Aminuddin Muhammad Ali). Mereka berhujah, dan turut meminjam hujah yang pernah dilontarkan penulis sebelum ini, bahawa kekuatan Umno Terengganu pada suatu ketika adalah berpusat di Besut. Manakala kata mereka, Umno paling kuat di Besut ini pula ialah di Dun Jertih.

Ente juga yang sebut kan... bahawa ‘kepala-kepala pengat’ Umno Terengganu majoritinya berada di Besut? Takkan ente tak tahu, “lubuk” bagi ‘kepala-kepala pengat’ tu ialah Dun Jertih?”, terjah seorang rakan, seraya merujuk coretan penulis pada Harakah, edisi 23 Julai lalu.

Di situlah katanya berkumpul “bapak’bapak” Umno Besut, sama ada dari sudut kepimpinan peringkat bahagian mahu pun kepala-kepala gedebenya. Justeru, mereka agak sangsi bagaimana mungkin peluang untuk PAS menang di Jertih lebih cerah berbanding Kuala Besut. Apatah lagi jumlah majoriti kekalahan PAS di situ (Jertih) juga antara yang terbesar di kawasan itu.

Namun, yang paling dipertikaikan pembaca ialah teori kononnya Dun Kota Putera juga mampu ditawan. Apatah lagi apabila penulis yang bertanggungjawab melontarkan sasaran itu turut menyebut bahawa peluang untuk itu lebih cerah berbanding Kuala Besut mahu pun Hulu Besut.

“Tak munasabah teh... majoriti (kalah) banyak sekali tuh! Bukan senang nak cari (peralihan) 2,000 undi nih!”, bentak seorang aktivis PAS di Besut.

Maksud beliau, sepertimana persepsi yang dipegang di peringkat PAS Kawasan mahu pun Negeri Terengganu, Dun Kota Putera berada di tangga tercorot dalam senarai keutamaan untuk dimenangi di Besut. Ia bahkan antara yang terbawah di seluruh negeri. Justeru, amat sukar dipercayai bagaimana kekalahan teruk itu boleh ditukar menjadi kemenangan buat PAS.

Sepertimana telah disebut sepintas lalu, penulis menyandarkan kemungkinan positif untuk PAS di Kota Putera di atas keterbukaan minda para pengundinya. Sebagaimana PAS Kawasan Besut menganggap Jertih berpotensi berubah disebabkan antara lain faktor penduduknya yang berminda terbuka, maka begitulah juga dengan pengundi di Kota Putera.

Dun yang sebelum ini dikenali sebagai Kampung Raja merupakan kawasan dipusatkan pentadbiran kerajaan bagi Daerah Besut. Di kawasan itu juga berceratuk institusi-institusi pengajian, termasuk Institut Pendidikan Guru, dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan lima sekolah menengah.

Kewujudan pejabat dan institusi pengajian itu menjadikan Kota Putera tumpuan masyarakat kelas pertengahan dan elit. Ia didiami khalayak terpelajar dan para penjawat awam, selain penduduk tradisi. Kelompok masayarakat ini merupakan golongan yang terdedah kepada maklumat, terutama maklumat alternatif selain saluran arus perdana yang dikuasai pemerintah.

Walau pun tidak semua mereka pengundi di situ, kehadiran mereka berinteraksi dalam masyarakat banyak mencorakkan trend pemikiran masyarakat setempat, terutama rakan-rakan sekerja dan jiran yang menjadi pengundi.

Hakikat itu menyediakan kelebihan buat Dun Kota Putera, terutama berbanding Hulu Besut yang lebih berimej pertanian dan perhutanan, atau Kuala Besut yang lebih dikenali sebagai hub perikanan dan perniagaan. Bahkan, diakui banyak pihak betapa masalah utama dengan pengundi di dua Dun ini ialah kerana bermentaliti subsidi dan mudah dipaut dengan umpan ‘wang ehsan’.

