Friday, October 15, 1999

Polis: Ganas atau diganasi?

Oleh: Mohd Nasir Awang

TAHAP keloyaan rakyat Malaysia terhadap “kebusukan” pemerintahan Barisan Nasional (BN) tambah memuncak dengan tercetusnya dakwaan cubaan membunuh bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipenjarakan, Anwar Ibrahim, dengan racun arsenik bulan lalu.  Meskipun laporan ujian ulangan yang dilakukan ke atas sampel beberapa bahagian badan Anwar mendapati beliau bebas dari pengaruh racun tersebut, tidak semua rakyat dapat menerima ketelusan prosedur ujian tersebut.

Satu persoalan nyata masih berlegar di fikiran rakyat, iaitu kewibawaan agensi kerajaan yang terbabit menangani keselamatan dan kesihatan Anwar di dalam tahanan. Dengan apa yang didakwa berlaku ke atas Anwar, rakyat berhak mempersoalkan kewibawaan Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap institusi polis dan Jabatan Penjara.

Para pemimpin Barisan Alternatif siang-siang lagi mendesak agar ditubuhkan suruhanjaya bebas menyiasat dakwaan keracunan itu. Kerajaan bagaimana pun bertegas enggan menubuhkannya dan menganggap siasatan polis sudah memadai. Sedangkan kerajaan tahu “luka parah” di hati rakyat terhadap institusi polis masih belum sembuh, terutama ekoran tindakan bekas Ketua Polis Negara membelasah Anwar sewaktu dalam tahanan di Bukit Aman tahun lalu.

Rakyat yang tidak dapat membendung perasaan tidak puas hati mereka kembali mengadakan perhimpunan dan demonstrasi aman di beberapa sudut ibu negara. Laungan reformasi bergema kembali. Kesempatan menerusi demonstrasi dan perhimpunan itu digunakan sebaik mungkin oleh jarum-jarum provokatif BN untuk mencetuskan ketegangan, terutama antara para demonstran dengan anggota polis.

Setiap kali bilamana wujudnya ketegangan dan kekecohan itu, para pemimpin kerajaan seperti biasa cepat-cepat mendakwa bahawa para penyokong Anwarlah yang memulakan tindakan ganas dan serangan terhadap polis. Media-media kroni pula turut memburukkan keadaan dengan laporan berita secara “berat sebelah”. Dalam perarakan reformasi di kawasan Pasar Seni di ibu negara 12 September lalu, misalnya, media kroni melaporkan secara tidak bertanggungjawab “kununnya” sekumpulan lelaki menyerang seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor.

Dalam perarakan aman rakyat untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 19 September pula, yang dihighlight media kroni ialah “tiga anggota polis cedera setelah ribuan penyokong Anwar bertindak liar.” Rakyat yang menuntut keadilan digambarkan sebagai ganas dan mengenepikan budaya harmoni. Sedangkan rakyat yang turut menyertai demonstrasi itu menceritakan sebaliknya.

Rustam A. Sani dipetik sebuah majalah tempatan, Februari 1996, sebagai berkata, pasukan polis, sama seperti angkatan tentera, diberi lesen untuk melakukan ‘keganasan’ bagi pihak kerajaan. Keganasan berlesen ini, menurut Rustam, boleh digunakan dengan baik dan boleh juga disalahgunakan. Tetapi disebabkan ia “berlesen”, maka apa jua tindakannya lebih cenderung dinilai dari aspek positif sahaja.

Cerita keganasan polis bukanlah suatu yang asing bagi rakyat negara ini. Beberapa insiden yang berlaku sejak beberapa tahun lalu membuktikan polis juga tidak terlepas dari potensi melakukan tindakan di luar batasan dan rasionaliti tugasnya.

Tragedi Felda Lubuk Merbau di awal tahun 1985 dan Peristiwa Berdarah Memali di akhir tahun yang sama jelas melibatkan kredibiliti pasukan polis. Menurut Suhaimi Said, dalam laporan beliau mengenai Peristiwa Lubuk Merbau, tragedi tersebut boleh dielakkan sekiranya pihak polis bertindak tegas sedari awal untuk mengawal keadaan. Pihak PAS, menurut beliau, telah pun beberapa kali (sebelum kejadian itu) membuat laporan di Balai Polis Kuala Nerang tentang ugutan dan ancaman terhadap petugas PAS oleh “pengganas-pengganas” Umno di Lubuk Merbau.

Peristiwa Memali melibatkan secara langsung institusi polis. Empat batalion polis terdiri dari Pasukan Polis Hutan (PPH), Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Tindakan Khas (UTK) dan pasukan polis biasa lengkap bersenjata api ‘menyempurnakan’ agenda kezaliman BN/Umno terhadap rakyat yang tidak berdosa. Peristiwa itu akan tetap dikenang sampai bila-bila oleh setiap insan yang mempunyai hati dan perasaan.

Tindakan polis menahan kira-kira 100 peserta Persidangan Kedua Asia Pasifik Mengenai Timor Timur (APCET II) di Kuala Lumpur pada 9 November 1996 turut mencetuskan kekecohan antara polis dengan NGO yang menganjurkannya. Sembilan NGO terbabit kemudiannya berusaha mengadili dan membincangkan penyalahgunaan kuasa polis melalui Tribunal Rakyat. Insiden itu meninggalkan tanggapan negatif berterusan antara NGO dan pihak polis.

Kes pasangan Mary Anne Ariokadass dan Mohd Amin Kannaperan yang mendakwa menjadi mangsa salahlaku seks di kalangan anggota polis di Selama, Perak, turut memalitkan polis dengan imej moral yang dipertikaikan. Imej tersebut diburukkan kes seorang anggota polis yang menembak mati seorang pegawai pencegah maksiat dalam serbuan ke atasnya di Sungai Petani beberapa tahun lalu. Begitu juga dengan kes seorang Inspektor Polis Trafik yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merogol seorang remaja berbangsa Cina di sebuah hotel di ibu negara beberapa tahun lalu.

Dalam masa sebulan yang lalu, sekurang-kurangnya dua kejadian berasingan dilaporkan mengenai tindakan “melampau” anggota polis terhadap penunggang motosikal. Kes pertama berlaku di Kuala Terengganu, bilaman seorang pemuda yang membonceng motosikal kawannya terpaksa dimasukkan ke hospital setelah mukanya bengkak dan berdarah akibat terkena hayunan cotar polis yang menahan motosikal mereka.

Kes kedua seumpama itu berlaku di Pulau Pangkor, awal bulan ini. Dua remaja dilaporkan cedera parah, seorang daripadanya tidak sedarkan diri selepas motosikal mereka ditendang seorang anggota polis yang mengejar mereka. Berikutan itu, kira-kira 800 penduduk sekitar Pasir Bogak berkumpul di Balai Polis Pangkor meminta supaya siasatan serta tindakan diambil terhadap anggota polis berkenaan.

Berhadapan situasi yang mencemaskan dan memerlukan tindakan pantas, seperti kes rompakan dan penculikan, pertimbangan yang dibuat oleh polis turut mengundang kontroversi. Kes pasangan P. Gunasekaran dan N. Selvamalar yang ditembak mati kerana didakwa terlibat dalam penculikan anak bekas Menteri Besar Selangor, terus dipersoalkan.  Sejauh mana Selvamalar, yang dikatakan sedang sarat mengandung, benar-benar terlibat dalam jenayah tersebut terus dipertikaikan.   

Begitu juga dengan kes seorang pegawai Bank Simpanan Nasional yang ditembak mati dalam kejadian rompakan di bank tempat beliau bekerja di ibu negara. Tiada justifikasi yang memuaskan dapat diberikan oleh polis, sekurang-kurangnya bagi mengurangkan kedukaan keluarga mangsa tersebut.

Dalam kejadian terbaru, pada malam 20 September lalu, Dr. Tai Eng Teck, 29, ditembak tiga das di kepala dan tangan ketika berdua-duaan dengan seorang jururawat berbangsa Melayu dalam kenderaan berhampiran stesen LRT Bandar Tasik Selatan. Ekoran kejadian itu, pelbagai anggota masyrakat termasuk salah sebuah parti komponen BN tampil menyatakan bantahan atas tindakan polis yang disifatkan sebagai “trigger happy” dan “shoot first ask later” itu.  Mereka menuntut diadakan sisatan terperinci.

Ketua Polis Negara, Norian Mai menyifatkan kes tersebut sebagai “kes terpinggir” dan berkata anggota tersebut dalam keadaan luar biasa telah bertindak secara melampau.  Berikutan itu, anggota polis terbabit, Konstabel Tony Beliang, 25, dari Balai Polis Sungai Besi ditahan dan didakwa di mahkamah.

Dengan peristiwa yang disebutkan di atas, imej polis sudah semestinya terjejas teruk.  Mereka yang selama ini dianggap pegawai keamanan terbukti ada potensi bertindak ganas dan melangkaui batasan dan rasionaliti tuga mereka. Lebih-lebih lagi jika diambilkira tindakan bekas KPN melebamkan mata Anwar, yang sepatutnya “safe and sound” di bawah jagaannya.

Sebab itu, kewibawaan polis menangani siasatan terhadap dakwaan Anwar keracunan arsenik awal-awal lagi dipersoalkan rakyat. Keengganan kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas, seolah-olah memperkukuhkan lagi dakwaan rakyat bahawa kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu daripada mereka. Akhirnya, rakyat sudah tidak terkejut apabila dilaporkan hasil ujian ulangan, kononnya Anwar bebas dari kesan racun tersebut.

Sebagai rakyat yang cintakan kedamaian dan ketenteraman, kita mengharapkan imej polis sebagai benteng keagamaan dan keselamatan rakyat segera dipulihkan. Kewibawaan dan ketelusan institusi berkenaan dalam menangani penyiasatan mesti diyakinkan kepada rakyat. 

Untuk itu, kod etika perkhidmatan polis yang mengutamakan profesionalisme dalam perkihdmatan mestilah dipegang, agar institusi polis tidak mudah diperalatkan untuk agenda politik parti yang memerintah. Polis berkhidmat untuk kerajaan, bukan untuk Umno atau BN.  Begitu juga, seruan agar polis  lebih “mesra rakyat” perlu direalisasikan, tidak sekadar tinggal slogan semata-mata.

Bagi membaiki imejnya, anggota polis perlu diberi latihan bukan sahaja dari segi fizikal, sebaliknya penekanan terhadap pendidikan moral dan agama juga pelu dititikberatkan  agar mereka lebih beradab dan bertanggungjawab sewaktu bertugas.

Kerajaan yang ada tidak boleh diharapkan untuk melaksanakan perubahan itu. BN, yang terkenal tidak bermoral dan tidak pernah mengutamakan suruhan agama dalam pemerintahannya, mana mungkin mampu melakukannya. Rakyat yang mahu melihat pemulihan imej institusi polis mesti berani merubah kerajaan yang ada kepada sebuah kerajaan yang bermoral dan mengutamakan suruhan agama. Vote for change!

(Artikel ini disiarkan majalah Detik Edisi 15 Oktober 1999 dengan tajuk sama)