Sunday, August 24, 2008

Siswa patut teliti fakta, bukan ikut emosi


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SEDIKIT pun saya tidak berhasrat merasionalkan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim minggu lalu yang mencadangkan agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada kemasukan pelajar bukan bumiputera dan pelajar asing.

Bagi saya, sebagai pemimpin sebuah kerajaan yang baru berusia lima bulan, masih berlambak isu dan permasalahan lain yang patut diutamakan Abdul Khalid. Justeru, apa perlunya beliau mengusik sesuatu yang sensitif dan di luar bidang kuasanya itu?

Kekecewaan saya terhadap cadangan itu bagaimana pun tertimbus dengan perasaan meluat melihatkan reaksi melampau beberapa kalangan terhadapnya, terutama oleh warga universiti berkenaan sendiri.

Abdul Khalid dalam kenyataannya pada 10 Ogos lalu mencadangkan agar kuota kemasukan ke UiTM dibuka sebanyak 10 peratus kepada pelajar bukan bumiputera serta pelajar asing. Hal itu, menurutnya, akan membantu melonjakkan kualiti pendidikan menerusi persaingan sihat di kalangan pelajar universiti tersebut. Sebelum ini diketahui kemasukan ke UiTM adalah 100 peratus untuk pelajar bumiputera.

Kenyataan itu mengundang bantahan pelbagai pihak, terutama pemimpin politik, tokoh akademik, persatuan pelajar dan siswa UiTM sendiri. Ada yang menyifatkan cadangan Abdul Khalid itu tidak masuk akal dan tidak wajar diberikan pertimbangan.

Ada yang melahirkan kebimbangan sekiranya cadangan itu dilaksanakan akan memberi kesan negatif terhadap pembangunan masyarakat Melayu. Ia juga dilihat bertentangan dengan matlamat penubuhan UiTM itu sendiri yang mengutamakan kecemerlangan Melayu.

Tidak kurang juga ada yang menilainya sebagai suatu idea murahan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagi menagih sokongan bukan Melayu.

Setakat itu saya masih boleh merasionalkan bantahan-bantahan tersebut. Bagaimana pun saya, yang pada mulanya menyangka isu itu hanya memadai dengan bantahan beberapa pak menteri dan tokoh akademik itu, agak terkejut apabial ia diikuti beberapa demonstrasi.

Reaksi lebih-lebih itu dimulakan siswa UiTM di kampus Shah Alam. Mereka berarak lebih 3 km ke pejabat Abdul Khalid di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah untuk menyerahkan memo bantahan.

Akhbar bukan sahaja melaporkan lebih 5,000 yang hadir, bahkan gambar mereka turut disiarkan di muka hadapan. Demonstrasi serupa diikuti ribuan siswa UiTM beberapa kampus lain di seluruh negara.

Inilah yang saya maksudkan sebagai reaksi melampau. Apabila sudah berdekad tidak ada sebarang demonstrasi dan perarakan jalanan sebesar dan semeluas itu dianjurkan siswa, kita jadi hairan dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang mendorong mereka keluar ke jalan-jalan raya kali ini. Sensitif sangatkah mereka dengan nasib bangsa dan isu menyentuh pendidikan?

Memburukkan kecurigaan itu ialah tindakan stesen tv memberikan liputan sangat positif terhadap mereka. Siap ditemubual pula pihak-pihak terlibat menjayakan demonstrasi itu. Sedangkan selama ini media sangat pantang menyiarkan gambar orang berdemonstrasi.

Isu utama di sini ialah kononnya cadangan Abdul Khalid itu mengkhianati dan mencabuli hak dan kepentingan bangsa Melayu. Bagaimana pun saya kira ada beberapa persoalan dan fakta yang wajar diteliti semula secara rasional ekoran reaksi melampau tadi.

Pertama, sejak bila demonstrasi jalanan direstui kerajaan? Buktinya, tiada pihak dalam kerajaan mengutuk tindakan siswa UiTM yang turun ke jalan raya kali ini. Mengapa tidak dikatakan kepada mereka bahawa demonstrasi jalanan bukan penyelesaian? Sebaliknya, kaedah rundingan lebih sesuai. Bukankah itu yang sering dihamburkan para pemimpin kita tatkala rakyat berhimpun dan membantah?

Kedua, mengapa hanya dalam membantah kenyataan pemimpin pembangkang baru siswa bangkit beramai-ramai? Mengapa dalam berhadapan beberapa isu pendidikan yang mencabuli hak bangsa Melayu selama ini siswa tidak bangkit?

Apakah mereka ini sebenarnya diarah atau dikerah untuk turun ke jalan-jalan raya? Jika begitu keadaannya, apakah salah jika dikatakan dalam isu ini siswa ini telah diperalatkan pihak-pihak tertentu?

Ketiga, sebagai golongan terpelajar, siswa sepatutnya lebih mengambil kira fakta sebelum mengambil apa-apa tindakan mengikut dorongan emosi atau sentimen politik.

Fakta pertama, kenyataan Abdul Khalid hanyalah cadangan. Lagi pun, siapa Abdul Khalid dalam struktur pentadbiran UiTM? Beliau bukan pembuat dasar dan keputusan yang perlu diterimapakai institusi tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri dalam komen awalnya telah menyebut, perkara itu bukan di bawah bidang kuasa Abdul Khalid untuk buat penentuan. Jadi mengapa perlu kecoh dan beremosi sampai turun ke jalan raya? Cerdiklah sikit!

Fakta kedua, cadangan ini bukan pertama seumpamanya jika dikatakan ia mencabul hak Melayu dan mengkhianati bangsa. Kuota 10 peratus kepada pelajar bukan Melayu telah dilaksanakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebelum ini.

Begitu juga dalam kes biasiswa untuk anak-anak Melayu cemerlang. Dulu sebahagian besar mereka mendapat biasiswa, kini sangat terbatas. Bahkan sebahagian besar pembiayaan ditukar kepada pinjaman pendidikan.

Kemudian ada pula cadangan oleh pak menteri mengagihkan kuota biasiswa yang terbatas itu kepada pelajar bukan bumiputera. Jika diikutkan, itu juga suatu pencabulan terhadap hak dan keistimewaan Melayu. Mengapa siswa dan pihak-pihak pejuang Melayu tidak turun ke jalan raya atau berarak ke pejabat Kementerian Pelajaran kemukakan memo bantahan?

Ada puluhan lagi isu pencabulan keistimewaan Melayu yang berlaku di bidang pendidikan. Antaranya, penghapusan penggunaan tulisan jawi dan penukaran bahasa pengantar di universiti-universiti daripada bahasa Melayu kepada Inggeris.

Begitu juga dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris PPSMI). Mengapa siswa kita tidak membantah dalam isu-isu ini?

Sensitif dengan hak Melayu, konon... Cheh!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 24-30 Ogos 2008 di kolum ‘perspektif’ dengan tajuk sama)

Menunggu Tun Mahathir berhijrah tinggalkan Malaysia


“Cakap seorang negarawan seperti beliau tentu tidak wajar disamakan dengan ikrar orang bawahan”

Oleh: Anuwa Jamalullail

TIDAK ramai memberikan reaksi terhadap ikrar sinis bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mengenai tekadnya untuk meninggalkan negara ini sekiranya musuh peribadinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Barangkali tidak ramai juga yang ambil pusing lagi apa-apa yang diperkatakan orang tua itu. Apatah lagi kebelakangan ini banyak pandangan bekas Presiden Umno itu menjurus kepada meletakkan orang lain di pihak yang salah. Seolah-olah hanya dia di pihak yang benar, kendati pun apa dialami negara kini antaranya disebabkan dasar dan peraturan yang penah diperkenalkannya dahulu juga.

Ketika menjawab soalan daripada seorang peserta pada forum bertajuk ‘Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu’ di Kuala Terengganu, 9 Ogos lalu, Tun Mahathir berkata beliau rela berhijrah ke luar negara jika bekas timbalannya itu menjadi Perdana Menteri pada 16 September ini, sepertimana yang dilaungkan oleh Anwar.

