Saturday, April 15, 2000

Umno Perlukan Tongkat Ali!


Oleh: Mohd Nasir Awang

Di dalam mengulas kekalahan Umno yang memalukan di Terengganu dalam pilihan raya umum lepas, seorang bekas timbalan menteri dengan nada kecewa telah ‘membuka pekung di dada’ partinya sendiri.  Beliau menulis: “Umno Terengganu menghadapi 29 November 1999 seperti seorang pahlawan yang sedang sakit dikerah berperang. Malangnya dia tidak sedar ramai askarnya membuat ragam. Bila berperang, mereka tidak sekadar menembak musuh tetapi sanggup menembak rakan-rakan sendiri.”

Itulah rupa Umno, dulu, kini dan selamanya...!! Dan fenomena yang dibangkitkan bukan sahaja berlaku di Terengganu, malah berdarah-daging dalam batang tubuh Umno di mana jua Umno berada. Bagus juga sudah ada di antara ahlinya yang sedar kelemahan diri. 

Malangnya, kebanyakan yang tersedar itu adalah mereka yang sudah agak terpinggir, sama ada dalam parti mahu pun kerajaan. Suara mereka itu sudah tenggelam-timbul dalam parti.  Kebanyakan mereka pula adalah golongan pertengahan. Pemimpin atasan setakat ini gagal menampakkan kesedaran itu. Khalayak bawahan Umno juga masih berada di takuk lama.  Mereka semacam tidak pernah mahu menoleh ke belakang menghitung kesilapan yang telah mereka lakukan.

Sebab itu Umno masih bernafsu besar untuk terus memerintah dan mendominasi arena politik tanahair. Bahkan, di sesetengah tempat di mana Umno kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu, terutama di Terengganu, orang-orang Umno masih bercakap besar seolah-olah Umnolah yang menang. Seolah-olah Umno masih memerintah negeri itu. Barangkali inilah perangai yang disebut orang ‘nafsu lebih, tenaga kurang’.

Pilihan raya umum lalu jelas membuktikan bahawa ‘tenaga zahir dan batin’ Umno sudah berada di tahap yang sangat memalukan. Umno terlalu cuai dalam melunaskan tanggungjawabnya memberi ‘nafkah’ kepada bangsanya. Sebab itulah tidak hairan mengapa lebih 70 peratus daripada kasih sayang yang selama ini dicurahkan oleh bangsanya terhadap parti itu secara jelas terhakis lewat pilihan raya umum lalu.

Calon-calon Umno ditolak mentah-mentah di 32 kerusi Parlimen dan lebih 100 kerusi DUN di seluruh negara. Undi Melayu beralih kepada calon-calon PAS dan Keadilan yang juga sebangsa dan seagama dengan mereka. Umno disapu hampir licin di dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu. Beberapa Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan seorang Menteri Besar yang menjadi calon Umno juga turut tersembam. 

Beberapa jagoan agama dalam Umno yang menjadi ‘jurubicara’ parti mereka setiap kali berhadapan dengan isu Islam, turut dimalukan oleh rakyat. Dato’ Paduka Menteri tersungkur di Sik, Dato’ Seri Amar DiRaja Menteri Besar kecundang di Cukai, Dato’ Dr. Ketua Penerangan Umno berputih mata di Besut dan Dato’ bekas Pengarah Pusat Islam tewas di Melor.

Di kalangan yang menang pun, majoriti yang mereka perolehi nyata menjunam turun. Datuk Paduka Zaleha Ismail tinggal hanya 803 undi daripada 30,000 undi majoriti di Gombak.  Dato’ Seri Najib Tun Razak, Naib Presiden Umno, menang ‘nyawa-nyawa ikan’ dengan hanya 241 undi di Pekan. Manakala Dato’ Seri Presiden Umno susut popularitinya kira-kira 10,000 undi di Kubang Pasu.

Namun, segala yang berlaku itu nampaknya masih belum cukup untuk membangkitkan Umno dari buaian mimpinya. Khalayak bawahan Umno masih senang menjadi tukang ampu kepada para pemimpin mereka. Apa yang mereka pentingkan ialah habuan untuk mereka. ‘Ada habuan baru ada kerja’. Perangai mereka tak ubah ibarat pahat dengan penukul, sekali diketuk sekali bergerak. Kalau yang mengetuk itu pemimpin mereka, maka alat yang digunakan untuk mengetuk itu besar kemungkinan ialah ‘fulus’.

Politik sogok masih bertradisi dalam Umno, dan semakin menampakkan gejalanya tatkala hampir Perhimpunan Agung Pemilihan parti itu Mei 2000. Sebab itu para pemimpin Umno tak jemu-jemu mengingatkan ahli-ahlinya agar menolak pemimpin yang membeli undi.

Agak sukar mencari ahli-ahli Umno yang masih ikhlas dengan perjuangannya. Mereka aktif dan merebut jawatan lebih didorong oleh kepentingan peribadi. Jiwa perjuangan mereka sudah berongga dan hampir reput. Perjuangan mereka untuk membela agama, bangsa dan negara semakin jelas menjadi suatu pembohongan.

Agama Islam semakin terancam apabila semakin ramai penganutnya yang murtad, meminum arak, tidak mengamalkan suruhan, membunuh, membuang bayi, bohsia, dan macam-macam lagi.

Umno sebagai tulang belakang kerajaan nyata gagal melakukan sesuatu bagi memperbetulkan keadaan ini. Lebih teruk lagi, usaha PAS melaksanakan syariat Islam di Kelantan (sebagai alternatif yang dijamin Allah terhadap peraturan manusia) dihalang sebegitu rupa oleh Umno.

Nasib bangsa Melayu yang menjadi teras perjuangan Umno tidak juga terbela, sebagaimana yang diwar-warkan. Kekenyangan yang dinikmati segelintir elitis Melayu belum boleh ditafsirkan sebagai pembelaan terhadap nasib bangsa.

Masih terlalu ramai anak bangsa yang hidup melarat, bahkan di bawah paras kemiskinan. Hak-hak Istimewa Melayu dalam pendidikan semakin terhakis, manakala Tanah Rezab Melayu pula menguncup dipicit oleh pembangunan.

Sudah bergelen-gelen airmata rakyat tumpah akibat kezaliman Umno. Di Kerpan, airmata itu menjadi kolam tempat udang harimau berenang. Di Sungai Nipah, airmata itu berbaur dengan air hujan yang dipancut oleh pasukan ‘Topi Merah’. Di Ampang Tambahan, airmata rakyat ditemani air embun dingin di waktu malam.

Manakala yang paling memalukan bangsa Melayu dan agama Islam ialah di Memali. Di mana airmata umat Islam disirami darah dan nyawa mereka yang tidak berdosa. Bukan mudah untuk rakyat melupakan segala kedurjanaan Umno itu.

Maka di mana lagi kekuatan Umno yang tinggal? Pada pemimpin yang bernafas dengan ‘nyawa ikan’, ahli-ahli yang bagaikan ‘pahat dengan penukul’ atau pada rakyat jelata yang masih dibayangi kezaliman-kezaliman itu?

Di sinilah perlunya Umno mencari azimat atau suatu keajaiban, sekiranya ia mahu terus berkhayal dengan nafsu besarnya. Umno memerlukan ubat seumpama ‘Tongkat Ali’ bagi memulihkan semula tenaganya yang sudah lusuh dan lemah itu. Ia bebas untuk memilih Eureko atau pun Viagra sebagai ganti. Tetapi kalau ia mahu dilihat masih beridentitikan Melayu, maka ramuan tradisi Melayu Tongkat Alilah yang sepatutnya dicari.

Dimanakah adanya ‘Tongkat Ali’ yang dicari-cari Umno itu? Umno tidak akan berjaya menemuinya selagi hati-hati yang ada dalam Umno itu takut untuk memperakui kelemahan yang dialami mereka kini.

Pesan orang tua-tua, azimat sesuatu ubat itu lebih mudah ditemui sekiranya si pesakit itu sendiri percaya ramuan ubat itu berkeupayaan mengubati sakit yang sedang dideritainya.  Begitulah adanya!

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala "Memo Editor Tarmizi Mohd Jam" diterbitkan sekitar April 2000).

No comments:

Post a Comment