Saturday, December 27, 2008

Umno perlu akui boikot, sabotaj rugikan rakyat


“Tarik balik ‘sekatan’ ke atas Kelantan, Terengganu sejak 2000”

Oleh: Anuwa Jamalullail

TERNYATA akhirnya para pemimpin Umno terpaksa akur kepada hakikat bahawa pendekatan bermusuhan dan mengkhianati negeri-negeri yang diperintah parti pembangkang tidak menambahkan kekuatan kepada parti itu.

Sebaliknya, pendirian itu hanya memburukkan imej Umno yang telah sedia dikenali gemar menindas dan membuli parti-parti lain, tidak terkecuali rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) sendiri. Bukankah kita pernah mendengar luahan parti-parti komponen BN yang mendakwa dijadikan ‘pak turut’ kepada kehendak para pemimpin Umno?

Menyedari hakikat itu barangkali menyebabkan para pemimpin parti itu kebelakangan ini kelihatan berusaha memperbetulkan kesilapan dan keterlanjuran mereka.

Selain memperbaiki sikap dan layanannya terhadap rakan komponen BN, parti itu turut dipaksa oleh keadaan untuk mengkaji semula beberapa pendirian dan tindakannya yang dianggap “melampau” terhadap parti lawan. Penarikan balik dua ‘sekatan’ yang dikenakan dua kerajaan dikuasai Umno ke atas dua kerajaan diperintah PAS pada 2000 lalu boleh dijadikan contoh perubahan positif itu.

Pada 12 Disember lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, tidak semena-mena menarik balik arahannya yang melarang kakitangan agensi dan jabatan kerajaan negeri itu mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan. Arahan yang dibuat pada April 2000 itu turut membabitkan negeri Terengganu yang pada ketika itu diperintah PAS. Ia bagaimana pun terbatal dengan sendiri pada 2004, setelah negeri itu kembali diperintah BN.

Menurut Mohd Ali, penarikan balik larangan itu adalah kerana orang Kelantan kini tidak lagi melabelkan orang Umno sebagai tidak Islam.

Meski pun itu sahaja sebab yang diberikan, kita percaya tindakan Naib Presiden Umno itu didorong beberapa perkiraan lain. Rakyat umum dapat menilai betapa sekatan itu sebenarnya tidak realistik dan tidak dipedulikan orang. Malah jika diteruskan pun, ia hanya memalukan diri Mohd Ali sendiri.

Pertama, perlu diakui jumlah yang terlibat dalam lawatan rasmi agensi kerajaan Melaka ke Kelantan tidak lah begitu besar berbanding jumlah keseluruhan pelancong ke negeri itu. Apatah lagi jumlah daerah di Melaka bukanlah sebanyak di Selangor, Perak atau pun Johor. Maka jumlah jabatan dan agensi kerajaan negerinya tidaklah sebesar mana.

Bagi rakyat Kelantan pula, sekatan dibuat Mohd Ali itu tidak memberi apa-apa kesan sedikit pun, sama ada bagi sektor perhotelan dan penginapan, perniagaan mahu pun pengangkutan. Ibarat kata orang negeri itu, ia “tidak menjadi kudis gatal”.

Kedua, sekatan itu hanya terbatas kepada lawatan rasmi agensi kerajaan negeri sahaja. Ada pun rakyat negeri itu (dan jabatan-jabatan Persekutuan di negeri itu?) tidak tertakluk kepada arahan tersebut.

Sebab itu saban musim cuti persekolahan, berbondong-bondong rakyat dari Melaka menerjah ke Kelantan. Secara tidak langsung ia menggambarkan rakyat tidak berkongsi pendirian “primitif” ketua menteri mereka itu.

Ketiga, oleh kerana sekatan itu pada asalnya ditujukan kepada negeri-negeri diperintah PAS, perubahan geopolitik negara selepas pilihan raya umum lalu menjadikannya sudah tidak relevan. Melainkan sekiranya Mohd Ali mahu mengembangkan arahan sama kepada empat lagi negeri yang baru jatuh ke tangan parti-parti lawannya, Mac lalu.

