Wednesday, October 31, 2012

PAS tak akan rampas tanah Adun BN


Oleh: Mat Zain Mat Isa

TIDAK keterlaluan jika dikatakan bahawa di antara kelompok makhluk politik paling jahat dan khianat dalam negara ini ialah para pemimpin dan pendukung Umno Terengganu. Kejahatan, kezaliman, kedengkian dan diskriminasi dilakukan mereka sangatlah memalukan.

Bahkan, dalam kes-kes tertentu ia membelakangkan nilai perikemanusiaan. Kegilaan politik mereka malah pernah sampai ke peringkat terhasilnya tindakan-tindakan yang tidak dapat diterima akal yang waras.

Manakala pihak paling terkesan sebagai mangsa tindakan-tindakan tidak bertamadun itu tidak lain daripada pendukung parti lawan Umno. Siapa lagi kalau bukan para pemimpin dan penyokong PAS di negeri itu?

Hampir tiada aspek hidup seharian yang tidak dicampur-adukkan dengan sentimen politik. Namakan apa saja – soal pengurusan masjid dan surau, bantuan kebajikan, bantuan pelajaran, kemudahan awam dan lain-lain – segalanya dipastikan tidak dimanfaatkan semudahnya oleh penyokong parti pembangkang.

Ertinya, segala aspek hidup rakyat Terengganu tidak lari dari merit politik. Dalam hampir setiap keadaan, yang menguasai suasana dan memonopoli manfaat-manfaat itu ialah “puak-puak Umno”.

Ahli dan penyokong PAS di Terengganu telah dimasakkan dengan segala macam karenah parti pemerintah. Tipu daya, layanan buruk, busuk hati dan dengki-khianat sudah menjadi asam-garam kehidupan. Berdekad pengalaman berdepan pelbagai macam perilaku buruk pendukung Umno di segenap peringkat organisasi parti itu benar-benar menguji kesabaran dan menjadikan mereka kelompok yang “kalih” dengan penyisihan dan penafian hak.

Sebab itu menurut rekod sejarah negara, Terengganu telah menyaksikan ketegangan politik antara PAS dan Umno yang paling dahsyat. Suhu politik negeri itu sentiasa panas, malah ada ketikanya ia sampai ke tahap “mendidih”.

Di atas telunjuk Umno, pihak polis sejak dulu seakan lebih berminat mengawasi penceramah PAS berbanding penjenayah dalam masyarakat. Buktinya, tembakan bom asap di majlis-majlis anjuran PAS adalah fenomena biasa sejak zaman 60-an. Sebelum Umno terjumpa saluran memperalatkan pasukan polis, samseng-samseng parti itu sendiri mengganggu majlis PAS dengan lontaran telur tembelang dan lain-lain tindakan kacau-ganggu yang primitif.

Ada kes di mana jambatan atau titi yang menjadi satu-satunya laluan orang-orang PAS menyeberangi parit atau alur, lantainya (batang kelapa yang direbahkan) dilumur minyak hitam. Ia bukan sahaja menyebabkannya licin dan pejalan yang melaluinya mudah tergelincir, malah menyebabkan pakaian kotor terkena minyak buangan itu. Manakala pagar tempat tangan berpegang sepanjang titi itu pula dilumur najis manusia.

Pemecatan imam-bilal adalah satu lagi rekod kejahatan Umno Terengganu. Ia berlaku sejak 80-an, sehingga menyaksikan tragedi sembahyang Jumaat dua imam di atas satu masjid.  Ada pun penafian hak mendapatkan bantuan kebajikan, input pertanian, perkakasan nelayan, bantuan modal perniagaan dan pembiayaan pelajaran untuk anak-anak adalah sangat menyeluruh dihadapi para pendukung PAS negeri itu.

Itu kes-kes era 80-an. Dengan perkembangan dunia yang semakin celik huruf, dan celik maklumat, kita menyangka manusia bergelar Umno ini juga akan semakin celik hati budi dan semakin bertamadun. Malangnya, itu tidak berlaku di Terengganu. Itulah hakikatnya jika sejarah pemerintahannya sepanjang 2004 hingga kini diambilkira.

