YANG Amat Berhormat Tuan Guru
Haji Abdul Hadi bin Haji Awang, ADUN Rhu Rendang, yang dilantik menjadi Menteri
Besar (MB) Terengganu selepas kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-10,
merupakan MB kesebelas dalam sejarah kerajaan Terengganu.
MB pertama, Dato’ Seri Amar DiRaja
Haji Ngah Muhammad bin Yusof menduduki kerusi berkenaan bermula 21 April 1925
hingga 28 Jun 1940. Tempat beliau diambilalih kemudiannya oleh Tengku Seri
Setia Raja Tengku Omar bin Othman, yang menjadi MB antara 15 Julai 1940 hingga
6 Mei 1942.
Dato’ Jaya Perkasa Da Omar bin
Mahmud menjadi MB ketiga Terengganu, bermula 7 Mei 1942 hingga 16 Disember
1945. Beliau kemudian digantikan oleh Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad
bin Almarhum Sultan Ahmad, dari 17 Disember 1945 hingga 26 Disember 1949.
Haji Kamaruddin Haji Idris
menjadi MB kelima, dengan gelaran Dato’ Perdana Menteri DiRaja. Beliau memegang
jawatan itu dalam tempoh hampir sepuluh tahun, iaitu dari 27 Disember 1949
hingga 28 Jun 1959.
MB keenam ialah dari kerajaan
PAS, yang telah memenangi Pilihan Raya Umum 1959, Haji Mohd Daud Samad. ADUN
Setiu ini dilantik menerajui kerajaan Terengganu dari tarikh 29 Jun 1959 hingga
8 November 1961. (Kerajaan PAS berakhir setelah undi tidak percaya dilakukan di
Sidang DUN Terengganu, pada 30 Oktober 1961).
Tan Sri Dato’ Ibrahim Fikri bin
Mohamad kemudiannya mengambilalih tampuk pemerintahan kerajaan Terengganu.
Beliau menjadi MB selama hampir sembilan tahun, iaitu dari 9 November 1961
hingga 30 September 1970, sebelum digantikan pula oleh Dato’ Mahmud bin
Sulaiman (1 Oktober 1970-4 September 1971).
MB kesembilan ialah Dato’ Nik
Hassan bin Haji Wan Abdul Rahman, yang mengetuai kerajaan Terengganu dari 5
September 1971 hingga 31 Ogos 1974.
Selepas Pilihan Raya Umum 1974,
Dato’ Seri Amar DiRaja Tan Sri Wan Mokhtar bin Ahmad pula diangkat, sebagai MB
kesepuluh. Beliau menerajui Terengganu buat tempoh masa yang paling lama, iaitu
hampir 25 tahun, dari 1 September 1974 hingga 29 November 1999.
Ekoran kemenangan penuh bergaya
PAS pada pilihan raya umum lalu, Tuan Guru selaku Pesuruhjaya PAS Negeri
merangkap Timbalan Presiden PAS Pusat telah diperkenankan oleh Tuanku
Al-Wathiqubillah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud
Al-Muktafibillah Shah, untuk menerajui kerajaan yang baru dibentuk. Beliau
menerima watikah pelantikan sebagai MB ke-11 daripada Baginda Sultan pada 30
November 1999.
Sebagai MB, Tuan Guru turut
dipertanggungjawabkan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Galian
dan Perhutanan, dan juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan.
Potensi dan wibawa sesebuah
kerajaan bukan sekadar terletak kepada seseorang pemimpin utamanya sahaja. Di samping
karisme dan idealisme Tuan Guru dalam menerajui kerajaan baru Terengganu, turut
bersama-sama beliau dalam saf kepimpinan ialah satu line-up yang sangat meyakinkan. Mereka terdiri daripada tokoh-tokoh
yang memiliki berbagai-bagai latar belakang pendidikan dan mempunyai pengalaman
politik yang luas.
Antara yang turut mengangkat
sumpah sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) ialah Naib
Presiden PAS dan juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
(BPPNT), Haji Mustafa bin Ali, ADUN Pengkalan Berangan. Beliau ditugaskan
memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum,
Perindustrian dan Sumber Manusia.
