Friday, March 17, 2006

Kenaikan 30 sen tidak bebankan siapa?


Oleh: Mohd Nasir Awang

SEORANG pekerja am di sebuah sekolah menengah di Baling, Kedah dilaporkan sanggup berulang-alik ke sekolah menghantarkan bekalan makanan kepada anak-anaknya setiap hari bagi menjimatkan perbelanjaan. Bapa yang tabah itu, Abu Bakar Ariffin, mengakui terpaksa berbuat demikian apabila anak-anaknya, Siti Noraini, 10, dan Mohd Firdaus, 9, perlu mengikuti kelas agama dan fardhu ain (KAFA) pada sebelah petang.

Dengan pendapatannya yang tidak seberapa, Abu Bakar berpendapat adalah lebih baik anak-anaknya tidak pulang ke rumah untuk makan tengahari dan menukar pakaian. Tindakan itu telah menjimatkan dua kos, tambang bas pergi-balik dan wang saku untuk sesi petang anak-anaknya.  Kedua-dua anak itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Keda, Kupang, kira-kira empat kilometer dari rumahnya di Kampung Charuk Bemban.

Dilaporkan juga, tindakan Abu Bakar itu juga adalah sebagai menyahut seruan kerajaan agar rakyat berjimat dan mengubah cara hidup, ekoran kenaikan mendadak harga tiga bahan bakar utama.

Pada 28 Februari lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga runcit bagi tiga produk petroleum. Minyak petrol dan diesel dinaikkan 30 sen bagi setiap liter, manakala gas memasak naik 30 sen setiap kilogram.

Harga gas memasak masing-masing naik kepada RM17.50 (bagi balang 10kg), RM 22.00 (12kg) dan RM24.50 (14kg) setiap balang.  Harga petrol pula menjadi RM1.92 seliter, manakala diesel RM1.603 seliter.

Ekoran kegawatan bahana perubahan mengejutkan itu, pihak kerajaan tampil dengan berbagai rayuan. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyeru rakyat agar mengubah gaya hidup. Antaranya dengan mengubah kaedah pengangkutan ke pejabat, sama ada menaiki kenderaan awam atau berkongsi kenderaan (car-pooling).

Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan beberapa menteri kabinet turut tampil dengan seruan dan rayuan masing-masing. Seruan itu disambut ‘bercampur-campur’. Lebih banyak kontra berbanding yang pro.

Rakyat tidak menolak keperluan berjimat. Cuma mereka agak sukar mengubah kebiasaan, apatah lagi menggadai keselesaan. Kempen car-pooling pernah dilaksanakan suatu ketika dahulu. Ia tidak disambut baik dan ‘mati’ begitu sahaja. Apakah kali ini ia mampu dihidupkan semula?

Menggunakan pengangkutan awam juga ada kesulitan tersendiri. Tidak semua orang bernasib baik mendapat perkhidmatan yang efisyen ke laluan dihajati. Ramai yang terpaksa berjalan kaki, menunggu lama atau menukar bas sebelum sampai ke tempat yang dituju. Kesabaran dan ketabahan adalah suatu yang sukar dipertahankan di tengah-tengah tekanan hidup dewasa ini.

Di satu sudut lain, tiada jaminan tambang pengangkutan awam tidak dinaikkan. Gabungan Persatuan Pengusaha Kenderaan Perkhidmatan Awam awal-awal lagi telah memberi kata dua, sama ada menaikkan 10 peratus kadar tambang atau kerajaan menetapkan subsidi diesel pada harga RM1.

Tuntutan itu amat menggusarkan rakyat. Pengalaman lalu, mereka selalunya berjaya dalam tuntutan mereka, bangat atau lambat.

Akhirnya, rakyat ibarat lari dari mulut buaya ke mulut naga. Mereka tidak berkereta sendiri kerana mahu berjimat. Malangnya, naik bas tidak juga mengurangkan kos apabila tambang turut dinaikkan.

Di dapur, suasana lebih sukar daripada di jalan raya. Mengurangkan aktiviti memasak tidak semudah mengurangkan perjalanan. Memasak berkait langsung dengan soal isi perut. Kelaparan adalah pemangkin kepada tekanan perasaan. Maka, aktiviti memasak tidak boleh dielakkan.

Soalnya, pernahkah kita dengar konsep berkongsi dapur (stove-sharing) sebagaimana car-pooling tadi? Berkongsi menggunakan dapur yang sama mungkin ada dibuat orang, terutama di domisil yang menyediakan perkhidmatan sewa bilik. Mereka ini malah berkongsi bilik air dan ruang tamu.

Tetapi stove sharing bukan berkonsep mengurangkan penggunaan gasnya sebagaimana konsep car-pooling. Satu-satunya cara mengurangkan gas ialah kembali menggunakan dapur arang atau dapur kayu. Berapa ramai yang sanggup berbuat begitu?

Kerajaan turut memberi “jaminan” rakyat tidak akan terbeban. Kenaikan harga bahan bakar dikatakan tidak membabitkan kenaikan harga barang lain.

Ia juga suatu “jaminan” yang meragukan. Buktinya, hanya selang dua hari selepas itu, sudah ada kenaikan harga barangan keperluan tertentu dilaporkan berlaku di beberapa negeri. (Ikan patin kegemaran saya sudah naik kepada RM7 sekilogram daripada RM5 sebelum ini!)

Minyak pelincir juga diura-urakan akan naik dalam masa terdekat sebanyak 15 peratus. Harga baru pelincir 4 liter akan bertambah antara RM2 hingga RM3 setiap botol. Manakala jenis sintetik boleh mencapai tambahan RM10 setiap botol. Turut naik ialah harga bateri kereta.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata kerajaan mungkin akan mengkaji semula nilai tender projek kerajaan yang sedang dijalankan, mengambilkira kenaikan terbaru harga minyak.

Beliau mengakui “kenaikan harga minyak akan memberi kesan kepada kos pembinaan”.

Walhasilnya, kebanyakan sektor hidup merasai kesan kenaikan harga bahan bakar tadi. Ada benarnya Ketua Eksekutif Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan, yang mengatakan kenaikan 30 sen seliter bahan bakar boleh mengakibatkan bebanan tambahan sebanyak RM100 sebulan dalam perbelanjaan harian rakyat.

Paparan kisah Abu Bakar tadi adalah contoh bahawa dilema rakyat kini bukannya mengawal nafsu berbelanja, tetapi mengelak daripada berbelanja, walau pun pada benda yang sepatutnya dibelanjakan. Contohnya ialah tambang bas dan wang saku sekolah tadi.

Apa yang dilaporkan media selalunya sampel kecil dari kes sebenar. Ia ibarat ungkapan Inggeris “tips of the iceberg”. Jumlah kes dalam masyarakat ialah berkali ganda lebih dahsyat. Jadi, rakyat manakah yang dikatakan ‘tidak akan terbeban’ angkara kenaikan 30 sen itu?

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 016, 17 Mac 2006, di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)           

Tuduh Melayu Dengki, Najib Meludah ke Langit


Oleh: Anuwa Jamalullail

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sewaktu berucap merasmikan Konvensyen Melayu Glokal di Kuala Terengganu pada 16 Februari lalu banyak menyentuh perihal budaya dan sikap orang Melayu. Antaranya ialah kekesalan beliau tentang sikap suka berdengki sesama bangsa, yang menyebabkan orang Melayu tidak maju.

Sebagai pemimpin nombor dua dalam Umno, parti Melayu terbesar, Najib sedar bahawa setiap kritikan terhadap bangsa Melayu akan kembali kepada partinya sendiri. Tambahan pula soal ‘kedengkian politik’ adalah perangai yang paling terserlah di dalam Umno.

Di luar parti, PAS yang sebangsa dan seagama dengan Umno menjadi seterunya paling teraniaya. Pengalaman PAS memerintah dua negeri, Kelantan dan Terengganu, menjadi bukti betapa dakwaan Najib tadi memang suatu kenyataan. Dengki telah menyebabkan Melayu (baca ‘Umno’) rela membiarkan dua negeri bermajoriti Melayu itu ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

Kelantan dan Terengganu adalah dua negeri yang paling tinggi peratus penduduk Melayu.  Sepatutnya ia paling maju dan dimajukan oleh Umno yang memperjuangkan kepentingan bangsanya. Malangnya, ia tidak berlaku apabila dua negeri itu diperintah PAS. Sebaliknya, ia didiskriminasi dan disekat berbagai bantuan. Geran wajib oleh Kerajaan Pusat turut dilengah-lengahkan.

