Friday, January 16, 2009

Ahmad Said, Shabery Cheek jahil fakta sejarah?


Oleh Mat Zain Mat Isa


Nampak sangat Barisan Nasional (BN) sudah kehabisan modal dalam menghadapi asakan bertubi-tubi daripada PAS di Kuala Terengganu sekarang, sehinggakan para pemimpinnya tidak sempat membuat pertimbangan wajar sebelum bercakap.

Dalam keadaan sangat terdesak oleh pertarungan sengit kini, BN tanpa segan silu sanggup memperdaya rakyat, termasuk dengan memutarbelit fakta-fakta berkaitan sejarah politik negara dan negeri.

Tambah sedihnya, pembohongan dan putarbelit itu bukan saja dibuat para pemimpin peringkat bawahan, bahkan oleh pemimpin utama bertaraf menteri besar dan menteri kabinet sendiri.

Dalam ceramah politik di salah satu peti undi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam, baru-baru ini, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said seakan kembali kepada tabiat lamanya yang suka menyerang PAS secara membuta tuli.

Beliau tergamak menyifatkan orang-orang kata orang-orang PAS sebagai pembohong. Beliau mendakwa ada orang PAS kata mereka tidak berhutang apa-apa dengan Umno kerana Umno tidak pernah berjasa kepada mereka.

Kita tidak tahu apakah betul ada orang PAS yang kata begitu. Ataukah ia sekadar satu lagi kes “orang Umno kata orang PAS kata”, seperti mana lazim berlaku sebelum ini. Kalau setakat mahu mendakwa ada orang itu kata begini, orang ini kata begitu, semua orang boleh kata, bukan? Kitapun boleh kata macam-macam juga. Soalnya, adakah orang itu memang ada kata macam yang kita kata itu? Itu satu.

Yang kedua dan lebih menyedihkan ialah apabila Ahmad tergamak memutarbelitkan fakta, semata-mata bagi menyokong hujahnya itu. Katanya, PAS patut berterimakasih kepada Umno kerana hanya Umno yang perjuangkan kemerdekaan negara.

“Dulu Umnolah yang memperjuangkan kemerdekaan negara hingga bebas dari penjajah. Tak ada PAS masa itu, tak ada DAP, tak ada Keadilan,” kata dia.

Dari mana menteri besar ini ambil fakta ini? Kita akui bila Malaysia merdeka tahun 1957, DAP belum ditubuhkan. Parti KeADILan pula memang belum ada. Ia hanya wujud selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh rank-and-file Umno menzalimi Dato’ Seri Anwar Ibrahim, 1998.

Namun semua orang yang mengaji sejarah tahu PAS sudah ada sejak tahun 1951. Bahkan dalam pilihan raya umum pertama 1955, PAS sudah meletakkan calonnya di beberapa negeri hampir seluruh negara. Sudah ada kerusi dimenangi PAS ketika itu, di Parlimen Krian, Perak. Wakil tunggal PAS itu jadi pembangkang tunggal di Parlimen. Rasanya budak mumbang di sekolah menengah pun tahu fakta itu. Masakan seorang menteri besar tidak tahu?

Kebetulan atau tidak, di hari sama juga seorang menteri kabinet, juga dari Kemaman (satu daerah dengan menteri besar) turut bercakap tanpa fakta mengenai PAS. Dia mendakwa waktu PAS memerintah Terengganu dulu, parti itu berjanji untuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan dilantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada kaum Cina.

Malangnya, kata Dato’ Ahmad Shabery Cheek, PAS tidak pernah mengotakan janji itu. Lalu dia membuat kesm[impulan mudah berdasarkan kejahilan fakta itu, kononnya PAS memang tidak pedulikan kepentingan kaum Cina.

Ini juga satu lagi kes pemimpin yang perlu diajar tentang fakta sejarah politik negara. Sedangkan perkara itu memang telah disempurnakan kerajaan PAS dulu.

Melalui Sidang Dun pada 24 April 2003, kerajaan Terengganu di bawah PAS telah meluluskan Enakmen Bagi Meminda Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) (Pindaan) 2003 yang dikemukakan Adun PAS-Batu Burok, Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong.

Enakmen ini bagi membolehkan DUN Terengganu melantik Adun dari kalangan wanita dan bukan Islam, apakala tiada antara mereka yang terpilih melalui pilihan raya. Syarat lantikan tersebut ialah dengan mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya tujuh Ahli Dewan.

Itu faktanya. Ia sekaligus membuktikan kerajaan pimpinan PAS sentiasa prihatin mengenai perjuangan nasib kedua-dua sektor masyarakat tersbeut (wanita dan bukan Islam) dan mahu suara mereka diwakili sebaik-baiknya di peringkat tertinggi dalam negeri (sidang Dun).

Malang sungguh bagi Terengganu. Ada menteri besar pun, buta sejarah. Satu-satunya menteri kabinet yang ada pun, dua kali lima saja!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 16 Januari 2009 dengan tajuk sama. Ia dikesan turut dipetik laman SiasahDaily, (pada 10 Januari?) tetapi dengan membuat sedikit ubahsuai dan meletakkan nama Penulis Khas (tanpa merujuk penulis asal)).

Wednesday, January 14, 2009

Perubahan sikap pengundi Cina gusarkan BN


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Belum pernah berlaku dalam sejarah kempen mana-mana pilihan raya di Terengganu, masyarakat Tionghua setempat sebegitu ramai dan berani menghadirkan diri dalam program dianjurkan parti-parti pembangkang.
Jika selama ini kaum tersebut dikatakan sangat setia terhadap Barisan Nasional (BN) dan amat berhati-hati untuk menunjukkan sikap menyebelahi pembangkang, suasana yang sama sekali berbeza kini terzahir dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang sedang berlangsung.

Mereka bukan setakat hadir sebagai pendengar, malah ada yang turut menjadi penggerak penting menjayakan apa-apa majlis dianjurkan mana-mana parti Pakatan Rakyat bagi membantu PAS.

"Bayangkan, yang lelaki bawa bendera bulan (PAS), yang perempuan tukang pungut derma. Demi Allah, sepanjang hidup saya dah lebih 60 tahun, tak pernah lagi saya tengok benda ni," ujar seorang penduduk Kuala Terengganu, Haji Wan Mokhtar Mohamad.

Beliau menceritakan ketakjubannya melihat pasangan berbangsa Cina itu yang bertugas penuh dedikasi di satu ceramah PAS di Kampung Cina, malam hari Sabtu (10 Januari) lalu.

Dalam perkembangan serupa, lebih 300 penduduk Tionghua kelihatan hadir ke majlis ceraman PAS di Kampung Pulau Kambing, malam sebelumnya. Kesungguhan mereka menzahirkan sokongan kepada Pakatan Rakyat, khususnya PAS, dianggap perubahan sangat mendadak berbanding pilihan raya umum, Mac lalu.

"Program (ceramah) PAS semasa pilihan raya dulu di situ, orang Cina yang hadir berbelas orang saja," banding seorang rakan wartawan, Yusof Muda.

Menurut maklumat diperolehinya, kawasan berkenaan adalah di antara lokaliti yang menyaksikan kekalahan PAS agak besar, terutama di kalangan pengundi Tionghua.

Meski pun pengundi kaum itu membentuk hanya kira-kira 11 peratus atau tidak sampai 9,000 daripada lebih 80 ribu pemilih berdaftar di Parlimen Kuala Terengganu, sokongan masyarakat tersebut kepada mana-mana parti bertanding adalah penentu kemenangan. Apatah lagi sejak sekian lama sokongan pengundi Melayu di parlimen ini agak seimbang kepada PAS dan BN.

Mengakui undi Cina amat signifikan, BN tanpa silu memanipulasi kuasa dan kewangan dimilikinya untuk memenangi hati mereka. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said secara tiba-tiba mengumumkan peruntukan RM6.1 juta untuk pembangunan masyarakat Cina negeri itu, 26 Disember lalu.

