Thursday, January 30, 2014

Ustaz Harun yang ku kenali


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

(Bahagian Pertama)

“KITA kehilangan seorang pemimpin, yang bukan saja seorang ulama dan tok guru yang memiliki ribuan anak didik, bahkan seorang pemimpin politik yang sangat digeruni disebabkan ucapan dan hujahnya yang sukar dipatahkan, tetapi sangat berbisa mematahkan hujah lawan”, demikian kata Haji Zabidi Abdul Halim, seorang peguam muda berpejabat di Kuala Terengganu.

Pemimpin yang dimaksudkannya itu ialah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Haji Harun Taib. Tokoh yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Manir selama enam penggal itu telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi 23 Rabiul Awal 1435 bersamaan 25 Januari 2014, akibat komplikasi kencing manis yang dihidapinya sejak sekian lama.

Biar pun umum sudah mengetahui betapa keadaan kesihatannya tidak pernah pulih sepenuhnya, terutama sejak diserang angin ahmar beberapa tahun lalu, kematiannya pada Sabtu lalu tetap mengejutkan. Ini kerana dalam keterbatasan pergerakan fizikal dialaminya, almarhum tidak pernah “menguzurkan diri” daripada menyertai mana-mana program anjuran parti. Selagi terdaya, biar pun bertongkat atau berkerusi roda, beliau akan tetap menggagahkan diri mengambil bahagian.

Bahkan, kalau tidak salah pengamatan penulis, hanya seminggu sebelum berita kematiannya itu, foto beliau bersama sekumpulan pemuda yang datang berusrah bersamanya tersiar di laman sosial facebook. Ertinya, dalam keadaan sebegitu lemah dan uzur sekali pun, almarhum masih bersedia melayani hasrat anak-anak muda yang dahagakan tarbiyah dan tunjuk ajar beliau.

Itulah salah satu sifat yang ada pada diri Ustaz Harun yang penulis kenali. Bahawa “tidak ada istilah rehat atau bersara dalam perjuangan” merupakan antara prinsip yang dipegang kemas olehnya hingga ke akhir hayat. Justeru, biar pun disahkan berkeuzuran dari segi fizikalnya, almarhum tetap juga tidak mahu ketinggalan menjayakan apa-apa aktiviti, terutama dianjurkan parti.

Beliau sangat “degil” dan tidak mudah mengalah, bukan sahaja terhadap serangan dan asakan pihak lain, malah juga terhadap kepayahan yang menimpa dirinya.

Sifat itu dipercayai menjadi penyebab utama mengapa almarhum selalunya kelihatan begitu berkeyakinan di dalam mengemukakan hujahnya, sama ada untuk memperjelaskan sesuatu pertikaian mahu pun di dalam mematahkan hujah pihak lain.

Sebagai pemimpin di saf utama kepimpinan parti, beliau juga tidak mudah “diyakinkan” untuk menerima apa-apa analisa atau hasil kajian. Penulis teringat bagaimana beliau mengkritik analisa awal politik Terengganu oleh Mohd Nasir Awang yang tersiar dalam sebuah majalah sejurus sebelum Pilihan Raya Umum 1999 dulu.

Di dalam analisa itu, penulisnya mengemukakan SWOT Analysis agak menyeluruh dan menyimpulkan bahawa Terengganu berkemungkinan besar dapat ditawan PAS. Antara yang disifatkan sebagai “peluang” bagi PAS ketika itu ialah apabila politik Terengganu hanya memerlukan enam peratus peralihan undi untuk menidakkan kekuasaan Barisan Nasional. Kadar enam peratus itu bersamaan sekitar 1,000 pemilih setiap DUN, yang mana menurut penulis itu bukan angka yang besar menilai perubahan politik ketika itu.

Ustaz Harun bagaimana pun berpandangan sebaliknya. Katanya ia bukanlah angka perubahan yang mudah dicapai. Sikap diambilnya itu akhirnya menyebabkan jentera parti tidak memandang mudah perancangan gerakerja pilihan raya. Bahawa “bayang-bayang kemenangan” yang semakin ketara ketika itu tidak sepatutnya melenakan pemimpin dan ahli PAS daripada terus berusaha sehingga kejayaan sebenar dicapai. Alhamdulillah, sikapnya itu banyak membantu PAS Terengganu menempa kejayaan paling manis pada 1999 lalu.

Harun bin Taib dilahirkan pada tahun 1943 di Kampung Kesom, Manir, Kuala Terengganu. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Belara, tidak berapa jauh dari rumahnya. Seterusnya, beliau memasuki Kelas Khas 7 di Sekolah Umum Serada, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Arab Tok Jiring (sekolah menengah agama). Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Di samping pintar dalam pelajaran dan mampu menguasai bahasa Arab dengan baik, Ustaz Harun juga dikatakan sangat aktif dalam bidang sukan. Beliau terkenal sebagai seorang pemain bola sepak yang handal di sekolahnya.

Ustaz Harun melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah. Di sana beliau mula aktif dalam gerakan pelajar sehingga memperolehi ijazah pertamanya.

Selepas itu almarhum melanjutkan pula pelajarannya ke peringkat sarjana di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Sewaktu di sana bakat kepimpinannya semakin menyerlah. Beliau sangat aktif dalam persatuan-persatuan pelajar dan sering berhubung terus dengan para pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir, serta tokoh-tokoh gerakan Islam serata dunia. Beliau memperolehi ijazah Sarjana dalam jurusan Siasah Syar’iyyah, dengan keputusan ‘cemerlang’.

Sifat dahagakan pendidikan mendorongnya melanjutkan lagi pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi, PhD. Hasrat itu bagaimana pun tidak sempat dipenuhi apabila pada tahun 1978 beliau dipanggil pulang oleh PAS untuk bertanding dalam pilihan raya umum.

(bersambung...)

(Artikel ini disiarkan di dalam sisipan FIKRAH Harakah Bil: 1916, 29 Rabiul Awal 1435/31 Januari 2014 di kolum 'FOKUS KHAS' dengan tajuk "Tidak pernah uzurkan diri sertai program parti".)

Wednesday, January 15, 2014

Sufyan ath-Thauri – tekun beribadat, takutkan Allah


Muqoddimah
SUFYAN ATH-THAURI adalah antara ulama tabiet-tabien tersohor. Beliau merupakan perawi hadith paling dipercayai, seorang alim dan menjadi tempat rujukan serta teladan masyarakat di zamannya. Sehingga dikatakan kerana keberadaannya zaman itu menjadi mulia dan dunia seakan tersanjung dengan kedatangannya.

Latar diri
Namanya yang lengkap ialah Sufyan bin Said bin Masruq bin Rafi’ bin Abdillah bin Muhabah bin Abi Abdillah bin Manqad bin Nashr bin al-Harith bin Tsa’labah bin Amir bin Mulkan bin Thur bin Abdumanat bin Adda bin Thabikhah bin Ilyas.

Beliau lahir di Kufah pada 77 Hijriah, yakni di zaman pemerintahan khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Ayahnya, Said bin Masruq ath-Thauri, merupakan seorang ulama besar di Kufah, sebaris dengan Asy-Sya’bi dan Khaithamah bin Abdirrahman. Kesemua mereka dianggap para perawi yang dapat dipercayai dan merupakan generasi terakhir tabien.

Sanjungan ulama terhadapnya
Ketika Sufyan bersama rombongannya tiba ke Mekah untuk menunaikan haji, Syuaib bin Harb telah datang menemui mereka. Beliau memuji-muji Sufyan di hadapan anggota rombongan tersebut, dengan katanya, “kamu tidak melihat Nabi (Muhammad saw), tetapi kamu hidup bersama Sufyan (Ath-Thauri).”

