Saturday, December 28, 2013

"KITO NOK GI DUK LLAIN DOH..."


(Kembalinya ke rahmatullah Wan Khamsah bte Wan Harun)

25 SAFAR 1435/28 Disember 2013:

“Abe Wa!”, sapa Sah separuh melaung, dari dalam pagar rumahnya sebaik melihat saya di tangga rumah Ayah.

Di kampung, saya lebih dikenali dengan nama Anuwa. Justeru panggilan ‘Abe Wa’ adalah lumrah, sama ada oleh mereka yang bertaraf ‘adik’, mahu pun yang lebih berusia daripada saya.

“Aihhh, Sah... dengan beg-beg baju tuh, nok gi kwano tuh?”, balas saya, juga sedikit melaung. Maksud pertanyaan saya itu, "nak ke mana dengan beg-beg baju tu?"

Seperti biasa anak jiran sebelah rumah Ayah itu akan tersengih dan ketawa kecil. Seraya mengangkat sedikit beg pakaian dibawanya, dia berseloroh, “kito nak gi duk llain doh Abe Wa, toksir duk ssining doh...”, sambungnya, diiringi ketawa lebih kuat. Maksud katanya itu, “nak pergi tinggal di tempat lain dah Abe Wa, tak nak tinggal di sini dah”.

Memandangkan kami memang sangat kerap berseloroh dan bergurau, dan tuturan Sah pagi itu pun saya fahami dengan nada bergurau, maka saya selalunya menyambung perbualan juga dengan ayat-ayat gurauan.

“Aik... suppo oghe ngajuk jah pesengae tuh?”, geletek saya lagi. (Aik... seperti orang merajuk je nampak tu?)

Sah hanya menyambutnya dengan ketawa lebih “berekek”, seraya berlalu ke dalam rumahnya.

Seingat saya itulah perbualan terakhir antara kami. Ia berlaku sudah lebih sebulan lalu. Selepas itu kami tidak berkesempatan bersua dalam keadaan yang sesuai untuk berbual-bicara begitu. Ada juga beberapa kali berselisih kereta dengannya di jalan. Seperti biasa, dari jauh dia akan tersengih melihat kereta saya. Ada kalanya dia menekan hon sambil tersenyum, di ketika lain dia melambai-lambai ke arah saya, sewaktu berselisih.

Namun, semua kemesraan itu kini hanya tinggal kenangan... kenangan yang walau pun sangat manis, tetapi turut berbaur kepiluan. Petang tadi, Ayah bergegas ke rumah saya yang terletak kira-kira 1 kilometer dari rumahnya ke arah pantai, menyampaikan berita amat mengejutkan.

SAH, nama sebenarnya Wan Khamsah Wan Harun sudah dijemput pulang oleh Allah Azza wa Jalla awal petang tadi. Beliau yang disyaki mangsa leptospirosis (kencing tikus) meninggalkan suami bersama empat anak.

Tidak syak lagi, kehilangannya amat saya rasai. Dia bukan saja seorang “adik” yang peramah dan sentiasa ceria dengan gurauan dan selorohnya, malah juga insan yang ringan tulang membantu keluarga kami, bila-bila saja diperlukan.

Kerapkali apabila hendak keluar, terutama ke pasar, Sah akan tanya Ayah dan Mek kot-kot ada apa-apa yang mahu ditolong-belikan. Pernah juga ketika Ayah diserang sakit perut, Sah menelefon ke rumah kami memperihalkannya.

“Tak dak dah la jiran hak baik sekali... oghe hak duk tolong bbeli gotu-goni sokmo ko kito”, luah Ayah dengan nada pilu. (Dah tak ada lagi jiran yang paling baik... orang yang selalu tolong belikan itu-ini untuk kita)

Ya.... hanya setelah dia pergi... baru saya teringat kembali kata-katanya sebulan lalu itu, “kito nak gi duk llain doh Abe Wa, toksir duk ssining doh...”. Hari ini gurauannya itu benar-benar menjadi realiti. Sah telah “pergi untuk tinggal di tempat lain”.

