Friday, October 28, 2005

Penyu pun lari dari Terengganu?


Oleh: Anuwa Jamalullail

TIDAK logik! Mana mungkin sebuah jabatan meluluskan lesen untuk melakukan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang dan peraturan?

Tetapi itulah yang didakwa berlaku di Terengganu sejak beberapa tahun lalu. Orang yang mendakwanya pula tidak lain daripada Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh sendiri.

Sebuah akhbar harian pada 13 Oktober lalu melaporkan Idris sebagai berkata bahawa pelbagai spesies ikan di Tasik Kenyir semakin pupus. Beliau mengenalpasti punca utama kepupusan itu ialah tindakan kerajaan negeri pimpinan PAS dahulu yang meluluskan lesen penangkapan ikan secara komersial di situ.

Idris mendakwa kelulusan itu, termasuk kebenaran menggunakan pukat, bubu dan teknik pengeboman telah diberikan kepada 34 pengusaha. Berikutan kekurangan ikan, Idris mendakwa jumlah pelancong terutamanya mereka yang berminat dengan aktiviti memancing semakin kurang mengunjungi tasik tersebut.

Meskipun ada pihak yang menelan bulat-bulat tohmahan Idris itu, secara logiknya, dakwaan itu masih boleh dipertikaikan. Pertama, ini bukan kali pertama Idris dan konco-konconya mengkambing-hitamkan bekas kerajaan PAS dalam perkara berkaitan pemerintahan negeri Terengganu, terutama di dalam hal yang mereka gagal tangani dengan baik.

Sewaktu tercetus isu “Kerajaan Langit” pimpinan Ariffin Mohamad di Besut beberapa bulan lalu, Idris menyatakan bahawa ajaran itu berkembang pesat ketika Terengganu diperintah PAS. Kebanyakan replika di markas ajaran itu di Kampung Batu 13, Bukit Payong, katanya, dibina antara tahun 2002 dan 2003 iaitu semasa pemerintahan PAS.

Sedangkan ajaran itu telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Negeri Terengganu pada 1997 lagi, iaitu semasa BN masih memerintah. Manakala Ariffin buat pertama kali ditahan, dibicara dan dipenjarakan ialah pada 2001, oleh kerajaan PAS.

Apabila beberapa daerah di Terengganu sering mengalami masalah bekalan air pada Julai 2004 lalu, Exco berkenaan, Wan Hisham Wan Salleh, mendakwa kononnya masalah bekalan air bersih di Terengganu berlaku sebaik PAS memerintah negeri.

Apa rasionalnya mengaitkan bekalan air dengan pemerintahan PAS? Lainlah jika semua negeri yang tidak diperintah PAS tidak mengalami masalah itu!

Pendek kata, membohongi fakta dan mengkambinghitamkan PAS adalah lumrah bagi pemimpin BN Terengganu.

Kedua, secara rasional, bagaimana begitu mudah PAS sebagai sebuah kerajaan (ketika itu) boleh meluluskan aktiviti “mengebom” ikan, sedangkan ia antara teknik yang dilarang?

Ketiga, kelulusan lesen tersebut tertakluk di bawah Akta Perikanan, dan dikendalikan oleh Jabatan Perikanan. Jabatan itu sebahagiannya di bawah Kerajaan Persekutuan.

Keempat, keseluruhan Tasik Kenyir itu di bawah pentadbiran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). Siapa yang tidak tahu betapa sukarnya kerajaan PAS untuk campurtangan dalam urusan Ketengah? Dan, bukankah Pengerusi Ketengah adalah Idris sendiri? Difahamkan, segala aktiviti di kawasan tersebut adalah dalam maklumannya.

Kelima, fakta yang berlaku kini bukan sahaja ikan di Tasik Kenyir yang semakin berkurangan, malah ikan dan penyu di laut juga “lari” dari Terengganu. Awal tahun ini, seorang pegawai di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu dilaporkan berkata jumlah hasil tangkapan laut bagi tahun 2004 (di bawah BN) merosot sebanyak 17 peratus berbanding tahun sebelumnya (di bawah PAS).