Sufyan bagaikan lautan yang tidak diketahui kedalamannya, bagaikan air bah yang mengalir yang tak mungkin terbendung. Beliau menjadi contoh kepada ulama lain dalam mengamalkan ilmunya, rajin beribadah, berbudi pekerti luhur, warak dan takut kepada Allah. Beliau juga lantang dalam membela kebenaran.

Berkata Al-Auzaie, “tidak ada orang yang mampu membuat umat merasa redha dalam kebenaran kecuali Sufyan (Ath-Thauri).”

Sufyan bin Uyainah pula berkata, “aku tidak melihat ada orang yang lebih utama dari Sufyan (Ath-Thauri), sedang dia sendiri tidak merasa bahawa dirinya adalah orang yang paling utama.”

Al-Hafiz Abu Bakar Al-Khatib pernah menyifatkan Sufyan dengan katanya, “Sufyan Ath-Thauri adalah pimpinan ulama Islam dan gurunya. Sufyan adalah seorang yang mempunyai kemuliaan, sehingga dia tidak memerlukan sebarang pujian. Selain itu, Ath-Thauri juga seorang yang boleh dipercayai, mempunyai hafalan yang kuat, berilmu luas, warak dan zuhud.”

Sikap terhadap perselisihan
Disebabkan kelebihan ilmunya ke atas rakan-rakan yang lain, pendapat Sufyan sering diutamakan setiap kali wujud perbezaan pandangan antara mereka. Yahya bin Ma’in berkata, “tidak ada orang yang berselisih tentang sesuatu dengan Sufyan, kecuali pendapat Sufyanlah yang digunakan.”

Yahya bin Said pernah ditanya tentang siapa yang lebih baik di antara Sufyan dan Syu’bah, beliau menjawab: “Syu’bah lebih aku senangi dari Sufyan, kerana keunggulannya. Namun, Sufyan bersandarkan kepada tulisan, sedang Syu’bah tidak bersandar kepada tulisan. Sufyan lebih kuat ingatannya dari Syu’bah. Aku pernah melihat keduanya berselisih (tentang sesuatu perkara), maka pendapat Sufyan Ath-Thauri yang digunakan.”

Pun begitu, Sufyan sendiri mempunyai prinsip yang sangat jelas berhubung perselisihan pendapat ini. Baginya, hal itu tidak perlu berlaku sekiranya masing-masing belum mempunyai cukup ilmu tentang perkara diperselisihkan.

Zaid bin Abi Az-Zarqa’ menceritakan suatu peristiwa dengan katanya, “ketika kami sedang membahas suatu masalah, kami saling berdebat dalam mencari jalan keluar. Maka Sufyan keluar dan berkata, “wahai segolongan pemuda, kamu telah tergesa-gesa untuk mendapatkan berkat dari ilmu ini dan kamu tidak menyedari hal itu. Mungkin saja kamu belum sampai terhadap apa yang kamu inginkan, sehingga mengeraskan suara di hadapan teman kamu yang lain.”

Kuasai ilmu hadith
Sufyan sangat menyanjungi hadith. Abdullah bin Bisyr berkata, beliau pernah mendengar Sufyan berkata, “sesungguhnya hadith itu mulia. Barangsiapa yang menginginkan dunia dengan hadith, maka dia akan mendapatkannya. Barangsiapa yang menginginkan akhirat dengan hadith, maka dia juga akan mendapatkannya.”

Di atas keyakinannya itu, Sufyan muncul sebagai seorang yang disanjungi tentang ilmu hadithnya. Ibnu Al-Mubarak berkata, “aku telah menulis hadith dari 1100 guru, namun aku tidak mampu menulis sebaik Ath-Thauri.”

Beberapa ulama besar sezamannya, seperti Syu’bah, Sufyan bin Uyainah, Abu Ashim An-Nabil, Yahya bin Ma’in dan lain-lain berkata, “Sufyan Ath-Thauri adalah Amirul Mukminin dalam hadith.”

Ahmad bin Abdillah Al-Ajli menambah, “sebaik-baik sanad yang berasal dari Kufah adalah dari Sufyan dari Mansur dari Ibrahim dari ‘Alqamah dari Abdullah.”

Yahya al-Qaththan pula menceritakan keghairahan Sufyan menimba ilmu hadith. Katanya, “aku tidak melihat ada orang yang lebih utama dari Sufyan. Jika ia tidak sibuk dengan hadith, maka ia akan solat di waktu terluangnya, seperti waktu antara Zohor dan Asar, dan antara Maghrib dan Isyak. Dan jika dia mendengar orang menyebut hadith, maka dia akan segera meninggalkan solat sunatnya.”

Kuat ibadat, menangis
Tidak syak lagi, seorang yang mulia dan dimuliakan seperti Sufyan Ath-Thauri sudah tentu mempunyai keghairahan yang tinggi terhadap ibadat. Sebagaimana disebutkan di atas, beliau gemar memenuhi waktu lapangnya dengan bersolat sunat. Bahkan, diceritakan beberapa ulama bahawa sujudnya tersangatlah panjang.

Ibnu Wahab berkata, “aku melihat Ath-Thauri sedang berada di Masjidil Haram. Selesai melakukan solat Maghrib, dia bersujud dan tidak mengangkat kepalanya hingga kami mengajaknya untuk solat Isyak.”

Ali bin Fudhail pula berkata, “aku melihat Sufyan Ath-Thauri bersujud di sekitar Kaabah. Kemudian aku melakukan tawaf sebanyak tujuh pusingan, dan Ath-Thauri belum mengangkat kepalanya dari sujud.”

Beliau juga diceritakan sering menangis lantaran takutkan Allah dan bimbangkan nasib dirinya di sisi Allah. Muzahim bin Zafar berkata, “kami sedang melakukan solat Maghrib bersama Sufyan, dia membaca surah Al-Fatihah sampai pada ayat, “hanya kepada-Mu kami menyembah dan hanya kepada-Mu kami meminta pertolongan”, lalu dia (Sufyan) menangis hingga terhenti bacaannya. Kemudian dia mengulangi bacaan itu dari awal surah.”

Atha’ Al-Khafaf pula memberitahu, “aku tidak bertemu Sufyan Ath-Thauri melainkan dia dalam keadaan menangis. Maka pada suatu hari aku bertanya kepadanya, “apa sebenarnya yang menyebabkan engkau selalu menangis?” Dia menjawab, “aku takut jika aku termasuk orang yang tidak beruntung sesuai dengan isi Ummul Kitab.

Ibnu Mahdi pula bercerita, “suatu malam Ath-Thauri berada di rumahku. Dia tidak boleh tidur dan selalu menangis, sehingga seseorang bertanya kepadanya apa yang menyebabkan dia berkeadaan begitu. Ath-Thauri menjawab, “jika dosaku lebih ringan dari ini (seraya mengangkat sebongkah tanah), maka aku khuatir kalau imanku hilang sebelum aku mati.”

Guru dan muridnya
Jumlah guru kepada Sufyan Ath-Thauri sangatlah ramai. Selain ayahnya sendiri, Said bin Masruq Ath-Thauri yang merupakan ulama hadith, beliau dilaporkan turut menerima riwayat hadith daripada Abu Ishaq Asya-Syaibani, Abdul Malik bin Umair, Al-Aswad bin Qais, Al-A’masy, Hammad bin Abi Sulaiman, Amr bin Murrah, Fathr bin Khalifah, Bayan bin Bisyr, Habib bin Abi Thabit dan sebilangan lagi.

Di antara guru-gurunya dari Kufah pula ialah Ziyad bin Alaqah, Sulaiman At-Taimi, Yunus bin Ubaid, Ibrahim bin Maisarah, Dawud bin Abi Hind, Ibnu Aun, Khalid Al-Hadza’, Habib bin Asy-Syahid, Hamad bin Ath-Thawil, Ashim Al-Ahwal dan Abdul Aziz bin Rafi’.

Beliau turut menerima ilmu daripada sejumlah ulama Basrah. Antara mereka ialah Zaid bin Aslam, Abdullah bin Dinar, Amr bin Dinar, Ismail bin Umayyah, Suhail bin Abi Saleh, Musa bin Uqbah, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Said Al-Anshari dan lain-lain.

Orang-orang yang pernah mengambil ilmu daripada Sufyan tersangatlah ramai dan tidak terhitung jumlahnya. Sebilangan mereka adalah guru-guru Sufyan sendiri, yang kemudiannya mengambil riwayat darinya. Begitu juga dengan sebilangan rakan pengajian sezamannya.

Manakala sejumlah besar yang lain, antaranya ialah Abdurrahman bin Mahdi, Yahya bin Said, Ibnu al-Mubarak, Hafsh bin Ghayyath, Abu Zubaidah Athir bin Al-Qasim, Fudhail bin Iyadh, Abdullah bin Dawud Al-Khuraibi dan ramai lagi.

Kematiannya
Terdapat catatan berbeza berhubung tarikh sebenar Sufyan Ath-Thauri meninggal dunia. Menurut Yahya Al-Qaththan, tarikh kematian Sufyan ialah pada awal tahun 161 Hijrah. Adz-Dzahabi pula berkata, Sufyan meninggal pada bulan Syaaban tahun 161 Hijrah. Pendapat ini disokong Al-Waqidi. Manakala Khalifah pula berpendapat bahawa kematian Sufyan ialah pada tahun 162 Hijrah.

Isa bin Yunus berkata, “Sufyan meninggal dalam keadaan tersembunyi, bajunya telah dijadikan peta dan penuh dengan tulisan.”

Diriwayatkan sebelum meninggal, Sufyan telah mewasiatkan kepada Abdurrahman bin Abdul Malik agar menyolatinya. Hal itu disempurnakan oleh Abdurrahman bersama penduduk Basrah.

Semoga Allah memberkan rahmat-Nya yang luas kepada Sufyan Ath-Thauri dan memasukkannya ke dalam syurga-Nya yang tinggi. – Mohd Nasir Awang

(Rujukan: Syaikh Ahmad Farid, 60 Biografi Ulama Salaf. Pustaka Al-Kautsar, Jakarta Timur, 2009.)

(Artikel ini disiarkan majalah DIAN - Ihya' As-Sunnah, Bil. 20 di kolum ULAMA PEWARIS NABI dengan tajuk sama)

Doa Said bin Jubair penamat kekejaman Al-Hajjaj


Muqoddimah
“Orang yang paling tahu tentang ilmu-ilmu al-Quran adalah Mujahid, yang paling tahu tentang haji adalah ‘Atha’, yang paling tahu tentang hukum halal dan haramnya suatu perkara adalah Thawus bin Kaisan, yang paling tahu tentang talak adalah Said bin al-Musayyib, dan yang paling mampu mengombinasikan dan menguasai semua disiplin ilmu tersebut adalah Said bin Jubair.”

Demikian kata sanjungan Khushaif, seorang ulama, memperihalkan ketinggian ilmu Said bin Jubair rahimahullah. Kemampuan ilmunya dikatakan tiada tandingan di kalangan ulama sezamannya, bahkan di zaman selepasnya.

Said bin Jubair ialah seorang imam yang menjadi tempat rujukan penduduk Kufah di zaman para tabien. Beliau dikatakan lahir di zaman kekhalifahan Saidina Ali bin Abi Talib dan sempat berguru dengan beberapa Sahabat terkenal, termasuk Ibnu Abbas ra dan Ibnu Umar ra (biografi ringkasnya pernah disiarkan dalam majalah Dian – Ihya’ as-Sunnah, edisi 17 lalu). Beliau merupakan seorang al-Hafiz (hafal banyak hadith dan al-Quran), ahli tafsir dan seorang yang dianugerahkan mati syahid di tangan perosak agama yang zalim.

Memerangi Al-Hajjaj
Kerosakan terhadap ajaran agama Islam dan akidah kaum muslimin semakin ketara di bawah pemerintahan Al-Hajjaj bin Yusuf Ath-Thaqafi. Si zalim itu bukan sahaja angkuh, sombong dan meninggalkan solat, malah bertindak menghalang-halangi mereka yang solat serta merendah-rendahkan martabat kaum muslimin.

Hal ini amat tidak dapat diterima oleh Said bin Jubair. Beliau dengan tegas mengajak orangramai memerangi kaum perosak itu (Al-Hajjaj dan para pengikutnya), kerana tindakan mereka yang telah meresahkan umat.

Apabila Ibnu Al-Asy’ath mengambil keputusan memerangai Al-Hajjaj, Said ikut keluar bersamanya. Ketika perang sedang memuncak di Dir Al-Jamajim, Said berseru kepada kelompok kaum muslimin bersamanya, “perangilah mereka kerana kezaliman mereka dalam menjalankan pemerintahan, keluarnya mereka dari agama, kesombongan mereka terhadap hamba-hamba Allah, mereka menghapuskan solat dan merendahkan martabat kaum muslimin.”

Bersembunyi di Mekah
Nasib bagaimana pun tidak menyebelahi mereka. Pasukan Al-Hajjaj sangat kuat. Kelompok Ibnu Al-Asy’ath kalah teruk. Ekoran itu, Said bin Jubair melarikan diri dan bersembunyi. Beliau berpindah-pindah tempat di beberapa daerah pedalaman di sekitar Mekah, selama hampir 12 tahun.

Adz-Dzahabi berkata, “waktu dia (Said) bersembunyi cukup lama. Peperangan dengan Al-Hajjaj Ath-Thaqafi terjadi pada tahun 82 Hijrah. Mereka tidak mampu menemukan Said kecuali pada tahun 95 Hijrah, tahun di mana Allah SWT juga membinasakan Al-Hajjaj dan para pengikutnya.”

Berita pemburuan ke atas Said memang diketahui umum. Abu Husain berkata, “aku pernah bersua Said bin Jubair di Mekah, lalu aku memberitahunya, “sesungguhnya Khalid bin Abdullah (walikota Mekah) datang mencarimu dan aku tidak yakin kamu wahai Said akan selamat.”

Said menjawab: “Demi Allah, aku telah melarikan diri terlalu lama (dari peperangan dengan perusuh), sehingga aku merasa malu kepada Allah SWT.”

Dari kata-katanya itu dapatlah difahami bahawa Said sendiri sudah tidak mahu bersembunyi lagi. Beliau sudah bersedia untuk dihadapkan kepada Al-Hajjaj. Maka tertangkaplah Said oleh para pengikut Al-Hajjaj.

Penangkapan Said
Muhammad bin Said berkata, “orang yang mengetuai penangkapan Said bin Jubair ialah walikota Mekah, Khalid bin Abdullah Al-Qusari. Dia dibawa kepada Al-Hajjaj Ath-Thaqafi.” Diriwayatkan bahawa turut tertangkap bersama Said ialah beberapa sahabatnya, termasuk Asy-Syaabi dan Ismail bin Ausath Al-Bali.

Abu Saleh pula menceritakan, “aku menemui Said bin Jubair ketika dia diajukan kepada Al-Hajjaj. Kemudian aku melihat seorang lelaki bersamanya menangis. Lalu Said bertanya, “apa yang membuatmu menangis?”

Lelaki itu menjawab: “Musibah yang telah menimpa Tuan.”
Said berkata: “Janganlah kamu menangis, sudah ketentuan Allah bahawa ini akan terjadi.”

Dia lantas membacakan ayat (maksudnya): Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada dirimu sendiri, melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. (Al-Hadid 57:22)

Penghakiman Al-Hajjaj
Said kemudiannya dibawa ke hadapan Al-Hajjaj. Si zalim itu lantas berkata kepadanya, seraya mengejek: “Kamukah yang bernama Syaqi bin Kasir (membawa erti yang buruk, kebalikan dari erti Said bin Jubair)?”
Said menjawab: “Aku adalah Said bin Jubair!”

Al-Hajjaj berkata: “Untuk apa kamu datang ke Kufah, sedangkan tidak ada yang boleh memerintah Kufah kecuali orang Arab? Apakah kamu ingin aku menjadikan kamu sebagai imam?”
Said menjawab: “Ya.”

Al-Hajjaj berkata: “Jika aku mengangkat kau menjadi hakim di Kufah, pastinya penduduk Kufah akan mempertikainya dan berkata, “tidak ada yang boleh atau sesuai memegang jawatan hakim di Kufah kecuali orang Arab.”

Al-Hajjaj melanjutkan andaiannya: “Lalu sebagai alternatif, aku mengangkat Abu Burdah bin Abi Musa al-Asyaari sebagai hakim, tetapi aku perintahkan kepadanya agar tidak memutuskan sesuatu perkara melainkan setelah meminta persetujuanmu. Bagaimana?”
Said menjawab: “Ya.”

Al-Hajjaj bertanya lagi: “Mahukah kamu aku jadikan sebagai penasihatku, sedangkan mereka para pemimpin itu berasal dari orang-orang Arab?”
Said menjawab: “Ya.”

Al-Hajjaj berkata pula: “Mahukah kamu aku beri wang 100 ribu untuk dibahagikan kepada orang yang memerlukannya?”
Dia menjawab: “Ya.”

Menilai sikap Said yang bersetuju dengan semua cadangannya itu, Al-Hajjaj lantas bertanya: “Justeru, apa lagi yang membuatmu memusuhiku?”
Said menjawab: “Sumpah setia yang terbeban dalam tanggungjawabku kepada Ibnu Al-Asy’ath (musuh utama Al-Hajjaj).”

Mendengar jawaban itu, Al-Hajjaj terus naik darah, sehingga dia lantas berkata, “jadi kamu adalah orang yang telah dibaiat Amirul Mukminin sebelumnya? Aku pasti akan membunuhmu.”

Sudah diketahui umum bahawa di setiap penghakimannya, Al-Hajjaj akan menanyai orang yang dihadapkan kepadanya satu soalan paling penting, “apakah kamu menjadi kafir jika kamu memberontak kepadaku?” Jika orang itu menjawab, “ya”, maka orang itu dibebaskannya.

Said turut ditanya soalan yang sama, tetapi dia memilih untuk berterus-terang tentang sikapnya. Sedangkan terdapat dua sahabatnya memilih teori taqiyyah, yakni menyesuaikan jawaban untuk menyelamatkan diri.

Taqiyyah ini banyak dilakukan kaun Syiah dan Yahudi dan menjadi sebahagian dari syariat mereka. Mereka menyatakan memeluk Islam, umpamanya, akan tetapi hati mereka tetap Yahudi atau Syiah. Justeru, apabila ditanya soalan yang menentukan antara hidup dan mati itu, ada sahabat Said bin Jubair memilih teori taqiyyah ini, namun tidak bagi Said sendiri.

Al-Hajjaj bertanya: “Apakah kamu menjadi kafir jika memberontak kepadaku?”
Said dengan tegas menjawab: “Tidak!”

Al-Hajjaj sangat marah, lantas membentak: “Pilihlah, dengan apa aku harus membunuhmu?”
Said menjawab: “Pilih sajalah sendiri. Sebelum itu, izinkan aku melakukan solat dua rakaat terlebih dahulu.”

Al-Hajjaj dalam nada mempersenda lantas mengarahkan pengikutnya: “Hadapkan dia ke arah kiblat orang Kristian!”
Said lalu membaca sepotong ayat (maksudnya): Dan kepunyaan Allahlah timur dan barat. Maka ke mana pun kamu menghadap, di situlah wajah Allah. (Al-Baqarah 2:115)

Selanjutnya, Said berkata: “Sesungguhnya aku memohon perlindungan darimu sebagaimana Maryam binti Imran memintanya.”

Al-Hajjaj bertanya: “Apa perlindungan yang diminta Maryam?”
Said menjawab: “Maryam berkata, (dibacakannya ayat al-Quran bermaksud): Sesungguhnya aku berlindung daripadamu kepada Tuhan yang Maha Pemurah, jika kamu seorang yang bertaqwa.” (Maryam 19:18)

Mengidamkan syahid
Lalu Said dibawa ke tempat penyeksaan. Dicatatkan, beliau sempat memberitahu beberapa orang yang berada bersamanya di kala itu, “aku tidak melihat diriku kecuali orang yang (pasti akan) terbunuh, dan aku akan memberitahu kamu semua bagaimana aku dan dua sahabatku memanjatkan doa ketika kami menemukan manisnya berdoa. Kemudian kami memohon kepada Allah agar diberikan mati syahid. Kedua sahabatku itu mendapatkan rezeki mereka, sedang aku melihatnya.”

Adz-Dzahabi mencatatkan, “ketika Said mengetahui keutamaan mati syahid dan dia yakin akan dibunuh, dia tidak berkeluh-kesah. Jika tidak, tentu dia memilih untuk melakukan taqiyyah, yang boleh dilakukannya (seperti yang dipilih sahabatnya, Asy-Syaabi).”

Said bin Jubair diseksa oleh para perwira Al-Hajjaj, sebelum dibunuh pada bulan Syaaban 95 Hijrah. Diriwayatkan lehernya dipenggal oleh algojo si zalim itu.

Kita memohon kepada Allah agar mengangkat darjat dan kehormatannya di sisi-Nya dan menganugerahkan kematian syahid buatnya.

Said boleh mendoakan agar Al-Hajjaj tidak membunuhnya, tetapi dia tidak berbuat begitu. Sebaliknya, dia berdoa agar menjadi orang yang terakhir dibunuh Al-Hajjaj dan bala tenteranya.

Menghantui Al-Hajjaj
Allah SWT memakbulkan doa Said. Ibnu Uyainah berkata, “Al-Hajjaj tidak membunuh orang lagi setelah membunuh Said bin Jubair, melainkan seorang saja.”

Allah benar-benar menghancurkan para perosak akidah umat Islam itu hanya selang beberapa hari setelah syahidnya Said. Kematian Said benar-benar menghantui Al-Hajjaj. Fikirannya sentiasa diganggu bayangan Said, sehingga terbawa ke dalam tidurnya.

Diriwayatkan dalam satu mimpi buruknya, Al-Hajjaj ditanya seseorang, “apa yang diperbuat Allah kepada Tuan, sehingga fikiran Tuan begitu terganggu?” Al-Hajjaj lantas menjawab: “Setiap orang yang telah aku bunuh akan kembali membunuhku dengan kejam satu kali pembunuhan, tetapi Said bin Jubair akan membunuhku dengan 70 kali pembunuhan!”

Dalam riwayat yang lain, ketika Al-Hajjaj menghadapi sakaratul maut, dia sering pengsan dan sedar semula. Ketika itu dia sempat bersuara, “apa yang terjadi di antara aku dan kamu, wahai Said bin Jubair?”

Begitulah berakhirnya hidup seorang penguasa zalim yang merosakkan agama dan suka menghina ulama. Matinya Al-Hajjaj dalam kehinaan, sedangkan Said menikmati kemuliaan. – Mohd Nasir Awang

(Rujukan: Syaikh Ahmad Farid, 60 Biografi Ulama Salaf, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta Timur. 2009)

(Artikel ini disiarkan majalah DIAN Ihya' As-Sunnah, Bil. 20 (Januari 2014) di kolum SECEBIS KISAH dengan tajuk sama)