Sunday, August 30, 2009

Moral politik BN tersungkur di Permatang Pasir


Oleh: MOHD NASIR AWANG

BAGAI diduga lebih awal, PAS tidak menghadapi masalah besar mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir, Pulau Pinang. Dalam pilihan raya kecil Selasa (25 Ogos) lalu, calon PAS, Mohd Salleh Man berjaya mengenepikan cabaran calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman dengan majoriti 4,551 undi. Mohd Salleh memperolehi 9,618 undi manakala Rohaizat mendapat 5,067 undi.

Kemenangan itu membawa erti sangat besar buat PAS. Ia bukan sekadar atas nama mengekalkan kerusi milik parti itu sejak 1999, malah menjadi menyambung talian hayat PAS di Pulau Pinang.

Dun Permatang Pasir adalah satu-satunya kerusi yang mampu dimenangi parti itu dalam klimaks kemaraan parti-parti pembangkang menumpaskan BN tahun lalu. Selaku kerusi tunggal PAS, Permatang Pasir adalah lambang survival politiknya dari sudut penguasaan kerusi di negeri dikuasai DAP itu.

Kejayaan itu juga menjadi penebus moral politik PAS yang terhakis teruk akibat prestasi mengaibkan parti itu di Manek Urai, Kelantan, bulan lalu. Meski pun masih mengekalkan kemenangan, majoriti sangat tipis 65 undi diraihnya bukan suatu yang membanggakan. Apatah lagi gerakerja PAS dalam pilihan raya itu turut dilatari berbagai perlakuan dan sikap yang dipertikaikan kalangan sesama ahli dan pendukung parti itu sendiri.

Harus diakui Manek Urai memberikan kemenangan moral sangat tinggi kepada BN, terutama mengambilkira status parti itu selaku pembangkang di negeri dikuasai PAS selama 19 tahun itu. Moral politik itu dijaja dan dijadikan perangsang utama BN di Permatang Pasir.

Dalam konteks itu, kemenangan PAS Selasa lalu bakal menamatkan keghairahan BN memanfaatkan momentum kemaraan memberangsangkan parti itu di Manek Urai tempohari. Barangkali selepas ini para pemimpin BN tidak akan lagi menjadikan Manek Urai sebagai bukti pemulihan kepercayaan rakyat terhadapnya.

Sememangnya BN mengharapkan sesuatu sangat positif baginya di Permatang Pasir. Ia tahu hanya keajaiban seumpama tsunami pilitik 2004 lalu yang memungkinkan BN merampas kerusi itu dari PAS. Menyedari hakikat itu para pemimpinnya tidak begitu ghairah meletakkan sasaran memenanginya, tetapi sekadar menyatakan komitmen memberikan tentangan sengit terhadap PAS.

Sebarang kejayaan BN menghakis pengaruh pembangkang di situ akan dianggap kejayaan besar. Paling utama ia akan dilihat mencemarkan moral politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Permatang Pasir adalah salah satu di antara Dun dalam Permatang Pauh, kubu politik Anwar.

Justeru, apa yang dipertaruhkan Selasa lalu bukan sahaja survival dan moral politik PAS. Ia sebenarnya turut mempertaruhkan moral Anwar secara khusus dan Pakatan Rakyat yang memerintah negeri itu secara amnya.

Malangnya kejayaan diharapkan BN itu tidak menjelma Selasa lalu. Ia sekadar mampu mengurangkan undi diraih PAS sekaligus menurunkan jumlah undi majoriti kemenangan. Namun itu tidak boleh dianggap satu kejayaan BN, memandangkan undi dipungut calonnya juga merosot. Punca sebenar ialah kemerosotan jumlah pemilih yang keluar mengundi.

Dalam pilihan raya umum Mac 2008, calon PAS, Allahyarham (Datuk) Mohd Hamdan Abdul Rahman menewaskan calon BN, Mohd Shahar Shuib dengan majoriti 5,433. Calon PAS itu memperolehi 11,004 undi berbanding calon BN yang memungut 5,571.

Ketika itu jumlah keluar mengundi adalah 16,803 atau 82.57 peratus daripada 20,350 pemilih berdaftar. Selasa lalu, jumlah pemilih yang melaksanakan tanggungjawab hanya 14,768 atau 73.1 peratus daripada 20,290 pemilih berdaftar.

Banyak faktor boleh dikaitkan dengan kemerosotan itu. Ia mungkin ada kena-mengena dengan bulan puasa, faktor pengundian di hari bekerja atau pengundi yang tinggal di luar kawasan tidak pulang. Faktor keyakinan pengundi PAS atas kemampuan parti itu mengalahkan BN juga satu kemungkinan.

Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN menyatakan akan meneliti faktor-faktor kekalahan partinya, dua pemimpin utama parti itu tanpa tangguh meletakkan kesalahan kepada pengundi Permatang Pasir.

“Pengundi di kawasan ini tidak mempunyai keinginan untuk membangunkan Permatang Pasir seperti ditawarkan BN”, ulas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau sekaligus menyalahkan sikap pengundi yang dianggapnya tidak mahukan perubahan.

Turut mengecam pengundi ialah Naib Presiden merangkap Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kelalahan BN baginya membuktikan penduduk di situ enggan menerima tawaran BN menjadikan kawasan mereka ‘anak emas’.

“Orang Permatang Pasir mahu tetap begitu keadaannya. Mereka tidak perlukan perubahan dan pembangunan, maka kita kena terima”, ujarnya sinis.

Nada kecewa dua pemimpin utama BN itu adalah isyarat jelas hakisan moral politik menimpa parti itu. Ia bukan sahaja gagal memperbaiki rekod kekalahan memalukan di tangan Pakatan Rakyat dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini, malah turut terpukul apabila taktik dan strateginya yang tidak bermoral akhirnya ditolak pengundi.

Selain janji menjadikan Permatang Pasir sebagai ‘anak emas’ yang dilatari lagu-lagu pilu kemunduran dan kemiskinan, kempen BN turut dipalitkan beberapa kes yang dianggap strategi politik tidak bermoral. Antaranya, penahanan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan di hari penamaan calon dan pengisytiharan Adun Lunas keluar parti.

BN juga berhadapan isu moral sedari awal apabila menamakan seorang yang dipertikaikan integritinya sebagai calon. Selain isu firma guamannya yang diakui Majlis Peguam mempunyai rekod pecah amanah, Rohaizat juga dikaitkan dengan pembohongan dalam kes kahwin dua.

Kelemahan peribadi calonnya meletakkan BN dalam keadaan “memikul biawak hidup” sejak awal kempen. Ia mengulangi kesilapan serupa di Kuala Terengganu, Januari lalu apabila terpaksa menghabiskan banyak masa “membersihkan” peribadi calonnya, sekaligus menumpulkan serangan terhadap musuh.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, 30 Ogos-5 September 2009 di ruangan ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Sunday, August 23, 2009

Hanya Umno tidak terpinggir dalam BN


Oleh: MOHD NASIR AWANG

UMNO dan Barisan Nasional (BN) kecewa lagi dalam usahanya memecahbelahkan kepaduan pakatan pembangkang. Kegagalannya memanipulasi percanggahan antara para pemimpin PAS dan DAP berhubung isu penjualan arak di Selangor baru-baru ini membantutkan serakah politiknya merampas semula kerajaan negeri itu dari Pakatan Rakyat (PR).

Bukan itu saja, campurtangan berlebihan dan reaksi mengada-ngada beberapa khalayak Umno dalam mengeruhkan isu berkenaan kembali memakan diri parti itu. Umno yang memiliki rekod sangat panjang menerajui kerajaan Selangor mungkin mahu membakulkan kemelut penjualan arak itu ke atas kerajaan kini.

Namun siapa akan menolak jika dikatakan masalah itu sebenarnya telah wujud sebelum ini dan gagal ditangani kerajaan pimpinan Umno? Maka apabila Umno memperbesarkan isu itu, bukankah ia sebenarnya membuka pekung dan tokak tinggalannya sendiri?

PAS Selangor pada 4 Ogos menuntut kerajaan negeri menilai semula jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan yang disandang seorang Adun DAP. Ia ekoran tindakan Exco berkenaan dalam beberapa kes yang dilihat campurtangan sehingga menggagalkan tindakan pihak berkuasa tempatan melakukan operasi menghalang arak dijual kepada orang Islam, terutama di kawasan bermajoriti penduduk Islam.

Isu itu dimanipulasi sepenuhnya oleh Umno/BN bagi mengeruhkan keadaan. Usaha itu seakan membungakan hasil apabila bantahan PAS bukan sahaja ditolak mentah DAP, malah turut tidak diraikan Menteri Besar Selangor dari Parti Keadilan Ralyat (PKR).

Perkembangan itu bagaikan 'pucuk dicita ulam mendatang' buat para pemimpin Umno. Mereka mengambil kesempatan melanyak dan cuba mengapikan kekecewaan PAS atas isu itu. PAS dilabelkan terpinggir apabila suaranya tidak diendahkan rakan-rakan dalam PR. Parti itu didakwa sudah tidak dominan dan wajar mengkaji semula kedudukannya dalam gabungan pemerintah negeri itu.

Namun, bagai yang sering disebut, manusia merancang dan Allah Taala juga merancang. Pertikaian itu akhirnya menemui penyelesaian yang dapat diterima kesemua pihak, terutama PAS dan DAP. Sebaliknya, Umno sekali lagi terpukul apabila kelantangannya membantah penjualan arak tidak konsisten dengan tindakannya di beberapa negeri diterajuinya.

Beberapa pemimpin tertentu yang bercakap tentang PAS terpinggir dan tidak dominan itu turut ditimpa bahananya. Ada hikmat sangat besar Allah Taala memilih orang-orang bernama Datuk Seri Mohd Ali Rustam dari Melaka, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Ketua Pemuda Umno) dan Datuk Rosol Wahid (Terengganu) dari ribuan pemimpin Umno. Tiga pemimpin inilah paling awal mendakwa PAS sudah terpinggir dan tidak dominan, seraya menggesa parti itu keluar PR.

Pengalaman politik ketiga-tiga mereka dalam parti dan kerajaan memudahkan PAS ‘memulangkan paku buah keras’. Tidak sukar dibuktikan ketiga-tiga mereka sebenarnya jauh lebih terpinggir berbanding apa dialami PAS.

Pemimpin Melaka itu dipencilkan partinya ekoran isu politik wang pemilihan jawatan Timbalan Presiden Umno. Daripada berjawatan Naib Presiden, kini dia tiada apa-apa jawatan penting lagi di peringkat nasional.

Seorang lagi, walau pun menang Ketua Pemuda Umno, tetapi dipinggirkan dalam senarai Kabinet. Sedangkan timbalannya dapat juga merasa menjadi timbalan menteri.

Yang di Terengganu itu pula sebelum ini menjadi anggota Exco negeri dan Setiausaha Umno negeri. Kini dia bukan sahaja tidak dilantik semula mengisi dua jawatan penting itu, malah turut disingkirkan dari jawatan timbalan ketua Umno bahagiannya.

Mereka bertiga sebenarnya yang terpinggir dalam parti Umno dan kerajaan BN. Jika mereka begitu celupar meminta PAS keluar PAS atas dakwaan terpinggir dan tidak dominan, maka yang lebih layak keluar Umno dan BN ialah mereka sendiri.

Bukan sahaja mereka bertiga, malah penyakit terpinggir dan tidak dihargai turut menghinggapi sebilangan pemimpin lain dalam Umno. Nasib serupa turut kita dengar diluahkan para pemimpin parti-parti komponen BN.

Tahun lalu ada suara-suara lantang dari wakil-wakil rakyat BN Malaysia Timur. Mereka mendakwa negeri mereka terpinggir dan tersisih dari arus pembangunan negara. Mereka merasa seolah-olah masih menumpang di sebuah rumah besar kerajaan BN.

“Apa guna kalau duduk di banglo (BN) tapi sesetengah orang (saja) yang menikmatinya. Kita dalam banglo pun tinggal di tepi tandas saja”, ucap Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman di Dewan Rakyat, 7 Mei 2008.

Ucapan senada itu turut disuarakan beberapa Ahli Parlimen BN dari kedua-dua negeri itu. Suara mereka dianggap mewakili kesemua parti komponen BN di Sabah dan Sarawak.

Ketika memuncaknya isu perkauman ekoran ucapan seorang ketua Umno bahagian di Pulau Pinang, September tahun lalu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyifatkan Umno terlalu dominan dan seakan meminggirkan pandangan dan kepentingan parti-parti lain dalam BN.

Gerakan mengugut meninggalkan BN sekiranya Umno tidak mengubah sikap dalam menerajui gabungan itu. Pemuda MCA juga mendesak partinya mengkaji semula kedudukan dalam BN sekiranya Umno terus dengan sikap terlalu mendominasi segala perkara.

Akibat hilang kepercayaan terhadap Umno, khususnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Parti Maju Sabah (SAPP) mengisytiharkan keluar daripada BN, 17 September 2008.

Beberapa kes disebutkan itu hanyalah sebilangan contoh pertikaian dalaman BN. Jadi jika pemimpin Umno menyeru PAS yang didakwa terpinggir dan tidak dominan mengkaji semula kedudukannya dalam PR, maka seruan itu juga layak ditujukan kepada semua parti komponen BN selain Umno.

Hanya Umno yang dominan dan tidak terpinggir dalam BN. Maka hanya Umno layak terus kekal dalam gabungan itu.

 Elok sangat jika semua parti komponen lain menarik diri dari BN, biar gabungan itu mati kering. Akhirnya Umno yang asalnya tulang belakang BN akan jadi tulang kering!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 23-29 Ogos 2009 di kolum ‘perspektif’ dnegan tajuk sama)

Friday, August 21, 2009

Amanah sangatkah Umno pada bangsanya?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

KHIANAT! Khianat! Khianat! Bagaikan nak termuntah rakyat mendengar kalimah itu diulang sebuat, dilaung dan ditempikkan lewat perhimpunan-perhimpunan haram. Media cetak pula dalam seminggu dua ini seolah-olah tidak ada tajuk lain lebih sensasi berbanding isu khianat itu. Cerita sekitar isu itu diulanglapor, disorot dan diulas berjela-jela.

Para pemimpin Umno berlumba-lumba menempikkan kononnya Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah pengkhianat bangsa Melayu. Yang mula melaungkan label itu tidak lain dari Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apa perkara besar telah Anwar lakukan sehingga dia layak dilabel pengkhianat? Di antara alasan utama Muhyiddin melontarkan label itu ialah kerana Anwar didakwa mendalangi perhimpunan menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), awal bulan ini.

Sementara dakwaan itu masih tertakluk kepada pertikaian, kita turut melihat kes itu tidak munasabah untuk disabitkan seseorang yang terlibat sebagai pengkhianat bangsa dan negara.

Mengukur kesetiaan seseorang terhadap negara dan bangsa hanya berdasarkan satu kejadian membabitkan pertikaian undang-undang adalah terlalu simplistik. Ia satu penghakiman amat dangkal dan menggambarkan sikap kebudakan sebilangan pemimpin Umno.

Lawan kepada sifat khianat ialah amanah. Seseorang yang khianat ertinya seorang yang tidak menunai atau menyempurnakan amanah diberikan kepadanya. Sebaliknya, seseorang yang tidak khianat, atau melabelkan pihak lawannya sebagai khianat, sepatutnya menyerlahkan sifat amanah pada dirinya.

Dalam keadaan para pemimpin Umno sibuk dan ghairah meneriakkan Anwar pengkhianat, maka apakah Umno itu sendiri sangat amanah terhadap bangsanya? Maaf cakap, fakta dan hakikat terakam dalam lipatan sejarah negara tidak begitu menyebelahi parti Melayu itu.

Setelah lebih setengah abad Umno berdiri sebagai tulang belakang kerajaan, semakin menyerlah kegagalan parti itu menyempurnakan amanah bangsa dan negara kepadanya.

Tidak payah kita berbicara soal sangat luas bagi membuktikannya. Sudah cukup jika diteliti beberapa bahagian dari tujuh Wasiat Raja Melayu, sepertimana yang ditonjolkan baru-baru ini.

Secara ringkas, tujuh wasiat tersebut adalah mengenai nama negara sebagai Persekutuan Tanah Melayu, Tanah Rezab Melayu (TRM), rejimen askar Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Juga Islam sebagai Agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan jaminan kedudukan istimewa orang Melayu di samping kepentingan sah kaum lain.

Tanyakan saja apakah yang telah terjadi kepada Islam sebagai Agama Persekutuan? Fakta-fakta membuktikan Umno tidak berhasrat merealisasikan wasiat itu dalam ertikata sebenarnya. Sebegitu banyak ucapan dan tindakan para pemimpin Umno sebaliknya terang-terang memperlekeh dan menolak hukum Islam.

Apa parti itu tidak buat demi menidakkan kemuliaan hari Jumaat sebagai hari ibadat? Jangan diharapkan menukar cuti mingguan beberapa negeri dari Ahad kepada Jumaat untuk keselesaan umat Islam beribadat, perkara sebaliknya dibuat Umno.

Tanya pula apa tindakan serius parti itu selaku ketua kerajaan dalam menangani penularan wabak kemurtadan di kalangan remaja Islam kebelakangan ini? Itu belum lagi kita ungkitkan sejarah keangkuhan para pemimpin Umno menyanggah pendirian para ulama, terutama menyentuh aspek pemerintahan.

Bagaimana pula kedudukan TRM setelah lebih 50 tahun negara di bawah Umno? Suatu ketika dulu keluasan TRM mencapai 3 juta hektar. Sedekad lalu ia merosot kepada hanya 1.7 hektar.

Atas nama memberi laluan kepada pembangunan, kerajaan-kerajaan dipimpin Umno meratah sebidang demi sebidang TRM. Entah berapa kangkang kera Wasiat Raja Melayu itu yang masih ada kini?

Beberapa hak istimewa orang Melayu turut dikhianati Umno. Biasiswa pelajaran dihadkan, tulisan jawi dihapuskan dan martabat bahasa Melayu dihinjak. Umno turut tergamak mencabul kedaulatan Raja-Raja Melayu, terutama menerusi dua pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini.

Apa yang diutarakan ini hanyalah secebis bukti pengkhianatan Umno terhadap bangsanya sendiri. Ada berlambak lagi yang boleh dikemukakan.

Rakyat sudah semakin cerdik. Mereka mampu mendalami fakta dan hakikat sebenar sesuatu isu berbangkit.

Rakyat juga semakin matang untuk menelah apakah isu khianat dicetuskan Umno ini suatu yang berpijak di bumi nyata atau sekadar agenda parti itu mengalihkan perhatian rakyat dari membicarakan kegagalan Umno menangani isu-isu lain yang lebih besar dan penting.

Kegagalan menangani isu kemelesetan ekonomi, kekurangan gula, kenaikan tambang pengangkutan awam dan harga barangan keperluan harian makin menghimpit hidup rakyat.

Kini datang pula penularan wabak selesema babi yang mendedahkan rakyat kepada risiko amat menakutkan. Umno-BN setakat ini gagal menemui kaedah tepat dan berkesan menghalang kematian demi kematian. Rakyat semakin panik dan takut.

Sebab itu BN perlu mencipta isu bagi mengalih perhatian rakyat dari perkara penting itu. Para penjuak Umno yang memang kurang cerdik dengan mudah bertindak bagai dirasuk ikut melaungkan 'khianat! khianat! khianat!'.

Rakyat lebih waras daripada mereka untuk menilai siapa sebenarnya pengkhianat bangsa dan negara.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 21 Ogos 2009 dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman detikdaily.net pada 26 Ogos, 2009, diikuti laman kerabubersuara.blogspot.com/ dan lordazaab.wordpress.com/ pada 7 Oktober 2009)

Sunday, August 16, 2009

Tidak dominan – Rosol cabar PAS atau sindir Mat Said?


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

RAMAI menyangka Dauk Rosol Wahid sudah jatuh terduduk terkena “libasan maut” Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib minggu lalu. Namun, sepertimana kebiasaannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil yang terkenal lantang itu tidak mudah mengaku kalah.

Dia tampil menyambung polemik antara kedua mereka dengan hujah dan tanggapan tersendiri. Bagaimana pun, apa yang lebih menarik ialah hujah dan lontaran dibuat Rosol itu. Walau pun secara zahirnya ia ditujukan kepada PAS, hujah itu juga seolah-olah mempunyai maksud lebih dalam dan turut ditujukan kepada pihak lain yang berseteru dengannya.

Kejadian berbalas kenyataan antara Rosol dan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu berpunca dari kenyataan pemimpin Umno itu yang ikut memberikan komennya berkenaan perkembangan pertikaian isu arak di Selangor.

PAS Selangor pada 4 Ogos lalu menuntut kerajaan negeri mengambil tindakan tegas menilai semula jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan yang disandang seorang Adun DAP. Ia ekoran tindakan Exco berkenaan dalam beberapa kes yang dilihat campurtangan sehingga menggagalkan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu melakukan operasi menghalang arak dijual kepada orang Islam, terutama di kawasan bermajoriti penduduk Islam.

Isu itu menjadi hangat apabila ia membabitkan hubungan silang parti di dalam Pakatan Rakyat (Pakatan). Bantahan PAS bukan sahaja ditolak mentah DAP, malah parti itu mendesak pula pemimpin PAS Selangor dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin atas dakwaan mencemarkan hubungan sesama anggota Pakatan.

Tuntutan PAS turut tidak diraikan Menteri Besar Selangor dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau sebaliknya menganggap apa yang dibangkitkan PAS itu bukan isu. Sebagai penyelesaiannya beliau mengemukakan peraturan “self-regulation” terhadap para peniaga dalam membuat penentuan sama ada wajar menjual arak kepada mana-mana pihak atau tidak.

Perkembangan itulah barangkali yang mendorong bekas Setiausaha Umno Terengganu itu menyifatkan PAS tidak lagi dominan dalam Pakatan. Dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar tempatan pada 9 Ogos lalu, Rosol berkata, perkembangan itu jelas menunjukkan kata-kata pemimpin PAS tidak dipedulikan dalam pakatan pemerintah negeri tersebut.

Oleh kerana sudah tidak dominan, Rosol lalu menyarankan agar PAS mengkaji semula hubungan dan gabungannya bersama DAP dan PKR dalam Pakatan. Katanya, hal itu wajar dilakukan PAS bagi mengelak parti itu terus dipinggirkan pada masa akan datang.

Hujah tidak dominan dan terpinggir itu bagaimana pun terbukti menjadi ‘senjata makan tuan’ buat Rosol. Dalam satu reaksi kepada kenyataan itu, Harun menarik perhatian umum betapa sifat-sifat disebutkan Rosol itu sebenarnya ada pada dirinya sendiri.

Dia sudah terbukti tidak lagi dianggap dominan dalam Umno Terengganu apabila bukan setakat tidak dilantik semula sebagai setiausaha Umno negeri dan Exco kerajaan negeri, malah turut kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Justeru, sebagai ‘memulangkan paku buah keras’ Harun mencadangkan agar Rosol keluar daripada Umno dan menyertai Pakatan.

“Bukan PAS, tapi Rosol yang sudah tidak dominan dalam Umno (Terengganu). Saya nampak PAS makin kuat dan buktinya beberapa siri kemenangan yang diperolehi pada pilihan raya kecil lalu”, ujar Harun.

Beliau malah menegaskan isu arak di Selangor itu sebenarnya sengaja diperbesarkan media. Sedangkan masalah para pemimpin Umno sesama mereka dan rakan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain jauh lebih teruk berbanding apa yang dialami dalam Pakatan.

Dalam kenyataan balasnya disiarkan akhbar pada Rabu (12 Ogos), Rosol menyifatkan tawaran oleh Harun itu seolah-olah menggambarkan Pakatan ketandusan pemimpin berkaliber. Beliau juga menganggap kenyataan Harun itu seolah-olah melihatnya sebagai aset penting dan “laku” dalam pasaran politik negara.

Kenyataan yang lebih bersifat “angkat bakul” itu bagaimana pun tidak akan memadamkan hakikat pergolakan dalaman Umno sepertimana disebutkan Harun. Betapa Rosol sendiri antara yang terpinggir dan tidak lagi dominan ekoran pertelingkahan itu adalah suatu yang sudah dimaklumi umum.

Acapkali disebutkan bahawa pertentangan terbuka antara para pemimpin Umno Terengganu adalah ekoran pelantikan Adun Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar, Mac 2008 lalu. Bantahan yang pada awalnya disertai kesemua 23 Adun BN lain berpanjangan hingga kepada isu usul undi tidak percaya, April lalu, diikuti isu sistem pesanan ringkas (sms) ugutan dan seumpamanya.

Orang utama sebagai jurucakap kumpulan yang menentang Ahmad sepanjang pergolakan dalaman Umno Terengganu ialah Rosol sendiri. Tidak cukup menegaskan tidak akan dapat menerima kepimpinan Ahmad, Rosol kemudiannya menjadikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula sebagai sasaran.

Naib Presiden Umno itu dilantik sebagai Pengerusi Umno Terengganu menggantikan Ahmad. Baru-baru ini Rosol memaanfaatkan laman blognya untuk menyifatkan Menteri Dalam Negeri itu bersikap berat sebelah.

Mungkin beliau antara pemimpin Umno yang melihat percaturan pelantikan anggota penting Umno negeri oleh Hishammuddin sebagai menguntungkan kumpulan Ahmad dan meminggirkan puak penentangnya.

Sebab itu ada logiknya dalam isu arak di Selangor tadi, apabila Rosol menyebut soal PAS tidak dominan dan wajar mengkaji kedudukan dalam Pakatan, ada yang menilai kalimah itu bukan setakat ditujukan kepada PAS. Mungkinkah Rosol turut bermaksud menyindir Ahmad yang diyakininya masih tidak dominan dan terpinggir di kalangan majoriti Adun BN Terengganu?

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 16-22 Ogos 2009 dengan tajuk sama)