Friday, June 1, 2012

Zina pembunuh perasaan malu

Oleh: Mohd Nasir Awang


Baru-baru ini tersebar berita yang, bagi kita, agak menggemparkan. Ia berkenaan seorang artis wanita di Barat. Empat lelaki tampil mendakwa masing-masing sebagai bapa kepada seorang anak kecil yang ada bersama artis tersebut. Sedangkan sebelum itu umum menyangka anak itu adalah hasil perkongsian hidup beliau dengan suaminya.

Hakikat itu bermakna ada lima lelaki, termasuk suaminya, yang berkemungkinan menjadi bapa biologi atau bapa sebenar kepada anak itu. Keadaan itu juga bererti kesemua lelaki itu pernah menjalin hubungan seks dengan artis tersebut, tanpa mengira kekerapan hubungan antara mereka. Begitulah mengikut pendedahan kesemua lelaki tersebut, sebagai menguatkan dakwaan masing-masing terhadap nasab keturunan si anak itu.

Di negara Barat, amalan zina atau seks bebas adalah perkara biasa dan bukan suatu yang dianggap jijik. Jauh sekali untuk diharapkan mereka mengaitkan perbuatan sedemikian dengan perhitungan dosa atau pahala.

Justeru, walau pun kegemparan kes tersebut bagi kita di sebelah sini khususnya masyarakat beragama Islam, adalah suatu isu moral yang sangat meruntuhkan dan berkait rapat dengan tatasusila sosial, ia sebaliknya bukan suatu yang memalukan bagi mereka di sana. Ia dianggap perkara biasa yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

“Sebenarnya apa yang berlaku itu mengiyakan apa yang dikatakan para ulama Islam selama ini, bahawa di antara kesan atau musibah perbuatan zina ialah membunuh perasaan malu. Malu di sisi Islam satu hal yang amat diambil berat. Di sisi agama kita, ia dianggap perhiasan sangat indah, khasnya bagi wanita. Tapi bagi seorang penzina ni, malu dah tak ada. Dia boleh “buka” segala-gala,” demikian komen Dr Abdullah Mohamad, membuka bual bicara kami mengenai topik “apabila zina lebih mudah dari kahwin”.

Menurutnya, dalam kes itu, bukan sahaja artis wanita itu tidak malu mengakui pernah ditiduri lima lelaki (atau jumlah sebenar mungkin bukan sekadar lima itu sahaja?), bahkan suaminya juga tidak malu diketahui orang memiliki seorang isteri yang pernah menjadi bahan “pakaian” lelaki-lelaki lain.

Beliau yang merupakan pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu, selanjutnya menghuraikan selain hilang perasaan malu, perbuatan zina yang berleluasa juga menghilangkan rasa cemburu, terutama di kalangan pasangan suami-isteri. Sekali lagi beliau merujuk kepada kes tadi.

“Sebab itu kita lihat di negara-negara Barat, dia boleh bertukar pasangan, sebabnya masing-masing serupa perangai. Baik yang lelaki, sama ada yang bergelar teman lelaki atau suami, begitu juga perempuan, sebagai teman wanita atau isteri. Jadi apabila serupa (perangai lelaki dan perempuan) tu, hilang perasaan cemburu,” ulasnya.

Tambahnya lagi, kes artis tadi juga menjadi bukti benarnya kebimbangan Islam tentang kecelaruan nasab keturunan seseorang akibat perbuatan zina. Apakah lagi yang dapat disimpulkan apabila ada lima orang lelaki berebut mengaku bapa kepada seorang anak, walau pun artis itu sudah bersuami?

“Dari perspektif kekeluargaan, apabila zina berleluasa, yang paling besar sekali akan berlaku ialah hilangnya nasab keturunan. Sebab itu kita tengok bagaimana di negara-negara Barat hari ini, kita baca dalam media, berlaku kes bagaimana nak mengesan anak mereka, cara terbaik ialah melalui ujian DNA. Sebab banyak kes berlaku, tak tahu siapa bapa sebenar. Bapa kepala botak, tiba-tiba anak comel (contohnya). Jadi masing-masing mengaku, dia ni mengaku anak dia, dia tu mengaku anak dia. Jadi salah satu cara penentuan (ialah) buat ujian DNA,” komennya, seraya turut mengaitkannya dengan kes disebutkan di atas.

Baginya, kes tersebut, walau pun berlaku ke atas sekumpulan individu bukan Islam, ia sewajarnya dijadikan bahan renungan dan peringatan kepada kita umat Islam. Apatah lagi gejala merosakkan itu sudah menampakkan tanda-tanda semakin menjadi amalan di kalangan masyarakat Islam, termasuk di negara kita sendiri.

Perangkaan dan kenyataan yang pernah dikeluarkan pelbagai pihak berkaitan pendaftaran anak luar nikah adalah satu petunjuk yang tidak wajar dipandang remeh. Jumlah kelahiran anak yang diistilahkan sebagai ‘tak sah taraf’ dikatakan semakin meningkat tahun ke tahun.

Dr Abdullah lantas memetik perangkaan yang pernah disiarkan media, bahawa untuk tahun 2008 sahaja, seramai lebih 28,000 anak luar nikah didaftarkan di negara ini. Perangkaan untuk tahun sama juga mencatatkan sejumlah 250,000 sijil kelahiran anak tanpa nama bapa di negara kita.

“Statistik pernah dikeluarkan sebuah stesen TV sebelum ini, dalam setiap satu jam, enam orang anak luar nikah dilahirkan, di negara kita. Setiap satu jam, bermakna setiap 10 minit seorang,” terjahnya dalam nada serius.

Perkembangan itu, katanya, sudah cukup untuk kita memandang serius kecenderungan seks bebas, terutama di kalangan remaja negara ini. Lebih-lebih lagi sebahagian besar mereka yang terbabit dengan kelahiran anak luar nikah itu adalah dari bangsa Melayu beragama Islam sendiri.

Akibat seks bebas atau zina jugalah, katanya, mendorong kepada perleluasaan kes-kes buang bayi. Secara logiknya, pasangan yang sah nikah sudah tentu tidak akan mengambil tindakan tersebut. Ertinya, kesemua kes buang bayi itu dapat disimpulkan adalah hasil hubungan terlarang atau zina.

Lebih membimbangkan, katanya, ialah apabila kecenderungan di kalangan remaja yang menjadikan budaya seks bebas sebagai jalan hidup semakin menular kepada kanak-kanak di usia awal belasan tahun.

Beliau menarik perhatian kepada kes yang dilaporkan media baru-baru ini, di mana wujudnya istilah baru dinamakan “chikaro”, menggantikan bohsia. Dikatakan kanak-kanak perempuan bawah umur dijadikan sebagai pertaruhan kepada mat-mat rempit.

“Sekarang ni kita tengok dalam berita baru-baru ini “chikaro” yang berumur serendah 11 tahun, menjadi rebutan mat-mat rempit yang menang dalam perlumbaan. Sekiranya memang lumba motor, dia dapat “chikaro”. Umurnya baru 11 tahun, Darjah Lima, ini keluar dalam berita suratkhabar baru-baru ini. Kenapa sampai jadi macam tu?”, terjahnya lagi.

