Saturday, June 22, 2002

“Mende apa pulok serik doh?"


Oleh: Mohd Nasir Awang

DI ZAMAN kanak-kanak dulu, kita sempat tinggal seketika di sebuah lorong di Batu Burok, pinggir bandar Kuala Terengganu. Makcik yang tinggal di sebelah rumah kami sering sahaja menggodam anaknya yang agak nakal. Setiap kali dipiap ibunya, budak itu akan meraung, “aduh la mok weh! Tak mboh doh, serik doh!”, sambil menangis sakan.

Raungan itu jelas kedengaran di rumah kami. Kita dan dua adik lelaki yang sebaya budak itu, yang tidak kurang juga nakalnya, kecut perut mendengarnya sambil bimbang kalau-kalau nasib yang sama menimpa kami.

Kita mari teringat kembali nostalgia silam itu apabila awal bulan ini, riuh-rendah seluruh negeri sekumpulan budak-budak ‘meraung’ keserikan. Budak-budak parti pembangkang diberitakan berarak serata negeri dan berhimpun untuk memberitahu masyarakat bahawa mereka ‘Serik Doh Weh’. Raungan mereka itu turut disiarkan oleh media arus perdana.

Mengikut kenyataan ketua mereka, slogan ‘Serik Doh Weh’ membawa maksud ‘sudah serik kepada rakyat Terengganu kerana memilih PAS menjadi kerajaan negeri selama lebih dua tahun’. Dikatakan, ribuan poster dengan slogan itu dicetak bagi dilekatkan di serata negeri agar seluruh rakyat tahu bahawa mereka sudah serik.

Dengan sebilangan perubahan dan pembaharuan positif yang sempat dilakukan Kerajaan Negeri dalam masa hanya lebih dua tahun memerintah, agak sukar juga untuk kita fikirkan apa sebenarnya yang mereka itu serikkan.

Apakah mereka serik kerana sejak Kerajaan Negeri ini bertukar tangan, maka mereka sudah tidak dapat ke pejabat setiap Sabtu? Rajin sangatlah tu konon!

Ataukah kerana disebabkan cuti tambahan itu, maka mereka serik kerana ada lebih banyak masa untuk keluarga dan kerja-kerja peribadi? Ataukah mereka serik kerana terpaksa menadah telinga setiap minggu mendengar tazkirah dan kuliah rasmi, mengingatkan mereka kepada dosa dan pahala?

Takkan lah disebabkan arahan pihak berkuasa tempatan supaya berhenti sekejap dari jual-beli di pasar malam ketika masuk waktu Maghrib, pun mereka serik juga?

Ataukah ada golongan wanita yang serik kerana diberi cuti bersalin 90 hari, sehingga bosan duduk rumah lama-lama jaga anak? Sang suaminya pula serik kerana cuti isteri bersalin elok-elok daripada tiga hari dipanjangkan kepada tujuh hari?

Atau serik kerana hanya wajah wanita bertudung dipaparkan di papan-papan iklan? Hinggakan iklan syampu pun menggunakan khidmat wanita yang ‘bertudung litup sepanjang hari’.

Di tepi-tepi jalan pula bersirik papantanda ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’ dan ‘Allahu Akbar’. Takkan lah benda yang mendorong kita untuk mengingati Allah itu pun kita naik serik juga membacanya?

Yang jadi imam dan bilal pula tiba-tiba rasa serik kerana terima elaun bulanan dua kali ganda lebih banyak berbanding jumlah yang diberi kerajaan sebelum ini? Golongan fakir atau miskin pula naik serik kerana bantuan bulanan untuk mereka juga digandakan?

Ataukah ada rakyat yang serik kerana setelah tiga-empat puluh tahun meneroka dan mendiami tanah tanpa hak milik yang sah, sehinggakan sesetengah mereka sudah bercucu-bercicit, tiba-tiba kerajaan pimpinan PAS ini dalam masa dua tahun saja berjaya mengurniakan geran hak milik yang sah kepada mereka?

Adalah sangat bangang kalau ada juga manusia yang serik kerana hal-hal yang disebutkan itu!

Ataukah mereka serik kerana kini sudah tak bebas minum arak macam dulu-dulu? Kedainya terhad, penguatkuasaannya lebih ketat. Atau kerana sekarang susah nak berjudi dan terpaksa ke Kuantan (Pahang) atau Gerik (Perak) untuk melepaskan gian? Takkan benda macam itu pun nak serik juga!

Jadi, apakah kerana tindakan dan perubahan positif serta menguntungkan itu maka rakyat diajak untuk merasa serik dengan kerajaan yang ada? Astaghfirullah al-‘Azim, Kassim Selamat! Kabar ke dok demo nih?

Dari aspek bahasa pula, serik bererti sudah cukup dan tidak mahu buat lagi. Kamus Dewan memperincikan maksudnya sebagai ‘tidak mahu melakukan lagi (kerana sudah menderita atau sudah melihat orang lain yang menderita akibat perbuatan itu), jera, takut’.

Apabila seseorang mengaku sudah serik, ia membawa konotasi bahawa beliau seorang yang penakut dan tidak lasak, tidak babil, tidak tahan uji dan sudah mengaku kalah. Samalah macam budak hingusan bekas jiran kita yang suka meraung itu.

Bukanlah pejuang namanya baru sekali kalah sudah serik! Parti kita sudah masuk pilihan raya sejak negara ini tahu berpilihan raya. Hanya sekali, iaitu dalam Pilihan Raya Umum 1959, parti kita menang di Terengganu.

Ada pun selepas itu ia tidak pernah berjaya menguasai negeri ini, sehinggalah Allah mengurniakan kemenangan dalam pilihan raya umum lalu.

Tapi, tak pernah pula kita dengar dari ahli parti sama ada yang tua atau muda, yang lelaki atau wanitanya mengeluh ‘serik doh kaloh sokmo’. Orang berjuang mana boleh serik?

Lagi pun, macamana kita nak bercakap tentang “perjuangan yang belum selesai” kalau belum apa-apa sudah riuh sekampung serik doh? Orang mudah serik bukan anak jantan namanya. Barangkali ada munasabahnya orang kata budak-budak pembangkang ini tak cukup sifat kelelakian mereka. Tak dan apa-apa serik doh, you? Cubit kang! Aww!!!

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Jun 2002 di kolum tetap ‘Komentar’ dengan tajuk sama)

Saturday, June 8, 2002

Sekolah jadi medan politik


Oleh: Mohd. Nasir Awang

DI ANTARA fenomena baru yang semakin menjadi kebiasaan bagi pembangkang di Terengganu mutakhir ini ialah kecenderungan menjadikan kawasan sekolah sebagai medan aktiviti politik mereka.

Dewan dan bangunan sekolah di seluruh negeri ini seolah-olah telah bertukar status menjadi ‘Bangunan Gunasama’ antara Kementerian Pendidikan dan pembangkang.

Di waktu persekolahan, ia digunakan oleh guru dan murid sebagai pusat pendidikan. Manakala di luar waktu persekolahan, ia sering pula dimakmurkan sebagai ‘markas politik’.

Tidak cukup sekadar ruang berbumbung itu, habis segenap ceruk termasuk pagar dan padang sekolah turut dimanfaatkan untuk menjayakan agenda politik mereka.

Namakan apa sahaja: Forum Suara Rakyat, Forum Hudud PAS, Majlis Muafakat Wanita dan lain-lain lagi yang dianjurkan atas nama parti mereka, kebanyakannya diadakan di premis pendidikan awam itu.
Setiap kali berlangsungnya aktiviti politik itu, maka habislah seluruh kawasan sekolah itu dipenuhi bendera-bendera ‘keris panjang’ dan juga lambang ‘dacing’.

Sekali pandang, tidak mustahil para pengunjung luar yang pertama kali lalu di kawasan berkenaan akan menyangka kawasan itu adalah markas pilihanraya atau ibu pejabat pembangkang setempat.

Pembahagian hasil rompakan dari khazanah negeri kepada suku-sakat terpilih juga kebanyakannya menggunakan premis sekolah. Selain dipampang pameran warna-warna ‘keris dan dacing’ yang memualkan itu, para penerima juga disumbat dengan celoteh dan leteran politik para pemuka pembangkang.

Suatu hal yang nyata, sebilangan aktiviti yang dinyatakan itu turut membabitkan penglibatan, sama ada secara langsung atau tidak, sebilangan guru dan murid sekolah berkenaan. Maka, secara langsung atau tidak, warga sekolah berkenaan telah menjadi sebahagian daripada tenaga yang menjayakan aktiviti politik pembangkang itu.

Di peringkat nasional, kita seringkali diingatkan oleh para pemimpin negara bahawa sekolah bukannya medan politik. Sudah tentu oleh kerana yang menyuarakan hal itu adalah pemimpin pemerintah, maka ingatan itu lebih ditujukan kepada pihak pembangkang di peringkat nasional.

Gerangan apakah sehingga pihak Kerajaan Pusat terfikir melaksanakan ‘akujanji’ terhadap para penjawat awamnya kalau bukan kerana takutkan pengaruh pembangkang yang semakin meningkat di kalangan para penjawat awam itu?

Maka berbagai aturan dan peraturan diperkenalkan bagi mengawal dan menekan pergerakan dan penglibatan politik para penjawat awam, terutamanya warga pendidik.

Manakala sebarang gejala negatif yang berlaku di sekolah atau pusat pengajian dengan cepat difitnahkan sebagai angkara pembangkang.

Kemunduran akademik dan kebobrokan akhlak pelajar serta keculasan guru-guru dengan mudah dikaitkan dengan penglibatan mereka dalam politik pembangkang.

Adalah amat nyata ‘kebaruaan’ sekelompok manusia ini apabila di peringkat nasional mereka menjadi juara mengatakan bahawa kawasan sekolah dan pusat pendidikan mestilah bebas dari unsur politik, tetapi di peringkat negeri Terengganu ini anak-anak buah mereka itulah juga yang menjuarai agenda mempolitikkan kawasan sekolah.

Saban tahun, hampir semua sekolah menganjurkan seminar keibubapaan. Majlis biasanya ditujukan kepada ibubapa atau penjaga anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan utama (UPSR, PMR, SPM).

Maka, di atas hasrat mendapat penjelasan mengenai prestasi akademik anak-anak, kebanyakan ibu bapa sanggup meninggalkan kerja buat sehari suntuk itu untuk datang ke sekolah.

Bukan lagi menjadi suatu rahsia betapa majlis-majlis berkenaan juga diambil kesempatan oleh parti pembangkang untuk kepentingan politiknya. Pihak sekolah dipertanggungjawabkan memadah ibu bapa. Manakala pihak pembangkang pula mengaturkan orang-orangnya untuk ‘membasuh minda’ ibu bapa.

Bukan ke arah membantu kecemerlangan anak masing-masing dalam peperiksaan yang bakal dihadapi tetapi ke arah membenci Kerajaan Negeri dan membulatkan sokongan kepada Kerajaan Pusat.  Tak barua namanya tu?

Beberapa pesta atau program hiburan yang sengaja ditaja bagi mencabar agenda pemerintahan negeri juga turut memanfaatkan padang sekolah.

Acara-acara seperti tinju Siam (Muoy) dan Dikir ‘Karut’, yang selalunya gagal mendapat kebenaran menggunakan premis awam milik Kerajaan Negeri seringkali beralih tempat ke premis milik Kerajaan Pusat itu.

Kuasa autonomi yang mereka miliki di kawasan berkenaan menyukarkan pihak Kerajaan Negeri menguatkuasakan peraturan yang kita kehendaki berkaitan pesta atau program seumpama itu.

‘Pesta Baling Kerusi dan Bertukar-Tukar Buah Tangan’ oleh ahli-ahli parti pembangkang juga turut diadakan di sekolah. Itulah apa yang dilaporkan berlaku dalam mesyuarat agung satu cawangan pembangkang di negeri ini beberapa bulan lalu, sehingga memaksa pihak polis melepaskan beberapa das tembakan amaran.

Ia bukan sahaja mencemarkan arena politik negara, malah meninggalkan kesan negatif di dalam jiwa anak-anak. Mereka tentunya pelik bagaimana medan mereka menimba ilmu dan asuhan telah bertukar menjadi gelanggang maki hamun dan sumpah seranah orang-orang politik yang berjiwa kotor itu.

Ya Allah! Selamatkan negeri ku ini dari kekuasaan manusia-manusia barua itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 48, 8 Jun 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)