Sunday, July 26, 2009

MPPP medan suburkan diskriminasi politik


Oleh: Mohd Nasir Awang

SETAKAT ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dianggap berjaya membebaskan dirinya dari bayangan orang digantinya. Di antara perubahan paling awal dibuatnya ialah memperkenalkan slogan atau konsep baru pemerintahannya.

Jika era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terkenal dengan slogan ‘Islam Hadhari’ dan tagline ‘Bekerja Bersama Saya, Bukan Bekerja Untuk Saya’, apa yang dicetuskan Najib dan kini hebat digemariuhkan segenap peringkat organisasi kerajaan nampaknya lebih mempesonakan.

Slogan ‘1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ kini dipaksa menjadi titian bibir segenap pelaksana dasar kerajaan. Konsep itu diulas dan dibual bicara secara positif dari segenap perspektif, termasuk pentadbiran, ekonomi, sosial mahu pun agama.

Ia dikatakan konsep yang sangat mantap dan pengajarannya amat tepat pada masanya. Penerimaan rakyat terhadap konsep itu juga digambarkan media arus perdana sebagai sangat memberangsangkan.

Di antara terjemahan langsung kepada konsep tersebut melahirkan satu lagi tagline, iaitu ‘Malaysia Untuk Semua’. Malah ada ketikanya ia sengaja disalah sebut para pendukung Barisan Nasional (BN) sehingga kedengaran sebagai ‘BN Untuk Semua’.

Slogan itu bagaimana pun tidak sempat diulangsebut begitu lama. Keghairahan para pendukung BN menyebutnya serta-merta terbantut apabila ada pihak mendakwa parti itu meniru slogan-slogan ‘PAS Untuk Semua’ dan ‘KeADILan Untuk Semua’ yang terlebih dahulu diperkenalkan.

Memang itulah pantang larang dalam politik. Mana-mana pihak pun tidak akan bersedia mengaku kalah, lebih-lebih lagi BN yang terkenal bongkak dan ego itu. Walau pun sudah terang lagi bersuluh slogan ‘BN Untuk Semua’ itu adaptasi slogan serupa oleh dua parti lawannya, BN tetap menafikannya.

Malah, parti itu lebih rela menghentikan penyebutannya. Namun penghuraian kepada apa yang digambarkan sebagai sikap dan pendirian kerajaan pimpinan Najib menerusi konsep 1Malaysia tetap menemukan kita dengan ungkapan ‘Malaysia Untuk Semua’. Mengaku atau tidak, tiru jugalah namanya tu, bukan?

Para pemimpin dan pendukung kerajaan begitu bersungguh cuba meyakinkan rakyat betapa di bawah konsep 1Malaysia segala yang dirancang dan dilaksanakan kerajaan adalah untuk manfaat dan kebaikan semua rakyat. Kononnya tidak akan ada pihak yang dipinggir atau disisihkan. Tidak ada sebarang pilih kasih atau diskriminasi, sama ada di atas garisan kaum, agama mahu pun kecenderungan politik.

Meski pun saya masih belum berhasrat menyatakan penilaian menyeluruh terhadap konsep 1Malaysia, saya sudah menemukan satu kesan positif daripadanya. Bagi saya keghairahan kerajaan mencanangkannya secara tidak langsung membuka ruang sangat luas untuk rakyat membahas dan mengutarakan prinsip keadilan, terutama dalam pelaksanaan setiap dasar dan program kerajaan.

Para pemimpin kerajaan pula, terutama kalangan menteri, secara tidak langsung turut dibebani peranan membuktikan betapa 1Malaysia benar-benar konsep yang adil dan saksama untuk semua pihak. Makanya sebarang dasar atau peraturan diperkenal dan dilaksanakan kementerian masing-masing kini tertakluk kepada pertikaian dan penilaian dari perspektif keadilan dan kesaksamaan itu.

Lawan kepada dua prinsip itu ialah pilih kasih atau diskriminasi. Sikap dan tabiat primitif inilah yang sejak sekian lama menghantui dan melekat kuat pada batang tubuh BN. Senarai tindakan diskriminasi BN, terutama di peringkat akar umbi amat panjang.

Imej dan reputasi parti itu sebagai pemerintah yang gemar menafikan hak dan kepentingan segolongan rakyat, terutama di atas merit politik, menjadi antara penyebab utama ia dibenci dan ditolak rakyat.

BN sedar rupa hodohnya itu dan cuba memperbaikinya. Saya melihat usaha itu antara yang tersemai kukuh di sebalik penakrifan slogan 1Malaysia yang rancak dicanangkan kini.

Sebab itu minggu lalu saya agak terkejut apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tiba-tiba mengutarakan pendekatan yang saya kira sangat bertentangan dengan usaha tadi.

Sebuah akhbar harian Isnin (20 Julai) lalu melaporkan hasrat kementerian itu menubuhkan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) di seluruh negara. Menurut menterinya, Datuk Noh Omar, fungsi majlis itu adalah bagi memajukan sektor pertanian secara sistematik dan berkesan.

Namun, apa yang menghanyirkan ialah ia juga akan menjadi badan penentu dalam meluluskan setiap bantuan yang disalurkan Kerajaan Pusat. Kuasa yang selama ini diberikan kepada pegawai agensi atau jabatan terbabit kini diserahkan kepada MPPP.

“Tindakan tatatertib akan dikenakan kepada pegawai agensi pertanian yang meluluskan bantuan kepada petani tanpa merujuk kepada majlis itu,” Noh memberi amaran keras.

Sesiapa pun yang mengikuti sepak terajang politik negara sudah masak dengan dasar dan peraturan seperti ini. Rakyat sudah cerdik dan dapat membaca maksud tersirat di antara barisan ayat-ayat itu. Ia sebenarnya medan sangat subur untuk amalan diskriminasi, terutama di atas merit politik.

Hakikat bahawa jawatankuasa MPPP adalah lantikan politik sekali gus menyuburkan kembali persepsi bahawa ia sebenarnya manipulasi kuasa oleh BN untuk memperkukuhkan cengkaman politiknya di peringkat akar umbi.

Bagi saya tindakan menteri berkenaan bukan sahaja mencemarkan hasrat murni konsep 1Malaysia yang cuba menekankan prinsip keadilan dan kesaksamaan, malah memberikan isyarat betapa BN sudah terlalu terdesak mempertahankan hegemoni kuasanya, terutama di peringkat akar umbi. Ia juga mengundang persepsi bahawa tahap kepercayaan BN terhadap kredibiliti dan profesionalisme para pegawai kerajaan amat rendah.

Saya tidak pasti apakah menteri berkenaan sedar akan hakikat ini. Ataukah sentimen politik kepartiannya terlalu tebal dan berkarat sehingga tidak dapat berfikir secara rasional dan profesional lagi dalam menguruskan kementeriannya?

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 4-10 Syaaban 1430/26 Julai-1 Ogos 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Selepas stadium runtuh, kolam renang pula retak


Oleh: Anuwa Jamalullail

BELUM pun sempat masyarakat awam mendapat gambaran jelas dan meyakinkan mengenai hasil siasatan kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abdin (SSMZA) di Gong Badak, Kuala Terengganu, awal Jun lalu, rakyat negeri itu dimalukan pula dengan pengumuman penutupan dua lagi prasarana sukan di bandaraya tersebut minggu lalu, juga akibat kerosakan.

Dua prasarana itu ialah Stadium Tertutup Terengganu (STT) dan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Tindakan atas arahan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat itu ada hubungkait dengan penilaian tahap kerosakan yang dialami.

Akibatnya, walau pun kedua-duanya baru hanya lebih setahun disiapkan, kerosakan yang dikesan menyebabkan ia sudah tidak selamat dan tidak sesuai lagi dibuka kepada kegunaan awam.

Tidak syak lagi pemantauan dan penyiasatan lebih rapi mengenai tahap keselamatan prasarana tersebut adalah ekoran kejadian yang amat memalukan negara pada 2 Jun lalu. Mengimbas kembali kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, seluruh struktur bumbung yang memayungi tempat duduk utama di SSMZA runtuh secara tiba-tiba. Kejadian disahkan berlaku tanpa sebarang faktor semula jadi seperti ribut atau angin kencang.

Stadium itu merupakan komponen utama Kompleks Sukan Negeri Terengganu yang baru siap dibina kira-kira setahun lalu dengan kos keseluruhan lebih RM500 juta. Kos pembinaan stadium itu sahaja adalah RM292 juta. Ia pertama kali digunakan untuk temasya sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Memandangkan liputan media mengenai pembinaannya agak meluas, keruntuhannya dalam usia setahun jagung memberikan kesan amat besar kepada imej dan kredibiliti pihak-pihak yang terbabit dalam pembinaannya.

Stadium itu menjadi kebanggaan Terengganu, khususnya Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan. Kemampuannya memuatkan kapasiti 50,000 penonton menjadikannya stadium terbesar di Pantai Timur. Selain menempatkan padang bolasepak, ia juga menyediakan gelanggang tertutup untuk prasarana boling dan skuasy.

SSMZA turut memiliki beberapa keunikan lain, antaranya penggunaan spesifikasi TERmoden, TERkini dan berteknologi tinggi dalam pembinaannya. Ia juga stadium pertama di Pantai Timur menggunakan rumput TERmoden dikenali sebagai cow grass.

Sejarah lebih membanggakan bagi Terengganu ialah apabila SSMZA dikatakan stadium pertama di Asia menggunakan sistem bumbung tanpa kolum (space frame structure), yang mana kesemua 134 meter bumbungnya dibina tanpa tiang sokongan.

Kehebatan senibina itu mengalahkan semua stadium di negara-negara industri seperti Jepun, Korea mahu pun China. Tidak usah dibandingkan dengan Thailand, Singapura atau pun Laos. Hebatnya Terengganu, bukan?

Namun segala kebanggaan itu ranap serta-merta di saat cerita keruntuhannya tersebar. Rasa malu diterima rakyat negeri itu juga sama hebat dengan rasa bangga sebelum itu.

Macam-macam luahan dan soalan timbul. Bagaimana mungkin stadium yang baru siap sudah runtuh? Macam mana boleh stadium yang sangat mahal dan canggih runtuh juga?

Semua pihak yang terlibat dengan pembinaan SSMZA dituntut memberikan penjelasan. Selaku ketua kerajaan negeri, Datuk Ahmad Said menjadi orang paling “panas telinga”.

Beliau lalu mendakwa kononnya telah pun beberapa kali memberi amaran kepada pihak bertanggungjawab mengenai tahap keselamatan bumbung stadium itu. Malah katanya, kerosakan itu telah pun beliau sedari sejak hari perasmiannya pada 10 Mei 2008 lalu.

Ekoran tragedi runtuhan itu juga kesedaran dan keprihatinan rakyat terhadap tahap keselamatan bebetapa prasarana sukan lain di Terengganu meningkat mendadak. Pendedahan media mengenai pelbagai bentuk kerosakan di beberapa pusat kemudahan sukan yang baru disiapkan menjelang temasya Sukma 2008 menjadi bahan bual bicara rakyat Terengganu.

Ahmad pula mengarahkan pemeriksaan rapi dan teliti dibuat segera terhadap beberapa struktur penting, terutama di dua lagi stadium yang terdapat di ibu negeri itu, iaitu STT yang terletak bersebelahan SSMZA dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di pusat bandaraya.

Turut disorot media ialah kebocoran yang berlaku di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di pantai Batu Burok. Ia dikatakan retak dan kesan titisan air dari kolam itu menghasilkan “kolam” di beberapa premis perniagaan yag terletak di bawahnya.

Siasatan mendapati memang terdapat kelemahan ketara dalam pembinaannya sehingga menjejaskan tahap keselamatannya untuk kegunaan awam. Laporan akhbar harian, Rabu (22 Julai) lalu yang memetik ulasan Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim mengenai penutupan STT dan kolam renang itu mengesahkan kebimbangan tersebut.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati banyak kelemahan dan kesilapan teknikal yang boleh dipersoalkan dalam pembinaan pusat akuatik bernilai hampir RM19 juta itu sehingga ia tidak selamat digunakan walau pun baru setahun disiapkan.

Lebih mendukacitakan, Dr. Judin turut tidak menolak kemungkinan adanya unsur salah laku dalam proses mereka bentuk serta piawaian pembinaan kolam renang itu. Ekoran itu, katanya, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Salah Laku bagi menyiasat sebarang kemungkinan pembabitan pegawai JKR dan kontraktor projek itu dengan unsur tersebut.

Apa pun hasil siasatan itu nanti sudah menjadi perkara kedua. Perkara utama yang telah pun terbukti ialah kedua-dua prasarana yang dibina sebegitu mahal itu sudah rosak dan terpaksa ditutup. Ia satu lagi hakikat memalukan.

Luahan dan soalan serupa seperti dalam kes runtuhan stadium lalu timbul kembali. Bagaimana mungkin binaan yang baru siap sudah rosak?

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 26 Julai-1 Ogos 2009 dengan tajuk serupa)

Sunday, July 19, 2009

Cerita pelajar berkarate, Ulul Albab dan pemantapan BI


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

CERITA kebobrokan akhlak dan perlakuan pelajar Terengganu sekali lagi menjadi isu nasional minggu lalu. Setelah bulan lalu tersiarnya cerita sekumpulan pelajar lelaki menyerang seorang guru di rumahnya dan merosakkan harta-bendanya akibat masalah disiplin di sekolah, cerita yang tersebar minggu lalu pula lebih mengaibkan.

Ia melibatkan pergaduhan fizikal sekumpulan pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di daerah Dungun. Kejadian dikatakan berlaku bulan lalu. Pergaduhan itu bagaimana pun hanya mendapat perhatian umum apabila rakaman aksi mereka disebarkan menerusi internet dan telefon bimbit.

Ia memaparkan aksi “ala-karate” tiga pelajar perempuan yang bertindak menampar, menumbuk muka dan menyepak seorang pelajar perempuan di sebuah surau di Kampung Ketengah Jaya.

Pihak sekolah yang bertindak atas maklumat yang disebarkan itu mendapati tiga pelajar yang membelasah itu dari Tingkatan Dua, manakala mangsa belasahan itu dari Tingkatan Satu. Aksi pergaduhan mereka dirakam rakan menggunakan kamera telefon bimbit.

Isnin lalu, pihak sekolah terbabit menggantung keempat-empat pelajar tersebut. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika mengulas penggantungan mereka berkata selain tiga suspek, pelajar yang menjadi mangsa belasahan itu turut digantung selepas siasatan mendapati dia turut menimbulkan provokasi sehingga mencetuskan pergaduhan tu.

Alimuddin bagaimana pun menganggap kejadian terbabit sebagai kes terpencil. Sepanjang tahun ini, katanya, hanya dua kes seumpama itu dilaporkan, termasuk kes di Sarawak sebelum ini.

Itu adalah tanggapan yang mungkin menggambarkan pendirian kementerian. Bagaimana pun bagi anggota masyarakat awam pula, khususnya di Terengganu, kes pergaduhan pelajar dalam aksi memalukan sebegitu tidak boleh lagi dianggap terpencil.

Keseriusan sesuatu permasalahan tidak sepatutnya dinilai berdasarkan besar atau kecil bilangan kes yang berlaku. Apa yang lebih utama diambilkira dan dibimbangkan ialah kesan terhadap keseluruhan imej dan prestasi pendidikan negara. Lebih penting lagi, apakah langkah sewajarnya telah dan akan diambil bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang?

Perlu diingat bahawa kes pergaduhan pelajar dalam aksi mengaibkan sebegitu bukanlah yang pertama seumpamanya, sama ada di peringkat nasional mahu pun di Terengganu sendiri.

Kita masih ingat lebih setahun lalu sudah tersebar rakaman aksi yang tidak banyak bezanya. Ia juga memaparkan pergaduhan sekumpulan pelajar perempuan, antara mereka masih dalam pakaian seragam sekolah.

Aksi gusti mereka juga “ala-karate”. Imej beberapa pelajar lelaki yang menjadi penonton dan tukang sorak turut terpapar. Siasatan mendapati kejadian berlaku di Sekolah Menengah Sultan Omar, juga di daerah Dungun.

Jika pergaduhan betina-betina itu “ala-karate”, apa yang berlaku melibatkan sekumpulan pelajar lelaki di Sekolah Menengah Belara, Kuala Terengganu sebelumnya pula disifatkan “ala-Samurai”. Pergaduhan mereka di padang sekolah berkenaan melibatkan libasan parang dan pedang.

Gambar-gambar aksi mereka beserta keadaan masing-masing selepas kejadian dalam keadaan berlumuran darah dengan baju dan seluar yang koyak rabak tersebar dan menjadi tatapan umum.

Sepertimana kes minggu lalu itu, kes pergaduhan berdarah itu juga dianggap terpencil. Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu malah tidak malu menafikan kejadian yang meruntuhkan imej pendidikan negara itu. Beliau menganggap cerita itu rekaan media, sedangkan kejadian tersebut dibuktikan dengan tersiarnya gambar-gambar mangsa terbabit.

Sebab itu masyarakat sukar menerima pendirian pihak berkuasa yang sering menganggap sesuatu kes sebagai terpencil. Terbukti setakat ini pendirian itu tidak membantu kita membendung gejala merosakkan generasi muda sebegitu.

Apatah lagi kes-kes disebutkan di atas berlaku di Terengganu, negeri yang telah menobatkan usaha melahirkan generasi Ulul Albab. Sebagai tambahan kepada ko-kurikulum pendidikan sedia ada, kerajaan negeri menokok beberapa nilai positif bagi mencapai hasrat murni itu.

Terengganu juga pernah dinobatkan sebagai negeri contoh dalam kejayaan pelajarnya untuk beberapa tahun sebelum ini. Bahkan, papan tanda “Contohi pelajar Terengganu” masih teguh terpasang di beberapa simpang jalan di serata negeri itu.

Gambar pada papan tanda itu ialah keratan akhbar yang melaporkan kejayaan seorang pelajar Terengganu menjadi pelajar terbaik seluruh negara untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun tersebut. Pelajar dari sebuah sekolah rendah di Besut itu sedang menerima anugerah dari Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran ketika itu.

Papan tanda itu dipacak kerajaan negeri kerana berbangga dengan kejayaan para pelajarnya. Bagaimana pun, dengan tersebarnya berbagai kes kebobrokan pelajar negeri itu, apakah papan tanda yang menyeru rakyat mencontohi pelajar Terengganu itu masih relevan?

Memang bukan semua pelajar berperangai buruk di sekolah. Tetapi kalau di Besut ada pelajar yang beranak dalam kelas, di Kuala Terengganu ada yang ditangkap cuba membakar kereta guru dan ada juga membedil sekolah dengan mercun, maka cerita kebaikan dan kejayaan mereka akan tenggelam begitu sahaja.

Setakat ini program Ulul Albab belum menampakkan hasil membanggakan. Masalah 51,000 murid darjah dua hingga enam di Terengganu tidak tahu bersembahyang, sepertimana pernah didedahkan seorang pegawai pelajaran daerah, juga belum selesai.

Tiba-tiba datang pula Kementerian Pelajaran dengan perancangan mempertingkatkan masa pembelajaran Bahasa Inggeris (BI). Agaknya itulah penyelesaian terbaik masalah kebobrokan pelajar kita, ya?

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 19-25 Julai 2009 dengan tajuk sama)

Martabat bahasa bukan setakat mansuh PPSMI


Oleh: Mohd Nasir Awang

KEPUTUSAN kerajaan memansuhkan pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) wajar dialu-alukan. Meski pun ada pihak mempertikaikan penangguhan penguatkuasaannya pada 2012, bagi saya alasan diberikan kerajaan bagi mengelakkan kesan mengejut terhadap pelajar boleh dirasionalkan.

Pengumuman pemansuhan itu dibuat Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 8 Julai lalu. Katanya, kedua-dua mata pelajaran teras itu akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda masing-masing di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Menurutnya, keputusan itu dibuat Kabinet setelah memperinci hasil kajian dan pemantauan PPSMI. Didapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pelaksanaan dasar itu.

Kajian universiti tempatan juga mendapati tahap penguasaan bahasa Inggeris murid-murid masih rendah. Laporan Trends In International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2007 oleh Boston College, Amerika Syarikat pula menunjukkan kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam dua mata pelajaran berkenaan.

Sepertimana dimaklumi pelaksanaan PPSMI sudah dibantah pelbagai pihak, termasuk persatuan ibu bapa dan guru, persatuan pendidikan dan pejuang bahasa, selain para pemimpin politik sedari awal pelaksanaannya pada 2003.

Bantahan mereka itu berpusat kepada dua isu, iaitu akademik dan bahasa. Sebilangan pembantah beralaskan kebimbangan atas tahap pemahaman dan penerimaan pelajar dalam dua mata pelajaran itu, sepertimana dibuktikan kajian TIMSS 2007 tadi. Sebahagian lain pula mengasaskan bantahan atas peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar ilmu.

Maafkan saya sekiranya tersilap menanggapi isu ini. Namun saya menilai keputusan Kabinet minggu lalu lebih cenderung menangani kebimbangan pertama itu sahaja. Pada saya alasan dijelaskan Muhyiddin tidak begitu mengaitkan keputusan kerajaan itu dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Sebab itu tidak salah jika ada pihak menyimpulkan pemansuhan PPSMI tidak boleh dianggap bukti kerajaan prihatin terhadap perjuangan bahasa. Alasan utama pemansuhan itu hanya berkisar soal akademik pelajar. Yang diraikan kerajaan ialah tahap prestasi pelajar dalam dua mata pelajaran tersebut, bukannya perjuangan memartabatkan bahasa.

Sebab itu amat tidak wajar sekiranya ada pejuang bahasa sudah berpuas hati dengan pengumuman itu, lalu menganggap pemansuhan PPSMI penamat perjuangan mereka. Menghentikan program itu sebenarnya sekadar mengembalikan status quo sebelum pelaksanaannya enam tahun lalu.

Harus kita tanyakan apakah nasib dan martabat bahasa Melayu sudah cukup baik sebelum PPSMI? Akuilah tanpa isu itu pun nasib bahasa kita sudah di tahap tidak sepatutnya.

Kita hanya dberi keyakinan palsu dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Kita dilunakkan dengan seruan bermusim untuk mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi dan majlis rasmi. Namun realitinya tidak ke mana.

Perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan perlu lebih menyeluruh. Ia memerlukan komitmen semua pihak. Kita sudah ada Dasar Bahasa Kebangsaan, beberapa akta berkaitannya dan sebilangan institusi bagi menegakkannya. Namun dasar sahaja tidak menjamin kesempurnaan pelaksanaannya jika tiada pematuhan oleh masyarakat.

Perlu diakui juga keberkesanan usaha ini adalah menerusi kuasa pemerintahan. Tugas utama membasmi penodaan bahasa terletak di tangan pemimpin politik, terutama parti pemerintah. Dalam kes negara kita, ia tentu sekali merujuk kepada Umno.

Mahu tidak mahu parti itu perlu akui kemelut melanda isu bahasa Melayu selama ini sebagai bukti kegagalannya memartabatkan jiwa bangsanya sendiri. Saya tidak bermaksud mengungkitkan nama Umno itu sendiri, walau pun ada pandangan yang meminta Umno terlebih dahulu memelayukan namanya sebelum bercakap soal memperjuangkan bahasa Melayu.

Yalah, nama Umno itu kan akronim ungkapan orang putih – United Malays National Organisation. Lalu ada yang sinikal, bagaimana diharapkan parti itu memartabatkan bahasa Melayu, sedangkan namanya sendiri pun tidak Melayu?

Namun, bagi saya itu kesilapan generasi lalu. Agak tidak adil membebankan Umno kini dengan perkara itu. Lagi pun bukan senang bagi khalayak Umno untuk gantikan nama yang sudah bersebati dengan mereka itu.

Apa yang lebih wajar dibuktikan Umno ialah kesungguhan parti itu memartabatkan bahasa Melayu. Segala kesilapannya mesti diperbetulkan.

Perbahasan mengenai kesilapan Umno itu pernah disiarkan Siasah suatu ketika lalu. Antaranya sepertimana dibicarakan sarjana bahasa Prof. Dr. Awang Sariyan.

Katanya, “semakin tidak nyata semangat cinta dan hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri negara apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing (misalnya precinct, parcel dan boulevard).”

Tidak syak lagi kritikan itu ditujukan kepada pemerintah. Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman pula menegur wewenangan mencipta dan menggunapakai istilah yang menyalahi tatabahasa Melayu.

Kita boleh menyenaraikan puluhan lagi contoh pencabulan dan pencemaran bahasa, terutama oleh kerajaan sendiri. Mahu tidak mahu beban memperbetulkan kepincangan itu adalah pada parti pemerintah. Hal ini mengingatkan saya kepada penegasan seorang peserta Dialog Bahasa 2007 di Seremban, dua tahun lalu.

Katanya, “oleh kerana orang politik telah memusnahkan dasar (bahasa) ini, maka orang politik juga sepatutnya membetulkannya. Mungkin kita tiada pilihan melainkan berpaling ke arah lain (pembangkang), yang boleh membantu kita menegakkan semula kedaulatan bahasa, sastera dan budaya Melayu.”

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 26 Rejab-3 Syaaban 1430/19-25 Julai 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)