Apabila diselidiki, didapati antara puncanya ialah keluarga yang bermasalah. Keluarga kanak-kanak itu didapati tidak menjadikan agama sebagai asas dalam kehidupan mereka, menyebabkan anak hidup terbiar. Lalu anak tadi memilih cara hidup bohsia atau “chikaro” sebagai jalan hidupnya.

“Antara punca berlaku itu dan ini ialah apabila agama diabaikan. Apabila agama ditinggalkan, maka berlakulah kefasadan, kerosakan, kerana mereka telah mengabaikan amanah, tanggungjawab. Bapa tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa, ibu abaikan tanggungjawab sebagai ibu.”

“Sebab itulah saya selalu kata: Kalau kambing tak balik petang, ayah pergi cari sampai malam. Tapi kalau anak dara tak balik sampai pukul 11 malam, ayah bersusah pergi cari. Apa ayah kata? Nanti balik la tu, sampai masa dia balik lah!,” ujarnya sinis.

Baginya, inilah bukti betapa ada ibubapa sekarang yang lebih sayangkan hartanya (ternakan) berbanding anak-anak. Sedangkan, sepatutnya di situlah tanggungjawab terbesar ibubapa. Di mana, kalau ibubapa betul-betul memantau pergerakan dan perbuatan anak-anak, nescaya tidak akan ada anak perempuan yang membonceng motor lelaki selewat pukul 11 atau 12 malam.

Justeru, katanya, dalam keadaan “zina lebih mudah dari kahwin” seakan-akan sudah menjadi kenyataan, umat Islam mestilah kembali kepada ajaran agama dan mengambilnya sebagai teras hidup.

“Islam sebenarnya mempunyai pendekatan tersendiri menangani permasalahan ini (zina). Antaranya apa yang disarankan Nabi saw: “Wahai Pemuda-Pemuda! Sekiranya kamu mampu untuk berkahwin, kamu kena kahwin!” Itu dalam konteks Islam. Jadi kahwinlah,” gesa dr Abdullah lagi.

Beliau seterusnya memetik sebuah kisah yang berlaku di zaman Rasulullah saw. Apabila mendengar Rasulullah menyuruh pemuda berkahwin, datang seorang pemuda kepadanya seraya berkata: “Ya Rasulullah, aku tak mampu nak kahwin”. Rasulullah bertanya: Kenapa kamu tak mampu?” Pemuda itu menjawab: “Aku tidak ada harta.”

“Lalu Rasulullah saw berkata: An-Nisa’ ya’ti bil-maal. Perempuan (isteri) akan bawa harta kepada kamu. Jadi lelaki tadi termenung, macamana perempuan bawa harta? Rasulullah saw lantas menerangkan, kalau kamu tidak kahwin, kamu tidak akan ada rasa tanggungjawab. Tak ada rasa nak buat apa, nak kerja rajin-rajin, tak perlu. Boleh RM3 sehari pun rasa dah cukup. Tapi bila kamu kahwin, mari rasa tanggungjawab, mula-mula tanggungjawab nak bela isteri, lepas tu tanggungjawab nak bela anak, nak besarkan keluarga dan sebagainya.”

“Sebab itu Rasulullah kata: Perempuan akan bawa harta kepada kamu. Perempuan itu tidak bekerja (untuk kamu), tetapi dia akan bahawa harta, (dalam) maknanya suami itu akan rajin (mencari harta),” ulasnya.

Malangnya, galakan Rasulullah saw kepada remaja-remaja supaya kahwin di usia muda ini bukan sahaja tidak dipandang berat oleh umat Islam mutakhir ini, malah dianggap suatu perkara yang tidak tepat. Sehinggakan dalam amsyarakat kita sekarang ini kalau berlaku perkahwinan di usia 16 tahun dikira kahwin bawah umur.  Sedangkan itulah usia yang disebut Rasulullah paling sesuai bagi perempuan melangsungkan perkahwinan.

Beliau turut meluahkan rasa kurang senang dengan kecenderungan masyarakat kita menyukarkan proses perkahwinan. Antaranya dengan mengenakan maskahwin atau mahar yang tinggi. Masing-masing seakan berlumba-lumba menaikkan mahar. Sehinggakan jika seorang lelaki memiliki kurang daripada RM10 ribu, dia tidak akan berani masuk meminang anak orang.

“Kedua, berlakunya perbezaan status antara lelaki dan perempuan. Hari ini kalau kita tengok dalam masyarakat kita, golongan perempuan mendominasi kerjaya yang agak tinggi, sedangkan kaum lelaki bekerja biasa. Sebab itu kita tengok bagaimana berlakunya andartu, yang agak dah berleluasa. Antara puncanya, mereka ini nak cari orang yang sama level dengan mereka. Dalam masa sama, level yang sama dengan mereka itu dah lama kahwin. Jadi umur mereka semakin lanjut, semakin tua,” katanya.

Manakala faktor ketiga, menurutnya, ialah kerjaya. Hari ini ramai yang mengejar kerjaya, baik lelaki mahu pun perempuan. Akibat terlalu asyik dengan kerja, sebilangan mereka lupa untuk kahwin, atau hilang keinginan dan keghairahan untuk berumahtangga, lupa kepada hidup berkeluarga. Gejala ini juga bukan suatu yang baik di sisi agama.

Kesemua itu tidak patut berlaku, terutama apabila kehidupan kita kembali kepada Islam. Agama kita menggalakkan perkahwinan, terutama dalam usia yang muda. Bahkan, Nabi saw ada berkata, “kahwinlah kamu, aku sangat suka umat aku ramai di akhirat nanti”.

“Di ketika lain, Nabi saw bersabda: “Nikah itu sunnah aku. Siapa-siapa yang meninggalkan sunnah aku dia bukan dari golongan aku.” Sebab itu kena nikah, antaranya untuk sambung zuriat keturunan,” sambung Dr Abdullah lagi.

Tambahan pula, di masa sama Baginda saw turut mengingatkan tentang keburukan zina. Sabdanya: “Umatku akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luasnya anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir saja Allah Azza wa Jalla akan menurunkan azab seksa kepada mereka seluruhnya.” (HR Imam Ahmad)

Ya, dengan itu dapat disimpulkan bahawa apabila zina lebih mudah dari kahwin, bererti amalan kehidupan kita sudah tunggang-terbalik. Keadaan itu sama sekali berlawanan dengan apa yang disuruh dan digalakkan agama. Yang sepatutnya dipermudahkan ialah kahwin. Yang sepatutnya dihalang dan dibasmikan ialah zina.

Jika benar zina sudah menjadi lebih mudah dari kahwin, bermakna kita sudah tidak lagi meletakkan ajaran agama sebagai penentu jalan hidup!

(Artikel ini disiarkan majalah Era Muslimah, Edisi Jun 2012 di ruangan TOPIK dengan tajuk sama)

Mengusik kebiasaan bukan tugas mudah


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah Subhanahu wa Taala yang hanya dengan kudrat dan iradatNya jua dapat kami menyambung usaha menghidangkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Setelah memasuki Edisi 6 ini, kami alhamdulillah dapat melangkah lebih gagah ke tengah khalayak pembaca.

Berdasarkan reaksi dan maklumbalas pelbagai pihak, dapat kami rumuskan bahawa majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah ini sudah menerjah pasaran di seluruh negara. Jumlah pembaca yang melanggan terus dengan kami juga semakin bertambah bulan ke bulan. Manakala komitmen tinggi para kolumnis beserta sumbangan hasil tulisan daripada pembaca juga amat membanggakan.

Kami akui, hakikat itu banyak membantu memudahkan kami menyambung usaha menyebarluas ilmu ke tengah masyarakat. Sememangnya usaha menarik minat, apatah lagi mendidik dan mengubah masyarakat, bukanlah suatu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan sesuatu kebiasaan yang sudah menjadi tabiat.

Dalam hal ini, hakikat jiwa manusia yang selalunya lebih serasi dengan sesuatu yang telah biasa ditemui atau dilihat menjadi cabaran amat besar buat kami. Sebagai satu bahan yang secara relatifnya baru dalam pasaran, kami terpaksa bersaing dengan sebilangan majalah sealiran yang sudah lebih awal menjadi kebiasaan para pembaca.

Apatah lagi uslub atau gaya persembahan yang kami pilih ini agak berlainan dengan apa yang biasa terdapat pada bahan-bahan bacaan lain. Kami maklumi betapa masyarakat pembaca kini diulit dengan gaya pembacaan santai, ringkas dan ringan.  Sedangkan apa yang kami sajikan adalah sebaliknya.

Masyarakat telah dididik sejak sekian lama untuk selesa dengan bahan-bahan berunsur motivasi diri atau pembicaraan isu-isu semasa. Bahkan, ada yang terbuai dengan cerita-cerita rekaan serta nas-nas bersandarkan sumber tidak jelas, walau pun pada membicarakan hal-hal berkaitan agama. Justeru, ramai yang mengharapkan majalah Dian juga tampil mengikut trend popular tersebut.

Soalnya, sampi bila kita mahu membiarkan masyarakat kekal terbiasa dengan bahan ringan, ringkas, santai dan tidak serius, semata-mata kerana mahu meraikan pendekatan populis? Apakah ilmu Islam perlu mengikut kehendak zaman atau zaman itu sebenarnya yang wajar dicorakkan mengikut kehendak ilmu Islam?

Itulah (kalau hendak dikatakan) dilema yang menjadi cabaran buat kami. Apa pun kami komited mengubah persepsi serong terhadap keseriusan ilmu Islam ini. Namun, sekali lagi kami terpaksa akui, usaha mengusik kebiasaan dalam masyarakat bukanlah suatu tugas yang mudah!

Doakanlah kekuatan dan kejayaan buat kami.

Al-Faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini disiarkan majalah DIAN, Edisi 6 (Jun 2012) di ruangan EDITORIAL dengan tajuk sama)

Dugaan bertimpa bagai ‘isyarat’ buat kami – Dayangku Intan

Oleh: Mohd Nasir Awang

DAYANGKU Intan bukanlah nama asing, terutama buat para penggiat atau peminat dunia seni suara tanahair. Nama itu sering menghiasi media, terutama di era 80-an dan 90-an dulu.

Ketika itu, suaranya yang lemak mendayu sering berkumandang lewat media elektronik. Lagu-lagunya bukan setakat diulangputar untuk hiburan, tetapi turut menduduki carta lagu-lagu pujaan mingguan. Kemerduan lagunya turut menjadi siulan jutaan peminat. Pendekata, namanya senantiasa menjadi sebutan ramai.

Namun, tidak seramai itu yang tahu jalan berliku penuh pancaroba dalam hidup insan seni ini. Di sebalik senyumnya yang sentiasa manis di depan khalayak dan alunan suaranya yang mendayu kala menghiburkan masyarakat, wujud siri dugaan amat perit yang hanya diketahui mereka sekeluarga.

“Memang orang tak tahu, orang tengok zahirnya kami senang, gembira dan hidup mewah. Kita pun tak cerita kat orang (pelbagai dugaan hidup),” akui Dayangku Intan, dalam sessi temubual eksklusif dengan majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah baru-baru ini.

Beliau mengakui beberapa dugaan besar yang datang silih-berganti amat menekan kehidupannya. Namun, di sebalik segala pengalaman pahit itu rupa-rupanya tersirat hikmah tersendiri yang akhirnya membuahkan kebaikan dalam hidupnya.

Kesemua ujian itu membuatkannya berfikir, seolah-olah Allah Ta’ala menghantar isyarat kepadanya untuk berubah dalam hidup. Berfikir mengenainya membawa Dayangku Intan menginsafi kekurangan diri, termasuk kelemahan iman, seterusnya mendorongnya lebih mendekatkan diri kepada Tuhan dan ajaran-ajaran agama.

Usia awal
Wanita berjiwa kental ini dilahirkan pada 29 April 1966 sebagai Dayangku Intan bte Tengku Abdul Hamid. Berbeza dengan tanggapan awal sebilangan orang yang menyangka beliau berasal dari Sarawak atau Brunei (berdasarkan namanya), Dayangku Intan adalah anak jati Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Beliau merupakan anak ketiga daripada empat beradik, kesemuanya perempuan, seibu-sebapa. Ada pun adik-beradiknya yang berlainan ibu agak ramai, memandangkan bapanya mempunyai ‘empayar’ keluarga yang agak luas. Malah, dia mengakui ada antara adik-beradiknya yang hingga kini belum sempat dikenalinya.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sun Jin, di Kuala Lumpur, sebelum menyambungnya di Sekolah Menengah Confucian, Pudu.

Minat menyanyi
Minatnya dalam bidang seni suara juga sememangnya berputik sejak kecil. Menurutnya, beliau telah mula menyanyi seawal usia lapan tahun. Beliau bersama kakaknya kerap diundang membuat persembahan di majlis kenduri kahwin di rumah jiran-jiran.

“Masa tu (usia) lapan tahun, program Jamal Kerdil (Allahyarham Pakcik Jamal) masih ada di RTM. Saya pergi tu.. program tu. Lagu kegemaran ku (liriknya)... “rasa cinta pasti ada...”, “duhai kanda rayuan hati...”. Lagu tu pun saya suka nyanyi, siap dengan pakaian. Saya tak boleh tengok plug tu, terus rasa nak pegang mikrofon,” ulas Kak Intan, separuh ketawa.

Bermula dari situ, dia mula mendapat banyak jemputan. Sesiapa yang pernah dengar dia menyanyi di kenduri kahwin, akan menjemputnya menyanyi di kenduri mereka pula. Daripada hanya sekitar Kampung Pandan, beliau dijemput sampai ke Kedah.

“Waktu tu satu persembahan saya dibayar RM2.00. Kugiran bersama kakak saya, mengiringi saya menyanyi. Bila pergi outstation ke Jitra, Kedah, dapatlah RM20. Tu kira dahsyat la tu, kira macam kita pergi England la sekarang ni... overseas,” sambung Kak Intan lagi.

Baginya, keghairahan menyanyi itulah juga menyebabkan beliau tidak minat menyambung pelajaran ke peringkat tinggi. Beliau menghabiskan pelajaran hanya di peringkat persijilan di Kolej Damansara Utama, dalam jurusan Undang-Undang Perniagaan.

Didorong minat itu juga, seawal usia 14 tahun, Kak Intan sudah bergelar penyanyi kelab malam. Bayaran diterimanya juga agak lumayan. Namun, lebih besar lagi ialah apabila pendedahan di situ membawanya ke pentas lebih bermakna buat kerjayanya selepas itu.

