Labels

Showing posts with label Makalah ISU. Show all posts
Showing posts with label Makalah ISU. Show all posts

Saturday, May 14, 2011

MENGGARAP ISU-ISU TERENGGANU (Merealisasikan Matlamat ‘PAS Ganti Umno’)

oleh: Mohd Nasir Awang


Muqodimah
Slogan ‘PAS Ganti Umno’ (PGU) telah menyebabkan para pemimpin Umno ‘tidak lena tidur’. Mereka bagaikan ‘cacing kepanasan’, amat terganggu dan cuba bangkit dengan pelbagai pendekatan menafikan keupayaan PAS mara mengembalikan kekuasaan di Terengganu.

Tekanan terhadap rakyat makin ditambah. Pantang ada peluang bertemu, rakyat akan diberi ‘amaran’ supaya jangan lupakan jasa kerajaan.
-         Berjumpa kakitangan kerajaan, mereka diberi ingatan ‘wajar kenang budi’ Barisan Nasional (BN) (BH 14.03.11);
-         sambil-sambil beri bantuan dana khas kepada penarik beca, mereka diingatkan supaya jadi agen menceritakan kebaikan kerajaan kepada pelancong (SH 05.09.10);
-         wartawan diingatkan supaya tulis laporan yang lebih condong kepada kerajaan;
-          penerima bantuan kena ingat kebaikan kerajaan;
-         penjawat awam jangan jadi api dalam sekam (SH 28.01.11), memburukkan kerajaan.

Antara kaedah digunakan Umno bagaimana pun seakan meniru PAS. Antara yang agak menonjol ialah program ‘My Geng BN’ yang ditaja Pemuda Umno khusus untuk menarik sokongan golongan muda (UM 15.03.11, SH 07.04.11). Ia bertujuan menyaingi program ‘Orang Mude Geng Kite’ (OMGK) ditaja Dewan Pemuda PAS.

Langkah PAS mempopularkan pemakaian t-shirt sama ada berlogo OMGK atau PGU turut membuahkan idea Umno mengagihkan jaket 1Malaysia.

Program Al-Falah dianjurkan PAS membabitkan gerakerja turun hingga ke peringkat Unit-Unit Peti Undi (UPU) juga merimaskan Umno. Yang paling dicemburuinya bukan sessi ceramah atau kempen dibuat PAS, tetapi agenda kebajikan di dalamnya, seperti membaiki rumah, menghulurkan sumbangan kepada MOSWA dan aktiviti membantu menyempurnakan keperluan penduduk setempat.

Lalu Umno dilihat memperkemaskan program Juara Rakyat dengan turut memasukkan agenda kebajikan. Seolah-olah program kebajikan sedia ada di bawah pelbagai jabatan dan agensi kerajaan (JKM, Maidam, dll) belum cukup menjamin rakyat terus menyokong Umno.

Ia juga secara berasingan menganjurkan program ‘Umno Masuk Kampung’, terutama menerusi Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, yang turut membabitkan aktiviti kebajikan.

Selain itu, Umno Terengganu turut memanfaatkan kaedah konvensional iaitu pentas ceramah di kampung-kampung untuk menyatakan pandangan dan memperjelaskan sesuatu isu. Seolah-olah segala serangan hampir setiap hari menerusi puluhan saluran media elektronik dan terbitan media cetak masih belum cukup.

Manakala seluruh badan dan pihak yang sealiran Umno dikerah (Perkasa, Warga Felda, Veteran ATM, Mubarak, artis – Eman Manan, trend PAS bawa selebriti, Bob Lokman dll) membantu menjulang kredibiliti BN.

Memahami Peranan Isu
Pada asasnya, maksud isu ialah sesuatu yang pada asalnya ‘biasa’ atau kecil bertukar menjadi ‘luar biasa’ atau besar dan mendapat perhatian umum setelah melalui proses cetusan, olahan dan reaksi.

Ertinya sesuatu yang pada asalnya ‘bukan isu’ boleh menjadi ‘isu’ sekiranya ia menjadi perhatian dan penerimaan umum. Contohnya: Penubuhan Unit Pembangunan Insan (UPI) oleh kerajaan PAS Terengganu, dengan tujuan dakwah dan tarbiyah masyarakat, tetapi di’isu’kan sebagai organ kempen dan propaganda PAS. Lalu segala perbelanjaan kerajaan untuk seluruh pengurusan dan aktivitinya dianggap ‘penyalahgunaan’ untuk parti.

Sebaliknya, sesuatu yang pada hakikatnya memang ‘isu’ boleh saja menjadi ‘bukan isu’ apabila ditenggelam dari perhatian dan percakapan umum. Contohnya: Umno roboh Masjid Bujal, Umno tidak laksanakan Hudud yang telah diwartakan di Terengganu, dll.

Jangan sekali-kali memandang remeh keupayaan sesuatu isu (termasuk yang dianggap kecil) untuk memberikan kesan kepada parti, sama ada positif mahu pun negatif.

Dengan pengolahan, penyampaian dan pendekatan yang berkesan, isu mampu menjadi faktor signifikan menentukan sikap dan pendirian masyarakat, seterusnya mendorong perubahan termasuk di pentas politik.

Sebab itu prestasi pencapaian parti-parti politik dalam mana-mana pilihan raya turut bergantung kepada isu atau perkara-perkara berkaitan permasalahan hidup dalam masyarakat. Sejauh mana keupayaan sesebuah parti memanipulasi isu-isu yang terdapat dalam masyarakat mampu menimbulkan kesan besar kepada corak sokongan para pengundi.

Memahami Hakikat Politik Terengganu
Ada beberapa hakikat perbezaan kedudukan politik antara PAS dan Umno yang sayugia diingati oleh para petugas penerangan parti di dalam usaha menghasilkan penyampaian berkesan dalam masyarakat.

Ia bertitik tolak daripada hakikat utama bahawa Barisan Nasional (BN)/ Umno adalah parti pemerintah yang menguasai segala aspek kehidupan, terutama kewangan dan kuasa pentadbiran. Menerusi kuasa itu ia mampu mencorak dan mengawal agen propaganda (seperti UKOM, Kemas, dsu), media, tenaga petugas, minda rakyat dan sebagainya.

