Thursday, April 28, 2011

Semakin ramai artis, selebriti hiasi pentas politik

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Sudah sah. Pelakon dan pengacara, Mizal Zaini atau lebih dikenali sebagai AC Mizal, menyertai Umno. Beliau bersama isteri yang juga seorang artis, Emylia Rosnaida, dilaporkan menyerahkan borang keahlian mereka dalam satu program Jom Masuk Umno di Ipoh, Ahad (2 April).

“Saya bersetuju menyertai Umno setelah dipelawa Ketua Pemuda Bahagian Ipoh Barat, yang selama ini saya lihat begitu komited dalam perjuangan menegakkan keadilan,” media cetak pada Isnin memetik kata AC Mizal.

Turut dilaporkan menemani beliau menyerahkan borang keahlian Umno pada majlis sama ialah pengarah filem kelahiran Perak, Mohamad Mohd Khalid atau Mamat Khalid.

Biar pun kehadiran mereka di pentas politik berjaya mencuri ruang di dada media, penyertaan kalangan artis atau selebriti ke dakapan Umno bukan suatu yang mengejutkan. Ia sama sekali tidak dianggap luar biasa.

Sebelum ini pun sudah ramai khalayak penghibur tanahair yang tampil menghiasi perhimpunan atau program Umno, sama ada atas nama jawatan tertentu dalam parti, sebagai penyokong tegar, mahu pun sekadar mengisi aturcara selaku artis undangan.

Lagi pun, Umno memang diketahui umum amat gemarkan program hiburan. Pantang ada karnival, perhimpunan atau apa juga pesta-pestaan, sudah pasti akan ada persembahan pentas oleh artis-artis.

Malah dalam kehangatan kempen pilihan raya pun, Umno tidak kekok memperalatkan artis, sepertimana dilakukannya di Tenang, Kerdau dan beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini. Terbukti dengan umpan hiburan itu Umno berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat ke pentas politiknya, di samping sekaligus mewujudkan kacau-ganggu kepada majlis ceramah parti lawan di lokasi berdekatan.

Bahkan, sebilangan yang jadi artis itu pun ada dari kalangan anak menteri atau sanak-saudara para pemimpin utama Umno. Justeru, keakraban hubungan Umno-artis bukan lah suatu yang luar biasa. Kedua-dua khalayak itu bagaikan isi dengan kuku.

Sebab itu agak menghairankan kenapa media perlu membesar-besarkan berita AC Mizal dan isteri masuk Umno. Jika dikatakan ia mampu menjadi pendorong kepada lebih ramai golongan muda menyokong parti itu, sejarah membuktikan penyertaan sebilangan artis sebelum ini tidak lah membuahkan tarikan sehebat mana.

Atau apakah ia sengaja diatur bagi mengimbangi kecenderungan agak ketara khalayak artis dan selebriti muncul di pentas parti lawan? Memang kebelakangan ini di antara tokoh yang agak laris diundang menghiasi program anjuran parti pembangkang, khususnya PAS, ialah dari kalangan penghibur.

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Lokman Ahmad adalah contoh ketara. Beliau dikatakan tidak menang hari memenuhi jemputan pelbagai peringkat organisasi PAS di serata negara sejak mengisytiharkan menyertai parti itu awal tahun ini.

Apa yang mungkin lebih menggusarkan Umno ialah penampilan Bob Lokman yang sama sekali berbeza. Bukan sahaja cara berpakaiannya membuktikan penghijrahannya dari dunia glamour ke penghayatan agama, malah tutur bicaranya yang persis seorang ilmuan Islam juga memukau hadirin. Tidak hairan lah beliau diundang dan terus diundang pelbagai pihak untuk berbagai sesi ucapan.

Banyak pihak mensyukuri kehadiran Bob Lokman yang mereka sifatkan “mengisi kekosongan” ditinggalkan Ustaz Akhil Hayy Rawa yang kini tidak lagi berkesempatan turun ke medan sehebat dulu. Mereka ini mewakili golongan ‘crowd puller’ dari kategori tersendiri yang berlainan daripada tokoh-tokoh pidato biasa di pentas politik. Mereka ada daya tarikan tersendiri, terutama bersandarkan latarbelakang penglibatan seni mereka.

Bagaikan bermusim, kehadiran selebriti di pentas politik seakan tidak memihak kepada parti pemerintah. Itulah sebenarnya yang amat dicemburui Umno dan rakan-rakannya. Sudah tentu Bob Lokman bukan satu-satunya kelibat yang memeningkan khalayak pemerintah. Sebelum kemunculan beliau pun, pentas sama pernah dihidupkan individu sejalannya.

Vokalis Blues Gang, Ito, pernah memetik gitar dan meniup harmonika di pentas hiburan alternatif. Sabri Yunus dan rakan-rakan pernah mempopularkan teater Islamik, hingga ke anjung masjid-masjid. Yassin Brothers pernah mengakui turut berkempen untuk pembangkang di Selangor.

Komposer dan penyanyi terkenal dari Kedah, Pak Long atau nama sebenarnya Shafie Ahmad, juga giat memenuhi pentas hiburan alternatif. Tidak ketinggalan bekas vokalis utama kumpulan Melissa, Radzi Hamid, yang kini dipanggil ‘ustaz’. Minggu lalu, kedua-dua mereka dilaporkan terlibat dalam siri jelajah Terengganu dengan persembahan dan ceramah di Dungun, Kemaman dan Kuala Nerus.

Tidak syak lagi kecenderungan khalayak artis dan selebriti menghiasi pentas politik pembangkang suatu yang merimaskan Umno. Ditambah lagi, minggu lalu juga media menyiarkan gambar pelakon Catriona Bahrin Ross dan Ezzaq Farrouq Harahap atau Cico yang berada di kalangan para pemimpin dan penyokong PAS di dua majlis berasingan, masing-masing di Kelantan dan ibukota.

Mereka menafikan hadir sebagai penyokong parti, tetapi lebih sebagai seorang Islam yang mahu menyumbang kepada kesedaran hidup beragama. Meski pun kenyataan itu menafikan penglibatan politik mereka, ia sudah cukup merisaukan Umno, yang diketahui tidak minat memberati soal agama dalam kehidupan seharian.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1635, 29 April 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Monday, April 25, 2011

Kalah bukan alasan untuk PAS undur dari Sarawak

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Memang ada pihak yang agak sinikal dengan penampilan PAS. Mereka ini sedari awal sukar menilai kewajaran parti Islam itu hadir ke dalam politik Sarawak. Bermacam-macam alasan dan hujah diberikan. Antaranya, dikatakan dasar dan kaedah perjuangan parti Islam itu tidak sesuai dengan gaya hidup rakyat Bumi Kenyalang yang sangat majmuk.

Parti itu digambarkan bukan sahaja membawa mesej yang agak asing bagi masyarakat setempat, malah ada suara nakal seakan menilainya sebagai beban kepada Pakatan Rakyat (Pakatan). Kononnya kehadiran PAS dianggap menjejaskan kelancaran kempen dan menyukarkan penerimaan masyarakat terhadap dua parti lain, iaitu DAP dan KeADILan.

Bahkan ada yang mengemukakan hujah sangat remeh. Ia mempersenda kaedah kempen PAS. Katanya, “Barisan Nasional (BN) bagi duit, PR (Pakatan) tak bagi duit, PAS minta derma lagi”.

Justeru, kata mereka, PAS lebih baik tumpukan gerakerja memenangi kerusi di Semenanjung, terutama di negeri-negeri yang telah terbukti ia memiliki kekuatan. Dalam nada lebih angkuh, ada yang secara sinis menggesa PAS melipatgandakan usaha memastikan ia berupaya mengekalkan kuasa di Kedah dan Kelantan yang diperintahnya kini daripada mencuba nasib di Sarawak.

Suara-suara sebegitu banyak menghiasi laman blog dan ruang sembang laman sosial. Dalam dunia teknologi maklumat tanpa batas kini, semua orang nampaknya boleh menjadi professor atau pakar sains politik yang kononnya mampu menganalisa setiap perkembangan.

Semua boleh mendakwa apa yang dinilai itu berdasarkan fakta dan realiti. Begitu juga, semua orang boleh mengemukakan hujah mewajarkan PAS melakukan itu dan ini, termasuk keluar dari Bumi Kenyalang.

Apa peliknya lontaran sedemikian? Setiap yang bersuara itu sekadar meluahkan pandangan yang terlintas di benak fikir masing-masing, yang belum tentu berlandaskan kajian dan pemerhatian tepat dan teliti.

Sedangkan seorang profesor yang dianggap pakar undang-undang dan mahir menganalisa politik pun kekadang boleh tersasar dalam menilai prestasi PAS. Masakan tidak apabila ada yang tergamak melonggokkan punca kekalahan parti itu di Sarawak di atas bahu pemimpin tertentu sahaja. Justeru, kegagalan memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak minggu lalu  beliau jadikan sandaran mewajarkan Presiden PAS mengundurkan diri.

Sepintas lalu pun kita menilai pandangan sebegitu agak terlampau dan tidak bertepatan dengan taraf akademik dimiliki seorang profesor doktor. Ia malah dianggap lebih dibauri emosi melulu dan sentimen peribadi.

Sedangkan secara rasional dapat kita akui betapa prestasi PAS di Sarawak minggu lalu tidak lah terlalu teruk. PAS yang relatif baru di negeri itu berbanding beberapa parti lain, sebetulnya menapak agak meyakinkan.

Keputusan diperolehi calon-calon PAS menampakkan ia mula mendapat tempat di hati rakyat Sarawak apabila tiada calon PAS yang hilang wang pertaruhan. Malah calonnya di Beting Maro nyaris memalukan BN apabila kalah tipis dengan hanya 391 undi.

Walau pun ada suara mengatakan PAS tidak sesuai dikembangkan di Sarawak dan pendekatan parti itu tidak akan mendapat tempat di negeri itu, nilaian itu agak gopoh dan tidak adil. Jika kegagalan memenangi sebarang kerusi dijadikan alasan, bagaimana pula dengan PCM dan SNAP? Mengapa tidak disuarakan saranan serupa ditujukan kepada PAS agar dua parti ini juga keluar dari bumi Sarawak?

Mungkin PCM dianggap parti baru. Sedangkan SNAP pula parti yang sudah lama berakar umbi di negeri itu dan pernah muncul sebagai antara pembangkang terkuat suatu ketika dulu. Ia juga pernah menyertai pakatan pemerintah negeri dan dianggap kuasa politik yang banyak pengalaman di Sarawak.

Namun dinilai pada prestasinya dalam PRN kali ini, nasibnya boleh dianggap jauh lebih malang daripada PAS. Ia kalah di kesemua 25 kerusi ditandinginya. Malah ada antara calonnya hilang wang pertaruhan apabila jumlah undi diraih terlalu kecil dan tidak melepasi syarat.

Undi popular diraih 25 calon SNAP pula hanya berjumlah 15,663 undi, tidak sampai pun dua kali ganda jumlah undi popular 9,719 undi dipungut lima calon PAS. Justeru, apakah boleh dilontarkan label kepada SNAP bahawa parti itu sudah tidak relevan dengan politik Sarawak?

Dalam realiti politik, label sedemikian sudah tentu sukar dilayan. Pentas politik amat berombak. Ia penuh dengan gelombang turun-naik. Ada parti yang kecundang kali ini, tetapi boleh bangkit mendadak lain kali.

Pengalaman politik dilalui parti-parti utama di Semenanjung sendiri boleh dijadikan iktibar. Ambil saja sejarah gelanggang politik di Kelantan. PAS pernah memerintahnya dulu, tetapi kalah sehingga tinggal dua kerusi pada 1978.

Namun ia tidak mendesak pemimpinnya meletak jawatan. Proses kebangkitan semulanya memakan masa dan dipenuhi berbagai perkembangan yang sebahagiannya di luar perancangan PAS sendiri.

BN/Umno akhirnya ditumbangkan. Ia hilang tanpa nisan pada 1990. Kesemua calonnya disapu bersih oleh gabungan PAS-Semangat 46. Apakah ada suara ketika itu agar Presiden Umno atau Pengerusi BN mengundurkan diri? Ataukah ada saranan agar Umno berambus dari bumi Kelantan?

Ternyata kekalahan dalam pilihan raya atau kegagalan memenangi sebarang kerusi bukan hujah paling kukuh untuk menuntut pengunduran mana-mana pemimpin atau partinya dari terus bertanding nanti.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah, Bil: 1634, 25 April 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Friday, April 22, 2011

PAS, Pakatan Rakyat tembusi tembok sentimen Sarawak

oleh: Mat Zain Mat Isa

Politik Sarawak amat dikongkong sentimen kenegerian. Walau pun kempen kesedaran dan praktik ke arah pemupukan integrasi nasional pada zahirnya giat dilaungkan Barisan Nasional (BN), lakaran sentimen kewilayahan itu tetap tersemat kukuh dalam minda masyarakatnya.

Paling tidak itulah kesimpulan dibuat tatkala melihat cara bagaimana para penguasa politik Sawarak “melayani” kehadiran para petugas Pakatan Rakyat, khususnya dari serata Semenanjung, yang dianggarkan mencapai belasan ribu orang.

Sedari awal gerakerja kempen berjalan, laungan mendabik dada tidak menerima kehadiran petugas dan kaedah kempen dari luar Sarawak sudah kedengaran dalam berbagai nada dan bentuk. Anehnya, sentimen menidakkan campurtangan sedemikian hanya kedengaran terhadap pendokong Pakatan Rakyat. Kebanjiran para pemimpin, petugas dan pendokong BN dari Semenanjung tidak pula berdepan sentimen serupa.

Sebab itu media arus perdana tidak kekok memaparkan kenyataan berbentuk amaran oleh beberapa pemimpin BN Sarawak supaya “jangan bawa style politik Semenanjung” ke negeri mereka. Ia sudah tentu tidak ditujukan kepada pemimpin sesama parti, tetapi dimaksudkan kepada pemimpin pembangkang sahaja.

Kononnya cara kempen yang mendedahkan kelemahan, korupsi dan kepincangan pemerintah bukan gaya diterima di Sarawak. Rakyat negeri itu digambarkan sangat selesa dengan BN. Mereka malah didakwa tidak menganggap apa yang didakwa Pakatan sebagai penyelewengan pemerintahan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai suatu yang perlu djadikan isu utama kempen.

Soal penafian hak milik tanah oleh rakyat, penyalahgunaan kuasa dan pembolotan kekayaan hasil bumi negeri untuk agihan sesama pemimpin BN dan kroni mereka, kegagalan BN memastikan kemudahan asas rakyat dipenuhi dan keperluan rakyat membuat perubahan politik untuk menyelesaikan kepincangan-kepincangan tersebut seolah-olah tidak menjadi budaya penduduk negeri itu.

Justeru, ada pemimpin utama parti-parti komponen BN Sarawak yang sebilangannya juga menjadi pemimpin kanan kerajaan negeri memberi amaran agar pemimpin parti lawan tidak memanipulasi isu-isu berkenaan. Bahawa mengatakan pemerintahan BN selama berpuluh tahun di negeri itu gagal membawa kehidupan rakyat ke tahap sepatutnya dan kerajaan sebegitu layak ditukar digambarkan seolah-olah idea yang asing.

Idea mengubah teraju politik Sarawak digambarkan secara negatif dan didatangkan dari Semenanjung. Ia didakwa bukan sebahagian daripada agenda politik Sarawak dan dikatakan tidak sesuai dengan konteks politik negeri itu.

“Ini negeri kami punya, orang luar jangan campurtangan. Biar lah kami tentukan sendiri halatuju politik kami”. Begitulah lebih kurang pemahaman yang dapat disimpulkan daripada kenyataan beberapa pemimpin kerajaan dan ketua masyarakat di negeri itu.

Sentimen kewilayahan itu turut berakar umbi dalam masyarakat, sekurang-kurangnya di kalangan para penguasa sesebuah penempatan. Sehinggakan ada kampung dan penempatan yang secara terbuka menolak kehadiran parti selain komponen BN.

Mereka tidak dapat menerima kelibat para petugas Pakatan di perkampungan mereka. Kehadiran petugas, yang walau pun di sisi undang-undang pilihan raya berhak menemui pengundi dan menerangkan dasar serta program parti sebagai usaha meraih undi mereka, dilabelkan sebagai mengacau kedamaian kampung yang selama ini hanya kenal parti tertentu dari komponen BN.

Suasana di hari pengundian lebih menampakkan penghayatan sentimen tersebut dalam bentuk lebih terlampau. Ada algojo-algojo BN (dikenalpasti identiti mereka oleh berbagai pihak, termasuk pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota polis bertugas) yang bertindak seolah-olah mereka penguasa mutlak perjalanan proses demokrasi.

Mereka ini meninggikan suara kepada sesiapa juga petugas Pakatan yang tidak disenangi. Kebenaran untuk seseorang itu bertugas di kawasan pembuangan undi seolah-olah sepenuhnya ditentukan mereka ini, bukan lagi di tangan SPR atau polis.

Dalam satu kes, diceritakan dengan lagak samseng dan tidak bertamadun, seorang algojo BN menunjukkan kebengisan dan menengking petugas Pakatan. Sedangkan petugas ini dilantik parti dan memiliki kad disahkan SPR untuk menyelia dan memerhati perjalanan proses pembuangan undi di pusat mengundi tersebut.

Bagi samseng BN ini, kad kuasa SPR itu tidak membawa apa-apa makna. Bahkan dia tergamak mengarahkan anggota polis bertugas agar menghalau petugas Pakatan itu. Menurut cerita petugas terbabit, anggota polis itu seakan terpaksa akur dengan “kuasa” samseng BN itu dan dengan hormat meminta petugas Pakatan itu beredar.

Biar pun sentimen anti-Semenanjung itu cuba disuburkan para pendokong BN, terutama sebagai taktik mengekang kemaraan Pakatan di Bumi Kenyalang, pengundi negeri itu telah membuktikan sebaliknya.

Jumlah 15 kerusi dimenangi DAP dan KeADILan adalah lonjakan amat bermakna berbanding hanya tujuh pada 2006. PAS pula, walau pun gagal memperolehi sebarang kerusi, telah menampakkan kemajuan membanggakan. Tiada calonnya yang hilang wang pertaruhan. Malah ada calonnya yang kalah tipis, tidak sampai 400 undi majoriti.

Terbukti rakyat Sarawak tidak lagi meraikan sentimen kenegerian yang cuba dikekalkan BN. Sebaliknya, Pakatan dan PAS telah berjaya menembusi tembok sentimen itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1633, 22 April 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Friday, April 15, 2011

Kes dadah meningkat, kerajaan Terengganu perlu ‘dipulihkan’

oleh: Mat Zain Mat Isa

Dalam keadaan pelbagai pihak, sama ada pembangkang mahu pun penyokong kerajaan, tercari-cari apakah pencapaian yang boleh dibanggakan Barisan Nasional (BN) Terengganu, selain prestasi cemerlang anak-anak di dalam peperiksaan umum saban tahun yang sekadar mengulangi kejayaan dimulai di zaman pemerintahan PAS dulu, hakikat kebobrokan sosial negeri itu adalah sesuatu yang sukar diselindungkan lagi.

Ini menjadi bahan bual bicara segenap lapisan masyarakat. Fakta terkini didedahkan beberapa pihak berwajib mengenai gejala penyalahgunaan dadah di Terengganu bukan sahaja di tahap membimbangkan, malah amat memalukan.

Ia menjadikan kebanggaan atas pencapaian cemerlang anak-anak dalam peperiksaan suatu yang tidak meyakinkan. Keadaan yang ada menyebabkan mereka terlalu terdedah kepada kemungkinan turut terlibat dengan najis dadah suatu hari nanti.

Setakat ini perlu diakui betapa BN bukan sahaja amat tidak bermaya menangani kecenderungan meruntuhkan ini, bahkan mati akal membendungnya daripada terus mencanak.

Apa lagi yang boleh dikatakan apabila Terengganu disahkan menduduki tangga ketiga tertinggi daripada 14 negeri di Malaysia dalam kadar penagihan dadah tahun lalu. Lebih memalukan, kedudukan itu adalah ‘lompatan saujana’ daripada kedudukan ke-11 pada tahun sebelumnya.

“Banyak faktor menyebabkan Terengganu muncul tempat ketiga berbanding nombor 11 sebelum ini, antaranya kemasukan dadah sintetik dari negara jiran seperti pil kuda dan syabu yang boleh didapati dengan mudah,” media pada Ahad, 10 April, memetik pendedahan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Terengganu, Wan Adenan Wan Mohd Noor.

Menurutnya, kedudukan itu amat membimbang, kerana peningkatan kes penagihan dadah sekaligus menjadi punca meningkatnya pelbagai gejala sosial lain.

Biar pun ia suatu yang memalukan, ia sepatutnya bukan pendedahan mengejutkan. Apatah lagi Wan Adenan sendiri pernah melontarkan ingatan mengenai kecenderungan membahayakan itu sebelum ini.

September lalu misalnya, beliau telah membayangkan penagihan dadah di negeri itu menuju tahap semakin parah apabila pihaknya mengesan peningkatan sehingga hampir 14 kali ganda (1,337.78 peratus) dalam tempoh Januari hingga Julai 2010 berbanding angka untuk tempoh sama tahun sebelumnya.

“Kita dapati wujud arah aliran peningkatan mendadak dalam bilangan penagih baru apabila 1,294 dikesan pada tahun ini (2010) berbanding hanya 90 pada tahun lalu (2009),” akuinya.

Jumlah penagih baru itu apabila dicampur dengan kes penagih berulang seramai 290 menjadikannya 1,584 keseluruhan. Ia peningkatan amat besar berbanding kes keseluruhan tahun 2009 sebanyak 108, dengan kes penagih berulang hanya 18 kes.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan pula mendedahkan kesemua kes membabitkan dadah antara Januari hingga September 2010 didapati meningkat berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, walau pun pihak polis terus memperhebatkan operasi pencegahannya.

Selain peningkatan kes penagihan, kes tangkapan dan tindakan ke atas pengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 juga meningkat sebanyak 44 peratus kepada 75 kes berbanding 52 kes dalam tempoh sama tahun 2009.

Beliau turut menyatakan masalah penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi juga terus meningkat. Daripada 87 orang pada 2009, ia meningkat kepada 126 orang tahun lalu.

Sepertimana dinyatakan Wan Adenan, dan tidak sukar diakui kita semua, peningkatan kes-kes penyalahgunaan dadah adalah sealiran dengan peningkatan gejala sosial lain. Buktinya juga tidak sukar dinyata.

Sebelum ini banyak kes dilaporkan media yang mengaitkannya dengan gejala dadah. Ada beberapa kes anak mengugut membunuh emak atau nenek sendiri semata-mata kerana tidak mahu memberikan sejumlah wang diminta. Ada yang diugut menggunakan pisau, ada yang dibelasah hingga mengalami kecederaan fizikal yang teruk, bahkan ada yang diugut untuk dibakar hidup-hidup.

Otak anak-anak muda ini sudah tidak betul. Mereka umpama mereng dan separuh gila angkara dadah. Kerap dilaporkan tabung masjid seberat berpuluh kilogram yang dipateri kemas pada dinding atau tiang masjid turut menjadi mangsa. Ia bukan sahaja dikopak dan isinya dikebas licin, bahkan ada kes di mana tabung besi yang berat itu ghaib tidak dapat dikesan, dipercayai diusung sang pencuri.

Sebarang benda bernama besi tidak lagi selamat. Penutup longkang, tiang pagar, pintu pagar, bingkai tingkap dan kabel elektrik adalah bahan paling banyak dicuri.

Ada juga kes ragut, pecah rumah, curi motosikal dan bebagai lagi yang turut dikaitkan sebagai angkara penagih dadah. Apakah setakat ini yang mampu dibuat BN selaku pemerintah untuk membendung gejala ini?

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kegagalannya menangani gejala keruntuhan ini banyak berpunca daripada sikap BN sendiri yang tidak mengemukakan penyelesaian menyeluruh. Bukankah beberapa program dianjurkan kerajaan sendiri menjadi medan agak subur mendorong anak-anak muda menyalahgunakan dadah?

Justeru, ada benarnya pandangan sebilangan pihak bahawa kerajaan BN Terengganu terlebih dahulu perlu ‘dipulihkan’ sebelum usaha memulihkan rakyat dapat dilakukan dengan sempurna. PAS mesti ganti Umno!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1631, 15 April 2011)

Friday, April 1, 2011

Risau tak dapat bersolat, hampir bantut hasrat peluk Islam

Oleh: Mohd Nasir Awang

Ada dua kegemaran utama Muhamad Ridzuan Ang Abdullah. Pertama, memasak dan kedua, merantau. Dua kegemaran itu secara tidak langsung mendorongnya banyak membaca dan terdedah kepada kepelbagaian cara hidup manusia.

Pendedahan itu pula membentuk peribadinya yang gemar memerhati, berfikir, membuat perbandingan dan mempersoalkan sesuatu yang kurang difahaminya. Tanpa diduga, tabiat itu akhirnya menemukannya dengan agama suci ini.

Ridzuan dilahirkan dalam sebuah keluarga Cina di Taiping, Perak, pada 12 Februari 1970. Nama asalnya David Ang Soon Tian. Ibubapanya adalah penganut agama Buddha.

Bagaimana pun, kepercayaan itu tidak dipegang teguh anak bongsu mereka ini. Kata Ridzuan, sejak kecil beliau tidak dapat menerima amalan ibubapanya “menyembah patung” itu.

Justeru, sebaik tamat sekolah menengah, David Ang mengisytiharkan memeluk agama Kristian. Hal itu diterima dengan hati terbuka oleh ibubapanya.

“Orang Cina (Buddha) ni dia hanya sangat sensitif kalau anak dia masuk Islam. Pantang dia, tapi kalau masuk Kristian tak apa,” ulasnya.

Sejak itu David Ang giat mendalami ajaran-ajaran di dalam kitab Injil. Penghayatannya secara terperinci terhadap kitab itu bagaimana pun menemukannya dengan banyak percanggahan. Katanya, banyak amalan peribadatan penganut Kristian hari ini tidak menepati ajaran di dalam kitab itu.

“Banyak benda yang buat saya tanya diri sendiri. Contohnya, dalam Injil sebut macam mana Nabi Isa puasa. (Masanya) dari terbit matahari hingga tenggelam matahari. Saya tengok orang Kristian tak ikut ajaran ini. Yang ikut (ada persamaan) ialah (puasa) orang Islam. Saya jadi tak puas hati.

“Contoh lagi, (menurut Injil) Nabi Isa sembahyang letak dahi atas lantai. Sekarang siapa sembahyang serupa itu? Orang Islam, bukan? Orang Kristian dia sembahyang (sambil) menyanyi, duduk-duduk gitu je. Jadi, banyak perkara (dalam ajaran Kristian) tak meyakinkan saya,” Ridzuan mengimbau kemelut menerjah mindanya ketika itu.

Kesempatan menuntut jurusan kulinari di sebuah universiti di Bandaraya New York, Amerika Syarikat, dimanfaatkannya untuk meninjau kehidupan masyarakat berbilang kepercayaan di kota kosmopolitan itu. Di situ beliau mula melihat kesungguhan dan ketaatan umat Islam melaksanakan ajaran agama mereka.

“Di New York umat Islam kumpulan minoriti. Tempat saya duduk tu tak ada pun masjid. Tapi tiap kali masuk waktu sembahyang saya dengar suara orang azan. Dari celah-celah tangga apartmen berpuluh tingkat tu ada suara azan. Rupanya orang Islam sewa bilik di tingkat atas buat masjid,” Ridzuan menceritakan kekagumannya.

Minatnya untuk mengenali Islam secara lebih mendalam semakin bertambah. Sekembali ke tanahair, beliau bekerja di Pulau Pinang. Di sana beliau perhatikan nilai kehidupan Islam lebih digambarkan oleh komuniti India Muslim.

“Saya tak puas hati. Saya mahu tengok kehidupan sebenar orang Islam dalam masyarakat Melayu. Melalui suratkhabar saya dapat gambaran orang Kelantan, Terengganu ni lebih Islamik daripada tempat lain. Jadi saya mari sini (Terengganu),” sambungnya.

Di atas hasrat itu, David Ang berhijrah ke Terengganu pada 1997. Hari ketiga berada di negeri itu beliau ditawarkan bekerja di sebuah resort di Kuala Ibai.

Selain berkesempatan bergaul lebih dekat dengan orang Islam, lokasi tempat kerjanya yang berjiran dengan Masjid Terapung membolehkannya memerhati ketekunan umat Islam menunaikan tuntutan agama, terutama setiap kali azan dilaungkan.

“Saya tertarik dengan kesungguhan orang Islam, dan inilah yang membezakan Islam dengan agama-agama lain. Agama lain tak ada pendirian yang jelas, yang tegas suruh penganut dia pergi sembahyang. You want to go, you go. You don’t want to go, it’s your business. Dia tak kisah,” Ridzuan meluahkan pemerhatiannya.

Baginya, perkataan wajib yang digunakan Islam sebagai arahan beribadat adalah dorongan yang baik untuk menjaga komuniti Islam agar tidak lalai dari tanggungjawab terhadap Tuhan.

“Di sini saya melihat Islam menggariskan matlamat kehidupan yang jelas, bahawa kehidupan sebenar bukan di dunia, tetapi di akhirat. Agama lain tak jelas matlamat ini,” ujarnya.

Bermula 1998, David Ang belajar mengenai Islam secara lebih serius. Beliau malah mengikuti kelas pengajian di Bangunan Perkim Kuala Terengganu.

“Masa tu perkara paling tak masuk akal saya ialah bagaimana orang Islam boleh sembahyang lima kali sehari. Orang Kristian nak sembahyang seminggu sekali pun, kadang pergi (gereja) kadang tidak,” Ridzuan tersenyum sendiri teringatkan pemahamannya ketika itu.

Lebih melucukannya ialah apabila beliau pernah bersengkang mata sehingga azan Subuh semata-mata mahu pastikan dia tidak terlepas menunaikan solat fardhu itu. Bahkan, disebabkan terlalu risau tidak dapat melaksanakan sembahyang lima kali sehari, beliau hampir-hampir membatalkan hasrat memeluk Islam.

Ditakdirkan Allah, selepas setahun mendalami Islam, David Ang melafazkan syahadah. Beliau amat berterimakasih kepada Encik Yusof Salleh dan anaknya, Shukri, yang banyak memberi dorongan. Keluarga dari Kampung Laut, Kuala Terengganu ini kemudiannya menjadi keluarga angkatnya dan banyak membantu Ridzuan mendalami Islam lebih lanjut.

Kini, selepas 12 tahun memeluk Islam, Ridzuan kekal dengan dua kegemarannya. Beliau masih sibuk memasak di dua restoran miliknya yang menyajikan masakan Melayu, Cina dan Eropah di Kampung Bukit Bayas. Beliau juga menjalankan perniagaan barangan hiasan rumah yang kerap membawanya merantau ke China.

Pada 2001 Ridzuan mendirikan rumahtangga dengan Norwati Abdullah, dari Dungun. Perkongsian hidup mereka melahirkan tiga zuriat, iaitu Nor Izzah Aliya, 8 tahun, Mohamad Aidil Jazzari Ang (6) dan Norsaiba Tasnim (2).

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil: 230, Edisi April 2011 di ruangan 'hidayah', dengan tajuk sama)

“Bukankah saya juga boleh berdakwah?”

Oleh: Mohd Nasir Awang

Pada adatnya, jika tidak kerana usaha dan gerakerja dakwah secara bersungguh yang diperturunkan generasi ke generasi, kita tidak pasti apakah agama anutan kita sekarang. Boleh jadi majoriti rakyat negara ini masih menganut faham animisme yang meletakkan kepercayaan dan pemujaan kepada kuasa alam semulajadi.

Mungkin juga sebahagian besar orang-orang Melayu negara ini kekal beramal dengan ajaran agama Hindu yang menjadi anutan pemerintah di zaman nenek-moyang kita berabad lalu, sepertimana didakwa catatan sejarah negara.

Atau, mungkin juga ajaran Kristian yang dibawa para penyebarnya secara terancang akan lebih menguasai kehidupan masyarakat kita. Oleh kerana agama itu didatangkan bersama penaklukan dan penjajahan oleh Portugis dan Inggeris, sepatutnya kuasa pemerintahan dimiliki mereka tambah memudahkan agama itu diterapkan sebagai anutan masyarakat dijajah mereka.

Namun hal itu terbukti tidak berlaku. Sebaliknya, agama Islam berkembang subur sebagai anutan majoriti rakyat. Ia menggantikan faham animisme yang dianuti orang Melayu sebelum itu dan mengikis amalan Hindu yang turut bersirat dalam adat budaya nenek-moyang kita.

Ajaran Islam yang dihayati juga membentuk dinding yang kuat menyanggah dakyah Kristian yang cuba menyerang aqidah umat Islam negara ini. Hasilnya, walau pun penjajah sedaya mungkin berusaha menukar kepercayaan masyarakat dijajahnya, Islam kekal menjadi anutan utama.

Hakikat itu sekaligus membuktikan betapa hebatnya “kuasa” dakwah Islam. Walau pun ada ungkapan yang mendakwa Islam ini tersebar menerusi mata pedang, yakni peperangan, tidak sukar diakui bahawa uslub utama penyebarannya ialah menerusi medan dakwah.

Berbeza dengan penyebaran agama Kristian yang berlaku bersama penaklukan, agama suci ini dibawa ke Tanah Melayu bukan menerusi peperangan atau penaklukan oleh mana-mana kuasa besar Islam. Riwayat yang masyhur mengatakan Islam datang ke negara kita menerusi kumpulan-kumpulan pedagang, terutama dari negara-negara Arab dan India.

“Latar sejarah itu sendiri seakan memberitahu kita sesuatu, bahawa pembawa Islam kepada kita asalnya hanyalah para pedagang, peniaga. Kita tidak diberitahu secara terperinci latar belakang pendidikan agama mereka ini. Ya... mungkin antara mereka memang ada berpendidikan agama, mungkin ada ulama dan ustaz, tetapi kita juga kena andaikan majoriti pedagang Arab dan India ini mungkin hanya umat Islam biasa macam kita semua,” ujar Tuan Haji Abdul Rashid Che Muda.

Beliau yang juga Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Besut mengulas peranan yang patut dimainkan semua umat Islam dalam menjayakan usaha dakwah. Baginya setiap individu muslim adalah bertanggungjawab melaksanakan dakwah Islam mengikut kemampuan dan kemahiran masing-masing.

“Asas utama tanggungjawab dakwah ini ialah pesanan Nabi s.a.w., “ballighu ‘anni walau aayah” (ertinya) ‘sampaikanlah dari aku walau pun satu ayat’. Ertinya, Rasulullah (s.a.w.) tidak suruh kita tunggu tahu banyak ayat, tak perlu tunggu ada banyak ilmu baru nak berdakwah. Ini perintah sebenarnya,” ujarnya, menghuraikan satu hadis Rasulullah s.a.w.

Haji Abdul Rashid berkongsi pendirian bahawa usaha dan gerakerja dakwah Islam bukan terbatas hanya kepada golongan tertentu, terutama golongan berpendidikan agama. Selain fakta sejarah kedatangan Islam disebutkan itu, beliau juga berpandangan kepelbagaian budaya dan serangan terhadap cara hidup Islam masa kini memerlukan kaedah dan strategi dakwah yang lebih pelbagai juga.

Kepelbagaian itu pula sudah tentu tidak mampu dimiliki atau tidak terhimpun hanya di kalangan golongan agama sahaja. Justeru, peranan dan tanggungjawab dakwah Islam juga perlu dikongsi bersama oleh individu Islam yang berkemahiran atau berkecimpung dalam pelbagai bidang.

“Harap diampun, bukan saya bermaksud menidakkan keilmuan golongan agama, para ulama dan ustaz-ustaz kita. Saya sendiri pun banyak terhutang budi di atas bimbingan dan tunjuk ajar mereka. Tetapi apa yang saya maksudkan, kita, Islam memerlukan segala bentuk kepakaran dalam menghadapi cabaran dan serangan pemikiran zaman ini.

“Lebih-lebih lagi kita berada di zaman teknologi maklumat, internet dan berbagai kemajuan. Ada aspek atau bidang tertentu yang kita kena akui tidak mampu dikuasai oleh golongan agama. Tak semua mereka berkesempatan mempelajari benda-benda yang bermacam ini. Di situlah peranan yang perlu diambil golongan yang mahir, walau pun dia bukan kalangan yang kita istilahkan “golongan agama” itu,” hurainya.

Haji Abdul Rashid turut mengakui bahawa medan dakwah Islam terlalu luas, seluas dan selebar Islam itu sendiri. Ia bukan terbatas hanya di masjid, surau atau pusat tarbiyah, tetapi terbuka untuk dilaksanakan di mana-mana. Ia boleh berlaku di padang bola, di kawasan perkelahan, mahu pun pasar.

Beliau mengambil contoh dirinya sendiri yang banyak berinteraksi dengan anggota masyarakat menerusi jawatan disandangnya. Sebagai pegawai bertanggungjawab menyelia perjalanan pasar-pasar tani di seluruh daerah Besut, rutin hariannya banyak bersama para peniaga dan pengunjung pasar berkenaan.

“Saya menganggap itu (pasar tani) memang medan saya. Di situlah saya selalu berada, berhubung rapat dengan para pesertanya, beramah-mesra dengan para pembeli yang berkunjung. Bukankah melalui interaksi harian ini saya juga boleh berdakwah? Rugi kalau saya tak ambil kesempatan itu, bukan?”, terjahnya.

Menurutnya, disebabkan hubungan baik itu, beliau tidak kekok menyampaikan sesuatu mesej berunsur Islam, termasuk kekadang dalam bentuk santai atau gurauan. Manakala pihak ditujukan mesej dakwah itu pula lebih mudah menerima sesuatu yang disampaikan seseorang yang rapat dan mesra dengan mereka.

Selain itu, pihaknya selaku urusetia pasar tani juga sering mengadakan sesi pendidikan, terutama Kursus Pembangunan Modal Insan kepada para peserta. Sesi ini menekankan kepada mereka kepentingan menghayati dan mengamalkan urusniaga mengikut kehendak Islam. Baginya, membiasakan umat Islam dengan muamalat Islam itu juga sebahagian usaha dakwah.

Sebagai suatu hakikat yang diketahui umum, Haji Abdul Rashid menyentuh bagaimana begitu ramai kini kalangan yang bukan berpendidikan agama telah menceburi usaha dakwah Islam. Beliau dengan bangga memetik ketua jabatannya sendiri, Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Tuan Haji Hassan Jusoh, yang dianggapnya seorang yang sangat komited dengan usaha dakwah, walau pun berkelulusan bukan bidang agama.

“Saya ada ramai kawan seumpama beliau. Seorang kawan baik saya lulusan Amerika (Syarikat), bukan pengajian Islam pun, tetapi cara hidupnya, subhanallah, saya lihat sangat hampir kepada tuntutan agama. Cara hidupnya dan keluarganya juga bagi saya menjadi dakwah kepada masyarakat, dakwah melalui perbuatan,” beliau memberikan contoh.

Tidak syak lagi, keterlibatan sebegitu ramai kalangan profesional seperti doktor, pensyarah, peguam dan jurutera di dalam kerja-kerja menegakkan syiar dan syariat Islam di negara ini menepati pengamatan digarap Haji Abdul Rashid itu.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 230, edisi April 2011 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama) 

PAS, Pakatan perlu kikis label parti bermusim

oleh: Mat Zain Mat Isa

Menepati ramalan berbagai pihak, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak untuk penggal kesepuluh dijadualkan berlangsung dua minggu lagi. Tarikh itu hampir menggenapkan tempoh lima tahun untuk penggal sekarang. PRN Sarawak yang lalu diadakan pada 20 Mei 2006.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian pada 16 April, manakala penamaan calon pada 6 April nanti. Tempoh berkempen 10 hari itu adalah dua hari lebih singkat berbanding 12 hari untuk PRN lalu.

Persaingan kali ini dijangka lebih terbuka berbanding PRN 2006, terutama mengambilkira percanggahan terbuka di pihak pembangkang. Pada pertarungan lima tahun lalu, parti-parti pembangkang seakan menemui kesepakatan mantap.

Justeru, calon-calon Barisan Nasional (BN) dipastikan berdepan pertembungan satu lawan satu sama ada dengan calon KeADILan, DAP, PAS atau Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), selain calon-calon Bebas. Agak malang kali ini SNAP setakat ini tidak lagi berkongsi persefahaman itu dan dijangka akan turut meletakkan calonnya terutama di kerusi-kerusi ditandingi KeADILan.

Meski pun proses penamaan calonnya belum berlalu, bahkan kesemua parti bakal bertanding belum memuktamadkan nama-nama calon yang akan dipertaruhkan, bahang pertarungan itu telah pun dirasai. Masing-masing pihak bukan sahaja memperkemas segala persiapan yang patut, malah telah mula mempertajamkan serangan psikologi kepada parti lawan.

Sudah tentu dalam keadaan parti-parti pembangkang gagal mencapai kata sepakat, terutama dengan SNAP, ruang untuk BN mengorak langkah ke arah kemenangan dirasakan lebih mudah. BN bukan sahaja bergerak selaku parti pemerintah negeri, malah turun dengan segala keperluan dikerah kerajaan Pusat.

Sebab itu belum pun tarikh berkaitan PRN itu dimuktamadkan, rakyat Sarawak sudah pum mula dicurahkan dengan berbagai nikmat ‘segera’. Sudah ada jalan raya dibina, rumah dan jambatan dibaiki, bekalan air diusahakan, dan berbagai lagi tindakan yang tiba-tiba berjalan lancar.

BN sekali lagi cuba menggambarkan kepada rakyat bahawa ia pemerintah yang prihatin dan mengambil berat kebajikan rakyat. Seolah-olah kesemua wakil rakyat BN selama ini telah berkhidmat dengan baik dan berusaha keras menangani serta menyempurnakan keperluan penduduk di kawasan masing-masing.

Betapa kesemua masalah yang menghimpit kehidupan seharian rakyat selama bertahun sebelum ini, tetapi tidak diambil peduli untuk diselesaikan, seakan tidak timbul lagi. Sedangkan itulah hakikat yang dibuktikan di sebalik kehadiran berbagai projek ‘segera’ oleh berbagai jabatan dan agensi kerajaan menjelang berlangsungnya pilihan raya.

Logiknya, kalau kesemua atau sebahagian besar keperluan rakyat telah dipenuhi dan dilayani dengan sebaiknya selama sepenggal lalu, apa perlunya BN melonggokkan keprihatinannya di saat ini?

Malangnya, itulah yang setakat ini kekal menjadi modal paling bagus buat BN. Lebih memudahkan BN memanipulasi kuasanya ialah apabila berdepan golongan pengundi yang sukar membezakan manakah usaha yang betul-betul membela kepentingan mereka dan manakah yang dibuat semata-mata untukmemancing undi.

Berdasarkan keputusan beberapa siri pilihan raya umum dan PRN lalu, rakyat nampaknya belum sampai ke tahap mampu memikirkan betapa kehadiran projek segera itu sebenarnya suatu persendaan terhadap mereka. Bahawa BN seolah menggula-gulakan rakyat dengan limpahan kebaikan setiap kali berlangsung pilihan raya semata-mata demi meraih sokongan.

Itulah masalah utama setiap kali negara kita berdepan mana-mana pilihan raya. Bahawa tahap pemikiran pengundi kita masih belum matang. Mereka, terutama golongan luar bandar dan tidak begitu terdedah kepada maklumat lebih adil, akan hanya mengiyakan apa juga yang disuakan BN kepada mereka.

Memburukkan keadaan ialah apabila BN bijak memanipulasi sentimen pengundi setempat untuk menganggap BN sebagai penjaga mereka selama ini. Akuilah setakat ini BN dianggap berjaya mewujudkan persepsi dalam masyarakat untuk melihat parti-parti pembangkang sebagai “orang luar”.

Setelah menggambarkan hanya BN yang selama ini turun padang, bergaul mesra, mengambil tahu dan menyelesaikan keperluan rakyat, ia melontarkan pula persoalan di minda rakyat, di manakah parti-parti pembangkang selama ini?

Bukankah itu antara persoalan yang dilontarkan sebagai senjata utama BN dalam beberapa pilihan raya kecil mutakhir ini? Pakatan Rakyat (PR), khususnya PAS dianggap sebagai parti bermusim yang hanya turun menemui rakyat ketika berlangsungnya sesuatu pilihan raya. Sedangkan, BN mendakwa ia selaku kerajaan berada bersama rakyat sepanjang masa.

Pakatan Rakyat, sama ada PAS, DAP mahu pun KeADILan tentu berdepan suasana sukar sekiranya dakwaan BN itu benar. Sekiranya para pemimpin kita memang jarang turun padang, tidak begitu kerap bermesra dengan rakyat bawahan dan sukar dilihat turun menyelesaikan apa-apa yang diperlukan penduduk, bagaimana mungkin kita menepis label diberikan BN itu?

Untuk itu para pendukung, terutama kepimpinan parti kita perlu mengorak langkah lebih bermakna merakyatkan perjuangan. Jadikan agenda mendampingi rakyat sebagai gerakerja utama.

Usaha menghulurkan kebajikan kepada rakyat jangan menunggu bergelar parti pemerintah. Sedangkan berbuat baik kepada orang itulah yang menjadi senjata utama menundukkan hati mereka.

Sudah menjadi tabiat manusia, mereka akan lebih mudah menerima dan bersetuju dengan apa yang dicakap atau dibuat seseorang yang lebih mesra dan lebih terbiasa dengan mereka. Kalau lima tahun sekali, baru menjengah mereka, bagaimana kita harapkan mereka akan bersama mendukung perjuangan kita.

Mungkin agak terlewat untuk PR dan PAS memperbetulkan hakikat itu dalam menghadapi PRN Sarawak. Namun kita masih ada banyak masa sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1627, 1 April 2011 di ruangan "fokus", F22 dengan tajuk sama)