Semakin popular
“Jadi itulah.... sampai saya menjadi popular, saya dipanggil pulak bekerja dengan Hotel Merlin. Dipanggil sain kontrak dengan Merlin (secara berkumpulan). Masa tu saya dah berumur 16 atau15 tahun..”, katanya.

Kak Intan kerap keluar, terutama ke Johor Bahru dan Pahang. Bagi mengelakkan kejadian buruk kerana selalu pergi oustation, beliau dikahwinkan dengan seorang pemuzik dalam kumpulannya. Perkahwinan itu bagaimana pun sempat bertahan hanya dua tahun. Hasil perkahwinan itu Kak Intan mendapat anak sulungnya, Wanku Mohd Syaifuldean.

Beliau kemudiannya “dipinang” oleh syarikat rakaman. Komposer S. Atan dengan Omar Taib mempelawanya menjadi penyanyi solo. Kak Intan bagaimana pun memilih untuk kekal dengan kumpulannya, The Sweet Honesty.

Start buat album, selepas balik dari Johor. S. Atan dan Omar Taib panggil saya, masa tu tengah mengandung anak yang sulung. Panggil audition. Lepas pantang terus buat album pertama “Secebis Kenangan” bersama OMRI Records. Saya artis wanita pertama,” ceritanya.

Kemudian, menyusul pula album keduanya berjudul “Semakin Rindu Semakin Sayang”. Tidak lama selepas itulah beliau berkahwin kali kedua dengan Encik Rosman Yahil, seorang deejay. Mereka kemudiannya dikurniakan tiga cahayamata, iaitu Wanku Mohd Rusydean, Wanku Intan Syarafana dan Wanku Ruknudean.

Dari situ juga kerjayanya sebagai penyanyi terus mendaki populariti. Kak Intan dikatakan sempat menghasilkan 14 album dengan yang terakhir bersama syarikat rakaman Polygram pada 1995. Ia diikuti beberapa album kompilasi kemudiannya. Namun, di sebalik segala kejayaan itu tersirat suatu kekosongan pada jiwanya.

Tak kenal Tuhan
“Apa yang saya lalui daripada kecil, susah, senang, kahwin, masa tu dari segi agama saya kosong. Saya memang tak tahu al-Quran, hadith, tidak dibesarkan begitu. Tapi cuma mak saya kata, “jangan buat orang macam tu, berdosa”, “jangan macam tu, Tuhan marah”. Itu je yang tahu. Tapi Tuhan tu (sekadar) Tuhan lah, tak tahu lah Tuhan tu yang jadikan kita, cuma Tuhan. Tuhan marah, (tergambar) macam cikgu (marah). (Pemahaman sebegitu) sampai saya berumur belasan tahun,” Kak Intan berterus-terang mengakui kelemahan dirinya dulu.

Sehinggalah ditakdirkan Allah Ta’ala berlaku beberapa dugaan besar dalam hidupnya, yang disifatkannya sebagai titik-titik penting merubah halatuju, seterusnya mendorong dia dan keluar “berhijrah” dari kehidupan lalu.

Dugaan bermula
“Saya rasa Allah pilih, bila saya dah kena macam-macam dugaan (bermula dengan) saya hilang adik saya. Dia meninggal umur 29 tahun, masa tu waktu saya tengah senang. Adik saya sakit di (Hospital) Tawakal. Masa tu duit tak ada masalah, (saya) artis tengah popular. Sekali Tuhan duga, kalau susah lain tu boleh cari duit. Sakit ni, tak boleh. Nyawa ni Tuhan kata, “itu hak Aku”. Bila terkena tu, saya kata, “Ya Allah, adik, saya sayang so much, suami dia sayang, Dia nak ambil (nyawanya), Dia ambil jugak,” ujar Kak Intan, dalam nada sebak.

Terbukti dari tuturkatanya, Kak Intan memang amat menyayangi Allahyarham. Kehilangan adiknya itu amat mengesankan. Malah, dari situ beliau mula melihat kebesaran dan kekuasaan Allah. Cuma, ia belum cukup kuat untuk merubah kehidupannya.

Kemudian datang pula dugaan kedua. Anak perempuannya (anak ketiga) lahir tanpa hempedu. Maka daripada kecil sampai sekarang terpaksa berulang alik ke hospital. Di sebalik kepayahan yang amat mencabar itu juga rupa-rupanya tersimpan mesej amat bermakna dari Allah SWT buat Kak Intan.

“Apabila anak saya keluar-masuk hospital, sehingga dia pernah few seconds tak ada nyawa, seorang (satu-satunya anak) perempuan ni, satu family semua sayang lah, “semangga-mangganya”, kata orang. Saya menyembah, ketika dia orang bawa dia ke emergency room, masa tu saya menyembah kat lantai. Saya kata, “Ya Allah, kalau nak duga saya pun, dugalah saya saja, jangan lah ambik anak saya tu”. Saya cakap, “saya mengaku saya memang berdosa, saya tak mengenali Allah”.

“Saya menyembah, saya minta. Masa tu juga dia (anak) keluar suara, menangis,“Huaaa!!!...” Yang lain berlari-lari, “Syara dah sedar!” Saya masih juga kat situ (lantai). Masa tu hati saya memang, tak tahu nak cakap macamana, satu sentapan!”, cerita Kak Intan mengenai detik-detik hatinya “terketuk” oleh kebesaran Allah.

Namun, sekali lagi dugaan besar itu juga tidak cukup kuat untuk betul-betul memalingkannya dari gaya hidup dilaluinya ketika itu. Ibarat katanya sendiri, “situ lah sikit demi sikit (ingatkan Allah), tapi macam chipsmore, kejap ingat, kejap tak ingat. Kejap insaf, kejap tidak”, akuinya.

“Anak sakit, business jatuh, konsert tak dibayar, macam-macam dalam kehidupan. Dari tahun ke tahun begitu. Allah memang mengajar betul-betul, yang saya rasa nikmatnya, yang sekarang baru saya betul-betul faham. Hutang tak (boleh) bayar, company kena tutup daripada kita membiakkan lagi hutang...,” sambungnya lagi.

“Bersambung-sambung.. lepas anak saya dah jadi elok, tentang business apa semua, jadi dalam perjalanan dekatkan diri kepada Allah tu, saya sakit. Mak saya sakit dulu. Bila anak saya dah sihat, sambung mak saya. Saya pulak lepas tu sakit, sampaikan joint saya bengkak, jantung bengkak, saya dimasukkan ke hospital. Dia orang (doktor) suspek masa tu saya mungkin menghidapi barah,” Kak Intan memperincikan ujian hidupnya.

Bertamu ke Rumah Allah
Kebetulan sejurus sebelum menerima dugaan itu, beliau telah menyatakan hasrat bertamu ke Rumah Allah. Dorongan utama ialah untuk memanjatkan kesyukuran kerana Dia menyelamatkan anaknya dari tahap kritikal. Namun, apabila berdepan kemungkinan mendapat kanser, doktor menasihatkannya supaya menangguhkan pemergian ke Tanah Suci.

Beliau kemudiannya pergi mendapatkan rawatan di Australia. Dia dikenalpasti menghidap rheumatoid arthritis. Tapi waktu itu beliau sudah nekad, walau pun terpaksa berkerusi roda, dia tetap akan pergi mengerjakan umrah.

Alhamdulillah, sesampai di Tanah Suci, tanpa disedari beliau boleh berjalan seperti biasa dan tidak perlu berkerusi roda lagi. Seterusnya boleh menyempurnakan ibadah umrah tanpa masalah. Malah, di situ juga beliau ditakdirkan Allah bertemu seseorang yang akhirnya melorongkan jalan kepadanya mendalami ilmu agama secara lebih serius.

“Carilah Ustaz Abdullah Yasin”
“Sihat, seronok. Rasanya banyak-banyak tempat holiday, that’s (Mekah) the best place for holiday. Sampai sana kenal pulak Kak Liza (Norliza, kakitangan syarikat umrah), sayang sangat saya kat dia. Dialah yang bawa (tunjuk jalan) saya jumpa Ustaz Abdullah Yasin,” Kak Intan meneruskan ceritanya.

Ustaz Abdullah Yasin adalah seorang sarjana Islam yang giat menaburkan ilmunya, terutama di Lembah Kelang. Beliau juga pengelola kolum ‘Bimbingan Solat’ dalam majalah Dian.

Menurutnya, yang masih ingat kata-kata Kak Liza, pesanan kakak itu agar dia berhati-hati dengan agama amat memberi kesan kepada hatinya. Daripada situ beliau belajar sedikit demi sedikit. Paling dipegangnya ialah suatu kesedaran baru bahawa perkara yang tidak boleh dibuat rupa-rupanya lebih banyak daripada yang boleh di buat.

“Dia (Kak Liza) pesan, carilah buku hadith Muslim, Bukhari, ikut hadith yang sahih. Dia pun bekalkan beberapa buku. Dia pesan lagi, balik (ke Malaysia) cari Kak Nun. Dia kata Kak Nun akan bawa jumpa satu ustaz, dia kata, Ustaz Abdullah Yasin. Jadi bila balik, dalam keadaan kebesaran Allah (sudah masuk ke dalam hati), bila melangkah balik ke rumah, jumpa suami, tak sabar dah (untuk memulakan perubahan hidup).”

“(Kemudian) jumpa Kak Nun dan Kak Nah, pergi rumah Kak Nah, ada kuliah pasal hadith dan al-Quran tafsir. Dari situlah saya ikut Ustaz Abdullah Yasin, dan saya sukalah Abdullah Yasin, satu ustaz yang lembut, pandai mengambil hati muslimah, ibu-ibu. Dia lemah-lembut, memang memberi (banyak) pengajaran, (terutama) mengenai solat yang betul,” ujarnya lagi.

Dari situlah, katanya, beliau belajar al-Quran dan hadith secara serius, selain turut mengikuti kelas pengajian agama dengan Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin secara tetap.

(Artikel ini disiarkan majalah DIAN, Edisi 6 (Jun 2012) di ruangan KEMBARA IMAN dengan tajuk sama)

Pertaruh amal kebajikan pohon rahmat Allah


Oleh: Mohd Nasir Awang
 
Tersebut kisah di suatu zaman sebelum kelahiran Nabi Muhammad saw, berlaku satu kejadian yang sekaligus membuktikan kaitan rapat antara amal kebajikan dilakukan seseorang dengan curahan rahmat dari Allah SWT. Amal yang dilakukan secara ikhlas semata-mata kerana Allah akhirnya menjadi sandaran atau pertaruhan amat bermakna, terutama di saat seseorang amat memerlukan pertolonganNya.

Diriwayatkan pada suatu hari tiga orang sahabat telah menempuh perjalanan agak jauh. Dalam keadaan keletihan itu mereka terlihat sebuah bukit, lalu menuju ke sana dengan tujuan mencari tempat berehat. Di situ mereka menemui sebuah gua yang amat sesuai untuk mereka berteduh dari panas terik mentari atau sebarang kemungkinan tiupan angin kencang. Lantas mereka memasukinya seraya merebahkan diri dan beristiherat.

Belum pun begitu lama mereka berada di dalam gua itu, tiba-tiba mereka dikejutkan oleh bunyi gegaran agak kuat dari luar. Dengan tidak semena-mena sebongkah batu besar bergolekan dari atas bukit, lalu jatuh betul-betul menutupi pintu gua tersebut. Suasana di dalam gua yang ketika itu agak terang tiba-tiba bertukar gelap gelita, tanpa sekelumit cahaya.

Ketiga-tiga mereka menerpa ke arah pintu gua itu. Masing-masing cuba menolak batu tersebut, kalau-kalau ia dapat dialihkan dari pintu itu. Setelah berusaha keras dengan berbagai daya dan ikhtiar, bongkah batu itu tidak juga dapat digerakkan walau pun sedikit.

Mereka akhirnya terduduk keletihan, seraya bertukar pendapat mengenai apa yang boleh mereka lakukan untuk mencari jalan keluar. Berbagai cadangan dilontarkan, sehinggalah akhirnya berkata salah seorang di antara mereka: “Sesungguhnya tidak ada yang dapat menyelamatkan kita semua dari bencana ini kecuali Allah SWT. Maka apa kata jika kita semua berdoa kepada Allah Ta’ala dengan menyebutkan amal-amal soleh yang pernah kita lakukan.”

Pendapat itu dipersetujui oleh yang lain. Lalu lelaki yang pertama pun berdoa: “Ya Allah, saya mempunyai ayah dan ibu yang sudah tua. Menjadi kebiasaan saya saban hari mendahulukan memberi minuman susu kepada keduanya sebelum saya memberikan minuman itu kepada keluarga dan hamba saya.”

“Pada suatu hari saya terlambat pulang dari mencari kayu di hutan. Setiba di rumah saya dapati ayah dan ibu sudah tidur. Bagaimana pun, saya tetap memerah susu sebagai persediaan minum keduanya, kalau-kalau mereka terjaga. Namun, setelah selesai memerah susu, mereka tetap juga terlena. Maka saya tidak sampai hati mengejutkan mereka, lalu membiarkan mereka terus tidur.’

“Disebabkan hal itu juga saya mengambil keputusan untuk tidak memberi minum susu itu, sama ada kepada anak-anak isteri mahu pun hamba sebelum saya memberi minum kepada ayah dan ibu terlebih dahulu. Maka saya terpaksa menunggu hingga terbit fajar, barulah ayah dan ibu bangun dari tidur mereka. Lalu saya berikan minuman susu kepada keduanya.”

“Padahal semalaman itu anak-anak saya menangis meminta susu, sehingga mereka teresak-esak sambil mengelilingi kaki saya. Saya tetap tidak memberikan mereka susu, kerana mahu mendahulukan ayah dan ibu.”

“Ya Allah, jika saya berbuat seperti itu kerana mengharapkan redhaMu, maka geserkanlah batu yang menutupi gua ini.”

Dengan kudrat dan iradat Allah, maka batu itu bergeser sedikit. Ketiga-tiga lelaki tadi bersorak keriangan dan mengucapkan tahniah kepada lelaki yang berdoa itu kerana doanya diperkenankan Allah. Mereka lantas mendapatkan batu tersebut dan cuba untuk memboloskan diri. Malangnya, geseran tadi belum cukup luas untuk membolehkan mereka keluar dari gua itu.

Maka berdoa pula lelai kedua, dengan katanya: “Ya Allah, sesungguhnya saya mempunyai saudara sepupu perempuan yang saya sangat cintai, sebagaimana lazimnya orang lelaki mencintai orang perempuan. Disebabkan dorongan keinginan itu tersangat kuat, saya sering mengajaknya melakukan zina, tetapi dia selalu menolaknya.”