Bersandarkan kelebihan itu juga Umno tidak memerlukan ‘gelombang’ atau perubahan berskala besar untuk mengekalkan kuasa. Ia hanya perlu mengkhususkan sasaran kecil bagi setiap isu, tetapi mengumpulnya menjadi besar menerusi ulangsiar atau munculnya isu-isu lain pula. (Contoh – isu DAP anti Islam, ketuanan Melayu, kafir baca al-Quran, kafir masuk masjid, bukan Islam beri salam, pemimpin PAS bercakap kasar, video seks, dakwaan liwat, pluralisme, penyatuan Melayu dll)

PAS pula parti yang ada hanya ‘gigi dan lidah’, dengan keupayaan serba terbatas (ceramah, akhbar dua terbitan seminggu (berbanding belasan terbitan sehari – BH, UM, NST, Star, Sun, dll) memihak Umno/BN) dan media siber yang capaiannya amat terbatas). PAS memang memerlukan ‘gelombang’ untuk mencipta perubahan besar. Untuk itu, ia perlu banyak bergantung kepada manipulasi isu-isu tertentu secara berterusan.

Bagaimana pun, ada banyak hakikat yang tidak memihak kepada PAS atau mampu menyulitkan kemaraan PAS. Antaranya ialah:

Pertama, perkara yang ‘okay’ dibuat Umno, tidak semestinya tidak mengapa jika dilakukan PAS. Pengalaman lalu: Kerajaan mengarahkan PBT menurunkan bendera parti; pertukaran pegawai kerajaan; memanfaatkan peruntukan jabatan/agensi kerajaan untuk memaut sokongan rakyat kepada parti pemerintah; menghalang pelajar Tabika Kemas – memunggah kelengkapan PASTI/mengunci balairaya; wakil rakyat pamerkan kehidupan mewah (tukar kereta, ubahsuai rumah, pakai kemas dll)

Contoh lain: Penjawat awam bercuti untuk kempen parti (contoh terbaru – PRK Tenang, suami calon PAS); Umno berkawan dengan MCA yang anti- Islam, tolak hudud dan Negara Islam berbanding kes PAS berbaik dengan DAP.

Reaksi PAS: Pertikaikan, “betulkah MCA, bahkan Umno sendiri lebih baik daripada DAP dalam menjaga Islam? Mana lebih anti-Islam, antara DAP dengan MCA? Seburuk-buruk DAP, penyokongnya tidak berdemonstrasi di depan pejabat PAS bantah hasrat laksana Hudud, tapi MCA sudah buat. Lagi pun pendirian DAP (Karpal Singh, secara tepatnya!) sudah berubah – sedia bincang Negara Islam PAS.

DAP dengan Umno bagaimana? Seburuk-buruk DAP, dah tiga tahun perintah Pulau Pinang, dia tak sodok masjid, tapi Umno Terengganu tak dan setahun kuasa semula, sodok dah Masjid Bujal. Kalau DAP buat pun, masih logik sebab dia bukan Islam, tapi Umno apa hal?

Umno nak Islam? Slogan Ulul Albab, tapi bab perintah, tolak Hudud yang telah diwartakan, kekal dengan peraturan lama, dan ambil idea perubahan kerajaan dari slogan ‘Lautan Biru’, idea penulis bukan Islam. DAP yang dikatakan anti-Islam, tak kata nak jadikan Pulau Pinang Ulul Albab tapi isytihar jadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai contoh teladan. Tak malu muka Umno?

DAP terima Islam bukti kejayaan PAS, baru beberapa tahun berkawan, sudah ada pemimpin DAP yang seronok berhujah merujuk al-Quran, berbanding MCA, Gerakan, MIC yang sudah puluhan tahun bersama Umno.

Persoalan ini sekadar dilontar agar pendengar berfikir. Jika pun tidak mampu menolak stigma ‘DAP tak mahu Islam’, sekurang-kurangnya timbul persoalan di minda pendengar bahawa MCA, bahkan Umno sendiri pun apa kurangnya jahat terhadap Islam?

Kedua, Umno berupaya menghulurkan berbagai bantuan untuk memaut sokongan rakyat. Justeru, jangan mudah menafikan (terutama secara mutlak) kebaikan dan bantuan Umno kepada rakyat. Penafian itu mudah dipatahkan Umno.

Sebaliknya, akui bantuan dan kebajikan dibuat Umno, tetapi persoalkan apakah memadai apa yang rakyat dapat berbanding yang sepatutnya mereka dapat? (Contoh - isu Felda, peruntukan SMA, sedangkan Umno kerajaan kaya – buat tu ratusan juta, ni ratusan juta.. rakyat apa dapat? Ada kampung baru dapat balairaya, jalan raya. Bagus, tetapi sepatutnya sudah lama...)

Ketiga, kemiskinan amat menghimpit hidup rakyat. Ada yang menangis menerima bantuan RM300, ada yang rasa Umno lah segala-gala apabila diberikan rumah. Contoh: Ibu lima anak sebak terima RM500, wang dalam beg yang dikelek hanya 30 sen sementara menunggu gaji awal bulan – SH 13.03.11, mangsa banjir di Kemasek).

Jadi jangan perlekeh pemberian Umno, terutama menghina dan mengutuk penerima sebagai ‘tidak bermaruah’, ‘menjual harga diri dengan RM300 setahun’ dan seumpamanya. Ia makin meliarkan kalangan tertentu daripada PAS, sedangkan mereka amat dipaksa keadaan untuk terima bantuan berkenaan.

Sebaliknya, persoalkan, ‘duit tu mari kocek Umno ke kerajaan? Kalau kerajaan, zaman PAS perintah dulu pun kita beri juga’.

Namun, ada juga beberapa hakikat yang memberi kelebihan kepada PAS, antaranya:

Pertama, pemimpin/ahli PAS (disebut ‘orang PAS’) lebih beragama berbanding ‘orang Umno’, pada kebanyakannya.
-         Kelebihan – menguasai masjid/surau, guru J-QAF, urusan jenazah/tahlil, dsu;
-         Pemimpin Umno di kelab malam, karaoke, rasuah, kaki projek, kaki seleweng
-         JKKK tidak amanah, pilih kasih (Buku – m/s 14);

Kedua, pemimpin PAS tak berbalah sesama sendiri, Umno bercakaran tak berkesudahan (Buku - m/s 15).
-         Sms ugut bunuh ke atas tiga Adun BN. Kes hingga kini belum selesai perbicaraannya.
-         Pengkalan Berangan naikkan pemidang di Bandar Marang desak tukar calon (SH 26 & 27.04.11);
-         Umno Besut berterusan desak Kompleks Imtiaz untuk Besut sahaja (BH 17.03.11); Sambutan 10 Tahun Imtiaz Besut tak jemput MB;
-         Warga Air Putih mahu anak jati jadi wakil rakyat (SH 11.03.11).

Ketiga, zaman pemerintahan PAS kehidupan rakyat jauh lebih aman dan selesa, terutama dalam aspek kehidupan beragama. PAS lebih menjaga Islam berbanding Umno. Buktinya, selepas Umno kembali berkuasa, berbagai gejala merosakkan wujud dalam masyarakat.
-         jenayah tidak terkawal (Ops payung pegawai pangkat tinggi PDRM turun sendiri ke tempat awam, terutama pasar dan pasar malam, edar risalah anti-jenayah (SH 04.04.11 & 23.04.11), kempen cegah jenayah ke sekolah (Sh 10.04.11), dll; harta masjid/surau pun tak selamat (peti besi Masjid Kg Raja; beduk Masjid Kg Dusun, Hulu Terengganu – HM 25.04.11)
-         maksiat tidak dicegah dengan serius – skuad sukarela berkad dan tidak, dipecat tak diganti, maksiat makin berleluasa, tak cukup tenaga pencegah;
-         pergaulan bebas, terutama di kalangan muda-mudi menyebabkan perzinaan. Perangkaan Anak Luar Nikah (Buku – m/s 48). Khusus untuk Terengganu, 2010 seramai 623 orang didaftar di JPN (SH, BH & HM 26.01.11). Bagaimana yang tidak didaftar? Tips of the iceberg – 1/8 yang zahir. Bayangkan betapa banyak kes yang lahir tanpa nyawa, dibuang atau digugurkan. Berapa pula kes perzinaan tidak termengandung? Kes Chukai (SH 25.03.11), anak bawah umur disangka demam rupanya sakit hendak bersalin.
-         Kes penyalahgunaan dadah semakin membimbangkan (Buku – m/s 44; SH 13.04.11)
-         Ajaran sesat: Ayah Pin hanya didakwa di zaman PAS, kini aktif kembali;
-         Kemakmuran: Masjid Jamek Chukai tiada bilal hingga guna azan tv (SH 05.01.11); surau Pasar Sura jadi port minum arak (SH 30.04.11);
-         urusan agama diberi perhatian serius: Elaun imam/bilal pertama kali dinaikkan zaman PAS; guru al-Quran baru naik dari RM150 ke RM300; penubuhan UPI, mubaligh dll;
-         operasi Ramadhan – PAS lancar Ihya’ Ramadhan, tarawih, tazkirah dll. Operasi tangakp orang tak puasa dipergiat. Kini, remaja berpasangan di taman, orang tidak puasa bebas membeli makanan, tetapi pihak berkuasa kata tiada maklumat. Sedangkan akhbar siar eksklusif restoran beroperasi jual makanan pagi seluruh negeri. Akhirnya Adun BN isytihar ‘rekod bersih’, tiada ditangkap.
-         Sikap sama dalam kes khurafat & bidaah. Adun sama (Tepoh) taja pertandingan pelita raya di hujung Ramadhan, bukan ajak rakyat pertingkat amal, ambil peluang cari Lailatul Qadar dsb. Adun Rantau Abang, Dungun taja pemuliharaan Batu Penyu (Buku – m/s 4), RM390,000. Sambutan Raya Enam, berjamu atas kubur yang sudah sepatutnya pupus, kembali dihidupkan).

Di zaman pemerintahan PAS, minat rakyat terhadap agama juga meningkat. Majlis ilmu di masjid dan surau bersemarak. Keadaan itu memupuk minat generasi muda menghayati agama, sehingga tidak cukup peruntukan kerajaan memenuhinya.

Sebaliknya, sekarang pelajar tidak berminat belajar agama. Subjek agama tidak menjadi pilihan di sekolah-sekolah, termasuk di sekolah-sekolah agama sendiri. Sehinggakan apabila dibuka peluang untuk pilih pengajian agama pun, tidak ramai pelajar yang sambut.

Contoh: Menurut satu maklumat (perbetulkan jika silap), Maidam tawar pembiayaan 100 tempat untuk program pengajian ulama pelapis di Timur Tengah dari pelajar-pelajar dengan keputusan terbaik subjek agama dari sekolah-sekolah kerajaan. Namun, yang mohon hanya 70 orang dan katanya hanya 50 yang akhirnya bersetuju pergi, walau pun kesemuanya layak dan lulus.

Kenapa minat terhadap pengajian agama kurang? Kerana Umno sudah burukkan pengajian agama, gambarkan lulusan pengajian Islam tak ‘cerah masa depan’, tak kompeten dari sudut ekonomi dll. Akibatnya, rakyat tidak marah Umno bunuh sekolah agama (SRAB).

Umno memang tidak bersungguh semarakkan minat masyarakat terhadap agama, termasuk menganjurkan program keagamaan di kalangan pelajar. Kes hadiah tilawah al-Quran anjuran JPNT RM10 (Rusila, Marang, SH 29.04.11) menguatkan hakikat bahawa promosi ke arah program agama amat memalukan. Hadiah ditawarkan amat tidak munasabah (Johan RM10, Naib RM7, T3 RM5).

Cuba bandingkan hadiah karnival tarik tali anjuran Pejabat Daerah di Dungun. Pertandingan nak dibuat Julai, 19 April sudah diiklan, hadiah menanti RM50,000 (SH 20.04.11). Pertandingan memancing selalunya tawar hadiah puluhan malah ratusan ringgit. Tanya PAS Cawangan Kg Baruh, Rhu Muda, ramai kanak-kanak turut serta, berapa nilai hadiah? Tentu bukan RM10 untuk Johan? (SH 17.04.11).

Pertandingan mencipta video pendek Liga Remaja Kreatif sekolah menengah anjuran Suruhanjaya Komunikasi & Multi Media (SKMM), hadiah peringkat negeri: Johan RM5K, Naib RM3K, T3 RM2K), beserta telefon bimbit setiap peserta dll.

Sudahlah murid tidak berminat, bersusah-payah pula ibu-bapa dan guru mendorong pelajar sertai tilawah, tiba-tiba hadiah diberikan sangat tidak sepadan, seolah-olah ia dilaksanakan semata-mata sekadar melepaskan arahan supaya ia dibuat.

PAS berusaha serius daulatkan Islam. Umno sekadar hiasan. Contoh: Kes Batu Bersurat. Kerajaan PAS nobatkan tamra itu sebagai bukti sejarah bahawa Terengganu pernah melaksanakan undang-undang Islam.

