Sunday, January 30, 2011

Mungkinkah Pelabuhan Kelang senasib Kota Siputeh?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Datuk Teng Chang Khim, ada sebab amat munasabah untuk mempersoalkan kelengahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pelaksanaan sebuah pilihan raya kecil di Dun Pelabuhan Kelang, sepertimana diharapkannya.

Selaku pihak bertanggungjawab mengisytiharkan kekosongan kerusi berkenaan sudah tentu Teng bertanggungjawab mempertahankan pendiriannya itu. Sebarang pendirian oleh SPR yang dinilainya sebagai sengaja melengah-lengahkan langkah susulan boleh dianggap mencabar kredibiliti dan kuasa penentu dimiliki Speaker.

Apatah lagi keputusan melucutkan kelayakan wakil rakyat berkenaan bukan dibuatnya secara sembrono. Ia melibatkan prinsip menjunjung kedaulatan perlembagaan negeri. Justeru, menolaknya juga berkemungkinan mengheret perkara ini kepada pertikaian undang-undang negeri.

Pada 19 Januari lalu, Teng mengisytiharkan kerusi Dun Pelabuhan Kelang kosong selepas penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah gagal menghadiri Sidang Dun selama enam bulan tanpa alasan kukuh. Katanya, Badrul tidak menghadiri sidang bermula 15 Julai 2010 hingga 16 Januari 2011.

Berdasarkan Artikel 69, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, mana-mana Adun yang tidak hadir ke sidang Dun bagi tempoh enam bulan akan menyebabkan kerusi disandangnya kosong. Badrul Hisham juga, kata Teng, gagal mengemukakan alasan munasabah berhubung kegagalannya menghadiri dua sidang Dun tahun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Badrul Hisham memenangi kerusi Dun Pelabuhan Kelang atas tiket Keadilan dengan majoriti 4,407 undi. Beliau keluar parti pada Oktober 2009 untuk menjadi Adun Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN), sebelum kemudiannya memasuki Umno.

Kedudukannya yang memihak BN itu menambahkan lagi kesangsian pelbagai pihak terhadap sikap ‘berlengah’ SPR sepertimana didakwa Teng. Tidak sukar diakui betapa BN tentunya lebih mengharapkan kekosongan itu tidak menjadi kenyataan. Logiknya, bukan mudah bagi BN mempertahankan kerusi diperolehinya secara percuma itu andainya berlangsung pilihan raya kecil di situ.

Memburukkan kesangsian itu ialah apabila pengumuman Teng itu disusuli keesokannya oleh satu lagi kekosongan kerusi. Wakil rakyat Dun Merlimau, Melaka, Dato’ Mohamad Hidhir Abu Hassan disahkan meninggal akibat masalah jantung.

SPR memberikan reaksi agak pantas apabila mengumumkan bakal bermesyuarat pada Jumaat (28 Januari) bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi Dun berkenaan. Tindakan itu sekali gus menampakkan ia seakan ‘melangkah bendul’, yakni mendahulukan Dun Merlimau berbanding Pelabuhan Kelang yang terlebih dahulu diisytiharkan kosong. Keadaan itu menyebabkan bukan sahaja Teng, bahkan berbagai pihak lain melihatnya sebagai sesuatu yang tidak kena.

Sangkaan negatif sebegitu sudah tentu tidak mudah muncul sekiranya selama ini SPR menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan telus dan adil. Sebaliknya, dalam banyak keadaan, badan yang sepatutnya berperanan melaksanakan proses pilihan raya itu dilihat lebih banyak mengambil pendirian mengikut selera BN.

Rekod pendirian SPR yang tidak menepati peranan sebenar selaku pelaksana keputusan kerajaan (Pusat atau Negeri) juga memungkinkan mana-mana pihak mempertikaikan ketelusannya. Beberapa kes pertikaian kekosongan kerusi yang berlaku sebelum ini, terutama dalam kes tiga kerusi Adun Perak yang ‘melompat’ dan kes Dun Kota Siputeh, Kedah adalah contoh terbaik.

Dalam kedua-dua kes berkenaan, Speaker Dun masing-masing telah memutuskan kekosongan kerusi-kerusi terbabit dengan merujuk kepada perlembagaan negeri masing-masing. SPR bagaimana pun secara jelas menukar peranannya menjadi penentu kekosongan, sekali gus meletakkan keputusan dibuat kedua-dua Speaker Dun itu suatu yang tertakluk kepada pertikaian.

Dalam kes di Perak, keengganan SPR melaksanakan keputusan Speaker Dun membuka ruang sangat luas kepada BN merampas kuasa, seterusnya memudahkan parti itu memanfaatkan saluran undang-undang menafikan sebarang kuasa dimiliki Speaker Dun yang membuat perisytiharan kekosongan itu.

SPR juga secara terbuka bertindak pada haluan sama dalam kes Kota Siputeh. Kes menimpa Adun BN, Dato’ Abu Hassan Sharif juga seakan-akan kes Pelabuhan Kelang. Beliau diumumkan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat disebabkan kegagalannya menghadiri dua sidang Dun Kedah secara berturut pada 19 April 2009 dan 9 Ogos tahun sama tanpa kebenaran Speaker.

Keputusan itu juga dibuat dengan merujuk peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah.  Malangnya, SPR menolak perisytiharan itu dan menganggap Abu Hassan masih sah wakil rakyat. Kes itu hingga kini ‘tergantung’ apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Adun BN membuat rayuan.

Sebab itu apabila dalam kes Pelabuhan Kelang ini Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, dalam reaksinya awal-awal lagi membayangkan pihaknya tidak tertakluk kepada keputusan dibuat Speaker Dun itu, ia segera mengundang kesangsian pelbagai pihak.

“Kita akan lihat undang-undang di Selangor, juga Perlembagaan Persekutuan sebelum membuat keputusan sama ada berlaku kekosongan atau tidak,” media memetik katanya.

Menilai kata-katanya itu, ramai bertanya apakah SPR sekali lagi akan bertindak seperti dalam kes di Perak dan Kota Siputeh?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1610, 31 Januari 2011 dengan tajuk sama di ruangan 'kolumnis', F21. Ia turut dipapar laman DetikDaily pada 30 Januari 2011).

Thursday, January 27, 2011

Tenang imbau nostalgia Teluk Pasu

Oleh: Mohd Nasir Awang

Sama ada kemenangan bakal memihak PAS atau sebaliknya pada 30 Januari nanti, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Johor, yang kini menghampiri kemuncak, banyak mengingatkan kita kembali kepada pertembungan serupa di Dun Teluk Pasu, Terengganu, lebih dua dekad lalu.

Beberapa juzuk dari senario keseluruhan dan tingkah politik yang berlaku di Tenang sejak hampir seminggu lalu memudahkan sesiapa saja yang pernah terlibat di Teluk Pasu melihat titik persamaan kedua-dua proses demokrasi itu.

Dua episod itu berkongsi latar politik hampir sama. PAS menyertai PRK Teluk Pasu berbekalkan dua kerusi dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-7, 1986. Dua kerusi itu ialah Wakaf Mempelam, menerusi Cikgu Mustafa Ali dan Ru Rendang (Tuan Guru Abdul Hadi Awang).

Di Johor kini, PAS menentang Barisan Nasional (BN) di Tenang juga berbekalkan dua kerusi ditawannya dalam PRU ke-12 lalu. Calon PAS, Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh menang di Dun Sungai Abong, manakala Dr Mohamad Taslim menewaskan BN di Maharani.

Dalam kedua-dua PRK di atas, rekod cemerlang dua Adun sedia ada menjadi pembakar semangat buat PAS meletakkan harapan tinggi mendapatkan kerusi ketiga untuknya. Moral PAS berdepan BN menjadi lebih tinggi bilamana ia tidak bersendirian. PAS menghadapi proses demokrasi itu bersama dokongan rakan-rakan.

Di Teluk Pasu, PAS mendapat kawan baru, iaitu kumpulan Team B Umno diketuai Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah. Walau pun ketika itu gabungan Angkatan Perpaduan Ummah belum terbentuk, bahkan Parti Semangat 46 juga belum ditubuhkan, kerjasama erat antara PAS dan kumpulan serpihan Umno itu sudah berputik.

Beberapa PRK sebelum Teluk Pasu membenihkan persefahaman antara dua puak yang selama ini berseteru. PRK Parlimen Johor Bahru dan Dun Parit Raja, Johor, masing-masing pada Ogos dan Oktober 1988 meyakinkan PAS bahawa kumpulan Team B telah mengisytiharkan perang terbuka terhadap musuh yang sama, iaitu BN.

Bahkan, jalinan persahabatan antara PAS-Team B Umno itu bertambah mesra dan erat menerusi PRK Parlimen Ampang Jaya, pada Januari 1989. PAS turun secara lebih tersusun dan terbuka membantu Allahyarham Dato’ Harun Idris, calon Bebas yang mewakili kumpulan serpihan Umno itu.

Di saat kerjasama dan persefahaman semakin mengukuh itulah datangnya PRK Teluk Pasu, Jun 1989. Keadaan hampir sama kini terserlah di Tenang. Tidak sukar diakui betapa PAS amat terhutang budi kepada rakan-rakan parti Pakatan Rakyat.

