Friday, February 22, 2002

Pengajaran Dari ‘Bangau Oh Bangau!’

Oleh: Mohd. Nasir Awang
MEDIA arus perdana baru-baru ini melaporkan bahawa Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan bahawa rakyat negeri itu yang mengundi PAS pada pilihanraya umum tahun 1990 akan mendapat pahala daripada Allah s.w.t. di akhirat nanti, kerana kerajaan PAS di Kelantan telah dapat mencegah yang haram dan menggalakkan yang baik.
Kenyataan itu bagaimana pun telah mengundang polemik spontan dalam media arus perdana.
Pelbagai pihak tampil dengan berbagai-bagai ulasan dan komentar yang pro dan kontra. Namun, apa yang jelas kebanyakan mereka memperakui hubungkait antara pendorong atau penyebab kepada berlakunya sesuatu perbuatan dengan akibat daripada perbuatan tersebut.
Sebenarnya hubungkait pendorong ATAU pelaku dengan perlakuan memang amat ditekankan dalam Islam. Sebab itu apabila Islam mengharamkan meminum arak, sebagai contoh, Islam tidak sekadar mengatakan berdosa kepada si peminumnya sahaja.
Islam secara jelas mengharamkan perbuatan beberapa pendorong atau pelaku lagi, sebelum arak itu tiba kepada si peminum. Si pembuat (pemerah anggur), pembawa, penjual dan penghidang turut dicela dan mendapat dosa.
Manusia yang bertuhankan akal dan berdalilkan logik akan mempersoalkan, bukankah arak itu diharamkan kerana sifatnya yang memabukkan? Oleh itu, logiknya apa kena-mengena penjual atau pembuat dengan suasana mabuk-mabuk itu?
Soalnya, bagaimana mungkin orang boleh meminum arak kalau tidak ada yang menjualnya? Bagaimana boleh orang menjual kalau tidak ada yang membawa atau memunggahnya? Bagaimana orang boleh memunggah jikalau tidak ada yang membuatnya?
Rasional yang sama turut terserlah dalam hukum zina. Allah Ta’ala tidak menyebutkan ‘janganlah kamu berzina’. Cukup sekadar Ia menyebut ‘janganlah kamu menghampiri zina’, kerana perbuatan menghampiri itu pun sudah cukup keji dan bakal mendorong orang berzina.
Orang-orang tua kita ada meninggalkan suatu dendangan nasihat yang amat berguna dalam kita memikirkan hubungkait pelaku dan akibat perlakuannya. Cubalah teliti bait-bait dalam dendangan Bangau Oh Bangau!.
Mungkin sebahagian besar kita menilainya tidak lebih sekadar dendangan anak-anak hingusan.  Tetapi, di sana tersirat pengajaran yang sangat berguna, terutama bagi manusia yang singkat daya fikirnya.
Maksud kita, sekali imbas orang akan mengatakan tidak logik dan tidak masuk akal jika dikatakan bahawa bangau itu kurus disebabkan perbuatan ular yang hendak memakan katak.  Kerana, perbuatan ular yang jahat itu dengan akibat yang diterima oleh si bangau amatlah panjang hubungkaitnya. Daya fikir manusia hanya boleh menilai setahap demi setahap.
Tanyakan kepada bangau, mengapa ia kurus? Jawabnya, kerana ikan tidak timbul. Mengapa? Kerana rumput panjang. Tanya sama rumput pula, jawabnya kerana kerbau tidak makan. Soal jawab itu bersambung lagi, kerana tuan kerbau tidak alihkannya dari kandang ke tempat rumput itu.
Tanya tuan kerbau itu, dia jawab kerana perutnya sakit. Tanya perut, ia jawab kerana makan nasi mentah. Kenapa nasi mentah? Kerana api tak menyala, kerana apa kayu api basah, kerana kayu ditimpa hujan, kerana dipanggil katak.
Akhir sekali baru kita mendapat jawabannya. Kenapa katak panggil hujan? Kerana ular nak makan katak.
Usul punya usul, rupa-rupanya bangau menjadi kurus puncanya ialah kerana perbuatan ular nak makan katak. Tetapi proses mengetahui jawaban itu melibatkan sebelas ‘mengapa dan kerana’.
Proses kait mengait yang melibatkan lebih satu tahap inilah yang menyebabkan manusia yang lemah daya fikirnya tidak ‘terhambat’. Katakanlah dalam soal mengharamkan arak dan judi, sepertimana yang dilakukan dua buah negeri yang diperintah PAS sahaja, iaitu Kelantan dan Terengganu.
Soalnnya mungkin bermula kenapa PAS boleh mengharamkan arak dan judi di dua negeri itu? Jawabnya, kerana ia telah menguasai kerajaan. Kenapa? Kerana majorit Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri-negeri itu adalah ADUN PAS.
Kenapa begitu? Kerana lebih ramai calon PAS yang menang pilihan raya berbanding calon parti lawan. Tanya lagi kenapa? Kerana majoriti rakyat telah memilih mereka.
Jadi, jawaban pintas kepada soalan kenapa PAS boleh mengharamkan arak dan judi di dua negeri itu ialah kerana rakyat telah memilih PAS. Oleh kerana mengharamkan arak dan judi itu adalah tuntutan Islam orang yang melakukannya tentu sekali mendapat pahala. Maka, rakyat sebagai pengundi yang bertanggungjawab memilih kerajaan yang melakukannya juga turut mendapat pahala.
Kesimpulan ini bukan semata-mata berdasarkan logik ‘Bangau Oh Bangau!’ tadi. Perkara ini turut terkandung dalam sabda Rasullullah s.a.w. yang mengatakan bahawa barangsiapa yang menjadi pendorong kepada kebaikan, maka baginya (pahala) sama juga seperti orang yang melakukan kebaikan itu.
Perbincangan mengenai hubungkait pelaku atau pendorong dengan sesuatu perbuatan ini juga membawa kita untuk memahami satu kaedah syarak yang mengatakan ‘sesuatu perkara yang tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka perkara itu juga menjadi wajib’.
Kalaulah kita ada ruang yang lebih panjang, tentu sekali perbahasan ini akan menjadi lebih menarik!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 41, 22 Februari 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

Wednesday, February 20, 2002

Tak mungkin pudar dari ingatan....

Oleh: Mohd Nasir Awang

20022000. Bukan nombor akaun bank atau nombor polisi insurans. Bukan juga kod rahsia atau nombor pengenalan peribadi. Ia adalah nombor yang tidak mudah dilupakan oleh setiap ahli keluarga kami. Ia mengingatkan kami kepada titik paling hitam dalam sejarah keluarga kami, suatu ingatan yang tak mungkin terpadam dari memori hidup.

20022000 adalah tarikh. Tanggal 20 Februari tahun 2000. Tanggal itulah kami sekeluarga hilang tempat berteduh. Tempat sebahagian kami dilahir dan dibesarkan, dipenuhi hilai tawa, gurau-senda, seraya memahat suka-duka selama 30 tahun.

Agak besar rumah kami itu. Rumah kampung, kayu lama, beratap campuran antara asbestos dan bata tanah. Ruang legarnya sahaja seluas 30X30 kaki. Sekira-kira anak berumur 3 tahun tak perlu ke padang kalau sekadar untuk mengah-mengah berlari.

(Gambar: Idulfitri terakhir di rumah pusaka)

Ada tiga ruang dapur berasingan, tiga bilik air, empat bilik tidur, satu bilik yang aku jadikan perpustakaan peribadi. Luas keseluruhan tidak kurang daripada 50X50 kaki.

Tanggal 20 Februari 2000, ketika masjid dan surau berdekatan memperdengarkan bacaan al-Quran menandakan waktu hampir memasuki Asar, ia ranap menyembah bumi. Seinci demi seinci ruangnya dimamah ganas oleh api yang tidak kenal belas kasihan.

Tiada siapa yang mampu bertindak di rumah ketika itu. Yang ada hanya empat nyawa, kesemuanya ‘kurang upaya’. Mek yang sememangnya uzur dan hanya mengensot di atas rumah. Anak sulungku, Fatimah Zaharah atau nama timangannya Farah, 13 tahun, sedang tidur di biliknya. Manakala dua adiknya, Umar Abdulaziz dan Umar Basyir, masing-masing 7 dan 5 tahun bermain di halaman rumah.

Ayah yang tiba-tiba kehausan baru sekejap meninggalkan rumah ke warung yang jaraknya hanya 100 meter dari rumah. Sebuah rumah jiran membentengi rumah kami dengan warung tersebut.

Isteriku (Cikgu Saodah), sedang mengikuti kelas memandu di Bukit Keluang, kira-kira 2.5km dari rumah. Dua lagi anakku, Umar Mukhtar dan Halimah Saadiah, bersekolah sesi petang di sekolah kebangsaan, juga tidak jauh dari rumah.

Manakala aku jauh nun di Kuala Terengganu, di hari pertama memulakan kembali kerja setelah bercuti panjang sejak September 1999.

Ayah yang bergegas pulang sebaik diberitahu jiran, tidak berupaya melangkah segagah biasa. Dia menerpa dalam keadaan separuh sedar. Kakinya tak semena-mena lembik dan lumpuh, hingga terjelupuk ke tanah. Ayah tidak berdaya menapak lebih jauh. Kata jiran-jiran yang menyaksikan, Ayah rebah tidak kurang dari tiga kali di antara warung itu ke halaman rumah.

(Gambar: Keadaan rumah dari sisi kanan dirakam pagi keesokan selepas kejadian)

Ayah memberitahu kemudian, perkara paling utama dalam mindanya ketika itu ialah Farah, anak sulungku. Ketika Ayah keluar dari rumah 10 minit sebelum itu Farah masih nyenyak di bilik tidurnya.

“Cucu aku, cucu aku!”, raung Ayah separuh histeria, sambil anggotanya kaku. Beberapa jiran terpaksa berkongsi tenaga memegang Ayah yang terus meronta dan mahu meluru ke arah rumah yang sedang ‘derita’ dimamah api.

Dengan kuasa Allah, dalam kesibukan Mek cuba memadam api yang pada ketika itu masih kecil, Farah mudah terjaga. Bau asap yang semakin menebal mengejutkan lenanya. Dalam keadaan mamai, Farah sempat mendail kepada Ayah Longnya (abangku yang sulung), yang tinggal kira-kira 1km dari situ, memaklumkan kejadian. Dia kemudian bergegas keluar rumah dan memastikan dua adiknya berada di tempat selamat.

Api terlalu cepat merebak, terutama melalui pendawaian elektrik. Hanya beberapa minit selepas gagang telefon diletak, taliannya disambar api.

Tiada apa yang dapat diselamatkan. Hanya Mek yang sempat mencapai beg tangannya. Segala isi rumah, termasuk perabot, peralatan elektrik, perkakasan dapur, pakaian, dokumen penting semuanya tinggal arang dan abu.

Paling sukar dicari ganti ialah beberapa barangan koleksi peribadiku dan isteri yang sebahagiannya disimpan sejak di bangku sekolah. Antaranya ialah buku, setem lama, syiling lama dan mata wang pelbagai negara dunia. Turut menjadi abu ialah sejumlah buku berbahasa Inggeris yang dibeli sewaktu berada di luar negara. Ratusan foto kenangan sejak zaman persekolahan yang tersimpan di dalam tidak kurang tujuh album turut hangus.

Api terlalu ganas. Tiada saksi yang berani menghampiri rumah, biar pun untuk menuntun basikal dan motosikal yang berada di bawah ‘sutuh’ hadapan rumah. Apatah lagi untuk memecah masuk ke rumah menyelamatkan apa yang terlintas. Tiga ekor burung tekukur belaanku di dalam sangkar bersebelahan ruang tamu juga mati kepanasan.

(Gambar: AGAK LEWAT... Harakah edisi 1-15 Mei 2000 menyiarkan berita kebakaran rumah bekas penyuntingnya.... AKU!)

Betul, kehilangan harta tidak dapat disamakan dengan kehilangan nyawa. Tetapi kesan emosi tetap ada. Tambahan pula rumah itu menyimpan seribu-satu macam kenangan pahit-manis. Sebab itu, di kalangan orang-orang tua dulu, mereka mengadakan tahlil sebagai tanda ‘berkabung’ mengiringi kebakaran sesebuah rumah. Bagi mereka, musibah itu menyamai kematian.

Malang tidak berbau. Tidak seperti manusia atau makhluk bernyawa, rumah tidak dapat memberi alamat atau petanda awal tentang musibah yang bakal menimpanya.

(Catatan kenangan ini dicoret pada 20 Februari 2002, genap dua tahun selepas kejadian)

Friday, February 8, 2002

Gong Xi Fa Cai

Oleh: Mohd. Nasir Awang

PARTI Islam Se Malaysia (PAS) adalah sebuah parti politik Islam. Oleh kerana ia sebuah parti politik, maka setiap tindakannya tidak akan terlepas daripada tafsiran politik.
Sebab itu, setiap kali PAS berusaha mendekati masyarakat bukan Islam, para pemimpin parti-parti politik negara ini yang mewakili kaum maing-masing, sama ada Cina atau India, akan menentang keras usaha PAS itu.
Bermacam-macam anggapan dan prasangka yang dihamburkan. Para pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) juga tidak ketinggalan menambahkan kekeliruan pemikiran rakyat bukan Islam terhadap Islam dan segala hukum-hakamnya.
Memanglah, salah satu daripada kejahatan para pemimpin Barisan Nasional (BN) yang paling nyata ialah usaha dan ucapan mereka yang sengaja menakut-nakutkan rakyat bukan Islam dalam negara ini terhadap Islam dan segala peraturan hidupnya.
Antara mereka ada yang pernah berkata, kalau memerintah negara ini menurut Islam, kita seolah-olah memusing jarum jam ke belakang.
Ada juga yang memfitnah kononnya kalau dibiarkan Islam (PAS) memerintah, maka akan diroboh-robohkanlah segala rumah ibadat dan patung sembahan orang-orang Cina dan India.
Usaha menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam daripada mengundi PAS sudah lama berlaku.  Kita masih ingat lebih 15 tahun lalu pernah tersebar karikatur, antaranya memaparkan seorang yang berserban dan berjubah (imej orang PAS) sedang mengejar orang Cina dengan parang untuk dikhatankan.
Satu karikatur lagi menggambarkan seorang Pak Haji sedang memotong tangan pencuri.
Gambaran yang cuba diberikan ialah PAS lebih radikal dan lebih ekstrim daripada Umno. Jika PAS memerintah, beberapa anggota tertentu badan orang-orang Cina kononnya akan dipotong.
Akibat momokan berterusan, ditambah dengan eksploitasi media massa, banyak pihak menerima dakwaan palsu itu sebagai kebenaran. Golongan Islam sering diprejudiskan sebagai ekstrim.
Dengan dasar Islam yang dibawa oleh PAS, parti itu didakwa dipenuhi sentimen perkauman yang sangat merbahaya kepada keharmonian pelbagai kaum di negara ini.
Untuk survival politiknya, BN merasakan ia perlu berbuat demikian. Sebab itu ada dakwaan bahawa para pemimpin BN lebih suka orang bukan Islam kekal dalam kekafiran mereka asalkan kekafiran itu memberi undi kepada BN.
Mereka takut sekiranya golongan bukan Islam memeluk Islam atau memahami Islam dan bersikap lunak terhadap golongan yang memperjuangkan Islam, survival politik BN akan terancam.
Sebenarnya langkah pendekatan PAS dengan masyarakat bukan Islam negara ini bukanlah perkara baru. Menjelang pilihan raya umum 1986 lalu PAS memanfaatkan beberapa aktivisnya yang berbangsa Cina untuk menubuhkan Chinese Consultative Council (CCC).
Ia berperanan memberikan penerangan kepada masyarakat Cina tentang Islam dan perjuangan PAS. Hasilnya, masyarakat Cina sendiri mencadangkan agar PAS menerima orang-orang Cina sebagai ‘Ahli Bersekutu’ parti itu.
Dalam tahun yang sama juga, PAS mengambil bahagian yang aktif memohon menangguhkan hukuman mati ke atas Sim Kie Choon, seorang Cina yang menerima hukuman gantung atas kesalahan memiliki senjata api tanpa kebenaran yang sah.
PAS mengemukakan rayuan terakhir kepada Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri supaya hukuman gantung itu ditangguhkan atas dasar kemanusiaan dan di atas kesedaran bahawa peruntukan undang-undang yang membawa kepada hukuman itu perlu dikaji dan disemak semula.
Prinsip keadilan sosial dalam pemerintahan dibuktikan secara praktikal oleh PAS apabila ia berjaya memerintah dua negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu.
Dasar Islam yang dianuti PAS sememangnya menjanjikan kesejahteraan kepada rakyat semua kaum. Sebab itu, tatkala negara gegak-gempita oleh peristiwa hitam 13 Mei 1969, Bandar Kota Bharu yang pada waktu itu dikuasai PAS berada dalam keadaan tenang.
Orang-orang Cina di Kelantan adalah yang paling tenteram menghadapi suasana paling tidak diingini itu.
Apabila PAS memerintah semula Kelantan pada tahun 1990, mula kedengaran suara-suara masyarakat Cina di negeri itu mengangkat ibu jari terhadap kepimpinan negeri.
Mereka meluahkan rasa gembira kerana kerajaan PAS berurusan tanpa ‘duit kopi’ dan para pegawai penguatkuasanya pula bersopan dan beretika.
Dalam masa dua tahun lalu, pemerintahan PAS di Terengganu juga turut membuktikan bahawa segala tohmah-fitnah yang dilemparkan selama ini adalah dusta belaka. Tiada seorang pun orang bukan Islam dikejar oleh Pak Haji PAS untuk disunatkan. Tiada sebuah pun patung atau berhala yang dirobohkan.
Sebaliknya, kerajaan ini telah mengembalikan hak masyarakat Cina dengan menukar semula nama Jalan Bandar kepada Jalan Kampung Cina. Cukai pintu untuk Gerbang Naga di kampung berkenaan juga dihapuskan.
Manakala keperluan masyarakat Cina Kuala Terengganu untuk tanah perkuburan baru juga telah dikenalpasti oleh kerajaan.
Sudah menjadi tanggungjawab sebuah pemerintahan berteraskan Islam untuk melaksanakan keadilan kepada semua rakyatnya, termasuk yang bukan Islam.
Kepada pembaca daripada masyarakat Cina, kita ucapkan terima kasih kerana sudi bernaung di bawah kerajaan ini. Gong Xi Fa Cai.
Gong Xi Fa Cai
Oleh: Mohd. Nasir Awang
Bil: 40, 8 Februari 2002                           

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 40, 8 Februari 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)