Kerakusan tanpa peri kemanusiaan dan keegoan bersangatan menyebabkan para pemimpin Umno mabuk kuasa dan sewenangnya memperlakukan apa sahaja mengikut kemahuan. Sehinggakan, segala yang diputus dan diambil perjalanan pelaksanaannya oleh kerajaan PAS dipertikaikan. Bahkan, ada keputusan dan anugerah dibatalkan sewenangnya, seolah-olah ia dilakukan sebuah kerajaan yang tidak sah.

Salah satu perkara paling disebut rakyat Terengganu ialah berkaitan anugerah tanah. Seolah-olah sudah tidak ada tanah lain milik kerajaan yang masih kosong, alih-alih tanah yang telah dibahagikan kerajaan PAS juga yang mahu diusik Umno. Maka berlakulah perampasan tanpa berhati perut. Lesen menduduki dibatalkan dan hak menyambungnya dinafikan. Beratus rumah rakyat dan sebuah masjid tergamak dirobohkan Umno. Kerakusan itu berlanjutan hingga kini.

Mengambilkira segala kezaliman itu, tidak pelik jika ada suara dari kalangan pendukung PAS untuk “membalas” tindakan jahat dan khianat Umno itu. Antara yang paling ditekankan rakyat ialah penyelesaian soal perampasan tanah. PAS Terengganu sendiri memandang serius hal itu dan meletakkannya sebagai salah satu keutamaan di dalam manifestonya kali ini.

“Saya cadangkan jika kita (PAS) memerintah semula (Terengganu), kerajaan kita ambil balik tanah-tanah lot yang diberikan kepada wakil-wakil rakyat Umno. Kita buat perumahan rakyat di atas tanah tu dan kita bahagi-bahagikan kepada rakyat”, tegas seorang peserta Dialog Manifesto PAS Terengganu PRU-13, di Besut baru-baru ini.

Beliau dipercayai merujuk kepada kes empat wakil rakyat BN di daerah itu yang didedahkan mendapat lot 2.5 ekar setiap seorang. Bagi peserta itu, dan lain-lain pendukung PAS, tindakan mengambil semula itu amat wajar. Namun, lain pula pertimbangan pemimpin PAS negeri.

“Walau pun dari segi moral dan imej politik, kita akan dianggap membela rakyat, tetapi ia bukan mudah. Kita tidak akan rampas semula tanah yang telah dibahagikan kepada mereka (wakil-wakil rakyat BN) itu. Bahkan, dalam konteks yang kita bicarakan petang ini, manifesto tidak boleh menggambarkan ada hasrat nak balas dendam atau nak buat khianat", jelas Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahari Mamat.

Penegasan beliau itu dianggap sikap dan pendirian rasmi PAS negeri berhubung hal itu. Walau pun ia tidak disenangi penyokong PAS sendiri, mahu tidak mahu itulah prinsip yang perlu diterimapakai buat masa ini.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1788, 17-19 Zulhijjah 1433/2-4 November 2012 di ruangan 'KOLUMNIS F15' dengan tajuk sama)

Thursday, October 18, 2012

Tindakan fizikal sekat kebajingan BN


Oleh: Mat Zain Mat Isa

BUKAN suatu hal yang mudah bagi pemimpin sebuah organisasi politik seperti PAS untuk mengawal kesemua pengikut dan penyokongnya pada semua keadaan. Selain kepelbagaian latarbelakang pendidikan dan tahap berfikir, ahli dan pendukung parti itu juga ada pengalaman tersendiri berdepan berbagai karenah dan laku khianat parti lawan.

Hal itu antara faktor memudahkan mereka mengambil tindakan yang kekadang dinilai sebagai tidak menguntungkan parti. Namun, jangan ditolak hakikat bahawa, walau pun tanpa arahan kepimpinan parti, ia sebenarnya di atas semangat dan kesungguhan membela dan mempertahankan PAS, terutama daripada dipermain dan dipersenda para penyokong parti lawan.

Sebab itu di mana jua kawasan yang menyaksikan pertembungan sengit antara PAS dan parti lawan, khususnya Umno, kes-kes ketegangan antara penyokong kedua-dua parti sering kedengaran. Lebih-lebih lagi di saat kempen sesuatu pilihan raya memuncak, pantang ada suatu tindakan yang dianggap mencabar, ahli dan pendukung PAS akan segera bertindak balas.

Di Terengganu khususnya, ketegangan dan perang mulut antara kedua-dua pihak di pintu masuk ke pusat-pusat membuang undi adalah fenomena biasa saban pilihan raya. Apatah lagi dalam banyak keadaan para petugas dan penyokong PAS menganggap mereka sering menjadi mangsa ketidakadilan pihak pengurus pilihan raya.

Pernah berlaku misalnya, peraturan mengenai pembinaan “bangsal panas” tidak dikuatkuasakan sama ketat antara pihak PAS dan Barisan Nasional (BN). Sementara petugas PAS cenderung akur kepada garisan sempadan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN pula kerap memanipulasi kuasanya untuk “menceroboh” larangan itu. Manakala pihak SPR yang diajukan aduan gagal mengambil tindakan memperbetulkan keadaan.

Hakikat bahawa sebilangan petugas SPR itu sendiri adalah pendukung kuat BN juga amat merimaskan petugas dan penyokong PAS. Wewenangan mereka berbual dan berinteraksi dengan bebas di kawasan pembuangan undi, termasuk dengan para pengundi yang menuju ke bilik mengundi, tambah membuakkan perasaan tidak puas hati penyokong PAS yang hanya memerhati dari luar kawasan.

Hal ini diakui Pengerusi Lajnah Guaman PAS Negeri Terengganu, Haji Abdul Haris Malik. Katanya, salah satu unit BN yang bebas hadir dalam kawasan mengundi, dan menimbulkan perasaan amat tidak senang di kalangan penyokong PAS ialah pasukan Rela (Ikatan Relawan Rakyat Malaysia).

“Rela ni memanglah orang BN, tapi dia hadir (ke pusat membuang undi di hari pengundian) secara berperaturan, hadir kerana bertugas membantu SPR mengurus tempat mengundi. Jadi, dia bebas bergerak di kawasan mengundi, menyebabkan walau pun kita tengok dia bercakap dengan pengundi, kita susah nak bantah”, ujarnya.

Abdul Haris menyatakan demikian dalam sessi Dialog Manifesto PAS Terengganu untuk PRU-13 yang diadakan di Besut, Sabtu (13 Oktober) lalu. Selaku pengamal undang-undang dan orang dipertanggungjawabkan PAS untuk menghadam segenap aspek peraturan undang-undang pilihan raya, beliau lantas menegaskan agar para petugas dan penyokong PAS tidak terlalu merasa takut untuk bertindak dalam keadaan sedemikian.

“Jangan terlalu rigid (terkongkong) oleh peraturan, sehingga kita takut nak ambil tindakan mencegah kesalahan dibuat parti lawan. Kalau saudara ada kekuatan, ada keberanian dan sanggup berdepan keadaan, bertindaklah segera. Kalau perlu tampar (pelaku kesalahan), tamparlah!”, ujar beliau.

Ya, tindakan tampar-menampar bukan suatu yang main-main. Ia berisiko mengheret mana-mana pihak terlibat ke episod-episod seterusnya yang belum tentu memihak kepada PAS. Namun, sebagaimana disebutkan di atas, ada ketikanya tindakan itu adalah paling baik dan paling sesuai untuk menghadapi keadaan. Lebih-lebih lagi sekiranya ia mampu membantu memastikan kesalahan sama tidak diulangi pihak lawan, sekaligus memberikan kebaikan kepada PAS.

“Saya sangat setuju dengan saranan tuan lawyer (peguam Abdul Haris) supaya tampar tu. Pengalaman saya sendiri dalam satu pilihan raya, petugas kita (PAS) nampak Mat Bangla (warga Bangladesh) nak masuk mengundi. Kita tak tanya dah, sebab sahih dia memang Bangla, kita terus bagi penampar. Alhamdulillah, bukan setakat dia (yang) lari, tak jadi mengundi, kawan-kawan dia (warga Bangladesh lain) yang baru mari pun lari sama”, ujar serang peserta dialog itu.

Apa yang diluah dan dilontarkan kedua-dua mereka itu merupakan realiti yang wujud di pentas politik, khususnya di Terengganu, negeri yang diterajui oleh kumpulan Umno paling jahat dalam negara.

Sebab itu, walau pun para pemain dan pemerhati politik di negeri lain mungkin terlintas untuk menganggap pendekatan diambil para pendukung PAS itu agak keterlaluan atau tidak bijak, mereka sebetulnya wajar mendalami dan memahami realiti politik Terengganu dengan lebih baik.

Kejahatan dan kebongkakan BN dalam memanipulasi kuasa untuk menjamin kemenangannya amat menguji kesabaran. Masakan tidak jika Presiden PAS sendiri pernah menyarankan bahawa “jika (halau pengundi hantu) dengan ayat Kursi tak menjadi, kita guna kerusi”. Ertinya, sampai tahap tertentu, kebajingan BN perlu dihadapi dengan tindakan fizikal.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1785, 3-5 Zulhijjah 1433/19-21 Oktober 2012 di ruangan 'KOLUMNIS F21' dengan tajuk sama)

Sunday, October 14, 2012

Anak muda realisasikan ‘Politik Harapan Baru’


Oleh: Mat Zain Mat Isa

SEKALUNG tahniah buat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu kerana sekali lagi berjaya menyempurnakan satu agenda besar parti itu, dengan berlangsungnya Himpunan Kebangkitan Rakyat PGU5.0 di Jabi, Besut, minggu lalu. Tidak syak lagi usaha menghimpun puluhan ribu manusia menjayakannya tentu sekali melibatkan proses mobilisasi massa yang bukan sedikit dan bukan juga dalam tempoh yang singkat.

Dianggarkan lebih 30,000 khalayak pendukung Pakatan Rakyat negeri itu hadir menzahirkan sokongan dan kebersamaan mereka dengan PAS. Semangat dan tekad mereka berkobar-kobar mahu merealisasikan hasrat ‘PAS Ganti Umno’, sama ada di peringkat negeri Terengganu mahu pun Pusat.

Sepertimana lain-lain himpunan anjuran PR, khususnya PAS mutakhir ini, fenomena paling menyerlah di sepanjang PGU5.0 adalah penyertaan dan penglibatan aktif anak-anak muda. Kelibat mereka dapat dilihat di mana-mana dan pada hampir setiap masa. Sama ada di kalangan petugas pelbagai unit, di antara peserta yang datang silih-berganti mahu pun para peniaga yang ikut menyemarakkan acara himpunan itu, majoriti mereka adalah khalayak berusia 40-an dan ke bawah.

Bahkan, pengarah himpunan besar itu juga seorang anak muda. Siapa lagi kalau bukan Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong. Anak muda itu telah membuktikan bahawa berbekalkan tunjuk ajar pemimpin terdahulu, generasi pelapis kini mampu tampil menerajui massa menuju masa depan lebih cemerlang.

Amat kena dengan fenomena dan perkembangan itu apabila PAS sendiri selaku penganjur memaksimakan aturcara membabitkan khalayak muda. Selain acara sukan pada petang hari pertama dan pagi hari kedua, yang sudah tentu dikhususkan kepada para pemuda, pengisian petang kedua juga lebih terarah kepada memaut kehadiran golongan itu. Bukankah penampilan selebriti Bob Lokman dan Ustaz Azhar Idrus lebih serasi dengan jiwa anak-anak muda?

Dua kumpulan yang mengiringi dua pemimpin utama dari dua arah bertentangan ke tapak himpunan pada petang hari kedua juga dianggotai rata-rata khalayak muda. Konvoi pacuan empat roda mengiringi Dato’ Seri Tuan Guru Presiden dari arah selatan disertai insan-insan berjiwa ‘muda’. Manakala konvoi bermotosikal mengiringi Tuan Guru Dato’ Mursyidul Am PAS dari arah utara juga dikuasai anak-anak muda.

Dengan pakaian tema hijau, disertai kibaran bendera bulan, ratusan anak muda bermotosikal berarak sejauh tujuh kilometer dalam keadaan sangat tertib dan penuh dispilin. Tanpa dikerah, tanpa diupah, mereka tampil secara sukarela ikut memeriahkan perarakan itu. Kebanggaan turut terserlah di wajah masing-masing kerana diberikan penghormatan mengiringi pemimpin kesayangan ummah itu.

Manakala pasukan ‘Tentera Merah’ yang mewarnai aturcara perbarisan di pentas utama sewaktu majlis perasmian, juga rata-rata dianggotai anak-anak muda. Mereka ini jugalah yang melaksanakan berbagai tugas melicinkan perjalanan himpunan dua hari dua malam itu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa orang utama di sebalik kejayaan dan kesediaan PAS meraikan kebangkitan anak-anak muda ini ialah Mohd Abdul Wahid Haji Endut. Pesuruhjaya PAS Terengganu itu bukan sahaja berpengalaman luas meneraju sayap pemuda parti, malah penampilannya yang sentiasa segak dan bertenaga tidak memungkinkan orang mengkategorikan beliau dari kalangan ‘orang tua’.

Dalam ertikata lain, beliau dalam banyak keadaan masih dianggap ‘orang muda’, atau lebih tepat disebut sebagai ‘pemimpin kepada generasi muda’ di dalam PAS.

Apatah lagi sejak diberi amanah menerajui PAS negeri, banyak pendekatan diambilnya dilihat sangat ‘mesra anak muda’. Kabinet pertama dibentuknya di peringkat negeri dibarisi tenaga-tenaga muda. Sehinggakan, selain Ketua Dewan Ulama, Ketua Keselamatan dan Ketua Dewan Muslimat, penjawat utama lain adalah tenaga-tenaga muda.

Pendekatan dalam program dianjurkan PAS negeri juga banyak mengambilkira kepentingan dan kehendak anak-anak muda. Suatu contoh yang tidak mungkin dapat dilupakan, terutama oleh anak-anak muda pendukung PAS Terengganu ialah kesediaan Abdul Wahid ikut bersama mereka ke dalam stadium menyaksikan perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia antara Terengganu menentang Negeri Sembilan Oktober tahun lalu.

Memang itu sesuatu yang belum pernah dilakukan kepimpinan sebelum ini. Perbetulkan penulis andai tersilap, rasanya belum ada seorang Pesuruhjaya PAS Terengganu sebelum beliau yang sanggup sama-sama berpeluh di celah puluhan ribu penyokong pasukan hitam-putih, walau pun di atas dasar meraikan anak-anak muda.

Kehadiran Abdul Wahid di Stadium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, malam itu tidak syak lagi menghasilkan imej dan implikasi politik sangat signifikan, khususnya dalam konteks memaut perhatian dan sokongan anak-anak muda negeri penyu itu.

Sementara ada pihak menganggap apa yang dilakukannya malam itu sekadar lakonan dan bukannya dari tabiatnya yang gemarkan acara sukan, tidak sedikit pula khalayak yang memerhati dari jauh menilainya sebagai sesuatu menepati slogan “Politik Harapan Baru” yang dicanangkan pihak tertentu di Terengganu. Slogan itu sebenarnya muncul mengiringi pengumuman Abdul Wahid sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu yang baru, sejurus selepas Muktamar Tahunan PAS, 2011 lalu.

Barangkali di antara individu yang terpaut dengan “kelainan peribadi” dipamerkan Abdul Wahid itu ialah jirannya, Ahmad Amzad Hashim. Anak muda yang mengepalai Kelab Profesional Muda Terengganu ini adalah salah seorang di antara tiga tokoh masyarakat yang mengisytiharkan kemasukan ke dalam PAS di pentas PGU5.0 minggu lalu.

Beliau juga ikut menyerikan pentas di malam terakhir dengan ucapan sulungnya sebagai ahli PAS. Tidak mengejutkan, di antara lontaran menarik beliau dalam ucapan itu ialah pengakuannya bagaimana sifat Abdul Wahid yang murah dengan senyuman telah menjadi antara pendorong beliau berada di pentas itu malam itu.

Kesemua watak disebutkan di atas adalah anak-anak muda, sama ada muda pada usia atau muda pada perwatakan dan pendekatan politik mereka. Mereka inilah yang kelihatan begitu hampir merealisasikan “Politik Harapan Baru” buat rakyat Terengganu, insya Allah!

(Artikel ini adalah versi asal (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil:1784, 29 Zulkaedah 1433/15 Oktober 2012 di ruangan 'F8 KOLUMNIS' dengan tajuk "Merealisasikan 'Politik Harapan Baru'")

Wednesday, October 10, 2012

Pengalaman PAS jadi ikutan gerakan Islam dunia


Oleh: ARIF ATAN

KEWUJUDAN PAS sebagai sebuah badan politik yang ikut menyertai pilihan raya meletakkannya pada landasan paling sesuai untuk membawa mesej Islam dalam negara ini. Pemilihan wadah politik bagi menyalurkan hasrat dan cita-cita Islamiyah dikira lebih sesuai daripada hanya menjadikan PAS sebagai sebuah badan dakwah yang tidak dibenarkan menyertai proses politik secara aktif.

Demikian penegasan dibuat Timbalan Pengarah Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Antarabangsa, Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr. Abdul Latif Mohd Ibrahim. Beliau mengulas bagaimana pendekatan inklusif diambil PAS serta pengalamannya menyertai pilihan raya turut menjadi ikutan beberapa gerakan Islam serata dunia.

“PAS tidak diwujudkan atas nama badan dakwah atau gerakan belia atau seumpamanya. Inilah satu visi realistik yang dikemukakan oleh pengasas-pengasas PAS, yang telah membaca keperluan mewujudkan sebuah badan politik yang juga akan menjalankan kerja-kerja dakwah Islam di bawah payung politik”, tulis Abdul Latif, lewat kolum tetapnya dalam majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah, Edisi 9.

Baginya, “foresight” atau kebolehan melihat ke hadapan oleh pengasas PAS ini sebenarnya mempunyai kesan jangka panjang yang sangat penting bagi penyebaran Islam sebagai satu sistem menyeluruh di Malaysia. Justeru, PAS berada di atas landasan paling sesuai bagi membawa mesej Islam dalam negara.

Menurutnya, penyertaan dalam pilihan raya telah memberikan kesan jangka panjang yang sangat berguna kepada parti/gerakan ini. Di mana massa dididik untuk memahami Islam sebagai satu agama berasaskan kepada kekuasaan politik di samping aspek-aspek lain.

“Bahkan, pendekatan PAS ini telah menjadi ikutan juga oleh gerakan Islam perdana di tempat-tempat lain. Di Mesir dan Pakistan misalnya, yang satu waktu dahulu tidak menerima penyertaan aktif dalam proses pilihan raya, terus mengubah haluan dan menubuhkan sayap-sayap yang terlibat dalam pilihan raya”, coretnya lagi.

Abdul Latif mengambil contoh dua gerakan Islam, masing-masing di Mesir dan Pakistan. Katanya, Ikhwanul Muslimin di Mesir menubuhkan parti politik untuk menyertai pilihan raya parlimen. Sementara Jamaat Islami di Pakistan membuat keputusan untuk menjadi badan politik yang akan menyertai pilihanraya di negara itu.

Abdul Latif adalah salah seorang di antara lebih 20 ilmuan Islam yang mengelola kolum-kolum tetap dalam majalah Dian. Majalah agama yang sarat dengan pembentangan pelbagai disiplin ilmu Islam itu diterbitkan oleh Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd.

Di antara peneraju majalah Dian ialah Mohd Nasir Awang, seorang wartawan berpengalaman dan pernah menjawat Penyunting Rencana Harakah pada era awal 90-an dulu. Beliau juga sempat menerajui Bahagian Penerbitan Buku, Jabatan Penerangan PAS Pusat, Kuala Lumpur.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1783, 26-28 Zulkaedah 1433/12-14 Oktober 2012 di ruangan 'FOKUS F19' dengan tajuk sama. Ia ditulis sebagai salah satu usaha mempromosi majalah Dian kepada khalayak umum, khususnya para pembaca Harakah.)