Jika itu yang dilakukannya, nescaya yang akan merasai kesan negatifnya ialah Melaka sendiri. Bayangkan apa jadi sekiranya kelima-lima negeri diperintah Pakatan Rakyat itu bertindak balas dan sepakat memboikot sebarang lawatan ke negeri bersejarah itu?

Akhirnya, mahu tidak mahu, Mohd Ali terpaksa mengalah. Meski pun amat memalukan, beliau tiada pilihan melainkan menarik balik arahan “primitif” itu.

Kebetulan atau tidak, keesokan hari selepas pengumuman beliau itu, giliran Timbalan Presiden Umno pula mengumumkan pembatalan satu lagi sekatan dicetuskan Umno, juga pada 2000 lalu.

Dalam lawatannya ke Terengganu pada 13 Disember lalu, Datuk Seri Mohd Najib Razak secara rasmi mengisytiharkan bahawa sekatan pembayaran royalti minyak kepada negeri itu telah berakhir. Beliau turut mengesahkan Kerajaan Pusat menghormati hak rakyat Terengganu terhadap royalti berkenaan.

“Kerajaan Pusat mengembalikan hak rakyat Terengganu dengan menyerahkan wang royalti kepada kerajaan negeri sebanyak RM408.6 juta. Dengan itu kerajaan Terengganu sudah cukup pitih (duit) untuk melaksanakan pelbagai pembangunan yang dirancang selama ini”, katanya.

Isu perampasan hak rakyat Terengganu terhadap royalti minyak dihasilkan di luar pantai negeri itu tercetus sebagai manifestasi kekecewaan Umno di atas kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Umum 1999. Mereka merasakan mustahil mendapat balik kuasa pemerintahan negeri dari tangan PAS sekiranya duit royalti minyak dimiliki kerajaan dan rakyatnya.

Mereka inilah yang mula-mula membuka laluan jahat dengan mengisytiharkan duit itu hanyalah ehsan Kerajaan Pusat, bukannya royalti. Oleh kerana ia semata-mata ehsan, maka terpulang kepada Kerajaan Pusat sama ada untuk meneruskan pembayarannya atau menghentikannya.

Dokumen perjanjian berkaitan royalti berkenaan yang ditandatangani antara Petronas dengan Kerajaan Terengganu pada 22 Mac 1975 turut dipertikaikan. Seorang menteri Kabinet yang berpendidikan undang-undang menyifatkan dokumen itu hanya sebuah MoU (memorandum persefahaman), bukannya perjanjian. Oleh itu, menurutnya, ia tidak ada kedaulatan dan tidak perlu dipatuhi.

 Apa pun hujah ‘loyar buruk’ diberikan para pemimpin Umno, rakyat maklum tindakan menyekat pembayaran royalti itu adalah semata-mata atas serakah politik parti itu. Ia bertujuan menghukum dan mensabotaj kerajaan pimpinan PAS.

Malangnya, mangsa utama pengkhianatan itu ialah sejuta rakyat Terengganu dari pelbagai lapisan hidup. Fakir-miskin, orang kurang upaya, murid sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara, penjawat awam negeri mahu pun petani dan nelayan telah dinafikan pelbagai hak yang sepatutnya mereka nikmati.

Kesulitan mendapatkan semula hak itu akhirnya turut ditanggung kerajaan BN selepas 2004, apabila kes itu telah dibawa ke mahkamah. Setelah mengalami dan melihat sendiri kerugian terhadap negeri akibat perbuatan mereka, akhirnya pemimpin Umno Terengganu sendiri menuntut Kerajaan Pusat mengembalikan hak pengurusan wang tersebut kepada rakyat dan kerajaan mereka.

Dua minggu lalu, tuntutan itu menjadi kenyataan. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Pusat menghormati perjanjian yang termaktub dengan kerajaan Terengganu berhubung pembayaran royalti.

