Friday, June 25, 1999

BN wujudkan sistem pentadbiran yang celaru


Oleh: Mohd Nasir Awang

Siapa kata hanya Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mampu memerintah negara ini? Pandai sangat dan efisien benarkah kerajaan BN serta para pegawai tadbirnya sekira-kira tidak dapat ditandingi oleh orang lain? Apakah betul lain-lain parti selain BN tidak mampu dan tidak mempunyai kepandaian mentadbir negara ini?

Persoalan-persoalan di atas timbul ekoran dakwaan para pemimpin Umno/BN hanya mereka yang mampu memerintah negara. Itulah fahaman yang sering mereka momokkan. Itulah juga anggapan yang cuba diindoktrinasikan ke dalam pemikiran seluruh rakyat menerusi berbagai saluran media cetak yang dikuasai parti pemerintah.

Fahaman bahawa hanya Umno/BN yang mampu memerintah ternyata satu fahaman yang sangat terpesong, sama ada dari aspek akidah mahu pun realiti yang dihadapi negara kini. Ia sekaligus mengongkong minda rakyat untuk memilih mana-mana kerajaan yang mereka suka, secara bijaksana. Ia juga menyerlahkan lagi kegelojohan para pemimpin BN untuk terus-terusan memonopoli pemerintahan. Paling ketara, ia menggambarkan betapa nipisnya pergantungan para pemimpin BN terhadap kuasa dan kehendak Allah Taala dalam menentukan sesuatu.

Sebab itu Presiden PAS, Dato’ Haji Fadzil Noor menyifatkan fahaman itu sebagai khurafat. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menganggap ia sebagai salah satu cabang kesesatan perjuangan Umno.

Berdasarkan track-record pemerintahan Umno/BN, terbukti bahawa kehebatan pentadbiran BN dalam banyak perkara hanyalah indah khabar dari rupa. Slogan-slogan pentadbiran seperti ‘Bersih, Cekap dan Amanah’, ‘Cepat dan Betul’ umpamanya, hanya tinggal sebagai pemanis mulut. Kempen-kempen ‘Budaya Kerja Cemerlang’ dan ‘Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan’ juga terlalu jauh dari menepati sasarannya.

Itulah yang diucapkan oleh Presiden PAS menerusi ucapan dasar beliau yang terbaru bertemakan ‘Bersama Menegakkan Keadilan’. Negara berbelanja besar bagi mewujudkan perkhidmatan cemerlang, tetapi ia mewujudkan satu sistem pentadbiran yang celaru.

Walau pun ucapan beliau itu merujuk kepada kecelaruan yang timbul dalam pengurusan pendaftaran pemilih di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini, beberapa kes lain membabitkan pentadbiran kerajaan memperkukuhkan lagi dakwaan Presiden PAS itu. Sebagai contoh, kita sebutkan di sini untuk penelitian umum.

Kes 1: Operasi Saman Ekor
Masakan rakyat negara ini sudah lupa betapa gegak-gempitanya negara apabila pihak polis melaksanakan operasi yang digelar ‘Saman Ekor’. Melalui sistem itu, kenderaan yang melakukan kesalahan jalan raya dikenalpasti menerusi nombor pendaftaran kenderaan berkenaan, sama ada menerusi pengawasan pegawai polis atau rakaman kamera di tempat strategik. Kenderaan berkenaan tidak perlu ditahan dan pemandunya juga tidak boleh disoal siasat on the spot.

Surat saman dikeluarkan kemudian, dan diposkan kepada alamat pemilik kenderaan berkenaan berdasarkan rekod yang ada di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Tentunya ia dikeluarkan atas nama pemilik kenderaan, tidak kira siapa yang memandu kenderaan tersebut di waktu kesalahan itu dikesan.

Keadaan menjadi gempar apabila berlaku kes-kes yang melangkaui batas munasabah. Satu contoh yang ketara, bagaimana seorang pemilik motosikal buruk di Perak yang tidak pernah memiliki kereta disaman kerana memandu kereta yang dikatakan miliknya, melebihi had kelajuan maksima di Terengganu. Sedangkan pada tarikh dan waktu yang didakwa kesalahan itu dilakukan, beliau sedang berada di dalam kebun beliau berdekatan rumahnya.

Hari demi hari ada-ada saja kes-kes seumpama itu yang dipaparkan di dada akhbar, membabitkan berbagai jenis kenderaan. Bercelaru, bukan? Sedangkan institusi polis itu adalah di bawah pentadbiran kerajaan BN yang mendakwa mereka ‘Cepat dan Betul’.

Kes 2: UPU infoLINE
Kecelaruan juga wujud dalam pentadbiran Unit Pusat Universiti (UPU). Tahun lalu, UPU infoLINE pertama kali diperkenalkan untuk membolehkan pelajar mengetahui secara lebih cepat keputusan permohonan mereka melanjutkan pelajaran ke salah sebuah daripada 11 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang diuruskan kemasukannya oleh UPU. Ia dikira bertepatan dengan laungan kerajaan untuk mewujudkan sistem maklumat di hujung jari.

Bagaimana pun, ia gagal berfungsi seperti yang diharapkan. Keadaan menjadi kelam-kabut apabila ada antara para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak cemerlang kelulusannya mendapat tawaran. Sedangkan pelajar yang mendapat Gred Satu dengan agregat yang bagus diberitakan gagal.

UPU yang cuba menutup kelemahan mereka memberikan pelbagai alasan. Sebanyak 24,000 borang permohonan yang dikemukakan oleh lepasan SPM/SPMV kononnya tidak dapat diproses berikutan kesilapan calon mengisi borang. Ertinya, kalau sudah tidak tahu mengisi borang, bagaimana hendak belajar di universiti?

Dalam ertikata yang lain, 24,000 pelajar berkenaan didakwa belum cukup cerdik, walau pun sebahagian mereka memperolehi keputusan peperiksaan yang sangat cemerlang. Apakah sungguh bagai dikata? Ibu bapa kepada para pelajar terlibat lebih arif menjawabnya.

Kes 3: Laporan Ketua Audit Negara
Ketua Audit Negara, Datuk Mohd Khalid Noor dalam laporannya untuk tahun 1997 telah mendedahkan beberapa kelemahan, kecuaian dan tidak teliti dalam perancangan yang didapatinya berlaku dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan.

Menurut kenyataan beliau yang disiarkan akhbar The Star, 26 Oktober 1998, didapati 55 peralatan perubatan bernilai RM1.41 juta terbiar tanpa digunakan hospital dan klinik pergigian kerajaan seluruh negara. Sebahagian tidak pernah digunakan sejak November 1995.

Sebab musabab berlakunya pembaziran tersebut amat menarik. Antaranya disebutkan tiada tenaga mahir untuk mengendalikan peralatan itu. Ertinya, kerajaan BN tidak cukup tenaga mahir di hospital dan klinik. Ada juga peralatan yang dibeli tanpa aksesori yang cukup menyebabkan ia tidak dapat digunakan.

Antara contoh yang diberikan ialah dua set mikroskop yang setiap satunya bernilai RM49,950, masing-masing satu di Hospital Muar dan Hospital Kangar. Ia tidak pernah digunakan sejak lebih 20 bulan lalu.

Begitu juga dengan mesin ujian tekanan (stress test) di Hospital Kajang yang bernilai RM60,700 gagal dimanfaatkan sejak lebih setahun lalu. Dato’ Khalil menyifatkan perkara tersebut sebagai “weaknesses in the acquisition of equipment”. Adakah orang PAS yang merancang pembelian tersebut?

Laporan yang sama juga menyebutkan poor revenue management yang berlaku di beberapa jabatan kerajaan. Sebagai contoh, Jabatan Imigresen di Pusat Bandar Damansara gagal menunaikan 4,680 bank deraf bernilai RM32 juta dalam tempoh mereka. Daripada jumlah tersebut, hanya RM14.97 juta yang dapat dipungut kembali kemudiannya daripada pihak yang mengeluarkan deraf-deraf berkenaan. Baki lebih RM17 juta menjadi kerugian yang ditanggung kerajaan.

Masalah kehilangan cek dan terlebih bayar juga dilaporkan berlaku di beberapa jabatan dan kementerian. Jumlah yang terlibat bukan ratusan ringgit, tetapi ratusan ribu dan puluhan juta ringgit. Umpamanya, sekeping cek bernilai RM228,238.00 hilang dalam pejabat Ketua Akauntan Kementerian Kerja Raya. Ia kini masih dalam siasatan polis.

Kerajaan juga terlebih bayar kepada Kumpulan Ikram Sdn. Bhd. untuk projek penswastaan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) sebanyak RM16.11 juta nilai khidmat yang sepatutnya diberikan oleh syarikat berkenaan.

Banyak lagi contoh yang dapat kita utarakan. Antaranya, Laporan Audit Negeri Terengganu Tahun 1997 mengenai aktiviti-aktiviti Jabatan Negeri dan Kajian Khas. Di sana ada disebutkan tentang unsur tidak teliti para pegawai kerajaan negeri (yang diperintah BN, tentunya!) dalam pelaksanaan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Kita percaya rakyat mempunyai alasan yang sangat kukuh untuk mempertikaikan kewibawaan BN untuk terus mentadbir negara. Kalau di bawah pentadbiran BN sendiri wujud kelemahan pengurusan, tidak teliti, tidak cekap, tidak cukup tenaga mahir dan segala macam kecelaruan lagi, maka apalah modal BN untuk menidakkan kemampuan pihak lain mengambil alih pentadbiran negara?

Lagi pun, para pemimpin BN memang tidak dapat memastikan bahawa di sebalik setiap kejayaan dan kecemerlangan pentadbirannya selama ini tidak ada langsung saham orang lain selain orang BN. Apakah semua pegawai kerajaan itu ahli Umno/BN sahaja?

Yang kita tahu, hampir semua pejabat kerajaan, separa kerajaan, swasta, sekolah dan universiti terdapat ahli dan penyokong parti pembangkang, terutamanya PAS. Mereka bila-bila masa bersedia meneruskan khidmat masing-masing di bawah pemerintahan kerajaan alternatif.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 25 Jun 1999 dengan tajuk sama)


Tuesday, June 15, 1999

Penjajahan Asing: Siapa Sebenarnya Yang Bersekongkol?


Oleh: Umar Basyir Nasir

Ada beberapa sebab mengapa Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed beriya-iya mendakwa kononnya wujud campurtangan kuasa asing dalam kemelut politik negara mutakhir ini:

  • Pertama, beliau cuba membuktikan bahawa beliau bukanlah satu-satunya pihak yang patut dipertanggungjawab atas kegawatan politik negara yang semakin sukar untuk beliau selesaikan.

  • Kedua, beliau cuba secara halus menanamkan fahaman dan membina kes untuk membuktikan bahawa kononnya pihak penentangnya dan juga parti-parti pembangkang adalah agen kuasa asing. Pada masa yang sama, mendakwa beliau dan Umnolah yang patriotik.

  • Ketiga, beliau cuba menarik perhatian negara-negara progresif dan anti-penjajahan di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Eropah agar bersimpati kepadanya dan memandang serong terhadap golongan-golongan dalam negeri yang digambarkan sebagai musuhnya.

  • Keempat, beliau cuba mencari justifikasi betapa Malaysia tidak memerlukan pemerhati bebas dari luar untuk memerhati perjalanan pilihan raya umum nanti. Dengan itu, Dr. Mahathir dan Barisan Nasional (BN) akan lebih bebas melakukan apa yang mereka suka menjelang pilihan raya nanti.

Sebab-sebab yang dinyatakan di atas agak sukar dinafikan oleh mana-mana pemimpin Umno, termasuk Dr. Mahathir sendiri. Lebih-lebih lagi jika diambilkira matlamat BN untuk terus berkuasa selepas pilihan raya nanti. BN selalunya sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai hasratnya.

Sejarah membuktikan bahawa segala cemuhan Dr. Mahathir kepada pihak asing tidak lebih suatu retorik atau sandiwara untuk meraih simpati rakyat. Kalau pun Dr. Mahathir, melalui propaganda media massa yang dikuasainya, mampu meyakinkan rakyat bahawa terdapat campurtangan kuasa asing dalam urusan dalaman dan dasar luar negara, ia adalah ibarat “membuka pekung di dada”.

Sejarah membuktikan bahawa saham terbesar terhadap campurtangan asing dalam pemerintahan negara datangnya daripada Dr. Mahathir dan BN sendiri. Dalam masa 18 tahun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, Malaysia tidak sunyi dari ditentukan oleh kuasa asing. Pada tahun 1984, Dr. Mahathir menandatangani Perjanjian Pertahanan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Casper Weinberger.

Apabila berlaku krisis kehakiman pada akhir 80-an, negara menyaksikan terpecatnya Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara, bersama beberapa hakim Mahkamah Agung. Dr. Mahathir tidak sekadar menggunakan pengamal undang-undang dalam negara untuk menyingkirkan mereka. Dia memungut hakim-hakim dari Singapura, Sri Lanka dan entah dari mana lagi untuk bersama-sama memasukkan hakim-hakim kita ke dalam ‘bakul sampah’ mahkamah.

Semasa krisis Teluk memuncak, Malaysia mengambil bahagian yang aktif menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang merestui Amerika Syarikat mengganyang Iraq dan seterusnya mengenakan pelbagai sekatan ke atas Iraq. Sekarang ini, Malaysia menyokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di bawah pimpinan Amerika mengebom dan memusnahkan Serbia, tanpa menjamin hak Kosovo untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Dr. Mahathir juga secara sembunyi-sembunyi telah mencabuli ‘pantang-larang’ turun-temurun negara dalam berurusan dengan negara haram Israel. Ada timbalan menteri dedahkan di Parlimen bagaimana Malaysia telah mengadakan hubungan dagang dengan Israel.

Terdedah juga bagaimana Dr. Mahathir secara senyap-senyap mengundang sekumpulan belia Israel melawat Kuala Lumpur. Negara dikejutkan lagi dengan kehadiran pasukan kriket Israel. Rupa-rupanya itu sebagai syarat yang mesti dipersetujui Malaysia untuk melayakkan negara kita menjadi tuan rumah kejohanan sukan itu.

Dalam bidang ekonomi, Dr. Mahathir mengambil syarikat Solomon Smith Barney, yang terkenal sebagai spekulator penyangak, untuk menasihati beliau mendapatkan modal asing. Dalam memajukan Koridor Raya Multimedia (MSC), jawatankuasa penasihat utamanya terdiri daripada pakar-pakar asing belaka. Merekalah yang menentukan status dan dasar MSC. Bahkan, syarikat-syarikat gergasi asing sengaja diundang untuk menjadi bahagian penting dalam menjayakan projek MSC.

Oleh itu, teori penjajahan kuasa asing sepertimana yang digembar-gemburkan oleh Dr. Mahathir sebenarnya tidak lebih daripada “mengata dulang paku serpih”. Ia jelas sebagai persediaan Dr. Mahathir dan para pemimpin BN untuk memudahkan mereka melaksanakan agenda kotor mereka sepanjang perjalanan pilihan raya umum nanti.

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala "Talqin Buat Tuan Haji Mahathir" diselenggarakan oleh Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar Jun 1999).

Apa Lagi Yang Mahathir Mahu?


Oleh: Mohd Nasir Awang

Pada adat katanya, Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad adalah manusia paling ‘lengkap’ dalam negara ini. Beliau memiliki serba-serbi dan kaya dengan pelbagai asam-garam kehidupan. Sebagai PM, sering disebutkan Dr. Mahathir menguasai bukan sahaja cabang eksekutif, tetapi juga kehakiman dan legislatif. Bahkan, melalui pindaan Perlembagaan, Raja-Raja juga dijadikan terpaksa tunduk kepada nasihat PM dan para Menteri Besar.

Keluarga Dr. Mahathir adalah antara keluarga paling beruntung dalam negara. Anak-anak Mahathir keseluruhannya menjadi tokoh nasional. Marina jaga AIDS, Mirzan ada kapal, Mokhzani jaga duit Pemuda Umno dan Mukhriz main saham.

Ipar-duai Mahathir juga orang ternama. Tan Sri Hashim jadi bos Sukom, Tan Sri Ahmad Razali jaga Tabung Haji dan Allahyarham Tan Sri Ismail, bekas penjaga Bank Negara.

Dalam partinya Umno, Dr. Mahathir adalah Presiden paling lama dan paling banyak melakukan rombakan. Timbalan Presidennya sudah berlalu tiga, bakal terpilih yang keempat. Setiausaha Agung juga sudah silih-berganti empat orang; Sanusi, Tok Mat, Sabbaruddin dan Khalil. Sebahagian Naib Presidennya juga sudah ‘rebah’.

Sebagai ketua kerajaan, Mahathir sudah cipta rekod tersendiri. PM paling lama, paling ramai TPM, paling besar jumlah pemimpin yang bersilih-ganti menganggotai kabinetnya. Semasa pemerintahannya, ramai pembesar negara yang terpecat dan dipecat. Musa Hitam, Ghafar Baba, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara, Mufti Selangor dan Anwar Ibrahim adalah contoh. Ramai juga yang turun-naik mahkamah. Mat Taib, Rahim, Waad, Sahar, dan lain-lain.

Sepanjang pemerintahannya, negara berterusan dilanda krisis. Krisis Perlembagaan (1983-84), krisis Politik Sabah (1985-86), krisis kepimpinan Umno (1987-88), krisis kehakiman(1988), krisis Raja-Raja (1992-93), krisis Umno II (1993), krisis Sabah II (1994), krisis alam sekitar (1995-6), dan krisis ekonomi, sosial dan politik (1997-sekarang).

Dalam agenda ekonominya, Mahathir telah berjaya membawa Malaysia ke forum utama dunia. Sekejap ada dasar Pandang ke Timur, kemudian hubungan dagang dengan negara-negara dunia melalui Forum Selatan-Selatan, EAEC, G-15, D-8 dan Apec. Bahkan, Mahathir melanggar taboo umat Islam bila mengadakan hubungan dagang dengan negara haram Israel. 

Kelantangan Mahathir di arena antarabangsa juga mengundang hubungan keruh dengan beberapa pihak seperti Singapura, Australia, Amerika Syarikat, Filipina, Indonesia dan IMF.

Pembangunan negara juga melonjakkan Malaysia sebagai pemilik beberapa landmarks yang “TER...” di dunia. Kita ada KLIA, Jambatan Pulau Pinang, Menara Kembar, Menara KL, Litar Lumba F-1 Sepang dan Putrajaya.

Melalui semangat ‘Malaysia Boleh!’, hampir tiada ceruk dalam dunia yang tidak diterokai oleh anak Malaysia. Puncak Everest, Kutub Utara, Padang Pasir Sahara, bahkan Tujuh Benua dan Lautan.

Di dunia penulisan, Dr. Mahathir menjadi salah satu fokus utama. Puluhan buku politik diberi tajuk berkaitan nama beliau. Senarai penulis politik yang kontra Mahathir juga agak panjang.  Ada Subky, Raja Petra, Pillai, Koya Kutty, Ibnu Muslim, Pak Habib, Sayuti, Tarmizi, Lutfi, Zul Yahya, Taufek Yahya, Bakar Rashid, Rustam A. Sani, Ann Wan Seng, Daud Ibrahim, Ainol Jamal, Shamsuri, Sabri Zain, Zin Mahmud, Shukor Harun, Fathi Aris, dan ‘Aku’ sendiri.

Di kalangan karyawan juga Mahathir ada tempat. Tempat yang bagaimana, tanyalah Dinsman, Zunar, Rossem, Azizi dan SN Shahnon. Ada macam-macam puisi, karikatur, cerpen mahu pun novel yang dikatakan ada kaitan dengan Mahathir.

Yahya Ismail mungkin sudah tidak mengutuk Mahathir lagi sekarang. Tapi novelnya Maharaja Beruk telah dibaca lama sebelum keluarnya Piem dan SHIT.

Di kalangan ulama, Dr. Mahathir ada sejarah tersendiri dengan Ustaz Ahmad Awang, Dato’ Ismail Kamus, Dato’ Ishak Baharum dan Dato’ Dr. Harun Din. Dengan ahli akademik dan profesional seperti Prof. Hamdan, Dr. Chandra dan Dr. Siddiq Fadhil, Mahathir sering bercanggah idea.

Pendek kata, Mahathir sudah berjaya mengadakan hampir segala-gala yang dikehendakinya. Kejayaan dan kegawatan, kawan dan lawan, pujian dan kritikan, kesenangan dan krisis, bahagia dan derita rakyat.

Tapi Mahathir nampaknya masih belum puas! Sedangkan, rakyat sudah tidak tertanggung melalui segala kepincangan pemerintahan beliau. Apa lagi Dr. Mahathir mahu? Bor-bor lah getek, Dato’ Seri!

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala bertajuk "Talqin Buat Tuan Haji Mahathir" diselenggarakan oleh Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar Jun 1999).

Bila Ulama Sanggah Fatwa Haji Mahathir


Oleh: Abdul Rahim Din

Ulama teruk dibantai oleh Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamed. Mereka dicop menyebabkan umat Islam mundur dan hanya mementingkan hidup selepas mati sahaja.  Mereka tidak kenal realiti dan masalah sebenar ummah, hanya pandai berkhutbah dengan merujuk kitab-kitab lama. Sedangkan zaman cepat berubah.

Ulama sebagai individu boleh dikritik, malah wajar ditegur. Tetapi suatu serangan tersusun, apatah lagi datang dari pimpinan tertinggi negara, untuk melumpuhkan institusi ulama, wajib ditentang. Jika institusi ulama dapat dirobohkan dan penghormatan masyarakat terhadap mereka sudah hancur, maka ummah akan berkecai dan kesedaran Islam akan luntur.

Antara tokoh ulama yang telah masak dengan perlakuan Dr. Mahathir dalam isu-isu agama ialah Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Ahmad Awang. Beliau mempunyai pengalaman luas berdepan, malah berdebat dengan Dr. Mahathir atas beberapa isu agama. Bagi beliau, Dr. Mahathir memang suka mengemukakan pendapat yang kontroversi terhadap ajaran Islam.

“Saya masih ingat PM mengatakan ucapan Assalamualaikum sama sahaja dengan Selamat Pagi.  PM juga pernah sebut bahawa kerajaan hanya akan menerapkan nilai-nilai Islam yang baik sahaja. Seolah-olah menggambarkan ada nilai-nilai Islam yang tidak baik”, kata Ustaz Ahmad.

Dr. Mahathir juga dilihat banyak mencari dalih untuk tidak melaksanakan hukum dan peraturan Islam. “Saya juga pernah minta Dr. Mahathir mengenakan tindakan undang-undang terhadap pendakyah Kristian yang cuba meracuni pemikiran pelajar-pelajar Islam. Tapi Dr. Mahathir jelas tidak setuju dengan pendekatan itu. Dia hanya mahu kita lipatgandakan usaha dakwah. Itu memang kita usahakan, tapi sementara kita berkuasa gunakanlah semua saluran yang boleh kita manfaat demi kepentingan Islam,” sambung Ustaz Ahmad lagi.

Sikap suka berdalih Dr. Mahathir itu turut mendapat reaksi Ustaz Dato’ Ismail Kamus, salah seorang pendakwah terkemuka negara. Dr. Mahathir pernah berdalih kononnya hukum Islam dalam kes zina dan liwat tidak dapat dilaksanakan di negara ini kerana susah hendak mencari saksi-saksi seperti yang disyaratkan oleh Islam, iaitu empat orang saksi yang adil.

“Susah ini bergantung kepada kita sebenarnya. Kalau kita kata susah, susahlah ia. Kalau senang, senanglah ia. Matlamatnya kita sudah silap sebut. Sekarang ini apabila kita dapat tangkap seseorang itu mencuri, apakah niat kita? Apakah kita hendak tangkap, sumbat dalam penjara, atau kita nak adili dia?”, tegas Dato’ Ismail.

Bagi beliau, dengan berdalih begitu, Mahathir sebenarnya lebih mendedahkan kejahilannya mengenai matlamat melaksanakan sesuatu undang-undang. Kerana, apabila sesuatu penghakiman yang adil hendak dibuat, sudah tentu ia juga berhajat kepada saksi yang adil. 

Dr. Mahathir, menurut Ustaz Ismail, tidak faham bahawa dalam kaedah hukum Islam, melepaskan orang yang bersalah adalah lebih baik daripada menghukum orang yang tidak bersalah. “Apa pula susahnya? Kalau ada saksi, jatuhlah hukum. Jika tidak ada saksi, nak buat macam mana? Akhiratlah dia akan dihukum”, tambah beliau lagi.

Lihat pula bagaimana Dr. Mahathir berdalih apabila menolak cadangan pelaksanaan Hukum Hudud oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Dikatakan pula undang-undang itu disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik, yang ternyata bukan sahaja menyebabkan ketidakadilan, malah membawa kezaliman.

“Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku”, ulas Dr. Mahathir.

Dolak-dalih seumpama itulah yang dijawab dengan tegas oleh Dato’ Mufti Selangor, Haji Ishak Baharom. “Murtad hukumnya kepada sesiapa sahaja yang mempertikaikan syariat Islam, misalnya hukum Hudud seperti yang hendak dilaksanakan oleh sebuah negeri.  Walaupun hanya benci dalam hati kepada perkataan Hudud itu pun, hukumnya adalah sama sahaja,” kata beliau dengan penuh kesal.

Anehnya, teguran-teguran seumpama itu sedikit pun tidak menghalang Dr. Mahathir untuk terus berdalih. Bahkan, beliau tambah yakin terhadap pandangan dan ideanya sendiri, dan semakin berani mengemukakan logik akalnya dalam menentukan sesuatu hukum Islam itu boleh dilaksanakan ataupun tidak.

Mahathir pernah menyebut, bahawa peraturan Islam tidak boleh dilaksanakan jika wujud kekeliruan atau ketidakfahaman masyarakat, termasuk orang bukan Islam, tentang hukum Islam.

Ustaz Ismail turut mempertikaikan rasional Mahathir itu. Bagi beliau, sesuatu undang-undang yang hendak dilaksanakan tidak perlu menunggu setiap rakyat memahami atau membacanya terlebih dahulu.

Sebenarnya mengenai undang-undang ini, kitalah yang mencari undang-undang.  Umpamanya undang-undang JPJ, ada siapa yang membaca kesemuanya? Berlambak orang ditangkap kerana pelbagai kesalahan di jalan raya, tetapi mengapa mereka diam apabila ditangkap? Undang-undang tanah, undang-undang jual beli, kita tidak membacanya, tetapi mengapa ia boleh terlaksana?”

Sikap double-standard Mahathir itu turut diulas oleh Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, seorang aktivis dakwah di Wilayah Persekutuan. Baginya, pihak pemerintah sendiri jelas tidak jujur dalam usaha memahamkan masyarakat terhadap Islam. Pemerintah hari ini tidak memberi kesempatan secukupnya kepada para ulama menerangkan isu-isu tersebut. Mereka seolah-olah takut kepada ulama yang bersifat terbuka, yang membawa rakyat supaya mengerti tentang pengertian dan tuntutan Islam sebenar.

“Apalah salahnya membicarakan bab hukum Islam. Terangkan kepada masyarakat tentang hukum Islam yang sebenarnya. Cari pakar-pakar yang boleh membincangkan hukum Islam dan bincangkannya secara terperinci”, tegas beliau. 

Bagi beliau, sikap pemerintah amat jelas, seperti pepatah, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Kes Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangkap tiga gadis Melayu yang menyertai pertandingan ratu cantik juga mendedahkan lagi sikap dolak-dalih Dr. Mahathir. Beliau dengan lantang mengkritik tindakan JAIS, kononnya membawa implikasi Islam sebagai agama yang tiada toleransi.

Bagi beliau, tindakan menangkap tiga gadis yang berpakaian tidak sopan itu terlalu keras dan tidak adil. Mahathir mendakwa, ia bukan sahaja memalukan peserta terbabit dan keluarga mereka, malah menakutkan penganut agama lain untuk mendekati Islam.

“JAIS dipersalahkan kerana dikatakan memalukan tiga peserta ratu cantik itu, tetapi mengapa pula tindakan peserta itu yang dengan sengaja mendedahkan aurat di khalayak ramai tidak dipertikai,” bidas Dato’ Ishak Baharom.

Pandangan Dato’ Ishak disokong pula oleh Ustaz Ahmad yang menyangkal dakwaan Mahathir bahawa tindakan JAIS itu terlalu keras dan melampau.

“Bahkan, peraturan atau enakmen yang dikuatkuasakan oleh JAIS sangat sederhana.  Dakwaan terhadap peserta ratu cantik itu sendiri bukan kerana mendedahkan aurat, tetapi kerana berpakaian tidak sopan.”

Bagi beliau, Dr. Mahathir sebenarnya sengaja, “mencabar, bukan sahaja mencabar mufti dan ulama, tetapi juga mencabar dan mempersoalkan hukum Allah s.w.t”.

Segala pandangan, dalih dan sindiran Mahathir terhadap elit agama dan peraturan Islam itu sendiri sebenarnya menyerlahkan lagi sikap prejudis beliau terhadap Islam. Hal ini makin menambahkan lagi ketidak-layakan beliau terus memimpin sebuah negara bermajoritikan umat Islam.

“Dari segi kepimpinan Islam, orang itu mestilah Muslim, orang yang bertaqwa, berilmu dan mengetahui politik Islam dan politik semasa. Berilmu pula mencakupi ilmu agama, dan seorang pemimpin harus juga layak menjadi imam”, tegas Ustaz Ismail.

Dr. Mahathir jelas sekali tidak menepati kriteria tersebut. Lebih-lebih lagi dengan gaya hidupnya yang suka bermewah dan mengaut kekayaan. Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, Pegawai Agama Istana Negara memberi komentar; “dalam Islam, kalau saya bersedia dilantik menjadi ketua, saya jangan fikir apabila saya menjadi ketua, saya mesti kaya, senang atau mewah. Dalam pemikiran mereka adalah material. Apabila mereka menjadi pemimpin, perkara utama yang difikirkan ialah material. Bagaimana aku hendak membesarkan rumah (mahligai), mencari kereta besar, menambahkan harta. Itulah yang direbut-rebutkan sekarang sehingga timbulnya perbalahan.”

Amat malang bagi umat Islam di negara ini, menurut Dato’ Abu Hassan, orang seperti inilah yang kita pilih menjadi pemimpin. Kita tidak mengira siapa pemimpin kita asalkan ia boleh diharap membantu dalam aspek material.

“Sekiranya mereka terpilih, kerosakan akan berlaku sehingga akar umbi. Golongan pemimpin seumpama ini cukup senang bila dipuja dan disanjung, walau pun kesan kepimpinan mereka begitu buruk sekali”, tambah Ustaz Abdul Ghani pula.

Bahkan, menurut beliau lagi, pemimpin yang tidak mentauhidkan Allah sekali pun masih tidak segan silu mengaku merekalah pemimpin paling baik. “Semua pihak mengaku pemimpin, meski pun tidak berakhlak dan gagal memenuhi tanggungjawab kepimpinan. Abu Lahab, Firaun dan Namrud pun mengaku, merekalah pemimpin yang paling baik untuk masyarakat mereka”.

Banyak lagi hujah para ulama di serata negara tentang kebobrokan kepimpinan Dr. Mahathir.  Dimana, setiap ulama yang benar-benar beriman dan beramal dengan ilmu yang mereka miliki pasti menolak segala “fatwa” atau dolak-dalih Dr. Mahathir daripada melihat hukum dan peraturan Islam dilaksanakan di negara ini.

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala diselenggarakan oleh Tarmizi Mohd Jam dengan tajuk "Talqin Buat Tuan Haji Mahathir" yang diterbitkan sekitar Jun 1999)

Gelaran-gelaran Tersohor Perdana Menteriku


Oleh: Mohd Nasir Awang

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad memang dikenali dunia sebagai salah seorang pemimpin yang dinamik, berwawasan dan komited terhadap setiap pekerjaan yang dilakukannya. Pada suatu ketika, beliau dianggap sebagai Wira Dunia Ketiga, kerana kelantangannya membela nasib negara-negara mundur dan membangun (under-developed and developing countries) di forum-forum antarabangsa.

Di negara sendiri, Dr. Mahathir tidak terlepas dari menerima anugerah gelaran-gelaran daripada rakyatnya sendiri. Berbagai pihak menggelarkan beliau dengan berbagai nama, berdasarkan berbagai kenyataan hidup yang berlaku.

Pertama: Pemimpin Yang Mendahului Masa
Sebaik memegang tampuk pemerintahan negara pada Jun 1981, Dr. Mahathir secara praktikal telah meletakkan seluruh rakyat negara ini dalam keadaan mendahului masa.

Jarum semua jam di seluruh Semenanjung Malaysia telah dilonjakkan 30 minit lebih cepat daripada masa yang diterima pakai sejak zaman-berzaman, bagi diselaraskan dengan masa Malaysia Timur. Sejak dari tarikh itu, hidup kita di negara ini pada hakikatnya sentiasa mendahului masa. Mahathir tentu bangga dengan keadaan ini. 

Kedua: Idealog Projek-projek Mega
Sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir menjadi pencetus idea kepada beberapa projek mega dan mewah yang menelan belanja jutaan juta ringgit khazanah kekayaan negara. Bermula dengan projek kereta nasional Proton, diikuti kilang besiwaja Perwaja dan pembangunan Pulau Langkawi.

Kemudian, datang pula Kompleks Sukan Bukit Jalil untuk Sukom 98, Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, bandar Pentadbiran Putrajaya, litar lumba Formula One, KLIA Sepang, Cyberjaya, Kodiror Raya Multimedia (MSC) dan entah apa lagi.

Semuanya dibina menggunakan duit kerajaan yang juga duit rakyat. Kononnya untuk kegunaan dan kemudahan rakyat. Namun, berapa keratkah rakyat negara ini yang betul-betul mendapat faedah langsung daripada jutaan-juta duit yang dibelanjakan itu? Yang pasti Malaysia dapat hanyalah kemasyhuran di mata dunia, dan orang yang paling bangga dengan kemasyhuran itu ialah Mahathir.

Ketiga: Penambah Beban Hidup Rakyat
Antara dasar baru yang diperkenalkan oleh Mahathir ialah dasar penswastaan. Ia mula dilaksanakan sejak 1983 bertujuan menidakkan aktiviti dan fungsi yang pada tradisinya merupakan tanggungjawab kerajaan, untuk diambil alih oleh sektor swasta.

Dalam erti kata yang lain, penswastaan membolehkan kerajaan berlepas tangan daripada sebahagian masalah yang dihadapi oleh rakyat. Soal kebajikan rakyat, terutama dalam menyediakan kemudahan asas, tidak lagi menjadi agenda utama kerajaan.

Dasar ini jelas menyumbang kepada kesulitan hidup rakyat. Kalau sebelum ini rakyat berpeluang mendapat sesuatu yang disediakan oleh kerajaan secara percuma atau dengan bayaran paling minima.

Dengan pelaksanaan dasar penswastaan, tidak ada lagi istilah percuma atau bayaran minima. Rakyat mesti membayar segalanya mengikut apa yang ditetapkan oleh syarikat bertanggungjawab. Kejayaan Mahathir melaksanakan dasar penswastaanpada hakikatnya melayakkan beliau menerima gelaran sebagai penambah bebanan hidup rakyat.

Keempat: Promoter Fahaman Islam Progresif
Sikap Mahathir mengenai undang-undang dan hukum-hakam Islam, sekolah agama, ulama, dan persepsinya terhadap makna kemajuan, maruah bangsa, kedudukan bahasa Melayu dan maksud pembangunan, sekiranya diteliti secara halus cukup menggerunkan. Mahathir telah merubah banyak tanggapan orang Melayu terhadap beberapa dimensi agama, adat resam dan sensitiviti bangsa turun-temurun.

Selalu Mahathir sebut, kalau orang Melayu tidak kuasai ekonomi, asyik bergantung dengan orang lain, sampai bila-bila mereka akan menjadi hamba orang. Untuk menguasai ekonomi, orang Melayu mesti progresif dan tidak boleh hanya dengan berdoa sahaja. Bila masa pula orang Melayu hanya tahu berdoa sahaja? Pemalas sangatkah orang Melayu?

Sebenarnya, fahaman yang cuba ditanam ialah agar persoalan ibadat termasuk berdoa jangan dititikberatkan sangat. Hal ini jelas, melalui ucapan penutup Mahathir di Perhimpunan Agung Umno 1996, beliau dengan nada bersahaja menyalahkan institusi pondok dan keghairahan ibu-bapa menghantar anak-anak ke sekolah agama.

Baginya, tenaga cerdik-pandai Melayu/Islam menjadi rugi apabila mereka memasuki aliran pendidikan agama, dan ini sekaligus membantut perkembangan orang Melayu. Golongan berpendidikan Islam, menurut Mahathir, tidak kenal realiti dan masalah sebenar ummah. Mereka hanya ingatkan mati dan membiarkan dunia dikuasai golongan bukan Islam.

Faham Islam progresif yang diterapkan oleh Mahathir tidak mensyaratkan umat Islam berjubah dan berkopiah, atau bertudung dan menutup aurat. Baginya, Islam hanya diterimapakai dalam aspek-aspek yang boleh memaju dan menguntungkan matlamat duniawi.  Penulis pojok, Awang Selamat adalah antara orang yang paling banyak mengulas mengenai pemikiran Islam progresif Mahathir ini.

Kelima: Penganjur Fikrah Maddiyyah
Rakyat yang prihatin kini cemas melihat bagaimana kerajaan BN pimpinan Mahathir sedang menyediakan suasana masyarakat yang menuju kepada pemujaan kebendaan (maddiyyah).  Sejak Mahathir melancarkan Wawasan 2020, yang bermatlamat menobatkan Malaysia sebagai negara industri maju pada tahun berkenaan, segala majlis anjuran kerajaan semakin difokuskan untuk menjadikan kejayaan bidang ekonomi sebagai matlamat negara.

Soal pembangunan insan dan keredhaan Allah tidak diambil kira. Tanpa disedari, kebendaan menjadi akidah baru yang dipuja. Pemimpin negara yang bergandingan dengan golongan elit korporat mempamerkan gaya hidup lavish dan bermewah-mewah. Mereka dipamerkan kepada rakyat sebagai golongan role model yang berjaya.

Kebenaran ditentukan oleh kebendaan dan logik akal. Kemuliaan seseorang insan ditentukan oleh harta yang dimilikinya. Itulah intipati faham maddiyyah yang dipopularkan oleh Mahathir. 

Keenam: Pembalun Ulama
Sikap jengkel Dr. Mahathir terhadap ulama tidak dapat diselindungkan lagi. Malah telah beberapa kali perkara ini ditunjukkan secara jelas sama ada melalui tindakan atau pun perkataan yang menyindir dan merendah-rendahkan martabat ulama.

Puncanya, Mahathir rasa orang Melayu tidak adil terhadapnya. Hanya kerana dia tidak tahu berbahasa Arab, tidak fasih menyebut beberapa potong ayat al-Quran, tidak mendapat pendidikan formal agama dari Timur Tengah, maka autoritinya dalam agama begitu mudah dipersoalkan. Cakapnya tentang agama sering diremeh dan diketawakan.

Bagi Mahathir, agama bukan hanya milik ulama. Mahathir mahu dia juga digelar ulama, kerana ulama mengikut fahaman beliau bukan hanya mereka yang alim dalam bidang agama, tetapi juga meliputi bidang-bidang yang lain. Dengan sinis Mahathir pernah menyatakan, ada persatuan yang bila kita menjadi ahlinya terus kita dianggap ulama (Persatuan Ulama Malaysia).

Rekod menunjukkan terlalu ramai tokoh ulama negara ini yang berbalah dengan Mahathir.  Antara mereka ialah Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Ismail Kamus, Dr. Haron Din, Ustaz Badrul Amin, Dato’ Ishak Baharom dan sudah tentunya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz.  Mereka ini kerap menjadi bahan balunan Mahathir.

Ketujuh: Mujahid Agung Islam?
Tidak berapa jelas, apakah alasan sebenar Ketua Wanita Umno Kelantan waktu itu, Zaleha Husin menganugerahkan gelaran Mujahid Agung kepada Mahathir. Barangkali Zaleha ingat memberi gelaran kepada seorang ketua negara semudah seorang ibu memberi nama kepada anak yang baru dilahirkannya sendiri.

Barangkali juga, terdorong oleh gelaran yang diberikan itu, maka Mahathir sering mengemukakan tafsirannya yang tersendiri mengenai hukum-hakam Islam. Pernah suatu ketika beliau dilaporkan berkata Assalamualaikum dengan Selamat Pagi sama sahaja.

Beliau juga pernah menyebutkan bahawa Saidina Hamzah yang syahid di Uhud tidak dimandi dan dikafankan kerana di negara Arab payah nak dapat air. Di zaman Nabi, orang menyimpan janggut kerana tidak ada pisau cukur.

Dalam ucapan dasar di salah satu Perhimpunan Agung Umno, Mahathir pernah menyentuh soal aurat wanita. Baginya, tujuan menutup aurat perempuan ialah kerana di zaman Nabi, Arab jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain.

Barangkali, Zaleha kini puashati, Mahathir memang layak sungguh digelar Mujahid Agung?

Kelapan: Pemimpin pecah dan perintah (divide and rule)
Dalam buku kecil bertajuk 100 Isu Dalam Perjuangan Semangat 46 yang diterbitkan oleh parti berkenaan di hari-hari kemuncaknya, Mahathir disifatkan sebagai pemimpin yang mengamalkan taktik pecah-perintah dengan maksima. Antara projek melagakan pemimpin yang disubahati oleh Mahathir ialah perbalahan antara Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Musa Hitam, Anwar Ibrahim dengan Datuk Abdullah Badawi di Pulau Pinang, Datuk Mohamed Rahmat dengan Menteri Besar Johor, Datuk Rais Yatim dengan Datuk Isa Samad di Negeri Sembilan, Tun Abdul Rahman Yaakob dengan anak buahnya Datuk Patinggi Taib Mahmud di Sarawak.

Di kalangan Raja-Raja Melayu pun perpecahan berlaku, menurut 100 Isu, akibat peranan Mahathir. Kesatuan sekerja dan para peguam juga tidak terlepas dari amalan pecah-perintah. Apabila MTUC didapati tidak mahu jadi pak turut kepada falsafah pimpinan Mahathir seperti in-house union, diwujudkan MLO - Malaysia Labour Organisation yang mana para pemimpinnya bersikap pro-Mahathir.

Majlis Peguam yang semenjak tersingkirnya Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara pada bulan Ogos 1988 menampakkan sikap agresif terhadap Mahathir, disaingkan dengan Pertubuhan Peguam Muslim. Orang Umno dan sesiapa jua yang rapat dengan mereka tentu lebih maklum angkara pecah dan perintah Mahathir yang selebihnya itu.

Kesembilan: Witch-hunter Umno
Tidak berapa ramai pemimpin serata dunia ini yang mempunyai timbalan seramai Perdana Menteri kita ini. Dengan jumlah empat Timbalan Perdana Menteri yang bertukar ganti, menampakkan seolah-olah tidak ada seorang pun yang mampu kekal serasi dengan Mahathir hingga akhir.

Datuk Musa Hitam meletak jawatan secara mengejut pada bulan November 1986. Tun Abdul Ghafar Baba mengundurkan diri setelah diaibkan pada tahun 1993. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggantikan beliau dipecat secara hina pada bulan September 1998. Datuk Abdullah Badawi agaknya menunggu giliran pula.

Memanglah, mana-mana pemimpin politik pun sukar menerima kehadiran tokoh yang tidak sebulu. Tetapi apa yang dilakukan oleh Mahathir agak melampaui batas kebiasaan. 

Kemuncak amalan politik cantas dalam Umno pimpinan Mahathir ialah pada bulan Mei 1987 dengan pemecatan para Menteri dan Timbalan Menteri yang menentang beliau dalam pemilihan parti sebelum itu. Tidak kurang daripada lapan anggota kabinet terlibat dengan witch-hunting itu.

Berikutan itu, beribu-ribu rakyat dari kalangan kakitangan Jabatan Agama, penggawa, imam, pegawai masjid, guru Kemas, Pegawai Penerangan Khas dan pemaju masyarakat di Kelantan yang dilantik atas asas politik diberhentikan dari tugas masing-masing.

Sebilangan guru-guru ditukarkan, para peneroka Felda disingkirkan dari tanah rancangan.  Mereka semua adalah ahli Umno kem Ku Li yang dikira gagal berkompromi dengan kepimpinan Mahathir.

Amalan ini berterusan hingga kini. Mangsa-mangsa terbaru ialah sesiapa jua di kalangan pemimpin Umno yang bernada Re-for-ma-si atau gagal mengikis rasa simpati terhadap Anwar. Mahathir tidak akan memaafkan mereka.

Kesepuluh: Practical Dreamer
Tanpa hipokrit perlulah diakui bahawa Mahathir adalah seorang Practical Dreamer. Beliau mengimpikan sesuatu, beliau akan terus berusaha merealisasikannya dengan apa kos sekali pun. Barang hendak barang menjadi.

Namun, dalam merealisasikan sesuatu impiannya, Mahathir dilihat bersifat Machiavellian – matlamat menghalalkan cara. Apa pun yang terpaksa dilakukan tetap akan dilakukan, asal saja matlamatnya tercapai. Wewenangan membelanjakan duit rakyat, menambah bebanan hutang luar, kritikan kawan dan lawan seolah-olah tidak dipedulikan lagi. Dalam erti kata yang lain, seolah-olahnya Malaysia ini Mahathir yang punya.

Kesebelas: Condong ke arah sifat diktator
Antara tokoh Umno yang pernah membuat pengakuan tentang sifat Mahathir ini ialah Datuk Musa Hitam. Kali pertama ialah semasa berucap di majlis para wartawan di Hong Kong pada bulan Julai 1988. Kenyataan itu diulangi lagi semasa kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Johor Bahru pada bulan Ogos tahun yang sama.

Mahathir adalah satu-satunya pemimpin Malaysia yang menguasai ketiga-tiga bidang kerajaan iaitu Legislative (Parlimen), Executive (Kabinet), dan Judiciary (Kehakiman) melalui kuasa yang dihimpunkannya hasil pindaan undang-undang dan manipulasi bidang-bidang lain.

Kewujudan berbagai akta juga turut memberi kuasa tambahan kepada Perdana Menteri selaku ketua kabinet mengongkong kebebasan rakyat. Akta-akta yang dimaksudkan ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan, Akta Polis, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan lain-lain.

Kedua belas: Terminator
Kejayaan kerajaan pimpinan Mahathir menguburkan Parti Komunis Malaya (PKM) amat dikagumi kawan dan lawan. Apa pun taktik dan strategi yang digunakan, kebolehannya itu melayakkan beliau menerima gelaran Terminator.

Kemampuan Mahathir memanipulasi media massa dan meminda undang-undang menyebabkan kekebalan Raja-raja Melayu terhapus dengan mudah. Begitu juga dengan keberanian Mahathir berhadapan dengan kumpulan Al-Arqam, yang akhirnya menyebabkan para pemimpin utama jemaah Islam itu tersungkur di pintu Pusat Islam dan jemaah itu sendiri berkubur tanpa nesan (logo).

Sifat Terminator Mahathir tidak terhenti setakat itu. Di dalam partinya, Mahathir menjadi penentu kelangsungan karier politik mana-mana tokoh Umno. Sebilangan mereka yang, walau pun masih mampu aktif tetapi, tidak sehaluan dengan Mahathir sudah dianggap lenyap dari sebutan rakyat negara ini. Antara mereka ialah Datuk Shahrir Samad, Datuk Ajib Ahmad, Datin Paduka Rahmah Osman dan yang terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketiga belas: Bapa Mirzan
Setiap Perdana Menteri sebelum ini ada gelaran masing-masing. YTM Tunku Abdul Rahman digelar Bapa Malaysia atau Bapa Kemerdekaan, Tun Abdul Razak digelar Bapa Pembangunan, manakala Tun Hussein Onn disebut Bapa Perpaduan.

Belum ada sebarang gelaran bapa untuk Mahathir sebelum ini. Barangkali, atas sebab itu YB Ahli Parlimen Kubang Kerian, Haji Mohamad Sabu menggelarkan Mahathir sebagai Bapa Mirzan. Ia ada hubungkait yang rapat dengan apa yang didakwa sesetengah pihak sebagai keterlibatan Mahathir dalam mempengaruhi Petronas untuk membeli saham Konsortium Perkapalan Berhad (KPB) milik anaknya, Mirzan.

Sikap Mahathir yang terlalu membuka ruang untuk anak-anaknya mengumpul kekayaan melalui kemudahan kewangan dan peruntukan saham mendedahkan dirinya kepada fitnah.  Bahkan, Mahathir sendiri mempertahankan hak anak-anaknya untuk memperolehi apa yang mereka dapat.

Baginya, apa salah anak-anaknya menerima semua itu kerana mereka sememangnya berkelayakan seperti mana orang lain juga. Sedangkan ada antara anak-anaknya menggunakan alamat Seri Perdana (kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia) dalam membuat urusan perniagaan mereka. Apakah ada orang lain yang turut menggunakan alamat yang sama?

Selain Mirzan, anak-anak Mahathir yang lain seperti Marina, Mukhriz dan Mokhzani dikatakan hampir tidak menghadapi sebarang kepayahan untuk membina kejayaan dalam karier masing-masing. Payah juga Mahathir nak nafikan saham peribadi beliau atas kejayaan anak-anaknya itu.

Keempat belas: Godfather elit korporat
Ada dakwaan mengatakan di sebalik kejayaan beberapa tokoh korporat negara sekarang ini ialah pengensyuran dan pertolongan Mahathir. Semua orang tahu tentang hubungan akrab Mahathir dengan tauke-tauke korporat utama negara. Antara mereka ialah Halim Renong, Allahyarham Tan Sri Yahya Hicom, Tajuddin TNB, Tajuddin MAS, Salleh BSKL, Rashid Hussin dan lain-lain.

Senarai yang lebih panjang menampilkan pula nama-nama tauke Ananda Krishna, Eric Chia, Vincent Tan, Ting Pek Khing dan lain-lain. Agak sukar juga bagi Mahathir menangkis dakwaan bahawa beliau memang terlibat menjayakan elit korporat itu.

Kelima belas: Pencetus Kegawatan Ekonomi
Banyak analisa telah dibuat mengenai kegawatan ekonomi yang melanda negara kini oleh berbagai tokoh ekonomi dalam dan luar negara. Antara mereka meletakkan punca kegawatan yang berlaku ialah ketidakcekapan pentadbiran Mahathir menguruskan kewangan negara.

Tabiat suka berbelanja besar melalui projek mega dan mewah, amalan suka berhutang dan sifat suka menyalahkan institusi kewangan asing atas kepincangan ekonomi negara dikenalpasti menjadi punca-punca utama kegawatan kini. Siapa lagi yang paling bertanggungjawab atas kepincangan pentadbiran negara ini kalau tidak Mahathir?

Keenam belas: Penaung Budaya Hedonisme
Budaya hedonisme atau gemarkan hiburan dan kemewahan telah dikenalpasti sebagai salah satu baja kepada keruntuhan moral dan gejala sosial. Kajian Dr.Syed Azman Syed Ahmad (Universiti Malaya) dan Dr. Noraini Hashim (UIA) pada tahun 1996 lalu membuktikan bahawa hedonisme di kalangan remaja negara ini mempunyai hubungan rapat dengan penyalahgunaan  dadah, seks bebas, meminum arak, tidak menghiraukan ajaran agama dan lain-lain salah laku sosial.

Beberapa program anjuran kerajaan seperti Rakan Muda dan promosi pelancongan yang berlebihan didapati menjadi medan yang subur untuk pengembangan budaya ini. Program-program ini dibentuk sedemikian rupa agar para peserta terdedah kepada gaya hidup breakaway yang lepas bebas melangkaui apa jua batasan.

Kerajaan juga bertanggungjawab mempromosi konsert-konsert hiburan yang menonjolkan para artis dengan gaya hidup bebas masing-masing. Sebahagian mereka menjadi role model kepada para remaja. Kononnya gaya hidup mewah mereka itu sepatutnya menjadi ikutan rakyat negara ini.

Sebagai ketua negara, Mahathir kerap menjadi tetamu istimewa majlis-majlis hiburan dan program remaja itu. Beliau bukan sahaja tidak memperbetulkan mereka, malah memberi galakan agar lebih berkecimpung dalam apa yang mereka lakukan.

Ketujuh belas: Pengkhianat Perjuangan Melayu
Sudah tercatit sebagai sejarah bahawa pihak yang paling banyak melabelkan Mahathir sebagai pengkhianat perjuangan Melayu ialah para pemimpin bekas Parti Semangat 46. Apa yang mereka tidak kata kepada Mahathir mengenainya?

Mahathir dikatakan bertanggungjawab menghakis Hak Istimewa Orang-orang Melayu, terutama dalam bidang pendidikan, pemilikan tanah dan sebagainya. Mahathir juga dilihat sengaja menghakis Tanah Rizab Melayu di seluruh negara, atas nama pembangunan. 

Mahathir menjadi orang utama dalam mencabut kekebalan Raja-Raja Melayu yang dianggap simbol kekuatan bangsa Melayu. Mahathir dikira gagal mempertahankan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Paling penting bagi orang Umno (kerana merekalah yang paling sayangkan bangsa Melayu, kononnya) ialah langkah Umno di bawah Mahathir membuka keahlian parti itu kepada orang-orang bukan Melayu, termasuk rakyat berketurunan Siam, Portugis, dan lain-lain kaum Bumiputera di Sabah.

Kelapan belas: Pengkhianat Undang-undang    
Gelaran ini dianugerahkan kepada Mahathir oleh penulis politik Ainol Jamal pada tahun 1988 lalu, lewat bukunya dengan tajuk yang sama. Ia berlaku ekoran peristiwa pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abbas yang diikuti oleh penggantungan lima Hakim Mahkamah Agung.

Banyak pihak mempersoalkan prosedur tindakan ke atas para hakim berkenaan. Sebagai kesimpulan, banyak pula pihak meletakkan ia berpunca daripada political maneuver Mahathir di atas beberapa kepentingan tertentu.

Selepas peristiwa malang Julai 1988 itu, institusi kehakiman negara dilihat sudah tidak bebas lagi. Keputusan-keputusan beberapa kes penting dikatakan mengandungi unsur-unsur campurtangan politik.

Sehingga tersebar surat layang mempersoalkan kewibawaan institusi kehakiman negara dan mengaitkannya dengan peranan Mahathir dalam menentukan keputusan para hakim. Apakah Mahathir masih tidak layak menerima gelaran Pengkhianat Undang-undang?

Kesembilan belas: Jaguh Kelahi Antarabangsa
Kalau dalam setahun tidak ada apa-apa berita tentang pertelingkahan Mahathir dengan mana-mana pemimpin negara asing, kita terasa macam tidak berada di Malaysia pula. Mahu tidaknya, Bill Clinton dan Al Gore dari Amerika Syarikat, Cory Aquino dan Joe Estrada (Filipina), Kuan Yew dan Chok Tong (Singapura), Gareth Evans dan Paul Keating (Australia) semua mempunyai titik hitam dalam hidup mereka berhadapan dengan Mahathir.  Hal ini sudah tentunya menjadi pengetahuan umum rakyat negara masing-masing.

Tidak cukup dengan para pemimpin negara, tokoh-tokoh kewangan antarabangsa turut menjadi sparing partners Mahathir. Michael Camdessus dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan George Soros sebagai spekulator matawang, menjadi bahan balunan Mahathir, terutama dalam mempertanggungjawabkan kegawatan ekonomi yang melanda Malaysia.

Kadang-kadang terasa bimbang juga kita, kalau-kalau rakyat negara asing tersalah anggap kononnya rakyat Malaysia ini, termasuk kita semua, adalah kaki kelahi. Kalau itu berlaku, ia tentunya gara-gara perilaku Mahathir.

Kedua puluh: Terbilang Tapi Layak dibuang 
Kebanyakan gelaran-gelaran yang diberikan di atas barangkali hanyalah fitnah yang sengaja diwujudkan bertujuan discrediting Mahathir. Tentulah begitu anggapan orang-orang Umno tulen.

Bagaimana pula kalau dikatakan perilaku-perilaku yang disenaraikan itu pernah benar-benar menjadi kenyataan? Bahkan, sebahagiannya masih menjadi kenyataan.

Jika itulah hakikatnya, maka gelaran terakhir yang paling sesuai buat Dr. Mahathir ialah Perdana Menteri terbilang, tetapi sudah semakin layak untuk dibuang. Hanya rakyat yang berhak menentukan nasib Mahathir.

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala Editor Tarmizi Mohd Jam bertajuk "Talqin Buat Tuan Haji Mahathir", pada Jun 1999.)