Jumlah itu termasuk RM3.3 juta untuk Dewan Perhimpunan Perhubungan Cina Terengganu di Pulau Kambing dan RM2.8 juta untuk dewan Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin, Gong Kapas.

Berbagai majlis lain turut dianjurkan BN saban hari melibatkan kaum Tionghua. Segala macam bantuan dihulurkan pada majlis-majlis itu atas berbagai nama, terutama yang dinamakan bantuan dana khas sempena sambutan Tahun Baru Cina. Kesemua pembesar negara yang turun berkempen juga tidak melepaskan peluang bertemu anggota masyarakat itu.

"Saya harap pengundi Tionghua di Kuala Terengganu ini tidak termakan umpan dana khas itu. Duit ang pau itu boleh diambil, sebab bukan duit peribadi pemimpin MCA-BN, tetapi itu memang duit rakyat," bidas Pengerusi Penaja DAP Cawangan Kampung Cina, Ng Chai Hing.

Sepertimana para pemimpin Pakatan Rakyat lain, Chai Hing turut melahirkan keyakinan para pengundi Kuala Terengganu, terutama kaum Tionghua sudah matang berpolitik. Mereka juga dapat mengikuti arus perubahan tsunami politik yang melanda negara, Mac lalu, yang menyaksikan kaum Cina dan India sepakat menolak BN.

Arus perubahan itulah yang kini amat menggusarkan BN. Setelah segala usaha dan umpan dihulurkan, setakat ini arus itu nampaknya sukar diempang lagi.

Bahkan, kenyataan Ahmad sebelum ini yang 'mengugut' untuk tidak meneruskan bantuan pembangunan kepada masyarakat Cina sekiranya BN kalah Sabtu nanti turut gagal mengendurkan sokongan kaum itu kepada pembangkang. Keadaan itu memaksa menteri besar itu mengubah kepada nada memujuk pula.

"Percanggahan pendapat adalah perkara biasa untuk kepentingan bersama dalam parti, tetapi ia tidak akan berpanjangan. Ibaratkan (hubungan parti-parti komponen BN) seperti hubungan suami isteri, sedangkan lidah lagi tergigit," rayu Ahmad, dalam satu majlis pertandingan karaoke Hokkien, Sabtu lalu.

Kita harap perubahan sikap pengundi Tionghua dan kegusaran BN itu akan berterusan. Kematangan politik kaum itu juga diharap akan menjadi kenyataan dan diterjemahkan dalam bentuk undi kepada calon PAS, 17 Januari nanti.
                                                                 
(Artikel  ini disiarkan laman harakahdaily.net pada 14 Januari 2009 dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman suwaritimur.blogspot.com pada 15 Januari 2009)

Sunday, January 11, 2009

Cina Kuala Terengganu ada sebab untuk undi PAS


Oleh: Anuwa Jamalullail

TERNYATA Barisan Nasional masih tidak dapat memisahkan dirinya dengan modal pembangunan dan umpan kewangan dalam setiap kempen pilihan raya dihadapinya. Taktik tidak bermaruah itu tidak dikecualikan tatkala menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari nanti.

Sebab itu tidak menghairankan apabila satu demi satu majlis penyampaian segala macam bantuan dianjurkan BN sejak beberapa minggu lalu. Berselindung di sebalik program rasmi kerajaan, parti itu memfokuskan sebahagian besar aktiviti jabatan, agensi kerajaan negeri mahu pun kementerian di kawasan pilihan raya itu.

Di antara majlis agihan bantuan paling diperbesarkan media ialah Majlis Mesra Rakyat Bersama Menteri Besar dan Calon P.36. Majlis yang diadakan pada 26 Disember di dewan sebuah sekolah Cina di ibu negeri itu adalah khusus untuk meraikan masyarakat Cina.

Ia bagaimana pun bukan setakat majlis makan bertujuan memperkenalkan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Salleh. Majlis itu turut diisi agenda pengagihan bantuan dana khas kepada penerima dari masyarakat Tionghua seluruh Terengganu. Sebanyak RM250,000 dihabiskan BN untuk agihan tersebut.

Di majlis sama, Menteri Besar Datuk Ahmad Said turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin (SMKCHWS), RM50,000 untuk 39 persatuan agama dan tokong serta RM60,000 untuk sebuah kuil.

Barangkali kesemua bantuan itu dirasakan belum cukup besar bagi memaut sokongan masyarakat Cina kepada BN. Sebab itu Ahmad turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.1 juta khusus untuk pembangunan masyarakat Cina di bandaraya itu. Ia termasuk RM3.3 juta untuk Dewan Perhimpunan Perhubungan Cina Terengganu dan RM2.8 juta untuk dewan SMKCHWS.

Tanpa sentimen perkauman, sebarang bantuan kepada mana-mana kaum oleh kerajaan wajar dialukan. Namun, apa yang menjadi tanda tanya ialah mengapa BN tiba-tiba menunjukkan kemurahan hati membantu masyarakat Cina dengan peruntukan sebegitu besar? Tentu sukar dinafikan ia sebenarnya bermotif politik.

“Dia (BN) nak bantu, kita (PAS) tiada halangan kerana itu tanggungjawab kerajaan untuk masyarakat, tapi pilih waktu ini (menjelang pilihan raya kecil), sudah tentu ia ada tujuan politik. Kita harap masyarakat Tionghua faham bahawa bantuan itu ada motif politik”, tegas Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali.

Wan Farid dalam reaksinya cuba menafikan apa yang dilakukan BN itu sebagai usaha terdesak untuk memancing undi kaum Cina. Beliau sebaliknya mendakwa kononnya peruntukan tersebut telah lama diluluskan.

Putar belit calon BN itu bagaimana pun tidak menjadi. Alasan “loyar buruk” itu amat bercanggah dengan pengakuan Ahmad sendiri.

“Kalau masyarakat Cina sokong dan kita berjaya (menang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu) dengan cemerlang, banyak lagi kita akan berikan”, kata Ahmad, sebagaimana disiarkan akhbar harian.

Kenyataan itu mengesahkan pemberian itu memang satu usaha BN memancing undi kaum Cina. Tanggapan serupa turut disuarakan Pengerusi Penaja DAP Cawangan Kampung Cina, Kuala Terengganu, Ng Chai Hing.

“Saya harap rakyat terutama pengundi Tionghua yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu ini tidak termakan ‘umpan’ dana khas RM300 seorang itu. Duit ‘ang pau’ itu boleh diambil, sebab bukan duit peribadi pemimpin MCA-BN, tetapi itu memang duit rakyat”, katanya, mengulas agihan bantuan oleh BN kepada penduduk kaum Tionghua di bandar itu.

Chai Hing turut melahirkan keyakinan para pengundi Kuala Terengganu, terutama kaum Tionghua sudah matang berpolitik. Mereka juga dapat mengikuti arus perubahan tsunami politik yang melanda negara, Mac lalu, yang menyaksikan kaum Cina dan India sepakat menolak BN. Tidak mustahil arus sama bakal diterjemahkan pengundi Cina di Kuala Terengganu, minggu depan.

Mengulas lanjut peruntukan kewangan diberikan BN itu, Mustafa mengakui partinya tidak akan mampu menandingi BN dari aspek tersebut bagi menarik sokongan rakyat. Apa yang penting, katanya, PAS akan membuktikan khidmat yang boleh diberikan atas kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

Sebetulnya, rakyat Terengganu, terutama masyarakat Tionghua negeri itu sendiri boleh menjadi saksi atas keikhlasan PAS membantu mereka. Meski pun hanya diberi peluang kira-kira empat tahun menerajui kerajaan Barisan Alternatif (BA) dulu, PAS membuktikan komitmennya menyantuni keperluan setiap masyarakat di sebalik segala keterbatasan itu.