Kedua-dua peristiwa tadi membuktikan bahawa tindakan memboikot dan mensabotaj negeri-negeri diperintah parti lawan bukan sahaja menambah buruk imej dan reputasi Umno sebagai peneraju negara, bahkan turut merugikan kehidupan rakyat keseluruhannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 27 Disember 2008-3 Januari 2009 dengan tajuk sama)

Sunday, December 21, 2008

PPP ibarat melukut di tepi gantang

Giliran ikut jejak Zaid dan SAPP

Oleh: Anuwa Jamalullail

ADA benarnya apa yang sering disebut orang bahawa ramai di kalangan para pemimpin Barisan Nasional (BN) memiliki sifat tidak tahu berterimakasih atau mengenang jasa orang lain. Bahkan layanan pucuk pimpinan parti pemerintah itu terhadap beberapa parti komponennya kadangkala disifatkan ibarat ‘habis manis sepah dibuang’.

Sikap sebegitu makin terserlah apabila satu demi satu episod melanda gabungan itu mutakhir ini yang dikaitkan dengan perasaan tidak puas hati kalangan kerabat BN sendiri terhadap pucuk pimpinan parti itu. Apabila keadaan sudah tidak terkawal, para pemimpin BN tampil senada merelakan pihak yang dianggap bermasalah terhadap gabungan itu meninggalkan BN.

Terbaru ialah kenyataan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang seolah-olah mengalu-alukan ugutan bersyarat Parti Progresif Penduduk (PPP) untuk keluar dari gabungan itu.

Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, 9 Disember lalu, Abdullah menegaskan, kerajaannya tidak bercadang meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti disyaratkan PPP untuk ia kekal sebagai parti komponen BN.

Sehubungan itu, Abdullah berkata PPP kini bebas untuk meninggalkan BN jika pemimpinnya mahu berbuat demikian.

“Kalau itu pilhan mereka (untuk keluar BN), apa yang boleh kita buat”, katanya.

Abdullah mengulas kenyataan Presiden PPP, Datuk M. Kayveas, akhir bulan lalu bahawa partinya akan meninggalkan BN jika kerajaan tidak membuat pindaan bersesuaian terhadap ISA sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Dengan kenyataan terbuka itu, Abdullah bagaikan tidak memberikan pilihan kepada Kayveas melainkan mengotakan apa yang telah dikatakannya. Cabaran itu sekaligus menggambarkan seolah-olah kehadiran PPP sudah tidak diperlukan lagi dalam BN.

Parti itu bagaikan melukut di tepi gantang. Adanya tidak menambahkan sukatan, ketiadaannya pula tidak menjejaskan keadaan.

Apatah lagi kenyataan Abdullah itu bukan yang pertama seumpamanya diucapkan para pemimpin BN terhadap parti komponennnya itu. Lebih setahun lalu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pernah meminta PPP meninggalkan BN semata-mata kerana parti itu menuntut bilangan kerusi lebih banyak untuk pilihan raya lalu.

MIC juga pada November 2007 dilaporkan pernah mencadangkan agar BN mengusir keluar PPP ekoran pertelagahan antara Kayveas dan Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu mengenai isu kemunduran kaum India negara ini.

Dalam satu kenyataan kerasnya, Samy Vellu dengan tegas menolak kemungkinan partinya akan berdamai dan kembali menjalin hubungan baik dengan PPP. Beliau malah membandingkan parti itu dengan DAP dan PAS.

“Bolehkah DAP berbaik dengan BN? Saya nak tanya, bolehkah Umno berbaik dengan PAS? Ia (PPP) adalah lebih teruk daripada PAS”, kata Samy Vellu.

Turut menyuarakan rasa tidak senang dengan gelagat PPP ialah Gerakan. Presidennya, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik sering terlibat dalam polemik dengan Kayveas sehingga mengundang hubungan amat keruh antara kedua-dua parti itu. Ekoran krisis berpanjangan antara kedua-dua parti itu, Gerakan juga pernah mengesyorkan agar PPP keluar daripada BN.