Dalam kes Terengganu, royalti petroleum yang selama berdekad dinikmati negeri itu di bawah Barisan Nasional (BN) telah ditarik balik sebaik ia diperintah PAS.

Mereka inilah yang mula-mula memberi laluan jahat dengan mengisytiharkan royalti itu hanyalah ehsan Kerajaan Pusat. Bahkan di Perhimpunan Agung Umno tahun itu, perwakilan Umno Terengganu dengan lantang mendesak Kerajaan Pusat menarik balik pemberian berkenaan. Bukankah itu dengki namanya?

Anggaran terimaan royalti petroleum dan gas oleh kerajaan negeri bagi tahun 2000 ialah sebanyak RM530 juta atau 76.56% daripada jumlah hasil negeri. Bayangkan betapa ‘tempangnya’ sesebuah kerajaan tanpa tiga perempat pendapatan.

Di tahun yang sama, beberapa peruntukan lain turut ditarik balik atau dilengahkan. Antaranya, kerajaan Terengganu sepatutnya menerima RM1.907 juta peruntukan penyelenggaraan landskap dan pengindahan Bandar. Tetapi sehingga akhir tahun 2000, hanya RM505,000 atau 26.5% sahaja disalurkan oleh kerajaan Pusat.

Sejumlah 14 projek perumahan rakyat yang telah diluluskan peruntukannya oleh kerajaan Pusat, malah sebahagiannya sedang dalam pembinaan, juga telah ditarik balik.

BN yang diterajui Umno turut menafikan peruntukan pembangunan RM500,000 setahun bagi setiap Ahli Parlimen dari parti selain BN. 

Sekali lagi, negeri paling teruk menerima kesan penafian itu ialah Kelantan dan Terengganu.  Kesemua kerusi parlimen Terengganu dikuasai Barisan Alternatif (BA), manakala di Kelantan hanya satu daripada 14 kerusi parlimennya dimenangi BN. Bayangkan keseluruhan dua negeri bermajoriti Melayu dinafikan kemajuan semata-mata kerana perbezaan politik.

Kedengkian Umno di Terengganu melangkaui pentas politik. Ia merebak ke sektor pendidikan.  Contohnya, penutupan dua Maktab Rendah Sains MARA Yayasan Terengganu (MRSM-YT) sewaktu Terengganu di bawah PAS.

Turut disabotaj ialah pengembangan pengajian di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).  Satu persetujuan awal telah dicapai antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan kerajaan Terengganu untuk mewujudkan program pendidikan bersama USM-KUSZA. Bagaimana pun, permohonan USM menubuhkan fakulti perubatan di Terengganu ditolak Kementerian Pendidikan.

Beberapa perancangan sebelum Pilihan Raya Umum 1999 turut ditangguhkan apabila Terengganu diperintah PAS. Antaranya ialah cadangan pembinaan dua lagi MRSM, pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa Kedua dari Kuantan ke Kuala Terengganu dan projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Manakala rancangan menaikkan taraf Pelabuhan Kemaman agar dapat memenuhi tuntutan infrastruktur sebuah pelabuhan terbaik di rantau ini telah ditarik balik. Khabarnya peruntukan itu telah dipindahkan ke Pelabuhan Kuantan.

Nampaknya, Najib telah tersalah pilih tempat untuk bercakap soal dengki. Kerana, telah terbukti dengan apa yang dilakukan sepanjang empat tahun pemerintahan PAS dahulu, para pemimpin Umno Terengganu ialah manusia paling dengki dalam dunia! Teguran Najib itu tidak ubah ibarat ‘meludah ke langit’.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 17 Mac 2006, di ruangan ‘Komentar’ dengan tajuk sama)

Wednesday, March 15, 2006

Siapa Yang Ajar Rakyat Minta Subsidi?


Oleh: Ahli Biasa

SAMA ada disedari atau tidak, kain pemidang berhubung isu kenaikan harga minyak yang digantung oleh Pergerakan Pemuda Umno Negeri Terengganu sebenarnya mendedahkan lagi sifat mereka yang suka berbohong dan ‘bercakap tak serupa bikin’. Sejak beberapa minggu lalu, beberapa helai pemidang itu dinaikkan pihaknya di beberapa lokasi strategik di sekitar Kuala Terengganu.

Cuba kita perhatikan satu persatu bait-bait dalam pemidang itu. Kemudian fikirkanlah pula rasional menolak hujah-hujah yang Pemuda Umno kemukakan itu.

Ayat pertama berbunyi ‘Golongan Muda Bukan Peminta Untuk Keselesaan Semasa’.  Sanggahannya:
  1. Golongan muda (juga mudi) kini terlalu nipis jatidiri mereka. Undi mereka amat mudah dibeli. Pilihan raya umum lalu membuktikan bahawa undi golongan ini antara faktor utama kemenangan Barisan Nasional di Terengganu. Mengapa mereka mengundi BN? Kerana apabila mereka MEMINTA habuan, BN telah mengumpan mereka dengan sogokan RM200 setiap seorang dari awal mereka mendaftar sebagai pengundi.
  2. Para penggerak utama Pemuda Umno Terengganu sendiri pula apa kurangnya. Siapa tidak kenal dengan ketuanya, Mohd Sabri Alwi @ Mat Kerak, Tengku Zainuddin dan lain-lain itu? Mereka semua hidup dengan jasa baik kontrak atau tender kerajaan. Setiap  kali bila kontrak nak keluar, mereka berlumba-lumba MEMINTA diberikan kontrak atau tender.

Ayat kedua menyebutkan ‘Masa Depan Golongan Muda Tidak Boleh Diperjudikan Untuk Kepentingan Politik Sempit’.

Kenyataan ini betul dan patut diterima. Cuma siapa yang memperjudikan masa depan golongan muda untuk kepentingan politik sempit itu perlukan penghuraian:

  1. ‘Memperjudikan’ membawa maksud ‘ mempertaruhkan sesuatu yang berharga untuk mendapat pulangan yang belum tentu untung atau rugi’. Dalam konteks ayat tadi yang diperjudikan ialah masa depan golongan muda. Sudah tentu parti politik yang mengajak rakyat (termasuk golongan muda) beriman dan bertaqwa kepada Allah swt (baca ‘PAS’) tidak wajar dianggap ‘memperjudikan’ mereka.
  2. Sebaliknya BN, sanggup melakukan dan memberi apa jua yang dihajati golongan muda, terutama dari sudut hiburan dan kebebasan, sekali pun bercanggah dengan agama, demi mendapatkan sokongan dan undi golongan itu. Bukankah itu ‘untuk kepentingan politik sempit’ namanya?

Ayat ketiga pula menyatakan ‘Golongan Muda Bangkit Menolak Subsidi Buta’.

Dalam konteks isu semasa, ‘subsidi’ di situ merujuk kepada subsidi petrol dan diesel yang ditanggung oleh kerajaan. Kenyataan itu membawa beberapa implikasi:
  1. Benarkah golongan muda tidak suka kepada subsidi? Tadi telah dibuktikan bahawa mereka adalah antara golongan yang suka MEMINTA dan mengharapkan habuan kerajaan.
  2. Siapa yang bertanggungjawab selama ini memupuk budaya subsidi di kalangan rakyat, kalau bukan BN-Umno? Pemberian wang ehsan RM300 setahun adalah satu bentuk subsidi juga. Rakyat diumpan dengan pelbagai kemudahan lain jika menyokong BN.  Bahkan, gejala politik wang dalam Umno sendiri adalah bukti betapa mentaliti mereka sudah disemat dengan sikap ‘siapa yang dapat beri benda, dialah aku sokong’. Itulah ‘budaya subsidi’ namanya!
  3. Melabelkan subsidi minyak sebagai ‘subsidi buta’ bererti menghina dan mengutuk tindakan kerajaan sebelum ini. Kecil hati Tun Dr. Mahathir, kerana dialah yang bertanggungjawab sebagai Perdana Menteri sebelum ini meluluskan ‘subsidi buta’ itu.
  4. Kenyataan itu juga menghina dan merendah-rendahkan martabat rakyat keseluruhannya.  Seolah-olah rakyat sebagai golongan merempat, meminta-minta simpati kerajaan. Istilah ‘subsidi buta’ itu memberi pengertian sama dengan seperti ‘gaji buta’, perbuatan menikmati habuan tanpa melakukan kerja. Betulkah kita semua macam itu?
Ayat terakhirnya menyimpulkan ‘Kami Menyokong Ketegasan Kerajaan Dalam Isu Menangani Subsidi Petrol’. Ia juga boleh dipersoalkan:

  1. Sebagai parti yang memperjuangkan Melayu dan memartabatkan bahasa Melayu, Umno perlu cermat menggunakan bahasa. Struktur dan tata bahasa ayat itu salah. Sepatutnya disebut ‘dalam menangani isu’, bukan sebaliknya. Lainlah kalau pemidang itu MCA atau MIC yang buat!
  2. ‘Ketegasan’ kerajaan BN adalah suatu yang sangat relatif. Ia ibarat “hangat-hangat tahi ayam”. Sekejap ia tegas memburu pesalah trafik, sekejap lagi ia memberikan diskaun.  Sekejap ia menyiarkan nama peminjam pelajaran yang liat membayar hutang, sekejap kemudian ia melupuskan sebahagian hutang itu. Maka kalau sekarang ia bertegas akan bertindak kepada peniaga dan pengusaha pengangkutan yang menaikkan harga barangan dan tambang, tunggu saja beberapa ketika lagi, ketegasan itu akan hilang entah ke mana.
Kita percaya Pemuda Umno Negeri Terengganu tahu segala hujahnya tadi adalah pembohongan dan penuh penyelewengan fakta. Tetapi pemidang itu dinaikkan juga. Apa lagi kalau bukan kerana mahu MENGAMPU?

(Artikel ini disiarkan laman buletinonline.net, 15 Mac, 2006 dengan tajuk sama)

Friday, March 3, 2006

Dilema wanita bertudung di Negara Islam


Oleh: Mohd Nasir Awang

AGAK sukar dipercayai,  tapi oleh kerana pendedahan mengenainya dilakukan di ibu pejabat sayap parti pemerintah, dan disiarkan pula oleh sebuah akhbar harian yang didokongi para pemimpin negara, saya terdorong untuk mempercayainya.

Seorang pekerja wanita di negara kita ‘dipaksa’ berhenti kerja semata-mata kerana berpakaian Islam ke tempat kerja? Itulah pendedahan Habsah Jaafar, Pengarah Akaun Hotel Renaissance Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau mendakwa terpaksa melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak 10 tahun lalu setelah diberi kata dua oleh pengurusan hotel terbabit sama ada mematuhi peraturan yang melarang pemakaian tudung ketika bekerja atau melepaskan jawatannya.

Habsah turut mendakwa pihak pengurusan hotel telah memberikan pelbagai ‘tekanan’ yang akhirnya memaksa beliau berhenti kerja pada 17 Februari lalu. Pihak peengurusan hotel itu dalam kenyataan balasnya bagaimana pun menafikan dakwaan itu.

Adalah menjadi tugas semua pihak, terutama kerajaan, untuk melindungi kaum wanita supaya martabat dan maruah mereka sentiasa terpelihara. Di sisi Islam, ukuran martabat dan maruah wanita ialah sejauh mana mereka mematuhi kod perilaku yang ditentukan Allah Ta’ala. 

Antaranya sebagaimana disebutkan di dalam al-Quran: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah an-Nur 24:31)

Cerita kontroversi pemakaian tudung sudah acap kita dengar sebelum ini. Di atas nama menunaikan kewajiban itu wanita Islam, terutama di negara-negara minoriti Islam, terpaksa menghadapi pelbagai mehnah.

