Sunday, May 25, 2008

‘Keterbukaan’ BN Sabah gusarkan Kerajaan Pusat


“Jika tiada lagi tempat dalam banglo sekarang (BN), apa salahnya mereka berpindah ke rumah teres (pembangkang). Apa guna kalau duduk di banglo tapi sesetengah orang (saja) yang menikmatinya. Kita dalam banglo pun tinggal di tepi tandas saja”

Oleh: Anuwa Jamalullail

INGAT lagi apa komen para pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap desas-desus kemungkinan wakil rakyat parti itu di Sabah dan Sarawak melompat parti? Andaian mengejutkan itu mula didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 19 Mac lalu.

Dalam kenyataannya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet barunya, Abdullah berkata beliau sedar dan mendengar mengenai perkara itu. Beliau bagaimana pun menegaskan tidak ada sebab untuk kerajaan pimpinannya ditumbangkan kerana kerajaan BN kuat dan mendapat sokongan rakyat.

Abdullah dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagaimana disiarkan laman berita internet bahawa beberapa Ahli Parlimen BN, terutama di Sabah dan Sarawak sedia menimbang kemungkinan menyertai pembangkang.

Pendedahan Anwar itu bagaimana pun dipersoalkan Setiausaha BN Sabah, Datuk Karim Bujang.

“Kenyataan Anwar ada pemimpin BN Sabah dan Sarawak berjumpa beliau mungkin tidak benar, sebaliknya dibuat untuk menaikkan semangat pembangkang”, katanya.

Menurut Karim, semua Ahli Parlimen BN di negeri itu akan tetap setia bersama kerajaan dan tidak akan mengkhianati amanah rakyat dengan melompat keluar semata-mata kerana terpengaruh dengan janji pembangkang.

Keyakinan yang cuba diperkukuhkan para pemimpin BN itu bagaimana pun tidak bertahan lama. Kebimbangan atas kemungkinan dibayangkan Anwar itu mendorong Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan agar undang-undang antilompat parti digubal. Katanya, pembentukan undnag-undang itu penting bagi mengelak seseorang wakil rakyat dengan mudah berpaling tadah selepas menang pilihan raya.

Cadangan itu bagaimana pun mendapat reaksi berbelah-bahagi, termasuk di kalangan para pemimpin BN sendiri. Antara yang menentang undnag-undang itu ialah pemimpin BN Sarawak.

“Anda tidak boleh buat perkara bertentangan dengan kemahuan manusia normal. Tidak kira berapa banyak pertikaian mengenainya (lompat parti) dan berapa banyak undang-undang (mengenainya), calon yang terpilih tidak boleh sama sekali dihalang untuk meninggalkan partinya”, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Dr James Jemut Masing.

Ternyata sikap terbuka tentang perbuatan “lompat parti” itu dikongsi lain-lain pemimpin di kedua-dua negeri Malaysia Timur itu. Penerimaan rakyat di sana terhadap perbuatan itu tidak senegatif di Semenanjung. Sebab itu dalam sejarah politik kedua-dua negeri itu, soal bertukar parti atau menubuhkan parti baru tidak dianggap suatu yang pelik.

Perhatikan saja ucapan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman di persidangan Dewan Rakyat, 7 Mei lalu, sebagai contoh. Anifah yang sebelum ini menggemparkan negara apabila menolak dilantik semula sebagai timbalan menteri Kabinet Pusat, secara terbuka mengakui kecil hati dengan kedudukan Sabah yang masih terpinggir daripada arus pembangunan negara.

Mengibaratkan BN sebagai banglo besar dan pembangkang sebagai rumah teres, beliau berkata, kalau rumah besar itu tidak memberi ruang kepada orang Sabah, tidak ada salahnya jika ada wakil rakyat dari negeri itu meninggalkan banglo tersebut dan berpindah ke rumah teres.

“Jika tiada lagi tempat dalam banglo sekarang (BN), apa salahnya mereka berpindah ke rumah teres (pembangkang). Apa guna kalau duduk di banglo tapi sesetengah orang (saja) yang menikmatinya. Kita dalam banglo pun tinggal di tepi tandas saja”, katanya.

Seperti Masing, Anifah juga tidak bersetuju dengan undang-undang antilompat parti kerana ia boleh dianggap sebagai meletakkan wakil rakyat seperti berada dalam ‘negara polis’ apabila hak mereka untuk memperjuangkan nasib rakyat disekat.

“Apalah gunanya kita terus bersama pemimpin yang sudah menyeleweng daripada matlamat asal. Adakah kita perlu akur dan pertahan serta memperjuangkan pemimpin dan parti dengan mempertaruhkan kebajikan rakyat?”, soalnya.

Belum pun sempat para pemimpin BN Pusat memberikan reaksi atau mengambil tindakan susulan terhadap luahan kekecewaan itu, kegusaran mereka digandakan dengan kenyataan serupa oleh seorang lagi wakil BN Sabah. Pada 12 Mei, juga dalam persidangan Dewan Rakyat, giliran Datuk Ghafur Salleh (BN-Kalabakan) pula melontarkan tamparan kedua.

Isu yang dibangkitkan juga sama, iaitu pembangunan. “Sudah lama kita tunggu pembangunan tetapi sampai sekarang tidak kunjung tiba. Sabah masih banyak masalah, kemudahan asasnya tidak pernah sempurna. Jika ini tidak dijaga, dalam pilihan raya umum akan datang BN akan kalah”, katanya.

Sambil menyifatkan Sabah menerima layanan yang berat sebelah daripada Kerajaan Pusat, Ghafur berkata, pada masa ini rakyat negeri itu merasakan mereka seolah dianggap seperti “rakyat kelas kedua”.

Katanya, walau pun Sabah penyumbang utama pembentukan kerajaan BN selepas pilihan raya umum lalu, namun negeri itu tidak diberikan keutamaan termasuk dalam pembentukan Kabinet Pusat.

Apa yang paling menggusarkan BN, luahan kekecewaan itu tidak terhenti sekadar desakan atau tuntutan tertentu yang minta dipenuhi. Sebaliknya kenyataan pedas itu turut disertakan bayangan kemungkinan mereka akan mengambil tindakan yang akan disesali BN.

“Kita (BN Sabah) tidak akan lompat parti, kita tidak akan masuk pembangkang, tapi kalau kita buat parti baru sendiri di Sabah, ini berkemungkinan. Kita boleh sertai sana (pembangkang), kita boleh sertai sini. Jadi anggaplah ini serius”, katanya.

Barangkali mengambil kira sikap “terbuka” para pemimpin Sabah dan Sarawak tadi mengenai “lompat parti” ini menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengubah pendiriannya mengenai desas-desus Ahli Parlimen BN di Sabah dan Sarawak akan berbuat demikian.

Dr Mahathir berkata, pada mulanya beliau mengabaikan kemungkinan tersebut tetapi setelah meneliti situasi yang ada beliau menyimpulkan keadaan sekarang amat berbahaya bagi BN. Beliau meminta BN mengambil serius kemungkinan pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan dalam masa terdekat.

Dr Mahathir percaya dorongan untuk melompat parti timbul apabila tidak wujud lagi kesetiaan kepada parti atau ekoran wujudnya sesetengah pihak yang merasakan mereka tidak mendapat apa-apa daripada BN, kini mempunyai peluang mendapat jawatan penting dalam kerajaan baru.

Andaikata perubahan itu benar-benar berlaku, bermakna keyakinan Abdullah bahawa kerajaan BN kuat dan mendapat sokongan rakyat akan hanya tinggal kenangan. Kemungkinan itulah yang sangat menggusarkan BN kini.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 25-31 Mei 2008 dengan tajuk sama)

Sunday, May 18, 2008

Episod lalu bayangi kemelut isu Karpal

Oleh: Anuwa Jamalullail

KALAU lah tidak kerana para pemimpin Umno sendiri yang membuka jalan kepada pertikaian kuasa Raja-Raja Melayu sejak lebih dua dekad lalu, besar kemungkinan episod yang dipanjangkan ekoran kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh kini tidak berlaku.

Atau, jika pun ia berlaku juga, barangkali perasaan rakyat umum tidak begitu berbelah bahagi di dalam merasionalkan episod ini. Makanya keadaan serba-salah dalam masyarakat rasanya tidak sekecamuk kini.

Sehingga rencana ini ditulis (11 Mei), sudah lebih sepuluh laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu kerana didakwa menghina Sultan dan Raja-Raja Melayu. Laporan itu termasuk yang dibuat Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan beberapa peringkat lain organisasi Umno.

Pada 7 Mei, Karpal dikatakan mempertikaikan kuasa sultan dan campur tangan istana dalam pentadbiran kerajaan negeri, terutama dalam kes pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury. Karpal mendakwa Sultan Perak tidak mempunyai hak dalam undang-undang untuk menitahkan Kerajaan Negeri Perak menarik balik arahan pertukaran Jamry sebagai Pengarah Jaip sebelum itu.

Beliau turut menerima kecaman apabila mempersoalkan titah Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika perasmian sidang Dewan Rakyat baru-baru ini. Kenyataan beliau itu segera ditafsirkan sebagai mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mencemar kemuliaan institusi istana. Pihak paling ghairah membantai pemimpin pembangkang itu ialah kalangan pemimpin Umno.

Penerimaan rakyat terhadap isu ini bagaimana pun ternyata tidak sekata. Orang-orang Melayu sendiri berbelah bahagi. Bukan kerana mereka tidak sayang atau taat kepada sultan dan raja, tetapi meragui kesahihan pertikaian dimaksudkan Karpal itu.

Kesukaran rakyat untuk menelan apa yang dipaparkan media tidak sukar difahami. Mereka cukup arif berhadapan putarbelit dan manipulasi media negara yang sentiasa berat sebelah terhadap pembangkang.

Syak wasangka untuk ikut serta bersama Umno dalam membantah “penderhakaan” Karpal itu juga ada kena-mengena dengan apa yang pernah dilakukan parti itu sendiri terhadap Raja-Raja Melayu.

Dalam hal ini, Umno jangan beranggapan rakyat Malaysia telah melupakan beberapa episod lalu, di mana para pemmpin Umno begitu biadab menjatuhkan martabat Raja-Raja Melayu secara terbuka. Antaranya ialah isu Pindaan Perlembagaan 1983 (kuasa meluluskan undang-undang), Pindaan Perlembagaan 1993 (imuniti raja-raja) dan insiden pertabalan “Sultan Baru” di Kelantan.

Dalam isu Pindaan Perlembagaan 1983, para pemimpin Umno telah melakukan beberapa tindakan di luar peruntukan Perlembagaan, sekaligus membelakangi raja-raja. Antaranya, mereka secara rahsia membawa pindaan itu ke Kabinet dan kemudiannya ke Parlimen, tanpa terlebih dahulu mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.

Sedangkan menurut Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan: “Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Pindaan Perlembagaan itu telah dibawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kemudian diluluskan pada Ogos 1983. Di antara pindaan dibuat ialah berkaitan Fasal 66 (5). Peruntukan asal berbunyi: “Rang Undang-Undang akan dikuatkuasakan apabila Yang Dipertuan Agong menandatanganinya”.

Peruntukan tersebut dipinda kepada, “Rang Undang-Undang akan dikuatkuasakan sebagai Undang-Undang apabila ditandatangani oleh Yang Dipertuan Agong. Jika di atas apa-apa sebab Rang Undang-Undang itu tidak ditandatangani di dalam tempoh 15 hari selepas Rang Undang-Undang itu disembahkan kepada Yang Dipertuan Agong, Baginda dianggap telah menandatangani Rang Undang-Udang tersebut dan Rang Undang-Undang itu berkuatkuasa sebagai Undang-undang”.

Turut dipinda ialah peruntukan pada Fasal 150 (1), di mana kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana juga dalam negara ini, maka Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang Dipertuan Agong dan Yang Dipertuan Agong mesti menerima nasihat tersebut.

Kedua-dua pindaan itu jelas menghakis kuasa Yang Dipertuan Agong, sekaligus menjadikan Perdana Menteri orang paling berkuasa.

Cerita pindaan itu merebak menjadi krisis Perlembagaan apabila Raja-Raja Melayu membantah dan tidak bersedia menandatanganinya.

Pada 1993, Umno sekali lagi mengusik institusi Raja-Raja Melayu apabila mencadangkan pindaan Fasal 38 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal kekebalan atau imuniti raja-raja. Dalam usaha mencapai hasrat pindaan itu, Umno telah bertindak terlalu biadab dalam mengaibkan Raja-Raja Melayu.

Media milik kerajaan dimanipulasi secukupnya bagi meruntuhkan wibawa Raja-Raja Melayu secara terbuka. Rakyat diapi-apikan sentimen dan emosi bencikan raja dengan pembongkaran kehidupan istana yang mewah dan membazir.

Beberapa menteri kabinet mendedahkan tentang pemilikan harta oleh raja-raja. Antaranya membabitkan pemberian konsesi balak ribuan hektar kepada raja tertentu. Didedahkan juga bahawa tiap-tiap sultan ditawarkan 100,000 unit saham Telekom dan berbagai lagi. Filem-filem Melayu lama yang mengisahkan tentang kezaliman dan kebodohan Raja-Raja Melayu diulang tayang di kaca tv.

Tidak cukup dengan itu, ada pemimpin Umno yang terlalu dirasuk perasaan bencikan raja sampaikan tergamak mengadakan majlis pertabalan “Sultan Baru” di negerinya. Kejadian itu berlaku di Kelantan, apabila Datuk Seri Annuar Musa “menabalkan” Tengku Ibrahim Petra sebagai “Sultan Kelantan”.

Ketiga-tiga episod melibatkan penghinaan terhadap martabat Raja-Raja Melayu itu dicetuskan para pemimpin Umno sendiri. Dalam ketiga-tiga episod itu, pihak pembangkang memainkan peranan sangat bermakna dalam mempertahankan kemuliaan institusi raja. Rakyat negara ini tidak akan lupa dengan episod-episod itu.

Kini, Umno cuba tampil ke tengah masyarakat sebagai pihak yang kononnya menjaga kedaulatan dan kemuliaan Raja-Raja. Pendirian itu tambah mengelirukan rakyat negara ini. Mereka malah persoalkan, apalah sangat seriusnya kenyataan Karpal itu jika dibandingkan penghinaan pernah dibuat Umno sendiri terhadap Sultan dan Raja-Raja Melayu dulu?

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 18 Mei 2008 dengan tajuk sama)