Memang ia tidak sempat melakukan banyak perkara, bukan sahaja terhadap masyarakat Cina mahu pun India, malah kepada masyarakat terbanyak dari bangsa Melayu sendiri. Keterbatasannya bukan sahaja tempoh pemerintahan yang singkat, tetapi juga kekangan kewangan oleh kerajaan Pusat, terutama atas isu rampasan royalti minyak yang akhirnya dipulangkan semula baru-baru ini.

Di bawah kerajaan BA, masyarakat bukan Islam bukan sahaja diberi kebebasan mengamalkan agama dan budaya mereka, malah beberapa keperluan asas mereka turut dipenuhi. Antaranya menyelesaikan masalah tanah perkuburan kaum Tionghua. Kerajaan BA mengambil inisiatif berkesan sehingga tanah seluas 8.5 ekar berjaya dimiliki Persatuan Buddha Wakaf Tapai untuk tujuan itu.

Di Dungun, hasrat masyarakat Cina di situ selama puluhan tahun untuk mendapatkan tanah tapak tadika telah ditunaikan kerajaan PAS. Rakan mereka di Kemaman pula diberikan tanah untuk tapak rumah mayat.

Saban tahun kerajaan PAS membelanjakan ratusan ribu ringgit bagi mengadakan majlis pembahagian hamper sempena sambutan Tahun Baru Cina di setiap daerah.

Sesuatu yang ada nilai sentimental terhadap masyarakat Cina turut dikembalikan. Kerajaan BN telah menukar nama Jalan Kampung Cina kepada Jalan Bandar. Demi menghormati hak dan perasaan kaum Cina, kerajaan PAS telah mengembalikan semula nama asal sebagaimana dituntut masyarakat tersebut.

PAS turut menghapuskan cukai pintu untuk Gerbang Naga di Kampung Cina. Segala pembelaan itu mungkin tidak dianggap besar oleh sesetengah pihak, namun ia adalah sesuatu yang tetap bermakna bagi masyarakat Cina Terengganu.

Paling penting, PAS tidak menunggu saat hampir dengan pilihan raya untuk menunaikan tuntutan dan keperluan mereka. Ia amat berbeza dengan anugerah diumumkan kerajaan BN dua minggu lalu yang terbukti memang bermotif politik.

Sebagaimana ditegaskan Chai Hing, pengundi Cina di Kuala Terengganu sudah matang dan mampu menyelami tsunami politik negara. Kita juga berharap mereka turut mengingati jasa-jasa yang pernah dihulurkan PAS dalam tempoh singkat menjadi kerajaan dulu. Justeru, mereka ada sebab untuk sekali lagi memberi kepercayaan kepada calon PAS pada 17 Januari nanti.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, 11 Januari 2009 dengan tajuk sama)

Wednesday, January 7, 2009

Apa dorong Azharudin tanding calon Bebas?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

PILIHAN Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu menerima kejutan kedua pada hari penamaan calonnya, 6 Januari, apabila seorang lelaki yang tidak memasuki senarai yang disebut-sebut bakal bertanding, muncul menyerahkan borang pencalonan di atas tiket Bebas.

Azharudin Mamat @ Adam disahkan layak bertanding, sekali gus menjadikan pertarungan merebut kerusi parlimen berkenaan, 17 Januari nanti, suatu pertarungan tiga penjuru.
Dua lagi calon yang turut disahkan layak bertanding ialah Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh mewakili parti Barisan Nasional dan Mohd Abdul Wahid Endut mewakili PAS.

Kejutan pertama
Pada 1 Januari lalu Mohd Abdul Wahid memberikan kejutan pertama apabila diisytiharkan sebagai calon PAS. Sebelum itu umum bagaikan sudah hampir pasti bahawa calon bakal dipilih PAS adalah daripada tiga tokoh yang disebut-sebut berada pada senarai pendek terakhir parti itu.

Tiga tokoh dimaksudkan ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Wan Abdul Mutalib Embong; dan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato' Mustafa Ali.

Pemilihan Mohd Abdul Wahid yang di luar jangkaan semua pihak memang memeranjatkan. Media cetak dan elektronik yang beria-ia membuat ramalan mengenai bakal calon dipilih PAS bagaikan terpukul apabila nujum mereka tidak menjadi.

Di pihak BN pula, pemilihan Mohd Abdul Wahid sebagai calon tidak kurang menimbulkan kekalutan. Menurut sumber tertentu yang rapat dengan jentera BN, beberapa unit khas ditubuhkan parti itu untuk meneliti rekod peribadi bakal calon PAS mengakui terpaksa menukar 'kertas kerja' ekoran keputusan mengejutkan itu.

Dikatakan BN telah siap dengan maklumat terperinci mengenai ketiga-tiga tokoh Pas yang disebut-sebut sebagai bakal calon itu. Dipercayai parti itu telah mengatur persiapan rapi 'menyerang' mereka.

Berakhirnya teka-teki
Sementara teka-teki siapa bakal calon BN tamat sebaik nama Wan Ahmad Farid diumumkan pada 20 Disember, calon-calon yang dijangka bertanding selain dari BN dan PAS terus diperkatakan. Ketika itu beberapa nama disebut-sebut bakal bertanding sebagai calon Bebas.
Seorang nenek berusia 89 tahun, Maimun Yusof, yang pernah memeranjatkan negara apabila menjadi calon tertua di Kuala Terengganu, Mac lalu, tidak menolak kemungkinan menyertai sekali lagi pilihan raya kecil ini. Beliau dilaporkan sedia menimbang berbuat demikian sekiranya ada pihak sudi membiayai penyertaannya.

Seorang peniaga dari Rantau Panjang, Isma Airfath Hassanudin, bagaimana pun menjadi orang pertama mengumumkan hasrat menyertai pertandingan kali ini. Beliau mendakwa menerima sokongan pelbagai pihak di Kuala Terengganu, terutama kenalan beliau dalam persatuan sosial dianggotainya. Bekas calon Bebas bagi kerusi Parlimen Rantau Panjang, Mac lalu itu malah sanggup mencium tangan Tok Mun sebagai tanda memohon restu untuk bertanding.

Turut menghangatkan teka-teki jumlah calon ialah parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim). Satu majlis pengumuman calonnya malah telah diadakan minggu lalu. Parti itu menamakan seorang pemimpin Akim Terengganu, Harun @ Abdul Rahman Mohamad sebagai bakal calonnya.

Tidak teruskan hasrat
Nama seorang usahawan muda berjaya dikenali sebagai 'Lan Futsal' juga pernah disebut bakal menjadi calon Bebas. Beliau bagaimana pun tidak meneruskan hasrat tersebut.

Sehingga ke malam sebelum tiba hari penamaan calon, teka-teki jumlah calon bakal bertanding masih melebihi empat orang. Apatah lagi pada malam itu media turut melaporkan bahawa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan sebanyak 11 borang pencalonan telah dibeli beberapa pihak.

Kesudahannya, selain calon dua parti utama itu, tidak ada seorang pun di kalangan nama-nama itu yang muncul. Sebaliknya, yang muncul ialah Azharudin yang tidak langsung disebut namanya sebelum ini. Berpakaian baju labuh dan seluar 'singkat' serta mengenakan kopiah, sekali pandang orang sepintas lalu akan mengaitkan beliau dengan sebuah jamaah dakwah yang masyhur di negara kita.

Menurut sumber yang mendakwa mengenali beliau, Azharudin dikatakan anak kepada seorang orang kuat Umno di Dun Ladang, Kuala Terengganu. Bapanya malah pernah dilantik menerajui sebuah unit penting dalam kerajaan Terengganu pimpinan menteri besar sebelum ini.