Haji Mustafa sememangnya
disegani oleh ahli-ahli PAS atas karisme dan pengalaman politiknya yang luas
menerajui Dewan Pemuda PAS Pusat dalam dua era, sebelum menjadi Bendahari PAS
Pusat, dan seterusnya Naib Presiden, hingga kini. Beliau juga pernah dilantik
sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sewaktu PAS berada
dalam Barisan Nasional (BN) dahulu.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat,
yang juga ADUN Manir, Ustaz Harun bin Taib pula menjadi Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah. Ustaz Harun adalah pemegang Ijazah
Sarjana Siasah Syar’iyyah Universiti Al-Azhar, Mesir, dan merupakan seorang
pendakwah dan pendidik yang tidak asing lagi dalam PAS.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS
Pusat, Haji Wan Abdul Mutalib bin Embong pula diamanahkan sebagai Pengerusi
Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar. Timbalan
Pesuruhjaya PAS Negeri ini, yang juga seorang peguam, menang di DUN Batu Burok.
Seorang lagi AJK Kerja PAS
Pusat, yang juga salah seorang Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Haji Abu
Bakar bin Chik, turut dilantik menjadi Ahli MMK. Beliau yang menang di DUN Batu
Rakit ditugaskan mempengerusikan Jawatankuasa Pertanian, Perikanan dan
Ternakan.
Turut memperkukuhkan barisan
Ahli MMK Negeri Terengganu ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr. Haji Mohd
Salleh bin Abas. ADUN Jerteh ini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan
Tugas-tugas Khas.
ADUN Wakaf Mempelam, Haji Mohd
Abdul Wahid bin Haji Endut pula memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal Ehwal Pengguna. Manakala ADUN Alur
Limbat, Yahaya bin Ali, menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan
Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi. Kedua-dua mereka merupakan bekas
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT).
Seorang lagi bekas Ketua DPPNT
yang juga Setiausaha DUPNT, Ustaz Abu Bakar bin Abdullah, dilantik
mempengerusikan Jawatankuasa Kebajikan, Sosial dan Kesihatan. Beliau berjaya
mengekalkan kemenangannya di DUN Tepoh.
Ustaz Haji Awang Dagang bin
Jusoh yang mengalahkan bekas MB, Tan Sri Wan Mokhtar, di DUN Cukai, juga turut
dilantik menganggotai MMK. Beliau memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal
Ehwal Wanita dan Hubungan Kaum. ADUN Sura, Ustaz Wan Hassan bin Mohd Ramli,
dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan
Pelancongan.
Secara keseluruhannya line-up yang dikemukakan oleh PAS ini
mencakupi hampir keseluruhan bidang kehidupan. Mereka terdiri daripada
berbagai-bagai latar belakang kemahiran yang diperlukan untuk membina sebuah
pemerintahan yang baik.
Terdapat sekurang-kurangnya
sepuluh orang Ahli Yang Berhormat DUN dan juga Parlimen di Terengganu, terlibat
secara langsung dalam bidang pendidikan. Ustaz Harun Taib adalah Pengerusi
ILHAM (sebuah institusi perkaderan yang ditubuhkan oleh PAS), di samping
menjadi mentor kepada penubuhan Maahad Darul Quran di Rusila dan Madrasah Darul
Ehsan di Kubang Lembek.
Ustaz Nik Muhammad Zawawi
Salleh, ADUN Kuala Besut pula adalah bekas pensyarah Maahad Dakwah Wal Imamah,
Nilam Puri, Kelantan. Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana dari Yarmouk,
Jordan. Manakala ADUN Teluk Pasu, Ustaz Ismail Mamat adalah bekas pensyarah
Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) di Kuala Terengganu.
Ustaz Abu Bakar Chik adalah pengerusi
rangkaian Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP), yang beroperasi di seluruh
negara. Beliau juga adalah mentor kepada Institut Berakan yang pernah menjadi
mangsa kerakusan kerajaan BN, di samping turut menjadi penaung kepada Maahad
Tahfiz Al-Quran di Tok Jiring.