Umno turut anjurkan Seminar Batu Bersurat pada 28-29 Mac lalu (SH 03.04.11) dikelola Muzium Terengganu. Ia kali ketiga diadakan dan dijadikan acara tahunan. Sejumlah Profesor Dr dijemput membentang kajian dan pendapat. Apa resolusi utamanya? Batu Bersurat sebagai bukti penghayatan tulisan jawi dalam masyarakat Terengganu silam, Batu Bersurat pencetus pertumbuhan dan perkembangan Undang-Undang Melayu Lama (bukan undang-undang Islam?).

PAS dulu ajak rakyat, “Tengok Batu Bersurat, ingat Hukum Islam”. Umno ajar rakyat, “tengok Batu Bersurat, ingat tulisan jawi, ingat undang-undang Melayu Lama”. Itulah bezanya PAS dan Umno!

Keempat, kerajaan PAS tiada rekod perbelanjaan wang rakyat yang besar untuk pembangunan dan projek bermasalah atau cenderung kepada pembaziran, berbanding Umno.
-         Stadium SMZA RM260 juta runtuh (Buku – m/s 23)
-         Pangsapuri Ladang;
-         Parkir Bertingkat Batas Baru RM9.8 juta tidak mendapat sambutan (BH 28.03.11; Buku – m/s 33);
-         Kondo Rakyat Kuala Ibai (Buku – m/s 26;
-         Jertih Souq (Buku – m/s 36);
-         e-Book (mudah rosak, sukar dibaiki, terdedah salahguna: Buku - m/s 28)
-         Piala Monsun;
-         Itik Angsa suku juta ringgit. Paling murah RM750, hingga RM5,600 seekor (Buku – m/s 34);
-         Akuakultur Sungai Como gagal capai tahap sasaran (Buku – m/s 35)

Kelima, Umno tidak hirau dan tidak ambil pengajaran dari kesilapan lalu, terutama dalam menentukan keperluan membelanjakan wang rakyat untuk sesuatu projek kerajaan.
-         Tasik Kenyir bakal ulangi nasib pembangunan Pulau Wan Man & Pulau Duyong (Buku – m/s 30):  Belanja besar, manfaat untuk rakyat setempat tidak seberapa – contoh keluhan rakyat Pulau Duyong, keadaan ekonomi semasa penduduk Seberang Takir, Pulau Duyong, Pulau  Wan Man.
-         Projek T-Shoppe & T-Cafe bakal ulangi projek G-Mart. Rangkaian perniagaan kerajaan sering gagal.
-         Kilang vitato di Besut, bagaimana Nira Nipah yang tak dapat sambutan, tak capai hasrat? (UM 06.11.10). Dulu kilang gajus.

Keenam, tahap kecaknaan terhadap kemudahan asas dan keperluan rakyat. MB sendiri cakap wakil rakyat BN ramai tak cakna kebajikan rakyat (Buku – m/s 17). Banyak terabai di bawah Umno. Jika dulu kutuk kerajaan PAS gagal buat itu dan ini, sekarang kenapa tak selesaikan.
-         Isu bekalan air – Batangan, Marang, sejak enam tahun, tadah air pukul 3 -5 pagi; Kg Laut, KT berminggu mandi di masjid (HM 2.11.2010); guna sup, kuah kari pada kebakaran kantin SK Seb. Marang, bekalan air terputus (BH & HM 23.03.11);
-         Lampu limpah: Dipasang di taman & bandar yang sudah ada lampu jalan & lampu bangunan. Di kubur tak bubuh, susah nak kebumi malam (kes Kg Ibok, Kemaman – SH 19.03.11);
-         jambatan keperluan penduduk tak dibaiki. Contoh: Kg Jak & Kg Mali, Hulu Trg dah runtuh sejak lima tahun, rakyat jalan kaki ke kebun; jambatan uzur di Kg Bador, Hulu Terengganu, sukar ke kebun. Di Pulau Sekati, usung jenazah 1.5 kilometer, kenderaan terpaksa letak seberang jambatan nak runtuh.
-         Masih banyak kampung tak ada balairaya sebagai pusat aktiviti penduduk.
-         Muara sungai tak digali, nelayan tak dapat keluar cari rezeki – kes muara Sungai Kuala Baru, Penarik (BH 25.03.11) & Sungai Merchang, Marang (HM 28.05.11).
-         Kenaikan harga barangan kepelruan harian rakyat juga bukti kegagalan BN mengambilkira kepentingan dan kebajikan rakyat. SH 01.01.11 – 10.01.11

Ketujuh, tahap kemiskinan rakyat semakin memilukan. Exco Kebajikan, Ashaari Idris kata Terengganu di kedudukan kelima, bukan lagi kedua seperti didakwa PAS. MB dan Exco Yahya Khatib selar dakwaan PAS, Terengganu di tempat kedua (Sh 04.11.10). Nong Chik pula kata Terengganu paling tinggi jumlah keluarga miskin (Buku – m/s 52).

Katanya, Terengganu mempunyai paling ramai keluarga yang termasuk dalam kategori 'miskin tegar, miskin dan menghampiri kemiskinan' iaitu seramai 12, 193 keluarga.

Mana satu betul? Usah persoal kedudukan di tangga ke berapa. Itu tidak penting. Yang kita tahu rakyat memang susah. Ada yang ikat perut tak makan berhari-hari, tak jumpa nasi, makan macam-macam, anak berhenti sekolah kerana tak ada belanja atau terpaksa kerja bantu mak-ayah, ada yang tiap bulan tunggu bantuan, sampai menangis tengok RM300.

Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee mengakui jumlah penduduk termiskin di kawasan Parlimennya bertambah kepada 6,400 orang pada April 2010 berbanding hanya 1,000 orang sebelumnya (SH 04.10.10).

Exco Pelajaran, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman umum peruntukan RM12j beli seragam sekolah kepada 60,000 pelajar miskin (BH 20.12.10).

Kerap disiarkan media penduduk tinggal di pondok usang (beberapa contoh: Di Paka, terpaksa menumpang rumah jiran bila hujan (SH 23 November 2010); di Apek, Setiu, rumah tak ada bekalan air dan elektrik, masih macam zaman 60-an (SH 4 Nov. 2010); kanvas terbuang jadi atap rumah sementara tunggu bantuan (SH 28.10.10, Teluk Bidara) & (SH 20.10.10, Makam Lama, KT);

Kes Batangan, Marang (HM 4 November 2010) pula, suami ditinggalkan isteri & anak kecil yang balik rumah orang tua di Hulu Terenggnau kerana suami tak mampu belanja penyambungan paip air ke rumah, hingga masalah mandi, membasuh  dan memasak. Kos RM1,200 tak mampu keluarkan. Gaji hanya RM450 sebulan.

Umno gagal sediakan peluang kerja secukupnya. Kes 2,300 tawaran kerja, tapi 20,070 mohon. Hanya 30 peratus tawaran kerja perlukan diploma ke atas, 80 peratus peluang ditawarkan swasta. (SH 28.11.10). Kes ayah tiga anak dari Kemaman mati berlanggar pergi jahit kasut untuk lapor diri kerja buruh di kilang di Gebeng, Kuantan (HM 30.10.10) amat memilukan.

Rakyat tak ada kerja. Ada jual dadah kerana terdesak tampung perbelanjaan keluarga (HM 20.04.11), malah ada yg sanggup buat apa saja kerja, asal bunyi boleh dapat duit, terus cuba, termasuk masuk hutan cari cicak gekko sampai sesat kerana nak cari duit (MA 19.09.10).

Bolehkah PAS Ganti Umno?
Jawaban kepada soalan itu bergantung sejauh mana keupayaan kita memanipulasi isu-isu yang terdapat dalam masyarakat sehingga mampu membangkitkan kesedaran para pengundi untuk berubah.

Perlu diingat, di samping meuar-uarkan kegagalan pemerintahan Umno, PAS juga perlu tampil dengan ‘cadangan’ atau ‘idea’ penyelesaian meyakinkan. Mungkin sudah sampai masa kita mula melontarkan ceraian-ceraian manifesto parti.

Wajar juga disebut kebaikan dan kerja kebajikan dibuat parti (kutip derma tabung bantu mangsa kemalangan di Cerang Meliling SH 05.12.10); bantu pelajar ke Arab Saudi (SH 20.09.10),  walau tidak banyak, PAS gigih membantu dalam serba daif. Yg penting kesungguhan membantu orang susah; Al-Falah turun berbakti kpd masyarakat (SH 16.11.10 & 07.04.11); Nisa’ ABJZ kontra gejala sosial remaja (SH 20.01.11); lebih separuh elaun Adun Sura diberikan semula kepada rakyat (SH 25.01.11). Manakala Tabung Darul Iman diasaskan kerajaan PAS masih berfungsi hingga kini (BH 12.11.10).

Menghasilkan Penyampaian Terbaik
Secara mudahnya, sesuatu penyampaian yang paling berkesan ialah yang menepati kehendak prinsip 4W1H (Who, What, Where, When & How). Dalam ertikata lain pemilihan siapa akan berceramah di mana, membawa isu/tajuk apa dan bila serta bagaimana pelaksanaan majlis itu adalah aspek yang tidak wajar dipandang mudah oleh pihak penganjur.

Selain itu, aspek kesungguhan menjayakan majlis juga perlu ditekankan. Kalau Umno yang sudah berkuasa dan memiliki segala kekuatan pun tidak mengambil sikap sambil lewa mengadakan persiapan majlis-majlisnya, apakah wajar PAS yang berusaha memenangi hati rakyat memandang remeh aspek persiapan majlis? (Contoh: Poster, kalau boleh buat tajuk, tarik minat orang datang, persiapan tempat & alat siaraya biar gah dsb).

Semoga perjuangan ini mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah. Hasilnya, kita insya Allah akan dapat merealisasikan impian ‘PAS Ganti Umno’.

Wallahu a’lam bissawab. Wa ilaihil marja’u wal ma’ab.

(Kertaskerja ini dibentang pada majlis Taklimat Buku Jingga dan Isu-Iu Semasa, pada 14 Mei 2011 di Dewan Dato' Wan Abdul Muttalib, Kuala Ibai, Kuala Terengganu).

Thursday, April 17, 2003

Unsur agama yang keliru dalam filem Hindi


Oleh: Monawar Chowdhury

KATA orang kalau nak bertandang ke rumah orang Pantai Timur (khususnya Terengganu dan Kelantan), jangan pergi ke rumah mereka petang Jumaat dan Sabtu. Kalau pergi juga, anda akan merasa kecewa dengan tahap layanan tuan rumah.

Sebabnya? Kerana hampir seluruh isi rumah mereka di waktu itu ‘terlekat’ di hadapan kaca tv. Buat apa? Menonton filem Hindi!

Tanggapan di atas sebenarnya lebih berbentuk gurauan. Realitinya, masyarakat di sana sudah tentu tidak akan sampai ke peringkat tidak membuka pintu untuk kunjungan tetamu semata-mata kerana terikat dengan rancangan tv.

Pun begitu, tidak dinafikan bahawa masyarakat Pantai Timur sangat menggemari filem dan juga lagu-lagu Bollywood. Apa sebabnya, tidak dapat pula dipastikan. Nak dikatakan ia ada hubungkait dengan baka keturunan atau pengaruh nenek-moyang, kedua-dua negeri tersebut pada hakikatnya antara negeri paling rendah peratus penduduk berketurunan Benua India.

Apa pun sebab-musabab, itu sudah tidak penting lagi sekarang. Pokok perkaranya, filem dan lagu Bollywood sangat diminati masyarakat dewasa ini. Kita bukan bermaksud masyarakat Pantai Timur sahaja, malah seluruh negara semacam diserang “demam Bollywood”.

Dalam kebanyakan filem Hindi, unsur-unsur keagamaan sering dititikberatkan. Lebih tepat lagi, adat dan amalan masyarakat India berteraskan ajaran Hindu sering dipaparkan dalam babak-babak filem mereka.

Adat menyentuh kaki memohon restu orang tua, memakan manisan, memakaikan rakhi, melayur tangan atas api, menyembah dan berdoa di hadapan dewa-dewa serta upacara perkahwinan sudah menjadi asam-garam filem Hindi. Kesemua itu dilakukan menurut adat dan ajaran agama Hindu, anutan terbesar masyarakat India hari ini.

Ironisnya, pengarahan filem Bollywood kekadang semacam tidak menghiraukan aspek keagamaan di dalam pengolahan jalan cerita mereka. Kalaulah filem Bollywood itu dikatakan sebagai contoh penampilan masyarakat India, maka gambaran yang dapat diperhatikan, masyarakat India seolah-olah berpegangan sangat “longgar” terhadap agama mereka. Apakah mereka sememangnya bersikap “liberal” dalam beragama?