Tidak dapat dipastikan apakah faktor utama yang mendorong Azharudin menyertai pilihan raya ini. Namun berdasarkan maklumat kerjayanya sebagai kontraktor dan dari kalangan penyokong Umno atau pendokong BN, ada cakap-cakap yang mengaitkan kemungkinan tindakannya itu dengan perasaan tidak puas hati terhadap tindak-tanduk bekas Adun Ladang, Dato' Wan Hisham Wan Salleh.

Sekadar makluman, bekas anggota Exco negeri itu adalah abang kandung kepada calon BN, Wan Ahmad Farid.

(Artikel ini disiarkan laman Harakahdaily.net pada 7 Januari 2009 dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman kedahboleh.blogspot.com dan suwaritimur.blogspot.com/. pada hari sama)

Sunday, January 4, 2009

Azam tahun baru didik anak hayati Islam


Oleh: MOHD NASIR AWANG

TAHUN baru datang lagi. Agak bertuah kedatangannya kali ini hampir serentak antara kalendar Hijriah dan Masihiah. Kebetulan itu hanya muncul sekali dalam setiap 24 tahun.

Persamaan tarikh antara kedua-dua hitungan itu terserlah beberapa bulan lalu apabila umat Islam menyambut kedatangan 1 Ramadhan tepat pada 1 September. Kedua-dua bulan tersebut adalah bulan kesembilan dalam kalendar masing-masing.

Kedatangan tahun baru juga sinonim dengan satu lagi tradisi masyarakat, iaitu penggal baru persekolahan. Bagi pelajar yang cemerlang dalam UPSR dan PMR, ibu bapa mereka tentu berusaha sedaya mungkin menempatkan mereka ke sekolah-sekolah terpilih.

Ibu bapa mengharapkan suasana pembelajaran terbaik bagi menjamin kejayaan anak-anak. Tiada yang lebih mendamaikan ibu bapa selain melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran. Dalam dunia serba mencabar kini, kecemerlangan akademik penentu segalanya.

Orang yang berjaya dalam pelajaran, mudah mendapat tempat dalam masyarakat. Semakin tinggi pencapaian akademik seseorang, semakin membukit sanjungan diterima dan semakin mudah pula ditawarkan itu dan ini.

Itulah sisi cerah dunia pendidikan hari ini. Sisi gelapnya pula diwarnai segala macam kebobrokan. Alhamdulillah, kita memang berjaya melahirkan segala macam pakar. Kita tidak kurang doktor, peguam, arkitek, jurutera dan berbagai profesional lagi. Masalah utama ialah pencapaian akhlak dan pekerti serta penghayatan Islam anak-anak kita tidak setanding kecemerlangan akademik mereka.

Mereka cerdik dan pintar, tetapi turut pintar menipu, melawan hukum Tuhan, makan suap, tidak solat, tidak puasa dan berbagai kemungkaran lagi.

Inilah sebenarnya sisi gelap dunia pendidikan kita yang amat memalukan. Usah disebut soal ketiadaan akhlak dan pekerti anak-anak kini. Bercakap kasar dan tiada adab, tingkah laku yang langsung tidak menghormati orang tua dan berbagai lagi. Logiknya, kalau kepada Tuhan pun mereka tidak menunjukkan rasa hormat dan patuh, bagaimana diharapkan mereka hormat kepada sesama makhluk?

Acapkali kita dengar saranan pelbagai pihak bahawa penyelesaian terbaik bagi kebobrokan moral masyarakat kini ialah dengan kembali menghayati nilai-nilai akhlak dan adab diajarkan agama. Perlu diakui hasrat mendapatkannya tidak mudah. Ia bukan dapat dicapai sekadar melalui satu matapelajaran yang diajar dua atau tiga masa seminggu.

Mahu tidak mahu, anak-anak perlu didedahkan kepada lebih masa mendalami ilmu agama sebagai panduan hidup mereka. Saya pernah mencadangkan kepada rakan dan kenalan agar menjadikan sekolah-sekolah agama sebagai pilihan menghantar anak-anak menyambung pelajaran, terutama di usia mumbang mereka.

