Monday, August 30, 1999

Menghina ajaran agama sendiri


Orang Islam undi BN ada saham


Oleh Mohd Nasir Awang

MINGGU lalu, kira-kira 20 pertubuhan agama Buddha di Pulau Pinang telah tampil menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Hagemeyer Marketing Services Sdn. Bhd. berkaitan satu iklan yang mereka anggap “tidak sensitif” terhadap penganut agama Buddha. Kumpulan berkenaan merujuk kepada satu iklan kamera Olympus yang menampilkan seorang sami (monk) di sebelah seekor monyet (monkey) dengan papan tanda “Please Don’t Feed The Monkey”.

Iklan tersebut disiarkan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris pada 13 Ogos lalu, dua hari sebelum Maha Sanga Dana, iaitu hari di mana para penganut agama Buddha menghadiahkan makanan dan jamuan (offering) kepada sami mereka. Penyiaran iklan tersebut dianggap ofensif terhadap ajaran agama Buddha.

Begitulah gambaran betapa sensitifnya manusia terhadap sebarang bentuk penghinaan yang cuba dilakukan terhadap agama mereka. Bahkan, apa yang lebih menarik dalam kes di atas, walau pun bantahan itu dianjurkan beberapa pertubuhan agama, para pemimpin politik beragama Buddha dari parti-parti kerajaan turut tidak melepaskan tanggungjawab menyatakan sokongan terbuka. Beberapa pemimpin kanan dan Adun dari parti MCA dan Gerakan hadir bersama mereka.

Kadang-kadang kita rasa cemburu dengan kesepakatan bangsa lain dalam mempertahankan kesucian agama mereka. Amat malang bagi umat Islam dalam negara ini, kesepakatan itu tidak kita nikmati. Kerap berlaku sesuatu penghinaan terhadap Islam yang tercetus dalam negara hanya mampu menarik perhatian dan tindakan protes segelintir khalayak.

Paling menyedihkan ialah sikap para pemimpin Islam dalam kerajaan BN (khususnya para pemimpin dan ulama Umno) yang terlalu segan untuk ikut serta membantah sebarang isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Dalam beberapa minggu mutakhir ini, misalnya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sedang membicarakan satu tindakan sivil yang dikemukakan oleh seorang tokoh korporat Muslim (selaku plaintif) terhadap bekas kekasihnya, seorang wanita bukan Islam (defendan). Dalam prosiding yang telah berjalan, plaintif tanpa segan silu mendedahkan secara terperinci hubungan intimnya dengan defendan sehingga melanggar had dan batasan syarak.

Lebih mengejutkan lagi, plaintif itu mengatakan apa yang penting adalah “niat murni”nya ketika dia melakukan hubungan seks dengan defendan. Beliau menegaskan bahawa perbuatannya itu tidak salah kerana dia memang berniat baik akan mengambil defendan sebagai isterinya.

Agaknya, kerana terkilan dengan pendedahan berani itulah, maka Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Paduka Dr Abdul Hamid Othman menyifatkan pendedahan itu sebagai “sangat menyentuh perasaan umat Islam” dan “menjejaskan keadaan dalam negara ini dari segi akhlak dan moraliti”.

Setakat itu saja komen beliau. Itu pun barangkali kerana ditanya oleh wartawan. Ada pun lain-lain pemimpin mahu pun ulama Umno tidak memberikan apa-apa komen.

Sikap membisu para pemimpin dan ulama Umno terhadap apa-apa kenyataan yang menghina ajaran Islam sebegitu bukanlah perkara baru. Akhir Jun lalu, seorang bekas Ketua Polis Negara yang kini menjadi Timbalan Pengerusi syarikat judi Genting Berhad secara berani berkata, beliau tidak pernah terjumpa sebarang ayat al-Quran yang melarang umat Islam dari melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan judi.

Beliau menyatakan demikian dalam perbicaraan kes pertuduhan liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Seperti yang diduga, tiada seorang pun pemimpin kerajaan beragama Islam yang dare to speak out mengulas kenyataan tersebut.

Kita semua tentu masih belum lupa bagaimana menjelang temasya Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur tahun lalu, negara digemparkan dengan iklan jenama arak Carlsberg di badan bas dan bumbung teksi sekitar Lembah Kelang. Semuanya gara-gara tidak ada rasa sensitif pihak pengurusan Sukom Ninety Eight Berhad, syarikat yang diawasi kerajaan bagi mengendalikan sukan berkenaan, sehingga tergamak menandatangani perjanjian penajaan RM5 juta dengan Carlsberg Brewery Malaysia Berhad, syarikat pembuat minuman keras jenama Carlsberg.

Bantahan masyarakat tambah memuncak apabila Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengiakan langkah jabatannya memberi kelulusan kepada kenderaan awam mempamerkan iklan tersebut. Baginya, memaparkan iklan Carlsberg itu tidak salah dan tidak bercanggah dengan peraturan pengangkutan jalan. Soal salah di sisi ajaran Islam tidak timbul langsung.

Pada tahun 1995 lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, yang beragama Islam, telah membahagikan lebih 4,000 paket kondom kepada remaja di Pasar Seni, Kuala Lumpur dalam agenda kempen ‘safe sex’ mencegah jangkitan HIV/AIDS.

Apa gunanya kondom kalau bukan untuk hubungan seks? Apakah hukumnya seks rambang di sisi Islam? Tindakan kerajaan itu seolah-olah merestui dan menggalakkan perzinaan di kalangan remaja. Agenda ‘kesihatan’ telah dianggap lebih utama dan mengatasi soal halal-haram di sisi agama.

Para artis juga tidak ketinggalan terlibat dalam menghina ajaran agama Islam. Isu adegan cium seorang artis wanita beragama Islam (kita masih ingat namanya) dengan seorang pelakon lelaki bukan Islam dalam teater Inggeris, A Streetcar Named Desire di Auditorium DBKL, Julai 1993 membongkar kecetekan fahaman agama di kalangan para artis.

Apabila masyarakat dan rakan artis memberi kritikan terbuka lewat akhbar dan tv, artis wanita itu menjawab, “saya ini pelakon yang harus mengikut kehendak pengarah sebagai pelakon yang bertanggungjawab! Lagi pun itu teater Inggeris, biasalah begitu!”

Astaghfirullah al-Azim! Mengapa sampai mereka sebegitu berani?

Dalam setiap kes yang diutarakan di atas, setiap peribadi Islam terbabit; tokoh korporat, timbalan pengerusi syarikat judi, Pengerusi Sukom, Ketua Pengarah JPJ, Timbalan Menteri Kesihatan dan artis wanita, terlalu mudah menafsirkan ajaran Islam mengikut fahaman mereka sendiri. Kod etika dan hukum Islam telah dibelakangi. Jauh sekali untuk mereka merujuk kepada ulama dan tokoh agama.

Dalam kebanyakan kes, para pemimpin yang beragama Islam dalam kerajaan gagal mengambil apa-apa inisiatif untuk memperbetulkan keadaan. Kecuali dalam kes Sukom-Carlsberg, itu pun setelah mendapat bantahan menonjol daripada segenap lapisan masayarakat.

Lebih mendukacitakan lagi, dalam kes pembahagian kondom, kerajaan sendiri memainkan peranan sebagai penganjur “agenda menghina” itu.

Sikap kerajaan yang sering membelakangkan ajaran Islam sedia difahami. Ia tentunya berkait rapat dengan sikap pandang remeh ketua kerajaan itu sendiri terhadap Islam. Bagaimana para ulama dihina dan digambarkan sebagai golongan yang tidak kenal realiti dan masalah sebenar ummah, yang hanya ingatkan mati dan membiarkan dunia dikuasai golongan bukan Islam.

Jawatan mufti pula dikatakan wujud “kerana keghairahan mereka yang mendakwa diri sebagai ulama untuk membuat fatwa dan tafsiran sendiri, yang kerap bertentangan antara satu dengan lain, yang mengelirukan umat Islam”.

Sedangkan di masa yang sama, pemimpin kerajaan itu sendiri sewenang-wenang menafsirkan ajaran Islam mengikut selera akalnya. Dikatakannya Assalamu’alaikum dengan Selamat Pagi sama saja. Katanya lagi, Saidina Hamzah yang syahid di Uhud tidak dimandi dan dikafankan kerana kesukaran mendapatkan air di negara Arab (bukan kerana beliau syahid). Dan lagi, di zaman Nabi Muhammad s.a.w. orang menyimpan janggut kerana tidak ada pisau cukur.

Keceluparan dan keberanian para pemimpin Umno menghina ajaran Islam itu menjadi punca utama kepada penghinaan oleh tokoh-tokoh lain dalam masyarakat. Kepimpinan Melalui Teladan lah, katakan!

Apabila seorang ketua kerajaan mempelopori kenyataan-kenyataan yang menyinggung sensitiviti Islam, maka logiknya sudah tentu tidak pelik lagi bagi seorang artis, atau tokoh korporat atau tauke judi untuk bercakap sesuatu yang serong mengenai ajaran Islam.

Rakyat jangan fikir mereka tidak mempunyai saham atas segala penghinaan terhadap Islam yang dilakukan oleh segelintir ‘orang penting’ dalam negara itu. Keberanian seorang ketua kerajaan tidak datang begitu sahaja, sekiranya beliau tidak mempunyai kuasa sebagai pemerintah. Sedangkan kuasa itu diperolehinya hasil undi yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya.

Setiap orang Islam yang mengundi BN ada saham atas segala penghinaan terhadap Islam yang berlaku dalam negara ini. Bertaubatlah, dan jangan diulangi kesilapan memangkah BN. Confirm, pangkah PAS kali ini!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 30 Ogos 1999 dengan tajuk sama)

Friday, August 20, 1999

Pemikiran menteri BN ‘lewat 40 tahun’


Tok Guru PAS dahului langkah perubahan


Oleh Mohd Nasir Awang

MENGAKU atau tidak, para pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam diam-diam mengiktiraf ketajaman idea perubahan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru). Satu demi satu idea dan langkah perubahan serta pembaharuan dalam pentadbiran yang dicetuskan oleh Tok Guru akhirnya ‘dicedok’ oleh pemimpin kerajaan BN, sama ada di peringkat Pusat atau pun negeri-negeri.

Menjadi kebiasaan para pemimpin BN/Umno untuk mengkritik setiap apa yang dicetus dan dicadangkan oleh pembangkang. Mentaliti holier than thou yang dianuti mereka mengajar mereka untuk menilai pihak lain sebagai inferior. Apa-apa yang bersifat pembangkang dianggap lemah dan negatif. Apa-apa yang bersifat BN didakwa muluk dan ampuh belaka. Sebab itu, boleh dikatakan tiada langkah pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan PAS Kelantan yang terlepas dari serangan dan tafsiran negatif para pemimpin BN.

Beberapa bulan lalu, heboh diperkatakan tentang kononnya Tok Guru melarang wanita daripada bekerja. Sedangkan intipati maksud yang dapat difahami daripada kenyataan Tok Guru itu ialah bagaimana meringankan bebanan tugas yang dipikul oleh suri rumah yang bekerja. Sekira-kira maksud Tok Guru, pendapatan keluarga tidak terjejas dan di masa yang sama kebajikan anak-anak dan rumah tangga tidak terabai.

Sebab itu, antara lain Tok Guru menyarankan dalam kenyataan itu agar diwujudkan “jadual kerja fleksibel” khusus bagi suri rumah, iaitu membenarkan mereka datang kerja lebih lewat dengan skim gaji “istimewa” untuk mereka. Itulah perubahan yang cuba dicetuskan. Bagaimana pun, media kroni telah melaporkannya secara yang tidak bertanggungjawab. Ia merebak menjadi polemik.

Belum pun padam sepenuhnya isu itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Rafidah Aziz mengumumkan akhir Julai lalu bahawa kerajaan akan memperkenalkan skim perkhidmatan yang membolehkan wanita berkemahiran tetapi berhenti kerja kerana tuntutan keluarga, berkhidmat di jabatan dan agensinya dengan upah berdasarkan jumlah jam bekerja.

Skim baru itu memberi peluang kepada lebih ramai wanita berkemahiran, yang tidak dapat ke pejabat setiap hari kerana urusan rumah tangga, menyumbang kemahiran mereka sama ada berkhidmat secara kontrak atau sambilan.

Bukankah adaptasi itu daripada jadual kerja “flexible” dan skim gaji “istimewa” yang diutarakan oleh Tok Guru? Sama ada diakui atau tidak, ianya sudah terang lagi bersuluh. Beberapa peniruan yang telah pun berlaku sebelum ini tambah mengukuhkan lagi dakwaan di atas.


Pertama: Larangan Memberi Hadiah Semasa Lawatan Rasmi.
Pada Ogos 1998 lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Mazlan Ahmad mengarah jabatan-jabatan kerajaan agar tidak memberi hadiah kepada para tetamu khas yang merasmikan atau yang terlibat dalam apa-apa upacara rasmi jabatan atau kerajaan. Hal ini terkandung dalam pekeliling Garis Panduan Pemberian dan Penerimaan Hadiah di Dalam Perkhidmatan Awam yang diedarkan.

Lapan tahun sebelum itu, Tok Guru telah mengeluarkan arahan serupa kepada jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri Kelantan. Langkah ini bagi mengelakkan sebarang kemungkinan amalan rasuah, di samping mengelakkan perbelanjaan kewangan kerajaan dengan sewenang-wenangnya.


Kedua: Penambahan Cuti Bersalin Untuk Kakitangan Perempuan.
Bagi memenuhi dasar keluarga bahagia, maka Kerajaan Negeri Kelantan telah memanjangkan tempoh cuti bersalin untuk kakitangan perempuannya dari 42 hari kepada dua bulan (60 hari). Ia mula dilaksanakan di awal pemerintahan pada 1990. Kerajaan BN hanya mula melaksanakan penambahan ini pada 1997, iaitu lewat tujuh tahun.

Ketiga: Penguatkuasaan Atas Pengharaman Judi.
Negeri Terengganu ketinggalan hampir lapan tahun berbanding Kelantan dalam ketegasan menghapuskan kegiatan judi di negeri masing-masing. Manakala Tan Sri Wan Mokhtar selaku Menteri Besar pula terlewat 24 tahun berbanding Tok Guru dalam melaksanakan penghapusan judi di negeri masing-masing.

Wan Mokhtar mula menjadi MB pada 1 September 1974 dan hanya mula menutup premis judi di Terengganu (Jertih) pada bulan Julai 1998, iaitu selepas 24 tahun menjadi MB. Sedangkan Tok Guru di hari pertama tahun 1991 terus mengambil langkah drastik menghapuskan judi di Kelantan.

Keempat: Pemotongan Elaun MB, TMB dan Wakil Rakyat.
Sedari awal pemerintahan PAS di Kelantan pada tahun 1990, MB telah memotong elaunnya sebanyak 45 peratus; 40 peratus untuk PAS dan 5 peratus untuk Perbendaharaan Negeri. Pemotongan elaun dua TMB pula berjaya menjimatkan RM18,000 setahun. Manakala Wakil-Wakil Rakyat PAS memotong sebanyak RM500 sebulan untuk parti.

Kerajaan BN melaksanakan pemotongan elaun para Menteri dan Exco-Exco Negeri pada tahun 1997 lalu, lewat tujuh tahun daripada apa yang dilakukan oleh Kelantan. Itu pun kerana terpaksa, disebabkan tekanan kegawatan ekonomi. Kononnya sebagai teladan bagi rakyat dalam kempen berjimat-cermat, setelah mereka puas berboros selama ini.

Kelima: Rumah Awam Tiga Bilik Tidur.
Pada tahun 1993, Tok Guru mengarahkan semua pihak pemaju perumahan di Kelantan membina rumah awam dengan tiga bilik tidur. Ia adalah bagi mengasingkan dua ibubapa, anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Kerajaan Terengganu mula melaksanakan saranan tersebut pada tahun 1997. Ia terlewat lagi, kali ini empat tahun. Bagaimana kerajaan negeri-negeri lain?

Keenam: Cuti Hari Sabtu.
Beberapa tahun lalu, apabila kerajaan Kelantan mula melaksanakan jadual kerja lima hari seminggu, pelbagai seranah dilemparkan oleh para pemimpin BN. Dikatakan para pemimpin PAS pemalas, tidak produktif, mahu membawa Kelantan kepada kemunduran, anti-kemajuan dan berbagai-bagai lagi. Tok Guru hanya mampu tersenyum dan terus bersyarah kepada rakyatnya bahawa hasrat kerajaan negeri ialah menjadikan hari Jumaat sebagai hari ilmu dan Sabtu sebagai hari keluarga.

Kini segala seranah itu telah lenyap entah ke mana. Malah, para pemimpin BN dalam mengulas keputusan mereka menjadikan hari Sabtu pertama setiap bulan sebagai cuti umum turut menyebut tujuannya antara lain untuk menjadikan hari itu sebagai hari keluarga. Berapa tahun pemimpin BN terlewat kali ini?

Dalam kes lain, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam diam-diam mengadaptasi beberapa bahagian tertentu daripada Kamun Jenayah Syariah II yang diluluskan kerajaan Kelantan secara “ayat demi ayat”. Kata orang, “seiras, saling tak tumpah!”

Begitu juga, Bank Pertanian (M) Berhad, dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) mendapati sistem pajak gadai Islam Ar-Rahn yang diperkenalkan kerajaan Kelantan pada tahun 1992 lalu terlalu muluk untuk diketepikan. Mereka mewujudkan kaunter pajak gadai Islam di tahun berikutnya.

Banyak lagi pembaharuan yang dibuat oleh Tok Guru di Kelantan, ditiru akhirnya oleh para pemimpin BN. Ini membuktikan bahawa pemikiran para pemimpin BN selalu “terlewat” dalam mengenalpasti perubahan-perubahan yang sesuai dilaksanakan di peringkat masing-masing. Jumlah kelewatan pemikiran mereka itu, jika dicampur kesemuanya, sudah tentu melangkaui angka 40 atau 42 tahun, usia kemerdekaan negara kita.

“Mereka tidak kata mereka meniru Kelantan. Tapi yang pasti kita buat dulu. Bila mereka buat kemudian, mereka nyata meniru, walau pun tidak mengaku. Tidak mesti mengaku. Tapi bila kamu buat kemudian lepas orang lain buat, ertinya kamu tiru!”, kata Tok Guru penuh sinis.

Kata-kata itu adalah sebahagian ucapan Tok Guru sebagai MB Kelantan di majlis sempena menjelang 100 Hari Usia Kerajaan Angkatan di Kelantan, yang diadakan di Markas Tarbiyyah PAS Pusat, awal 1991 lalu. Walau pun telah diucapkan lapan tahun lalu, ia dikira masih relevan dengan perlakuan semasa para pemimpin BN yang suka meniru.

Dengan apa yang diutarakan itu, tanggapan bahawa PAS hanya mampu bercakap dan mengkritik serta tidak mungkin berjaya mentadbir kerana ketandusan idea, kekurangan tenaga mahir dan profesional dan sebagainya dengan sendirinya ternafi. Malah, langkah-langkah pembaharuan yang dibuat oleh Tok Guru nyata berkesan dan menjadi ikutan pula oleh para menteri BN di negeri-negeri mahu pun Pusat.

Habis, kalau setakat tunggu nak tiru dan cedok idea orang, di mana bijaknya para menteri BN seperti yang didakwa-dakwa itu? Ramailah orang boleh jadi menteri, kalau macam tu!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 20 Ogos 1999 dengan tajuk sama)

Sunday, August 15, 1999

Undi Cina: Penyelamat Atau Penamat Kekuasaan BN?


Oleh: Anuwa Jamalullail

Kaum Cina membentuk hampir sepertiga atau 30 peratus daripada 22 juta penduduk Malaysia yang lebih separuh adalah orang-orang Melayu. Memandangkan sebahagian besar pengundi Melayu kurang senang terhadap layanan buruk yang menimpa bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sokongan pengundi Cina menjadi bertambah penting bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed dan Barisan Nasional (BN).

Undi kaum Cina dijangka menjadi penentu dalam Pilihan Raya Umum Kesepuluh nanti, yang mesti diadakan beberapa bulan mendatang, memandangkan tempoh kerajaan yang ada sekarang akan tamat April tahun depan.

Dalam suasana kemarahan masyarakat Melayu terhadap Umno pada hari ini, pengundi Cina dianggap sebagai ‘penyelamat’ utama Dr. Mahathir dan BN. Menurut kebanyakan penganalisis politik negara, dari segi sejarahnya 40 peratus pengundi Cina biasanya akan mengundi pembangkang, 30 peratus akan tetap bersama parti pemerintah, manakala 30 peratus selebihnya adalah pengundi atas pagar.

Golongan pengundi atas pagar itu kini menjadi target group BN. Sebab itu, Dr. Mahathir yang sudah begitu kecewa dengan para pengundi Melayu dikatakan menumpukan perhatiannya kepada merayu sokongan para pengundi Cina. Beliau kelihatan lebih banyak mendampingi masyarakat Cina dan menghadiri perhimpunan-perhimpunan masyarakat Cina.  Rumah terbuka Mahathir pada Hari Raya Aidil Fitri juga dihadiri kebanyakannya oleh masyarakat Cina dan India.

Dalam beberapa perjumpaan dengan masyarakat Cina, Mahathir secara terbuka memuji-muji mereka. Pada 17 Julai lalu, misalnya, semasa berucap di Perhimpunan Tahunan MCA, Mahathir menyifatkan para pengundi Cina sebagai ‘pragmatik’, berbanding dengan para pengundi Melayu yang disifatkan ‘mengikut emosi’.

Pengundi Cina dipuji kerana amat menghargai kestabilan yang dijamin oleh kerajaan BN, takut akan huru-hara yang mungkin dicetuskan oleh kemenangan pihak alternatif. Yang terpenting sekali ialah tidak bersedianya mereka menerima sebuah kerajaan alternatif yang akan dipimpin dan didominasi oleh PAS yang akan mendirikan “Negara Islam” yang didakwanya akan menindas kaum Cina di negara ini.

Mahathir juga pernah melahirkan ‘dukacita’ atas kelemahan dan kemunduran mahasiswa Melayu berbanding rakan berbangsa Cina. Mahathir menyatakan tabiat mahasiswa Melayu yang banyak berpolitik dan berdemonstrasi menjadi punca kemunduran prestasi akademik mereka. Lebih dari itu, bangsa Melayu digambarkan sebagai bangsa yang malas dan bodoh.  Sebaliknya, bangsa Cina disifatkannya rajin dan pintar.

Terdorong oleh tuntutan memenangi hati orang-orang Cina itu, Mahathir pergi lebih jauh.  Kali ini golongan profesional Melayu menjadi sasarannya. Mahathir berkata orang Melayu tidak mungkin mendapat jawatan tinggi jika kriteria merit digunakan untuk menilai mereka. 

Jika ujian-ujian diadakan untuk menentukan kelayakan golongan bumiputera, kata Mahathir, hanya segelintir kecil sahaja yang akan lulus. Ramai pensyarah dan profesor Melayu dikatakan mendapat kedudukan kerana polisi kerajaan, bukan kerana kebolehan mereka.  Sedangkan rakan sejawat mereka dari bangsa Cina dan India yang lebih berkelayakan sukar mendapat kedudukan mereka kerana polisi tersebut.

Lawatan Mahathir ke negara China baru-baru ini juga dilihat oleh banyak pihak sebagai usaha memancing sokongan kaum Cina kepada kerajaan Mahathir. Sebab itu, antara tokoh politik yang mengiringi beliau ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Mahathir dikatakan cuba merundingkan beberapa perkara dengan para pemimpin negara China untuk manfaat masyarakat Cina Malaysia. Antaranya menguruskan kemasukan mudah pelajar-pelajar Cina Malaysia ke institusi pengajian tinggi di China dan kelonggaran visa masuk ke negara itu untuk kaum Cina Malaysia.

Bagaimana pun, keputusan yang diterima dikatakan kurang menggalakkan. Mahathir dan rombongan pulang dengan kecewa. Segala pujian Mahathir kepada kaum Cina sebelum itu, sehingga sanggup menghina bangsanya sendiri, seolah-olah tidak berupaya menampung rasa kecewa beliau atas kegagalan mencapai misi lawatan ke China tempohari.

Barangkali terdorong oleh rasa kecewa itu, maka Mahathir secara tiba-tiba mencetuskan rancangan kontroversi kerajaan untuk memaksa percantuman 58 buah bank dan institusi kewangan. Rancangan penggabungan tersebut dianggap rombakan paling menyeluruh dalam sektor perbankan yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara ini.

Malaysia kini mempunyai 21 bank perdagangan, 12 bank saudagar dan 25 syarikat kewangan. Enam bank induk di bawah rancangan penggabungan itu terdiri daripada Malayan Banking Bhd., Multi-Purpose Bank Bhd., Kumpulan Bumiputera-Commerce, Perwira-Affin Bank Bhd., Public Bank Bhd. dan Southern Bank Bhd.

Walau pun kerajaan cuba melenyapkan sebarang tanggapan negatif, rancangan untuk mewujudkan hanya enam kumpulan bank gergasi kelak dibimbangi boleh membakar kemarahan pengundi Cina. Di bawah rancangan penggabungan itu, jumlah bank yang bakal dikuasai oleh tokoh korporat Cina kelak akan menjadi dua buah, berbanding dengan lapan sebelumnya.

Apa yang paling tidak menyenangkan kaum Cina negara ini, terutama di kalangan golongan terpelajar dan golongan elit di bandar ialah hilangnya dua bank ‘permata’ mereka – Hong Leong Bank dan Phileo Allied Bank – yang akan dicantum dan dikuasai oleh ahli korporat Melayu.

Rancangan penggabungan tersebut menimbulkan tandatanya mengapa Mahathir, yang dikenali jarang membuat kesilapan besar dalam politik, kali ini seolah-olah menempah risiko dengan menyinggung pengundi Cina menjelang pilihan raya.

Akibat pelbagai kecaman dan rungutan, Bank Negara Malaysia (BNM) selaku bank pusat terpaksa menafikan wujudnya sebarang agenda politik di sebalik rancangan penggabungan tersebut.

Bahkan, BNM kemudiannya melonggarkan keputusan tersebut dengan membenarkan mereka membentuk dan memilih sendiri peneraju atau ketua masing-masing. Ini bermakna, bank pusat itu membuka ruang kepada pembentukan lebih daripada enam kumpulan utama penggabungan dan pemilihan penerajunya.

Namun, kaum Cina yang telah diiktiraf oleh Mahathir sendiri sebagai bangsa yang rajin dan pintar tidak semudah itu menerima ‘perubahan sikap’ BNM. Mereka tahu sokongan dan undi mereka amat diperlukan oleh Mahathir dan BN, terutama di saat pengundi Melayu telah bangkit menolak BN kini.

Mereka juga mampu menilai sendiri tanpa perlu ditunjuk ajar oleh sesiapa, siapakah yang berupaya menegakkan keadilan dalam pemerintahan dan siapakah sebenarnya berpotensi mencetuskan suasana huru-hara dalam negara ini.

Mereka tahu menilai apakah Mahathir benar-benar ikhlas dalam memuji dan membela nasib kaum mereka. Ataukah apa yang dilakukan oleh Mahathir selama ini hanya semata-mata sandiwara politik untuk memancing undi daripada mereka?

Tidak mustahil, setelah mereka menyedari maksud sebenar Mahathir di sebalik beberapa ucapan dan tindakan yang dilakukannya baru-baru ini, para pengundi Cina akan beralih sikap dan mengubah sokongan kepada parti-parti alternatif. Jika itu berlaku, undi Cina sudah bukan lagi menjadi penyelamat, tetapi bertukar menjadi penamat hayat pemerintahan BN.

(Artikel ini disiarkan majalah isu tidak berkala "Ustaz Haron Din Buru Mahathir" diselenggarakan Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar Ogos 1999).

Dendam Shahidan: Haron Din Takbur?


Oleh: Anuwa Jamalullail

Marah betul Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim kepada tokoh ulama kelahiran Perlis, Datuk Dr. Haron Din. Marahnya bukan kerana Haron Din kononnya didakwa berkata mahu membawa Perlis keluar dari Malaysia, jikalau Parti Islam SeMalaysia (PAS) berjaya memerintah negeri itu melalui pilihan raya akan datang. Bukan juga kerana Haron Din mengkritik nama ‘Indera Kayangan’, yang menjadi jolokan bagi negeri tersebut, sebagai bercirikan kehinduan.

Marahnya bukan juga semata-mata kerana Haron Din dikaitkan dengan gerakan reformasi anjuran bekas Timbalan Perdana Menteri yang disingkirkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.  Haron Din sendiri tidak menafikan keterlibatan beliau dalam gerakan reformasi.

“Apabila Anwar datang ke rumah saya, semua orang tahu. Jika saya bukan orang reformasi, mengapa beliau datang ke sini?”, Haron Din dilaporkan pernah berkata begitu.

Kenyataan itu sekaligus memberikan kekuatan tambahan kepada gerakan reformasi. Sokongan dan simpati masyarakat kepada gerakan tersebut tambah memuncak dengan pengakuan terbuka Haron Din itu.

Masyarakat umum mudah menerima apa sahaja yang diperkatakan oleh Haron Din.  Penerimaan mudah masyarakat tersebut diperkuatkan dengan latarbelakang atau pengaruh beliau sebagai tokoh ulama di negara ini.

Umum masyarakat Malaysia masih lagi berpegang kuat kepada kata-kata ulama. Mereka akan lebih yakin di atas sesuatu yang keluarnya daripada ulama. Ulama biasanya tidak membawa masyarakat kepada perkara yang negatif. Ulama memberi sumbangan dengan percuma, khususnya dalam konteks pembinaan spiritual.

Masyarakat telah dibentuk dalam satu keadaan di mana mereka telah keluar daripada alam kegelapan ilmu dan agama kepada cahaya iman. Ini semua atas sumbangan ulama. Kerana itu mereka menghargai ulama.

Pengaruh Haron Din amat ketara dalam konteks ini. Untuk beberapa ketika, beliau dijadikan anchor dalam program televisyen, Forum Perdana Ehwal Islam. Saban minggu kemunculan wajah beliau di kaca TV ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan masyarakat.

Kupasan dan huraiannya yang bersahaja tetapi padat dan ‘kemas’ memukau para penonton. Masyarakat semacam ketagih untuk mendengar ulasannya mengenai persoalan agama, lagi dan lagi!

Tetapi, itu tidak menjadi sebab yang menaikkan kemarahan Shahidan terhadap Haron Din.  Shahidan tidak kisah Haron Din menjadi popular dan berpengaruh lebih-lebih lagi dalam aspek agama Islam. Itu hak dan keistimewaan yang memang ada pada Haron Din.

Apa yang membuatkan Shahidan marah dan benar-benar rasa ‘terhina’ ialah penegasan Haron Din yang menganggap Shahidan tidak layak bertanding dengannya pada pilihan raya umum ini kerana MB Perlis itu bukan lawannya. Haron malah membayangkan akan bertanding menentang pemimpin yang lebih tinggi dari kedudukan Menteri Besar atau Menteri. Banyak pihak menyifatkan Haron Din bermaksud menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed.

“Dia (Haron Din) boleh bertanding di mana sahaja kawasan yang disukai pada pilihan raya ini. Tetapi janganlah menunjukkan sifat takbur dan memperlekehkan serta memfitnah orang lain”, kata Shahidan yang terasa diperlekeh oleh kenyataan Haron Din itu.

Sebelum itu, Haron Din disebut-sebut bakal mewakili PAS menentang Shahidan di kerusi Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang pada pilihan raya umum nanti. Shahidan kemudiannya secara terbuka menyatakan kesediaannya menanti kehadiran Haron Din untuk beradu kekuatan di kerusi miliknya itu.

Haron Din bagaimana pun membayangkan bahawa yang mahu ditentangnya bukannya Shahidan atau mana-mana MB dan Menteri setaraf dengannya, tetapi orang yang lebih tinggi daripada itu. Kenyataan Haron itu dianggap memperlekeh kelayakan Shahidan untuk bertanding melawannya.

“Mungkin dia (Haron Din) merasa mempunyai kelebihan berbanding saya. Tetapi pada masa yang sama perlu diingatkan saya juga mungkin mempunyai kelebihan. Manakala dia pula mungkin lemah dalam soal-soal tertentu”, tambah Shahidan semacam “angkat bakul” dan tidak mahu mengalah dengan kelayakan peribadinya menentang Haron.

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala "Ustaz Haron Din Buru Mahathir" diselenggarakan Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar Ogos 1999).