Kini, gesaan sama bagaikan diulang kembali Perdana Menteri sendiri. Apa yang kini dialami PPP mengingatkan kita kepada episod hampir sama yang dialami Parti Maju Sabah (SAPP) kira-kira tiga bulan lalu.

Parti itu yang sejak pertengahan tahun ini mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, secara rasmi mengisytiharkan keluar daripada BN, 17 September lalu.

Presidennya, Datuk Yong Teck Lee malah menyatakan hasrat partinya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Abdullah sebagai Perdana Menteri menerusi dua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat. Meski pun hingga kini hasrat itu belum menjadi kenyataan, SAPP kekal dengan komitmennya menyokong usul tersebut sekiranya ia dibentangkan mana-mana pihak.

Reaksi para pemimpin BN terhadap keputusan SAPP meninggalkan gabungan itu bagaimana pun sudah diduga. Sebagaimana PPP, parti itu juga dianggap rakan-rakan sudah tidak sesuai untuk terus berada dalam BN.

“BN akan terus kukuh dan mantap, biar pun SAPP sudah keluar”, kata Samy Vellu.

Abdullah selaku Pengerusi BN malah mengalu-alukan tindakan SAPP itu.

“Dia (SAPP) merupakan masalah kepada parti (BN). Dia pengacau, biarlah dia pergi, tak apa”, katanya.

Nasib menimpa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim juga tidak kurang pentingnya untuk diperhatikan, terutama jika mahu dinilai cara para pemimpin BN melayan seseorang rakan mereka yang dianggap sudah tidak bermanfaat untuk parti.

Semua telah maklum betapa kehadiran Zaid dalam kabinet lebih banyak diwarnai dengan kontroversi. Percanggahan pendapat dan pendirian beliau dengan anggota kabinet lain sering mencetuskan polemik di kalangan pemimpin BN sendiri.

Setelah gagal mencari titik pertemuan dengan rakan-rakannya, Zaid meletak jawatannya dari kabinet pada 15 September. Tidak mengejutkan apabila tindakannya itu dialu-alukan para pemimpin BN.

“Baguslah dia letak jawatan, kerana sebagai ahli kabinet yang dilantik oleh Perdana Menteri beliau tidak layak untuk mempertikai kerja orang lain”, bidas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Ada pula yang menyifatkan Zaid sebagai satu liabiliti kepada kerajaan kerana banyak mencetuskan kontroversi.

“Sekiranya itulah pilihan dia yang tegas hendak letak jawatan, silalah letak jawatan, saya tidak ada komen apa-apa”, kata Abdullah.

Berbekalkan layanan sebegitu, tidak ada lagi apa yang positif dapat diharapkan apabila Majlis Tertinggi Umno pada 2 Disember lalu memutuskan memecat Zaid dari parti tanpa dibenarkan membuat rayuan. Tiada lagi yang baik mengenai beliau. Kesemua komen disiarkan media menyifatkan beliau seumpama ‘duri dalam daging’ atau ‘kudis’ bagi partinya.

Kini, gambaran awal sudah terbayang bahawa layanan buruk BN terhadap Zaid dan SAPP itu bakal berulang terhadap PPP pula.

“Dulu ketika PPP parti yang kuat, kami diminta menyertai BN, tetapi selepas itu apabila lemah sedikit kami ditinggalkan begitu saja. BN perlu beri perhatian, tidak patut lupakan PPP kerana parti ini ada lebih setengah juta ahli yang juga pengundi. BN kena ingat persahabatan itu”, kata Kayveas, pada Oktober 2007.

Keluhan itu diluahkannya tatkala kecaman pelbagai pihak dalam BN terhadap PPP memuncak ekoran tuntutan parti itu agar beberapa kerusi yang pada asalnya miliknya dikembalikan semula.

Dengan perkembangan mutakhir kini, sudak tidak ada apa yang boleh diharapkan PPP daripada BN. Barangkali sudah sampai giliran parti itu pula mengikuti jejak yang telah diambil oleh Zaid dan SAPP untuk benar-benar meninggalkan BN.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 21 Disember 2008 dengan tajuk sama)

Betulkah Mat Sabu kalah kerana faktor ‘orang luar’?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Bahang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu semakin terasa. Meski pun penamaan calon hanya akan dilakukan pada 6 Januari depan, cakap-cakap mengenai siapa yang bakal dipilih mewakili parti-parti dalam pilihan raya itu telah bermula sebaik penyandangnya, Allahyarham Dato' Razali Ismail meninggal, akhir November.

Teka-teki itu terjawab di sebelah pihak petang semalam (Sabtu). Barisan Nasional telah mempertaruhkan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Senator Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk dipilih pengundi pada 17 Januari nanti.

Di pihak lawannya, sudah ada kesepakatan di kalangan Pakatan Rakyat untuk menyerahkan kerusi itu kepada PAS. Nama calonnya bagaimana pun masih belum diputuskan.

Cuma yang hampir pasti, laluan untuk Mohamad Sabu (Mat Sabu), bekas calon pada pilihan raya umum, Mac lalu, sudah hampir tertutup. Kedengaran suara-suara sangat lantang di kalangan pendokong dan jentera PAS di Terengganu sendiri kononnya Naib Presiden PAS itu tidak dapat diterima pengundi.

Alasan utama diberikan ialah kerana Mat Sabu 'orang luar'. Maka, di atas sangkaan dan dakwaan untuk memenuhi selera pengundi yang mahukan anak tempatan, pihak dalaman PAS sendiri menuntut agar seorang anak tempatan dipilih sebagai calon kali ini.

Penulis merasa terpanggil mengulas kesimpulan itu. Apatah lagi satu analisa turut disiarkan sebuah tabloid mingguan, hari ini (Ahad, 21 Disember) bagi memperkuatkan kesimpulan tadi.

Bagi penulis, menyimpulkan kekalahan Mat Sabu semata-mata atas faktor dia 'orang luar' adalah satu penilaian sangat simplistik dan agak gopoh. Bahkan, ia satu ketidak adilan terhadap tokoh yang dianggap 'ayam sabung' PAS itu.

Begini saja lah! Apa kata kita teliti semula perangkaan keputusan pilihan raya kawasan itu Mac lalu dan kita bandingkan dengan apa yang berlaku di situ pada 2004 dulu, boleh?

Mac lalu, Mat Sabu mendapat 31,934 undi berbanding Razali 32,562. Majoriti kemenangan calon BN ialah 628 undi. Seorang calon Bebas, Maimun Yusof (Tok Mun) mendapat 685 undi.

Sebagai perbandingan, pelbagai pihak mengemukakan perangkaan undi diperolehi kedua-dua pihak di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun). Jumlah diperolehi PAS di keempat-empat Dun (termasuk Dun Bandar ditandingi KeADILan) ialah 33,279 undi. Undi BN pula 31,486.

Beza undi kemenangan PAS atas BN ialah 2,243. Angka itu jika ditolak undi nenek tua tadi, masih ada 1,558. Mereka pun kata, jika tidak kerana Mat Sabu 'orang luar' dia sepatutnya telah menang dengan majoriti 1,558 undi!

Nanti dulu saudara! Jangan mudah buat kesimpulan. Kita analisa lebih terperinci sikit.

Undi dipungut Mat Sabu berbanding empat calon Dun merosot 1,795 undi. Kita namakan mereka undi lari. Betul, Mat Sabu tidak sepopular calon-calon Dun.

Tapi tidak kesemua undi lari itu pergi kepada Razali. Beza undinya dengan calon-calon BN di empat Dun ialah 1,076 undi lebih banyak.

Ertinya ada 719 undi lari yang tidak juga mengundi BN. Kita simpulkan 685 daripadanya pergi kepada Tok Mun dan 34 undi lagi tidak mengundi mana-mana calon.

Soalnya, apakah undi 685 kepada Tok Mun itu semata-mata kerana tidak berkenaan kepada Mat Sabu? Apakah tidak mungkin ia kerana simpati kepada nenek itu?

Penulis menyimpulkan bahawa faktor simpati terhadap calon Bebas itu juga satu kemungkinan kekalahan PAS. Bayangkan andaikata 685 undi itu tidak bersimpati kepadanya dan mengundi Mat Sabu, apakah BN masih menang?

Itu satu. Ertinya, kekalahan Mat Sabu bukan semata-mata kerana dia 'orang luar'.

Yang kedua, kita teliti pula undi di kawsan sama pada 2004 lalu. BN diwakili Razali, manakala PAS mempertaruhkan Dr Syed Azman Syed Nawawi. Dia bukan sahaja ada kelulusan akademik tinggi, AJK PAS Pusat, bekas Ahli parlimen 1999, tetapi paling penting (dalam konteks penghujahan ini) ialah beliau anak tempatan Kuala Terengganu.

Semua kita tahu beliau kalah dengan majoriti 1,933 undi kepada Razali. Itu tidak mengejutkan sebab kawasan-kawasan lain pun PAS kalah teruk ketika itu, hingga hilang kerajaan negeri.

Apa yang perlu diteliti, kekalahannya dengan hampir 2,000 undi itu juga tidak sepatutnya berlaku. Jika dijumlahkan undi-undi peringkat Dun, PAS mendapat 29,750 undi berbanding BN dengan 30,375 undi. Beza undi majoriti hanya 625 undi yang memihak kepada BN.

Syed Azman mendapat 29,061 undi, iaitu 689 undi kurang daripara calon-calon PAS di empat Dun. Sekali lagi kita istilahkan 689 itu undi lari. Jika tidak kerana undi itu, Syed Azman sepatutnya kalah hanya 625 undi, bukannya 1,933 undi. Berbeza bukan?

Maka kesimpulan penulis yang kedua, kalau dikatakan undi lari dalam kes Mat Sabu ialah kerana dia 'orang luar', bukankah fenomena serupa telah dialami Syed Azman yang merupakan anak tempatan?

Untuk kesimpulan ketiga, kita teliti lagi keputusan 2004 itu. Razali mendapat 30,994 undi, iaitu penambahan 619 undi lebih daripada empat calon BN di Dun. Ada 70 undi lari dari PAS yang tidak mengundi mana-mana calon.

Dalam ertikata lain, faktor peribadi calon BN itu turut memainkan peranan. Kita boleh simpulkan bahawa Razali telah mendapat undi peribadi sebanyak 619 undi.

Kita andaikan jumlah itu kekal pada 2008. Bermakna 1,076 undi peribadi diperolehinya Mac lalu hanya melibatkan 457 undi tambahan. Apa peliknya tambahan sebanyak itu kerana jumlah keluar mengundi di kawasan itu meningkat 5,267 orang berbanding 2004 lalu.

Sepertimana disebutkan, besar kemungkinan Mat Sabu tidak akan dipilih semula. Kalau penulis sendiri berada di tempat beliau pun, penulis tidak akan menerima tawaran bertanding semula, setelah diberi tanggapan sebegitu negatif.

Namun, itu bukan persoalan yang nak diperbahaskan di sini. Analisa semula oleh penulis ini hanyalah untuk mengajak kita lebih teliti dalam mengamati sesuatu perkara sebelum mengambil sebarang kesimpulan.

Berdasarkan analisa ringkas tadi, penulis sekali lagi menyangkal dakwaan kekalahan Mat Sabu tempohari semata-mata kerana dia 'orang luar'. Maaf cakap, bagi penulis kesimpulan itu adalah satu kedangkalan, menggambarkan kerja gopoh dan minda simplistik pihak terbabit.

Ia juga seolah-olah mengesahkan bahawa orang Terengganu sangat tebal sentimen kenegeriannya. Sedangkan hakikatnya tidak begitu, sebab penulis juga orang Terengganu.
Paling utama, dakwaan tadi satu ketidak adilan yang sangat dikesali terhadap fakta sebenar, lebih-lebih lagi terhadap Mat Sabu sendiri.

(Artikel ini disiarkan laman harakahdaily.net pada 21 Disember 2008. Ia menarik perhatian sebilangan pemimpin tertinggi PAS yang kemudiannya mengarahkan admin laman itu ‘remove’ (membuang) artikel ini dari paparan, hanya selepas tidak sampai 24 jam disiarkan)

Sunday, December 7, 2008

Pemesongan akidah tidak boleh diukur dengan akal

Yoga diharam untuk kebaikan umat Islam

Oleh: Anuwa Jamalullail

Keputusan pengharaman senaman yoga oleh pihak bertanggungjawab berkaitan hal ehwal agama Islam negara ini baru-baru ini nampaknya mengundang lebih banyak reaksi negatif berbanding positif.

Ada yang meminta Majlis Fatwa Kebangsaan memberi fokus kepada isu lain yang lebih utama dan serius, bukannya mengharamkan yoga yang pada mereka hanya satu jenis senaman.

Ada yang mengemukakan ‘testimoni’ bahawa dirinya tidak merasakan terpesong akidah meski pun telah mengamalkan senaman itu bertahun lamanya. Amalan yoga yang disifatkan mereka sebagai senaman menyihatkan tidak pernah menyebabkan pengamalnya menukar agama daripada Islam kepada Hindu atau mengancam kedudukan Islam.

Bahkan, ada yang berhujah, berbekalkan kesihatan tubuh hasil senaman yoga itulah menyebabkan dia semakin selesa beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah.

Pandangan yang lebih mirip kepada sanggahan itu disiarkan media sebagai reaksi pihak-pihak tersebut terhadap keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga secara sistematik. Pengumuman keputusan tersebut dibuat Pengerusi MPK, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin, 22 November lalu.

Menurutnya, amalan senaman yoga secara sistematik membabitkan gerakan fizikal, bacaan mantera dan matlamat penyatuan diri dengan tuhan adalah bertentangan dengan syariat Islam. Justeru, mengamalkannya dibimbangi akan menghakis akidah umat Islam.

“Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan, senaman yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu sejak Sebelum Masehi itu yang menggabungkan amalan fizikal, unsur keagamaan, mantera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan, adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah”, kata Abdul Shukor.

Justeru katanya, ahli muzakarah MFK memutuskan apa juga jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.

Yoga adalah amalan kesihatan yang diperkenalkan sejak 3,300 Sebelum Masehi. Ia dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

Amalan senaman harian itu bagaimana pun kebanyakannya mempunyai pergerakan berdasarkan unsur dalam agama Hindu. Ia termasuk konsentrasi, posisi tubuh dan tangan yang dilakukan sambil membaca mantera.

Sebab itu umat Islam dinasihatkan agar menjauhi amalan yoga meski pun sekadar mempraktikkan pelbagai variasi senaman fizikalnya tanpa membaca mantera atau pemujaan, kerana ia adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem senaman tersebut.

“Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjaga kepentingan dan akidah umat Islam dan pada peringkat ini kita menggunakan pendekatan menasihat dan memaklumkan kepada umat Islam tentang pandangan Islam terhadap yoga,” ujar Abdul Shukor lagi.

Amat menyedihkan apabila ada pihak, terutama dari kalangan umat Islam sendiri mempertikaikan fatwa yang diputuskan MFK itu. Adalah wajar diingat bahawa fatwa ini bukan dibuat secara main-main, sembrono atau sewenang-wenang.

Sebagaimana ditegaskan Pengerusi MFK, keputusan itu adalah hasil kajian dan penelitian terhadap segala hujah dan pandangan berkaitan yoga. Ia akhirnya diputuskan demikian semata-mata demi memelihara akidah umat Islam.

Ada pun alasan kesihatan yang dikemukakan beberapa pihak bagi merasionalkan tindakan mereka mengamalkan yoga adalah semata-mata berlandaskan ukuran dan pemikiran akal. Wajar difahami bahawa tidak semua ajaran dan larangan Islam itu boleh dinilai mengikut kefahaman akal. Apatah lagi jika seseorang itu tidak begitu mahir atau mendalam ilmunya berkaitan ajaran Islam.

Itulah masalah utama umat Islam dewasa ini. Mereka cenderung menggunakan pertimbangan akal tanpa pengetahuan jelas mengenai hukum Islam. Kejahilan akhirnya mendorong mereka melakukan perkara-perkara yang terlarang dalam Islam tanpa mereka sedari.

Contoh kes-kes sebegini amat banyak. Masakan anda tidak pernah mendengar cerita pasangan yang dicekup berdua-duaan di tempat sunyi dalam aksi mencurigakan? Antara mereka masih sempat berhujah balas kepada pegawai agama yang menahan mereka, “apasal pula marah kami, kami bukan buat apa-apa pun!”

Ternyata orang itu mengira tidak ada salahnya berpegangan tangan atau berpelukan antara lelaki dan wanita bukan mahram. Barangkali menurut kefahamannya operasi pencegahan maksiat hanya bagi pasangan yang melakukan persetubuhan haram.

Begitu juga hukum meminum arak. Ia adalah haram kerana sifatnya yang memabukkan. Katakanlah ada seorang yang sangat terbiasa meminum arak. Disebabkan terlalu biasa dengan tabiat itu, maka sekadar dua tiga gelas arak sudah tidak memberi apa-apa kesan kepada mentalnya.

Jika logik akal digunakan, maka bolehkah bagi orang seumpama itu mengatakan arak tidak haram baginya kerana ia sudah ‘hilang’ sifat memabukkan itu?

Di sinilah perlunya bagi umat Islam ingat bahawa agama ini bukan tertegak dengan akal atau logik. Banyak hukum dan ketetapan dalam Islam tidak mampu digarap semata-mata dengan akal.

Tindakan terbaik bagi mereka ialah cuba mematuhi dan menghormati keputusan dibuat MFK selaku badan berotoriti dalam hal ehwal Islam. Apatah lagi jika keputusan itu membabitkan amalan yang berkemungkinan memesongkan akidah, sedangkan menurut ukuran akal ia tidak sebegitu.

Kebelakangan ini juga semacam ada kecenderungan di kalangan masyarakat bukan Islam tampil lebih berani mengusik sensitiviti khalayak majoriti negara ini, termasuk mempertikai keputusan MFK. Baru-baru ini ada NGO bukan Islam mengadakan demonstrasi membantah keputusan MFK mengharamkan perlakuan perempuan yang menyerupai lelaki atau ‘pengkid’.

Dalam kes pengharaman yoga ini pula, kedengaran suara ‘sumbang’ dari beberapa pihak bukan Islam, terutama kalangan penganut Hindu. Presiden Persatuan Malaysia Hindu Sangam, Datuk A. Vaithilingam menyifatkan langkah MFK mengharamkan yoga sebagai menghina komuniti Hindu di negara ini.

Nada tidak senang sebegitu turut disuarakan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu. Beliau mendakwa fatwa itu telah menimbulkan kebimbangan dan kekeliruan di kalangan rakyat bukan Islam, terutama penganut Hindu.

Di sinilah perlu difahami bahawa fatwa dikeluarkan itu bukan bertujuan mencerca, memperkecilkan atau menghina agama lain, termasuk Hindu. Sebaliknya ia sebagai panduan agar umat Islam tidak melakukan amalan yang dilarang agama.

“Setiap fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan adalah panduan kepada umat Islam saja. Hukum itu tidak membabitkan penganut agama lain dan semua pusat yoga boleh meneruskan operasi senaman itu untuk penganut bukan Islam,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengulas kebimbangan khalayak bukan Islam mengenai fatwa berkenaan.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 7 Disember 2008 dengan tajuk sama)