(Faktor-faktor
‘Kebusukan’ BN Terengganu)
SEPERKARA menarik yang turut
mewarnai ‘pesta’ Pilihan Raya Umum ke-10 lalu ialah wujudnya begitu banyak
akronim yang sedap dibaca (walau pun sesetengahnya agak kurang enak disebut). Nama
parti-parti yang bertanding, terutamanya Umno, BN dan PAS ditafsir atau
dihuraikan dalam maksud beberapa perkataan lain. Ia menjadi seolah-olah satu
slogan atau label bagi parti berkenaan. Para penyokong kedua-dua pihak (PAS dan
Umno) nampaknya terlibat mentafsirkan parti masing-masing secara positif
sebagai sokongan kepada parti. Di samping itu mereka juga turut mentafsirkan
secara negatif nama parti lawan.
Di suatu tempat dalam negeri
Terengganu ada ditulis papan tanda berbunyi ‘PAS:
Pertahankan Agama Selamanya’.
Ada pula yang mendakwa ‘PAS: Parti Allah Suka’. Di
tempat yang lain pula ia berbentuk rayuan dan jaminan, ‘Undilah PAS – Pasti Anda Selamat’. Tahulah kita, itu sudah tentu hasil kerja tangan para
penyokong dan ahli-ahli PAS.
Pilihan raya umum lalu juga
menyaksikan begitu ramai bekas aktivis Umno yang baru terbuka hati untuk
menyatakan sokongan terbuka kepada PAS. Boleh dikatakan di setiap DUN (kalau pun
tidak di setiap cawangan) di seluruh negeri Terengganu menyaksikan berlakunya
fenomena ini. Apabila mereka ditanya pasal apa mereka memilih PAS, jawaban yang
diterima agak mencuit hati. Seorang bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan berkata, “PAS – Pasal
Aku dah Sedar!”, diiringi tawa kecil rakan-rakan yang mendengarnya.
Ada juga golongan yang dikira
sebagai ‘veteran’ dalam Umno, dan sebelum ini tidak pernah terbuka hati
menyokong selain Umno. Tetapi dalam pilihan raya lalu telah menyatakan sokongan
terbuka kepada PAS, hasil pujukan dan ‘basuhan’ anak-anaknya, yang sebahagian
besar mereka menyokong PAS. Pak cik itu berseloroh pula dengan kawan-kawannya
di kedai kopi, katanya: “Kita sokong
PASlah pula kali ini – Parti Anak-anak Saya”, sambil tersenyum puas.
Bagi segelintir profesional dan
golongan terpelajar pula, PAS ditafsirkan bersesuaian dengan taraf ‘hilir’ mereka. Ia dipadankan dengan
ungkapan-ungkapan Inggeris. Ada yang ditanya oleh rakan-rakan kenapa memilih
PAS, lalu menjawab: “Coz I’ve found Peace And Solidarity among new
friends in PAS!
Yang lain pula memuji-muji para
pemimpin PAS yang mereka sifatkan sebagai “very Pious And Sincere”.
Namun tak semuanya indah bagi
PAS. Di satu pihak yang lain pula bersipongang bunyi yang agak kurang enak.
Bagaimana dengan dakwaan ‘PAS: Pongoh – Agah – Sombong!’?
Ada pula yang lebih dahsyat melabelkan ‘PAS:
Parti Awak-awak Syaitan’,
atau menuduh ‘PAS – Punahkan Agama Sokmo’. Ada juga yang agak spesifik
mendakwa kononnya ‘PAS: Pitih Ambik Sokmo’, dengan
huraian bahawa PAS suka mengutip duit (derma) daripada orang ramai.
Seorang anggota jentera saraf
Umno yang juga pegawai Unit Perpaduan Ummah (UPU) bersyarah di kedai kopi
tentang keburukan PAS. Dengan penuh sinis beliau menyebut, “Sokonglah benar PAS, ket agi (sikit lagi) Punah-ranah Abih Sedara-mara”. Beliau mengaitkan PAS
dengan perpecahan yang berlaku dalam masyarakat dan porak-peranda yang
didakwanya berlaku di kalangan sanak-saudara.
Umno juga tidak kurang mendapat
tafsiran yang pelbagai. Di beberapa sempadan daerah ada didirikan tugu Umno dan
ditulis dengan huruf yang jelas ‘Untuk Membela Nasib Orang Ramai’. Bunyinya agak janggal
dan terlalu jauh dari menepati realiti. Tak apalah, itu hak Umno untuk mendakwa
dan berbangga.
Manakala akronim berbentuk
serangan kepada Umno tidaklah begitu banyak ditemui. Tidak sebagaimana
banyaknya akronim yang memburukkan PAS, seperti yang disebutkan tadi.
Barangkali itulah salah satu kelemahan ketara orang-orang PAS. Mereka masih
belum begitu mahir dalam mencipta fitnah terhadap lawan politik mereka!
Pun begitu, ada juga kedengaran
beberapa akronim untuk Umno di peringkat nasional. Antara yang paling banyak
disebut orang ialah ‘UMNO: Under
Mahathir No Objection’. Ia
membawa maksud bahawa Umno yang ada sekarang adalah Umno Pak Turut, Umno milik
Dr. Mahathir seorang diri. Apa jua yang diperkata dan diputuskan oleh Dr. Mahathir,
serta-merta menjadi warta parti dan tidak boleh lagi dibantah-bantah. Sebab itu
banyak pihak menyifatkan Umno sekarang ibarat gerabak keretapi, yang hanya tahu
mengekori dengan taat ke mana sahaja kepala keretapi membawa mereka.
Ekoran dari sikap bencikan Dr.
Mahathir itulah sebilangan bekas ahli Umno
yang kini sudah malu untuk mengaku diri mereka sebagai orang Umno,
mendesak agar Dr. Mahathir mengundurkan diri sebagai Presiden Umno dan juga
Perdana Menteri. Bagi mereka, untuk menyelamatkan parti dan negara, Dr.
Mahathir perlu ditiadakan dalam kepimpinan kedua-dua peringkat.
Di situlah timbulnya akronim ‘Undur
Mahathir Negara Okey’.
Ungkapan itu cukup mudah dan sedap pula disebut. Ia bukan sahaja sesuai disebut
oleh orang-orang dari parti lawan Mahathir, tetapi juga turut sesuai disebut
oleh orang-orang dari parti Mahathir yang melawan Mahathir.
Agak malang bagi Umno
Terengganu apabila orang nombor satunya juga bermula namanya dengan huruf ‘M’.
Maka akronim Umno yang sudah bersipongang di peringkat nasional itu
diadaptasikan pula oleh musuh-musuh politik Wan Mokhtar, bagi menghasilkan
seruan ‘Undur Mokhtar Negeri Okey’. Sepertimana di peringkat nasional, akronim itu juga
cukup sesuai disebut bukan sahaja oleh orang-orang PAS, malah juga orang-orang
Umno yang begitu ramai sudah tidak sebulu dengan Wan Mokhtar.
Sudah tidak menjadi rahsia lagi
bahawa terlalu ramai di kalangan orang Umno Terengganu yang mahukan Wan Mokhtar
berundur daripada menjadi MB dan Ketua Perhubungan Umno Terengganu. Silapnya, beliau
mahu mencatat sejarah sebagai MB paling lama berkuasa. Selepas Wan Mokhtar
mencatat sejarah 25 tahun sebagai MB, beliau ternyata masih belum puas hati.
Ramai pemimpin Umno di
Terengganu berpendapat beliau patut berundur sebelum Pilihan Raya Umum 1995
lagi. Desas-desus ketika itu ialah namanya tidak lagi disenaraikan. Namanya
dikatakan hanya kembali dalam senarai selepas dia merayu. Dalam pilihan raya
lepas pun namanya diberitakan telah digugurkan, tetapi muncul kembali di saat
akhir. Bahkan beliau sendiri mengaku kepada media beberapa hari selepas pilihan
raya lalu, bahawa ‘ada rundingan’ di antaranya dengan Presiden parti selepas
mengetahui namanya tidak disenaraikan.
Dalam rundingan itu, memetik
kata-kata Wan Mokhtar: “Keputusannya saya patut bertanding. Kalau tidak,
jentera parti tidak akan bergerak”. Satu pengakuan yang terus terang tetapi
amat memalukan Umno. Ia juga mengesahkan memang benar ada seruan di kalangan
orang-orang Umno sendiri bahawa ‘Undur
Mokhtar Negeri Okey’.
Bagi orang-orang PAS pula,
‘Mokhtar’ yang diseru berundur di situ tidak sekadar bermaksud batang tubuh Wan
Mokhtar sebagai MB atau Ketua Umno Terengganu. Ia sebenarnya bermaksud
pemerintahan yang diterajui oleh Mokhtar, iaitu kerajaan Umno/BN. Bagi PAS, waimma Mokhtar atau sesiapa sahaja yang
menjadi Ketua Umno dan MB Terengganu, mereka tetap sama.
Selagi Umno bernama Umno dan
kekal dengan undang-undang tubuhnya yang sekular dan mengetepikan kedaulatan
hukum Islam, selagi itulah PAS wajib menentang Umno. Berhenti tak berhenti,
Umno mesti ditumbangkan dari kekuasaannya. Kalau boleh dikuburkan terus, itulah
yang terlebih baik. Lebih baik lagi, biar semua ahli dan penyokong Umno
menyertai PAS dan sama-sama menegakkan hukum Tuhan.
Dalam erti kata lain, yang
tidak relevan bukan sekadar Wan Mokhtar, sepertimana anggapan sesetengah
kalangan pemimpin Umno. Bagi PAS, yang tidak relevan dengan masyarakat sekarang
ialah Umno itu sendiri. Umno yang ada sebenarnya dipenuhi kebusukan-kebusukan
yang meloyakan. ‘Kebusukan-kebusukan’ dalaman Umno itulah yang akhirnya pecah
kepada pengetahuan rakyat, dan menjadi faktor mengapa Umno ditolak
mentah-mentah oleh rakyat Terengganu. Cuba perhatikan faktor-faktor tersebut
satu-persatu.
Pertama, sepertimana yang dapat
difahami daripada ungkapan ‘Under
Mahathir No Objection’, Umno dipenuhi kepimpinan Pak Turut. Kepimpinan yang
sering diibaratkan sebagai gerabak keretapi. Kepimpinan yang tidak berupaya
menyatakan sebarang bantahan atau ketidak-setujuan. Yang tahu dibuat hanyalah
angguk dan ikut. Kezaliman Mahathir terhadap bekas timbalannya Datuk Seri Anwar
Ibrahim, sebagai contoh, bukannya dapat diterima oleh semua rakyat, hatta para pemimpin
dan ahli Umno sendiri.
Tetapi berapa ramaikah pemimpin
Umno yang berani menyuarakan perasaan mereka? Barangkali hanya bekas ADUN
Langkap, Datuk Mamat Ghazalee Abdul Rahman dan bekas Ahli Parlimen Dungun,
Mokhtaruddin Wan Yusof, beserta beberapa kerat pengikut setia mereka sahaja
yang agak lantang. Sebab itu barangkali nama-nama mereka seolah-olah sudah
tidak disebut lagi oleh Umno Terengganu sekarang.
Kedua, para pemimpin Umno
Terengganu yang sebilangan mereka terkenal sebagai tokoh agama dalam Umno
nampaknya membisu seribu bahasa apabila Mahathir membantai dan membalun para
ulama. Bahkan pada suatu tempoh masa, Mahathir kelihatan kerap mempertikai atau
melafazkan ucapan-ucapan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina agama.
Ucapannya di Perhimpunan Agung Umno secara terang-terangan merendah-rendahkan
wanita bertudung, juga ucapan kontroversinya mengenai janggut Nabi saw, amat
tidak menyenangkan umat Islam.
Umno perlu ingat bahawa negeri Terengganu
mempunyai peratus pengundi Melayu paling tinggi dalam negara. Secara tradisi,
orang-orang Melayu sangat kuat berpegang kepada sistem nilai yang berteraskan
ajaran agama. Apabila soal agama dibangkitkan, maka tempat rujuk mereka ialah
para alim-ulama. Islam mengajar mereka agar menghormati ulama.
Maka apabila para ulama yang
sudah sekian lama mendapat tempat dalam hati sanubari mereka, seperti Datuk Dr.
Haron Din, Ustaz Ismail Kamus, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Ishak
Baharom, Ustaz Ahmad Awang dan lain-lain menjadi sasaran kritikan dan hinjakan
Mahathir, rakyat tertunggu-tunggu untuk mendengar suara Wan Mokhtar, Dr. Yusof
Noor, Awang Jabar, Ustaz Ibrahim Azmi Hassan dan Cikgu Shafie Daud, yang sering
menyuarakan isu-isu agama dalam Umno di peringkat nasional. Sayangnya, mereka membisu
seribu bahasa.
Tambah mengecewakan rakyat
ialah apabila Umno sebagai sebuah parti yang diterajui orang Islam bertindak
secara tersurat mahu pun tersirat, menolak beberapa langkah pelaksanaan Islam
yang dilakukan oleh kerajaan PAS di Kelantan. Isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah
II (atau lebih disensasikan sebagai isu hudud), menyebabkan rakyat Terengganu
mempersoalkan kenapa Wan Mokhtar sebagai seorang lulusan agama tidak pernah
mengutarakannya sejak belasan tahun memerintah Terengganu.
Mengapa Terengganu perlu
menunggu Kelantan terlebih dahulu mengharamkan judi dan menyusun semula
penjualan arak, sebelum Terengganu mencontohinya? Lebih menyedihkan lagi, dalam
isu pengharaman iklan yang mengeksploitasi wanita tidak menutup aurat, seorang
pemimpin Umno Terengganu yang juga lulusan agama memberikan komennya dengan
menyatakan tindakan itu akan menyekat perkembangan ekonomi Kelantan. Rakyat bertanya,
ke mana perginya ilmu agama yang dipelajarinya selama ini?
Beberapa isu agama lagi yang
berlaku seperti qariah wanita, isu murtad, isu konsert hiburan yang diiringi
minuman keras, isu hubungan dengan Israel, isu Solomon Smith-Barney dan
sebagainya, menyerlahkan lagi rupa sebenar Umno. Ia dilihat bukan sekadar gagal
membela Islam, malah turut bersubahat ‘menghina’ ajaran Islam. Rakyat
Terengganu akhirnya merasa malu untuk terus bernaung di bawah Umno yang
dipimpin oleh ‘ulama’ sedemikian.
Ketiga, Umno dipenuhi budaya
ampuisme. Pemimpin atasan suka dipuji dan diampu. Manakala pemimpin bawahan
pula terpaksa memuji dan mengampu untuk mendapatkan habuan. Siapa yang suka
memuji, mengampu dan sering bermuka-muka menunjukkan persetujuan atas apa jua
tindakan pemimpin mereka, orang itulah yang mudah mendapat habuan. Akhirnya
sikap hipokrit dan bermuka-muka menjadi budaya dalam Umno.
Lebih malang lagi, sikap itu
terbawa-bawa hingga ke dalam pentadbiran Kerajaan Negeri. Seorang bekas
pemimpin kanan Umno Terengganu dan juga bekas timbalan menteri, ada menulis
dalam sebuah akhbar harian seminggu selepas kekalahan Umno di Terengganu.
Beliau antara lain mendedahkan keburukan dan kebusukan budaya ‘ampuisme’ itu:
“Sementara suasana di dalam
parti tidak begitu baik, suasana di Wisma Darul Iman juga tidak aman. Ia
berpunca daripada perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang merupakan ketua
pentadbir. Manipulasi oleh pihak tertentu menyebabkan ramai pegawai kanan tidak
puas hati.
“Jawatan kosong akibat
persaraan diisi oleh pegawai-pegawai yang jauh junior. Bukan sekali, tetapi dua
kali. Ini mengakibatkan ramai pegawai yang sepatutnya naik pangkat diketepikan
dan akhirnya terpaksa bersara pada pangkat yang lebih rendah.
“Ramai daripada pegawai-pegawai
tersebut mempunyai bidang tugas yang ada hubungkait secara langsung dengan
penghulu dan ketua-ketua kampung. Kekecewaan mereka menular bukan sahaja ke
peringkat kakitangan bawahan tetapi menjangkiti akar umbi di kampung-kampung.
Mereka tidak berpolitik secara terangan, tetapi secara diam-diam meniupkan api
perubahan.”
Keempat, para aktivis dan
petugas Umno rata-rata disemai dengan ‘budaya projek’ dan mentaliti subsidi.
Ada duit, ada kerja. Tak ada projek, kerja pun tak jalan. Akhirnya, sudah tidak
ada petugas Umno yang bekerja dengan ikhlas untuk parti. Asal kerja saja mesti
kena ada upah atau duit kocek. Sebab itu di sebilangan DUN dan Parlimen di
peringkat awal pilihan raya umum lalu, pos-pos BN agak lewat didirikan. Bendera
dan poster juga lambat dinaikkan. Alasan yang petugas mereka berikan ialah
tiada orang nak buat kerja. Sebab apa? Sebab projek belum turun lagi!
Apabila soal duit diutamakan, maka
di situlah wujudnya ruang untuk berlaku penyelewengan. Bukan sedikit para ketua
pos atau ketua cawangan yang ‘songlap’ peruntukan pilihan raya. Ada berlaku,
pintu gerbang yang sepatutnya didirikan, tidak didirikan. Poster yang sepatutnya
dipasang sekian-sekian banyak, hanya separuh daripada jumlah itu yang
terpasang. Sedangkan duit peruntukannya sudah dikeluarkan oleh Bilik Gerakan
Bahagian Umno.
Kelima, para pemimpin Umno,
khususnya Ahli-ahli Yang Berhormat, sangat kurang cakna terhadap kawasan
masing-masing. Mereka seolah-olah tidak ada masa untuk melawat kawasan, atau
meninjau permasalahan dalam masyarakat. Rumah-rumah mereka pula sering
berkunci, atau mereka sering tiada di rumah, dan amat sukar ditemui oleh rakyat
jelata bagi mengadu hal masing-masing. Sedangkan rakyat kini semakin faham
bahawa mereka yang dipilih sebagai wakil rakyat itu sepatutnya menjadi tempat
rakyat ‘mewakilkan’ permasalahan mereka, untuk diselesaikan dengan pihak-pihak
terbabit.
Akronim kononnya Umno itu ‘Untuk Membela Nasib Orangramai’
hanyalah tinggal slogan. Salah satu contoh ketara ialah soal pembahagian tanah
untuk tapak rumah kediaman. Sebab itu, antara yang menjadi satu ratib yang
kesohor di kalangan rakyat Terengganu ialah ‘Sembilan
Kali Pilihanraya, Sembilan Kali Isi Borang Tanah, Sembilan Kali Pangkah
Barisan, Sembilan Kali Rakyat Ditipu! Kali Kesepuluh, Rakyat Tak Nak Ditipu
Lagi. Kali Kesepuluh, Rakyat Tolak BN, Rakyat Pangkah PAS!’
Keenam, para pemimpin Umno suka
mempamerkan gaya hidup mewah. Mereka tergamak membina banglo dan ‘mahligai’
yang tersergam indah di tengah-tengah perkampungan rakyat yang dipenuhi
rumah-rumah separuh umur yang rata-rata dhaif. Mereka juga tidak dapat
meninggalkan tabiat berkereta mewah, dan sering mengunjungi restoran atau kafe
yang ada ‘kelas’. Cara hidup sebegitu sebenarnya makin menjarakkan mereka
dengan realiti kehidupan masyarakat yang sederhana dan dhaif.
Ketujuh, para pemimpin Umno
terlalu manggak dan lupa daratan,
disebabkan pemerintahan mereka yang terlalu lama di Terengganu. Mereka terlalu under-estimate kekuatan dan keupayaan
PAS untuk mengalahkan mereka.
“Jangan mimpi PAS nak menang. Langkah mayat ambe dulu!”, itulah ungkapan yang biasa didengar dari mulut
orang-orang kuat Umno. Sebab itu apabila pemimpin PAS menyebut bahawa ‘PAS
bersedia membentuk kerajaan’, keyakinan itu hanya ditertawakan oleh para
pemimpin Umno. Bahkan, Wan Mokhtar sendiri sewaktu mengumumkan senarai calon
BN, masih menaruh harapan tinggi untuk menyapu bersih negeri Terengganu.
Apabila bendera dan poster PAS
telah menghijaukan segenap ceruk negeri, dan terbukti para petugas BN tidak
berupaya menandinginya, masih ada para pemimpin Umno yang tidak mahu mengakui
kelemahan mereka. “Kita bukan nak menang bendera”, kata mereka. Ada juga yang
berkata, “kekuatan sebenar bukan boleh diukur pada bendera dan poster”.
Sedangkan dalam mana-mana pertarungan terbuka, poster dan bendera itulah syiar
utama kekuatan sesuatu pihak.
Kelapan, para pemimpin dan
ahli-ahli Umno/BN sering mengungkit-ungkit jasa dan budi pemerintahan mereka.
Mereka bukan sekadar menjadikan jasa dan bakti pemerintahan itu sebagai bahan
bercakap dan berhujah, tetapi sanggup pula mengiklannya besar-besaran di
khalayak ramai. Di satu tempat berhampiran Jertih, umpamanya, pernah dinaikkan
papan iklan bertulis ‘Hanya BN Mampu
Membawa Pembangunan’.
Masyarakat Islam sememangnya
dididik untuk mengenang jasa dan membalas budi. Tetapi perbuatan orang yang
berbudi mengungkit-ungkit jasa mereka adalah suatu aspek yang lain pula. Orang
yang suka mengungkit dianggap tidak ikhlas dalam menghulurkan bantuan atau jasa
mereka. Sekiranya mereka melakukan sesuatu bakti untuk dikenang atau dibalas,
mereka sudah dianggap ‘buruk siku’.
Terdorong oleh rasa terlalu
berjasa dan berbakti kepada rakyat itu, kadang-kadang BN bertindak melampaui
rasionaliti beragama. Di sesetengah tempat BN mendakwa ‘Hanya Barisan Nasional Membela Agama, Bangsa dan Negara’. Ada juga
dipaparkan ‘Masa Depan Anak-anak Hanya di
Tangan BN’.
Bagi orang yang faham ajaran
agama, kalimah ‘hanya’ itu tidak layak dipulangkan kepada manusia. Ia adalah
milik Allah sahaja. Adalah syirik sekiranya kita meletakkan hanya kita yang boleh
melakukan sesuatu secara mutlak, sedangkan kekuasaan mutlaknya terletak di
tangan Allah. Slogan-slogan itu jelas sekali memakan diri BN.
Kesembilan, Umno/BN menerima
pakai politik peras ugut semata-mata untuk menjamin undi berterusan baginya.
Betapa dakwaan bahawa Umno menggunakan saluran bantuan-bantuan Amanah Ikhtiar
Malaysia (AIM), bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan berbagai skim lagi
untuk memaut undi golongan dhaif di kalangan rakyat, sudah diketahui umum.
Tidak cukup setakat itu, BN
turut mengiklankan ancaman tersebut di merata-rata tempat. Di dada-dada akhbar
pernah dimuatkan ancaman berbunyi ‘Jangan
Pertaruhkan Masa Depan Mereka’, dengan dipotretkan kanak-kanak yang ceria.
Secara tersiratnya mesej yang cuba disampaikan ialah masa depan anak-anak tidak
akan terjamin sekiranya rakyat memilih kerajaan selain BN.
Di suatu tempat tidak jauh dari
Kuala Terengganu, pernah diiklankan kalimah ‘Jangan
Gigit Tangan Barisan BN Untuk Tidak Tersekat Rezeki Berterusan’. Ugutan
yang jelas dari kalimah tersebut ialah BN sahaja dapat menjamin rezeki
berterusan rakyat.
Kesepuluh, pemimpin bawahan dan
penyokong akar umbi Umno tidak jujur dalam membekalkan maklumat kekuatan parti
mereka kepada pihak atasan. Mereka sanggup menipu diri mereka sendiri dan juga para
pemimpin mereka, semata-mata untuk membuktikan mereka telah bekerja kuat.
Akhirnya, taktik dan strategi yang diatur oleh pihak atasan tidak menepati
kekuatan dan kelemahan sebenar Umno di peringkat akar umbi.
Kesebelas, para pemimpin Umno
Terengganu sering bertelagah sesama sendiri dan perselisihan itu tidak pernah sendik. Sejurus selepas Pilihan Raya Umum
1995, telah berlaku pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian Umno. Pemilihan
itulah yang menghasilkan keretakan yang lebih parah dalam Umno. Jumlah bahagian
yang bermasalah meningkat hinggakan bahagian yang sebelumnya dianggap aman dan kuat,
turut dijangkiti masalah.
Kepimpinan negeri jelas tidak
lagi boleh berfungsi sebagai pendamai dan penyelesai masalah, kerana ramai yang
muncul sebagai penyokong atau penentang pihak-pihak tertentu dalam pertandingan
di peringkat bahagian. Menurut satu sumber Umno, contoh campurtangan kepimpinan
negeri yang nyata berlaku ialah dalam pemilihan kepimpinan Umno Bahagian Hulu
Terengganu, Kuala Terengganu dan Dungun.
Kedua belas, pemimpin Umno
jelas tidak tahu mengenang budi. Jangan dikatakan seorang rakyat biasa, atau ahli biasa Umno, seorang pemimpin kanan
Umno sekali pun apabila sudah dianggap ‘rebah’ dalam parti, dia tidak akan
disebut lagi. Segala jasa atau baktinya selama ini seolah-olah berlalu bagai
ditiup angin, dan gagal meninggalkan sebarang bekas.
Kes Datuk Seri Anwar Ibrahim
adalah satu contoh ketara betapa dalam kamus politik Umno tidak ada istilah
belas kasihan dan mengenang budi. Beliau dibalun dan dihina seolah-olah tidak
pernah ada saham walau sesen pun dalam meningkatkan martabat Umno. Jangan lupa
bahawa sehina mana sekali pun Anwar di mata Umno, beliau mempunyai pengikut
yang sangat ramai di serata negara, termasuk di Terengganu.
Apa yang berlaku ke atas Anwar
turut dirasai oleh sebilangan pemimpin kanan Umno. Ada antara mereka yang
sebelum pilihan raya lalu bergelar ‘Yang Berhormat’, bukan sahaja tidak diberi
peluang bertanding lagi dalam pilihan raya lalu, malah nama mereka turut tidak
disebut lagi oleh Umno sekarang. Ada juga bekas pemimpin kanan Umno, termasuk
bekas Timbalan Menteri dan bekas anggota Exco Kerajaan Negeri, memilih untuk
menyepi diri sejak beberapa tahun lalu, apabila mainstream Umno Terengganu nampaknya sengaja mengetepikan mereka.
Rakyat berfikir, kalaulah orang
sehebat bekas pemimpin kanan Umno seperti Datuk Ahmad Sidi Ismail, Datuk Mamat
Ghazalee, Datuk Alias Ali, Mokhtaruddin Wan Yusof dan lain-lain lagi itu pun
Umno boleh buat macam ‘hampas tebu’, maka apalah lagi seorang rakyat bawahan
yang tinggal di kampung dan tidak pula ada pengaruh yang mampu membantu
menguatkan Umno?
Itulah faktor-faktor kebusukan
yang bertukar menjadi penyakit yang sangat membarah di dalam batang tubuh Umno,
khususnya di Terengganu. Faktor-faktor tersebut jelas banyak membantu
kemenangan PAS di negeri ini. Tepat sebagaimana yang digambarkan oleh seorang
bekas timbalan menteri dari Terengganu:
“Umno Terengganu menghadapi 29
November 1999 seperti seorang pahlawan yang sedang sakit dikerah berperang.
Malangnya dia tidak sedar dia sakit. Dia juga tidak sedar ramai askarnya
membuat ragam. Bila berperang mereka tidak sekadar menembak musuh tetapi
sanggup menembak rakan-rakan sendiri. Inilah yang kelihatan berlaku dan
kedengaran berlaku dalam masa pilihan raya.”
(Artikel
ini adalah Bab 9, Bahagian B: Tanda-tanda Kemenangan, dalam buku 'Masa Untuk
Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda,
Gombak, Ogos 2000)
No comments:
Post a Comment