Demi Allah, mengimbau kemesraan antara kami, saya tak mampu membendung manik-manik jernih mengalir membasahi pipi.

Antara sikapnya yang terpuji ialah menerima hakikat “kekurangan” dirinya. Sebagai contoh, kulitnya yang agak gelap berbanding kakak dan adik lelakinya, masih boleh dijadikannya bahan gurauan.

Saya teringat suatu petang, kala senja hampir berlabuh, saya tiba di pekarangan rumah Ayah. Sah pula kelihatan baru keluar dari pagar rumahnya menuju ke kereta.

“Aihh, Sah…. Nok kwano tu gelap-gelap ni?”, tanya saya (maksudnya: Nak ke mana tu hari dan menggelap ni).

“Gelap, gelap to slow sikit Abe Wa…. sensitif!”, jawab Sah pantas, sambil ketawa berekek. Dia maksudkan “gelap” itu merujuk kepada warna kulitnya.

Saya yang memang tidak bermaksud ke situ dengan pertanyaan tadi turut bercuit hati dengan gurauan Sah, sekaligus terpegun dengan sikapnya itu.



Suratan atau kebetulan, kami juga rupanya berkongsi kudapan kegemaran yang sama - KETUPAT GORENG! Saya memang suka makan ketupat pulut yang dibuang bungkusan daun palasnya, kemudian digoreng sehingga lapisan luar pulutnya garing keperangan. Tak disangka, kudapan ini rupanya turut menjadi kesukaan Sah. 


Suatu petang saya ke kedai Ayah Wan (ayah kepada Sah, Wan Harun) untuk mendapatkan sesuatu keperluan. Seelok saya memasuki kedai, Sah kebetulan muncul dari dapur rumahnya bersama sedulang hidangan untuk ayahnya.

"Abe Wa... ttupat (ketupat) goreng!", ujar Sah, seraya ketawa kecil, sebagaimana biasa. Dalam masyarakat kami, pernyataan begitu bermaksud bukan setakat memberitahu, tetapi difahami turut bermakna mengajak. Dalam perkataan lain, Sah bermaksud mempelawa saya, "Mari makan ketupat goreng ni..."

"Uihhh... sedap tu Sah, febret Abe Wa tuh!", jawab saya pantas.

"Memae pun... kito tahu doh febret Abe Wa ni... hahahahaaa!", sahut Sah, diiringi ketawa lebih besar.

"Kopi O, Sah... kopi O!", sambung saya, dengan maksud melengkapkan keenakan hidangan itu.

"Beyyehhh!!!" (beres!!), sambut Sah pula, lagi dengan tawanya.

Makanya, tak pasal-pasal dapat merasa ketupat goreng panas-panas dengan kopi O la saya petang tu. Tarikh itulah juga saya tahu kudapan itu juga jadi kegemaran Sah.

Kini, saya tentunya kehilangan seorang jiran dan “adik”, yang kemesraannya tidak mungkin berganti. Sekalung doa dari Abe Wa untuk Sah:

“Allahummaghfirlaha warhamha wa’aafiha wa’fu ‘anha waakrim nuzulaha wawassi’ madkhalaha wanaqqiha minal-khotoya kama yunaqqath thaubal abyadhu minad-danas. Wa abdilha daaran khairan min daariha, wa zaujan khairan min zaujiha, wa ahlan khairan min ahliha, wa adkhilhal-jannah wa a’izha min azaabil qabri wa fitnatihi wa min azaabin-naar. Allahummaj’al qabraha rawdhatan min riyaadhil-jannah...”

(Gambar: Bersama Sah (bulatan) dan ibunya, Che Rokiah Daud ketika berhari raya ke rumah kenalan di RAKR Pengkalan Nyireh, 2011 lalu)