Cuba kita perhatikan beberapa contoh berikut. Dalam Dilwale Dulhanie Le Jayenge, watak wanita utama ialah Simran (lakonan Kajol), iaitu anak kepada peniaga India beragama Hindu yang menetap di Kota London. Amalan si bapa itu menyalakan lilin dan berdoa di hadapan api lilin sebaik tiba di kedainya setiap hari memberi gambaran jelas bahawa beliau adalah penganut Hindu. Begitu juga dengan gambaran suasana kehidupan seharian mereka di rumah, termasuk membaca mantera tumje chagedey di hadapan api.

Tetapi, dalam kunjungan Simran ke Eropah ada dipaparkan beliau bersama-sama rakannya, Raj (lakonan Shah Rukh Khan) memasuki sebuah gereja. Mereka bukan sahaja sekadar melawat, malahan Kajol sempat melutut di hadapan patung Jesus dan bertafakur serta membuat isyarat salib. Soalnya, Simran yang beragama Hindu itu “boleh” mengamalkan ajaran Kristian pada masa yang sama?

Contoh kedua dipetik dalam filem Kuch Kuch Hota Hai. Seorang anak perempuan kecil bernama Anjali (anak Rahul) pada asasnya difahamkan beragama Hindu. Ibunya, Tina (lakonan Rani Mukerji) yang meninggal dunia, dibakar mayatnya.

Manakala kehidupan Anjali seharian bersama neneknya dipenuhi dengan bacaan mantera tumje chagedey, doa di hadapan api dan dewa. Sahlah, gambaran yang cuba diberikan ialah Anjali seorang anak yang menganut agama Hindu.

Tiba-tiba sewaktu mengunjungi rumah Rifa’at Bi, yang dipaparkan sebagai beragama Islam, Anjali sempat melutut di hadapan naskah Al-Quran dan bermunajat. Gambaran yang cuba diberikan ialah Anjali memohon kepada Allah menyelamatkan hubungan bapanya (Rahul – lakonan Shah Rukh Khan) dan bekas kekasihnya, Anjali Sharma (lakonan Kajol).

Tujuan sebenar pengarahan cerita itu tambah diperkuatkan lagi dengan suara latar laungan azan yang dimainkan sewaktu Anjali sedang berdoa itu. Soalan lagi, apakah seorang Hindu dibolehkan berdoa mengikut cara Islam, dan menghadap kitab suci Al-Quran?

Dalam filem yang sama, Ram Lal yang memegang watak Kolonel Almeida ditampilkan sebagai beragama Kristian. Tetapi, dalam satu upacara sembahyang agama Hindu yang dikendalikan oleh emak Rahul di kem, Almeida dipaparkan mengambil bahagian sebagai pemuzik iringan upacara tersebut.

Tiga contoh pertentangan yang disebutkan itu sekadar berlaku di dalam filem. Ada pun hakikat sebenar antara yang berlaku di dalam filem dengan anutan agama para pelakon di luar filem amatlah tidak menyenangkan kita untuk membincangkannya.

Jelas sekali para pelakon terbabit mengenepikan sensitiviti beragama semata-mata kerana mahu menjayakan lakonan mereka. Cuba perhatikan contoh-contoh berikut.

Dalam Biwi No. 1, Salman Khan seorang yang beragama Islam bertindak sebagai pelakon utama bernama Prem. Kehidupan sehariannya selain ditemani isteri, dua anak dan ibunya, juga turut diserikan teman karibnya bernama Tiger, iaitu seekor ajing. Apa hukumnya seekor anjing bagi seorang Islam?

Prem pergi lebih jauh dalam lakonannya. Dalam satu babak, Prem bersama-sama dua anaknya melayangkan tapak tangan mereka di atas api lilin. Ia merupakan amalan penganut Hindu sebagai isyarat mengambil keberkatan.

Aksi seorang lagi superstar Bollywood beragama Islam iaitu Shah Rukh Khan tidak kurang juga hebatnya. Dalam filem Josh, Shah Rukh memegang watak Maxie, yang bersaudara kembar dengan Shamily (lakonan Aishwarya Rai).

Mereka adalah sepasang kembar dari keluarga beragama Kristian. Sepanjang cerita, Shah Rukh mengenakan rantai salib di tengkoknya. Apakah yang boleh anda katakan mengenai hal itu?

Kita kurang arif adakah agama Hindu membenarkan penganutnya melakonkan aksi ibadat menurut agama lain. Tetapi, kita agak pelik apabila Kajol (beragama Hindu) dalam filem Dilwale melakonkan babak tafakur di dalam gereja serta mengisyaratkan salib di dadanya.

Tulisan ini hanyalah sekadar kritikan seni dan tidak bermaksud menyentuh sensitiviti beragama. Sebagai peminat filem Hindi, kita merasa agak terhibur dengan lakonan dan irama yang dipaparkan oleh Bollywood. Namun, ia tidak sepatutnya menjadikan kita kalih dengan kekeliruan yang sering dipaparkan, terutama berkaitan kehidupan beragama dalam filem-filemnya.

(Artikel ini disiarkan booklet isu tidak berkala kolaborasi penulisan diterajui Tarmizi Mohd Jam, sekitar April 2003)

Wednesday, October 31, 2001

‘Surat Terbuka” di tepian jalan


Oleh: Abdul Rahim Din

SATU kaedah baru penyampaian maklumat kepada umum di Terengganu yang nampaknya semakin diminati oleh pati-parti politik ialah menerusi pemidang. Ia jelas menjadi suatu fenomena baru dalam kempen-kempen berterusan parti politik, khususnya Umno yang sudah bergelar pembangkang di negeri itu.

Sejak dulu-dulu pun, perkara memanfaatkan pemidang untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada umum telah pun digunapakai. Namun, yang dulu-dulu itu lebih banyak tertumpu keada soal mengiklankan sesuatu program atau mempromosikan sesuatu barangan. Kalau pun ada yang memaparkan sesuatu mesej khusus, ia amat jarang berlaku.

Barangkali kemenangan bergaya PAS menyembamkan muka Umno atas stage politik Terengganu dengan tumbukan knock-out (K.O.) dalam pilihan raya lalu telah menyebabkan fenomena itu tiba-tiba berubah.

Didorong oleh rasa geram, malu, marah dan dendam yang membuak-buak itu, Umno yang sudah bergelar pembangkang semakin ‘liar’ dalam meluahkan perasaan-perasaan yang terpendam itu. Saluran ‘surat terbuka’ mereka yang paling laris nampaknya ialah kain-kain pemidang.

