Thursday, February 22, 2001

Tiada maaf atas rampasan wang royalti


Oleh: Mohd Nasir Awang

“PAS Tenat Tetapi Rakyat Terengganu Terus Dapat Faedah”, baca tajuk sebuah rencana dalam sebuah majalah berita mingguan akhir Oktober lalu.

“Wang Ehsan, Rakyat Bersyukur 18,000 Golongan Miskin Dapat Duit Hari Raya”, jerit pula sehelai pemidang di tengah-tengah kesibukan sebuah pekan di daerah utara Terengganu. Ia sebenarnya mahu memproklamir pembahagian wang RM200 kepada sebilangan rakyat menjelang Idulfitri yang lalu.

Semacam ada suatu kesepakatan di antara para aktivis parti pembangkang negeri ini yang menggantung pemidang itu dengan penguasa media cetak yang menerbitkan majalah tersebut di ibukota negara.

Kedua-dua pihak nampaknya tidak mahu ketinggalan mengambil bahagian dalam psychological warfare (perang psikologi) yang sengaja dicetuskan ekoran rampasan royalti petroleum oleh kerajaan Pusat September lalu.

Di antara jarum utama yang cuba didoktrinkan ke dalam pemikiran masyarakat ialah bahawa Barisan Nasional (BN) bukan bertindak terhadap rakyat Terengganu, tetapi hanya menidakkan hak PAS untuk mentadbir wang royalti milik rakyat Terengganu itu. Sebab itu, ratib popular di kalangan aktivis BN ialah “Wang Ehsan Hak Rakyat, Bukan Hak PAS”.

Kita bersetuju bahawa wang royalti petroleum itu bukan hak PAS. Kita juga menuntut pihak pembangkang turut faham bahawa wang tersebut juga bukan hak mak-bapak mana-mana pemimpin mereka. Betul! Ia adalah hak rakyat Terengganu, dan mesti dipulangkan kepada rakyat. Soalnya, siapakah yang berhak menguruskan wang tersebut bagi pihak rakyat Terengganu?  

Dunia tidak boleh lari daripada hakikat bahawa sebagai pengundi, rakyat Terengganu telah membuat pilihan pada 29 November 1999 lalu. Sebuah kerajaan yang sah telah terbentuk hasil pilihan rakyat secara demokratik.

Sepatutnya semua pihak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat. Tepat sebagaimana disuarakan oleh sehelai pemidang tajaan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), “Jangan Cabuli Hak Kerajaan Pilihan Rakyat Terengganu”.

Malangnya, hak ini jelas dinafikan oleh para pemimpin BN. Malah, Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, sewaktu mengulas hasil lawatan beliau ke negeri ini awal Oktober lalu secara jelas cuba lari daripada kenyataan bahawa rakyat Terengganu telah menolak BN.

TPM telah melakukan false sampling apabila mengatakan bahawa ‘rakyat Terengganu’ menyambut baik cadangan Program Pembiayaan Wang Ehsan yang dikemukakan oleh Kerajaan Pusat.

Pemesongan fakta sebegitu sedikit pun tidak memeranjatkan kita. Kerana, roh pembohongan itulah juga yang terkandung di dalam kenyataan akhbar yang didakwa dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan bertarikh 5 September 2000 lalu.

“Sungguh pun Kerajaan Negeri Terengganu pada bulan Februari 2000 telah menerima bayaran ehsan RM432 juta, rakyat Terengganu dan Kerajaan Pusat tiada maklumat atau keterangan mengenai program dan penggunaan bayaran ihsan tersebut”, kata kenyataan itu.

Siapakah yang dimaksudkan ‘rakyat Terengganu’ yang beria-ia mahukan maklumat atau keterangan itu? Jawabannya sudah tentu berkait rapat dengan golongan yang ‘terus mendapat faedah’ seperti yang dimaksudkan oleh tajuk rencana majalah tadi.

Ia juga tidak lari daripada kumpulan rakyat yang kononnya ‘bersyukur’ kerana dapat memberi duit raya kepada orang miskin tadi. Sudah tentu golongan itulah juga yang dimaksudkan oleh TPM ‘menyambut baik cadangan Program Pembiayaan Wang Ehsan’ itu.

Mereka adalah para pemimpin dan aktivis pembangkang yang telah ditolak oleh rakyat Terengganu. Rakyat telah kenal hati budi mereka. Rakyat tersangat maklum tentang track record penyelewengan dan salahguna kuasa mereka.

Rakyat sudah tidak nampak kewajarannya untuk menyerahkan pengurusan wang negeri kepada mereka itu. Kerana, jika diberi kesempatan, sudah barang tentu mereka akan mengulangi semula penyelewengan sebegitu. Buktinya, belum pun sampai setengah tahun pengagihan hasil ‘rompakan’ royalti dilaksanakan, pelbagai cerita tentang penyelewengan sesama ‘rakyat Terengganu’ itu telah menerjah ke telinga kita.

Kementerian Kewangan cuba memberi gambaran seolah-olahnya BN (selepas kalah?) amat bersungguh-sungguh hendak membela nasib rakyat Terengganu. Betul! Ada segolongan rakyat Terengganu yang terbela nasib mereka. Ada juga yang terus mendapat faedah daripada pengagihan tersebut, dan mereka inilah barangkali sekumpulan manusia yang paling ‘bersyukur’ di atas Program Pembiayaan Wang Ehsan tajaan Kementerian Kewangan itu.

Namun, penyakit diskriminasi, nepotisme dan kronisme yang telah berdarah-daging di kalangan para pengagih itu telah menimbulkan satu persoalan lain, iaitu siapakah sebenarnya rakyat Terengganu yang mendapat pembelaan atau terus mendapat faedah itu tadi?

Dan lebih penting lagi, adakah kita sebagai rakyat negeri ini redha dengan penyelewengan yang mereka lakukan itu? Demi Allah, ambe sorang dok redha!

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Februari 2001 di kolum tetap ‘Komentar’ dengan tajuk sama)

Thursday, February 8, 2001

BN seperti ‘mengata dulang paku serpih’

Oleh: Mohd Nasir Awang

MAHA Bijaksana Allah swt yang seringkali mentakdirkan berlakunya peristiwa-peristiwa di dalam kehidupan manusia, sarat dengan segala macam pengajaran. Kerap berlaku beberapa isu yang diperbesar-besarkan oleh pembangkang disusuli secara reciprocal (timbal-balas) oleh kejadian yang hampir sama kembali menimpa mereka pula.

Sebagai contoh, kita tentu masih ingat bagaimana di awal pemerintahan PAS di Kelantan sedekad lalu, ada digembar-gemburkan isu arahan menutup aurat terhadap kakitangan wanita di negeri itu.

Media konvensional telah memfokuskan isu ini kepada soal menutup rambut wanita yang diterjemahkan seolah-olah menyekat kebebasan.

Berbagai pihak ditemubual termasuk tokoh politik, budayawan, pejuang hak asasi, pejuang feminis, para artis malah ilmuan Islam.

Kesemua komentar mereka dijuruskan kepada kesimpulan bahawa tindakan Kerajaan Kelantan itu adalah menyalahi hak asasi manusia.  Kata mereka ”soal rambut adalah soal peribadi”.

Duduk tak duduk, dalam tahun yang sama juga dunia hiburan negara digemparkan dengan larangan sebuah stesen televisyen terhadap penampilan artis lelaki berambut panjang.

Operasi besar-besaran ’membasmi’ artis lelaki berambut panjang digerakkan sebegitu rupa sehingga ke peringkat mengancam periuk nasi artis-artis terbabit. Menteri Penerangan sendiri ’bertukar’ kerjaya buat seketika dan menjadi tukang gunting profesional.

Seluruh media bercakap soal rambut artis. Anehnya, media yang sama tidak pula membuat ulasan bahawa ”soal rambut adalah soal peribadi”. Pelik bukan?

Begitu juga dalam isu wabak taun yang melanda Kelantan tahun lalu. Para pemimpin Kerajaan Pusat menerusi media utama turut bertanggungjawab memaparkan imej negatif Kerajaan Negeri. Digambarkan kononnya Kerajaan Kelantan tidak pandai memerintah dan tidak tahu menjaga kebersihan, terutama di sekitar Sungai Kelantan.

Allah Maha Berkuasa sekali lagi telah membayar secara ’tunai’ segala tohmahan jahat mereka itu. Selang tidak berapa lama selepas wabak taun di Kelantan itu, berlaku pula wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor, negeri yang mendapat jolokan ”paling kuat UMNO dalam dunia”. Wabak HFMD juga turut dikaitkan dengan aspek kebersihan di tempat awam, terutama yang membabitkan kanak-kanak. Apakah ini menandakan bahawa kerajaan negeri berkenaan juga tidak pandai memerintah?

Kita pernah menyebut soal ’perang’ yang diisytiharkan oleh Kerajaan Terengganu terhadap tempat-tempat judi, pusat video, karaoke dan snuker tidak berapa lama dahulu. Apa yang tidak diulas oleh tokoh politik, ahli ekonomi dan media tempatan berkaitan langkah itu?

Semuanya bertujuan memberikan imej negatif kepada Kerajaan Terengganu. Namun, langkah ’perang’ yang sama turut diambil oleh Kerajaan Pusat kemudiannya. Sudah tentulah rasional yang mereka berikan itu, antara lain turut memuatkan hujah yang dipakai oleh Kerajaan Terengganu sebelumnya.

Kini, kerajaan BN secara tidak sengaja terpukul lagi. Kali ini juga ekoran manipulasi berlebihan media-media utama terhadap isu penggunaan balairaya di Kampung Sura Hujung, Dungun. 

”Tabika Kemas: Pintu pagar dan bangunan dikunci”, lapor sebuah akhbar. Ulasan yang diberikan secara jelas menuduh wujudnya ”cubaan mengusir Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daripada beberapa balairaya di Terengganu.

Pembelajaran dikatakan terjejas dan para ibu bapa masing-masing menyesali tindakan pihak terbabit mengunci balairaya berkenaan. Gambar kanak-kanak Tabika berkenaan yang ’terpakasa’ belajar di bekas warung kopi bersebelahan balairaya, turut disiarkan. 

Ia disertai ulasan kononnya pihak Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) setempat lebih mengutamakan agenda politik sehingga sanggup memangsakan kanak-kanak yang dahagakan pendidikan.  Sedikit pun tidak disebut tentang kedegilan pihak pengurusan Tabika berkenaan menyediakan tempat alternatif setelah dinotis keluar oleh pihak JSR beberapa ketika sebelum sesi persekolahan bermula lagi.

Allah Ta’ala mentakdirkan kejadian yang hampir sama berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Damansara dekat ibu kota.  Sekolah yang memuatkan hampir 1,500 murid itu telah dipindahkan operasinya ke SJKD Puay Chai II, di Bandar Utama tidak jauh dari tempat asalnya.  Bagaimana pun, di atas beberapa sebab tersendiri sebilangan muridnya dilaporkan enggan berpindah ke sekolah baru itu.

Isu itu berlarutan lebih seminggu, sehinggalah pada 12 Januari lalu, pihak Kementerian Pendidikan mengambil tindakan mengunci SJKC Damansara dan meletakkan seorang anggota polis di situ untuk mengadakan kawalan 24 jam. Apakah itu bermakna BN juga memperakui bahawa tindakan mengunci sekolah bukanlah suatu yang luar biasa?

Malangnya media telah berlaku tidak adil. Kalau dalam kes Tabika Kampung Sura Hujung, kanak-kanak digambarkan bernasib malang ekoran permusuhan politik, dalam kes SJKC Damansara pula dikatakan ”ekoran kedegilan segelintir ibu bapa yang enggan memindahkan anak-anak.....”

Kes di Sura itu telah pun selesai, dan kita harap kes di Damansara juga bakal diselesaikan dengan baik.  Namun, apa yang cuba kita utarakan ialah kedua-dua kes berkenaan sebenarnya banyak persamaan.  Paling kurang ia sekali lagi mengajar kerajaan BN supaya lebih berhati-hati sebelum melemparkan sebarang serangan terhadap pihak lain. Kerana, kerap berlaku pembangkang tidak ubah seperti ”mengata dulang paku serpih”!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman Bil: 17, 8 Februari 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)