Dr. Syed Azman Syed Ahmad
Nawawi, Ahli Parlimen Kuala Terengganu adalah bekas pensyarah Universiti
Malaya. Manakala Ustaz Roslan Ismail, ADUN Bukit Besi pula adalah bekas
pensyarah maktab perguruan. Cikgu Shukrimun Shamsudin (Ahli Parlimen Kuala
Nerus), Cikgu Hassan Mohamed (Parlimen Besut), Ustaz Abu Bakar Abdullah (ADUN
Tepoh), Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli (ADUN Sura) dan Ustaz Saiful Bahari Mamat
(ADUN Paka) adalah juga para pendidik yang turut terlibat menjayakan institusi
pendidikan di tempat masing-masing.
Terdapat dua orang tokoh dan
ahli undang-undang yang dikemukakan dalam barisan MMK. Mereka ialah Tun Dr.
Mohd Salleh Abas, yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara, dan juga Haji Wan
Abdul Mutalib Embong, yang merupakan seorang peguam terkenal dan menjadi
Penasihat Undang-undang PAS Pusat.
Dalam bidang perubatan pula
terdapat tiga orang doktor perubatan menjadi Ahli Yang Berhormat. Mereka adalah
Dr. Mamad Puteh (Kuala Berang), Dr. Alias Razak (Bukit Tunggal) dan Dr.
Sulaiman Abdullah (Ladang). Manakala dua orang pemegang Doktor Falsafah (PhD)
pula ialah Tun Dr. Mohd Salleh Abas dan Dr. Syed Azman.
Dalam aspek pentadbiran pula,
jika pengalaman kerja sebagai pegawai dalam perkhidmatan awam mahu diambil
kira, maka line-up yang ada kini
lebih daripada berwibawa dalam hal tersebut. Haji Mustafa Ali cukup
berpengalaman sebagai seorang Guru Besar dan kemudian berpengalaman pula
sebagai seorang Timbalan Menteri. Tun Dr. Mohd Salleh juga sangat lama
berkhidmat dengan kerajaan Persekutuan, dan mengakhiri perkhidmatannya sebagai
Ketua Hakim Negara.
Ahli Parlimen Setiu, Che Ghani
Che Ambak, adalah seorang bekas Jurutera Daerah. Manakala Yahaya Ali pula
pernah berkhidmat sebagai pegawai di KETENGAH dan Permint Plywood, sebelum
meletakkan jawatan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1986. Begitu juga
dengan ADUN Kijal, Haji Mehamad Sulong, yang merupakan seorang bekas Penghulu
Mukim, dan juga Ustaz Awang Dagang (ADUN Cukai) yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai
Seranta di Tabung Haji.
Beberapa ahli Yang Berhormat
juga turut berpengalaman dalam bidang perniagaan dan pertanian. Mereka adalah
Mohd Abdul Wahid (ADUN Wakaf Mempelam), yang pernah memiliki rangkaian
perniagaan hardware, tapak semaian
dan restoran. Begitu juga dengan ADUN Bandar, Md. Azmi Lop Yusof, Hassan
Mohamad (Parlimen Besut) dan Abdullah Mat Dan (Hulu Besut) yang sememangnya
turut terlibat menjayakan perniagaan masing-masing.
Secara keseluruhannya line-up ahli-ahli MMK yang membentuk
kerajaan dan juga Ahli-ahli Yang Berhormat yang membentuk saf penyokong
kerajaan, memperlihatkan suatu kemantapan dan keupayaan dalam menghasilkan
sebuah pentadbiran yang baik. Ia jelas menampakkan suatu gabung-jalin yang
sangat serasi antara golongan ulama dan tenaga profesional, yang sama-sama
saling perlu-memerlui untuk membina sebuah negeri yang makmur dan mendapat
keampunan dari Allah SWT.
(Artikel ini adalah Bab 3, Bahagian A: Bermulanya Era Ulamak, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', diterbitkan Penerbitan Pemuda, Gombak, Selangor, Ogos 2000)
salam..boleh saya tau mana nak dapatkan buku saudara?
ReplyDelete