Memang jika dilihat kepada majoriti kekalahan pada 2008, kerusi Kota Putera agak corot. Namun, sebab-musabab kekalahan teruk itu seharusnya diperincikan. Antara faktor yang sukar ditolak ialah bahawa ia merupakan sebahagian isyarat daripada pengundi di Dun berkenaan yang kecewa apabila pembangkang mengemukakan calon yang tidak menepati harapan mereka.

Sedari awal telah kedengaran suara agar kerusi itu ditanding PAS. Malangnya, pandangan itu gagal diraikan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR). Akibatnya, berlaku ‘pecah undi’ antara Dun dan Parlimen. Ratusan pengundi di Dun Kota Putera mengundi calon PAS di Parlimen, tetapi tidak mengundi calon PR di kerusi Dun.

Terimakasih kepada Paksu Aminuddin kerana bersusah-payah membekalkan penulis dengan naskhah keputusan Pilihan Raya Umum 2008 bagi kawasan Besut. Di dalamnya diperincikan bagaimana jumlah undi diperolehi calon PR di Kota Putera memang lebih rendah berbanding undi diberikan kepada calon Parlimen dari PAS.

 Suara kekecewaan serupa masih berkumandang hingga kini. Keadaan (sambutan pengundi) dijangka berbeza sekiranya PR meletakan calon PAS di situ, sekaligus melambangkan keseriusan sebenar untuk menawan hati pengundi.

Untuk itu PR, khususnya PAS sepatutnya telah belajar dari ‘kesilapan’ percaturan pada 2008. Bahawa memberikan kerusi secara percuma kepada parti yang tidak langsung ada kekuatan dan tidak menunjukkan keseriusan dalam mempertingkatkan kekuatannya untuk bertanding adalah satu kesilapan besar.

Hakikat itu sewajarnya diperakui oleh parti rakan dalam PR secara jujur. Berfikirlah secara ‘anak beranak’ dan profesional. Ketepikan keegoan parti masing-masing. Utamakan kemenangan PR dan berilah peluang kepada parti yang lebih berupaya mengetengahkan calon mampu menang.

Paling penting, jangan letak calon yang tidak dialu-alukan pengundi!

(Artikel ini adalah versi sebelum potong kepada artikel disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1766, 6 Ogos 2012 di ruangan 'KOLUMNIS' F21 dengan tajuk sama)

Thursday, August 2, 2012

Apa tujuan ada sayap ulama Umno?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada beberapa kemungkinan yang dapat disenaraikan ekoran kesungguhan segelintir khalayak bergelar ulama muda di dalam Umno mahu menubuhkan apa yang dinamakan mereka sebagai majlis ulama parti itu. Keghairahan mereka dilihat tercetus ekoran kenyataan terdesak wakil mereka yang diasak Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dalam sessi debat khas anjuran sebuah akhbar harian baru-baru ini.

Dalam pertembungan hujah yang turut disiarkan saluran tv berbayar itu, pendebat Umno itu jelas cuba membuktikan bahawa partinya juga mahukan Islam dan memberi ruang kepada para ilmuan agama berperanan di dalamnya. Lalu beliau cuba menggambarkan kononnya majlis ulama parti dicadangkannya itu adalah sebagai komponen penting bagi memperkukuhkan Umno.

Oleh kerana lontaran itu dibuat pada majlis yang menjadi tumpuan khalayak politik, ia segera mengundang reaksi dan pandangan balas pelbagai pihak. Banyak yang mengalu-alukan cadangan tersebut dengan berbagai raisonal dan andaian positif. Mereka berhasrat melihatnya direalisasikan suatu hari nanti.

Bagaimana pun, menilai reaksi agak hambar dan persepsi sedikit serong dari kalangan pemimpin tertinggi Umno, cadangan itu rasanya tidak akan menjadi kenyataan dan bakal tinggal sekadar impian. Sebaliknya, sekiranya parti itu kelak bersetuju mewujudkan sayap ulamanya, ia mendorong kita memikirkan berbagai persoalan untuk mencari kewajaran apakah tujuan sebenar Umno berbuat demikian.

Seperti yang agak ketara terpamer pada hujah dan persembahan pendebat Umno itu, maksud asal cadangan tadi antara lain bagi memperkukuhkan lagi dakwaannya bahawa Umno juga mahukan Islam. Bahkan, kita masih ingat itulah hujah diberikan jurucakap sekumpulan ulama muda itu ketika menyerahkan borang keahlian Umno kepada presiden parti, Dato’ Seri Najib Razak, 25 Jun 2010 lalu.

Menurut jurucakap kumpulan itu, penyertaan mereka bukan berlandaskan politik, tetapi lebih didorong sikap optimis terhadap ruang-ruang disediakan Umno untuk mereka menyemarakkan lagi usaha-usaha keagamaan dalam parti sekular itu.

Soalnya, jika tujuannya sekadar mahu membuktikan kepada dunia, khususnya kepada masyarakat Islam negara ini, bahawa Umno juga mahukan Islam dan bersungguh menghargai letak duduk ulama dalam perjuangan politiknya, apakah peranan bakal diberikan kepada sayap itu cukup penting dan kuasanya agak besar sehingga mampu menentukan prinsip dan halatuju parti, sepertimana yang kini dilembagakan di dalam PAS?

Dalam ertikata lain, apakah mudah bagi sebuah parti sekular seperti Umno untuk memberi laluan dan ruang kepada khalayak agamawan mencorakkan perjalanannya? Maaf cakap, ia kedengaran agak ‘sumbang’ dan tidak munasabah.

Dalam hal ini, reaksi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan agak berterus-terang. Bagi penulis, apa yang diperkatakannya adalah tipikal sikap dan pendirian khalayak umum dalam Umno terhadap peranan institusi ulama dalam politik.

Orang boleh bahaskan bahawa apa disuarakannya itu tidak semestinya menggambarkan pandangan semua pihak dalam Umno. Ya, kita pun sedia mengakui hakikat itu. Namun, jika mahu diambil segala pandangan yang berbeza dari kalangan pendukung Umno berhubung keperluan parti itu mewujudkan sayap ulamanya, maka pendirian yang ditegaskan Mohamad itu adalah paling tepat dikatakan melambangkan pandangan paling popular di kalangan pemimpin Umno.

“Ini soal agama, janganlah berparti sangat... Islam yang kita amalkan ini membantu dalam mentadbir negara, bukan Islam yang kita uar-uarkan bagi mentadbir parti politik,” katanya, sebagaimana dipetik akhbar harian penganjur debat tadi, edisi 27 Julai.

Beliau dengan tegas tidak bersetuju diwujudkan majlis ulama di dalam Umno. Sebaliknya, mencadangkan penubuhannya di peringkat negara.

Kenyataannya itu boleh ditafsirkan sebagai menolak campurtangan agama dalam politik. Dan, kita percaya fahaman ‘politik suku, agama suku’ ini memang bersarang kukuh di dalam jiwa para pemimpin Umno keseluruhannya. Maka, dapat kita fahami bahawa Umno belum bersedia mengambil agama sebagai panduan perjalanan politiknya. Justeru, apa perlunya parti itu mewujudkan majlis ulama sebagai komponen pentingnya?

Di kalangan yang menyahut cadangan tadi ada juga yang menganggapnya sebagai tepat pada masa bagi Umno mewujudkan sayap ulamanya. Mereka malah mengimbau sejarah awal penubuhan Umno dulu yang katanya memiliki sayap ulamanya. Bahkan sayap itulah yang dikatakan akhirnya melahirkan PAS.

Soalnya, jika sekadar mahu membawa rakyat kembali mengingati sejarah parti itu yang suatu ketika dulu pernah mempunyai sayap ulama sebagai komponen penting parti, apakah imbauan sejarah silam itu tidak akan menemukan kita dengan sebab-musabab kenapa akhirnya khalayak agamawan itu bertindak meninggalkan Umno?

Tidakkah dengan tersingkapnya kembali catatan sejarah itu akan lebih membuka ‘pekung di dada’ Umno di kalangan pencinta Islam? Lagi pun, adakah semata-mata dengan menggamit nostalgia Umno bersama sayap ulamanya dulu itu mampu menaikkan imej Islam pada batang tubuh Umno, sekaligus menudung segala kebobrokan dibuat parti itu selama puluhan tahun kemudiannya terhadap perkembangan Islam dalam negara?

Lalu, satu-satunya hujah atau rasional yang masih tinggal untuk justifikasi penubuhan majlis ulama Umno ialah bagi menjadi alat parti itu dalam isu-isu berkaitan agama. Lebih-lebih lagi, sepertimana dimaklumi bahawa musuh utama Umno dalam mempertahankan undi masyarakat Melayu-Islam ialah PAS.

Sebagai sebuah parti didukung pencinta Islam dan ditegakkan di atas prinsip Islam, PAS dilihat senantiasa di hadapan dalam isu-isu berkaitan agama berbanding Umno. Maka, mahu tidak mahu Umno perlu memberikan ruang kepada golongan ulama, agar mudah ia membentuk ‘perisai’ menangkis serangan parti lawannya itu.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang (belum dipotong) kepada versi disiarkan akhbar Harakah Bil: 1765, 3 Ogos 2012 di ruangan 'F14 KOLUMNIS' dengan tajuk serupa)

Wednesday, August 1, 2012

DIAN – Merintis pasaran maya


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

Kita sekarang sudah berada di bulan Ramadhan al-Mubarak. Boleh jadi ketika edisi kali ini hadir ke pasaran, para pembaca sedang asyik dengan usaha masing-masing mencari rahmat Allah, sepertimana dijanjikan Baginda saw, di permulaan bulan mulia ini.

Atau mungkin ia menemui pembaca pada sepertiga kedua, yang dijanjikan keampunan dari sisi Allah untuk mereka yang taat mengerjakan ibadat puasa. Di mana pun kita pada ketika ini, diharapkan kita semua sedang giat mengoptimakan manfaat kehadiran bulan penuh berkat ini.

Amat rugi seandainya kita membiarkannya berlalu begitu sahaja, tanpa direbut peluang-peluang dihidangkan di sisi Allah menerusi berbagai amal ibadat yang sukar ditemui di bulan-bulan lain.

Sewaktu coretan ini ditaip, pihak kami sebetulnya di dalam proses terakhir untuk merealisasikan hasrat memanfaatkan teknologi multimedia untuk penyebaran ilmu dan dakwah Islam. Alhamdulillah, ada ruang sangat selesa untuk kami persembahkan kandungan majalah kami kepada para pembaca menerusi pasaran maya, App Store.

Barang diizin Allah, bermula edisi ini dan seterusnya, majalah Dian – Ihya’ as-Sunnah akan dapat dilanggan menerusi i-Pad dan i-Phone. Maklumat lanjut mengenainya ada kami paparkan di halaman khusus majalah ini. Andai hasrat itu dapat direalisasikan, kami bakal menjadi pihak pertama di kalangan majalah agama di negara ini, bahkan mungkin di rantau ini, yang berbuat demikian.

Ia bukan bermaksud untuk berbangga, tetapi sekadar berkongsi kegembiraan dengan para pembaca sekalian atas pencapaian bermakna ini. Mudah-mudahan ia bakal memberi peluang lebih selesa buat sebilangan pembaca, terutama mereka yang mungkin berdepan kesulitan tersendiri mendapatkan naskhah majalah kami selama ini.

Selamat menyempurnakan ibadat puasa, dan tidak terlalu awal juga untuk kami ucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri. Wassalam.