Sedari awal pemerintahan PAS, sudah ada dilihat pemidang tertulis ‘Mana Hudud?’ Kerana, barangkali mereka sedar bahawa kerajaan yang naik menggantikan mereka adalah kerajaan yang berhasrat melaksanakan undang-undang Islam. Oleh kerana mereka mengaji tidak habis, maka apabila disebut undang-undang Islam, yang mereka tahu hanyalah Hudud!

Seperti biasa, PAS menggunakan saluran ceramahnya untuk memperjelaskan hal sebenar. Tambahan pula, dengan adanya kuasa pemerintahan, maka saluran kuliah agama di masjid-masjid, saluran bertulis melalui Warta Darul Iman, majlis-majlis dialog, diskusi dan seumpamanya menyediakan ruang yang cukup luas bagi para pemimpin PAS memperjelaskan persoalan itu.

Namun, tabiat orang yang sukar mengerti ini sememangnya akan sukar menerima penjelasan. Maka, apabila sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu meluluskan beberapa enakmen pelaksanaan syariah, gempar lagi soal ‘Mana Hudud?’ itu. Hampir setiap daerah dipasangkan pemidang, ‘Undang-Undang Islam Terengganu – Mana Hudud?’ Itulah gambaran sempitnya pemikiran mereka.

Barangkali perang pemidang paling dahsyat yang pernah disaksikan oleh rakyat Terengganu berlaku sejurus selepas tercetusnya peristiwa rompakan royalti minyak oleh kerajaan Pusat.

Dari situlah terhasilnya puluhan pemidang dengan berbagai rangkap oleh ahli dan penyokong kerajaan. Antaranya berbunyi, ‘Ehsan: BN Tiru IMF’, ‘BN Cabul Maruah Rakyat Terengganu’, ‘Royalti Hak Rakyat Terengganu, Bukan Hak Mak-Bapak Umno’, ‘Jangan Cabuli Hak Kerajaan Pilihan Rakyat Terengganu’, ‘Royalti: Kami Bersama Tok Guru’, ‘Royalti Yes, Ehsan No!’ dan berbagai lagi.

Sejurus kemudian, ada pula pihak yang membalas dengan mesej tertulis, antaranya, ‘Ehsan: Elak PAS Salahguna Wang Rakyat’, ‘Royalti Hak Rakyat, Bukan Hak PAS’, ‘Royalti: Mana Pergi RM432 juta?’ dan masih sempat diselit mesej partinya, ‘Wang Ehsan: Bukti BN Membela Rakyat’.

Namun, segala mesej perang itu akhirnya disimpulkan oleh pemidang yang lebih besar dari yang lain, dengan mesej jelas, ‘Royalti Bukan Hak PAS, Bukan Hak Umno. Royalti Hak Rakyat Terengganu’.

‘Surat Terbuka’ itu lama-kelamaan lusuh ditelan cuaca, sehinggalah ia ditukar dengan yang baru pula. Sekali lagi ia bermula gara-gara tindakan kerajaan BN. Kali ini ekoran pengharaman mengeluarkan permit ceramah kepada parti-parti politik.

‘Haram Ceramah... Umno Takut Bayang-bayang!!’, kata sebuah pemidang yang tertera dari Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Selang beberapa hari selepas itu, terpacak pula bersebelahannya pemidang lain tertulis, ‘Haram Ceramah... Elak PAS Kutip Pitis Rakyat!’

Terfikir juga kita untuk membalasnya begini, ‘Nak Selamat Pitis Rakyat? Kuburkan Umno!’ Sebabnya, yang ‘merompak’ pitis rakyat selama ini siapa?

Kekadang, mesej yang tertera pada ‘Surat Terbuka’ itu juga turut menyerlahkan kedunguan pembikinnya. Misalnya, satu pemidang itu menulis, ‘PAS Bukan Agama, PAS Parti Politik’. Sudah tentu sekali baca sahaja orang akan kata bahawa penulis itu adalah budak hingusan yang baru nak kenal Alif-Ba-Ta politik Malaysia. Kerana, tanya siapa sahaja pun dalam negara ini, takkan ada yang tergamak mengatakan PAS itu agama. Semua yang terlibat dengan politik atau ada ilmu politik tahu bahawa PAS adalah parti politik.

Ada pihak yang geram, lalu menjawab, ‘Umno Bukan Melayu, Umno Anti-Islam’. Barangkali mesej yang nak disebutnya bahawa Umno bukan lagi parti Melayu sebagaimana yang didakwa selama ini. Dalam Umno ada Siam (Perlis), Portugis (Melaka), ada Bumiputera dan Cina (Malaysia Timur). Nak kata Umno itu parti Islam, selisih malaikat 44!

Perang ‘Surat Terbuka’ di tepian jalanan ini sudah tentu suatu yang sukar ditentukan natijahnya. Sudah tentu ia ada baik-buruknya. Ada yang menganggap ia sebagai bukti keterbukaan Pihak Berkuasa Tempatan di bawah pemerintahan sekarang. Kerana, kalau di bawah kerajaan dulu, sudah tentu kain pemidang itu direntap dalam masa 24 jam saja. Ada juga yang melihatnya secara tidak langsung sebagai medan pertukaran idea atau buah fikiran.

Apa pun penilaian orang, apa yang jelas, kehadiran ‘Surat-surat Terbuka’ itu sekurang-kurangnya menceriakan minda para pengguna jalan raya, terutama bagi mereka yang penat meredah perjalanan yang panjang di bumi Darul Iman ini.

(Artikel ini disiarkan buletin Al-Balagh, 31 Oktober 2001)

Saturday, August 18, 2001

Baru sedar keburukan budaya muzik?


Oleh: Mohd Nasir Awang

ISU penyelewengan akidah melalui persembahan genre muzik ‘black metal’ sebenarnya bukanlah isu baru. Berita Harian 22 Mei 1992 pernah mendedahkan berlaku penyebaran album lagu ‘thrash’ dan ‘death metal’ persembahan artis Barat di Kuala Lumpur, yang memaparkan kulit album bergambar lucah dan isi album mengandungi lirik menghina Islam dan Allah Ta’ala.

Antaranya lagu berjudul For They Shall Be Slain. Dalam liriknya, antara lain menyebutkan: Cursed are the slaves of Islam. For They shall be slain. Religion of the lowest minds. Allah is dead. (Terjemahan: Disumpah hamba-hamba Islam, Kerana mereka akan disembelih. Agama orang-orang berfikiran dangkal. Allah itu mati.)

Astaghfirullah al-Azim! Malangnya, di negara ini penguatkuasaan undang-undang menghukum orang yang menghina Islam adalah kabur, tidak jelas dan tidak menggerunkan orang melakukannya. Tambahan pula, terdapat ketidakseriusan yang sangat nyata di kalangan pihak bertanggungjawab dalam menangani kes-kes seumpama ini. Sedangkan kesan daripada penularan budaya seumpama itu amatlah membimbangkan, terutama di kalangan remaja.

Khalayak budaya popular di dalam mana-mana masyarakat sebahagian besarnya adalah remaja. Sebab itu mereka berperanan besar mencorakkan budaya yang diinginkan dalam kehidupan seharian. Dari gaya berhibur, berjalan, berpakaian sehinggalah cara bercakap, semuanya adalah hasil daripada satu proses pembudayaan yang berlaku di kalangan remaja.

Kebetulan pula, bangsa Melayu memang terkenal dengan sikap mudah meniru tanpa meneliti sejarah asal-usul atau latar belakang sesuatu budaya yang ditiru itu. Muzik misalnya adalah salah satu media hiburan yang paling cepat ditiru oleh kebanyakan remaja kita. Keadaan ini menyebabkan muzik yang pada asalnya hanya dianggap sebagai hiburan telah mendapat peranan tersendiri sebagai komponen penting budaya popular dalam masyarakat.

Elok juga diteliti asal-usul dan kesan buruk beberapa genre muzik yang wujud di seluruh dunia kini. Muzik rap dan hip-hop misalnya tidak sekadar muzik untuk hiburan seperti tanggapan kebanyakan remaja kita. Rap tidak sekadar menyanyi tergagap-gagap atau berseluar di paras lutut, berjalan terhinjut-hinjut, berbaju T atau memakai topi bermuncung terbalik. Rap dan hip-hop asalnya menjadi premis kepada remaja kuilit hitam di Amerika memprotes sistem sosial yang rasisme.

Rap menjadi wadah atau alat ekspresi politik remaja African-American yang hidup dalam suasana yang terpinggir dalam masyarakat kulit putih. Ekspresi ini dilebih-lebihkan menerusi gerak semasa menyanyi dan terbawa-bawa dalam menjalani sosial seharian. Sebab itu ada pengkaji budaya popular menggelarkan rap sebagai CNN of Black People. (CNN adalah singkatan kepada Cable News Network, sebuah saluran tv sangat popular di negara itu.)

Lirik dalam lagu-lagu reggae pula telah dikenalpasti oleh para penganalisis sosial di negara-negara Kepulauan Carribean sebagai salah satu punca utama yang menyumbang kepada peningkatan jenayah di kalangan remaja. Unsur-unsur keganasan, kehidupan lepas-bebas bersama dadah, pembunuhan, rogol dan rompakan dikatakan banyak diterapkan melalui lirik lagu-lagu reggae, yang merupakan irama muzik kegemaran masyarakat beberapa negara kepulauan itu.

Dunia juga memperakui betapa besarnya kesan pembudayaan Woodstock terhadap masyarakat dunia ini. Woodstock adalah perhimpunan tahunan bersandarkan pesta seni dan muzik yang berlangsung selama tiga hari tiga malam. Ia telah dimulakan pada 15 Ogos 1969 di Sullivan County, Amerika Syarikat. Prinsip utama Woodstock ialah berfikiran terbuka, seks bebas dan menggunakan dadah, kerana semuanya dibolehkan di pesta terbesar di dunia itu.

Acara tradisi Woodstock bukan sahaja memukau 450,000 pengunjungnya, malah telah berjaya menjana seks bebas dan dadah di seluruh dunia. Ia telah melahirkan budaya baru yang merebak ke seluruh dunia dengan pantas sekali iaitu hippies.

Di negara kita sendiri, usaha-usaha bagi menghidup dan menyuburkan ‘budaya kuning’ sebegini juga rancak dijalankan. Sebab itu kumpulan-kumpulan muzik rock yang bertaraf antarabangsa sering dibawa masuk bagi memerangkap secara halus generasi muda untuk mendukung budaya sesat sebegini.

Kajian kes oleh dua orang pensyarah universiti tempatan ke atas Konsert Scorpions di Stadium Merdeka anjuran sebuah syarikat rokok terkemuka di negara ini pada 11 September 1996 lalu boleh dijadikan contoh. Dr. Syed Azman Syed Ahmad dari Universiti Malaya dan Dr. Noraini Hashim (Universiti Islam Antarabangsa) beserta para pembantu mereka telah menemubual 269 orang remaja Melayu yang menghadiri konsert berkenaan.

Hasil kajian menunjukkan bahawa ada kaitan rapat antara pengaruh budaya rock dengan gejala keruntuhan moral di kalangan remaja Melayu. Antara statistik yang diperolehi hasil temubual langsung dengan golongan remaja terbabit ialah 91 peratus daripada mereka mengaku tidak sembahyang, 81% menghisap rokok, 53% pernah mengambil dadah, 54% pernah meminum arak, 32% pernah berjudi, 67% mengaku pernah menonton filem lucah dan 28% mengaku terlibat dengan hubungan seks bebas.

Malangnya, hasil kajian kes tersebut telah dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu, terutama para pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN). Malah, di dalam memberikan reaksi terhadap beberapa kumpulan aktivis PAS yang sering mengadakan demonstrasi aman membantah konsert rock di tempat mereka, beberapa menteri pernah memberikan jawaban sinis. Antara mereka ada yang berkata: “Kalau dah tak minat, tak payahlah datang tengok! Jangan nak halang orang lain pulak!”

Begitu juga apabila kerajaan dua negeri di Pantai Timur yang diperintah PAS bertegas mengharamkan konsert hiburan, berbagai komentar negatif dilemparkan. Dengan kes terbaru black metal itu sudah sepatutnya pihak yang selama ini terlalu negatif itu perlu memikirkan kembali pendirian mereka.

Terimalah hakikat bahawa dunia muzik yang ada di hadapan kita sekarang bukannya dipersembahkan oleh Tan Sri P. Ramlee, Sudirman, Datuk M. Daud Kilau atau Datin Rafeah Buang dengan dendangan lagu-lagu yang berunsur nasihat. Yang ada ialah muzik cacamarba dan haru-biru yang berkait rapat pula dengan berbagai gejala tidak sihat di dalam masyarakat. Kalau nak sedar pun, sedarlah!

(Artikel ini disiarkan buletin Al-Balagh, edisi 18 Ogos 2001. Buletin ini ialah terbitan tidak berkala oleh Lajnah Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu)