Tuesday, May 1, 2012

Kenapa mesti diakui ‘ikut hati mati’?

Oleh: Mohd Nasir Awang

Seorang ‘gadis’ telah mencetuskan suasana cemas di tengah-tengah sebuah bandar apabila orang ramai mengesan kelibatnya dalam keadaan mencurigakan di atas bumbung sebuah bangunan tiga tingkat. Berbekalkan siri kejadian serupa sebelum itu, khalayak yang melihatnya segera merumuskan bahawa wanita itu berhasrat melakukan sesuatu yang tidak baik.

Mereka lantas tidak bertangguh menghubungi pihak-pihak bertanggungjawab, khususnya Jabatan Bomda dan Penyelemat serta polis. Suspek disimpulkan cuba membunuh diri dengan terjun dari puncak bangunan itu.

Suasana pagi yang hening dengan kebiasaan urusan hidup bertukar menjadi kelam-kabut dan haru-biru. Bunyi siren kenderaan kedua-dua jabatan tersebut yang bergegas ke lokasi kejadian secara tidak langsung mengundang perhatian lebih ramai anggota masyarakat. Ia membuatkan keadaan menjadi tambah dramatik.

Ringkas cerita, wanita itu dapat dipujuk agar tidak meneruskan niatnya. Dia berjaya dibawa turun dengan selamat dan tamatlah suasana mencemaskan itu. Namun, ulasan mengenai detik menggemparkan itu mendedahkan masyarakat umum kepada suatu hakikat yang sangat mendukacitakan.

‘Ikut hati mati...’
Wanita itu akhirnya mengakui dia bukan lagi seorang ‘gadis’. Bukan sahaja HATInya yang telah dicuri, bahkan kegadisannya juga telah diratah oleh seorang lelaki. Malangnya, setelah meragut mahkota diri wanita itu, si lelaki durjana itu tidak menepati janji untuk mengahwininya.

Maka hancurlah HATI insan tidak berdaya itu apabila buah HATInya tidak sanggup bertanggungjawab terhadap embrio dikandungnya. Lalu, dia memilih jalan singkat untuk menamatkan kesedihannya. Wanita itu telah menurut kata HATInya yang mengarahkannya membunuh diri.

Kes itu menepati kata orang-orang tua, “ikut HATI mati, ikut rasa binasa”. Maksudnya, apabila mengambil sesuatu tindakan mengikut nafsu, padah akibatnya. Dalam kes ini, wanita itu bukan hanya sekali mengambil tindakan mengikut HATI, tetapi sekurang-kurangnya dua kali.

Kita mungkin memfokuskan kepada cubaannya untuk membunuh diri sahaja. Sebenarnya tindakannya menyerahkan mahkota diri kepada lelaki secara terlarang sebelum itu juga suatu tindakan ikut HATI yang mengakibatkan padah pada dirinya. Bahkan itulah yang jauh lebih membinasakan dan menjadi punca kepada tindakan ikut HATI yang kedua itu.

Kenapa ada wanita sampai sanggup menggadai kemuliaan diri kepada buah HATI? Jawabannya bukan lagi suatu yang sukar ditelah. Seringkali dalam merasionalkan keterlanjuran mereka, pasangan terbabit akan mengaitkannya dengan perasaan cinta yang amat mendalam antara mereka.

“Apa kan daya saya menolak keadaan itu, bila HATI sudah berkenan, segalanya indah dan amat membahagiakan.” Itulah antara hujah yang sering kita dengar daripada mereka yang terlibat dengan kes-kes sedemikian, bukan? Ia sebenarnya hanya alasan melepas diri atau cuba menenangkan perasaan sendiri agar tidak terlalu merasa bersalah dan hina dengan keterlanjuran diri bertindak bodoh.

‘Bila hati sudah berkenan...”
Kes dibawakan di atas bukan semata-mata rekaan penulis. Ia kejadian yang benar-benar berlaku dan dilaporkan media massa. Ia malah hanyalah satu daripada puluhan, atau mungkin ratusan kes serupa yang terjadi di dalam masyarakat kita.

Ada pun sebilangan kes lagi, walau pun premisnya sama iaitu bertitik-tolak daripada hakikat ‘bila HATI sudah berkenan’, tetapi memaparkan jalan cerita berbeza. Kes-kes gadis dan wanita kita ‘lari’ ke Pulau Lombok, Indonesia agak kerap dilaporkan. Hanya semata-mata kerana sudah jatuh HATI kepada lelaki dari sana yang datang mencari rezeki di negara ini, wanita-wanita kita ini akhirnya mencetuskan kekalutan yang tidak sedikit di dalam dan luar negara.

Kes-kes anak ‘gadis’ belasan tahun yang memilih cara hidup lepas bebas juga banyak dilaporkan. Sebilangan mereka secara suka rela hidup bersama pasangan tanpa nikah. Malah, tidak sedikit juga kes budak perempuan yang melarikan diri untuk mengikut suami orang. Sekali lagi kedengaran ungkapan, “apakan daya, bila HATI sudah berkenan...”.

Mengenal fungsi hati
HATI, pada istilah biologinya bermaksud organ dalam badan yang berwarna perang kemerah-merahan, terletak di dalam perut di bahagian sebelah kanan. Ia antara lain berfungsi mengeluarkan hempedu, mengawal kandungan gula dalam darah, menawarkan kesan keracunan nitrogen, menghasilkan urea dan menyimpan glikogen.

Itu makna hati dari sudut sains, yang merupakan takrifan fizikalnya. Ada pun dari sudut pemahaman lebih luas, HATI ialah sebagaimana digambarkan oleh Nabi Muhammad saw dalam salah satu hadithnya yang masyhur. Baginda saw bukan sahaja menyifatkan HATI sebagai seketul daging (mudh-ghah), tetapi turut mengingatkan manusia tentang fungsi besar dimilikinya.

Disebutkannya bahawa jika HATI itu baik, maka baiklah keseluruhan tubuh. Sebaliknya, jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh. Buruk di situ tidak merujuk kepada keadaan fizikal tubuh badan manusia, tetapi dibangsakan kepada tutur-perbuatan yang empunya tubuh.

Ertinya, terasing daripada fungsi-fungsi biologikalnya, seketul daging itu juga sebenarnya adalah pengawal atau raja kepada batang tubuh manusia. Kefahaman tentang hakikat ini barangkali telah bersarang dan tersemai kukuh di minda orang-orang tua kita dulu. Boleh jadi bertolak dari situ mereka banyak mengambil perkataan ‘HATI’ untuk dikaitkan dengan berbagai perkara, khususnya menyentuh perasaan dan perlakuan manusia.

Pemahaman itu agak terserlah menerusi kata orang-orang tua kita, “ikut HATI mati, ikut rasa binasa”. Maksudnya telah disebutkan di atas. Orang yang bertindak ikut HATI dianggap orang beremosi. Ini hanyalah satu daripada puluhan Pepatah Melayu yang menggunakan perkataan ‘HATI’.

HATI juga berperanan besar menentukan corak pertuturan seseorang. Kaitan HATI dan lidah dirakamkan oleh orang-orang tua kita di dalam Pepatah Melayu, “HATI orang yang bodoh itu dimulutnya, dan lidah orang yang pandai itu di belakang HATInya”. Maknanya, orang yang bodoh bercakap tanpa berfikir, manakala orang pandai berfikir sebelum bercakap.

Selain pepatah dan perumpamaan, terdapat juga lebih 40 simpulan bahasa menggunakan perkataan ‘HATI’. Umpamanya, hati batu (bengis dan degil), hati kering (cekal dan berani), hati berdetus (curiga), hati kecil (niat sebenar), berasa hati (tersinggung), berat hati (enggan, kurang senang, terpaksa), makan hati (kecewa dan sedih), bengkak hati (marah), hancur hati (sangat sedih), buah hati (kekasih), hati berbunga (timbul rasa kasih), sehati sejiwa (sepakat, serasi bersama), ada hati (berkenan) dan kata hati (fikiran yang tidak diucapkan)

Jika diperhalusi, kesemuanya ada kaitan dengan perasaan seseorang. Bahkan, perkataan ‘HATI’ itu sendiri tersenarai sebagai satu simpulan bahasa yang membawa maksud ‘perasaan’. Sebab itu apabila membicarakan soal hati, ia mudah menarik perhatian manusia.

Ungkapan-ungkapan membabitkan HATI yang dipetik sebagai pembuka bicara akan menggamit pengamatan orang. Ia memberikan gambaran yang mudah difahami mengenai sesuatu keadaan yang hendak diperkatakan.

Umpamanya, apabila disebut “bila HATI sudah retak...”, kita tahu ia selanjutnya akan membicarakan soal kesedihan atau kekecewaan. Begitu juga, bagi menggambarkan suatu pilihan atau pendirian yang sukar digugah, akan disebut “bila HATI sudah berkenan...”.

Manakala dalam menggambarkan akibat buruk sesuatu tindakan atau mengingatkan tentangnya, kita sering dibawakan ungkapan masyhur tadi, iaitu “ikut hati mati...”. Soalnya, apakah selama-lamanya sesuatu tindakan ikut HATI itu hanya akan membuahkan padah kepada pelakunya?

Di sinilah perlunya manusia, terutama umat Islam, untuk kembali menghayati secara lebih mendalam erti sebenar sabda Junjungan Besar kita yang dipetik di atas. Bahawa seketul daging itu, jika ia baik, maka baiklah seluruh tubuh. Begitulah sebaliknya. Justeru, mengapa kita hanya cenderung mengakui bahawa asal sahaja sesuatu tindakan itu mengikut HATI, ia memberikan natijah buruk?

Bahkan, kita boleh membawakan banyak contoh bagaimana sesuatu tindakan yang berasaskan ‘bila HATI sudah berkenan’ juga menghasilkan natijah positif dalam hidup seseorang. Sepasang anak muda yang masih dalam pengajian, contohnya, memilih untuk menamatkan zaman bujang mereka, sebelum menamatkan pengajian. Walau pun pada awalnya tidak disenangi anggota keluarga dan tidak dipersetujui sebilangan rakan-rakan, mereka akhirnya berkahwin juga.

Alhamdulillah tidak sedikit pasangan sebegini yang kekal bahagia, bahkan memiliki banyak advantage berbanding rakan-rakan lain yang kahwin lebih lewat daripada mereka. Asal saja tindakan “bila HATI sudah berkenan” itu dipandu oleh HATI yang bersih dan bertepatan dengan suruhan agama.

Ada pasangan suami isteri yang mempunyai jarak perbezaan umur sangat jauh. Ada suami yang lebih layak digelar datuk kepada si siteri. Ada juga kes di mana si siteri sebaya dengan umur nenek si suami. Namun, “bila HATI sudha berkenan”, tiada unsur-unsur kepentingan lain yang mampu membinasakan kebahagiaan rumahtangga mereka.

Faktor utama di sini ialah sejauh mana HATI itu telah dipupuk untuk memilih yang baik. Sebagaimana fizikal tubuh badan manusia memerlukan makanan jasadiah, maka hati juga memerlukan makanannya. Makanan hati kerap disebut sebagai santapan rohani, santapan jiwa dan seumpamanya.

Sekiranya hati telah diberikan sajian yang betul, ia akan berfungsi secara betul. Ia akan menepati sabda Junjungan Besar saw tadi, bahawa jika baik hati itu, maka akan baiklah seluruh tubuh tuan empunya badan.

Andai itu telah dicapai, maka tidak akan ada kerisauan jika bertemu keadaan ‘bila HATI sudah berkenan’. Kerana, bila HATI sudah baik, maka tatkala itu pepatah yang mengatakan “ikut HATI mati...” tadi sudah tidak semestinya menghasilkan natijah seperti yang dimaksudkan orang-orang tua kita dulu!

Sudah tiba masanya untuk kita tukar konotasi pepatah itu agar diambil pengajarannya dari perspektif positif!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan majalah bulan ERA Muslimah, Edisi Mei 2012 di ruangan "TOPIK" dengan tajuk sama)

Menggarap iktibar peranan Nasir al-Sunnah


Assalamu’alaikum warahmatullah,

Bismillahirrahmanirrahim. Sebagai asas untuk menginsafi kekurangan diri dan supaya tidak mudah mendabik dada atas pencapaian masing-masing, Islam antara lain mengajar kita bahawa setiap diri itu tidak terlepas dari dua sifat kelemahan, iaitu silap dan lupa.

Pun begitu, ingatan itu bukan bermaksud melemahkan semangat untuk terus berusaha mempertingkatkan pencapaian masing-masing, terutama tahap iman, amal dan taqwa. Kita tidak diajar untuk mudah tertipu dengan bisikan serong kononnya sesuatu kerja mulia dan tanggungjawab berat untuk Islam hanya tertentu buat mana-mana khalayak khusus sahaja.

Islam adalah milik semua umatnya. Justeru, setiap diri bernama muslim berhak memiliki dan memainkan peranan tersendiri menegak dan mengembangkan agama ini. Kita seharusnya berusaha melayakkan diri memikul apa jua seruan dan arahan agama. Lebih-lebih lagi dalam meneruskan tradisi menegakkan Sunnah ditinggalkan Baginda saw.

Salah seorang kolumnis kami dalam coretannya pada keluaran ini menyentuh agak spesifik berhubung peranan besar kelompok dinamakan Nasir al-Sunnah (Pembela Sunnah). Baginya, pihak yang tegak untuk memperkasakan Sunnah Rasulullah saw di saat banyaknya cabaran kini dijanjikan ganjaran yang sangat besar.

Beliau memetik maksud sebuah hadith riwayat Abu Daud dan Tirmizi yang menggambarkan hari atau zaman, di mana bersabar padanya laksana menggenggam bara api. Tatkala itu mereka yang menghidupkan Sunnah dan mengajarnya kepada orang ramai dijanjikan ganjaran berlipatganda.
 
“Sejarah mengajar kita, di saat pusaka peninggalan Nabi itu dilanda dengan cabaran besar, di kala itulah lahirnya pembela-pembelanya, sehingga berapa ramai di kalangan tokoh-tokoh ulama silam yang terkenal dengan Nasir al-Sunnah (Pembela Sunnah), seumpama Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Baghawi dan ramai lagi” (baca Dr Fauzi Deraman, kolum FIKRAH).

Justeru, coretnya lagi, “setiap pencinta Sunnah selayaknya mengambil kesempatan dengan kewujudan berbagai kemudahan teknologi dan ruang yang terbuka luas di hadapan mereka untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap Sunnah Rasulullah saw dalam batas kemampuan dan kemahiran masing-masing.”

Ya, biar pun kita memang terlalu kerdil dan tidak layak menobatkan diri sebagai Nasir al-Sunnah, namun tidak ada salahnya untuk kita jadikan taraf semulia itu sebagai sasaran atau cita-cita untuk dicapai. Untuk itu, kita akan tetap berusaha sedaya mungkin dan sebaik termampu untuk mencapai tahap terpuji sebegitu.

Sokongan dan dukungan para pembaca amat kami perlukan dalam merealisasikan hasrat itu.

Wassalam.

Al-Faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 5 (Mei 2012) di ruangan Editorial dengan tajuk sama)

Idamkan syahid bebaskan bumi Palestin

Oleh: MOHD NASIR AWANG

Muqoddimah
Walau pun pada hakikatnya kesemua bumi adalah milik Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki, akan tetapi Allah memilih bumi Palestin untuk dikurniakan kepada anbiya’ dan rasul-rasulNya yang mulia. Mereka merupakan individu-individu yang dipilih oleh Allah untuk menegakkan agamaNya dan meninggikan kalimahNya.

Palestin adalah antara bumi paling suci. Padanya terbina Masjid Al-Aqsa, destinasi Nabi Muhammad saw diisrakkan dan permulaan kepada mikraj Baginda. Ia juga kiblat pertama orang Islam. Masjid al-Aqsa juga masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, yang perlu bersusah payah untuk mereka pergi menziarahinya.

Di atas bumi Palestin para anbiya’ hidup dan di perut buminya juga bersemadi jasad-jasad mereka, selain menjadi saksi titisan darah para syuhada.

Sebab itu apabila Zionis menubuhkan negara haram Israel di atas bumi Palestin, ia ditentang dan diperangi umat Islam. Perampasan itu merupakan penaklukan di atas dasar perkauman dan keganasan. Negara haram itu tertegak di atas asas untuk mengosongkan bumi Palestin daripada penduduknya secara ganas. Ia berlaku menerusi pembunuhan, penghalauan serta penguasaan ke atas tanah, rumah dan harta benda penduduk asalnya.

Bahkan, kerakusan Israel tidak terhenti hanya di sempadan asal Palestin. Perluasan jajahan takluk negara haram itu melibatkan perampasan lebih banyak tanah negara-negara Arab berjirannya. Ia berlaku dengan penggunaan kekerasan, perampasan dan tindakan jenayah yang disokong dengan menyeluruh oleh negara-negara kuasa besar sehingga sekarang (Awang: 2010).

Ikhwanul Muslimin pembantu utama
Pada permulaannya negara Arab dan Islam bangkit memberikan pertolongan kepada saudara mereka untuk menyelamatkan Palestin. Penyertaan tentera-tentera dan sukarelawan dari beberapa negara Arab, terutama dari kalangan orang Islam, amat ketara. Kelompok paling ke depan menyahut seruan jihad ke sana ialah sukarelawan daripada Ikhwanul Muslimun, sebuah kumpulan Islam paling berpengaruh di rantau itu.

Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Ikhwanul Muslimin adalah gerakan Islam yang paling komited kepada isu Palestin sedari awal ia tercetus. Semasa berlaku revolusi Palestin pada 1936, Ikhwanul Muslimin yang berpusat di Mesir memberikan respons yang segera.

Lajnah Isnad Filistin ditubuhkan oleh Ikhwan di peringkat Pusat sebagai bukti keprihatinan mereka berhubung isu itu. Revolusi yang dilancarkan oleh Sheikh Izzudin al-Qassam itu adalah pencetus kebangkitan rakyat Palestin bagi berhadapan Brisith dan warga Yahudi pendatang (Malik: 2009).

Kemuncak hubungan antara Ikhwanul Muslimin dan rakyat Palestin adalah penyertaan sukarelawan Ikhwan dalam jihad menentang Zionis pada tahun 1948. Sejak tahun itu Ikhwan mengisytiharkan bumi Palestin sebagai bumi jihad dan menjadi kewajiban bagi setiap anggota gerakan itu berjuang memerdekakannya.

Tindakan mereka ini telah memberikan kesan yang sangat baik. Ia selayaknya membuahkan kemenangan di pihak Palestin jika tidak kerana perancangan jahat dunia dan pengkhianatan dari dalam yang telah memberikan ruang kepada jenayah kemanusiaan tersebut terus berlaku.

Anak muda idamkan syahid
Keghairahan para pendukung Ikhwanul Muslimin menyempurnakan arahan kepimpinan gerakan itu untuk mara ke medan jihad di Palestin memang menjadi antara bahan catatan sejarah paling menarik. Salah seorang daripada mereka ialah seorang pemuda belasan tahun bernama Abdul Wahab al-Bitanuni.

Kebetulan beliau adalah salah seorang sahabat karib kepada Dr. Yusuf Al-Qardhawi, kini seorang ulama tersohor di serata dunia. Dalam satu catatannya, Al-Qardhawi menyifatkan Abdul Wahab sebagai “seorang pemuda yang pada mulanya ‘tertidur’, tetapi kemudian bangkit berjihad di Palestin. Dia seperti Qais, jihad adalah Laila baginya”.

Cita-citanya untuk ikut bertempur menghalang keganasan Zionis akhirnya tidak dapat dibendung lagi. Malah, di kalangan rakan-rakan dan gurunya juga sudah ada yang seakan merasai betapa Abdul Wahab akan berjaya mencapai impiannya untuk mati syahid di bumi Palestin.

“Pada pandanganku, Abdul Wahab merupakan seorang pemuda yang memiliki taqwa yang tinggi dan jiwa yang bersih. Guru kami, Ustaz Al-Bahi al-Khuli pernah berkata: “Setiap kali melihat wajah Abdul Wahab, aku merasa seperti melihat darah syahid mengalir di wajahnya”, al-Qardhawi mengimbau firasat gurunya.

Rintangan pertama
Namun, sepertimana kebanyakan rakannya yang lain, Abdul Wahab turut berdepan pelbagai karenah dan cubaan sebelum berjaya mencapai cita-cita yang diimpikannya. Untuk berjihad di Palestin, beliau terpaksa melalui dua rintangan utama. Pertama, restu daripada ibunya, seorang ibu tunggal yang memerlukan penjagaan.

Kebetulan pula Abdul Wahab juga merupakan satu-satunya anak yang dimilikinya. Di bahu anak tunggal itulah terpikul amanah memastikan keselamatan dan kebajikan keluarga itu. Maka terfikir oleh Abdul Wahab betapa sudah tentu ibunya tersangat keberatan untuk melepaskan beliau pergi. Jadi, bagaimana mungkin dia dapat menyertai rakan-rakannya ke Palestin dalam keadaan sebegitu?

Kebimbangan itu menghantui Abdul Wahab. Di satu pihak, dia ada ibu yang memerlukan teman dan penjagaan. Di pihak yang lain, dia seakan sudah tercium bau syahid yang dicita-citakannya. ‘Laila’ nya itu seakan-akan melambai-lambainya siang dan malam.

Desakan impiannya itu menyebabkannya bertekad meluahkan hasrat menggunung itu kepada ibunya. Beliau bagaimana pun tidak memiliki cukup keberanian untuk berdepan sendiri, lantas meminta rakan-rakannya menjadi perantara untuk menjelaskan perkara itu kepada ibunya, supaya dia diizinkan berjihad di Palestin.

Al-Qardhawi mencatatkan, “waktu itu, aku sendiri bersama saudara Ahmad Assal dan Ahmad Muhammad Shaftawi telah pergi ke rumah Abdul Wahab di Kampung Kfar Haurin, Santah Pusat. Kami bercerita tentang ibu-ibu para mujahidin yang tercatat sebagai para pahlawan dalam sejarah Islam. Begitu juga tentang keinginan dan kerinduan Abdul Wahab untuk berjihad di Palestin.”

“Kami nyatakan kepada ibunya, bahawa jihad sama sekali tidak akan dapat mempercepat atau melambatkan ajal seseorang. Bahawa orang yang tidak mati di hujung pedang pasti akan mati dengan sebab yang lain. Sesungguhnya apabila telah tiba ajal kematian seseorang, maka ia tidak mungkin dapat ditangguhkan lagi.”

Panjang lebar tiga sahabat itu berhujah dan membujuk hati sang ibu. Akhirnya, dengan hati syahdu dia menginsafi betapa anaknya yang sangat dikenalinya itu sudah tidak dapat dihalang lagi daripada mengejar cita-cita sucinya.

Lantas kata sang ibu: “Jika ini memang menjadi keinginan Abdul Wahab, maka aku tidak mungkin dapat menghalangnya lagi. Aku serahkan perkara ini kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Aku berdoa kepada Allah agar Dia menolong anakku dan juga seluruh anggota sukarelawan Ikhwanul Muslimin yang berada di medan jihad. Aku berharap Dia mengembalikan mereka dalam keadaan selamat dengan membawa kemenangan.”

Alangkah gembiranya Abdul Wahab mendengar jawaban ibunya itu. Lidahnya kelu tanpa kata. Cucuran air matanya tidak dapat dikekang lagi. Dia segera memeluk ibunya dengan penuh perasaan kasih dan terimakasih, sambil meminta ibunya agar tidak putus-putus mendoakannya.

Halangan kedua
Terlerai sudah rintangan pertama. Abdul Wahab kini berdepan pula halangan kedua, iaitu mendapatkan pelepasan daripada pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin. Dimaklumi umum ketika itu bahawa telah menjadi keputusan Maktab Irsyad Ikhwanul Muslimin melarang penyertaan pelajar sekolah menengah untuk berjihad di Palestin.

Bagaimana pun, terdapat pengecualian kepada peraturan ketat itu, iaitu mana-mana pelajar sekolah yang berhasrat ke medan jihad itu perlu mendapatkan sokongan Mursyidul Am, Imam Hasan al-Banna sendiri. Untuk itu, kes dihadapi Abdul Wahab ini perlu di bawa ke pengetahuan dan pertimbangan Mursyidul Am sendiri di Kaherah.

“Ketika itu kami bersama Assal, Shaftawi dan Abdul Wahab bertolak ke Kaherah untuk meminta pelepasan daripada Mursyidul Am. Ternyata usaha kami berhasil. Kami pulang untuk menyampaikan berita gembira itu kepada Abdul Wahab,” al-Qardhawi menyambung ceritanya.

Tidak syak lagi khabar itu merupakan kegembiraan berganda buat Abdul Wahab. Padanya ketika itu sudah tidak ada apa-apa lagi yang memisahkan dirinya dengan impian syahid yang ingin dicapainya. Dia telah lama berhasrat menjejakkan kaki ke bumi Israk Mi’raj Nabi saw. Dia mahu merasai keseronokan berada di bumi kiblat pertama umat Islam itu.

Dia juga mahu melihat sendiri masjid ketiga paling dimuliakan di sisi agamanya. Bahkan lebih membanggakannya ialah apabila kehadirannya ke tempat suci itu dengan jiwa dipenuhi tekad membebaskannya daripada pencerobohan dan penodaan sekumpulan manusia rakus bergelar Zionis Israel.

Mencapai impian syahid
Akhirnya, saat ditunggu-tunggunya telah tiba. Namanya telah disenaraikan dalam kumpulan sukarelawan bersama ratusan mujahidin Ikhwanul Muslimin yang lain. Kumpulannya itu bergerak dari Tanta menuju Kaherah.

Di sana mereka bercantum dengan kumpulan-kumpulan sukarelawan Ikhwan lain dari pelbagai cawangan di serata Mesir dan rantau Timur Tengah. Mereka akhirnya bergerak ke medan jihad bersama tekad mencapai impian, sama ada kemenangan mahu pun syahid, beserta iringan doa anggota keluarga dan rakan-rakan.

Sebagaimana disebutkan di atas, tentangan diberikan pasukan mujahidin, khususnya yang dianggotai sukarelawan Ikhwan ternyata mencemaskan tentera Israel. Namun, disebabkan bantuan persenjataan dan kekuatan tentera diterima negara haram itu dari negara-negara sekutunya amat besar, kemaraan tentera sukarelawan di pihak Palestin gagal menumpaskan mereka. Sebaliknya, tidak sedikit di antara mujahidin Islam itu yang gugur.

Di antara yang syahid itu ialah Abdul Wahab. Diceritakan beliau bersama beberapa orang mujahidin telah bertindak berani menyerang salah sebuah markas tentera Israel. Tentera Israel bagaimana pun berjaya melakukan serangan balas, sehingga memaksa pasukan mujahidin Ikhwan itu berundur.

Namun, tentera negara haram itu tidak membiarkan mereka berlalu dengan selamat. Mereka sebaliknya diburu, sehingga akhirnya terpaksa mencari perlindungan di tempat pembuatan senjata milik tentera Zionis. Mereka terkepung di situ.

Dalam keadaan sudah tidak ada pilihan, melainkan terus mendepani hujanan peluru musuh itu, kematian bukan lagi suatu yang mungkin dielakkan. Tatkala itulah terdetik di hati Abdul Wahab dan kumpulannya itu, bahawa alang-alang sudah pasti akan mati dalam keadaan tersepit sebegitu, maka seeloknya mereka mati dengan cara yang paling baik, yakni memberikan manfaat semaksima mungkin untuk pihak Palestin.

Justeru, mereka berkeputusan untuk mengorbankan diri dengan meletupkan tempat pembuatan senjata itu. Percayalah, Abdul Wahab dan rakan-rakannya benar-benar memilih untuk mati dalam cara sedemikian. 

Rujukan:
-          Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, 2011. Aku dan Al-Ikhwan Al-Muslimun. Mutiara Ilmu Selekta Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
-          Abdul Hadi Awang, 2010. Palestin: Daripada Perampas Jalanan Kepada Peta Jalanan. Jundi Resources, Kuala Lumpur.
-          Dr. M. Abdul Qadir Abu Faris, 2011. Fiqh Politik Hasan Al-Banna. Mutiara Ilmu Selekta Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
-          Maszlee Malik, 2009. HAMAS – Pejuang Kota Suci Baitulmuqaddis. PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan DIAN - Ihya' As-Sunnah Edisi 5 (Mei 2012) di ruangan SECEBIS KISAH dengan tajuk sama)

Saidina Abu Bakar ra – rendah diri terhadap isyarat kepimpinan

Oleh: MOHD NASIR AWANG

TELAH digambarkan bagaimana berita kewafatan Junjungan Besar Nabi Muhammad saw mencetuskan suasana teramat suram dan hingar-bingar di kalangan kaum muslimin. Seluruh kota Madinah bagaikan bersipongang dengan esak-tangis para sahabat dan pengikut Baginda saw yang amat sukar menerima hakikat pemergian orang yang paling mereka kasihi itu.

Namun, keteguhan hati Saidina Abu Bakar as-Siddiq telah mengurai kekusutan hari itu. Walau pun sangat sedih dengan ketiadaan Baginda, sahabat Rasulullah paling akrab itu juga muncul orang paling tabah dan paling berfikiran positif menghadapi suasana paling tidak diingini itu.

Isyarat-isyarat agak jelas oleh Baginda mengenai hampirnya kedatangan hari perpisahan itu telah difahami Abu Bakar. Beliau nampaknya telah mempersiapkan hati dan perasaannya untuk menghadapi hari paling menyedihkan itu.

Lantas, dia bingkas menenangkan kaum muslimin sekaligus memperbetulkan sikap segelintir mereka, khususnya Saidina Umar al-Khattab ra, yang sukar menerima hakikat kewafatan Baginda saw. Hal itu telah disinggung dalam edisi-edisi sebelum ini.

Mencari pengganti Baginda saw
Syaikh Mahmud al-Mishri lewat Sahabat-Sahabat Rasulullah saw mencatatkan, “kemudian hampir terjadi fitnah besar antara orang-orang Muhajirin dengan orang-orang Ansar terkait dengan perkara khilafah, sekali pun kita tetap yakin secara bulat bahawa para sahabat Nabi saw tidak mencari kecuali redha Allah dari apa yang mereka lakukan”.

Beliau turut memetik komentar oleh Imam an-Nawawi rahimahullah lewat Syarh Sahih Muslim lin Nawawi yang berkata, “Nabi saw meninggal, sedangkan beliau tidak menunjuk pengganti dengan dalil yang jelas. Ini adalah mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah, bahkan para sahabat bersepakat untuk mengangkat Abu Bakar sebagai khalifah dan mendahulukannya kerana keutamaannya.”

“Seandainya ada nas yang menunjuk Abu Bakar atau selain Abu Bakar (sebagai khalifah), nescaya tidak terjadi pertentangan dari orang-orang Ansar dan selain mereka untuk pertama kalinya, dan orang yang membawa nas tersebut nescaya akan menyebutkan apa yang dia bawa, lalu para sahabat rujuk kepadanya. Tetapi kenyataannya mereka berselisih terlebih dahulu kerana memang tidak ada nas yang langsung, kemudian mereka bersepakat untuk memilih Abu Bakar dan itulah kesepakatan mereka.”

Diriwayatkan orang-orang Ansar berkumpul di Saqifah Bani Saidah. Mereka meneriakkan, “dari kami seorang pemimpin dan dari kalian seorang pemimpin”. Maksudnya, sebagai menggantikan Baginda saw, mereka mahu seorang pemimpin diangkat dari kalangan Ansar dan seorang dari Muhajirin. Bahkan, orang-orang Ansar sudah ada calon mereka, iaitu Saad bin Ubadah.

Sebuah hadith dari Abdullah ra, menggambarkan suasana hari tersebut. Ia berbunyi, “ketika Nabi saw wafat, orang-orang Ansar berkata, “dari kami seorang pemimpin dan dari kamu (Muhajirin) seorang pemimpin.” Maka Umar datang kepada mereka, dia berkata, “bukankah kamu mengetahui bahawa Rasulullah saw telah memerintahkan kepada Abu Bakar untuk menjadi imam kaum muslimin dalam solat? Siapa di antara kamu yang jiwanya rela mendahului Abu Bakar? Maka mereka (orang-orang Ansar) menjawab, “kami berlindung kepada Allah kalau kami sampai mendahului Abu Bakar.” [HR an-Nasaie (II/74, 75), Ahmad (I/21) dan al-Hakim (III/67)]

Abu Bakar, Umar saling “tunjuk-menunjuk”
Dalam riwayat lebih panjang, kekecohan dicetuskan golongan Ansar di Saqifah Bani Saidah itu akhirnya memaksa Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah datang kepada mereka. Di situ berlaku pertembungan pendirian antara mereka dengan ketiga-tiga sahabat utama dari kalangan Muhajirin itu.

Lebih menarik lagi, dalam proses mencadangkan pengganti Rasulullah saw itu, berlaku “tunjuk-menunjuk” di antara dua sahabat utama Baginda, iaitu Abu Bakar dan Umar. Diriwayatkan Abu Bakar telah berkata kepada kaum Ansar yang hadir, “kami adalah umara (pemerintah), sedangkan kamu adalah wuzara’ (wazir atau menteri)”.

Maka Hubab bin al-Munzir, mewakili kaum Ansar menjawab, “demi Allah, kami tidak setuju. Dari kamu (Muhajirin) seorang pemimpin dan dari kami juga seorang pemimpin”.

Abu Bakar berkata, “tidak, akan tetapi kami adalah umara, sedangkan kamu adalah wuzara’. Mereka adalah orang-orang Arab yang paling mulia negerinya dengan nenek moyang Arab asli. Silakan anda semua membaiat Umar atau Abu Ubaidah”.

Apa yang diucapkan Abu Bakar itu bukan sahaja sebagai strategi politik menyelesaikan kekusutan yang sedang dialami ketika itu, malah turut menzahirkan jiwa besarnya mendahulukan sahabat lain berbanding dirinya untuk diberikan amanah kepimpinan.

Apatah lagi Umar seringkali disebut Baginda saw secara bergandingan dengan namanya sendiri sebagai orang harapan Rasulullah. Antaranya, sebagaimana dirakam dalam hadith dari Huzaifah ra, di mana Rasulullah saw bersabda: ‘Sesungguhnya aku tidak tahu berapa lama lagi aku berada di antara kamu. Maka teladanilah dua orang sepeninggalanku: Abu Bakar dan Umar.” [HR at-Tirmizi (no. 3663, 3664). At-Tirmizi berkata, ‘ini adalah hadith hasan.]

Umar juga tidak kurang hebatnya menelah apa yang dimaksudkan Abu Bakar itu. Lantas Umar berkata, seakan menyanggah kembali kata-kata sahabatnya itu, “bahkan lebih layak kami membaiatmu (Abu Bakar). Engkau adalah sayyid kami, orang terbaik kami dan orang yang paling dicintai oleh Rasulullah saw”.

Lalu Umar terus mencapai tangan Abu Bakar dan membaiatnya. Melihatkan tindakan Umar itu, sekalian yang hadir pun turut membaiat Abu Bakar. Demikian difahami dari maksud hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 3667) dari Aisyah ra.

Memahami Isyarat Rasulullah saw
Apa yang dilakukan Umar itu mungkin kelihatan spontan. Namun, jangan dinafikan keilmuan dan kerincian pemerhatian beliau terhadap sebilangan sabda dan ingatan Baginda saw, yang boleh dikaitkan sebagai isyarat terhadap kelebihan Abu Bakar.

Antaranya ialah hadith-hadith berikut:
1. Dari Aisyah ra, ia berkata, “Rasulullah saw bersabda kepadaku ketika Baginda sakit: ‘Panggillah ayahmu dan saudaramu sehingga aku mampu menulis sebuah surat, kerana aku khuatir ada orang yang berharap dan ada orang yang berkata, ‘aku lebih berhak’. Padahal Allah dan orang-orang mukmin menolak selain Abu Bakar.’ [HR al-Bukhari (no. 7217) dan Muslim (no. 2387)]

2. Dari Aisyah ra, ia berkata, ‘Rasulullah saw solat di belakang Abu Bakar dalam keadaan duduk pada saat Baginda sakit, di mana akhirnya Baginda wafat. [HR Ahmad (VI/159). Diriwayatkan juga oleh at-Tirmizi dan dia berkata, ‘hadith sahih’.]

3.  Dari Jubair din Muth’im dari ayahnya ra, ia berkata, “seorang wanita datang kepada Nabi saw, lalu Baginda memintanya (wanita itu) untuk kembali semula kepadanya. Maka wanita itu berkata, “bagaimana jika aku datang kepadamu dan aku tidak mendapatimu (seperti bermaksud Baginda telah tiada)?” Maka Nabi saw bersabda: Jika engkau tidak mendapatiku, datanglah kepada Abu Bakar. [HR Bukhari (no. 7220) & Muslim (no. 2386)]

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah berkata dalam al-Fath, “menjadikan hadith ini sebagai dalil yang menunjukkan bahawa Abu Bakar merupakan khalifah setelah Nabi saw adalah sahih (benar), tetapi hanya sebagai sebuah isyarat sahaja, bukan petunjuk langsung (nyata).”

“Ini juga tidak bertentangan dengan apa yang dinyatakan secara pasti oleh Umar bahawa Nabi saw tidak menunjukkan pengganti, kerana maksud Umar adalah tidak menunjuk pengganti secara langsung. Wallahu a’lam. Al-Kirmani berkata, “hadith ini dijadikan sebagai dalil atas khilafah Abu Bakar.” [Fathul Baari (XIII/345)]

Kelebihan Abu Bakar mengatasi Umar
Bahkan, dalam beberapa kejadian tertentu, Baginda saw secara jelas menzahirkan pilihannya yang mengutamakan Abu Bakar berbanding Umar. Antara hadith yang dapat difahami sebagai memperincikan sikap tersebut ialah:

1. Dari Ibnu Mulaikah rahimahullah, ia berkata, ‘Aku mendengar Aisyah ditanya, ‘siapa orang yang akan diangkat oleh Rasulullah saw sebagai penggantinya seandainya beliau melakukan?’ Dia menjawab, ‘Abu Bakar’. Dia ditanya, ‘lalu siapa setelah Abu Bakar?’ Dia menjawab, ‘Umar’. [HR Muslim (no. 2385)]

2. Dari Abdullah bin Zam’ah ra ia berkata, “ketika sakit Nabi saw semakin parah, aku bersama beberapa orang kaum muslimin berada di sisi Baginda. Bilal mengajak Baginda solat, maka Rasulullah saw bersabda: Perintahkanlah seseorang untuk menjadi imam bagi kamu. Dia berkata, maka Abdullah bin Zam’ah keluar. Ternyata Umar telah bersama kaum muslimin. Pada saat itu Abu Bakar belum hadir, maka aku berkata, “Wahai Umar! Solatlah bersama kaum muslimin”. Umar maju dan bertakbir.”

“Ketika Nabi saw mendengar suara Umar, kerana Umar adalah lelaki yang bersuara lantang, maka Baginda bertanya, ‘di manakah Abu Bakar? Allah dan kaum muslimin tidak menerima hal ini. Allah dan kaum muslimin tidak menerima hal ini.’ Maka seseorang mencari Abu Bakar. Dia datang setelah Umar solat, maka Abu Bakar solat bersama kaum muslimin.” [HR Abu Daud (no. 4660, 4661). Disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Daud (no. 3895)]

3. Dalam riwayat lain, ketika nabi saw bersabda: ‘Perintahkanlah Abu Bakar agar menjadi imam solat bagi kaum muslimin’, Aisyah berkata, ‘jika Abu Bakar menggantikanmu, maka orang-orang tidak mendengarnya kerana dia akan menangis. Mintalah Umar untuk menjadi imam solat bagi kaum muslimin’.

Aisyah berkata: Aku berkata kepada Hafsah, ‘Katakanlah kepada (pujuklah) Nabi saw, ‘jika Abu Bakar menggantikanmu, maka orang-orang tidak mendengarnya kerana dia akan menangis. Mintalah Umar untuk menjadi imam solat bagi kaum muslimin. Hafsah pun melakukannya. Maka Rasulullah saw bersabda: “Cukup, kamu semua ini benar-benar seperti wanita-wanita di sekeliling Yusuf. Perintahkanlah Abu Bakar agar dia menjadi imam solat orang-orang.” [HR al-Bukhari (no. 679) dan Muslim (no. 418)]

Umar sememangnya menyedari kedudukannya yang sedemikian di sisi Rasulullah saw. Bahawa beliau tidak mungkin dapat menandingi, mahu pun menyamai Abu Bakar, di atas beberapa kelebihan dan kesitimewaan yang memang dianugerahkan Allah SWT kepada sahabatnya itu.

Sebab itu Umar pernah diriwayatkan sebagai bertegas, “aku dibawa ke depan lalu leherku dipenggal lebih aku sukai daripada aku memimpin suatu kaum di antara mereka adalah Abu Bakar.”  Hal ini dicoretkan Ibnu Hisyam lewat As-Sirah an-Nabawiyah, menukilkannya dari Ibnu Abbas ra.

Abu Bakar merendah diri
Namun, kelebihan diisyaratkan Nabi saw itu tidak pernah dianggap sebagai lesen atau pengiktirafan yang mutlak oleh Abu Bakar sendiri. Dalam setiap keadaan beliau hanya bertindak semata-mata sebagai memenuhi arahan diminta Rasulullah. Bukti kesetiaan dan kebanggaan Abu Bakar berdiri di belakang Nabi saw terserlah menerusi dua kes direkodkan pada hari-hari terakhir sebelum kewafatan Baginda saw.

Syeikh Safi-ur-Rahman al-Mubarakpuri lewat Cahaya Abadi (terjemahan Ar-Rohiqul Makhtum) mencatatkan dua hari sebelum kewafatannya, “Nabi saw berasa segar kembali dan boleh mengerjakan solat. Lantas Baginda saw bangun bersandar kepada dua orang jemaah untuk solat Zohor. Melihat Baginda sihat, Abu Bakar yang hendak memulakan solat menarik diri daripada menjadi imam. Tetapi Baginda memberi isyarat supaya Abu Bakar berdiri di situ sambil berkata, “dudukkan aku di sisinya.”

Mereka meletaknya duduk di sebelah kiri Abu Bakar. Baginda menjadi imam sementara Abu Bakar mengikutnya tetapi meninggikan suaranya setiap kali Nabi saw menyebut ‘Allahu Akbar’, dengan demikian jemaah dapat mendengar dengan jelas.” Hadith ini dipetiknya dari Sahih al-Bukhari, 2/637.

Ertinya, Abu Bakar tidak menunjukkan keinginan diri untuk berada di hadapan selagi mana beliau merasakan ada orang lebih layak – bahkan paling layak – mengetuai kaum muslimin dalam solat. Sikap rendah diri dan menyedari tahap kedudukannya itu diulangi keesokannya, sepertimana direkodkan di dalam hadith diriwayatkan oleh Anas bin Malik.

Katanya, “ketika para jemaah hendak bersolat Subuh pagi Isnin (hari terakhir hayat Baginda saw) itu, yang akan diimami Abu Bakar, mereka terperanjat melihat Baginda menyingkap tabir di bilik Aisyah, untuk melihat mereka berbaris betul untuk bersolat seraya tersenyum gembira. Melihat Baginda, Abu Bakar berundur ke belakang menyertai barisan para makmum untuk memberi laluan kepada Baginda mengimamkan solat, kerana memikirkan Baginda menyertai mereka. Para jemaah bergembira malah hampir terpesona melihatnya. Bagaimana pun, Baginda memberi isyarat supaya mereka meneruskan solat dan Baginda masuk semula ke bilik lalu melabuhkan tirai.” [Sahih Muslim, 2/246]

Dua kejadian diutarakan itu sudah cukup membuktikan sifat rendah diri dan sedar diri Abu Bakar tentang tarafnya berbanding Baginda saw. Beliau tidak akan sekali-kali mendahului Nabi saw selagi mana Baginda masih mampu berada di hadapan. Beliau adalah pengikut paling setia kepada Rasulullah saw. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-          Syaikh Mahmud al-Mishri, 2010. Sahabat-Sahabat Rasulullah saw. Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta.
-          Abdul Hadi Awang, 2010. Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa ar-Rasyidin. PTS Islamika Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Abdurrahman Asy-Syarqawi, 2011. Abu Bakar Al-Siddiq The Successor, Yamani Angle Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Safi-ur Rahman al-Mubarakpuri, 2011, Cahaya Abadi (Terjemahan ar-Rohiqul Makhtum), Al-Hidayah House of Publishers Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Dr. Khalid Muhammad Khalid, 2006. Sejarah 133 Wira Terbilang di Zaman Rasulullah saw. Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.

 (Artikel ini disiarkan majalah bulanan DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 5 (Mei 2012) di ruangan KENALI SAHABAT RASULULLAH dengan tajuk sama)


Hadith palsu punca kesesatan umat

Oleh: Mohd Nasir Awang

Kerap disebut orang, terutama oleh para ilmuan Islam dan khalayak yang dekat hati dan hidup mereka kepada Allah SWT, bahawa kejayaan dan kecemerlangan mana-mana kelompok umat Islam bergantung pada sejauh mana mereka berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Semakin jauh dia dengan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi, maka pada prinsipnya semakin dekatlah mereka dengan kesesatan dan kegagalan.

Rahsia kejayaan para sahabat dan tabien diiktiraf sebagai generasi paling cemerlang di kalangan umat Islam adalah kerana pegangan mereka yang kuat kepada ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi tanpa mereka merubahnya, menambahnya atau menyelewengkannya daripada maksudnya yang sebenar.

Justeru, formula terbaik bagi umat Islam pada hari ini dalam berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk keruntuhan moral dan akhlak serta dipandang hina dan lemah oleh musuh-musuh Islam ialah kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

Alhamdulillah kesedaran di kalangan umat Islam global untuk kembali menghayati dan mengatur hidup bersandarkan dua sumber ajaran tertinggi itu senantiasa bersemarak sejak sekian lama, bahkan semakin terserlah mutakhir ini. Bagaimana pun, ia tidak terlepas daripada unsur-unsur yang mampu memesongkan matlamat suci itu.

Di antara cabaran atau pemesongan paling bahaya ialah wujudnya fitnah dan gerakan pemalsuan hadith, yakni mendakwa sesuatu rangkap kata itu sebagai sabda Rasulullah saw, sedangkan sebenarnya ia bukan dari Baginda saw. Kajian dibuat para ulama Islam dan para pengkaji hadith menunjukkan banyak hadith palsu mula direka selepas berlakunya pergolakan pada akhir zaman Khulafa ar-Rasyidin.

Walau pun para ulama sejak zaman itu telah bangkit menentang fitnah itu, namun penyebaran hadith-hadith palsu terus juga berlaku, sama ada angkara musuh-musuh Islam yang menyamar sebagai orang Islam, mahu pun oleh orang-orang Islam yang jahil atau orang-orang yang mempunyai kepentingan peribadi.

Sehingga kini hadith-hadith maudhu’ dan yang sebangsa dengannya masih tersebar meluas di kalangan masyarakat Islam serata dunia. Bahkan, rangkap-rangkap sebegini banyak dijadikan sandaran dalam urusan-urusan ibadat dan pegangan hidup umat Islam, tidak terkecuali di negara kita sendiri. Sedangkan menjadi satu kesalahan besar menyebar dan mengamalkan hadith-hadith maudhu’ dalam apa jua urusan hidup, bahkan kesesatan umat Islam berpunca dari sini.

Menyedari natijah buruk ini, maka Drs Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris menyusun buku Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’ . Ia menyenaraikan hadith-hadith yang disebut maudhu’ serta hadith-hadith matruk dan mungkar. Hadith-hadith ini dipilih dari buku-buku yang ditulis oleh para muhaddithin dan pengkritik.

Buku Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’ didatangkan dalam dua jilid. Mengandungi masing-masing 1002 dan 1676 hadith yang disifatkan oleh penuli sebagai “haram digunakan untuk semua tujuan dan haram diriwayatkan atau disebarkan tanpa menyebutkan kecacatannya atau rutbahnya.”

Mudah-mudahan usaha ini dapat membantu membasmi penggunaan hadith yang tidak dibolehkan dalam masyarakat kita, seterusnya membantu umat Islam mengelakkan diri dari tersesat. - Editor
INFO:
Tajuk: Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’
Penyusun: Drs Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris
Penerbit: Al-Hidayah Publishers, Jalan Ipoh Kecil, Kuala Lumpur.
Tahun diterbitkan: Jilid I – 2006 (Cetakan keempat); Jilid II – 2009 (Cetakan ketiga)

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 5 (Mei 2012) di kolum RAK BUKU DIAN dengan tajuk sama)