Ogos 2003 lalu, seorang polis wanita di Amerika Syarikat (AS), Kimberlie Webb dihina ketua pejabatnya, malah diarah tidak datang bekerja tanpa diberi gaji sehingga dia membuka tudung.  Webb mula menyertai pasukan polis pada 1995 dan memeluk Islam pada 2001. Dia mula pakai tudung ketika datang bertugas pada 2003.

Di Perancis, dua beradik Lam’ie,18, dan Laila Levi,16 dari Sekolah Over Valley St Dean di Aubervillers, utara negara itu adalah antara puluhan pelajar yang diusir daripada sekolah kerana bertudung. Awal 2002, empat pelajar perempuan di Singapura digantung persekolahan kerana bertudung. Seorang lagi dikenakan tindakan yang sama setahun kemudian.

Namun, kes-kes itu bukanlah terlalu mengejutkan. Apalah sangat yang boleh diharapkan daripada pemerintah bukan Islam untuk membela Islam?

Tetapi lain ceritanya apabila kes serupa turut berlaku di negara bermajoritikan orang Islam.  Antaranya kes seorang Ahli Parlimen Turki hampir sedekad lalu. Merve Kavacki bukan setakat dihalang menyertai sidang Parlimen, malah dilucutkan kerakyatan apabila tidak bersedia menanggalkan tudung.

Di Azerbaijan, seorang guru, Shaela Ismail Alieva dipecat Mac 2005 dari Sekolah Rendah Istedad kerana bertegas untuk memakai tudung. Sebagaimana di Turki ketika itu, bertudung di Azerbaijan turut dianggap mencabar undang-undang sekular negara.

Bukan senang untuk mendapatkan hak mengamalkan Islam, walau pun di negara yang kononnya memperjuangkan kebebasan hak asasi rakyatnya. Malah antara mereka terpaksa melalui proses mahkamah. Pada Julai 2002, tiga wanita di Tatarstan, Rusia, menyaman kerajaan tempatan selepas mereka dilarang bertudung untuk mengambil gambar pasport.

Nashala Hearn, 12, penuntut tahun enam di Muskogee, Oklahoma, AS juga memfailkan tuntutan di mahkamah. Hasilnya, bermula musim luruh 2004, Jabatan Kehakiman Oklahoma membenarkan penuntut memakai tudung mengikut tuntutan agama.

Di Stuttgart, Jerman, September 2003, Mahkamah Perlembagaan Persekutuan Jerman memberi hak kepada seorang guru, Fereshta Ludin, untuk memakai tudung ke sekolah setelah dihalang dari bertugas sejak 1998.

Apakah Habsah juga perlu melalui proses mahkamah bagi mendapatkan hak bertudung ke tempat kerja? Rasanya kes beliau tidaklah sekontroversi itu. Masyarakat negara kita sudah menerima realiti bahawa wanita bertudung juga kelihatan menarik dan beridentiti. Tudung bukanlah halangan bagi wanita untuk berkerjaya.

Justeru, apakah rasional (jika benar) pihak pengurusan Hotel Renaissance Kuala Lumpur mengenakan larangan terhadap Habsah?

Kes-kes yang disebutkan tadi berlaku di negara-negara sekular. Kita kata ‘jahatnya kerajaan kafir sekular itu, mengongkong kebebasan rakyatnya!’

Kini ia berlaku di depan mata kita sendiri. Memang mendukacitakan apabila ia berlaku di sebuah negara yang majoriti penduduknya Islam, dan tampuk pemerintahan dikuasai orang-orang Islam. Malah sering disebut sebagai ‘Negara Islam contoh’.

Saya kira, barangkali hal ini berlaku kerana pihak pengurusan hotel tersebut telah agak lama berada di negara kita. Barangkali juga dia telah meneliti ucapan-ucapan para pemimpin negara selama ini. Antaranya ada yang pernah berkata, ‘tidak semestinya orang yang memakai tudung kepala itu lebih baik daripada yang tidak memakai tudung. Boleh jadi orang yang bertudung itu lebih jahat daripada yang tidak bertudung.’

Logiknya, kalau seorang pemimpin Islam yang masyhur tergamak menuturkan ‘keraguan’ sebegitu, apa peliknya apabila bukan Islam turut berfahaman serupa?

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 015, 3 Mac 2006, di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)