Tuesday, August 15, 2000

Masa untuk Membuktikan


BANYAK pihak mahu membuktikan banyak perkara di atas kemenangan PAS di Terengganu. Rakyat sebagai pihak yang bertanggungjawab menukar kerajaan, awal-awal lagi telah membuktikan mereka memiliki kuasa sebenar. Merekalah yang berkuasa menentukan manakah kerajaan yang mereka suka.

Pada 29 November 1999, mereka telah membuktikan bahawa mereka telah menolak kezaliman dan memilih keadilan. Mereka menolak pembangunan kebendaan semata-mata dan mahukan pembangunan lahiriah yang disertai pembangunan rohani. Mereka telah memilih PAS atas hasrat parti itu hendak menegak dan melaksanakan pemerintahan Islam.

Rakyat juga telah membuktikan Umno/Barisan Nasional (BN) tidak kebal. Segala propaganda, fitnah media, ugutan dan sogokan kebendaan sudah tidak boleh dijadikan pendinding utama kekuatan BN.

Rakyat juga telah membuktikan mereka tidak sedungu dahulu-dahulu! Mereka kini sudah celik maklumat dan celik politik. Mereka sudah mampu membezakan mana intan dan mana kaca, mana parti yang ikhlas dan mana yang menipu. Kini rakyat menunggu dua pihak lain pula membuktikan sesuatu terhadap mereka.

BN walau pun sudah kalah, masih bertanggungjawab untuk membuktikan sesuatu kepada rakyat Terengganu. Inilah masanya bagi pemimpin BN untuk membuktikan keikhlasan mereka yang sebenar dalam memberikan khidmat masyarakat, dan dalam menjana pembangunan negeri selama ini. Apakah khidmat mereka kepada rakyat akan terhenti serta-merta apabila sudah tidak lagi menjadi wakil rakyat?

Jika BN benar-benar sayangkan rakyat, para pemimpinnya perlu membuktikan bahawa mereka masih mampu memujuk kerajaan Pusat supaya menyalurkan bantuan kepada rakyat Terengganu. Apakah pembangunan yang selama ini mereka rancang dan laksanakan itu benar-benar untuk kemaslahatan rakyat, ataukah sekadar menjaga kelangsungan pemerintahan mereka? Jadi, mengapa harus dihentikan projek pembangunan ke Terengganu sedangkan BN masih memerintah Kerajaan Pusat?

Rakyat juga menuntut PAS supaya membuktikan banyak perkara. Paling utama PAS mesti buktikan kepada rakyat Terengganu dan juga dunia bahawa ia mampu mentadbir. Bahawa seorang ulama berserban dan berjubah yang telah sebulat suara dipersetujui menjadi ketua Kerajaan Terengganu itu mampu setanding dengan para pemimpin BN yang berkot dan bertali leher, kalau pun tidak lebih baik. Buktikanlah bahawa Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang telah dipilih menganggotai kerajaan itu semuanya benar-benar layak memegang portfolio masing-masing. Mereka mesti membuktikan kewibawaan mereka.

Seluruh ahli Yang Berhormat di peringkat DUN dan Parlimen juga bertanggungjawab membuktikan sesuatu kepada rakyat. Buktikan bahawa mereka tidak sama dengan para YB Umno dahulu. Mereka hendaklah cakna kepada rakyat, prihatin dan ambil berat soal kepentingan masyarakat, bergaul dan bermuamalat sehari-hari dengan rakyat. Mereka lebih wajar menggelarkan diri mereka ‘Yang Berkhidmat’.

Ada masa, mereka perlu turun ke padang sama-sama menendang bola dengan masyarakat belia. Pada ketika yang lain, apa salahnya mereka sama-sama memegang cangkul atau penyapu, bergotong-royong bersama rakyat. Pada masa yang lain pula, mereka perlu meraikan rakyat di warung-warung dan kedai-kedai kopi, jika itulah yang rakyat mahu mereka buktikan.

Mereka adalah wakil rakyat PAS, dan PAS adalah parti Islam. Maka kehadiran mereka ke kampung-kampung bukan sekadar untuk disambut sebagai seorang pemimpin dan YB. Mereka mestilah tahu membaca doa selamat, tahu mengimami solat dan tahu berkhutbah di mimbar.

Di kalangan ahli-ahli YB yang masih baru menyertai saf perjuangan juga ada tanggungjawab lebih berat yang mesti dibuktikan. Mereka perlu buktikan bahawa sekali pun mereka masih baru dengan PAS, komitmen dan pembelaan mereka kepada perjuangan PAS tidak perlu dipersoalkan. Jangan ada dia antara mereka yang tidak mahu menyesuaikan diri dengan corak kehidupan orang-orang PAS, dan lebih banyak bergaul sesama bekas Umno atau para penyokong mereka yang masih Umno.

Pernah seorang YB terlepas cakap sesama mereka: “Rohok sungguh orang PAS tempat ana. Nya pergi ukur tanah sama-sama dia. Ana larang tak dengar. Enta tolong pergi nasihat sikit orang-orang enta tu!”

Penulis yang turut sama berada di situ rasa tergamam. Bagaimana tergamak seorang YB PAS mengistilahkan rakyat yang mengundinya sebagai ‘orang-orang enta’ kepada seorang YB lain. Apakah dia masih tidak menganggap dirinya sebagai wakil rakyat PAS? Perkara sebegitu hendaknya janganlah diulang-ulang lagi!

Ada juga diceritakan bagaimana seorang YB yang mengambil kesempatan berucap kepada hadirin di sebuah masjid selepas solat Jumaat, mendedahkan kononnya ada pihak yang cuba menjatuhkannya. Kalau pun ia benar-benar berlaku, apakah itu satu pendedahan yang cerdik?

Sebagai seorang YB yang masih baru dengan PAS, dan masih baru pula menjadi YB, beliau tidak sepatutnya berusaha mencari musuh atau menggembar-gemburkan beliau mempunyai ramai musuh. Itu adalah stail Umno untuk meraih simpati dan sokongan rakyat. Tradisi sebegitu tidak pernah wujud dalam PAS.

Seorang YB yang lain pula meluahkan sendiri kepada penulis perasaan kurang senangnya terhadap gelagat orang-orang PAS yang diistilahkannya ‘suka bermanja’ dengan wakil rakyat. Malah beliau menganggap kerja-kerja seperti menyelesaikan permohonan tanah, menandatangani borang itu dan ini, menghadiri pelbagai jemputan rakyat, adalah tidak sepatutnya dibebankan ke atas wakil rakyat. Apakah sikap itu bertepatan dengan apa yang diharap-harapkan oleh rakyat?

Rakyat menuntut PAS membuktikan bahawa pemerintahannya tidak serupa dengan BN. Wakil rakyatnya tidak seperti bekas YB BN, dan kerajaannya juga tidak kronisme, tidak balas dendam, tidak diskriminasi sebagaimana kerajaan BN dulu. Paling tidak, kembalilah meneliti segala janji-janji yang digazetkan di dalam manifesto pilihan raya dahulu. Banyak pihak di kalangan rakyat tertunggu-tunggu kerajaan baru membuktikan segala janjinya itu.

Ironisnya, antara pihak yang paling ghairah menuntut kerajaan baru PAS di Terengganu menunaikan janji-jani manifestonya ialah ‘muka-muka kalah’ dan para pengikut Umno. Semacam ada suatu kesepakatan pula di kalangan para pemimpin Umno Terengganu dan para penyokong kuat mereka di serata negeri, untuk menjadi ‘busy body’ dalam hal ini. Serta-merta mereka itu bertukar menjadi warga prihatin, sekaligus menjadi kumpulan pendesak (pressure group) terhadap Kerajaan Negeri. Merekalah paling ke hadapan dalam menyuarakan kembali berbagai-bagai janji PAS lewat manifesto pilihan raya lalu.

“Bila lagi nak buat hukum Islam ni?”, kata seorang ‘muka kalah’ di Besut. Nadanya memang sinis betul. Dalam minggu pertama kekalahannya, beliau dikatakan meminta para penyokong kuatnya ‘menyerbu’ markas-markas PAS, atau rumah-rumah para pemimpin PAS di peringkat cawangan, meminta naskhah manifesto PAS dalam kuantiti yang banyak, untuk dibahagi-bahagikan di kalangan mereka.

“Kami nak baca dengan teliti. Kami akan pastikan kerajaan PAS kecek pelawok (cakap bohong) ke dak! Jagalah puak demo kali ni!”, mereka berkata dengan diiringi ketawa sinis. Nadanya agak keras, bahkan ada unsur-unsur ugutan dan amaran.