Apa pun keputusan bakal berlaku Ahad nanti, kehadiran ratusan jentera kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak syak lagi amat meringankan gerakerja PAS. Bahkan moral PAS amat tinggi apabila beberapa isu dihadapinya turut diperjelas dan dipertahan rakan-rakan itu.

Latarbelakang calon kedua-dua parti di dua PRK itu juga berkongsi persamaan. Di Teluk Pasu, PAS dan BN mempertaruhkan calon berpendidikan agama. PAS menamakan Ustaz Harun Taib, lulusan pengajian syariah Islam dari Timur Tengah. Manakala lawannya dari BN, Haji Abdul Rahman Mohamad juga berkelulusan undang-undang Islam.

Di Tenang pula, kedua-dua calon memiliki latarbelakang khidmat masyarakat yang agak baik mengikut bidang kerjaya masing-masing. Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim adalah bekas Penolong Pegawai Daerah, manakala calon PAS, Puan Normala Sudirman (Cikgu Mala) bukan sahaja dikenali masyarakat sebagai pendidik anak-anak mereka, malah mengembangkan jasa baktinya menerusi jawatan Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun berkenaan.

Namun persamaan paling menarik antara Tenang dan Teluk Pasu sudah tentu isu-isu berligar di sekitar kedua-dua PRK ini. Dua isu yang kini kelihatan sedang membelit BN ialah isu salam dan rekod kemasyarakatan calonnya yang disifatkan tidak mesra rakyat.

Jangan lupa isu salam telah cuba dijadikan senjata paling tajam oleh BN di Teluk Pasu. Bersandarkan foto dirakam di pusat penamaan calon, Ustaz Harun difitnah enggan bersalam dengan Abdul Rahman.

Seperti biasa media-media arus perdana talibarut BN memainkan peranan utama memutarbelit fakta dan menyebarluaskan fitnah-fitnah sebegini. Gambar Ustaz Harun berpaling dari Abdul Rahman yang sedang menghulurkan tangan disiarkan media cetak disertakan ‘caption story’ yang amat menjijikkan.

Ia diulas panjang lebar oleh media elektronik buat beberapa hari berikutnya. Rakyat dipaksa percaya kononnya calon PAS menolak salam calon BN. Sekeping gambar disiarkan akhbar itu didakwa membuktikan segalanya.

Lalu isu itu diheret dari perspektif adat budaya masyarakat Melayu. Perbuatan ‘sombong’ Ustaz Harun dikatakan menyalahi tata susila masyarakat. Apatah lagi beliau seorang lulusan agama, yang disifatkan bertindak tidak konsisten dengan ilmu dimilikinya.

Sedangkan keadaan sebenar yang berlaku tidak sedemikian. Namun amat sukar bagi PAS membuktikan sebaliknya, terutama apabila tiada pula wartawan atau penyokong parti yang merakam gambar-gambar sepanjang proses penamaan calon itu, sepertimana sekarang.

Ketika itu akses PAS kepada maklumat dan pertolongan “belakang tabir” dari rakan-rakan media lain juga hampir mustahil.

Allah Ta’ala Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Tanpa disangka gambar yang sangat-sangat dicari PAS itu rupa-rupanya disiarkan sebuah tabloid harian berbahasa Inggeris edisi ibukota.

Pasukan gerak saraf PAS berjaya mendapatkan keratan akhbar itu. Lalu gambar Ustaz Harun sedang menggenggam erat tangan Haji Abdul Rahman sambil kedua-dua mereka tersenyum lebar memandang ke arah kamera diulangcetak PAS dalam bentuk poster.

“Fitnah Barisan Nasional Terbongkar!”, tulis poster itu. Petang menjelang hari pengundian keesokannya, poster itu disebarluas secara terbuka, termasuk kepada pemandu ratusan kenderaan yang bertali arus melewati kawasan PRK Teluk Pasu.

Ya, sekeping gambar itu memang berjaya membongkar fitnah BN. Tidak syak lagi, isu salam yang pada awal disangka BN boleh menikam PAS kembali memakan diri parti itu.

Di Tenang kini, isu salam juga menjadi topik paling diperkatakan. Calon PAS, Cikgu Mala ditohmah sebagai tidak mesra pengundi apabila dikatakan menolak salam lelaki. Kita dapat lihat ekoran keceluparan Presiden MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek, yang sengaja memperlekeh hukum Islam itu kini memakan diri BN. Ia juga menjadikan Umno makhluk ‘bisu’ dan meletakkan BN di kedudukan amat defensif.

Menariknya, dalam kedua-dua episod itu ada pemimpin tertinggi BN sudah mencium sesuatu tidak enak sedari awal. Di Teluk Pasu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, ketika itu Menteri Besar Terengganu, memberi ingatan kepada jentera kempen partinya agar tidak terlalu ghairah memperbesarkan isu salam itu.

Di Tenang pula kita dengar luahan tidak selesa dalam nada serupa turut diucap Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa hari lalu. Isu salam terbukti tidak menguntungkan BN.

Satu lagi persamaan ialah rekod calon BN yang tidak begitu memihak kepada kepentingan rakyat. Di Teluk Pasu, Abdul Rahman dibuktikan pernah menjatuhkan hukuman kepada seorang ulama ketika berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Syariah Besut beberapa tahun sebelum itu.

Beliau memenjarakan ulama itu di atas dakwaan mengajar tanpa tauliah. Walau pun dalam hujah membela Abdul Rahman, para penceramah BN mendakwa perbuatannya itu menepati undang-undang (legally right), bagi rakyat terbanyak tindakan menghukum ulama kerana mengajar agama tetap dianggap perbuatan menyalahi moral (morally wrong).

Kes seakan sama kini menjadi penilaian diri ke atas calon BN di Tenang. Beliau ada rekod keterlibatan dengan kes mahkamah yang membuktikan dia bertindak tidak menepati kehendak rakyat. Mohd Azahar dibuktikan terlibat kes lelongan tanah tanpa kebenaran pemiliknya.

Ya, BN mungkin sehabis daya berhujah apa dibuat calonnya itu ‘legally right’, tetapi rakyat tetap melihatnya sebagai ‘morally wrong’, terutama untuk seorang yang berusaha menjadi pembela kepentingan rakyat.

Tidak syak lagi sebilangan persamaan dicatatkan tadi membantu kita mengimbau episod di manis Teluk Pasu dulu. Beberapa faktor tadi akhirnya membuahkan kejayaan manis untuk PAS. Ustaz Harun berjaya merampas kerusi Dun berkenaan daripada penguasaan BN dengan majoriti 141 undi.

Nostalgia itu sudah tentu akan bertambah indah buat PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat sekiranya Cikgu Mala juga berjaya mengulangi kejayaan ditempa Ustaz Harun itu, Ahad nanti. Insya Allah hendaknya!

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDAILY, 28 Januari 2011 dengan tajuk sama. Ia turut disiarkan laman DetikDaily pada hari sama.)

Toleransi agama, MCA jahil kerana Umno bangang

Para pemimpin Umno sekali lagi membuat pertimbangan yang tidak kena dengan tuntutan agama. Ia cuba mengalih perhatian daripada isu sebenar yang membelenggu parti itu apabila cuba menggambarkan kononnya PAS “menjual beli” agama demi meraih sokongan politik.

Selaku rakan kongsi MCA dalam komponen Barisan Nasional (BN), Umno sepatutnya mengutamakan usaha meredakan kemarahan masyarakat terbanyak terhadap kebiadaban para pemimpin parti kaum Cina itu yang nampaknya berterusan membangkitkan isu-isu sensitif berkaitan Islam.

Dalam keadaan pemimpin MCA semakin sukar menunjukkan sikap bertoleransi, terutama terhadap ajaran dan amalan peribadatan masyarakat Islam kebelakangan ini, Umno selayaknya mengambil tindakan lebih bertanggungjawab mengajar rakannya itu.

Justeru, ini bukan masa terbaik untuk parti Melayu itu terus membuai perasaan rakyat dengan sentimen kepolitikan. Amat tidak kena dalam kehangatan isu sedemikian, tiba-tiba Umno buat-buat terlepas pandang ke arah tindak-tanduk tidak sopan oleh rakannya itu.

Umno juga tidak sayugia masih selesa melontarkan serangan terhadap PAS selaku parti yang diketahui sentiasa berjuang mempertahankan kesucian Islam.

Namun itulah yang jelas tergambar dari kenyataan dan tindakan mereka, terutama dalam keghairahan menjayakan kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang yang sedang rancak berlangsung kini.

“Bila datang saja pilihan raya ia menjadi satu medan untuk orang menabur  fitnah dan membangkitkan isu sensitif agama,” media pada Isnin (24 Januari) memetik kata Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dilaporkan menyeru semua parti terlibat dalam kempen pilihanraya kecil itu agar menghindarkan daripada “memperdagangkan agama Islam” dengan menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh memecah belahkan rakyat.

Tidak sukar dimengertikan bahawa komen itu secara khusus ditujukan kepada PAS, selaku parti yang secara rasmi mewakili Pakatan Rakyat mencabar BN-Umno di Tenang. Walau pun menteri berkenaan membayangkannya sebagai teguran kepada semua parti, mana mungkin seorang pemimpin Umno berani menerjah partinya sendiri?

Itulah yang mendukacitakan kita. Selaku menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, Jamil Khir sepatutnya tidak cuba menutup isu sebenar berkaitan sensitiviti agama. Apatah lagi pihak yang nampaknya paling sukar menghayati toleransi beragama kebelakangan ini bukannya PAS, tetapi parti-parti rakan Umno sendiri, khususnya MCA.

Sedari awal bermulanya kempen di Tenang, kita dikejutkan antara lainnya dengan isu salam. Calon PAS, Cikgu Normala Sudirman, disifatkan tidak mesra rakyat apabila enggan menyambut salam kaum lelaki Cina sewaktu berkempen.

Isu itu pada awalnya nampak ringan. Tetapi oleh kerana ia dicetuskan pemimpin utama BN disertai ungkapan berbaur sentimen keagamaan, ia bertukar menjadi isu agama yang sangat sensitif.

Memang itu pun penilaian paling tepat terhadap kenyataan Presiden MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek. Beliau bukan sahaja cuba merendahkan perwatakan calon PAS, tetapi turut mengheret soal hukum-hakam dan pantang larang Islam.

Apatah lagi sekiranya serangan terbaru pemimpin yang terpalit dengan isu moral itu tidak dilihat secara terpisah dengan beberapa kenyataan biadabnya sebelum ini. Bagaikan dirasuk sentimen kebencian yang sukar dikawal terhadap PAS, Soi Lek minggu lalu secara terbuka cuba menakut-nakutkan masyarakat Cina dengan berbagai gambaran negatif mengenai cita-cita PAS menubuhkan negara Islam.
.
Di atas sentimen negatif itu juga, beliau sebelum ini pernah meluahkan kekecewaan terhadap Umno yang disifatkannya terikut-ikut dengan perjuangan PAS. Beliau mendedahkan Umno terpaksa mempamerkan sikap bersungguh memartabatkan Islam semata-mata demi berdepan PAS meraih sokongan orang Melayu.

Jangan lupa pemimpin MCA itu juga bukan membataskan kebenciannya hanya terhadap PAS. Dirasuk sentimen itu, beliau ada kalanya terlajak sampai menyentuh sensitiviti Islam. Bukankah Soi Lek juga pernah mengaitkan kemunduran negara-negara majoriti umat Islam dengan ajaran agama anutan mereka?

Malangnya sehingga kini kita tidak didedahkan dengan sebarang bantahan atau pun teguran lantang oleh mana-mana pemimpin Umno. Barangkali mereka sekali lagi terlepas pandang keceluparan teman serumah mereka dalam BN itu.

Boleh jadi juga mereka mengambil pendirian menegur secara rahsia, sepertimana prinsip dipegang para ulama muda Umno baru-baru ini. Kononnya itulah uslub dicontohi daripada tindakan para sahabat di zaman pemerintahan Saidina Othman Affan dulu.

Apakah ciri-ciri pemerintahan kini layak disamakan dengan Khulafa ur-Rasyidin? Penilaian bangang kalangan agama Umno itu sebenarnya turut menjadi penyumbang utama mengapa parti-parti bukan Islam BN masih gagal memahami Islam.

Kejahilan mereka turut terserlah dalam isu laungan azan di ibu negara baru-baru ini. Amat tidak logik bukan, bagaimana seorang Cina Malaysia tidak dapat membezakan antara seruan azan dengan ceramah agama?

Ya, lebih tidak logik ialah bagaimana para pemimpin MCA sebegitu dangkal pengetahuan tentang Islam, walau pun sudah lebih separuh abad berkongsi parti dengan Umno. Tidak syak lagi, Umno perlu bertanggungjawab atas kebiadaban MCA!

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1609, 28 Januari 2011 dengan tajuk “Umno bertanggungjawab di atas kebiadapan MCA” di ruangan ‘kolumnis’, F21. Ia bagaimana pun dipetik laman DetikDaily, 27 Januari menggunakan tajuk di atas.)

Sunday, January 23, 2011

Iran akui Umno konsisten martabatkan Islam?

Para pemimpin dan pendukung Umno tidak sayugia berkecil hati sekiranya ada mana-mana pihak tersenyum sinis atau tergelak apabila dikatakan parti itu konsisten memartabatkan Islam.

Reaksi itu tidak sepatutnya dianggap bermaksud mengejek atau memperkecilkan peranan Umno dalam hal ehwal keagamaan. Sebaliknya, ia secara tidak langsung menggambarkan betapa amat sukar bagi mana-mana pihak menerima dakwaan sedemikian.

Maaf cakap, jika tidak kerana rekod penolakan dan perlanggaran secara terbuka oleh para pemimpin parti Melayu itu sendiri terhadap hukum dan peraturan Islam, nescaya tidak sebegitu mudah untuk orang memperlekeh Umno berhubung perjuangan menegakkan agama.

Malangnya, ‘track record’ parti itu dalam memerangi mana-mana pihak yang cuba mematabatkan Islam di negara ini sudah terang lagi bersuluh. Umno bukan sahaja gagal mengambil al-Quran dan Sunnah sebagai sumber utama rujukan hukum, malah tergamak mewujudkan segala macam halangan terhadap PAS yang berusaha ke arah itu.

Bahkan, dalam hal berkaitan perkara-perkara yang telah digubal atau dilaksanakan jabatan dan agensi kerajaan di bawah pemerintahannya sendiri pun, Umno kerap mengambil pendirian tidak kondusif terhadap maksud penegakan Islam.

Kes bagaimana kerasnya reaksi dan tindakan parti itu terhadap aktiviti jabatan agama sebuah negeri diperintahnya yang menghalang wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik suatu ketika dulu adalah contoh agak klasik.

Begitu juga dengan penolakan mentah-mentah oleh kerajaan Pusat terhadap garis panduan hiburan disediakan penuh susah-payah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) beberapa tahun lalu.

Itu belum lagi disebut sikap acuh tak acuh Umno dalam menangani berbagai isu berkaitan agama, khususnya membabitkan maruah dan akidah umat Islam. Umum mengetahui dan tidak sukar mengakui bahawa parti itu tidak layak diiktiraf sebagai pembela, apatah lagi sebagai pejuang agama.

Sebab itu agak dipertikaikan apabila muncul di dada media kononnya Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia,  Prof. Dr Mohammed Mehdi Zahedi mengakui Umno sebuah parti yang konsisten memartabatkan agama Islam.

Media arus perdana pada Rabu memetik beliau sebagai berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Umno, Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor, di ibu pejabat parti itu.

Ekoran itu beberapa soalan dan andaian segera timbul. Soalan paling awal ditanya banyak pihak ialah, betulkah tuan Duta Besar Iran berkata sepertimana dipetik itu? Ataukah ia sekadar tafsiran dan modifikasi wartawan yang melaporkan berita itu?

Logiknya, rekod media talibarut Barisan Nasional (BN) itu dalam memutarbelit dan merekacipta laporan amat mengagumkan. Justeru, tidak mustahil dalam kes ini pemimpin negara Teluk itu juga menjadi mangsa manipulasi untuk kepentingan Umno.

Apatah lagi laporan media cetak itu sendiri pun memetik paparan portal dalam talian milik Umno, yang sudah tentu bertanggungjawab menyiarkan apa-apa berita dan laporan yang hanya boleh menguntungkan parti itu.

Katakanlah pula Dr Zahedi memang berkata sepertimana dilaporkan. Itu pun belum tentu menjadikan Umno betul-betul konsisten dengan Islam. Boleh jadi duta itu tidak digambarkan secara jelas apa itu Umno dan apa pengkhianatan terhadap agama yang telah dilakukan parti itu sepanjang bergelar pemerintah.

Sebelum ini pun bukan tidak ada para pemimpin Islam dari luar, termasuk ulama tersohor dunia, yang memuji dan melahirkan rasa bangga dengan Umno sejurus selepas bertemu para pemimpin parti itu. Tetapi apabila mereka diberikan penerangan dan penjelasan mengenai rupa sebenar makhluk bernama Umno itu, tidak sedikit antara mereka mengubah pendirian. Paling tidak pun, pujian mereka terhadap Umno tidak lah semelangit sebelumnya.

Untuk itu kita meletakkan sangka baik terhadap Duta Besar Iran bahawa beliau tidak diberikan gambaran sebenar mengenai Umno. Bahkan, mungkin beliau juga tidak ditunjukkan gambar isteri Presiden Umno dan lain-lain rakan “sewaktu dengannya”. Kita percaya besar kemungkinan penilaian Dr Zahedi terhadap parti itu tidak semurni dilaporkan itu, terutama mengambilkira penampilan wanita-wanita di negaranya sendiri.

Di masa sama, kita boleh mengagak betapa para pemimpin Umno pula memang berhasrat memanipulasi imej Islam yang ada pada negara Teluk itu. Justeru, pengiktirafan seorang wakil republik Islam itu terhadap Umno mungkin dijadikan sandaran menobatkan parti itu sebagai (kononnya) pejuang memartabatkan agama.

Hakikat sebenarnya, hanya orang Malaysia yang lebih tahu. Jangan tanya orang PAS, Keadilan atau pun DAP. Pendapat dan pandangan mereka terhadap Umno mungkin dianggap bias dan dipengaruhi sentimen politik.

Elok ditanyakan saja para pemimpin bukan Islam dari komponen BN sendiri. Mereka lebih kenal Umno selaku teman tidur sebantal dan rakan sebilik mereka melahap harta rakyat. Tanyakan kepada mereka, betulkah Umno ada agenda Islam dalam perjuangannya?

Jawabannya bagai sudah tersedia. Perhatikan kata-kata Presiden MCA, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek sepertimana dipetik tabloid harian, 13 Januari lalu.

“Jika tengok semua parti politik di negara ini, hanya PAS yang bercakap mengenai agama sebagai agenda politik,” akuinya.

Nah! Bagaimana dengan Umno? Fikir sendirilah!

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini adalah versi lebih panjang daripada yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1608, pada 24 Januari 2011 dengan tajuk sama di ruangan 'kolumnis, F22. Ia turut dipetik laman DetikDaily pada hari sama.)

Thursday, January 20, 2011

Apabila Ahmad Said saran Umno contohi PAS

Hanya Allah Ta’ala Yang Maha Mengetahui apa hasrat sebenar di hati Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said tatkala beliau meminta para pemimpin partinya mencontohi PAS.

Biar pun pada zahirnya saranan itu dikaitkan dengan sifat pemimpin parti lawannya itu yang tidak gemar bercakaran dan memfitnah sesama sendiri, kenyataan seorang pemimpin politik sebesar beliau terdedah kepada penafsiran lebih pelbagai.

Kita percaya Ahmad sendiri sedia maklum dengan implikasi dan risiko politik yang bakal dihadapinya dari pengakuan sebegitu berani dan berterus-terang. Ia bukan sahaja dianggap mengakui kelemahan dan tabiat buruk pemimpin Umno, malah di masa sama mengiktiraf sifat mulia diamalkan pemimpin PAS.

Dalam kenyataannya disiarkan sebuah tabloid harian edisi Terengganu, Jumaat (14 Januari) lalu, Ahmad dipetik sebagai mengingatkan pemimpin Umno agar tidak memburuk-burukkan sesama sendiri. Beliau dilaporkan mengambil contoh pemimpin PAS yang tidak menghentam sesama pemimpin dalam parti.

Mengambilkira rekod pertelingkahan agak tegang dalam kepimpinan Umno negeri, terutama sejak Ahmad mengambilalih teraju kerajaan daripada bekas Menteri Besar sebelumnya, kenyataan itu bukan suatu yang asing. Sebelum ini pun sudah acapkali seruan sedemikian dilontarkan beberapa pemimpin Umno, termasuk dari Pusat.

Namun setelah berlalu beberapa masa, dan rakyat Terengganu sendiri sudah agak kerap dipaksa percaya kononnya krisis dalaman Umno negeri sudah selesai, kenyataan Ahmad itu bagaikan memberitahu sebaliknya. Sepintas lalu dapat ditelah bahawa tabiat menghentam sesama sendiri itu masih berakar.

Logiknya, jika benar ia sudah dibanteras, apa perlunya Ahmad mengulangi ingatan sedemikian? Apatah lagi sehingga sanggup mengambil contoh kebaikan parti lawan?

Kebetulan pula, kenyataan itu menjadi tatapan umum sehari menjelang perhimpunan raksasa PAS Terengganu. Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS GantiUmno (HKR-PGU) yang memaut kehadiran puluhan ribu pendukung PAS dari serata negeri itu pula diadakan di Kemaman, daerah yang menjadi pangkalan kekuatan Ahmad sendiri.

Paling tidak pun pengakuan Ahmad mengenai kelebihan PAS itu boleh dijadikan sebab tambahan mengapa PAS sememangnya layak mengganti Umno.

Sebetulnya, jika diminta rakyat Terengganu membandingkan mana yang lebih baik di antara pemerintahan Barisan Nasional (BN) kini berbanding kerajaan PAS dulu, mereka yang ikhlas akan mengakui bahawa era kepimpinan PAS jauh lebih baik dari banyak segi.

Walau pun berkesempatan memerintah hanya sepenggal, PAS Terengganu telah membuktikan ia mampu mencapai banyak kejayaan. Bagi mereka yang tidak hipokrit atau terlalu emosional dan bersentimen peribadi, tentu tidak sukar mengakui bahawa urustadbir negeri, hubungan peribadi pemimpin-pegawai kerajaan, pengurusan kewangan negeri, pentadbiran agama, kehidupan bersyariat dan kecaknaan terhadap kebajikan masyarakat di bawah kerajaan PAS adalah jauh lebih baik berbanding BN.

Kini apabila slogan ‘PAS Ganti Umno’ (PGU) dicanangkan, orang Terengganu sudah mula bercakap kembali mengenai kenangan manis itu. Kain rentang dan poster PGU yang disebarluas dan dipamerkan di serata negeri terbukti menghasilkan impak kepada rakyat.

Secara ikhlas tidak sukar bagi mereka melihat rasional di sebalik slogan itu, terutama apabila dikaitkan dengan berbagai tindakan Umno/BN yang semakin hari semakin membuktikan ia tidak relevan dengan kehidupan rakyat. Tidak mustahil antara mereka akan teringat kembali suasana kehidupan lebih baik dan mewah sewaktu PAS memerintah Terengganu dulu.

Sebab itu ada benarnya usikan Mursyidul Am PAS, Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap kenyataan Ahmad itu. Dalam ucapan ringkasnya di HKR-PGU, Sabtu lalu, Menteri Besar Kelantan itu mengalu-alukan kesudian Ahmad mencontohi PAS.

Bagaimana pun, dalam nada berseloroh beliau mengesyorkan agar Umno mencontohi PAS dalam semua aspek, bukan setakat perihal perpaduan sesama pemimpin parti, sepertimana dinyatakan Ahmad itu. Apatah lagi PAS telah membuktikan kemampuan mengurus pentadbiran negeri jauh lebih baik berbanding Umno.

Nik Abdul Aziz mengambil contoh pengurusan kewangan negeri diketuainya. Katanya, Umno memerintah Kelantan dulu dengan segala kekayaan sumber alam dan kemudahan kewangan dari Pusat, berbanding PAS kini dengan sumber kewangan yang serba terbatas.

Anehnya, pemerintahan Umno meninggalkan hutang ratusan juta ringgit. PAS pula, katanya, bukan sahaja tidak meneruskan tradisi berhutang itu, tetapi mampu membayar hutang ditinggalkan Umno sedikit demi sedikit.

Beliau juga sepintas lalu mengusik Umno yang disifatkannya gemar membina masjid, tetapi tidak gemar ‘bersembahyang’. Ini katanya berbeza dengan PAS yang bukan sahaja membina masjid secara fizikal, tetapi turut memakmurkan rumah Allah itu.

Dalam konteks Terengganu, isu kegersangan masjid dan ketandusan majlis ilmu sudah menjadi perbualan umum sejak Umno memerintah kembali pada 2004. Perubahan tahap kemakmuran rumah-rumah ibadat itu di serata negeri amat mendadak, terutama apabila Umno mengamalkan politik balas dendam terhadap para penggerak utama masjid-masjid mukim.

Kes ketiadaan bilal untuk laungkan azan sepertimana dilaporkan berlaku di masjid Jamek Chukai, Kemaman, baru-baru ini adalah contoh ekstrem kekurangan imam dan bilal di seluruh negeri itu. sehingga memaksa jawatankausa Masjid memanfaatkan siaran azan di televisyen, amat memalukan.

Ia adalah contoh paling memalukan ekoran kegagalan Umno menyelesaikannya. Insya Allah kita yakin insiden memalukan sebegitu tidak akan berulang sekiranya PAS kembali menggantikan Umno sebagai peneraju kerajaan!

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini adalah versi lebih panjang berbanding yang disiarkan Harakah Bil: 1607, 21 Januari 2011 dengan tajuk sama di ruangan 'kolumnis', F21. Ia turut dipetik laman DetikDaily pada 20 Januari 2011)

PAS sudah lama iktiraf wanita

Agak tidak kena sekiranya keputusan PAS menamakan seorang wanita sebagai bakal calonnya menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Johor, minggu depan diperbesarkan sebagai bukti pengiktirafan parti Islam itu terhadap kepimpinan wanita.

Walau pun pada zahirnya kenyataan itu seakan satu pujian dan penilaian positif terhadap PAS, ia dibimbangi turut memberi isyarat salah berhubung pendirian sebenar parti itu terhadap kaum Hawa. Ia seolah-olah turut menggambarkan satu keadaan di mana selama ini pengiktirafan sedemikian tidak pernah dibuat parti itu.

Kekeliruan sebegitu tidak syak lagi menyediakan ruang agak selesa untuk parti musuh memanipulasi persepsi masyarakat secara lebih negatif terhadap PAS. Kononnya peranan dan peluang pendukung wanitanya menyerlah ke depan dan ikut memikul tanggungjawab kepimpinan bagaikan tidak pernah wujud, atau amat minima.

Justeru, apabila PAS memilih seorang wanita sebagai bakal calonnya di Tenang, ia seolah-olah satu kejutan atau kelainan yang sangat mencabar tradisi parti itu. Sedangkan kita tahu realitinya tidak sedemikian.

Kekeliruan itu bagaikan sengaja diperbesarkan pihak-pihak tertentu sebaik PAS mengumumkan bakal calonnya, 16 Januari lalu. Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memaklumkan keputusan partinya menamakan seorang guru, Puan Normala Sudirman, 37, untuk berdepan Barisan Nasional (BN).

Sesiapa pun yang mengenali PAS secara dekat tidak sukar mengakui betapa PAS sudah sekian lama mengiktiraf peranan dan kemampuan kalangan wanitanya (diistilahkan ‘muslimat’) di semua peringkat organisasi parti.

Malah, jika dibicarakan secara khusus mengenai pencalonan mereka dalam pilihan raya pun, rekod penglibatan PAS sejak zaman 50-an membuktikan betapa parti itu sejak dulu telah mengetengahkan calon-calon wanita untuk berdepan parti lawan, khususnya Umno.

Perbincangan mengenai hal ini tidak lengkap sekiranya nama Ibu Khadijah Mohd Sidik tidak disebut. Beliau bukan sahaja antara muslimat PAS terawal disenaraikan calon pilihan raya, malah muncul sebagai muslimat PAS pertama memasuki Dewan Rakyat.

Hal itu berlaku pada 1959, iaitu pilihan raya umum pertama selepas negara mencapai kemerdekaan. Khadijah terlibat dalam pertandingan tiga penjuru di Parlimen Dungun, Terengganu.

Wanita berhati waja itu berjaya menumpas lawan dari Perikatan, Mohd Adib Omar dengan majoriti 2,091 undi. Beliau memperolehi 6,249 undi berbanding lawannya, 4,158 undi. Seorang lagi calon, Wan Salleh Abdul Kadir mewakili Front Sosialis (SF) mendapat hanya 595 undi.

Perlu juga diingat bahawa Khadijah bukan satu-satunya calon wanita dikemukakan PAS dalam pilihan raya itu. Sementara penglibatan dan penonjolannya mendapat perhatian semua pihak, kemunculan seorang lagi calon wanita PAS bagaikan tidak disedari.

PAS turut menamakan Fatimah Hj Bahari sebagai calonnya bagi Dun Terentang, Negri Sembilan. Bagaimana pun, dalam pertandingan empat penjuru itu nasib tidak menyebelahinya. Malah undi diperolehinya amat tidak memberangsangkan berbanding tiga calon lain dari Perikatan, Parti Negara dan Bebas.

Sebagai mengiktiraf peranan dan peluang istimewa yang pernah diberikan PAS terhadap wanita, apa kata kita senaraikan nama-nama mereka yang pernah menjadi calon sebelum ini.

Tradisi itu diteruskan pada 1964. Khadijah yang tidak mempertahankan kerusinya di Dungun mengambil keputusan kembali ke negerinya, Johor. PAS memberi laluan kepadanya bertanding di dua kerusi, Parlimen Johore Timor dan Dun Plentong. Beliau gagal menewaskan lawan.

Dalam pilihan raya sama PAS turut menamakan Siti Fatimah @ Salmah Sheikh Hussain sebagai calonnya di Pulau Pinang. Seperti Khadijah, Salmah juga menggalas dua tugas sekaligus. Beliau bertanding untuk kerusi Parlimen Seberang Utara dan Dun Muda, tetapi tidak menang.

Salmah juga menjadi calon tunggal muslimat PAS pada 1969. Beliau dipertaruhkan untuk kerusi Parlimen Jitra-Padang Terap. Walau pun tewas, Salmah telah memberikan saingan agak sengit kepada calon Perikatan, Tan Sri Fatimah Hashim. Undi diperolehinya amat memberangsangkan, mengambilkira Fatimah adalah anggota Kabinet wanita pertama negara.

Tradisi menyenaraikan wanita sebagai calon PAS bagaimana pun terhenti selepas itu. Kenapa secara tiba-tiba ia tidak diteruskan?

Keadaan itulah yang sering diputarbelitkan pihak lawan sebagai bukti PAS tidak lagi mengiktiraf keupayaan muslimatnya menggalas tanggungjawab sebagai calon. Sedangkan keputusan tidak menamakan mereka untuk berdepan BN bukannya suatu dasar yang dimuktamadkan. Ia hanyalah satu pemberhentian sementara atau “tawakuf”.

Sepertimana pernah diterangkan para pemimpin tertinggi PAS sebelum ini, pendirian sebegitu terpaksa diambil demi keselamatan dan maruah muslimat sendiri. Punca utama ialah insiden yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum 1969.

Kita tahu pilihan raya tersebut adalah kemuncak keganasan dan kebinatangan parti pemerintah. Umno secara terbuka mengisytiharkan penubuhan skuad khasnya dinamakan Pemuda Tahan Lasak. Kesamsengan mereka tidak perlu diceritakan lagi.

Tanpa mempedulikan peraturan atau tata susila masyarakat, mereka ini melakukan berbagai tindakan tidak bertamadun, termasuk mengugut, membelasah, mengepung, mensabotaj dan menakutkan para pendukung serta pengundi parti lawan, khususnya PAS.

Ketika itu ada pengundi yang dirampas kad pengenalan, ada jambatan (yang menjadi satu-satunya laluan para pengundi PAS keluar mengundi) dibakar, ada titian dilumur najis, ceramah PAS dibaling telur tembelang, pemimpin PAS dikepung, calon PAS diancam-ugut dan berbagai lagi kerja jahat yang dibuat tanpa selindung.

Kejahatan bersangatan itu meninggalkan kesan amat membimbangkan di kalangan parti lawan, khususnya PAS. Bahawa potensi Umno bertindak di luar kewarasan amat sukar dijangka. Justeru, demi memastikan pertembungan lebih selamat dan selesa, terutama di waktu malam, PAS terpaksa “merehatkan” muslimatnya dari pentas pilihan raya.

Sebab itu kita dapati tiada calon wanita diketengahkan PAS selepas 1969. Mereka hanya muncul semula pada 2004. Barangkali setelah para pemimpin PAS mengambilkira perubahan zaman, terutama “penurunan” tahap kesamsengan politik di kalangan pendukung Umno sendiri.

Ia mungkin bertitik-tolak daripada detik pahit dialami parti itu yang dimalukan rakyat pada pilihan raya 1999. Parti itu ditolak majoriti pengundi Melayu. Keputusan pilihan raya itu sekali gus menjadi kejutan amat menyentap keegoan Umno.

Ia juga mewujudkan keyakinan lebih tinggi di kalangan parti pembangkang. Manakala rakyat terbanyak semakin celik dan membutuhi keadilan berpolitik. Justeru, aspek keselamatan semua pihak bertanding semakin terjamin.

Lalu pada 2004 kita menyaksikan kemunculan semula calon-calon dari muslimat PAS. Untuk kerusi Parlimen, kita ada Siti Nor Abdul Hamid Tuah di Alor Star, Kalthom Othman di Pasir Puteh, Dr Lo’ Lo Mohd Ghazali di Bukit Gantang dan Dr Siti Mariah Mahmud di Kota Raja. Hanya Kalthom diisytiharkan menang, sebelum kemudiannya dibatalkan mahkamah.

Bagi kerusi Dun pula, PAS mengemukakan muslimat di enam kerusi, masing-masing dua di Kedah, satu di Kelantan dan tiga di Selangor. Mereka ialah Dr Rohani Abd Muttalib (Jitra), Ustazah Siti Aishah Ghazali (Merbau Pulas), Rohani Ibrahim (Tanjong Mas), Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan (Lembah Jaya), Mastura Muhamad (Seri Setia) dan Dr Halimah Ali (Selat Kelang). Hanya Rohani yang menang.

Jumlah mereka yang bertanding dan menang sedikit bertambah pada pilihan raya lalu. Muslimat PAS berjaya menawan tiga Parlimen menerusi Siti Zailah Mohd Yusoff di Rantau Panjang, Dr Siti Mariah (Kota Raja) dan Dr Lo’ Lo (Titiwangsa).

Manakala di peringkat Dun, mereka menang di empat kerusi, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Kedah dan Selangor. Wan Ubaidah Wan Omar menang di Kijang, Kelantan, bersama Rohani yang mempertahankan Tanjong Mas.

Dr Halimah menawan Selat Kelang, manakala Ustazah Siti Aishah merampas Merbau Pulas. Kepimpinan mereka malah ditagih lebih jauh apabila dilantik menganggotai Exco Kerajaan Negeri masing-masing.

Beberapa tokoh muslimat lain bagaimana pun belum bernasib baik. Mereka ialah Siti Merian Naam (Parlimen Jempol), Dr Rohani (Dun Jitra), Hasnah Hashim (Dun Bayan Lepas), Ustazah Nuridah Salleh (Dun Tahan) dan Ustazah Azizah Khatib Mat (Dun Luit).

Wajar disebutkan juga di sini bahawa kemunculan kali pertama seorang calon yang diiktiraf mewakili Kelab Penyokong PAS adalah dari kalangan wanita. Cik Kumutha Rahman, yang bertanding menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat, dianggap mewakili PAS di Dun Tiram, Johor.

Diharap paparan di atas sedikit memperbetulkan tanggapan kita, andai berlaku pemesongan, kononnya PAS selama ini tidak begitu mengiktiraf kebolehan wanita memimpin.

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily pada 20 Januari 2011 dengan tajuk sama)

Monday, January 17, 2011

Pakatan perlu fokus, elak isu kontroversi

Harapan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibahim agar Pakatan Rakyat (Pakatan) tidak hilang fokus dan terus menambah baik khidmat kepada rakyat wajar dinilai dari perspektif lebih luas. Biar pun pada asbabnya, kenyataan itu ditujukan secara khusus kepada kerajaan negeri Selangor yang beliau sifatkan sedang diasak bertubi-tubi oleh Barisan Nasional (BN), tidak ada salahnya negeri-negeri lain di bawah Pakatan ikut menghayati pegangan sedemikian.

Dalam pidatonya di Stadium Malawati, Shah Alam minggu lalu, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) itu antara lain menarik perhatian hadirin tentang nafsu besar BN untuk merampas semula negeri itu dari Pakatan. Katanya, Selangor dianggap mutiara bagi Umno.

Bagi mencapai hasratnya, BN didakwa melakukan berbagai muslihat. Kerajaan negeri diserang menerusi berbagai manipulasi isu, menyebabkan Pakatan secara umumnya terpaksa berada dalam kedudukan ‘bertahan’.

Memang diakui BN, khususnya Umno, amat pakar mencipta dan memanipulasi sesuatu isu. Penguasaannya ke atas kerajaan Pusat memudahkan BN memanfaatkan segala bentuk alat propaganda bagi menggambarkan keburukan parti lawan.

Di antara kegemaran BN mutakhir ini ialah mencetuskan isu-isu yang mampu diolah bagi membentuk persepsi kononnya Pakatan bermaksud mengubah status quo negara. Isu-isu kononnya pembangkang mencabul Perlembagaan Negara, menghina institusi diraja dan menggugat hak istimewa orang Melayu amat laris ditaja dan dijaja.

Sayugia diakui bahawa sedikit-sebanyak isu-isu yang berterusan dimainkan media dan berbagai alat propaganda BN itu memberi kesan kepada rakyat negara ini. Orang Melayu khususnya dikatakan semakin diragukan dengan hala tuju Pakatan.

Mereka bahkan ditakutkan dengan kemungkinan terhakisnya beberapa hak asasi sebagai bumiputera seandainya Pakatan mengambil alih teraju pemerintahan negara.

Tidak syak lagi persepsi sedemikian akan menghasilkan implikasi politik yang tidak menguntungkan Pakatan. Ia bukan sahaja mampu membantutkan usaha menguasai Putrajaya sepertimana dicanangkan, bahkan tidak mustahil turut menghakis sokongan dan dokongan rakyat terhadap beberapa negeri yang kini ditadbir Pakatan.

Banyak sangat isu kebelakangan ini yang mengaitkan Pakatan sebagai pihak yang cuba menghapus atau menghakis sesuatu yang telah sekian lama diterima sebagai asas kehidupan.

Isu-isu menyentuh kedudukan dan hak istimewa Raja-Raja Melayu misalnya, bagaikan tidak berkesudahan. Ia pernah menghangatkan pentas politik negara ekoran krisis di Perak. Kini ia cuba diheret lagi dengan isu pentadbiran di Selangor.

Kes-kes melibatkan kesucian agama Islam juga kerap dijulang. Isu wakil rakyat dan pemimpin bukan Islam memasuki masjid dan surau misalnya, tidak kurang meninggalkan kesan kepada rakyat. Begitu juga isu pemimpin bukan Islam membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Mungkin di kalangan masyarakat terpelajar di ibukota dan bandar-bandar besar perkara ini mudah diperjelaskan. Namun, ia tidak sebegitu mudah dihurai kepada rakyat, khususnya orang Melayu di luar bandar.

Kerap kali kita diyakinkan bahawa isu ini mampu dimanfaat untuk mendedahkan kejahatan Umno mengadu-domba dan memfitnah. Hujah kita bahawa kes-kes serupa turut dilakukan para pemimpin bukan Islam di kalangan komponen BN.

Memang diakui hakikatnya begitu. Tetapi jangan lupa bahawa dalam apa isu sekali pun di negara kita ini tidak semestinya sesuatu itu jika dibuat BN kelihatan okay dan dapat diterima rakyat, ia juga akan menjadi baik jika dilakukan Pakatan.

Umno/BN adalah pakar putar belit, amat mahir menggelapkan keburukannya dan mendedahkan kesilapan lawan. Lihat saja kes cadangan pemakaian tulisan Mandarin dan Tamil di papantanda jalan di Pulau Pinang beberapa tahun lalu.

Negara kita bagaikan hampir kiamat dibuatnya. Ia menjadi peluru paling baik untuk BN dan konco-konconya membina persepsi negatif di fikiran rakyat mengenai kesudahan nasib Bahasa Melayu sekiranya negara jatuh ke tangan Pakatan.

Sedangkan semua pihak sudah sekian lama maklum betapa Umno sendiri selaku tunjang kuasa tidak lah terlalu cemerlang dalam usaha memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu. Tetapi apabila sensitiviti itu disentuh pembangkang, ia begitu mudah dimanipulasi untuk menggambarkan kononnya Umno di pihak yang membela Bahasa Melayu.

Mangsa utama perkembangan tidak sihat hasil isu-isu sebegini tentu sekali parti yang banyak bergantung harap kepada undi Melayu. Memang suatu yang malang, orang Melayu dibuktikan sebagai kelompok rakyat paling sukar diterangkan sesuatu isu. Mereka mudah menelan bulat-bulat apa juga hujah dan propaganda BN.

Sebab itu ada baiknya Pakatan mengambil langkah lebih cermat dalam menangani apa-apa isu. Seeloknya para pemimpin Pakatan elakkan diri terlibat dengan sebarang isu kontroversi. Sebaliknya fokuskan kepada gerakerja yang boleh membuktikan kemampuan urustadbir yang baik di setiap peringkat kepimpinan.

Sepertimana yang pernah ditegaskan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu, fokus utama Pakatan kini ialah membuktikan secara amali, khususnya menerusi pemerintahan di negeri-negeri yang kita kuasai, bahawa kita mampu mengurus pemerintahan dengan baik dan berupaya memberikan khidmat kepada rakyat jauh lebih baik berbanding BN.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1606, 17 Januari 2011 dengan tajuk sama di ruangan 'kolumnis', F21)

Friday, January 14, 2011

Ayuh kita hijaukan bumi Kemaman!

Oleh: Mohd Nasir Awang

ESOK, Sabtu, 15 Januari bakal menjadi satu lagi titik penting dalam sejarah PAS, khususnya di Terengganu. Belasan ribu pendukung segenap peringkat parti dari seluruh negeri itu dijadualkan membanjiri Dataran Tok Guru di Kampung Geliga, Kemaman.

Mereka bakal menjayakan program Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU), salah satu mata rantai aturcara menyempurnakan agenda utama dilancarkan parti di peringkat Pusat beberapa bulan lalu. Himpunan itu diharap menjadi pencetusan gelombang kebangkitan rakyat Terengganu menolak Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Melalui himpunan ini kita (PAS negeri) harap dapat membentuk persepsi rakyat bahawa Umno sudah tidak relevan dan perlu diganti. Sebab itu kita mengajak semua lapisan rakyat Terengganu bersama kita,” ujar Pegawai Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Abdullah.

Beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Panitia HKR-PGU bahkan memaklumkan pihaknya telah terlebih dahulu menyebarkan maklumat dan membangkitkan kesedaran di kalangan rakyat negeri itu mengapa mereka perlu menolak Umno.

Secara khusus, katanya, agenda itu dimulakan 24 Disember lalu. PAS Terengganu telah menganjurkan Seminar PAS Ganti Umno di Markas Tarbiyah PAS Kuala Terengganu. Himpunan sepetang itu dikatakan mendapat sambutan luar dugaan.

“Alhamdulillah, kita jangkakan hanya sekitar 700 yang akan datang, tapi petang itu lebih 1,200 orang kita hadir dari seluruh negeri”, katanya.

Bagi beliau dan kepimpinan PAS negeri, kesungguhan ditunjukkan para pemimpin dan pendukung parti di segenap peringkat itu adalah petanda amat membanggakan. Ia menandakan wujud kesedaran agak tinggi di dalam masyarakat untuk menjayakan agenda dicanangkan parti.

Tidak syak lagi, kejayaan seminar itu membakar semangat kepimpinan PAS Terengganu untuk menapak dengan lebih yakin menyempurnakan misi PGU itu. Himpunan di Kemaman ini adalah siri pertama jelajah PGU ke kawasan-kawasan di seluruh negeri.

“Kita sengaja pilih daerah Kemaman di atas beberapa perkiraan. Antaranya ialah kerana ia daerah Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said. Sebagai satu gimik politik yang agak menarik, ‘gelombang’ ini kita mulakan di daerah Menteri Besar dan akan kita akhirkan di daerah bekas Menteri Besar (Besut)’, sambung Ustaz Wan Sukairi lagi.

Sebab lain ialah kerana ia daerah paling selatan dan disifatkan sebagai pintu masuk dari Pantai Barat. Berbeza dengan suasana pra-pilihan raya 1999 yang menyaksikan ‘gelombang’ kemenangan PAS Terengganu masuk dari pintu utaranya bersempadan Kelantan, ‘gelombang’ menolak Umno kali ini diakui lebih menyerlah berlaku di Pantai Barat.

Pihak penganjur mensasarkan kehadiran 20,500 orang. Untuk itu setiap PAS Kawasan ditugaskan mengerah para pendukung mengikut kemunasabahan logistik masing-masing. Kemaman selaku kawasan tuan rumah sudah tentu diharapkan mampu menggerakkan kehadiran paling tinggi, sekurang-kurangnya 4,000 peserta.

Manakala tiga kawasan paling jauh, iaitu Hulu Terengganu, Setiau dan Besut masing-masing perlu menghantar sekurang-kurang 2,000 pendukung.

Melihatkan penyampaian maklumat dan perkembangan kesedaran agak positif di kalangan pendukung parti di peringkat bawahan, angka itu insya Allah dapat dihampiri, jika pun tidak berjaya dicapai.

Apa pun bakal berlaku, yang pastinya ‘gelombang’ yang diharapkan bakal dicetus di HKR-PGU itu sebenarnya sudah pun berkumandang dalam masyarakat negeri itu. Di sana-sini kedengaran mereka bercakap mengenai PGU. Ia bukan semata-mata berkaitan program sehari itu, tetapi dalam konteks lebih luas.

Kain rentang dan poster PGU yang disebarluas dan dipamerkan di serata negeri juga turut menghasilkan impak kepada rakyat. Bagi yang mengetahui dan memahami ia sebagai satu agenda parti, mereka membacanya beserta perasaan bangga dan penuh harap ianya dapat dicapai.

Bagi masyarakat terbanyak yang belum benar-benar mendalami isi maksud PGU pula, pameran sepanduk dan poster berbagai rupa itu mencetuskan naluri ingin tahu. Sekurang-kurangnya ada yang mula berfikir mengenai slogan ‘PAS Ganti Umno’.

Malah tidak kurang juga yang nampak rasional di sebalik slogan itu, terutama apabila dikaitkan dengan berbagai tindakan Umno/BN yang semakin hari semakin menghimpit kehidupan rakyat. Tidak mustahil antara mereka akan teringat kembali suasana kehidupan lebih baik dan mewah sewaktu PAS memerintah Terengganu dulu.

Sebetulnya, jika diminta rakyat Terengganu membandingkan mana yang lebih baik di antara pemerintahan BN kini berbanding kerajaan PAS dulu, mereka yang ikhlas akan mengakui bahawa pemerintahan PAS lebih baik dari banyak segi.

Memang akan sentiasa ada pihak yang mengatakan sebaliknya. Bukan sahaja kalangan pendukung Umno, bahkan sebilangan orang PAS sendiri pun ada yang ‘bermasalah’ untuk menilai secara positif pengalaman berguna ditempa parti dulu.

Walau pun berkesempatan memerintah hanya sepenggal, PAS Terengganu telah membuktikan banyak perkara. Bagi mereka yang tidak hipokrit atau terlalu emosional dan bersentimen peribadi, tentu tidak sukar mengakui bahawa urustadbir negeri, hubungan peribadi pemimpin-pegawai kerajaan, pengurusan kewangan negeri, pentadbiran agama, kehidupan bersyariat dan kecaknaan terhadap kebajikan masyarakat di bawah kerajaan PAS adalah jauh lebih baik berbanding BN, sama ada sebelum kita memerintah dulu mahu pun sekarang.

Kini orang Terengganu sudah mula bercakap kembali mengenai kenangan manis itu. Ia tidak syak lagi amat menggusarkan Umno. Betapa sukarnya sebilangan pemimpin parti itu mengurus perasaan bimbang mereka menyebabkan ada yang tergamak berusaha menggagalkan program PGU dicanangkan PAS.

Yang menjadi mangsa kerakusan politik mereka ialah kain-kain rentang PGU. Ada poster dan kain rentang mengenai program tersebut ‘dilenyapkan’ oleh pihak yang tidak diketahui.

Di beberapa kawasan pula, ia diketahui dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Namun, siapa sebenarnya di sebalik tindakan PBT itu tidak sukar ditelah.

“Ya, memang PBT mengakui menerima tekanan “pihak atasan” untuk bertindak menurunkan kain rentang PGU. Ia berlaku terutamanya di Dun Seberang Takir dan Bukit Tunggal, di (Kawasan) Kuala Nerus. Ia juga berlaku di Besut,” ulas Wan Sukairi.

Namun kita percaya kerja sabotaj itu sedikit pun tidak mematahkan semangat orang kita untuk ikut menjayakan HKR-PGU esok. Sebaliknya lagi kuat tekanan dan pengkhianatan dibuat Umno, selalunya lagi ia menambahkan bersemangat pendukung PAS tampil membela parti.

Sebagai usaha menampakkan impak besar dan berkesan, pihak penganjur meminta setiap hadirin lelaki mengenakan t-shirt berwarna hijau, terutama hijau terang. Manakala peserta muslimat dijanjikan selendang berwana sama.

Jika arahan itu dipatuhi sebaiknya setiap yang hadir, insya Allah akan dapat kita saksikan lautan manusia berpakaian hijau akan bergerak dan berkumpul di Kemaman, esok.

Untuk itu, pastikan diri anda (yang berada berdekatan) tidak ketinggalan menjayakan himpunan amat bersejarah ini. Ayuh, marilah sama-sama kita banjirkan Dataran Tok Guru dengan ‘gelombang hijau’ dan kita jayakan slogan ‘PAS Ganti Umno’!

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 14 Januari 2011 dengan tajuk "Gelombang hijau: Umno Terengganu mulai cemas. Ia turut dipetik laman The Malaysian Insider & DetikDaily)

Thursday, January 13, 2011

Sukarnya harapkan ketenangan di Tenang

Tidak sukar dimengertikan mengapa daripada ratusan tanah rancangan Felda di serata negara, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memilih Felda Tenang di Labis, Johor sebagai lokasi majlis rasmi Felda pertama dihadirinya selaku Pengerusi agensi itu.

Jika tidak kerana kawasan Felda tersebut termasuk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang yang bakal menyaksikan pilihan raya kecil akhir bulan ini, besar kemungkinan beberapa lokasi lain dinilai lebih munasabah untuk dirakam detik amat bermakna buatnya itu.

Felda Lurah Bilut di Pahang, misalnya, lebih wajar dipertimbangkan mengambilkira sejarahnya selaku kawasan paling awal dibuka tanah rancangan itu di negara ini. Atau, pihak pengurusan Felda sendiri mungkin akan memilih kawasan paling cemerlang, sama ada dari sudut pencapaian hidup para penerokanya atau produktiviti ladangnya, sebagai lokasi majlis sulung Pengerusinya yang baru itu.

Atau secara peribadi, Mohd Isa sendiri mungkin lebih berminat memulakan langkah turun padang melaksanakan tugas barunya itu di mana-mana kawasan Felda yang berpotensi memberikan saham politik kepadanya. Boleh jadi beliau akan memilih satu kawasan Felda di negerinya sendiri, terutama yang berdekatan dengan kawasan khidmatnya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Bekas Naib Presiden Umno yang dibuktikan bersalah terbabit politik wang itu dilantik sebagai Pengerusi Felda yang baru berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Majlis Ramah Mesra bersama kira-kira 500 peneroka di Dewan Serbaguna Felda Tenang, 5 Januari adalah majlis rasmi pertama dihadirinya. Di kesempatan itu beliau menyerahkan Bonus Insentif Produktiviti kepada wakil-wakil peneroka membabitkan lebih 15 tanah rancangan Felda dalam Wilayah Segamat.

Kenapa dari sebegitu banyak kawasan Felda di seluruh daerah itu, Felda Tenang juga yang dipilih sebagai lokasi majlis itu tidak perlu lagi dipersoalkan. Sudah ditelah tadi bahawa ia ada kaitan sangat munasabah dengan pilihan raya kecil yang bakal diadakan.

Apatah lagi, Mohd Isa turut mengambil kesempatan pertemuan itu untuk memasak minda para hadirin (sebahagian besarnya pengundi Dun Tenang) agar mengekalkan sokongan mereka terhadap Barisan Nasional (BN).

Bagai diduga, tidak ada pula mana-mana pihak yang menganggap penganjuran majlis itu suatu perlanggaran terhadap larangan berkempen sebelum selesainya proses penamaan calon, sepertimana ditegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor seminggu sebelum itu. Media arus perdana bahkan tanpa teragak menyiarkan laporan beserta ucapan Mohd Isa yang secara jelas bertujuan berkempen bagi pihak BN itu.

Barangkali semua pihak sudah muak dengan manipulasi sebegitu. Kita juga dapat menduga BN sudah bersedia dengan jawaban andai dipertikaikan. Ada ungkapan klise di kalangan para pemimpin parti itu kononnya majlis sedemikian bukan untuk berkempen, tetapi sebagai rutin menyempurnakan agenda pemerintahan.

Lebih memualkan, ada juga pemimpin tergamak memperbodohkan minda rakyat dengan hujah pandir kononnya majlis-majlis di bawah pelbagai kementerian itu sebenarnya telah lama dirancang. Ia hanya secara kebetulan berlangsung di kawasan berlakunya pilihan raya kecil.

Kita percaya berbekalkan alasan loyar buruk itulah, beberapa pemimpin BN sudah pun berlumba-lumba membawa program kementerian dan agensi diterajui masing-masing ke Tenang sejak lebih seminggu lalu.

Di hari sama berlangsungnya majlis membabitkan Mohd Isa itu, Tan Sri Rahim Tamby Chik selaku Pengerusi Risda melancarkan Kelab Usahawan Risda Daerah Segamat di Balairaya Pekan Air Panas, Labis.

Keesokannya giliran Dato’ Seri Shafie Apdal pula berada di situ dalam dua program berasingan. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Tanam Semula Peringkat Negeri Johor di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, selain satu majlis membabitkan Tabika KEMAS di Felda Chemplak.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Fuad Zarkashi juga dilaporkan menghadiri beberapa majlis rasmi di sekitar Dun Tenang. Antaranya majlis ramah mesra bersama guru-guru dari seluruh Dun tersebut, bertempat di Sekolah Kebangsaan Felda Tenang, Jumaat, 7 Januari.

Ada pun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan sudah tidak perlu diperkatakan lagi kekerapannya berada di situ. Beliau bagaikan bertukar portfolio sejak kematian Adun kawasan tersebut dan bertugas sepenuh masa menjamin kemenangan BN di Dun Tenang.

Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman juga sering berulang-alik ke situ. Beliau telah mengadakan pertemuan khusus dengan beberapa kelompok pengundi, termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia dan masyarakat India penghuni beberapa ladang dalam Dun berkenaan.

Apa yang berlaku itu menunjukkan BN sendiri selaku penyandang kerusi siang-siang lagi gagal menujukkan sikap “bertenang” dalam mematuhi arahan SPR berhubung pilihan raya kecil di situ. Sebaliknya parti pemerintah itu terlalu gopoh, bukan sahaja mengatur strategi, malah sedari awal turun melakukan kempen pra-tempoh.

Dalam keadaan ia agak ketinggalan ke belakang berbanding BN dalam proses menemui dan menambat hati pengundi, apakah PAS mampu mengawal sikap “bertenang” jentera kempennya sebaik wisel kempen dibunyikan 22 Januari nanti?

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah, Bil: 1605, 14 Januari 2011 dengan tajuk "Sukar mengharapkan 'ketenangan' di Tenang" di ruangan 'kolumnis', F21).

Sunday, January 9, 2011

Masjid guna azan tv, BN gagal bela agama

Memang tepat catatan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, bahawa Umno amat tidak serius membela agama. Penegasan itu antara 30 rasional terkandung dalam kertaskerjanya bertajuk ‘PAS Ganti Umno: Rasional dan Tindakan’ yang dibentangkan di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, akibat sikap tidak bertanggungjawab Umno selaku tunjang pemerintahan negara dan beberapa negeri, banyak isu berkaitan agama yang mengguris perasaan orang Melayu Islam berlaku dalam negara.

Kes ketiadaan bilal dihadapi sebuah masjid di Terengganu sehingga memaksa jawatankuasanya memanfaatkan laungan azan di televisyen setiap kali masuk waktu solat mungkin boleh dijadikan contoh paling memalukan. Keadaan itu dikatakan telah berlanjutan sejak hampir tiga tahun lalu, bilamana kekosongan jawatan bilal gagal diisi oleh kerajaan negeri dipimpin Umno.

Biar pun sukar dipercayai, ia hakikat yang perlu diterima memandang ia didedahkan pihak bertanggungjawab terhadap pengurusan majis itu sendiri. Sebuah tabloid harian edisi Terengganu, Rabu (5 Januari) lalu memetik kenyataan Pengerusi Masjid Jamek Chukai, Abdul Hamid Johari berhubung nasib menimpa masjidnya itu.

Menurutnya, sejak seorang bilal masjid berkenaan bersara pada Jun 2008, seorang lagi bilal terpaksa mengambil tugas setiap hari. Keadaan itu memaksa mereka meletakkan mikrofon masjid pada televisyen ketika masuk waktu solat sekiranya bilal terbabit sakit atau tidak hadir bertugas.

Apa yang lebih dikesalkannya, masalah itu telah pun disampaikan ke pengetahuan kerajaan negeri sedari awal. Kata Abdul Hamid, pada Oktober 2009, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memaklumkan tidak dapat menyediakan pengganti dikehendaki. Jabatan itu sebaliknya meminta jawatankuasa masjid mengemukakan calon bilal itu.

“Akur dengan permintaan itu kita memilih dan menghantar calon pada 20 Disember tahun sama (2009). Namun, sehingga sekarang perkara ini rupanya masih tiada penghujung,” beliau meluahkan kekesalannya.

Kita percaya jika benar kerajaan dipimpin Umno itu serius menangani masalah tersebut, ia tidak perlu mengambil masa sehingga hampir tiga tahun menyelesaikannya. Pemerintahan singkat PAS di negeri itu boleh dijadikan bukti.

Tanpa hipokrasi diakui masalah kekurangan imam dan bilal turut wujud di zaman PAS. Ia sebenarnya diwarisi dari pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

Bagaimana pun, PAS mengambil tindakan serius mengisi sebahagian kekosongan terbabit. Hasilnya, pada awal 2003 (selepas tiga tahun mengambil alih pemerintahan), terdapat hanya 473 kekosongan kedua-dua jawatan tersebut di seluruh Terengganu.

Kekurangan itu bagaimana pun hampir keseluruhannya berjaya ditampung menerusi pelaksanaan strategi ‘serampang dua mata’ memanfaatkan pegawai-pegawai lantikan politik terutama di Unit Pembangunan Insan (UPI) dan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR). Mereka diarah dan diberikan kebenaran khas menampung tugas imam dan bilal di masjid-masjid yang memerlukan.

Pendekatan diambil kerajaan PAS itu bagaimana pun gagal dihormati BN sebaik merampas semula Terengganu pada 2004. Puluhan imam dan bilal dilantik di bawah kerajaan PAS ditamatkan perkhidmatan, semata-mata atas serakah politik. Akibatnya, masalah kekurangan penjawat itu di seluruh negeri mencanak kembali.

Kegagalan BN menangani kekurangan itu malah pernah ditegur Sultan Terengganu sendiri. Di dalam titah baginda sewaktu merasmikan Masjid Sultanah Nur Zahirah di Bandar Marang pada Julai 2006, Sultan Mizan Zainal Abidin meminta kerajaan pimpinan Umno memikirkan kaedah melahirkan pelapis imam dan bilal dalam usaha menangani masalah berkenaan yang disifatkan baginda sebagai semakin serius.

Teguran baginda itu secara tidak langsung mendedahkan kegagalan Umno memberi keutamaan menyelesaikan masalah itu. Lebih menarik lagi dalam titah sama, Baginda turut mengingatkan kerajaan negeri bahawa pendekatan mewujudkan pelapis itu sebenarnya telah dipraktikkan sebelum itu.

“Sebahagian pegawai masjid dan pendakwah yang berkhidmat hari ini merupakan mereka yang dilahirkan dari pendekatan ini. Oleh itu perkara ini amat memerlukan kecaknaan dan perhatian kerajaan negeri,” titah baginda.

Walau pun baginda tidak menyebutnya secara jelas, titah itu dianggap merujuk kepada pendekatan dibuat kerajaan PAS sebelumnya. Dalam ertikata lain, ia sebenarnya satu pengiktirafan terhadap kejayaan PAS menyelesaikan masalah tersebut.

Malangnya, keprihatinan Sultan selaku ketua agama negeri itu bagaikan tidak diambil serius oleh Umno. Masalah itu bukan sahaja gagal ditangani, malah jumlah kekosongan imam dan bilal semakin bertambah.

Kenyataan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu, Mohamad Ramli Noh, sepertimana disiarkan akhbar pada 9 November lalu membuktikan segalanya.

Beliau mengakui ketika ini terdapat kira-kira 1,000 kekosongan imam dan bilal yang gagal diisi di masjid-masjid mukim seluruh Terengganu. Justeru, kes terbaru didedahkan Masjid Jamek Chukai ini tidak lagi boleh dianggap terpencil.

Kita percaya pokok pangkal kegagalan menyelesaikannya bukan kerana Terengganu ketandusan calon berkelayakan. Ia lebih didorong faktor sikap Umno itu sendiri.

Pertama, parti itu terlalu mengutamakan merit politik dalam memilih calon imam dan bilal. Kedua, Umno juga tidak meletakkan soal menyelesaikan hal-hal berkaitan agama seumpama itu sebagai keutamaan pemerintahannya. Isu kekurangan pegawai penguatkuasa agama yang dihadapi negeri itu sejak 2004 adalah contoh lain.

Apa yang berlaku di Terengganu itu mungkin boleh dijadikan contoh membenarkan hujah Idris tadi. Ia sekali gus menguatkan rasional kenapa Umno perlu diganti PAS sebagai tonggak pemerintahan negara.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini adalah versi lebih panjang daripada yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1604, 10 Januari 2011 dengan tajuk serupa di ruangan 'kolumnis', F8)