Akhukum fil Islam,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini adalah catatan EDITORIAL majalah DIAN - Ihya' as-Sunnah, Bil: 8 (Ogos 2012) dengan tajuk sama)

Saya tak pernah rasa setenang ni – Abby Abadi

Cerita: Mohd Nasir Awang
Foto: Farah Zahra’ Nasir

Muqoddimah
Bagaikan ada gelombang, kecenderungan artis dan selebriti tersohor ‘berhijrah’ ke arah menghayati kehidupan bertepatan dengan ajaran agama Islam sebenar semakin melumrah mutakhir ini. Seorang demi seorang antara mereka yang (diakui mereka sendiri) sebelum ini hidup terumbang-ambing bagai dihayutkan badai kehidupan yang agak jauh dari landasan syariat, kini berusaha sehabisnya untuk mendekatkan diri mereka kepada agama.

Majalah Dian – Ihya’ as-Sunnah sebelum ini pernah menemubual beberapa artis tersohor tanahair. Perkongsian pengalaman hidup mereka, terutama detik dan faktor yang menjadi titik pusing dalam hidup mereka telah kami paparkan lewat Edisi 1, 2, 4 dan 6, melibatkan personaliti berbeza.

Dalam edisi kali ini, kami berkesempatan menemubual seorang lagi artis yang baru ‘berhijrah’ bagi menghiasi kolum KEMBARA IMAN majalah kami ini. Beliau ialah Arbaieyah bte Abdul Manan atau lebih popular dengan nama Abby Abadi. Ringkasan temubual dan maklumat berkaitan dirinya adalah sepertimana dipaparkan.

Titik pusing
Saya memang bersyukur sangat-sangat bilamana berlaku beberapa kejadian dalam hidup saya, Tuhan buka hati saya untuk lebih dekat dengan Dia dan membuka pintu hati saya untuk membawa diri saya pergi ke rumah-Nya, Masjidil Haram (menunaikan umrah pada 15 hingga 26 Mac lalu). Dekat situ lah saya rasa sangat yang saya ni banyak sangat buat dosa.

Alhamdulillah, dua hari sebelum kembali ke Kuala Lumpur, di depan Kaabah saya nekad untuk bertudung sekali gus berdoa semoga Tuhan tetapkan iman saya untuk kekal begini.

Individu paling rapat ketika ‘hijrah’
Sebenarnya dari segi nak berhijrah, hati saya sendiri yang memang nak sangat dekat dengan agama Allah. Tapi... adalah seseorang yang rapat dengan saya. Ada banyak sangat benda (tentang Islam) yang saya tak faham. Tapi bila saya tanya, semua dia boleh jawab. Walau pun tak bergelar ustaz, itu macam ustaz juga lah...

Saya bersyukur juga dikelilingi dengan orang-orang yang baik-baik sekarang, selalu dapat berjumpa dengan orang-orang yang baik-baik, dekat dengan agama dan saya dapat banyak sangat ilmu.

Pengakuan tentang ‘kejahilan’
Dulu saya tak fikir langsung yang mati tu macam mana lah seksanya, tak fikir langsung pasal seksa kubur. Tapi sekarang saya ‘nampak’ dan saya takut sangat dengan benda-benda macam tu. Maknanya kita memang kena buat apa yang Dia suruh, sebab apa yang kita ada semuanya Dia yang punya.

Jadi sekarang saya cuba sehabis baik nak tebus dosa-dosa saya yang mana dulu saya tak... tak kasar sangat la kalau saya sendiri yang kata kot... saya yang ‘jahil’ ini dulu sangat-sangat tak mengetahui apa yang berlaku kepada agama saya, walau pun saya orang Islam. Jadi sekarang ini dengan adanya ruang yang Allah aturkan untuk saya, saya berniat sangat nak perjuangkan agama Allah yang semacam dipinggirkan di Malaysia.

Sebelum ini saya akui saya leka dengan diri saya. Sembahyang tu sembahyang, tapi tak terlalu menekan sangat pada kehidupan sebagai seorang wanita yang beragama Islam. Yang mana (contohnya) saya baca, saya faham je apa itu aurat, saya tahu je bila wanita seorang yang akil baligh kena tutup aurat. Saya tahu pun, tapi tak buat. Teruknya saya masa tu saya rasa... (ketawa)

Memang lah saya akui, saya leka dengan dunia saya, walau pun saya tak menyalahkan orang keliling saya yang mana memang saya nampak buat benda-benda yang sebenarnya tak patut buat. Jadi orang sekeliling saya pun sama macam saya. Jadi macam tu lah saya.. rasa macam baiklah, tapi tiap-tiap hari buat dosa.

Itulah sebabnya saya rasa bersyukur sebab dalam ramai-ramai tu Allah Ta’ala pilih saya untuk berubah, untuk jadi saya yang bukan saya dulu, yang tahu tapi tak buat apa yang Dia suruh. Macam saya tahu je aurat tu bila perempuan, yang boleh nampak muka dengan tapak tangan saja... tahu! Sekarang baru saya sehabis baik cuba nak jaga, alhamdulillah pelan-pelan lah.. kadang ada juga terbabas... iman masih ‘muda’ lah, tak cukup kuat.

Mahu ubah dunia seni
Saya masih sayangkan karier saya, saya masih sayangkan dunia saya, dunia seni. Saya masih sayangkan kawan-kawan saya, yang bersama saya sebelum ini. Sebab itulah saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik untuk mereka, untuk saya. Biar sama-sama dapat merasa kasih sayang Allah.

Saya tak kata saya nak berhenti berlakon, tapi kalaulah dapat diperbaiki (dunia seni), maksudnya lebih ke jalan Islam, dapat mengikut syariat-syariat tertentu, kat situ saya rasa lebih baik untuk mendidik generasi-generasi yang akan datang.

Sebenarnya kalau nak ikutkan, sebelum saya berhijrah pun, hati saya tak suka sebenarnya drama-drama atau pun filem yang selalu buat adegan-adegan yang terlalu over sangat. Dia konon-kononnya kata tak apa, kita nak tunjukkan benda yang baik... nanti bila last dia jadi baik.

Saya rasa benda macam tu tak perlu tunjuk pun tak apa. Itu kesilapan besar yang mana lebih mendorong remaja (penonton) membuat benda-benda yang tak baik. Walau pun saya tak (belum) berhijrah dulu, tapi hati baik...(ketawa). Hati baik, jadi saya nampak benda-benda tu berlebih-lebihan sangat.

Sekarang saya memang kalau boleh nakkan dunia seni pun diselamatkan daripada keadaan yang macam dah tak ada batasan. Saya tengok ada satu filem baru, saya tengok teasernya, adegan yang ditunjukkan tu kononnya supaya orang lain bersikap terbuka menerima adegan-adegan yang begitu mengghairahkan. Bersikap terbuka?

Ya Allah, saya rasa walau pun saya ini bukan sapa-sapa, kurang sangat ilmu agama, tapi saya rasa tak adalah benda tu patut dibuat macam tanpa rasa bersalah... memang (teaser itu) ditunjukkan terang-terang tanpa ada blur-blur tu. Macam tak bersalah sangat, padahal benda tu kepada saya maksiat la, kan?

Harapan untuk anak muda
Sebenarnya kalau boleh, bukan saja anak muda tapi semua sama-sama ke jalan Allah. Kalau kita nak buat perubahan, kita tak boleh berubah untuk kita saja. Kita kena berubah dari atas. Maksudnya kita kena dapatkan contoh yang baik sebagai orang yang kat atas kita, kita kena dapatkan orang yang selalu mengingatkan kita ke arah kebaikan.

Jadi saya rasa anak muda memang perlu lakukan perubahan dari segi pemilihan orang yang patut memimpin kita, insya Allah.

Maksudnya, macam saya pun, saya nak berubah. Saya mengharapkan orang keliling saya orang yang baik-baik, supaya saya jadi baik dan saya dapat tunjukkan contoh yang baik juga kepada orang lain.

Jadi memang harapkan sesuatu yang lebih baik dari atas. Yang bawah tu ikut je contoh yg baik. Kalau kat atas kita ikut contoh tak baik, contoh kalau kita ikut imej K-Pop, hah... K-Pop lah kita.

Kenapa bersama PAS
Artis pergi banyak dekat PAS sebab kebanyakannya memang terima jemputan daripada pihak PAS dalam majlis-majlis agama. Maknanya, kita berhijrah atau pun kita nak pergi ke lebih baik, dah tentulah ke arah agama. Jadi orang yang ke arah agama, orang yang memperjuangkan agama lah yang kita cari, yang kita dekati.

Memang kalau orang tak faham, orang akan kata, “kenapa campur adukkan agama dengan politik?” Tapi kalau dia orang betul-betul faham, daripada zaman Nabi pun agama dengan politik tidak boleh dipisahkan. Jadi kena ambil tahulah pasal benda tu.

Insya Allah saya memang nak jadi antara umat yang baik di sisi Allah, saya nak dekatkan diri kepada Dia. Dan saya bersyukur sangat Allah aturkan jalan saya untuk bersama pihak yang memang menekankan agama untuk rakyatnya.

Contohnya macam majlis-majlis yang dianjurkan oleh pihak PAS, yang mana memang sangat-sangat memberi ilmu pada saya lepas saya berhijrah. Saya memang rasa banyak sangat benda yang saya perlu bersyukur bila sekarang ini didekatkan dengan ilmuan agama, dengan ustaz, dengan ustazah, dengan rakyat yang cintakan agama.

Harapkan yang baik untuk semua
Saya sebenarnya nak semua dekat dengan agama, nak semua perjuangkan agama kita, yang rasa dah macam dipinggirkan saja dalam negara kita ini. Padahal kalau nak ikutkan, bumi ini bumi Allah, kan? Dunia ini Allah yang punya. Jadi maknanya malu-malu lah sikit yang buat macam-macam dekat orang Islam tu, rasanya tak bersalah ke? Bila sampai ada pejuang Islam kena tembak, masjid diroboh, saya rasa benda-benda tu tak patut berlaku dalam negara kita yang diisytiharkan sebagai negara Islam ini. Jadi saya mengharapkan sangat untuk semua umat Muhammad saw, yang sama seagama dengan saya, kita berjuanglah untuk agama.

Saya tak rasa tertekan langsung. Sebab itu lah dalam keadaan kini saya rasa lagi seronok, nak semua orang pun rasa macam saya, yang mana sejujurnya saya cakap, saya tak pernah rasa setenang ini.
BIODATA
Nama: Arbaieyah bte Abdul Manan
Tarikh Lahir: 1 Disember 1977
Tempat Lahir: Hospital Besar Kuala Lumpur
Nama Ibu: Hasnah bte Abu
Nama Bapa: Abdul Manan bin Tadin
Pendidikan:
- Sek. Ren. Hulu Klang (Darjah I)
- Sek. Ren. Lembah Keramat (2-6)
- Sek. Men. Lembah Keramat (Ting 1-5)
- ITTAR (Diploma in Tourisme, tak habis)
Pengalaman di bidang seni:
- anggota kumpulan nyanyian Elite (sehingga 1998)
- hos bersama rancangan tv Roda Impian.
- pelakon siri tv Gerak Khas (Inspektor Aleeza)
- drama-drama lain: Maria Mariana; Manjalara; Putera Syahzan
- filem-filem: Pasrah (2000); Gerak Khas the Movie (2001); Gerak Khas the Movie 2 (2002); Gerak Khas the Movie 3 (2005); Kamasutra (2005).
Anugerah: Anugerah Bintang Popular Berita Harian (Pelakon TV Wanita Paling Popular - 2000, 2001, 2002 dan 2003).
Berkahwin: 8 Januari 2002 (dengan pelakon Norman Hakim)
Anak-anak: Mohamed Danish Hakim, 9; Marissa Dania Hakim, 7; dan Maria Danisha Hakim, 4.
Bercerai: 2009 (anak ketiga baru berusia 3 bulan).
Tarikh mula bertudung: 24 Mac 2012

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan DIAN - Ihya' as-Sunnah, Bil: 8 (Ogos 2012) di ruangan 'KEMBARA IMAN' dengan tajuk sama)