Kerajaan BN cuba menafikan fakta tersebut. Ia gagal mencari logik untuk mengkambing-hitamkan PAS. Akhirnya ia mengakui kekurangan hasil itu disebabkan jumlah nelayan yang semakin berkurangan, kerana mereka memilih untuk mencari pekerjaan lain.

Bagaimana pula dengan penyu, yang tidak memerlukan nelayan “memburunya” bagi memastikan kewujudannya? Jumlah penyu tidak ada hubungkait dengan jumlah nelayan. Tetapi hanya 1,500 ekor penyu sahaja yang naik bertelur di pantai-pantai Terengganu tahun ini berbanding 3,086 ekor pada tempoh yang sama tahun lepas. Demikian menurut kajian oleh Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) Rantau Abang, Dungun.

Setakat ini, Idris belum temui alasan untuk menyalahkan PAS sebagai punca kemerosotan pendaratan penyu itu. Bagaimana pun fenomena itu meresahkan pelbagai pihak.

Sewaktu bencana tsunami melanda sebahagian rantau ini hujung tahun lalu, cerita ikan “lari” dari gempa itu banyak kita dengar. Oleh kerana pusat gempa berlaku di tengah laut, maka ikan-ikan itu menuju ke darat. Maka ramai nelayan mendapat “ikan runtuh”, tangkapan berganda banyaknya. Manakala sebahagian ikan itu sampai meloncat ke darat, macam todak melanggar Singapura dalam lagenda dulu.

Dalam bencana gempa bumi di benua Indo-Pakistan baru-baru ini, kes serupa juga dikatakan berlaku. Beberapa ketika sebelum kejadian gempa dikesan oleh manusia, burung-burung didapati telah terbang meninggalkan sarang masing-masing dalam jumlah yang sangat ramai. Ertinya, binatang lebih cepat menghidu bencana yang bakal datang. Mereka cabut lari awal-awal.

Kalau ikan dan penyu pun sudah mula “lari” dari laut Terengganu, “bencana” apakah pula bakal tiba ke negeri itu selepas ini? Harap-harapnya kebimbangan kita itu tidak menjadi kenyataan!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 28 Oktober-17 November 2005 dengan tajuk sama)

Wajarkah krisis rumahtangga berakhir tragedi


Oleh: Mohd Nasir Awang

ENTAHLAH apa nak jadi dengan institusi keluarga di negara kita? Mutakhir ini, ada-ada saja dilaporkan kes-kes membabitkan persengketaan suami isteri. Bahkan sebilangannya sampai berakhir dengan kejadian yang sangat mengerikan, malah mengakibatkan kematian.

Pada 31 Julai lalu, negara dikejutkan dengan kes seorang isteri mencurahkan asid ke atas suaminya yang sedang tidur di rumah mereka di Jeli, Kelantan. Siti Khalifah Sulong, 53, bertindak terhadap suaminya Lans Koperal Tuan Azman Tuan Ludin, 31, kerana membantah hasrat sang suami untuk berkahwin lagi.

Siti Khalifah kemudiannya didakwa di mahkamah dan mengaku tidak bersalah. Sedangkan suaminya menderita kecacatan kekal seumur hidup.

Insiden serupa berulang lagi pada 8 Ogos. Kali ini di Pasir Mas, juga di Kelantan. Seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Man melecur 20 peratus badannya selepas cuka getah dalam botol yang dipegang isterinya tertumpah semasa mereka berdua bergelut. Semuanya gara-gara hasrat Man ingin berpoligami. Beliau menceraikan isterinya, Rosnani Awang, ekoran insiden itu.

Namun Man tidak dapat menahan cemburu apabila mengetahui Rosnani menjalin hubungan dengan lelaki lain. Pada 27 September lalu, Man dikatakan menampar lelaki itu yang sedang minum di sebuah warung. Tindak balas lelaki itu bersama adik dan dua rakannya menyebabkan Man menetak pula mangsa dengan sebilah parang.

Gara-gara cemburu juga, seorang jururawat kanan di Melaka mati dibelasah bekas suami. Allahyarham Nor Asmah Ismail, 36, dipukul sehingga koma oleh bekas suami, Anuar Mohamed, pada hari pertama Ramadhan (5 oktober). Juruteknik kilang itu dikatakan berang apabila mangsa dihubungi lelaki lain ketika sedang berbincang mengenai hubungan mereka awal pagi itu.

Anuar, 35, mengaku bertindak di laur kawalan dengan merampas telefon bimbit mangsa setelah mendengar suara lelaki itu. Mangsa dipukul di bahagian kepala di rumah bekas suaminya itu di Pengkalan Batu, Melaka. Mereka bercerai OgoS tahun lalu. Mangsa mati setelah tiga hari tidak sedarkan diri, meninggalkan empat orang anak.

Seluruh negara gempar dengan kejadian itu. Memang, isu keganasan terhadap wanita sangat cepat meraih simpati masyarakat. Namun, sebagaimana dibuktikan di dalam kes dua simbahan asid di Kelantan tadi, potensi melakukan keganasan rumahtangga bukan dimiliki kaum lelaki atau suami sahaja.

Kejadian di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 21 September lalu adalah contoh yang lebih tragik. Seorang lelaki mati setelah ditikam di dada dan dikelar di kepala oleh isterinya dengan sebilah pisau di rumah mereka. Mangsa, S. Basoobathy, 22, yang baru pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dikatakan bergaduh dengan isterinya yang berumur 19 tahun dipercayai berpunca dari masalahnya yang tiada pekerjaan tetap. Dia meninggalkan seorang bayi berusia 11 bulan.

Di Ulu Tiram, Johor Bahru, pada 2 Oktober lalu pula, seorang suami mati dibelasah tiga rakan isteri gara-gara cuba menghalang bekas isterinya daripada merampas anak mereka. R. Murugayah mati di hadapan rumahnya setelah dipercayai dipukul dengan beberapa batang besi dan topi keledar. Tiga lelaki berkenaan datang ke rumah mangsa bersama bekas isterinya untuk menuntut anak mereka. Bagaimanapun berlaku pertengkaran yang berakhir dengan kematian mangsa.

Ngeri bukan? Inilah apa yang dikata orang, “rumahtangga adalah syurga, tetapi ia juga boleh bertukar menjadi neraka”. Apa yang pasti, dalam semua kes tadi, yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Norsafida Tuan Azman, terpaksa merintih kesepian, “bapa dalam wad, ibu dalam lokap”.

Anak-anak mendiang Murugayah dan Basoobathy pula hilang bapa masing-masing. Manakala ibu mereka meringkuk di dalam penjara. Anak-anak Allahyarham Nor Asmah pula telah kehilangan ibu ekoran ‘ketidakwarasan’ bapa mereka sendiri.

Kes-kes yang dipaparkan itu menyebabkan beberapa kes lain menjadi “kecil” dan kurang mendapat perhatian. Misalnya, seorang anggota tentera wanita berpangkat koperal di Pengkalan Chepa, Kelantan, dilaporkan lebam di paha dan badan setelah diterajang suami, gara-gara meminta diceraikan.

Di Pulau Pinang pula, dua kes berasingan melibatkan kecederaan kepada isteri. Seorang isteri pecah gegendang telinga dipercayai ditumbuk suaminya dalam pertengkaran di rumah mereka di Kepala Batas. Manakala di Georgetown, seorang isteri patah tulang rusuk dipijak suaminya dalam pertengkaran yang dipercayai berpunca daripada mabuk arak.

Bagaimana pula halnya apabila sang suami tidak tahan melihat dua isteri sering bertengkar. Lalu bertekad meminum racun rumput? Itulah yang dilakukan seorang pemandu lori di Felda Jengka 5, Pahang pada 7 Ogos lalu.

Manakala pada 10 Oktober lalu pula, seorang lelaki bertindak membakar rumah mentuanya di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Terengganu. Kejadian berlaku apabila isterinya enggan pulang bersamanya ke Kemaman.

Itulah gambaran betapa ada sesuatu yang tidak kena dengan pembangunan keluarga di negara ini. Sehinggakan, seolah-olah sudah tidak ada jalan keluar dari krisis rumahtangga selain mengakhirinya dengan tragedi.

Ya Allah! Selamatkanlah Malaysia!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, 28 Oktober 2005 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Friday, October 14, 2005

Belanjawan 2006 galakkan budaya ‘tongkat’


Oleh: Anuwa Jamalullail

BELANJAWAN negara bagi tahun 2006 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada petang Jumaat, 30 September lalu. Saya tidak gemar menggunakan perkataan ‘bajet’, kerana merasakan istilah ‘belanjawan’ adalah lebih tepat dengan semangat memartabatkan Bahasa Melayu.

Tema belanjawan kali ini ialah ‘Membina Kekuatan, Menghadapi Cabaran’. Antara intipati utama yang dapat difahami ialah membentuk warganegara yang berdaya saing dan berdaya tahan, terutama bagi menghadapi zaman yang bertunjangkan pengetahuan serta kemajuan sains dan teknologi. Untuk itu, rakyat akan “dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai murni untuk menjadi tenaga kerja yang menghayati budaya kerja berprestasi tinggi”.

Bagaimanapun, budaya “payung” dan “tongkat” masih menjadi lumrah dikalangan  bumiputera.

Ingatan demi ingatan telah diberikan oleh para pemimpin negara. Jun lalu, Perdana Menteri mengingatkan kontraktor bumiputera agar tidak mengharapkan kontrak kerajaan semata-mata kerana tidak ada lagi ‘durian runtuh’ untuk mereka, apabila sektor pembinaan negara telah mengalami penguncupan dan tidak lagi sebesar dulu.

Malangnya, kesungguhan melihat daya saing di kalangan kontraktor itu dilunturkan oleh Perdana Menteri sendiri. Belanjawan 2006 ini adalah buktinya.

Sejumlah lebih RM5 bilion diperuntukkan bagi penyelenggaraan kemudahan awam. Selain peruntukan kepada agensi kerajaan sebanyak RM4.3 bilion, peruntukan khas sebanyak RM1 bilion turut disediakan bagi membolehkan kontraktor kecil melaksanakan projek mereka. Bukankah itu ‘tongkat’ namanya?

Antara aspek yang turut ditekankan dalam belanjawan tersebut ialah pembelaan golongan miskin dan berpendapatan rendah. Pelbagai langkah dan insentif diumumkan bagi mempertingkatkan ekonomi golongan tersebut, sama ada di sektor pertanian, pendidikan dan perniagaan.

Antara sektor yang mendapat perhatian ialah subsektor peruncitan. Di bawah Projek Usahawan Bumiputera dalam Bidang Peruncitan (Prosper) khusus untuk siswazah, kerajaan menjanjikan pembiayaan sehingga RM50,000 tiap seorang bagi membantu 200 siswazah memulakan perniagaan.

Sebelum ini kita difahamkan Prosper ialah antara projek yang hampir gagal membentuk bumiputera ‘berdaya saing’ dalam perniagaan. Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif  Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Mohd Nasir Ahmad mendedahkan lebih 121 atau 20 peratus daripada 550 peniaga runcit di bawah Prosper mengalami masalah kewangan yang berat akibat gagal bersaing. Manakala, sebanyak 55 peniaga runcit lagi telah menutup operasi mereka kerana mengalami kerugian.

Jika sebilangan mereka yang telah pun bertahun-tahun menceburi bidang peruncitan itu pun gagal bersaing, apakah ada jaminan bahawa golongan siswazah yang baru hendak berjinak-jinak ini akan mampu bersaing, berbekalkan ‘tongkat’ kerajaan itu?

Kegagalan program Amanah Ikhtiar Rakyat (AIM) sebagaimana didedahkan baru-baru ini tambah merisaukan. AIM yang ditubuhkan pada tahun 1986 bertujuan membantu penduduk miskin mendapatkan pinjaman cepat dan mudah tanpa cagaran. Malangnya, selepas 19 tahun terlaksana, rata-rata ‘sahabat’nya masih berada dalam kelompok rakyat miskin tegar.

Malah, sepanjang tempoh itu, dilaporkan kira-kira 45,000 sahabat AIM telah menarik diri daripada skim itu kerana mendakwa projek dijalankan gagal memberi keuntungan. Bayangkan sudah berapa banyak dibelanjakan kerajaan untuk menyediakan ‘tongkat’ kepada golongan ini selama tempoh itu?

Berdasarkan kes-kes yang disebutkan itu, dapatlah disimpulkan bahawa masalah utama pembangunan ekonomi bumiputera bukanlah kewangan atau modal. Ia lebih kepada sikap atau mentaliti subsidi, yang sentiasa mengharapkan huluran bantuan dari kerajaan.

Akibatnya, mereka yang berniaga tidak begitu serius soal daya maju perniagaannya. Malah sebilangannya mengambil mudah soal untung dan rugi.

Bumiputera akan terus ketinggalan dalam pelbagai bidang sekiranya daya saing dan daya tahan gagal dipupuk. Sudah tentu hasrat membentuk kedua-dua unsur kekuatan itu menuntut mereka berdikari dan berjayadiri, sedangkan konsep berdikari itu adalah bercanggah pula dengan ‘budaya tongkat’.

Sikap kerajaan sendiri yang menyediakan terlalu banyak ruang untuk menyuburkan ‘budaya tongkat’ itu sebenarnya menjadi penghalang utama membentuk warga yang berdaya saing dan berdaya tahan. Dalam konteks itu, apakah mungkin hasrat ‘Membina Kekuatan, Menghadapi Cabaran’ akan hanya tinggal harapan?

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 14-27 Oktober 2005 dengan tajuk sama)

Siapa yang patut dihumban ke laut?


Oleh: Mohd Nasir Awang

SEBAGAIMANA diketahui umum, Datuk Mohamad Aziz tidak pernah mensia-siakan kehadirannya di Parlimen. Ada-ada saja idea bernas dan hujah mantap yang dikemukakannya lewat soaljawab atau perbahasan.

Ini adalah penggal kedua beliau di Parlimen. Sebelum ini, beliau menjadi ADUN Parit Yaani, Johor selama tiga penggal bermula tahun 1986. Di sana, beliau dikenali sebagai seorang yang mesra rakyat dan prihatin terhadap kebajikan masyarakat.

‘Kelantangannya’ mengetengahkan isu rakyat barangkali mendorong Umno Johor mengambil keputusan menghantarnya ke Parlimen pula, bermula tahun 1999 lalu. Penghantaran itu nampaknya memang berbaloi.

Namun, secebis perbahasannya pada 3 Oktober lalu sedikit mencacatkan rekodnya sebagai seorang Ahli Parlimen yang cemerlang selama ini. “Bagaikan sudah tidak ada perkara yang lebih penting”, komen kebanyakan orang.

Ahli Parlimen Sri Gading itu menggamatkan Dewan Rakyat apabila menyanyikan sebanyak dua kali baris akhir lagu Negaraku. Beliau cuba membuktikan kesalahan penyanyi Hattan yang didakwanya mengalunkan lagu itu tidak mengikut versi sebenar.

Hattan, atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabuddin, diberi penghormatan menyanyikan lagu Negaraku pada majlis pembukaan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 1 Oktober lalu.

“Versi yang salah lagu Negaraku itu dinyanyikan di hadapan 100,000 penyokong di stadium dan jutaan lagi rakyat Malaysia yang menonton secara langsung di televisyen”, Mohamad dilaporkan berhujah.

Beliau merasa tersinggung dan menganggap perbuatan itu satu penghinaan kepada lagu kebangsaan. Perasaan itulah yang akhirnya mendorong beliau menuturkan perkataan yang agak kurang rasional. “Penyanyi itu patut dihukum, dia patut dihumban ke laut”, katanya.

Apa yang dipertikaikan ialah sejauh mana benarnya dakwaan Hattan berniat menghina lagu Negaraku, lagu kebangsaan yang telah beberapa kali diubah versinya itu?

Hattan menafikan berniat menghina lagu kebangsaan. Beliau malah menegaskan sengaja menyanyikannya tanpa iringan muzik dengan harapan dapat menimbulkan semangat patriotik yang lebih tinggi di kalangan penonton. Tentu sekali itu suatu tindakan yang wajar dipuji.

Sebenarnya, banyak lagi kes yang lebih wajar disentuh oleh ahli parlimen kita, termasuk Mohamad. Dalam soal menghina negara, misalnya, Mohamad boleh membawa cerita yang dilaporkan media beberapa hari sebelum itu. Kisahnya, seorang rakyat Malaysia menjadi penipu besar di Australia.

Joe Ng dilaporkan mendapatkan beratus-ratus pinjaman bank menggunakan dokumen palsu. Dia membelanjakan wang untuk memuaskan tabiat berjudinya di beberapa kasino di Melbourne, Sydney dan Brisbane selain membayar hutang ‘along’. Det-Sgt Paul Lunt, pegawai polis Melbourne yang berusaha menjejak Joe Ng selama dua tahun menggelarkannya sebagai ‘one of Australia’s most prolific con artists’.

Dia telah meminjam tidak kurang RM5.8 juta daripada Commonwealth Bank sahaja. Dia mengaku bersalah di Mahkamah Daerah Melbourne terhadap 13 tuduhan penipuan melibatkan RM2.27 juta. Dia turut menjadi buruan polis wilayah Queeensland berkaitan tidak kurang 900 penipuan yang serupa. Polis wilayah Victoria juga menunggu giliran menyoal siasatnya.

Laporan media antarabangsa mengenai kes itu bukan dibaca oleh 100,00 atau sejuta rakyat Malaysia sahaja. Ia ditatap oleh masyarakat seantero dunia. Apakah kita sebagai rakyat Malaysia tidak merasa terhina dengan kes sebegitu?

Kalau nak dihukum, maka orang begitulah yang lebih patut. Hatta, kalau nak dihumban ke laut pun ada rasionalnya.

Kes itu mengingatkan kita kepada kes yang hampir sama melibatkan seorang bekas pemimpin kerajaan. Kalau Joe Ng hanya rakyat biasa, maka nama Tan Sri Osu Sukam tentu bukan asing bagi rakyat. Osu adalah bekas Ketua Menteri Sabah, dan pernah menganggotai Kabinet Persekutuan.

Beliau didedahkan telah berhutang sebanyak RM7.14 juta dengan Ritz Hotel Casino di London akibat kalah dalam perjudian. Kisahnya juga diketahui seantero dunia. Malu negara kita dibuatnya. Hina agama kita angkaranya. Tapi, betapa ramai pemimpin kerajaan dan ahli parlimen yang mengutuknya?

Sedangkan perbuatan Osu itu jauh lebih memalukan negara di mata dunia. Pertama, ia menggambarkan perangai buruk pemimpin negara yang sanggup berhutang kerana judi. Kedua, liat membayar hutang. Ketiga, menghina agama kerana judi adalah dosa besar di sisi Islam.

Tetapi ada tak mana-mana ahli parlimen yang cadangkan agar beliau dihumban ke laut? Osu didesak sekadar hanya meletak jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Papar. Partinya tidak pula mengambil tindakan tata tertib terhadapnya. Beliau tidak digantung atau dipecat keahliannya.

Setakat ini, pemimpin Umno merasakan itulah tindakan paling rasional terhadap Osu. Maka, tidak bolehkah pemimpin parti sama lebih rasional dalam kes Hattan ini?
           
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 14-27 Oktober 2005 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)