Sunday, June 29, 2008

Apabila rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan


 “Macam kes minyak baru ni lah, elok-elok menteri kata nak naik bulan Ogos, tahu-tahu selang dua-tiga hari je lepas tu isytihar naik”

Oleh: Anuwa Jamalullail

DALAM keghairahan ratusan manusia berebut-rebut mendapatkan giliran menuntut rebat di kaunter sebuah pejabat pos 14 Jun lalu, dua rakan yang turut beratur di situ sempat berseloroh sesama mereka. Kata yang seorang itu, “engkau pun nak berebut hari ni juga? Orang berduit macam engkau tak kan tak boleh tunggu esok lusa ke, minggu depan ke? Bagi lah peluang kat orang lain dulu”.

Rakannya spontan membalas, “aku bukan tak boleh tunggu, cuma bimbang tak sempat ambil rebat. Mana lah tahu tiba giliran kita nak ambil minggu depan, kerajaan isytihar pula batalkan bayaran rebat. Naya aku!”

Perbualan mereka itu disambut gelak ketawa pengunjung di sekeliling mereka. Sepintas lalu perbualan mereka itu dianggap hanya suatu gurauan. Namun bagi beberapa pengunjung yang turut beratur bersama mereka, jawaban itu dirasakan sangat sinis.

Ada pula yang mengiyakan apa yang dikatakan hamba Allah itu. Bahawa tidak mustahil bagi kerajaan untuk mengumumkan sesuatu pada bila-bila masa, termasuk di atas perkara yang pada awalnya telah pun dinafikan kerajaan sendiri.

“Macam kes minyak baru ni lah, elok-elok menteri kata nak naik bulan Ogos, tahu-tahu selang dua-tiga hari je lepas tu isytihar naik”, sambung seorang daripada mereka, disusuli bebelan beberapa yang lain.

Rungutan itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, 2 Jun lalu. Dalam kenyataannya, Shahrir membayangkan kemungkinan harga petrol dan diesel akan dinaikkan Ogos ini apabila Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi melakukan penstrukturan semula skim subsidi bahan bakar itu.

“Ia akan berlaku... harga minyak akan naik, saya fikir mungkin dalam Ogos tahun ini apabila sistem subsidi diberi penstrukturan semula”, katanya.

Kenyataan Shahrir itu mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat bahawa harga bahan bakar itu tidak mungkin dinaikkan dalam masa terdekat. Ini kerana beberapa hari sebelum itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak telah menafikan kemungkinan itu.

Pada 27 Mei, Najib meminta semua pihak tidak membuat spekulasi bahawa harga minyak akan naik pada 1 Jun atau sekitarnya. Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi malah menegaskan Kabinet memerlukan masa untuk mengkaji cadangan pelbagai pihak dalam menangani inflasi.

Kenyataan itu sudah tentu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa mereka tidak perlu bersedia untuk menghadapi kenaikan harga minyak dalam masa terdekat. Amat mengejut dan mengecewakan selang hanya dua hari selepas kenyataan Shahrir tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengisytiharkan sebaliknya.

Pada sidang akhbar khas di Putrajaya 4 Jun lalu, Perdana Menteri mengumumkan pakej penstrukturan semula subsidi bahan bakar itu. Abdullah memaklumkan harga runcit petrol dinaikkan sebanyak 40 peratus atau 78 sen seliter berkuatkuasa keesokannya.

Harga runcit petrol kini RM2.70 seliter berbanding RM1.92 sebelumnya. Harga runcit diesel pula dinaikkan lebih 60 peratus atau sebanyak RM1 setiap liter, menjadikannya RM2.58 berbanding RM1.58 sebelumnya.

Rakyat merasa tertipu dengan janji dan jaminan kerajaan. Bukan sahaja tertipu dengan kemungkinan kenaikan yang dikatakan hanya akan berlaku Ogos nanti, malah kadar kenaikan antara 78 sen dan RM1 itu juga sangat tinggi dan membebankan mereka.

Di masa sama, kepercayaan mereka kepada apa yang diumum dan dilaksanakan kerajaan semakin terhakis.  Bagi mereka sudah tidak ada apa yang boleh dipegang dari kenyataan para pemimpin. Segala kemungkinan boleh berlaku, apa jua keputusan boleh berubah sekelip mata. Hari ini mereka berkata begini, esok mereka mungkin akan berkata sebaliknya.

Paling memalukan ialah apabila perubahan mendadak itu turut melibatkan sesuatu dasar yang dilaksanakan kerajaan. Contohnya, pengumuman kenaikan harga minyak itu sekaligus membatalkan dasar melarang jualan minyak kepada kenderaan asing di stesen-stesen minyak di kawasan sempadan. Sedangkan peraturan itu baru diperkenalkan lebih seminggu sebelumnya.

Dari satu sudut, kerajaan dilihat seolah-olah tidak mempunyai pendirian tetap atas sesuatu dasar atau peraturan yang diperkenalkan. Ia juga menggambarkan kerajaan seakan tidak membuat kajian munasabah sebelum mengisytiharkan sesuatu peraturan penting.

Dalam hal ini, kita ada terlalu banyak contoh bagaimana kenyataan dibuat para pemimpin negara mengenai sesuatu peraturan baru akhirnya terpaksa ditarik balik atau dikaji semula. Lihat saja contohnya keputusan Kabinet mengenai hasrat membayar gaji kakitangan awam dua kali sebulan.

Perdana Menteri ketika mengumumkannya pada 11 Jun menganggap keputusan itu adalah bagi membantu pengurusan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah berikutan kenaikan harga minyak. Untuk itu, kerajaan memutuskan pembayaran gaji dua kali sebulan itu dilaksanakan bermula Ogos ini.

Cadangan itu bagaimana pun mendapat reaksi negatif pelbagai pihak, khususnya kesatuan-kesatuan mewakili pelbagai sektor dalam perkhidmatan awam. Rata-rata mereka berpendapat kaedah pembayaran gaji secara dua ansuran itu akan membawa lebih banyak kesusahan, terutama diambil kira masalah pemotongan bayaran pinjaman, yuran dan bil bulanan.

Kerajaan akhirnya terpaksa akur dengan reaksi tersebut. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam menyatakan cadangan pembayaran gaji kaedah baru itu belum dimuktamadkan. Kerajaan malah, katanya, sedia mengkaji semula cadangan itu selepas mendapat bantahan pelbagai kesatuan penjawat awam.

Kes serupa berlaku ke atas perisytiharan Perdana Menteri mengenai peraturan mewajibkan seseorang yang mahu memeluk Islam memaklumkan hasrat mereka kepada keluarga masing-masing. Menurut Perdana Menteri, peraturan itu adalah bagi mengelakkan kontroversi dan pertelingkahan dengan keluarga mereka, terutama apabila berlaku kematian ke atas Saudara Baru itu.

Cadangan itu juga mendapat bantahan pelbagai pihak, terutama kalangan Saudara Baru sendiri. Kata mereka, berdasarkan pengalaman masing-masing, peraturan itu akan menyulitkan proses pengislaman mereka. Akhirnya pengumuman dibuat Perdana Menteri itu terpaksa ditarik balik.

Banyak lagi contoh kenyataan dan tindakan serupa yang dapat dikemukakan. Apa yang nyata, disebabkan kekerapan berlakunya perubahan mendadak di atas dasar dan peraturan yang diumumkan kerajaan, rakyat akhirnya hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kerajaan. Soal mereka, di manakah wibawa sebuah kerajaan jika keputusan dan jaminan pemimpinnya boleh berubah bila-bila masa?

Gurauan sinis di pejabat pos tadi adalah satu contoh.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 29 Jun – 5 julai 2008 dengan tajuk sama)

Sunday, June 22, 2008

Berjimat-cermat bukan sekadar soal wang


“Rakyat diseru agar berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian dan mengelakkan sebarang bentuk pembaziran”

Oleh: Anuwa Jamalullail

KALAULAH dikatakan isu kenaikan mendadak harga minyak di pasaran tempatan beberapa minggu lalu ada hikmah dan kebaikannya, maka impak paling positif setakat ini ialah ia mengubah tabiat berbelanja mewah diamalkan kerajaan selama ini.

Kekangan kewangan yang dihadapi negara kini memaksa kerajaan beralih kepada kempen berjimat-cermat. Sebab itu di antara seruan paling awal dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tatkala mengumumkan kenaikan harga runcit petrol dan diesel, 4 Jun lalu ialah agar rakyat mengubah gaya hidup. Rakyat diseru agar berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian dan mengelakkan sebarang bentuk pembaziran.

“Langkah berjimat ini bukan untuk kita menjadi kedekut, tetapi jangan sampai berlaku pembaziran. Kita mesti kurangkan pembaziran dalam apa jua perkara yang ada hubung kait dengan kehidupan”, kata Abdullah.

Di nilai dari satu sudut, seruan agar rakyat berjimat-cermat semacam sudah tidak relevan. Ini kerana majoriti mereka sebenarnya sudah lama mempraktikkan gaya hidup sederhana sebegitu. Rakyat, terutama golongan bawahan, sudah cukup terhimpit oleh kenaikan demi kenaikan kos sara hidup sejak beberapa tahun lalu.

Jangan dikatakan untuk berbelanja pada perkara yang tidak perlu atau cenderung kepada pembaziran, pada perkara yang sepatutnya mereka belanjakan pun ada ketikanya rakyat terpaksa membatalkannya. Maka, apa relevannya lagi meminta mereka berjimat-cermat?

Sebab itu tidak menghairankan apabila ada pihak yang memberikan reaksi agak sinikal terhadap seruan Perdana Menteri itu. Bagi mereka, adalah tidak manis jika seruan itu hanya ditujukan kepada rakyat bawahan saja. Seeloknya ia turut dipraktikkan para pemimpin tertinggi negara sendiri. Di situlah timbulnya saranan agar elaun para pemimpin negara turut dipotong.

“Sepatutnya diumumkan juga pemotongan elaun, pemotongan pelbagai faedah yang mereka (para menteri) dapat. Itu sepatutnya dipotong kalau sama-sama mahu melihat kita sama-sama berjimat”, cadang Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, pada sidang medianya, 7 Jun lalu.

Sebagaimana lazimnya, gesaan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu disambut sinis dan pesimis beberapa pemimpin Barisan Nasonal (BN). Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Roslan Awang Chik menyifatkan saranan itu tidak memberi apa-apa makna dalam usaha mengatasi masalah kenaikan harga minyak.

“Menteri di Malaysia tidak ramai, hanya kira-kira 30 orang saja dan kalau dipotong RM1,000 sebulan usaha itu hanya mampu mengumpulkan RM30,000 sahaja”, katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, pula menyifatkan cadangan Salahuddin itu tidak rasional dan lebih bersifat emosi.

“Jangan buat sesuatu kerana kita marah. Kita fokus pada yang rasional. Kalau buat cadangan yang rasional, baru ada kesannya tapi bukan sebab rasa geram dengan menteri”, katanya.

Seperti Roslan, Shahrir turut menganggap jumlah penjimatan hasil pemotongan elaun para menteri adalah terlalu kecil dan tidak memberi kesan kepada kedudukan kewangan negara.

“Kalau potong elaun menteri-menteri, tidak sampai RM1 bilion pun. Kalau elaun menteri sampai berbilion, saya rasa ada kesan”, katanya sinis.

Ekoran reaksi negatif para pemimpin BN itu, ramai menyangka kerajaan tidak akan melayan saranan Ketua Pemuda PAS tadi. Sebab itu agak memeranjatkan apabila akhirnya kerajaan mengakui kewajaran tuntutan itu.

Perdana Menteri pada 9 Jun lalu mengumumkan keputusan kerajaan memotong 10 peratus elaun keraian diterima Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri, bermula 1 Julai nanti.

Beliau turut mengumumkan beberapa langkah lain dalam usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Ia termasuk membekukan cuti berbayar menteri dan timbalan menteri, mengehadkan perjalanan mereka ke luar negara, menangguhkan sebarang pembelian aset kerajaan dan lain-lain. Langkah diambil kerajaan itu, menurut Abdullah, dijangka dapat menjimatkan RM2 bilion setahun.

Pengumuman Perdana Menteri itu secara tidak langsung menempelak sikap negatif dan pesimis ditunjukkan Roslan dan Shahrir sebelumnya. Bahkan, jumlah penjimatan RM2 bilion setahun diumumkan Abdullah itu juga membuktikan congakan dibuat kedua-dua mereka itu amat pesimis.

Mereka menuduh Salahuddin memberikan cadangan bersifat emosional dan geram terhadap menteri, tetapi reaksi mereka itu sebenarnya yang tidak raisonal, penuh prejudis dan berbaur emosi.

Apa pun pertikaian politik yang dikemukakan, episod ini mengajar kita sekurang-kurangnya dua perkara penting. Pertama, sesuatu tindakan melibatkan kepentingan awam perlu selari dengan slogan kepimpinan melalui teladan. Sebarang perubahan tidak wajar dipaksakan ke atas rakyat sahaja tanpa melibatkan para pemimpin.

Mereka perlu menjadi contoh di atas setiap perkara yang diserukan. Kesan amat ketara apabila langkah penjimatan diumumkan Perdana Menteri itu segera diikuti kerajaan negeri-negeri. Sehingga rencana ini ditulis, sudah enam negeri menyatakan kesediaan memotong elaun anggota Exco masing-masing. Negeri-negeri tersebut ialah Sabah, Sarawak, Terengganu, Melaka, Pahang dan Kedah.

Pulau Pinang pula mengambil langkah menangguhkan perbelanjaan penting membabitkan kemudahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Speakernya. Manakala Kelantan sudah tidak perlu mengisytiharkan langkah itu memandangkan para pemimpinnya telah hampir 20 tahun mengamalkan langkah berjimat-cermat seumpama itu.

Pengajaran kedua dari episod berjimat-cermat ini ialah kesedaran umum yang lebih positif terhadap keburukan pembaziran. Di sisi Islam membazir bukan sahaja dikira apabila berbelanja melebihi keupayaan atau kemampuan kewangan. Ia malah lebih tepat bermaksud berbelanja pada sesuatu yang tidak perlu atau tidak mustahak. Sekira-kiranya, jika tidak dihabiskan wang pada perkara itu, kehidupan masih tidak terjejas.

Ertinya, soal membanteras pembaziran tidak sepatutnya semata-mata kerana disebabkan kekangan kewangan. Ia soal hukum dan tuntutan agama. Al-Quran malah menyifatkan seorang pembazir sebagai kawan kepada syaitan. Maka usaha mengelakkan pembaziran adalah tuntutan sepanjang masa, sama ada ketika kekurangan wang atau di masa mewah.

Kesimpulannya, moral dalam cadangan pemotongan elaun para menteri tadi bukan sekadar soal wang. Bukan jumlah ratusan juta atau puluhan bilion yang menjadi keutamaan dalam isu ini. Dua pengajaran tadi jauh lebih bermakna bagi rakyat berbanding jumlah penjimatan RM2 bilion yang dijangkakan Perdana Menteri itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 22-28 Jun 2008 dengan tajuk sama)

Bohong jadi teras politik Malaysia


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SEWAKTU di sekolah menengah pada akhir 70-an dulu, seorang guru sering mengingatkan kami betapa kotor dan busuknya dunia politik. Katanya, kekotoran itu bukan kerana sistem atau kerangka politik itu sendiri, tetapi disebabkan tabiat dan perlakuan buruk ahli-ahlinya.

Saya masih ingat guru subjek Sejarah, Cikgu Abdul Hamid Zamburi, sering mengulangsebut dalam bahasa Inggeris, “politics is a very dirty game” (politik adalah satu permainan amat kotor).

Ketika itu kami begitu mentah untuk menyelami apa yang beliau maksudkan. Namun kesungguhan beliau mengulangsebut ungkapan itu, terutama apabila ada kaitan dengan tajuk sedang diajarnya, meninggalkan kesan ingatan mendalam di benak saya.

Di antara huraian penting yang Cikgu Hamid sering tekankan ialah mengenai tabiat buruk ahli-ahli politik. Masih jelas terbayang ekspresi muka beliau yang sangat meluat dan kecewa sewaktu berbicara tentang senario politik negara.

Bercakap bohong, menabur janji kosong, berhasad dengki, menabur fitnah dan jatuh-menjatuh sesama sendiri adalah antara sifat yang seakan diterima sebagai tradisi dan lumrah politik.

Bahkan dalam banyak keadaan, sokongan kepada mana-mana pihak, sama ada daripada pengundi atau pun ahli-ahli politik, lebih banyak ditentukan kepentingan peribadi masing-masing. Sebab itu, katanya, di dunia politik tiada kawan atau lawan yang kekal. Hari ini dia adalah kawan, tidak mustahil esoknya dia bertukar menjadi lawan. Begitulah juga sebaliknya.

Saya sendiri tidak mengambil masa terlalu lama untuk memahami hakikat digambarkan Cikgu Hamid itu. Penglibatan sejak usia awal 20-an sebagai aktivis parti dan juga penulis politik memungkinkan saya mengalami dan menyaksi sendiri segala asam-garam dunia politik itu.

Ya, memang tepat apa yang Cikgu Hamid ajarkan kepada kami 30 tahun dulu. Dunia politik cenderung mengenepikan soal etika, sama ada di sisi aturan demokrasi atau hukum agama.

Paling jelas ialah sifat mereka yang sangat suka berbohong dalam janji dan pengakuan, berbohong juga dalam sokongan dan pendirian. Apabila pembohongan sudah menjadi teras politik, ia memungkinkan segala macam ftinah, salah faham, curiga-mencurigai, hilang kepercayaan dan berbagai lagi.

Ingat lagi istilah “membakar jambatan” yang pernah dipopularkan seorang tokoh politik 20 tahun lalu? Beliau bukan calang-calang tokoh, tetapi seorang timbalan presiden sebuah parti serpihan Umno, berkelulusan doktor falsafah di bidang undang-undang.

Tokoh itu berikrar tidak akan sekali-kali kembali kepada Umno. Bagaimana mungkin untuk beliau menyeberangi semula kerana jambatan penghubung antaranya dengan Umno telah “dibakarnya” sendiri?

Semua kita tahu apa kesudahannya. Beliau bukan saja secara terbuka melanggar ikrarnya itu malah membawa masuk semula para pengikutnya secara en bloc ke dalam Umno.

Seorang lagi tokoh, juga dari parti serpihan Umno, pernah menggegarkan pentas politik negara sedekad lalu dengan istilah “sumpah keramat”. Hampir tiada amalan korupsi, kronisme dan nepotisme di kalangan pemimpin utama parti pemerintah yang tidak didedahkannya.

Kelantangan dan kepetahan anak muda ini menggarap senario politik negara memukau pelbagai pihak. Ketika itu tiada siapa percaya beliau akan kembali semula bersekongkol dengan parti korup yang amat dicemuhnya itu. Namun itulah yang dilakukannya baru-baru ini.

Banyak lagi kes membabitkan kenyataan dan pendirian bohong seumpama itu. Paling tidak akan dapat dilupakan rakyat negara ini ialah kenyataan Perdana Menteri sendiri mengenai kemungkinan pembubaran Parlimen, Februari lalu.

Hari ini beliau beriya-iya menafikan kemungkinan desas-desus itu akan menjadi kenyataan, tahu-tahu keesokannya beliau mengumumkan pembubaran Parlimen. Susah sangatkah bagi pemimpin dan ahli politik kita untuk berterus-terang dan bercakap benar?

Berbagai pengalaman itu menyebabkan rakyat semakin sukar mempercayai sepenuhnya sebarang kenyataan dibuat mana-mana ahli politik. Hari ini mereka menafikan akan melakukan sesuatu, esoknya mereka benar-benar melakukannya. Hari ini mereka kelihatan sangat komited dengan satu pihak, suatu ketika kemudian mereka mungkin tiba-tiba beralih sokongan.

Saya melihat apa yang berlaku beberapa hari lalu membabitkan Parti Maju Sabah (SAPP) juga dibauri unsur-unsur bohong ini. Rabu (18 Jun), Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengumumkan bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Barisan Nasional (BN), terutama kepemimpinan Perdana Menteri.

Beliau malah menegaskan bahawa dua Ahli Parlimen mewakili parti iu tidak akan teragak menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sekiranya ia dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat nanti. Sejauh manakah pendirian itu boleh dipegang bakal kita saksikan.

Apa pun kemungkinannya, pengumumanYong itu sekaligus menyangkal penafian dibuat beberapa pemimpin tertinggi BN mengenai desas-desus itu. Sehari sebelumnya, Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi BN negeri berkata beliau tidak ada sebarang petunjuk perkara itu akan berlaku. Timbalan Presiden SAPP pula menafikan partinya akan meninggalkan BN.

Di hari sama, Perdana Menteri berkata beliau tidak diberitahu apa-apa tentang itu. Munasabahkah selaku Pengerusi BN, beliau tidak tahu apa-apa mengenai pergolakan terkini dalam parti komponennya? Bohong lagi, bukan?

Politik negara semakin berkecamuk dan caca-marba mutakhir ini. Bagi saya, kenyataan dan episod bohong yang bersilih-ganti menyebabkan Cikgu Hamid semakin ada sebab untuk terus kecewa. Bukan berkaitan nasib menimpa mana-mana parti politik disokongnya, tetapi kerana etika dan adab berpolitik sudah semakin diketepikan.

Benarlah kata-kata yang sering diulangsebutnya dulu, “politics is a very dirty game”. Terimakasih Cikgu kerana mendidik saya tentang kekotoran dunia politik!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, bertarikh 18-24 Jamadil Akhir 1429/22-28 Jun 2008 di kolum ‘PERSPEKTIF’ dengan tajuk sama)