Friday, December 22, 2000

Pembangkang Terengganu pamerkan sikap Asobiyyah

Oleh: Mohd Nasir Awang

Persidangan Yang Ketiga Penggal Yang Kedua Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Yang Kesepuluh yang baru berlalu telah memaparkan beberapa keunikannya yang tersendiri.

Di samping ianya dilangsungkan di dalam bulan Ramadhan, ia juga terakam sebagai medan rasmi bagi suatu komposisi utama Kerajaan Negeri Terengganu melafazkan al-Fatihah untuk Allahyarham Haji Idris Othman, Pesuruhjaya Hisbah yang meninggal dunia 27 November lalu. Kedua-dua kejadian itu adalah sesuatu yang jarang dialami di persidangan DUN Terengganu sebelum ini.

Dalam persidangan kali ini, seramai 15 orang daripada 21 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengemukakan soalan-soalan, sama ada untuk jawaban bertulis mahu pun lisan. Ia merupakan bilangan tertinggi ADUN yang berbuat demikian, sejak Kerajaan Barisan Alternatif pimpinan PAS menerajui negeri ini.

Seperkara yang sangat terserlah daripada soalan-soalan yang dikemukakan wakil pembangkang ialah wujudnya unsur-unsur prasangka melampau terhadap Kerajaan Negeri.

Umpamanya, seorang wakil pembangkang secara tersirat mengesyaki Kerajaan Negeri memberikan bantuan kepada sebuah institusi pendidikan swasta milik ahli PAS. Manakala lawatan sambil belajar sebuah anak syarikat TATI ke beberapa kilang dan institut di Kanada disalah anggap sebagai mengadakan mesyuarat TATI di sana.

Barangkali melalui soalan-soalan sedemikian, mereka bermaksud membuktikan kononnya telah berlaku salah guna kuasa di dalam pentadbiran kerajaan kini.  Sehinggakan terdapat soalan yang mendakwa ’terdapat pemimpin Kerajaan Negeri yang hidup agak mewah’, dan ia secara jelas dikaitkan dengan pembahagian kawasan balak.

Soalan-soalan sebegitu sebenarnya memperlihatkan bahawa pihak pembangkang tidak mengambilkira maklumat yang tepat tentang sesuatu dakwaan yang mereka ajukan.  Selain soal pembahagian kawasan balak, ahli pembangkang juga gagal membezakan antara ’tauliah’ dan ’surat kuasa’ untuk seseorang menjadi imam dan khatib.

Soal perbelanjaan maksima RM3.00 untuk bahan mentah makanan pelajar sekolah agama pula disalahertikan sebagai mencatu makanan. Manakala Unit Pembangunan Islam (UPI) yang begitu kerap dipertuturkan masyarakat, dan kerap pula ditulis di media-media cetak, masih disalah-sebut sebagai Unit Perpaduan Insan.

Soalan kononnya KUSZA belum mendapat kelulusan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) juga dibangkitkan. Sedangkan umum mengetahui LAN ditubuhkan untuk mengiktiraf sijil dan ijazah Institusi Pengajian Tinggi Swasta sahaja. Seorang rakyat biasa pun tahu bahawa KUSZA di atas sifatnya sebagai Institusi Pengajian Awam tidak tertakluk di bawah pengiktirafan LAN.

Pembangkang turut bertanya, ke manakah wang royalti RM432 (sebenarnya RM434.8) juta yang diterima kerajaan negeri tahun 2000 dibelanjakan? Amat memalukan! Kerana, sebagai wakil rakyat sebuah parti yang berpengalaman memerintah negeri ini selama 38 tahun, soalan itu menggambarkan seolah-olah pembangkang tidak memahami dasar perakaunan Kerajaan Negeri.

Di mana segala perbelanjaan daripada Kumpulan Wang Disatukan adalah tertakluk kepada kelulusan Belanjawan Negeri yang telah diluluskan oleh Persidangan DUN. 

Segala terimaan hasil dan perbelanjaan hanya akan dimuatkan dalam penyata kewangan negeri akhir tahun yang disediakan oleh Akauntan Negeri dan disemak oleh Ketua Audit Negara. Kaedah ini telah diterima pakai sekian lama di negeri ini.

Bahkan, wakil pembangkang turut membangkitkan soal negeri asal Allahyarham Pesuruhjaya Hisbah. ”Apakah sudah tidak ada orang yang layak di seluruh negeri Terengganu ini?”, begitulah kira-kira maksud wakil pembangkang itu, apabila dimaklumkan Allahyarham berasal dari Perak.

Itulah barangkali rupa sebenar fahaman yang diterapkan dalam UMNO, iaitu fahaman kenegerian yang menebal. Sedangkan, di hadapan rakyat para pemimpinnya mendakwa merekalah juara integrasi nasional.

Terus terang kita katakan bahawa soalan itu telah benar-benar menyinggung banyak pihak. Ia bukan sekadar membabitkan Allahyarham Pesuruhjaya Hisbah yang telah disemadikan di kampung asalnya di Tanjung Piandang, Perak itu. Bukan setakat Pengerusi Jawatankuasa Hisbah yang patut terasa disindir, ia juga seolah-olah memperli Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan yang diketahui umum berasal dari Kuala Krai, Kelantan.

Lebih dari itu, soalan itu sebenarnya memberi ruang yang sangat luas kepada sesiapa juga untuk membuka pekung kelemahan UMNO sendiri. Begitu ramai pengetua dan guru besar di sekolah-sekolah dan institusi pengajian (di bawah Kementerian Pendidikan) di seluruh negeri ini yang bukan berasal dari negeri ini.

Mengapa wakil pembangkang itu tidak tanya partinya sendiri soalan yang sama? Begitu juga dengan beberapa agensi Persekutuan berpejabat di negeri ini, adakah semuanya berketuakan anak negeri ini?

Bahkan, sepatutnya wakil pembangkang itu mencermin ke dalam partinya sendiri.  Siapakah yang partinya ambil untuk menerajui Badan Perhubungan UMNO Terengganu kini? Meminjam soalan beliau, ”apakah sudah tidak ada orang (UMNO) yang layak di seluruh negeri Terengganu ini?”

Sejarah politik dan pentadbiran negeri juga membuktikan bahawa rakyat negeri ini bersikap amat terbuka menerima orang luar menjadi pemimpin mereka. Bacalah sejarah, dan temuilah betapa Sheikh Hassan Al-Yamani dan Sheikh Abdullah Sanusi pernah menjadi mufti negeri. Kedua-dua mereka berasal dari negara Arab.

Manakala di gelanggang politik pula, nama-nama besar seperti Dato’ Onn Jaafar, Harun Pilus, Burhanuddin Mohd Noor al-Helmy, Hassan Adli Arshad, Khadijah Mohd Sidek dan Ahmad Azzam Hanafiah pernah menjadi wakil rakyat Parlimen dan DUN di negeri ini.

Itu semua membuktikan bahawa soalan ”Apakah sudah tidak ada orang yang layak di seluruh negeri Terengganu ini?” adalah soalan yang paling tidak rasional untuk ditanya.

Amat mendukacitakan, di saat dunia sedang melangkah ke alaf baru yang serba ’celik’, masih ada pihak di negeri ini yang terus kekal dalam kehidupan yang dipenuhi berbagai ’kebutaan’. Tuan Guru Menteri Besar di dalam ucapan Belanjawan 2001 ada menyebutkan istilah ’buta ihsan’.  Pengerusi Hisbah pula mengajukan soal ’buta geografi’ apabila wakil pembangkang bertanya, ”Tanjung Piandang tu di Besut ke?”

Dan kesediaan wakil pembangkang membangkitkan soal negeri asal Allahyarham Pesuruhjaya Hisbah itu juga menyerlahkan satu lagi ’kebutaan’, iaitu ’buta sejarah’.  Kerana, sejarah membuktikan bahawa rakyat Terengganu tidak pernah dikongkong oleh semangat kenegerian yang membuta-tuli.

Apa yang berlaku ini mengingatkan kita suatu ketika dahulu di Dewan Rakyat, seorang menteri kanan di dalam ucapan belanjawan yang menyindir ’Pembangkang Tanpa Faedah’. Soalnya, apakah golongan pembangkang jenis itu yang sedang dihadapi oleh Kerajaan Terengganu sekarang ini?      

Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 14, 22 Disember 2000 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

Friday, December 8, 2000

Kronologi Peristiwa-Peristiwa Penting Setahun Pemerintahan PAS Di Terengganu

Oleh: Mohd. Nasir Awang

29 November 1999
  • Pilihan Raya Umum Kesepuluh menyaksikan kemenangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Barisan Alternatif (BA) di 28 daripada 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. BA turut menyapu bersih kelapan-lapan kerusi Dewan Rakyat di seluruh Negeri Terengganu.

30 November 1999
  • Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Rhu Rendang, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah diperkenankan menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar Terengganu oleh Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafibillah Shah.

1 Disember 1999
  • Kutipan tol RM0.50 setiap laluan di Jambatan Sultan Mahmud dihapuskan secara rasmi, mengorbankan pendapatan negeri kira-kira RM4.6 juta setahun.

1 Disember 1999 
  • Cukai pintu bagi rumah kediaman diisytiharkan terhapus. Langkah ini mengakibatkan anggaran kekurangan punca hasil berjumlah RM12 juta setahun.

2 Disember 1999
  • Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri mengangkat sumpah masing-masing di hadapan Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah.  Kerajaan Alternatif telah membentuk dan memperkenalkan empat portfolio baru iaitu Pelaksanaan Syariah, Hal Ehwal Wanita, Hubungan Antara Kaum dan Hisbah.

6 Disember 1999
  • Haji Ismail Osman dilantik sebagai Pengarah Unit Pembangunan Insan (UPI).

9 Disember 1999
  • Menteri Besar menyampaikan tazkirah sulung kepada kakitangan Kerajaan Negeri di Dewan Besar Wisma Darul Iman. Tazkirah tersebut dijadualkan sebagai aturcara mingguan di setiap pagi Khamis.

16 Disember 1999
  • Dato’ Senara Muda, Haji Mazlan Hashim dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu. Manakala Dato’ Ku Abdul Azzah Syed Alwee pula dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri.

20 Disember 1999
  • Mesyuarat Yang Pertama Penggal Persidangan Yang Pertama Bagi Dewan Undangan Negeri Terengganu Kesepuluh bermula. Haji Husain Awang dilantik sebagai Yang Dipertu Dewan Undangan Negeri (DUN), sebagai menerima pakai peraturan membolehkan seorang yang bukan Ahli Dewan dilantik ke jawatan tersebut. Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dilaksanakan di hari yang sama.

21 Disember 1999
  • Menteri Besar menyempurnakan Ucapan Belanjawan Tahun 2000 pada Mesyuarat Yang Pertama Bagi Dewan Undangan Negeri Kesepuluh.

23 Disember 1999
  • Kerajaan Negeri melantik Naib Presiden PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri dan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu, Puan Safinah Jusoh sebagai Ahli Dewan Negara (Senator).

1 Januari 2000
  • Sistem kerja lima hari seminggu mula diperkenalkan. Melalui sistem ini, kakitangan awam Kerajaan Negeri menikmati cuti mingguan selama dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu.

1 Januari 2000
  • Semua bentuk pengurusan akaun kewangan Kerajaan Negeri, agensi-agensi dan anak-anak syarikatnya mula diuruskan mengikut sistem perbankan Islam (al-Wadiah).

1 Januari 2000
  • Pengambilan kadar faedah empat peratus daripada Skim Pinjaman Kakitangan Kerajaan melibatkan skim pinjaman kereta dan komputer dihapuskan.  Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk mengadakan dana khas untuk skim pinjaman ini khusus kepada projek perumahan rakyat kos rendah.

1 Januari 2000
  • Kerajaan Negeri menaikkan elaun Pegawai Masjid Mukim (Imam dan Bilal) daripada kadar maksimum RM180 sebulan kepada kadar baru RM350 sebulan (maksimum).

5 Januari 2000
  • Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) dan Majlis-Majlis Daerah seluruh negeri mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Menteri Besar di Kuala Terengganu.

6 Januari 2000
  • UPI ditubuhkan dalam usaha mempertingkatkan tahap pembangunan insan di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan khususnya, serta rakyat amnya.

2 Mac 2000
  • Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al–Sultan Terengganu berkenan menyempurnakan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu  Terengganu (MAIDAM) di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

8 Mac 2000
  • Ceramah Perdana Sempena 100 Hari Pemerintahan Kerajaan Alternatif di Terengganu telah dilangsungkan Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Terengganu.

31 Mac 2000
  • Kerajaan bertindak tegas menamatkan lesen premis perjudian dan menguatkuasakan penutupan semua premis berkenaan di seluruh negeri.

1 April 2000
  • Kerajaan mula melaksanakan Kemudahan Cuti Bersalin 90 hari kepada pegawai, kakitangan atau guru wanita dan Cuti Isteri Bersalin tujuh hari kepada kakitangan awam (lelaki) dengan bergaji penuh.

1 April 2000
  • Jumlah bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada fakir miskin mula dinaikkan. Kadar baru membabitkan bayaran minimum RM100 (daripada RM50) dan kadar maksimum RM250 (daripada RM150). Perubahan kadar tersebut melibatkan peruntukan tambahan kira-kira RM26 juta.

1 April 2000
  • Pelantikan 80 pegawai utama UPI di peringkat kawasan Parlimen dan DUN seluruh negeri dilakukan. Jawatan-jawatan yang terlibat ialah lapan orang Nazir dan Nazirah (8 orang), Penyelaras DUN Muslimin (32) dan Penyelaras DUN Muslimat (32).

12 April 2000
  • Badan Induk Wanita Negeri Terengganu (MAWADDAH) ditubuhkan dengan fungsi utamanya sebagai rangkaian perhubungan antara pentadbiran negeri dengan semua peringkat pertubuhan wanita yang ada di negeri ini. Ia dipengerusikan oleh ADUN Rantau Abang, merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Antara Kaum, Ustaz Azman Shapawi bin Abdul Rani.

16 April 2000
  • Serami 320 orang Penyelia UPI di peringkat DUN-DUN seluruh negeri dilantik ke jawatan masing-masing. Jawatan berkenaan melibatkan 160 orang muslimin dan 160 orang muslimat.

7 Mei 2000
  • Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kesepuluh.

11 Mei 2000
  • Menteri Besar memaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri Terengganu bahawa Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik sebagai Pengarah mana-mana anak syarikat milik Kerajaan Negeri tidak dibenarkan mengambil elaun bulanan masing-masing. Pelantikan mereka juga bersifat sementara untk menyelesaikan pelbagai langkah penyusunan semula syarikat-syarikat terbabit.

24 Mei 2000
  • Mesyuarat Pelesenan Eksais Kali Pertama Tahun 2000 memutuskan untuk membatalkan semua lesen runcit minuman keras di Negeri Terengganu.  Manakala lesen memborong arak dikurangkan kepada hanya tiga sahaja.

1 Jun 2000
  • Naskhah sulung Warta Darul Iman (suratkhabar dwi-mingguan) terbitan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu mula menemui para pembaca.

1 Jun 2000
  • Pertukaran besar-besaran melibatkan 44 orang pegawai tinggi Kerajaan Negeri Terengganu diumumkan.

15 Jun 2000
  • Negeri Terengganu memecah tradisi dengan memberi peruntukan pembangunan berjumlah RM100 ribu setahun kepada semua ADUN pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) bermula awal tahun ini.

24 Jun 2000
  • Rombongan Pelaburan, diketuai Menteri Besar melawat ke beberapa negara Teluk dan Eropah bagi mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelaburan antarabangsa. Lawatan yang berlanjutan sehingga 16 Julai itu meliputi negara-negara Arab Saudi, Dubai, Republik Islam Iran, Republik Ireland, England dan Turki.

1 Julai 2000
  • Al-Syeikh Abdul Halim binAbdul Kadir, 65, dilantik sebagai Mufti Negeri Terengganu yang baru menggantikan Dato’ Engku Alwi bin Engku Ambak yang telah bersara. Turut dilantik ialah Ustaz Zainal Abidin al-Hafiz sebagai Timbalan Mufti.

2 Julai 2000
  • Haji Idris bin Othman memulakan tugas sebagai Pesuruhjaya Hisbah yang baru dibentuk oleh negeri Terengganu. (Beliau meninggal dunia pada 27 November lalu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, Kuala Lumpur).

24 Julai 2000
  • Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan upacara perasmian Bangunan Mahkamah Syariah Terengganu. Bangunan setinggi enam tingkat di tapak seluas 0.8 hektar itu menelan kos RM19 juta dan disiapkan Januari lalu. Ia mula beroperasi pada 2 Mei 2000 dan dilengkapi sistem pengurusan berkomputer yang akan dihubungkan ke setiap daerah.

8 Ogos 2000
  • Kerajaan menganjurkan Bengkel Perdana Hisbah 2000, sekaligus sebagai acara pertama memperkenalkan Suruhanjaya Hisbah yang baru dibentuk.

8 Ogos 2000
  • Kerajaan memutuskan bahawa setiap kontrak Kerajaan Negeri atau yang mempunyai kepentingannya mesti dilakukan melalui perjanjian integriti dahulu. Di bawah dasar pertama pelaksanaan Hisbah (ombudsman), pihak yang terlibat dengan penawaran kontrak itu perlu menandatangani perjanjian bahawa mereka tidak akan terlibat dengan rasuah dalam semua peringkat kontrak yang mereka masuki.

15 Ogos 2000
  • Kerajaan membuat pertukaran membabitkan 15 orang pegawai tadbir negeri dalam usaha mengemaskini pentadbiran berikutan kenaikan pangkat beberapa orang pegawai. Dalam rombakan ini, Haji Muhatar Abdullah dilantik sebagai Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang baru.

5 September 2000
  • Kementerian Kewangan melalui kenyataan akhbar mengumumkan penamatan pemberian royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri. Sebaliknya, wang tersebut disebut sebagai pemberian ihsan dan bakal disalurkan menerusi Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) yang akan ditubuhkan.

12 September 2000
  • Sidang DUN menerima usul tergempar ADUN Ladang, Dr. Haji Sulaiman Abdullah yang meminta Dewan mengutuk sekeras-kerasnya pimpinan Kerajaan Pusat kerana mencabul prinsip demokrasi dan konsep kerajaan Berpersekutuan (federalisme) apabila ia bertindak menyekat PETRONAS menunaikan royalti Kerajaan Terengganu.

15 September 2000
  • Kerajaan Negeri menganjurkan Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Penjelasan Isu Royalti Petroleum di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

15 September 2000
  • Menteri Besar mengumumkan hasrat kerajaan untuk membina sendiri Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang membabitkan pembinaan dari Jabor di sempadan Pahang ke Besut di sempadan Kelantan.

2 Oktober 2000
  • Program Jelajah Daerah Penjelasan Royalti Petroleum dimulakan di daerah Setiu (berakhir dengan Daerah Dungun pada 24 Oktober).
                                                                                                           
20 Oktober 2000
  • Lawatan Menteri Besar ke Makassar, Sulawesi Selatan, Republik Indonesia.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 13, 8 Disember 2000)

Sampai bila demokrasi dibalas diskriminasi?


Oleh: Mohd Nasir Awang

BARANGKALI tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu kini adalah sebuah pemerintahan yang paling demokratik di negara ini. Tempoh pemerintahan Kerajaan Barisan Alternatif (BA) yang baru sahaja melepasi usia setahun telah berjaya membuktikan banyak perkara, terutama berkaitan asas-asas demokrasi dalam pemerintahan.

Dalam mana-mana pemerintahan yang berpegang kepada prinsip demokrasi, perkara utama yang ditekankan ialah keadilan. Sesebuah kerajaan demokrasi mestilah memastikan sesuatu hak itu diberi atau dikembalikan kepada pihak yang berhak, atau yang benar-benar layak menerima hak tersebut.
           
Kerajaan BA yang ada kini sedari awal lagi telah mengisytiharkan bahawa tidak akan ada tindakan-tindakan yang boleh diistilahkan sebagai ’balas dendam politik’ kepada mana-mana anggota masyarakat negeri ini. Sebab itu, imam dan bilal di kebanyakan masjid seluruh negeri masih bertugas, walau pun ternyata mereka adalah penyokong kepada parti pembangkang.

Manakala para pegawai dan kakitangan kerajaan pula belum kedengaran ada yang dipecat ekoran perbezaan fahaman politik dengan kerajaan yang ada. Ada pun soal pertukaran jawatan dan tempat kerja adalah perkara biasa bagi mana-mana kerajaan yang berusaha menyusun semula atau mengemaskini pentadbiran. Samalah dengan rombakan kabinet yang sering berlaku di peringkat Pusat.

Ada pihak berpendapat kononnya penamatan khidmat ratusan penjawat di dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Unit Perpaduan Ummah (UPU) adalah ekoran ’balas dendam politik’. Sedangkan, pada hakikatnya institusi-institusi berkenaan wujud hanyalah sebagai perjawatan yang bersifat kontrak yang masing-masing ada tempoh tamatnya.

Bagi sesiapa yang memahami maksud ’kontrak’ sudah tentu tidak akan mempertikaikan tindakan ke atas mereka itu.

Lagi pun, pemansuhan JKKK digantikan dengan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), sebagai merealisasikan janji dalam manifesto parti pemerintah. Sememangnya menjadi hasrat asal kewujudan JSR itu untuk menggabungkan tenaga penggerak dari semua pihak di peringkat kampung secara demokratik. Sebab itu, beberapa tawaran dibuat kepada bekas penjawat di dalam institusi JKKK yang dimansuhkan itu untuk turut menyertai JSR.

Namun, jawaban yang diterima adalah mendukacitakan. Ada yang terus menolak.  Ada yang pada awalnya menerima pelawaan, tetapi kemudiannya menolak pula.  Bahkan, ada yang sudah pun dilantik secara rasmi menganggotai JSR, tetapi ’dipaksa’ oleh pihak-pihak tertentu meletakkan jawatan.

Apa yang nyata, mereka inilah kemudiannya dijadikan penggerak utama oleh parti pembangkang untuk menghidupkan semula ’institusi haram’ JKKK di negeri ini.

Soal pemutihan bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga dibangkitkan.  Sedangkan kelayakan menerima bantuan berkenaan ialah tahap kemiskinan seseorang. Manakala soal kemiskinan adalah soal relatif dan boleh berubah mengikut masa.

Bantuan am yang diberikan bukannya pesaka yang mesti dikekalkan kepada penerima tetap, tanpa mengambilkira kedudukan ekonomi semasa mereka. Mengekalkan pemberian kepada yang tidak berhak adalah tidak adil. Samalah tidak adilnya dengan tidak memberi kepada yang berhak diberi.

Sepatutnya soal-soal pengemaskinian pentadbiran dan pemutihan bantuan am tidak dijadikan isu politik. Lebih-lebih lagi, kerajaan BA tanpa diskriminasi telah mengisytiharkan peruntukan pembangunan sebanyak RM100,000 kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, termasuk kepada empat ADUN dari parti pembangkang.

Setakat yang kita tahu, tidak ada satu pun negeri di negara ini yang memberikan layanan sedemokratik itu kepada ADUN-ADUN pembangkangnya. Sebaliknya, yang menjadi tradisi bagi Kerajaan Pusat ialah menafikan peruntukan pembangunan RM500,000 setahun kepada Ahli-Ahli Parlimen daripada parti selain Barisan Nasional (BN).

Barangkali perlu disebutkan semula bahawa wakil rakyat adalah orang yang telah dipilih oleh rakyat secara demokratik. Teras amalan demokrasi ialah mengakui dan menghormati sebarang keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

Sebagai pengundi, rakyat telah membuat pilihan lebih setahun lalu. Pilihan rakyat sewajarnya dihormati.

Justeru setiap wakil rakyat, sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang, berhak mendapat segala peruntukan demi kepentingan rakyat yang diwakilinya. Tindakan menafikan peruntukan pembangunan kepada wakil rakyat pembangkang adalah suatu diskriminasi politik yang jelas mencabuli prinsip demokrasi.

Secara demokratik juga, rakyat terbanyak tanpa mengira fahaman politik mesti diberikan layanan saksama. Tepat sebagaimana yang diungkapkan Menteri Besar di majlis penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung La, Hulu Besut akhir bulan lalu, ”ini bukan soal membeli rakyat supaya menyokong kita”.  Kerajaan tetap kerajaan, dan menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyatnya tanpa mengira fahaman politik. 

Sebab itu, walau pun sebahagian besar mangsa banjir itu adalah para penyokong kuat parti pembangkang, soal itu bukan menjadi perkiraan. Setiap keluarga dipastikan mendapat bantuan yang sama, iaitu RM5,000 sekeluarga dari sejumlah RM365,000 peruntukan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri pada hari itu.

Malangnya, prinsip demokrasi yang dihayati oleh kerajaan negeri ini nampaknya gagal dihormati oleh Kerajaan Pusat. Bukan mudah bagi rakyat untuk melupakan ’penodaan’ yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pusat terhadap hak-hak kerajaan dan rakyat negeri ini. Peruntukan pembangunan perumahan, perparitan dan keindahan bandar khabarnya telah dinafikan.

Grant capitation yang sepatutnya telah dibayar, masih belum dapat dimanfaatkan.  Manakala sumber pendapatan utama kerajaan iaitu royalti hasil petroleum telah ’dirompak’ semua sekali.

Sebaliknya, Kerajaan Pusat memilih untuk menyalurkan peruntukan yang telah dialihbahasakan sebagai ’wang ihsan’ itu melalui institusi-institusi yang tidak ada kena-mengena langsung dengan Kerajaan Negeri.

”Wang ihsan hak rakyat, bukan hak PAS”, kata mereka. Apa yang mereka terlupa ialah rakyat memilih PAS. Rakyat telah memberikan hak untuk menguruskan kepentingan mereka kepada PAS. Maka, secara demokratiknya, pihak yang kalah tidak perlu menyibuk soal menguruskan hak rakyat negeri ini.

Setahun telah berlalu! Rakyat sangat berharap agar pihak yang kalah belajar menerima hakikat kekalahan, dan menghormati prinsip demokrasi. Percayalah, balas dendam dan diskriminasi politik tidak akan berupaya memulihkan imej parti pemerintah Kerajaan Pusat di negeri ini. Sampai bilakah mereka itu mahu kekal dengan kezaliman mereka? Insaflah!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT) Bil: 13, 8 Disember 2000, di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)