“Jika dia (Anwar) jadi Perdana Menteri, saya nak keluar dari negara ini. Bagilah semua pada dia”, katanya sinis.

Pun begitu, Tun Mahathir yakin Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak akan berpeluang menjadi Perdana Menteri seperti yang dicita-citakannya. Beliau tidak pula memperincikan asas kepada keyakinannya itu.

Keyakinan itu dipercayai mendorong Tun Mahathir berani membuat ikrar atau janji sebesar itu. Logiknya, bukan suatu yang mudah bagi seorang negarawan sehebat beliau berhijrah meninggalkan negara yang pernah dipimpinnya semata-mata kerana meluat melihat musuhnya memimpin negara. Sebab itu ikrarnya tidak diambil serius oleh mana-mana pihak.

Atau mungkin, janji dan ikrar orang politik seumpama itu sudah tidak meninggalkan bekas dalam benak fikir rakyat. Sudah ada persepsi yang barangkali tersemat bahawa cakap-cakap besar sebegitu adalah lumrah di dunia politik. Setakat ini telah banyak terbukti ia akhirnya tidak ditepati.

Sebagai contoh, dalam kehangatan kempen pilihan raya umum lalu di Terengganu, terdapat di kalangan penyokong kuat Barisan Nasional (BN) yang menghadapi masalah dengan calon dipilih parti. Mereka lalu mengisytiharkan berpaling tadah. Mereka bukan sahaja memboikot sebarang bentuk kerja pilihan raya untuk memenangkan calon BN, bahkan berikrar tidak akan mengundi parti itu.

Kumpulan ini sanggup berhabis duit mengumpul para penyokong BN yang sealiran dengan mereka bagi membuktikan kesungguhan menentang calon yang mereka tidak sukai itu. Mereka malah membina hubungan baik dengan parti pembangkang. Setakat itu, segalanya belum ada apa-apa yang tidak kena.

Bagaimana pun, didorong rasa terlalu meluat dan benci terhadap calon dipilih BN itu, ada di antara mereka terlajak dalam katanya. Menjadi buah mulut masyarakat sekitar kawasan terbabit bahawa si anu telah berikrar sekiranya calon BN dimaksudkan menang, dia tidak akan tinggal lagi di dalam kawasan itu. Beliau bertekad untuk berhijrah ke luar, termasuk memindahkan segala perniagaan dan anggota keluarganya.

Tahu tak apa yang berlaku? Calon BN yang memang diramalkan akan kalah itu akhirnya menang dengan majoriti agak besar. Apakah hamba Allah yang beriya-iya nak angkat punggung dari kawasan itu tadi benar-benar berpindah? Setakat ini rumahnya belum nampak dikosongkan dan beliau juga masih kelihatan mundar-mandir di sekitar kawasan itu.

Ikrar serupa pernah kedengaran dalam Pilihan Raya Umum 2004 lalu, juga di Terengganu. Seorang tauke yang mempunyai pekerja agak ramai dikatakan bertekad meninggalkan segala perniagaannya sekiranya calon parti yang didokonginya kalah. Beliau seorang penyumbang yang sangat besar kepada kerja-kerja partinya.

Cakap-cakap dalam masyarakat sudah melata bahawa Haji Fulan akan menjual bot-bot lautnya dan awak-awaknya yang berjumlah puluhan orang akan kehilangan kerja. Haji Fulan bertekad akan pergi hidup di pondok dan mendalami agama sekiranya calon PAS kalah.

Astaghfirullah! Ikrar itu juga tidak menjadi kenyataan apabila calon PAS itu turut gagal mempertahankan kerusi dimenanginya pada 1999 lalu. Tidak sampai ke pengetahuan kita ada bot laut milik Tuan Haji itu yang dijualnya, walau pun sebuah.

Sejurus selepas pilihan raya lalu juga ikrar serupa kedengaran lagi. Kali ini di kalangan para pengikut setia bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh. Semasa kemelut pelantikan ketua kerajaan Terengganu memuncak Mac lalu, kalangan ini berarak dan berdemonstrasi menuntut agar Idris dilantik semula ke jawatan tersebut.

Keterlanjuran mereka tidak terhenti setakat itu. Heboh diperkatakan, terutama di pangkalan kekuatan mereka di Besut, bahawa sesiapa sahaja yang berani “merampas” kediaman rasmi menteri besar daripada Idris bererti menempah bencana. Mereka ini sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mengepung rumah mana-mana pemimpin yang disebut bakal menjadi menteri besar.

Bahkan, mereka akan mengerahkan seramai mungkin penyokong untuk berarak, meski pun hingga ke Kemaman. Ketika itu sudah ada desas-desus bahawa menteri besar sekarang, Datuk Ahmad Said akan dipilih menggantikan Idris. Akhirnya, apabila Ahmad benar-benar dilantik menggantikan Idris, berapa ramai antara mereka yang bergegas ke Kemaman untuk mengepung rumah beliau?

Ikrar dan tekad itu tidak dibuktikan. Mungkin ada yang berpandangan hal itu hanya berlaku di kalangan pengikut bawahan. Barangkali jika ikrar itu diucapkan kalangan pemimpin, kesannya tidaklah sekosong itu.

Bagaimana pun, jika diambil kira isu kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu itu, ikrar setia terhadap Idris itu bukan sekadar diucap para pengikut bawahan. Ia pada mulanya turut diperkuatkan kesemua 22 Adun BN lain (kecuali Ahmad dan Idris). Mereka berikrar menolak sesiapa sahaja selain Idris sebagai pemimpin negeri mereka.

Bahkan ada antara mereka mengatakan kesediaan meletakkan jawatan masing-masing sebagai Adun sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi. Berapa ramai antara mereka yang benar-benar meletak jawatan selepas itu?

Mengambil kira kenyataan itu barangkali menyebabkan orang sudah tidak memandang serius sesuatu ikrar dibuat orang politik. Namun, dalam kes ikrar oleh Tun Mahathir ini ada munasabahnya juga jika ia dipandang serius. Cakap seorang negarawan seperti beliau tentu tidak wajar disamakan dengan ikrar orang bawahan.

Apatah lagi bekas PM ini telah membuktikan bahawa beliau seorang yang berpegang pada kata dan janji. Beliau sanggup mengisytiharkan diri keluar Umno apabila dicabar membuktikan kesungguhannya tidak sedia bernaung di bawah penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Justeru, adalah tidak mustahil andaikata Anwar benar-benar berjaya menghuni Putrajaya pertengahan bulan depan, Tun Mahathir akan mengotakan ikrarnya itu. Tentu ramai yang tertunggu-tunggu untuk melihat beliau berangkat meninggalkan Malaysia.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 24-30 Ogos 2008 dengan tajuk sama)

Piala Monsun dan ‘sumpahan’ rakyat Terengganu


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

BAGAIKAN terkena sumpahan, projek pembangunan Pulau Duyong dan penganjuran Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun di situ tidak habis-habis dilanda kontroversi. Sejak mula pulau itu dibangunkan hingga kini, ada-ada saja isu dan pertikaian diperkatakan rakyat Terengganu bersabit perubahan yang dibawa Barisan Nasional (BN) ke atas pulau itu.

Selama ini rakyat Terengganu mengkagumi pulau di muara Sungai Terengganu itu sebagai bumi warisan ulama tersohor Terengganu, iaitu Tok Sheikh Duyong. Di situlah pernah wujud pusat pengajian Islam yang bukan sahaja terkenal di kalangan rakyat negeri itu, bahkan seluruh rantau ini.

Malangnya imej itu kini sudah ditenggelami pembangunan dan penganjuran kejohanan perahu layar bertaraf dunia. Selepas BN kembali memerintah Terengganu pada 2004, Pulau Duyong telah diberikan limpahan pembangunan.

Pemimpin BN sendiri mengakui hasrat sebenar pembangunan di situ bukan demi memenuhi keperluan warga Pulau Duyong, tetapi bagi menjayakan kejohanan Piala Monsun. Kejohanan itu dijadikan acara tahunan sejak penghujung 2005.

Akhbar pada awal 2006 melaporkan RM60 juta dibelanjakan untuk projek pembangunan prasarana di pulau itu. Maklumat lain mendakwa peruntukan sebenar pembangunan itu di tahun pertama telah melebihi RM200juta. Jumlah sebenar bagaimana pun tidak pernah diumumkan kerajaan negeri.

Sejak itu pelbagai pihak mempertikaikan kewajaran pembangunan itu. Belanja besar dihabiskan itu dilihat bukan sahaja tidak banyak mendatangkan manfaat kepada penduduk tempatan, bahkan turut menjadi pemangkin kepada kedatangan maksiat ke bumi ulama itu.

Apa yang pasti pembangunan Pulau Duyong telah memangsakan sebilangan penduduknya sendiri. Ada antara mereka yang terpaksa meninggalkan kampung halaman bagi memberi laluan kepada pembangunan itu.

Tempias pembangunan Pulau Duyong turut memberi kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi penduduk di kampung-kampung sekitarnya. Hal itu disahkan oleh dua wakil rakyat BN ketika itu. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Mohd Shapian Ali dan Adun Bukit Tunggal, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri dalam kenyataan berasingan meluahkan rasa kesal masing-masing.

Kata mereka, aktiviti pembangunan yang tidak teliti di pulau itu menyebabkan paras air sungai menjadi cetek. Hal itu menyukarkan penduduk sekitarnya yang sebahagian besar bergantung hidup kepada aktiviti sungai sebagai sumber ekonomi.

Kerajaan negeri bagaimana pun mendakwa manfaat diperolehi rakyat dan negeri Terengganu hasil pembangunan pulau itu dan penganjuran Piala Monsun jauh lebih besar berbanding kesukaran dihadapi segelintir penduduk itu.

Di luar jangkaan mana-mana pihak, dakwaan kerajaan negeri itu dipertikaikan lagi. Kali ini giliran Ahli Parlimen Gerik, Datuk Wan Hashim Wan Teh pula. Bercakap di atas sifatnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti, beliau berkata pihaknya menemui beberapa perkara yang tidak menyenangkan mengenai penganjuran kejohanan perahu layar itu.

Dua perkara utama dikemukakan jawatankuasa berkenaan. Pertama, penganjuran Piala Monsun didapati memakan belanja besar tetapi tidak banyak memberikan manfaat serta faedah kepada kerajaan dan masyarakat Terengganu.

Kedua, tempahan bilik hotel dan penginapan lain juga didapati tidak seberapa. Hakikat ini dikatakan bercanggah dengan dakwaan sesetengah pihak, terutama kerajaan negeri kononnya tahap enginapan hotel dan chalet di sekitar Kuala Terengganu adalah penuh sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Bagai diduga pendedahan itu tidak disenangi pucuk pimpinan kerajaan negeri. Datuk Wan Hisham Wan Salleh, selaku anggota Exco kerajaan negeri ketika itu sebaliknya mendakwa kesan utama yang dapat dilihat hasil kejohanan itu ialah ia dapat menghidupkan aktiviti ekonomi rakyat Terengganu.

Beliau yang juga Pengerusi T-Best Events Sdn Bhd, syarikat yang mendapat hak mutlak menganjurkan kejohanan itu, turut mengaitkan penganjuran Piala Monsun dengan peningkatan industri pembuatan bot dan kapal di negeri itu. Pendirian sama masih dipertahankannya minggu lalu apabila isu penganjuran Piala Monsun dipertikaikan kembali.

“Sekarang ramai pelancong datang, hotel penuh sejak ada Piala Monsun, perkara ini beri keuntungan kepada rakyat”, katanya sebagaimana disiarkan akhbar, Rabu (13 Ogos).

Wan Hisham bahkan seakan mengugut untuk mengalihkan kejohanan itu ke negeri lain sekiranya kerajaan Terengganu tidak mahu lagi meneruskannya.

Beliau menyatakan demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, yang membayangkan kemungkinan kejohanan perahu layar itu tidak akan diteruskan lagi tahun ini. Ahmad bersetuju bahawa penganjuran Piala Monsun tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Bahkan sebelum ini beliau turut mempertikaikan ketelusan pelaksanaan projek pembangunan Pulau Duyong dan penganjuran Piala Monsun itu. Dalam kenyataannya pada 25 Julai lalu, Ahmad secara terbuka meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat pelaksanaan projek tersebut yang dikhuatirinya ada unsur penyelewengan.

“Saya minta (BPR) jangan pilih tempat untuk siasat... pergi siasat Taman Tamadun Islam, pengurusan Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun dan juga Pulau Duyong itu sendiri. Itu sebenarnya lebih besar”, katanya.

Pendirian agak dingin Menteri Besar Terengganu itu terhadap Piala Monsun adalah karenah terbaru yang terpaksa dihadapi pihak penganjurnya. Ia mengiyakan tanggapan sebelum ini betapa kontroversi Pulau Duyong dan Piala Monsun tidak akan terhenti. Pertikaian mengenainya kini sudah menjadi liabiliti terhadap kerajaan BN Terengganu sendiri.

Barangkali memang benar ia telah terkena sumpahan!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 24-30 Ogos 2008 dengan tajuk sama)

Sunday, August 17, 2008

Kebebasan, rasional ada batasnya


Oleh: MOHD NASIR AWANG

MESKI PUN telah seminggu berlalu, forum kontroversi anjuran Majlis Peguam di ibu negara Sabtu (9 Ogos) lalu masih diperkatakan orang. Forum bertajuk “Memeluk Islam: Menjejak Semula Subashini & Shamala” itu dikatakan dirancang untuk disarati dengan perbincangan beberapa kes membabitkan masyarakat bukan Islam yang mendakwa teraniaya dan terbiar apabila pasangan mereka memeluk Islam.

Turut dijadikan fokus pertikaian ialah mengenai Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menetapkan bahawa mahkamah sivil tidak boleh membuat sebarang keputusan membabitkan kes-kes di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Di satu pihak, wujud ketegangan memuncak apabila mereka tidak dapat menemui rasional mengapa Majlis Peguam begitu berdegil meneruskan forum yang sedari awal mendapat bantahan umat Islam itu. Para menteri, pemimpin parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bersepakat menyifatkan penganjuran forum itu adalah menghina Islam, mencabar kesabaran umatnya serta mengganggu keharmonian antara kaum di negara ini.

Pihak penganjur pula bertegas bahawa forum itu dianjurkan atas niat baik memperbetulkan apa yang mereka rasa sebagai suatu penganiayaan terhadap segelintir bukan Islam. Mereka bersandarkan kepada hujah bahawa perbincangan itu secara profesional dan akademik. Malah mereka mendakwa tindakan itu menjadi hak dan kebebasan mereka yang dijamin Perlembagaan negara.

Pandangan mereka seakan disepakati beberapa pihak lain, termasuk aktivis hak asasi, penganalisis isu dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) bukan Islam. Bagi mereka ini tidak ada salahnya Majlis Peguam menganjurkan forum sedemikian, sebaliknya yang salah ialah tindakan pihak pembantah yang berdemonstrasi, membuat kecoh dan menyekat perbincangan “sihat” itu.

Suatu yang menarik perhatian saya ialah hujah mereka bagi merasionalkan penganjuran forum itu. Kata mereka, rakyat negara ini sudah matang dan bijak. Mereka tidak memerlukan orang lain membuat keputusan untuk mereka tentang mana yang mereka mahu ikut dan mana yang tidak. Justeru, tidak ada salahnya rakyat didedahkan dengan apa jua isu termasuk yang kontroversi agar mereka bebas memilih.

Saya tidak bercadang memperincikan kembali satu persatu apa yang menjadi bahan pertikaian. Cuma saya melihat bahawa suasana forum itu sudah tidak kondusif, bahkan cenderung membentuk persepsi yang destruktif terhadap Islam. Tidak ada ruang selesa bagi pihak Islam mengemukakan hujah dan pandangan balas bagi membela agama itu. Ia seakan menyediakan platform berat sebelah terhadap imej Islam, meski pun perkara itu dinafikan pihak penganjur.