“Molek benarlah lagu tu gak! Ini dah kira meringankan beban tugas Tun Salleh”, balas seorang aktivis muda PAS di situ, agak sinis juga.

Seperti yang dimaklumi umum, Tun Salleh Abas ialah Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas, yang antara lain bertanggungjawab ke atas aduan, rungutan atau cadangan terhadap perjalanan pemerintahan Kerajaan Negeri sekarang.

Nada ‘desakan’ yang sama turut disuarakan oleh bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansur. Beliau yang kalah di kawasan Parlimen Setiu, mendesak kerajaan Terengganu menunaikan janji menaikkan jumlah bantuan bagi golongan miskin dan kurang upaya di negeri itu, kepada RM200 sebulan.

“Jika PAS berjanji tetapi tidak menunaikannya, seperti menaikkan jumlah bantuan kepada RM200 sebulan, secara langsung perkara ini boleh merosak serta menjejaskan imej agama Islam. Menunaikan janji itu adalah tanggungjawab yang perlu dipikul. Tambahan pula PAS juga perlu bertanggungjawab melindungi kesucian Islam di mata masyarakat,” katanya.

Bunyinya macam nak mengajar itik berenang saja. Kita pun naik hairan, sejak bila pula tokoh Umno itu cakna tentang imej agama dan kesucian Islam?

Sebenarnya janji menaikkan bantuan kebajikan kepada penerimanya memang merupakan antara beberapa perkara yang terkandung dalam manifesto PAS. Tetapi ia tidak menyatakan “kepada RM200 sebulan”, sebagaimana yang didakwa itu. Apa yang disebut dalam manifesto ialah “supaya dapat meningkat kepada jayadiri dan berdikari”.

Usaha itu diperkenalkan sebagai langkah Kerajaan Negeri Terengganu untuk membantu meringankan beban rakyat, di samping menyemai sikap berdikari dan jayadiri. Sebab itu turut diringankan ialah bebanan-bebanan lain yang sebelum ini terpaksa ditanggung oleh rakyat, seperti penghapusan cukai pintu, penghapusan tol di Jambatan Sultan Mahmud dan sebagainya, setelah PAS berjaya mengambilalih pemerintahan di Terengganu.

Di bawah kerajaan BN dulu, penerima bantuan di negeri itu melibatkan kira-kira 4,600 keluarga. Mereka menerima bantuan kebajikan bulanan pada kadar antara RM60 hingga RM150 sebulan. Selama 38 tahun BN memakmurkan Terengganu, kadar itu sahaja yang mampu mereka hulurkan kepada fakir-miskin. Maka PAS berjanji untuk menaikkan sedikit kadar bantuan berkenaan.

Turut ditekankan oleh PAS ialah usaha mempertingkatkan fungsi masjid dan surau sebagai pusat pendidikan tidak formal dalam masyarakat. Soal itu berkait rapat pula dengan fungsi imam dan bilal, serta imbuhan yang diterima oleh mereka. Maka mendesaklah pula Persatuan Imam dan Bilal Terengganu agar kerajaan segera menaikkan imbuhan mereka. Apa yang tidak enaknya, desakan mereka itu diutarakan lewat suratkhabar. Tidakkah ada saluran yang lebih baik daripada akhbar kroni?

Sememangnya masih terlalu awal untuk membuat penilaian atau judgement atas prestasi kerajaan baru Terengganu. Apalah yang sempat dilakukan oleh sebuah kerajaan yang baru bertukar tangan, bertukar minda, prinsip dan dasar, malah bertukar sebahagian jenteranya, dalam masa tidak sampai pun lagi 200 hari?

Pun begitu, PAS sekurang-kurangnya telah membuktikan ia mampu membuat sesuatu. Selain perubahan-perubahan yang telah disebutkan, PAS juga telah membuktikan ia ada formula untuk menyatupadukan masyarakat. Ia ada formula untuk menyelesaikan perselisihan atau pertikaian sesama rakyat.

Konsep ‘Syura Rakyat’ yang diterapkan dalam pentadbiran, telah membuka ruang yang sangat luas bagi setiap rakyat mengemukakan pandangan, saranan dan pendirian mereka terhadap sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan. Paling tidak rakyat merasakan mereka ada sumbangan dan telah mengambil bahagian dalam menjana perubahan di tempat masing-masing

(Artikel ini adalah Bab 1, Bahagian A: Bermulanya Era Ulamak, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', diterbitkan Penerbitan Pemuda, Gombak, Selangor, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment