Tuesday, August 15, 2000

Yahaya bin Ali


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi

YAHAYA bin Ali dilahirkan dalam sebuah keluarga ‘bangsawan’ di Kampung Gelugor Kedai, Kuala Terengganu, pada tahun 1958. Allahyarham ayahnya merupakan seorang yang sangat disegani di kawasan sekitar kampungnya, atas tugasannya sebagai Ketua Kampung, dan terkenal dengan panggilan ‘Penghulu Ali’.

Yahaya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Gelugor, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Tun Telanai, tidak jauh dari rumahnya. Beliau kemudian menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Padang Midin, juga di kawasan berdekatan. Selepas memperolehi keputusan cemerlang di peringkat menengah rendah, Yahaya diterima masuk ke Sekolah Menengah Sains Terengganu (sekarang Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud), di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Di situlah bakat kepimpinannya terserlah. Beliau aktif dalam berbagai persatuan pelajar, dan sering menjadi imam di surau sekolahnya, sehingga menerima gelaran ‘Ustaz Yahaya’.

Selepas menamatkan pengajian di peringkat menengah, Yahaya melanjutkan pula pelajaran ke Institut Teknologi Mara (ITM) sehingga berjaya memperolehi Diploma Pentadbiran Awam. Kelulusan yang diperolehinya itu melayakkannya diterima sebagai Pegawai Tadbir, di Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). Beliau sempat berkhidmat di situ untuk beberapa ketika sebelum berpindah kerja sebagai Pegawai Perjawatan, di Permint Plywood Sdn Bhd, salah sebuah syarikat anak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Pilihan Raya Umum 1986 memaksa Yahaya melepaskan jawatannya itu untuk bertanding di kerusi DUN Paka. Yahaya berdepan dengan calon BN, Engku Bijaya Sura Syed Omar bin Mohammad. Keputusan bagaimanapun memihak kepada tokoh ternama Umno itu, dengan majoriti 1,590 undi. Engku Bijaya Sura berjaya memungut 4,467 undi, berbanding Yahaya yang mengutip hanya 2,877 undi.

Kekalahan tersebut tidak sedikit pun mematahkan semangat Yahaya untuk terus berkhidmat dengan parti. Sejak itu beliau mula bertugas sepenuh masa sebagai ‘Pegawai Tadbir’ di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu. Pada masa yang sama beliau turut mengambil bahagian dalam kepimpinan PAS negeri, terutamanya di peringkat Dewan Pemuda, sebagai Setiausaha DPPNT untuk beberapa penggal. Beliau juga menjadi tunggak penting dalam menggerakkan Jabatan Pilihan raya Negeri (JPN) Terengganu, bagi memastikan peningkatan prestasi PAS dalam setiap pilihan raya mendatang.

Setelah ‘berehat’ daripda mengambil bahagian secara rasmi dalam Pilihan Raya Umum 1990, pada pilihan raya berikutnya nama Yahaya dipilih kembali oleh kepimpinan sebagai calon. Beliau diamanahkan untuk memenangkan PAS di DUN Alur Limbat, iaitu satu kawasan yang baru dibentuk oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). BN mempertaruhkan Azmi bin  Ahmad sebagai calon, dan berjaya memungut 5,266 undi. Yahaya pula mengutip 5,535 undi, sekaligus mengalahkan calon BN itu dengan majoriti 269 undi.

Sejak itu bermulalah era baru dalam kehidupan Yahaya sebagai seorang wakil rakyat. Manakala bebanan tugas dalam parti juga turut meningkat, apabila beliau dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu (1997-1999), menggantikan Haji Mohd Abdul Wahid bin Haji Endut. Kira-kira dalam tempoh yang sama juga beliau dilantik menjadi Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, dan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap perjalanan JPN.

Berbekalkan maklumat yang ada padanya di JPN itulah, Yahaya sering meramalkan saat manis kemenangan PAS di Terengganu yang bakal tiba lewat Pilihan Raya Umum Kesepuluh. Pada 29 November 1999 ramalan Yahaya itu menjadi kenyataan. PAS berjaya menawan Terengganu dan Yahaya sendiri turut berjaya mempertahankan kemenangannya di DUN Alur Limbat. Yahaya memungut 7,575 undi, mengalahkan calon BN Alias bin Abdullah dengan majoriti 3,275 undi. Alias mengutip 4,300 undi.

Pada 2 Disember 1999, satu lagi detik manis berlaku dalam hidup Yang Berhormat Yahaya bin Ali. Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi.


(Artikel ini adalah sebahagian daripada Bab 13, Bahagian C: Profil Pimpinan Terengganu, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment