Sunday, October 8, 2000

Isu Royalti Uji Loyalti Jentera Kerajaan

Oleh: Mohd. Nasir Awang

SEWAKTU menggulung perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 11 Mei lalu, Exco Kanan Kerajaan Negeri, Haji Mustafa Ali ada menyentuh soal proses penyusunan semula para pegawai tinggi kerajaan di seluruh negeri yang sedang berjalan ketika itu.

Beliau menyifatkan proses tersebut sebagai amalan biasa bagi mana-mana kerajaan yang baru tertegak. Ia tidak ubah seperti teething problem, atau masalah penumbuhan gigi pada seseorang kanak-kanak. Ia mungkin menyakitkan, menimbulkan suasana tidak selesa dan menyebabkan kanak-kanak sering merengek. Bahkan ia boleh melarat sampai menyebabkan kanak-kanak itu demam.

Tetapi hasil yang diperolehi setelah proses penumbuhan itu selesai diketahui umum bakal memberi kekuatan semulajadi yang diperlukan oleh semua manusia. Proses yang menyakitkan itu akhirnya bertukar menjadi kekuatan yang bakal menggigit, memamah dan mengunyah segala makanan, sama ada yang lembut atau yang keras.

Para pemimpin politik sememangnya perlu ’mencampuri ’urusan pentadbiran untuk memastikan apa yang berlaku atau dilaksanakan sesuai dengan kehendak dan dasar parti pemerintah yang mereka wakili. Ini tidak sahaja kerana tanggungjawab mereka sebagai orang yang ikut serta menentukan polisi pemerintahan dan memutuskan sesuatu projek pembangunan, tetapi juga sebagai pemimpin mereka bertanggungjawab kepada pengundi dan rakyat yang telah sepakat memilih mereka menerajui kerajaan.

Tentu sekali rakyat dan pengundi itu mahu melihat para pemimpin itu mengotakan janji-janji mereka lewat manifesto pilihanraya parti mereka, terutama hasrat ’mendaulatkan’ sebuah pemerintahan berasakan Al-Quran dan As-Sunnah.

Di samping para pemimpin politik, pegawai kerajaan adalah kumpulan manusia yang dipilih, dilatih, diberikan tanggungjawab, dibayar gaji dan diberikan pelbagai macam kemudahan untuk memberikan pelbagai macam perkhidmatan. Pegawai-pegawai tinggi, selain ikut merancang, juga adalah menjadi jentera pelaksana bersama ribuan kakitangan kerajaan yang lain.

Dan sesuai dengan konsep ’syura rakyat’ yang baru diperkenalkan, para pegawai juga adalah pemikir dan pemimpin, bukan sekadar pekerja dan pelaksana. Justeru, bersama pemimpin politik, merekalah yang akan menentukan apakah masa depan rakyat dan negeri ini bakal menuju matlamat yang dicanangkan atau tidak.

Sebab itu, loyalti (ketaat-setiaan) dan kebersamaan para pegawai dan kakitangan kerajaan dengan pemimpin politik yang menerajui kerajaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Tidak sepatutnya berlaku pemimpin politik menuju ke kanan, jentera kerajaannya memusing ke kiri.

Seseorang pegawai kerajaan itu bebas berfikir dan menganut apa jua fahaman politik.  Tetapi, dalam perkhidmatannya dia tidak bebas dan mesti mematuhi dasar kerajaan yang berkuasa. Bukankah hal itu terkandung dalam etika perkhidmatan awam?

Seperti mana yang dimaklumi umum, Kerajaan Negeri kini sedang menghadapi suatu ’rampasan kuasa’ atau ’penjajahan bentuk baru’. Kerajaan Pusat sewenang-wenagnya telah menafikan hak Kerajaan Negeri menerima royalti petroleum.

Sebaliknya pembayaran royalti itu telah dialihbahasakan sebagai wang ihsan. Dan, apabila disebutkan ’kerajaan negeri’, ia tentu sekali tidak bermaksud para pemimpin politiknya sahaja. Ia juga melibatkan jentera kerajaan, iaitu para pegawai dan ribuan kakitangan.

Dalam keadaan yang ada kini, tidak sepatutnya turut kedengaran kelompok tertentu dari jentera kerajaan sendiri yang menyambut baik pencabulan tersebut. Suara-suara sebegitu sebenarnya menzahirkan bahawa mereka itu adalah golongan yang merelakan diri mereka diperalatkan oleh pihak penentang kerajaan, sedangkan mereka masih lagi dalam perkhidmatan dengan Kerajaan Negeri.

Belum pun sampai sebulan isu royalti ini meletus, sudah kedengaran berbagai-bagai cerita yang sekaligus menggambarkan tahap loyalti para pegawai dan kakitangan kerajaan kepada kerajaan yang ada. Rasanya elok juga disebutkan di sini sebagai bahan renungan untuk semua.

Seorang pegawai di salah sebuah jabatan Kerajaan Negeri diceritakan merungut-rungut kepada rakan sepejabatnya dengan katanya ”bulan dua belas nanti tak ada gajilah kita!” Beliau bermaksud mengatakan bahawa Kerajaan Negeri bakal kehabisan wang perbendaharaan ekoran penarikan balik pemberian royalti itu.

Satu sumber yang rapat dengan sebuah institusi pendidikan tinggi di bawah Kerajaan Negeri pula memberitahu kita bahawa seorang orang utama di institusi berkenaan ada berucap di satu majlis beberapa minggu lalu dengan ucapan yang ’sangat tidak bertanggungjawab’.

Beliau diberitakan mendakwa kononnya peruntukan kewangan yang ada pada institusinya itu hanya dapat bertahan sekadar empat bulan lagi. ”Kami memang sangat-sangat mengharapkan bantuan ihsan!” katanya lagi.

Manakala cerita sesetengah imam dan bilal (mereka juga sebahagian jentera Kerajaan Negeri) yang menolak menganggotai Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) di tempat masing-masing begitu banyak kedengaran mutakhir ini. Mereka ini ada yang pada awalnya telah menyatakan persetujuan menganggotai JSR, tetapi mengubah fikiran sejurus isu royalti tercetus.

Lebih mendukacitakan lagi, terdapat juga sebilangan mereka yang terlibat secara langsung menghidupkan kembali Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang telah pun diisytiharkan sebagai ’institusi haram’ oleh Kerajaan Negeri. Sedangkan para imam dan bilal itu masih berkhidmat dengan Kerajaan Negeri.

Apa yang diutarakan di atas sebenarnya hanyalah beberapa ’kes terpencil’ dan bukan mewakili sikap jentera kerajaan keseluruhannya. Pun begitu, ia adalah contoh jelas betapa isu royalti petroleum ini telah menguji tahap loyalti mereka. Masih ada jentera kerajaan yang sanggup meletakkan kepentingan diri sendiri mengatasi kepentingan negeri atau kepentingan umum.

Tidaklah menjadi hasrat tulisan ini untuk memperkecilkan pengorbanan dan komitmen para pegawai dan kakitangan kerajaan dalam membangunkan negeri ini.  Jauh sekali untuk mempersoalkan loyalti mereka terhadap kerajaan yang ada.

Cuma sebagai ingatan bersama, bahawa soal memperkemaskan jentera kerajaan dalam menghadapi pancaroba pemerintahan merupakan satu faktor yang kritikal buat masa ini. Kerana, cabaran dan harapan yang ada di hadapan kita adalah dunia.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 9, 8 Oktober 2000 di rungan 'Analisis' dengan tajuk sama)