Mereka berhujah atas hak dan kebebasan. Di situlah saya melihat punca keseluruhan isu ini. Bahawa sebahagian masyarakat kita gagal memahami konsep kebebasan itu sendiri. Bahawa setiap kebebasan itu ada batas dan sempadannya, lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan agama Islam.

Semua pihak boleh cuba merasionalkan apa jua yang mereka buat atau apa keputusan dan sikap yang mereka ambil. Contohnya pandangan beberapa pihak tadi yang mengatakan rakyat sudah matang dan bijak. Justeru, mereka wajar diberi kebebasan mendengar apa juga percanggahan pandangan dan dibebaskan memilih kemudiannya.

Namun perlu diingat, Islam tidak begitu. Pertama, seorang Islam mesti diberitahu mana baik dan mana buruk. Kedua, tidak semua perkara di dalam Islam dipulangkan kepada kebijaksanaan manusia merasionalkan sendiri mana yang mahu mereka ikut atau terima. Sebilangan hukum dan ketetapan Islam itu tidak dapat dirasionalkan dengan akal.

Sebab itu Islam menetapkan mana yang mesti diambil dan mana yang patut dijauhi. Bahkan kalimah Islam itu sendiri bererti penyerahan diri yang membutuhi ketaatan mutlak kepada suruhan dan larangan Allah, tanpa pertikaian.

Di sinilah saya melihat wujud percanggahan fahaman tentang konsep kebebasan dan paksaan. Di sisi Islam, ia tidak sama dengan apa yang difahami agama atau anutan lain.

Betul, orang selalu sebut, ‘tidak ada paksaan dalam beragama’. Itu adalah maksud sebuah hadis Nabi Muhammad saw yang sering dipetik, terutama oleh pejuang hak asasi dan kebebasan individu. Ada juga orang Islam yang menyalahgunakan hadis ini untuk menjustifikasi tindakan mereka tidak mengamalkan ajaran dan tuntutan agama.

Sebetulnya, hadis ini adalah bagi memilih agama. Seseorang yang tidak beragama bebas memilih mana agama dikehendakinya. Berlainan halnya apabila dia sudah menerima Islam. Beliau tidak ada kebebasan sebagaimana sebelumnya. Dalam ertikata lain, seorang Islam tidak bebas berkata, “ikut suka aku nak sembahyang atau tidak”, misalnya.

Seorang Islam tidak sebebas itu untuk memilih. Beliau mesti menyempurnakan tanggungjawabnya mengenai apa ertinya dia memeluk Islam. Dia mesti bersolat, berpuasa dan menyempurnakan tuntutan lain.

Logiknya begini. Seseorang itu ada kebebasan memilih apa jua pekerjaan. Namun dia tidak lagi bebas berpakaian menurut sesuka hatinya setelah diterima bekerja. Contohnya, seorang anggota polis tidak boleh berpakaian celoreng hijau seperti tentera darat. Seorang guru pula tidak boleh berterendak seperti nelayan apabila ke sekolah. Mudah, bukan?

Pernahkah kita dengar seorang ibu memarahi pihak sekolah yang memaksa anaknya berpakaian seragam dengan menggunakan hujah bahawa menjadi hak dan kebebasan anaknya untuk memilih apa juga pakaian disukainya?

Jadi, kalau dalam undang-undang dan peraturan buatan manusia pun kebebasan individu itu ada had dan batasannya, maka mengapa cuba dipertikaikan sesuatu yang telah ditetapkan Tuhan? Apatah lagi pertikaian itu datangnya daripada kalangan yang berlainan agama.

Teringat saya kepada satu ungkapan dalam bahasa Inggeris yang menyebut, “your freedom ends where my nose begins”. Maksudnya lebih kurang ialah meski pun setiap orang ada kebebasan, janganlah pula sampai ke dalam lubang hidung aku pun engkau nak masuk!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 17-23 Ogos 2008 di kolum ‘perspektif’ dengan tajuk sama)