“Selang beberapa tahun kemudian, dia ditimpa kesulitan hidup. Lalu dia datang mengadu hal kepada saya dan saya berikan kepadanya seratus dua puluh dinar. Sebagai membalas kebaikan saya itu, dia sanggup menyerahkan dirinya untuk diperlakukan apa saja oleh saya bila-bila masa saja yang saya inginkan.”

“Saya faham apa dimaksudkannya, iaitu mengabilkira ajakan demi ajakan saya sebelum itu untuk melakukan zina. Lalu saya hampir saja menyempurnakan hasrat yang sekian lama bersarang di benak itu, sehinggalah ketika saya berada di antara kedua kakinya, dia berkata: “Takutlah kamu kepada Allah dan janganlah kau sobekkan selaput daraku kecuali dengan jalan yang benar.”

“Demi Allah, kata-kata itu amat menyedarkan saya, sehinggakan saya terus membatalkan hasrat melakukan perbuatanterkutuk itu. Saya terus meninggalkannya, padahal dia adalah seseorang yang sangat saya cintai. Saya juga menghalalkan pemberian dinar kepadanya itu.”

“Ya Allah, sekiranya ketegasan saya meninggalkan perbuatan yang sangat hampir menjadi kenyataan itu semata-mata kerana mengharapkan redhaMu, maka geserkanlah batu yang menutupi gua ini.”

Dengan rahmat Allah Ta’ala, batu itu sekali lagi bergeserlah. Ketiga-tiga mereka pun tersenyum kegembiraan dan mengucapkan tahniah kepada lelaki kedua itu. Malanag lagi, apabila mereka cuba memboloskan diri di celah batu tersebut, ruang yang terbuka itu masih juga belum cukup untuk mereka keluar dari gua itu.

Bagaimana pun mereka bertambah yakin dengan sifat Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Mereka amat berharap dengan doa lelaki ketiga antara mereka, jalan keluar akan terbuka untuk mereka.

Lalu lelaki ketiga pun berdoa: “Ya Allah, saya sebelum ini pernah menggaji beberapa pekerja dan semuanya saya gaji dengan sempurna. Tiba-tiba ada seorang pekerja saya yang meninggalkan saya tanpa sempat mengambil gajinya lebih dulu. Saya asingkan gajinya itu. Pada mulanya saya hanya menyimpannya, kemudian terfikir oleh saya untuk kembangkannya, yakni melaburkannya dalam usaha ternakan.”

“Selang beberapa lama, pelaburan gajinya itu berkembang menjadi banyak. Kemudian datang bekas pekerja saya itu dan menuntut gajinya yang dia belum ambil itu.”

“Saya lantas berkata kepadanya: “Semua yang kamu lihat itu, sama ada unta, lembu, kambing, mahu pun budak pengembala itu, kesemua adalah gajimu.” Dia amat terkejut dan menyangka saya mempermain-mainkannya. Lalu dia mengulangi permintaannya tadi.”

“Saya menjawab: “Saya tidak mempermainkan kamu.” Kemudian saya menjelaskan kepadanya satu persatu, sehinggalah dia memahami bahawa wang gaji ditinggalkannya telah saya kembangkan ke dalam bentuk usaha ternak yang ada di hadapannya itu. Dia pun mengambil semuanya itu dan tidak meninggalkannya sedikit pun.”

“Ya Allah, jika saya berbuat seperti itu kerana mengharapkan redhaMu, maka geserkanlah batu yang menutupi pintu gua  ini.”

Doa lelaki ketiga itu turut diperkenankan Allah Ta’ala. Maka bergeser lagi batu itu. Kali ini ruangnya cukup luas untuk mereka memboloskan diri. Sekali lagi ketiga-tiga sahabat itu saling bersalaman dan berpelukan tanda saling mengucapkan tahniah serta mengangkat tangan menadah syukur ke hadrat Allah.  - Editor

(Dipadankan daripada kisah di dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Abu Abdurrahman Abdullah bin Umar bin Khattab ra)

(Artikel ini disiarkan majalah DIAN, Edisi 6 (Jun 2012) di ruangan SECEBIS KISAH dengan tajuk sama)

Saidina Abu Bakar ra - Ucapan sulung gariskan dasar pemerintahan

Oleh: MOHD NASIR AWANG

SIFAT tawadhu’ Saidina Abu Bakar as-Siddiq ra amat terserlah di sepanjang kehidupannya. Dalam keluaran lepas penulis telah menyinggung sebahagian sifat itu. Antaranya, sepertimana dipamerkan Abu Bakar tatkala diminta mengimami solat oleh Baginda saw yang sedang gering.

Dalam dua kejadian dipetik itu, Abu Bakar yang hampir memulakan solat segera menarik diri dari posisi imam tatkala melihat kelibat Baginda saw yang seakan mahu menyertai kaum muslimin bersolat jamaah.

Sifat rendah diri Abu Bakar sekali lagi terpamer di saat genting mencari pengganti Baginda saw. Walau pun menyedari isyarat jelas dari Nabi saw tentang keutamaan dirinya mengatasi para sahabat lain dalam kepimpinan, Abu Bakar sendiri bertindak sebaliknya. Beliau mendahului para sahabat yang lain mencadangkan Umar atau Abu Ubaidah sebagai khalifah menggantikan Baginda saw.

Abdurrahman Asy-Syarqawi (2011) lewat Abu Bakar Al-Siddiq - The Successor mencoretkan, “Dia (Abu Bakar) sudah berusaha agar kepimpinan tidak jatuh ke tangannya dan memilih Umar al-Faruq atau Abu Ubaidah. Namun, orang ramai malah bersepakat untuk membaiatnya. Dia lantas menerima baiat tersebut.”

Bagaimana pun, jawatan dan amanah kepimpinan itu diterimanya dengan penuh perasaan rendah diri. Sebab itu di antara kalimah terawal yang terpacul dari mulutnya tatkala dibaiat oleh kaum muslimin ialah, “atas dasar apa kamu membaiatku? Aku bukan orang terkuat dan paling bertaqwa antara kamu”. (Asy-Syarqawi: 2011)

Demi Allah, ungkapan itu tidak lain daripada bukti sifat tawadhu’ Abu Bakar. Dia tidak pernah meletakkan dirinya lebih baik atau lebih mulia berbanding para sahabat lain. Keperibadian luhur itu menjadi prinsip diri dipegangnya sepanjang menjalankan amanah kepimpinan kaum muslimin. Menghayati bait-bait ucapan sulungnya selaku khalifah akan menemukan kita dengan sifat-sifat terpuji itu.

Anas bin Malik ra meriwayatkan, “keesokan harinya setelah Abu Bakar dibaiat di Saqifah, Abu Bakar berdiri di atas mimbar. Namun, Umar turut berdiri dan memintas bicara sebelum sempat Abu Bakar berucap. Umar memuji Allah dan menyanjungNya dengan apa yang patut bagiNya, kemudian berkata, “Wahai manusia! Semalam aku telah mengucapkan kata-kata kepada kamu. Aku tidak menemukannya tercantum di dalam kitab Allah, bukan pula merupakan wasiat dari Rasulullah saw kepadaku. Akan tetapi aku hanya mengira bahawa Rasulullah saw akan mengatur urusan kita (sampai akhir zaman). Namun ternyata Rasulullah telah wafat.”

“Sesungguhnya Allah telah meninggalkan kitabNya pada kamu, dengannya Allah memberi hidayah kepada RasulNya. Jika kamu berpegang kepadanya, nescaya Allah akan memberi hidayah kepada kamu sebagaimana Dia telah memberi hidayah kepada RasulNya. Sesungguhnya Allah telah menyatukan urusan kamu di tangan orang yang terbaik daripada kamu. Dia ialah sahabat Rasulullah saw, orang kedua dari dua orang ketika keduanya berada di dalam gua (yakni ketika bersembunyi dari buruan kaum Quraisy di Gua Thur sewaktu hijrah). Dialah orang yang paling layak menjadi pemimpin kaum muslimin. Maka bangkitlah dan baiatlah dia!”

Diriwayatkan, Umar terus memanggil Abu Bakar tampil ke hadapan. Abu Bakar berdiri agak perlahan. Namun, orang ramai dan Umar segera membantunya. Mereka membawa Abu Bakar sampai ke mimbar, seraya semuanya berdiri dan membaiatnya.

Sepintas lalu mungkin kita menganggap kata-kata aluan berunsur pujian oleh Saidina Umar itu sesuatu yang biasa. Apatah lagi dalam majlis “rasmi” seumpama itu, yang merupakan majlis membaiat seorang khalifah kepada kaum muslimin, ucapan menyanjung kelebihan dan kemuliaan peribadi yang dilantik adalah lumrah.

Namun, hal itu tidak semestinya disenangi Abu Bakar. Biar pun tidak mempertikaikan keikhlasan Umar dalam menuturkan pujian dan sanjungan itu, Abu Bakar mungkin tidak selesa menerima penghargaan yang terlalu tinggi itu. Perasaan itu tidak sukar diselami, terutama jika diteliti bait-bait ucapannya yang menyusul sejurus selepas itu.

 Setelah memuji Allah dan menyanjungNya dengan apa yang patut bagiNya, Abu Bakar berkata, “amma ba’du. Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dipilih sebagai pemimpin kamu, padahal aku bukanlah orang terbaik di antara kamu.”

Nah! Bukankah itu suatu “jawaban” terhadap segala pujian dan sanjungan dituturkan sahabat terbaiknya sejurus sebelum itu? Umar menyifatkannya sebagai “orang paling layak”, Abu Bakar sebaliknya menganggap dirinya “bukanlah orang terbaik”.

Penafian Abu Bakar itu bagaimana pun bukanlah sehingga beliau menolak tanggungjawab diamanahkan kepadanya. Beliau melanjutkan ucapannya, “jika aku berbuat baik maka dukunglah aku. Jika aku salah, maka luruskanlah aku. Benar adalah amanat dan bohong adalah khianat.”

“Orang lemah di antara kamu adalah orang kuat di sisiku, sehingga aku mengembalikan haknya kepadanya, insya Allah. Orang kuat di antara kamu adalah orang lemah di sisiku, sehingga aku mengambil hak untuk yang lemah darinya, insya Allah.”

“Tidaklah suatu kaum meninggalkan jihad di jalan Allah kecuali Allah menimpakan kehinaan atas mereka. Tidaklah perbuatan keji yang tersebar pada suatu kaum, kecuali Allah akan menebarkan bala ke atas mereka.”

“Taatilah aku selama aku mentaati Allah dan RasulNya. Jika aku mendurhakai Allah dan RasulNya, maka tidak ada ketaatan untukku atas kamu.”

Ucapan ini dipetik kebanyakan penulisan yang dirujuk, dengan versi yang sedikit berbeza antara mereka (lihat Al-Mishri: 2010; Awang: 2010 dan Asy-Syarqawi: 2011). Abdul Hadi Awang (2010), lewat Taktik dan Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin malah menyifatkan khutbah sulung tersebut sebagai ucapan dasar kepada kerajaan Abu Bakar. Ia bukan sahaja menunjukkan ketokohan dan kematangan beliau, malah isi kandungannya melontarkan dasar dan konsep penting kepada Negara Islam dipimpinnya, terutama yang menyentuh keperibadian yang mesti dimiliki oleh seorang pemimpin ummah.

Ayuh kita perincikan maksud lebih mendalam daripada bait-bait ucapan yang sangat masyhur dan penting itu.

Pertama, “aku telah dipilih sebagai pemimpin, padahal aku bukanlah orang terbaik di antara kamu”. Tidak syak lagi, kata-kata ini sebagai penekanan terhadap sifat tawadhu’ Abu Bakar, sepertimana yang telah diperkatakan sebelum ini. Bahawa segala sanjungan dan pujian, terutama pelantikan sebagai orang nombor satu di kalangan kaum muslimin, tidak pernah dianggapnya sebagai bukti beliau orang terbaik di kalangan mereka.

Sifat ini semestinya wujud pada setiap pemimpin. Barulah mudah baginya menginsafi kekurangan dan kelemahan diri, sekaligus mudah juga bagi para pengikutnya berkongsi pendapat dan tindakan.

Kedua, “jika aku berbuat baik maka dukunglah aku”. Semestinya seorang pemimpin ummah menjadi penegak kebaikan, lebih-lebih lagi yang bertepatan dengan hukum dan ajaran Islam. Manakala tanggungjawab kaum muslimin ialah memberikan sepenuh bantuan dan sokongan terhadap pemimpin yang menepati peranan sedemikian. Ertinya, sama ada pemimpin atau pengikut, kedua-duanya mesti mendukung kebaikan. Perlu wujud baiah dan taat.

Ketiga, “jika aku salah, maka luruskanlah aku”. Sekali lagi Abu Bakar mengandaikan kemungkinan akan melakukan kesalahan dalam urustadbir pemerintahannya. Penegasan ini sebenarnya tidak boleh dianggap sebagai mengakui kelemahan diri. Sebaliknya ia melanjutkan lagi pameran sifat tawadhu’ beliau, sekaligus melambangkan keterbukaannya menerima teguran dan pembetulan daripada kaum muslimin.

Ini satu lagi sifat terpuji yang sepatutnya dimiliki setiap pemimpin ummah. Bahawa kesediaan untuk diperbetulkan orang bawah merupakan lambang jiwa besar dimiliki pemimpin terbabit. Ia juga memberi ruang lebih selesa kepada pengikut untuk sama-sama mengambil bahagian di dalam memastikan urustadbir pemerintahan berjalan sepertimana dikehendaki agama.

Keterbukaaan inilah yang menjadi prinsip asas hisbah (ombudsment), di mana rakyat menjadi pemantau kepada perjalanan pemerintahan.

Keempat, “benar adalah amanat dan bohong adalah khianat”. Dua sifat berlawanan ini adalah penentu baik atau buruknya perjalanan hidup seseorang, terutama khalayak yang memegang kuasa. Pemimpin mestilah dari kalangan orang berkata benar tidak berbohong atau menipu rakyat. Justeru, mereka perlu membebaskan diri daripada perbuatan berbohong dna mengkhianati amanah kepimpinan yang mereka pikul.

Kelima, “orang lemah di antara kamu adalah orang kuat di sisiku, sehingga aku mengembalikan haknya kepadanya, insya Allah”. Inilah adalah prinsip keadilan yang menjadi pegangan pemimpin. Bahawa mereka ibarat “hamba” kepada rakyat yang lemah. Pemimpin adalah pembela mereka, sehinggalah hak golongan lemah dikembalikan.

Keenam, “orang kuat di antara kamu adalah orang lemah di sisiku, sehingga aku mengambil hak untuk yang lemah darinya, insya Allah”. Ini juga sebahagian prinsip keadilan yang mesti ditegakkan pemerintahan Islam. Bahawa orang kuat akan hanya dianggap benar-benar kuat setelah dia memberikan hak untuk yang lemah. Dan tugas memastikan hal itu berlaku ialah salah satu tanggungjawab pemimpin juga.

Gabungan dua penegasan ini membentuk prinsip keadilan yang merupakan antara teras utama pemerintahan Islam. Hak dan keadilan adalah milik semua warga, tanpa mengira lapisan masyarakat atau batasan keturunan.

Ketujuh, “tidaklah suatu kaum meninggalkan jihad di jalan Allah kecuali Allah menimpakan kehinaan atas mereka”. Tidak syak lagi jihad adalah teras kejayaan umat Islam. Meninggalkan jihad bererti mendedahkan ummah kepada fitnah dan kehinaan oleh kaum bukan Islam.

Kelapan, “tidaklah perbuatan keji yang tersebar pada suatu kaum, kecuali Allah akan menebarkan bala ke atas mereka”. Justeru, antara tugas pemerintah ialah memastikan masyarakat berada dalam keadaan terbaik, aman dan bebas daripada sebarang kemurkaan Allah. Antaranya dengan memastikan tidak merebaknya perbuatan keji, sama ada dinamakan maksiat, kemungkaran mahu pun kejahatan. Tugas penting pemerintah ialah membanteras kejahatan dalam apa jua bentuk dan aspek kehidupan.

Kesembilan, “taatilah aku selama aku mentaati Allah dan RasulNya. Jika aku mendurhakai Allah dan RasulNya, maka tidak ada ketaatan untukku atas kamu”. Ertinya ketaatan kepada mana-mana pemimpin adalah bersyarat, iaitu selagimana pemimpin berkenaan mentaati Allah dna RasulNya.

Teras utama pemerintahan Islam ialah ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Sebarang perkara dilaksanakan pemerintah yang tidak menepati apa yang disuruh atau dilarang Allah dan RasulNya adalah dikira maksiat dan mungkar. Dalam keadaan itu, rakyat tidak lagi perlu mentaati pemerintah.

Penegasan ini dilihat sealiran, bahkan semaksud dengan peringatan Baginda saw yang mengingatkan umat Islam bahawa tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat terhadap al-Khaliq.

Hal ini wajar difahami dengan baik, terutama dalam konteks sebuah negara dipimpin orang Islam, tetapi gagal mendaulatkan hukum dan peraturan sepertimana dikehendaki Allah Taala. Biar pun ada khalayak berpendapat wajib mentaati pemimpin sedemikian, penegasan Abu Bakar ini sebenarnya menjelaskan kedudukan sebenar, bahawa tiada ketaatan kepada makhluk dalam hal yang tidak menepati ruang lingkup mentaati Allah dan RasulNya.

Demikianlah pembutiran dasar-dasar penting dilontarkan Saidina Abu Bakar di dalam ucapan sulung beliau. Mengambilkira ruangan terbatas ini, penulis hanya menyebutnya secara sepintas lalu dalam huraian paling ringkas. Sudah tentu munaqasyah ucapan dasar tersebut boleh diperpanjang dan diperincikan. Perbincangan mengenainya memungkinkan terhasil sebuah buku khusus mengenai ucapan amat penting dan masyhur itu. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-          Syaikh Mahmud al-Mishri, 2010. Sahabat-Sahabat Rasulullah saw. Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta.
-          Abdul Hadi Awang, 2010. Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa ar-Rasyidin. PTS Islamika Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Abdurrahman Asy-Syarqawi, 2011. Abu Bakar Al-Siddiq The Successor, Yamani Angle Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Dr. Khalid Muhammad Khalid, 2006. Sejarah 133 Wira Terbilang di Zaman Rasulullah saw. Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.
      
      (Artikel ini disiarkan majalah DIAN, Edisi 6 (Jun 2012) di ruangan KENALI SAHABAT RASULULLAH dengan tajuk sama)

DIAN yang tak kunjung padam

Oleh: Mohd Nasir Awang

Dato’ Yusoff  Zaky Yacob (1925-1998) bukan lagi nama asing dalam dunia penerbitan tanahair. Allahyarham agak sinonim dengan majalah Dian, majalah Bahasa Melayu yang pertama diterbitkan dalam bentuk “diages”. Beliau turut dikaitkan dengan peranan besar memulihkan majalah Pengasuh, yang diterajuinya selama lebih 20 tahun sejak 1974.

Beliau dianggap contoh pemikir dan pengarang serba boleh, yang memiliki keazaman sangat tinggi untuk menyebarluas buah fikirnya kepada masyarakat. Bahkan, itulah dikatakan sebab utama mendorong beliau menubuhkan Pustaka Dian pada 1957. Kekecewaannya apabila hasil karyanya tidak diberikan layanan atau ruang di dalam media cetak sedia ada menyebabkan beliau mengambil keputusan menerbitkan majalah sendiri. Maka, pada 21 Jun 1961terbitlah edisi sulung majalah Dian, yang beliau sendiri selaku Ketua Pengarangnya.

Sebagai seorang yang berpengalaman menimba ilmu menerusi sistem pendidikan tradisional dan moden, Almarhum berpeluang menguasai pelbagai ilmu, sama ada yang terkandung di dalam kitab-kitab tua (kitab pondok) atau kitab-kitab Arab moden. Beliau juga mendalami ilmu-ilmu moden, terutama dalam bidang psikologi, pendidikan, dakwah dan politik.

Berlatarbelakangkan hakikat itu, tidak menghairankan apabila Almarhum muncul sebagai seorang pengarang, penulis, penterjemah, mufassir, wartawan, penerbit, usahawan percetakan dan pendakwah. Dedikasi dan sifat berdikarinya dalam menyebarkan ilmu dan dakwah Islam amat sukar digalang-ganti.

Buku ‘YUSOFF ZAKY YACOB – Dian yang Tak Kunjung Padam’ ini dianggap suatu rakaman penghargaan terhadap jasa bakti Almarhum. Ia bukan setakat memaparkan biografi yang menyentuh asal-usul dan latarbelakang keluarga beliau. Ia malah turut menyorot secara agak terperinci mengenai sumbangan bermakna beliau di bidang penulisan dan penerbitan.

Selain memimpin majalah Dian dan Pengasuh, Almarhum juga pernah memimpin majalah Santajiwa, Peristiwa dan Mingguan Kota Bharu. Sepanjang penglibatannya, beliau banyak menghasilkan penulisan buku dan rencana dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk psikologi, dakwah, ilmu tafsir, politik, fikah, hadith dan sejarah para nabi.

Beliau juga orang pertama menghasilkan terjemahan lengkap Tafsir fi Zilal al-Quran ke dalam bahasa Melayu. – Editor.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 6 (Jun 2012) di ruangan RAK BUKU DIAN dengan tajuk sama)

INFO BUKU:
Judul: YUSOFF ZAKY YACOB – Dian yang Tak Kunjung Padam
Penulis: Asmadi Yakob & Mustaffa Abdullah
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Tahun: 2011 (Cetakan Pertama)