Sunday, July 28, 2013

PRK Kuala Besut - Hanya 158 undi untuk RM476 juta?


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

BAGAI diduga sedari awal, Barisan Nasional (BN) telah berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, Terengganu. Dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan berkenaan yang berlangsung pada Rabu (24 Julai), calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, menewaskan calon PAS Haji Azlan @ Endut Yusof, 48, dengan majoriti 2,592 undi.

Tengku Zaihan memperolehi 8,288 undi berbanding Azlan, yang lebih popular dengan panggilan Che Long, mendapat 5,696 undi. Kedua-dua jumlah undi itu bagaimana pun menyaksikan penurunan berbanding undi diperolehi setiap parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.

Jumlah undi diraih calon BN, Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar pada Mei lalu ialah 8,809. Ia merosot 521 undi dalam PRK ini. Begitu juga di pihak PAS, mengurang sebanyak 679 undi berbanding 6,375 undi dikutip Puan Napisah Ismail dalam PRU-13 lalu.

Kemerosotan ini dipercayai ekoran peratus keluar mengundi yang lebih rendah kali ini. Dilaporkan hanya 14,108 atau 79.78 peratus daripada 17,683 pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab mereka. Ia merosot agak banyak berbanding 86.70 peratus atau 15,328 daripada 17,679 pemilih berdaftar pada PRU lebih dua bulan lalu.

Hal itu bagaikan sudah dijangka. Pelbagai pihak sebelum ini, terutamanya para pemimpin dan pendukung pembangkang, telah meluahkan rasa terkilan di atas pemilihan tarikh pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ia seakan disengajakan bagi menyulitkan pengundi, terutama yang berada di perantauan untuk pulang mengundi.

Pertama, ia terlalu hampir dengan tarikh hari raya (dua minggu). Hal ini menyebabkan pengundi yang tinggal jauh dari Kuala Besut, terutama yang kurang berkemampuan, terpaksa memilih antara pulang untuk pilihan raya atau menunggu balik untuk hari raya. Kelihatannya, mereka lebih memilih untuk pulang berhari raya sahaja.

Kedua, hari pengundian jatuh pada Rabu. Ia adalah hari bekerja, sama ada untuk penjawat awam, swasta, pekerja sendiri mahu pun yang menjadi nelayan setempat. Agak sukar bagi mereka mengambil cuti memandangkan Rabu berada di tengah-tengah minggu, bukannya di awal atau hujung minggu. Maka tidak mustahil ramai antara mereka memilih untuk meneruskan jadual kerja dan mengabaikan tanggungjawab mengundi.

Ketiga dan paling membebankan ialah apabila tarikh itu (24 haribulan) para pengundi dari kalangan penjawat awam belum mendapat gaji bulanan mereka. Jika pun ada jabatan/majikan membayar gaji pekerja pada tarikh berkenaan, bagi mereka yang berada di perantauan, perjalanan pulang sudah pun dibuat sehari sebelumnya. Maka bagi yang terpaksa menunggu kemasukan gaji bulan ini, mereka kemungkinan terpaksa melupakan saja hasrat pulang mengundi.

Selain itu, ada juga persepsi di kalangan pengundi bahawa kepulangan mereka sukar mengubah keadaan. Majoriti lebih 2,400 undi pada PRU lalu agak selesa buat BN mengekalkan kemenangan.

Persepsi ini wujud di kalangan kedua-dua pihak. Pengundi yang sayangkan BN berasa yakin dengan keadaan itu. Manakala pengundi PAS tidak meletakkan harapan tinggi parti mereka mampu mengatasi BN, lebih-lebih lagi dalam sebuah pilihan raya kecil yang sedia dimaklumi dihujani segala macam taktik dan strategi kotor pihak lawan. Lalu mereka merasakan jikalau keluar atau tidak keluar mengundi kali ini pun, tidak akan mengubah keadaan.

Kesemua pertimbangan itu dipercayai menjadi penyebab utama 1,220 pengundi memilih untuk tidak keluar mengundi dalam PRK ini.

Sepertimana lazimnya, setiap kemenangan BN akan dijadikan bukti sokongan dan keyakinan rakyat yang masih kekal kepada parti itu. Para pemimpin BN berlumba-lumba membuat kenyataan kononnya kemenangan ini bukti Umno tetap di hati penduduk Kuala Besut. Kononnya juga calon dikemukakan BN diterima baik oleh rakyat.

Malah Timbalan Perdana Menteri selaku Pengarah PRK nyata tersasul apabila mendakwa kononnya undi diperolehi calonnya kali ini meningkat berbanding PRU-13 lalu. Kenyataan itu sangat tidak cermat dan menyalahi fakta yang diperakui semua pihak.

Sepertimana disebutkan di atas, dan disahkan keputusan rasmi oleh SPR, undi dikutip kedua-dua parti menunjukkan kemerosotan. Maka, tidak sepatutnya ada pihak termasuk BN mendakwa ia telah berjaya menambah undi atau meningkatkan sokongan.

Satu-satunya perangkaan yang menampakkan peningkatan di pihak BN ialah jumlah undi majoriti. Ia meningkat sebanyak 158 undi sahaja berbanding 2,434 pada PRU lalu. Namun itu pun bukan kerana jumlah undi dipungut parti itu bertambah. Ia hanya kerana jumlah kemerosotan undi di pihak PAS lebih besar berbanding penurunan undi BN. Itu saja, dan ia bukanlah pencapaian membanggakan buat BN!

Apatah lagi agak jelas daripada hakikat itu betapa dengan segala kerahan tenaga, kewangan dan taburan segala macam janji, bantuan segera, projek segera dan sebagainya, BN hanya mampu meningkatkan majorit 158 undi. Sedangkan jumlah dicongak pada janji projek-projek bakal dilaksanakan di Kuala Besut melangkaui RM476 juta.

Ishhh... hanya 158 undi untuk RM476 juta? BN patut malu nak berbangga dengan kemenangan ini!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil. 1865, 20-23 Ramadhan 1434/29 Julai-1 Ogos 2013. Ia telah disiarkan lebih awal di laman detikdaily.net pada 27/07/13 dengan tajuk sama)

Thursday, July 18, 2013

Kempen BN di Kuala Besut di takuk lama


Oleh: MOHD NASIR AWANG

PILIHAN Raya Kecil Dun Kuala Besut, Terenganu semakin menuju kemuncak. Kedua-dua parti bertanding, Barisan Nasional (BN) dan PAS semakin merancakkan gerakerja kempen masing-masing.

Setakat ini belum ada apa-apa yang boleh disifatkan sebagai pendekatan baru dalam kempen BN. Selaku parti pemerintah yang memiliki berbagai kelebihan berbanding PAS, BN nampaknya kekal selesa memanfaatkan kaedah dan taktik lama. Kesemua taktik dan pendekatan itu berkait rapat dengan tabiatnya memanipulasi kuasa dan kewangan kerajaan untuk kepentingan politik partinya.

Pertama, BN terus memancing undi rakyat dengan menabur janji pembangunan dan pelaksanaan projek segera. Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun sebagai Timbalan Perdana Menteri merasmikan peletakan batu asas dan pecah tanah projek pembinaan 72 unit pangsapuri empat tingkat, di Kampung Lay Out Tok Saboh.

Dengan kos pembinaan RM10.35 juta, projek itu akan menjadi tempat tinggal 72 keluarga, termasuk 46 keluarga mangsa air pasang dan ombak besar di Dun berkenaan. Setiap unit bernilai RM100,000 itu akan diberikan kepada setiap keluarga secara percuma.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula meluluskan pembinaan pasar nelayan di Jeti Kuala Besut, yang sekali gus menjadi pasar pertama seumpamanya di Terengganu. Menterinya yang turun menabur janji itu mengatakan kerajaan akan membina pasar dengan kos RM200,000 itu dalam masa terdekat.

Di tengah-tengah kerancakan kempen inilah juga Menteri Pendidikan II mendapat idea memilih dua sekolah di Kuala Besut untuk program integrasi kementeriannya dengan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, yang dipanggil Brain Bee.

Secara kebetulan pula, ketiga-tiga janji besar ini berlaku di hari sama dan turut melibatkan kawasan sama di Besut. Giliran menteri-menteri lain mengumumkan projek kementerian masing-masing dijangka akan bersilih-ganti dalam tempoh kempen berbaki seminggu lagi ini.

Kedua, BN memanipulasi tahap hidup rakyat dengan umpan bantuan segera. Sepertimana lazimnya di setiap kesempatan pilihan raya kecil sebegini, BN akan memanfaatkan kuasa dan kewangan kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kepada hampir setiap sektor masyarakat.

Tidak cukup dengan beberapa skim bantuan yang telah sedia dilaksanakan seperti BR1M, TR1M, dan entah apa-apa lagi, diwujudkan pula berbagai nama bantuan mengikut jabatan atau agensi kerajaan berasingan. Kumpulan nelayan diberikan bantuan perkakasan nelayan, khalayak petani pula dengan input pertanian, begitulah juga yang lain-lainnya.

Ketiga, ada maklumat mendakwa wujud unsur ancam-ugut terhadap petugas PAS di peringkat akar umbi. Dikatakan ada unit peti undi (UPU) PAS sukar mendapat komitmen daripada petugas tempatan, sedangkan sekian lama individu-individu terbabit  adalah aktivis setempat yang membuat kerja-kerja parti secara terbuka.

Antaranya, masih ada UPU PAS yang gagal menyenaraikan petugas ‘polling and counting agent’, apabila petugas sedia ada enggan memberikan kerjasama di atas sebab-sebab yang sangat mencurigakan. Difahamkan mereka ini telah ditekan dengan ‘kata dua’ oleh pihak tertentu agar tidak melibatkan diri dengan sebarang gerakerja kempen PAS, atau bakal berdepan kesulitan di dalam pencarian rezeki mereka.

Sejauh manakah dakwaan ini benar, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Namun, logiknya juga ada. Bagi masyarakat di Dun Kuala Besut yang rata-rata hidup kais pagi, makan pagi, sebarang ancaman untuk menutup periuk nasi adalah sesuatu yang paling ngeri untuk diimpikan. Kesan daripada keadaan itu sedang dirasai PAS.

Keempat, BN masih mengamalkan taktik menyerang peribadi calon lawan. Walau pun calon BN dalam kenyataan kepada media sejurus selepas penamaan calon Jumaat lalu menyatakan akan melaksanakan kempen secara gentleman dan tidak akan menyerang peribadi calon parti lawannya, sikap dan pendirian serupa nampaknya tidak dikongsi para pendukung BN lain.

Di hari sama juga khabarnya calon PAS, Azlan @ Yusof Endut a.k.a Che Long dikutuk dan dihina. Taraf pendidikannya yang ‘hanya lulus SPM’ dijadikan bahan tutur paling laris di kalangan jentera kempen BN. Bahkan, ada di kalangan pemimpin masyarakat setempat melabelkan beliau sebagai seorang calon yang “bodoh”, “tidak pass periksa” dan tidak layak dipertemukan dengan calon BN yang berpendidikan tinggi itu.

Che Long juga disifatkan seorang bekas ahli Umno yang khianat dan mempunyai rekod disiplin yang buruk, sehingga beliau terpaksa dipecat daripada Umno. Sedangkan ‘rekod buruk’ dimaksudkan itu hadir ke Besut bersama satu fenomena penghijrahan beramai-ramai ahli Umno ke dalam PAS selepas September 1998 lalu.

Selain pemerhatian-pemerhatian di atas, pelaporan media elektronik dan cetak arus perdana yang sangat tidak telus dan berat sebelah turut menambah ketempangan dalam proses demokrasi negara ini.

Kesemua pemerhatian disebutkan itu bukanlah perkara baru. Ia hakikat yang telah sekian lama diamalkan BN pada setiap kali parti itu berdepan pilihan raya, umum atau kecil. Ertinya, biar pun zaman semakin melangkah ke depan, taktik dan strategi kempen BN tetap kekal di takuk lama.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1862, 10-12 Ramadhan 1434/19-21 Julai 2013 di ruangan F14 FOKUS PRK KUALA BESUT dengan tajuk 'Kempen BN di takuk lama')

BN bankrap isu serang peribadi calon PAS


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

ADA benarnya kata orang-orang tua kita, “anjing kalau sudah biasa makan tahi, tak makan pun diciumnya juga”. Peribahasa ini diungkap bagi menggambarkan perihal sikap atau tabiat seseorang yang gemar dan terbiasa melakukan sesuatu kerja jahat. Dia seakan ketagih melakukannya lagi dan lagi, sehinggakan biar pun sudah bertekad tidak mahu mengulangi perbuatan jahat itu, dia akan tetap “terliur’ juga melakukannya.

Maaf cakap, bukan mahu mengumpamakan Umno/BN dengan binatang yang tidak sedap disebut itu. Bukan juga mahu membandingkan perlakuan mana-mana pendukung parti itu dengan tabiat buruk haiwan yang suka menyalak itu. Kalau lah orang-orang tua kita dulu menggunakan binatang lain atau objek lain yang lebih ‘elok’ dalam peribahasa itu, sudah tentu kita pun lebih selesa menggunakan ibarat yang lebih baik.

Namun, tamsil ibarat dicipta orang-orang tua itu sebetulnya bertujuan meninggalkan pengajaran kepada generasi cucu-cicit mereka. Kebetulan pula dalam pemerhatian terhadap persekitaran hidup di zaman mereka, barangkali anjing adalah binatang paling mudah ditemui dan diperhatikan gelagatnya. Lalu mereka ciptakan peribahasa menggunakan binatang itu.

Maka dalam konteks perbincangan tulisan ini, moga apabila disebut perkataan anjing itu, anggaplah ia sekadar mengambil pengajaran daripada kata orang-orang tua itu, dan bukannya bermaksud menghina atau mempersenda mana-mana pihak yang diibaratkan itu.

Kebetulannya, perkembangan kempen di Pilihan Raya Kecil Dun Kuala Besut, Terengganu yang semakin rancak kini menzahirkan suasana yang agak menepati peribahasa disebutkan itu. Bahawa anjing yang sudah bertabiat memakan tahi, walau pun sudah tidak mahu ‘membaham’ benda alah itu, tetap juga terliurkannya. Lalu ‘mengambil bau’nya pun mahu dibuat juga.

Itulah persis apa yang dapat disimpulkan berlaku terhadap kaedah kempen oleh Barisan Nasional (BN) kini. Walau pun calon parti itu dalam kenyataan disiarkan media pada hari-hari terawal kempen menyatakan akan melaksanakan kempen secara berhemah dan tidak akan melalukan serangan peribadi terhadap calon parti lawannya, prinsip itu nampaknya gagal dipertahankan partinya. Sikap dan pendirian serupa gagal diraikan para pemimpin dan pendukung BN lain.

Calon BN sendiri barangkali boleh mendakwa dia tidak langsung menyentuh peribadi calon PAS. Memang setakat ini beliau tidak komen apa-apa yang buruk atau negatif terhadap Azlan@ Endut Yusof, tetapi apakah beliau tidak sedar ‘anak-anak buahnya’ (jentera kempen BN) sedang menyempurnakan agenda jahat itu?

BN seakan tidak mahu bertangguh menyelongkar fakta-fakta yang disifatkan kelemahan peribadi calon PAS, yang lebih dikenali sebagai Che Long itu. Sebaik sahaja selesai penamaan calon pada Jumaat lalu, satu demi satu hal-hal peribadinya cuba dijadikan isu.

Antara yang paling awal dibangkitkan ialah soal taraf pendidikan. BN merasakan suatu modal besar baginya apabila calon diketengahkannya seorang lulusan universiti dan bertaraf profesional (jurutera). Sedangkan calon PAS hanya seorang kontraktor lulusan SPM.

Bahkan, dalam menjelaskan perbandingan taraf pendidikan kedua mereka itu, para penjuak BN seakan tidak dapat mengawal keceluparan mulut mereka walau pun berada di bulan puasa. Terkeluar dari mulut mereka ungkapan-ungkapan yang tidak selayaknya berkaitan peribadi calon lawan. Che Long bukan sekadar dibuktikan hanya lulusan SPM, malah disifatkan “bodoh” dan “calon low class” (yakni sangat tidak layak diperbandingkan dengan calon BN).

Bagi kita yang berfikir secara lebih rasional, hujah ini sebetulnya tidak patut dilontarkan BN. Ia bukan sahaja menampakkan tabiat keji parti itu yang tergamak menyerang peribadi lawan, bahkan isu ini berpotensi memakan diri BN sendiri.

Pertama, sebegitu ramai calon diketengahkan BN sendiri lewat Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang baru berlalu itu dari kalangan lulusan SPM dan lebih rendah. Tidak usah pergi jauh, mereka hanya perlu melangkah ke seberang Sungai Besut itu, ke Dun sebelah. Sepatutnya sebelum diremehkan Che Long sebagai hanya lulusan SPM, para penjuak BN wajar bertanya apakah Adun BN Kota Putera itu lulusan universiti?

Bahkan, hangat diperkatakan umum di Terengganu sendiri, bagaimana salah seorang Adun yang dilantik menganggotai Exco Negeri adalah lulusan SRP (Sjili Rendah Pelajaran), yakni peperiksaan awam Tingkatan Tiga sahaja. Jika benar dakwaan ini, maka di mana rasionalnya BN perlekeh calon PAS sebagai ‘hanya lulusan SPM’?

Kedua, BN sebenarnya sukar menafikan kebolehan luar biasa calon PAS menguruskan perniagaan. Penulis melihat kejayaan Che Long muncul sebagai kontraktor berwibawa, sehingga dipercayai pihak kerajaan sendiri untuk menguruskan projek-projek besar, adalah suatu hakikat yang sangat menyakitkan hati para penjuak BN.

Mereka sebenarnya ‘mati hujah’ untuk mencari kelemahan calon PAS itu dalam melaksana dan menyempurnakan kerjanya secara cemerlang. Dari sudut kesempurnaan pelaksanaan projek yang diberikan, reputasi Che Long sangat membanggakan dan diakui semua pihak. Bak kata orang Besut, ‘tokleh nok tek’. Ertinya, tidak boleh dicari walau pun satu kelemahan atau kecacatan.

Ketiga, BN sebenarnya sangat terpukul dengan hakikat kemesraan Che Long dengan masyarakat setempat berbanding calon BN sendiri. Terbukti taraf pendidikan dan sifat kerja kedua-dua menghasilkan perbezaan sangat jauh dalam keupayaan masing-masing bergelumang dengan orang kampung.

BN kini berdepan masalah agak sukar dan masa agak suntuk untuk memperbaiki imej elitis dan kepegawaian dimiliki calonnya. Dalam konteks masyarakat Kuala Besut yang rata-rata sebagai nelayan, petani, pekebun dan buruh kasar, seorang berkeperibadian seperti calon PAS itu jauh lebih disenangi berbanding calon BN yang hidup secara eksklusif itu.

Isu Che Long bekas ahli Umno yang dipecat juga diungkitkan semula. Isu ini sebenarnya bukanlah suatu hujah yang cerdik dari pemimpin BN. Pertama, apabila kita tonjolkan seseorang yang lawan kita itu asalnya daripada kumpulan kita, bererti kita mendedahkan pekung di dada. Tentu ada sesuatu yang tidak baik di pihak kita sehinggakan orang yang elok-elok berada di bawah atap kita berhijrah ke kem lawan. Dalam ertikata lain, penghijrahan Che Long daripada Umno kepada PAS boleh ditafsirkan sebagai lari daripada kebobrokan, kepada kumpulan yang lebih baik.

Kedua, isu penghijrahan ini juga bukan lagi suatu yang asing atau luar biasa dalam politik Malaysia. Di pentas PAS sendiri buat masa ini terdapat ramai penceramah dari kalangan bekas pemimpin tertinggi Umno. Antara mereka ialah Dato’ Seri Kadir Sheikh Fadzir, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Dato’ Tamrin Ghafar, yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi siapa mereka sewaktu di dalam Umno dulu.

Justeru, lagak BN menjadikan isu-isu peribadi calon PAS itu menggambarkan betapa parti itu sebenarnya telah bankrap isu untuk berdepan sosok yang sangat mencabar keegoan parti pemerintah itu.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil:1862, 10-12 Ramadhan 1434/19-21 Julai 2013 di ruangan FOKUS PRK KUALA BESUT F15 dengan tajuk 'BN serang peribadi calon PAS')

Saturday, July 13, 2013

Kelebihan memihak calon PAS di Kuala Besut

Bukan sekadar faktor ‘anak jati’

Oleh: MOHD NASIR AWANG

Tidak ada rekod jelas berhubung keterlibatan aktif Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman di dalam politik Umno/Barisan Nasional (BN) di Besut, lebih-lebih lagi di Kuala Besut. Tidak kedengaran juga bual bicara masyarakat setempat mengenai “gelomok” nya beliau dengan orang-orang kampung, termasuk sepanjang tempoh menjawat Jurutera di Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) Daerah Besut sejak lima tahun lalu.

Satu-satunya faktor ditonjolkan BN dalam menjustifikasi pemilihan Tengku Zaihan sebagai calon terbaik parti itu berdepan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, 24 Julai nanti ialah kerana beliau anak jati Dun tersebut. Tengku Zaihan anak kelahiran Kampung Nail, kira-kira satu kilometer dari pekan Kuala Besut dan muara Sungai Besut.

PAS juga mengambil serius desakan dan pengesyoran pelbagai pihak yang cenderung mengharapkan parti itu mengemukakan seorang anak jati Kuala Besut sebagai calonnya. Maka di atas perkiraan itu PAS memilih Haji Azlan @ Endut Yusof sebagai calonnya. Ahli perniagaan dan kontraktor berusia 48 tahun itu anak kelahiran Kampung Baru, salah sebuah lokaliti di dalam Dun Kuala Besut.

Ertinya kedua-dua pihak mengemukakan calon yang menepati kriteria paling diperbahaskan umum itu. Namun ternyata faktor anak jati Kuala Besut bukan satu-satunya jaminan memberi kelebihan kepada mana-mana pihak antara kedua mereka. Penelitian terhadap beberapa aspek lain menyerlahkan betapa calon pilihan PAS, yang lebih dikenali dengan nama ‘Che Long’ setakat ini mempunyai kelebihan agak ketara berbanding calon diisytiharkan BN itu.

Pertama, apa yang lebih memihak kepada Che Long dalam perbandingan ini ialah kebersamaan beliau dengan penduduk setempat pada sebahagian besar tempoh hidupnya. Dari zaman persekolahan, zaman pekerjaannya, hingga ke zaman berpolitiknya, ketiga-tiga tempoh perkembangan hidupnya itu secara jujur dilihat menzahirkan kelebihan di pihak Che Long berbanding Tengku Zaihan.

Calon PAS itu bersekolah di Kuala Besut. Maka seramai mana kawan, guru dan kenalan diperolehinya sepanjang persekolahan itu sudah tentu ramai dari kalangan penduduk Kuala Besut. Sedangkan Tengku Zaihan menghabiskan zaman persekolahan dan pengajiannya di perantauan. Beliau bersekolah menengah di Dungun, sebelum melanjutkan pula pengajian ke peringkat universiti di Pulau Pinang. Sekerap mana pun dia pulang sebelum ini (kalau pun dia kerap pulang bercuti sepanjang tempoh pengajian itu), sudah tentu tidak sama dengan seorang lain (Che Long) yang ‘bertumah’ di kampung sepanjang masa itu.

Apabila memasuki alam pekerjaan pula, kelebihan sekali lagi memihak kepada Che Long. Nama beliau mula menjadi sebutan masyarakat sebagai peniaga stor kayu yang “mudoh bbaso, senae kkiro”. Ertinya, beliau suka mempermudahkan segala urusan jual-beli, tidak terlalu ‘pegang harga’ dan pemurah.

Sifat pekerjaannya itu juga menjadikannya berinteraksi dengan masyarakat setiap hari. Para pekerjanya adalah penduduk tempatan, pelanggan yang berurusan dengannya pula kebanyakannya dari kampung-kampung sekitar Kuala Besut juga. Cara interaksi antara mereka itu tentu sekali berbeza dengan seorang pegawai kerajaan (calon BN), yang hanya akan turun menemui masyarakat atas tugasan rasmi, di dalam menyelesaikan kes-kes tertentu sahaja.

Kedua, perbezaan amat ketara juga ialah dalam sumbangan bakti kedua-dua mereka kepada masyarakat. Sifat dermawan Che Long kepada masyarakat Besut, terutama di Kuala Besut sendiri telah diketahui umum sejak sekian lama. Kekayaan anugerah Ilahi kepadanya menerusi usaha niaganya yang berjaya ternyata tidak dihabiskannya untuk diri dan keluarganya semata-mata.

Hampir tidak ada program besar parti yang tidak menerima sumbangan bermakna daripada Che Long. Saya teringat dalam satu mesyuarat AJK PAS Kawasan Besut, ketika mana saya masih berada di dalam hierarki parti di situ, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan, Puan Napisah Ismail, membentangkan program-program yang mahu dilaksanakan sayap parti itu. Beliau lantas memohon peruntukan daripada PAS Kawasan, dan secara spesifik meminta sumbangan peribadi daripada dermawan-dermawan, terutamanya Che Long.

Hamba Allah ini yang turut berada di dalam mesyuarat tersebut selaku Bendahari PAS Kawasan Besut tanpa teragak terus bertanya, “agak-agak berapa (RM) yang Muslimat perlukan?” Saya dimaklumkan kemudiannya, jumlah disumbangkan Che Long kepada Muslimat sangat besar, sekira-kira tidak perlu Dewan itu meminta sumbangan kewangan daripada pihak lain bagi menjayakan program tersebut. Setakat saya tahu, sumbangan itu dari poket peribadi Che Long, bukan dari akaun PAS Kawasan.

Jumlah masjid dan surau/musolla yang mendapat sumbangan pembinaan daripada poket Che Long juga sangat banyak. Seorang sahabat baik saya yang juga seorang guru selaku penggerak sebuah surau di Kampung Keluang (Dun Kota Putera) pernah memberitahu saya bahawa kebuntuannya mencari sumber kewangan menyiapkan surau yang baru dibina di qaryahnya beberapa tahun lalu akhirnya terlerai selepas perbualan ringkas dengan Che Long. Hanya dengan satu panggilan telefon, dia mendapat peruntukan “perkakas atas”, yakni atap dan segala struktur kekuda yang menampungnya.

Begitu juga dengan jumlah rumah kediaman golongan tidak bernasib baik yang diberikan bantuan berbagai alatan pembinaan. Dalam setiap kejadian bencana yang menimpa masyarakat di Besut, apabila perjalanan bantuan diambil menerusi saluran parti, pasti akan ada sumbangan peribadi daripada kontraktor berjaya ini. Paling tidak pun, jika parti menjanjikan pembiayaannya, Che Long tidak teragak mendahulukan perbelanjaan peribadinya untuk penyelesaian segera permasalahan rakyat.

Pendekata, jiwa menabur bakti dan tidak “kupid” menjadikan beliau sangat sesuai dijadikan tempat mengadu hal oleh masyarakat, terutama khalayak yang tidak bernasib baik. Tidak sia-sia Alah Ta’ala berterusan menganugerahkan rezeki kepadanya. Lebih tidak sia-sia Allah mengilhamkan kepada para pemimpin PAS untuk memilih insan mulia ini sebagai sandaran menakluki hati-hati para pengundi di Dun Kuala Besut, 24 Julai nanti.

Ertinya, kelebihan di pihak Che Long bukan sekadar faktor beliau anak jati Dun Kuala Besut. Beliau anak jati yang dekat dan berdampingan dengan permasalahan masyarakat. Semoga Allah membantu perjuangan ini dengan tampilnya seorang tokoh yang benar-benar “mudoh bbaso, senae kkiro” ini!

(Artikel ini adalah versi asal (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil. 1861, 6-9 Ramadhan 1434/15-18 Julai 2013 di ruangan 'F4 FOKUS PRK KUALA BESUT' dengan tajuk 'Che Long 'mudoh bbaso, senae kkiro')