Cadangan itu dihujani berbagai alasan dan dalih. Paling lumrah mereka luahkan pesimisme tentang masa depan. Kata mereka, kerjaya menunggu lepasan pendidikan agama agak terbatas.

Selain itu, ada dua logik lagi. Pertama, tidak semestinya anak yang tidak dihantar ke sekolah agama atau mengaji agama di usia mumbangnya akan membesar sebagai manusia jahat. Kedua, tidak semestinya anak yang dihantar mengikuti pengajian agama akan besar sebagai orang baik dan berguna.

Mereka mendakwa, dan saya juga tidak menafikan, memang kedapatan anak-anak yang dihantar mengaji agama tetapi besarnya tidak menjadi ahli agama atau warga soleh dan berguna.

Begitu juga, memang ada orang yang tidak pernah memasuki sekolah agama sejak sekolah rendah hingga ke peringkat universiti, tetapi apabila dewasa mampu membaca kitab agama, mengajarkan ilmu Islam, menjadi imam bahkan menyampaikan khutbah dan ceramah agama.

Sebab itu ramai ibu bapa mengambil jalan mudah. Tidak perlu bersusah-payah memberikan didikan agama kepada anak-anak di usia muda, nanti besar pandai-pandailah mereka mencarinya sendiri.

Kita tentunya amat bertuah sekiranya anak kita berakhir sebagai insan dewasa berguna dan diredhai Allah. Bagaimana sekiranya anak yang diharap memberikan syafaat tatkala kita sudah mati bertukar menjadi beban yang menambah penyeksaan?

Kita tidak tahu bagaimana kesudahan hidup anak-anak nanti. Tambah sukar diramalkan dengan persekitaran hidup yang semakin kompleks dan caca marba dalam dekad mendatang ini. Segala kemungkinan boleh berlaku.

Kita mungkin tidak sempat hidup lama untuk melihat hasil didikan terhadap anak-anak atau untuk memperbetulkan kesilapan hidup mereka. Namun sebagai ayah dan ibu, kita tetap akan dipertanggungjawabkan atas perilaku buruk anak-anak itu. Paling tidakTuhan akan tanya kita, “apa yang kamu buat sepanjang anak-anak kamu masih di bawah jagaan kamu bagi memastikan mereka selamat di dunia dan akhirat?”

Soalan serupa itulah yang menghantui burung layang-layang dalam kisah Nabi Ibrahim as yang dibakar kaumnya. Burung kecil itu tahu kadar air yang dicurahkan dari paruhnya mustahil dapat memadamkan api begitu besar untuk menyelamatkan Nabi Allah itu. Namun dia ada hujah kepada Tuhannya sekiranya ditanya, “apa kamu buat ketika melihat Nabi Ibrahim as dibakar?”

Kita pun begitu juga. Kita tahu dalam rangka mendidik anak-anak seribu satu macam pengaruh buruk datang menggugat. Sebab itu ada ibu bapa sangat baik dan telah memberikan didikan agama sebaiknya kepada anak-anak, namun hasilnya amat menducakitakan.

Pun begitu, andaikata kita telah berusaha sebaik mungkin membekalkan mereka dengan didikan agama, ada harapan untuk kita dimaafkan Tuhan.

Justeru, sebagaimana bersungguhnya kita menempatkan anak-anak di sekolah terbaik demi menjamin kebaikan dan keselamatan hidup mereka di hari depan, wajar juga kita tanya diri kita sendiri, sesungguh itu jugakah kita mempersiapkan anak-anak kita untuk keselamatan mereka di akhirat nanti?

Apa kata kita jadikan azam sempena tahun baru ini untuk mencari jalan terbaik bagi anak-anak agar mengenali agama mereka dan menghayati cara hidup Islam sedapat mungkin di celah-celah pancaroba kehidupan ini.

(Artikel ini disiarkan akhbar mingguan Siasah, edisi 4-10 Januari 2009 mengisi kolum PERSPEKTIF menggunakan tajuk sama)