Thursday, November 1, 2012

Memugar kompetensi, memacu potensi

Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim. Segala pujian tertentu hanya buat Allah Azza wa Jalla, yang dengan kudrat dan iradatNya jua majalah kesayangan anda ini terus menemui pembaca, sekaligus menyambung usaha menyebarluas ilmu dan tips-tips kehidupan berlandaskan syairat Islam yang suci.

Sejajar tuntutan perkembangan semasa, Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd (PDDSB) selaku penerbit majalah Era Muslimah dan majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah telah melakukan rombakan kecil teraju utamanya, awal Oktober lalu. Tiada lain tujuan penyusunan semula itu dibuat melainkan sebagai usaha dan ikhtiar kita selaras hasrat memperbaiki apa yang kurang sempurna, memperkuat apa yang lemah dan mempertingkat apa yang belum dioptimakan.

Sedari awal kemunculan majalah ini kami menerima lebih banyak reaksi dan maklumbalas positif daripada para pembaca. Apatah lagi kebanyakan mereka merupakan peminat asal kepada majalah al-Muslimah, yang juga diterbitkan PDDSB. Malah, tidak ramai yang menyedari perubahan “terlalu kecil” pada nama majalah ini. Perbezaan antara kedua-dua majalah itu hampir tidak wujud memandangkan ia diterajui pasukan sama.

Pun begitu, ia bukan hakikat untuk kami berpuas hati dan berpada dengan apa yang telah sedia ada. Kami berpegang kepada prinsip bahawa sesuatu perkhidmatan senantiasa terdedah kepada penilaian kompetensi dan potensi. Ia mesti bersifat progresif dan senantiasa dipertingkatkan sejajar perkembangan tahap perkhidmatan dan juga perubahan persekitaran urusniaga terbabit.

Justeru, kami perlu peka terhadap tuntutan perubahan. Maka, menjadi komitmen kami untuk bersikap terbuka menerima segala teguran dan mengakui andai kedapatan sebarang kelemahan dan kekurangan, terutama berkait persembahan majalah-majalah terbitan kami. Mudah-mudahan dengan bersikap positif terhadap segala reaksi itu Allah Ta’ala akan lebih memudahkan kami menemui jalan menuju ke arah mencapai yang terbaik.

Di atas komitmen sama, kami akan terus mengorak langkah ke depan mempertingkatkan  mutu persembahan majalah ini. Untuk itu, sokongan dan dukungan para pembaca sekalian amat kami harapkan.

Wassalam.

Mohd Nasir Awang
Ketua Pengarang PDDSB


(Artikel ini disiarkan majalah bulanan ERA Muslimah, Bil. 10 (November 2012) di ruangan "CORETAN KETUA PENGARANG" dengan tajuk sama. Ia merupakan catatan sulung penulis selepas menjawat tugas baru itu.)

Menyumbang untuk Islam tanggungjawab semua

Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

SEGALA puji tentunya buat Allah SWT yang telah mentakdirkan apa jua cubaan atau kepayahan ditimpakan ke atas setiap hamba-Nya itu mengandungi rahmat dan hikmat tersendiri. Salah satu pengajaran penting yang Islam terapkan kepada umatnya ialah betapa mehnah atau tribulasi, atau apa jua istilah digunapakai, merupakan di antara unsur terpenting mendewasa dan mematangkan sesuatu perjuangan atau kerja-buat kita.

Bahkan, dalam keadaan atau kes-kes tertentu, cubaan atau cabaran yang datang itu membantu “merawat” sebahagian kelemahan dalaman umat Islam itu sendiri, seterusnya menghasilkan sesuatu yang positif dan baik untuk kita melangkah ke hadapan.

Hal ini jelas dapat kita lihat menerusi kebangkitan massa baru-baru ini bagi menzahirkan kecintaan mereka terhadap Islam dan Junjungan Besar Muhammad saw. Walau pun tidak dinafikan perasaan menyayangi dan memuliakan Baginda saw itu senantiasa tersemat di hati masing-masing, usikan daripada pihak yang “memusuhi” Islam ternyata menjadi pemangkin untuk mereka bangkit, bersatu dan melupakan sebilangan perbezaan antara mereka.

Berbetulan dengan peristiwa itu, kami memilih pembicaraan tanggungjawab seorang muslim terhadap agamanya sebagai tema umum edisi kali ini. Tema ini disentuh secara berasingan, menurut skop dan perspektif pembicaraan tersendiri menerusi beberapa kolum (baca FIKRAH: Islam diganyang – apa sumbangan anda membelanya?; WARKAH KAMPUS: Tanggungjawab seorang muslim terhadap agamanya dan MEMBELEK ARKIB: Tindakan bersama mengangkat karya Islam.

Bagi menyerlahkan ancaman karya Barat yang berniat jahat terhadap Islam, kami sorot kembali beberapa contoh kes yang pernah menjadi pencetus bantahan menyeluruh umat Islam serata dunia, apabila sebilangan pihak sewenang-wenang menghasilkan karya yang jelas menghina agama suci ini (baca SOROTAN SEMASA: Karya-karya yang menghina Islam).

Diharapkan pembicaraan ini setidaknya membawa kita kepada kesimpulan bahawa setiap kita bertanggungjawab menyumbang untuk Islam, menurut kadar dan kesesuaian yang ada pada diri masing-masing.

Al-Faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini adalah catatan EDITORIAL majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Bil: 10 (November 2012), disiarkan dengan tajuk sama)

Karya-karya yang menghina Islam

Oleh: Mohd Nasir Awang

Muqoddimah
Baru-baru ini umat Islam sekali lagi diterjah dengan satu bentuk penghinaan yang seakan menjadi kecenderungan baru para pengkarya Barat mutakhir ini. Islam sekali lagi dijadikan bahan persendaan. Secara lebih spesifik, yang sekali lagi menjadi fokus ejekan dan persendaan mereka ialah peribadi Rasulullah saw.

Menerusi pembikinan treler video bertajuk “Innocence of Muslims”, Baginda saw cuba digambarkan sebagai seorang yang ganas, zalim, kaki perempuan, tidak berperikemanusiaan dan sebagainya. Bagai diduga, tidak ada individu muslim yang benar-benar cintakan Rasulullah saw yang akan bersedia menerima sebarang bentuk penghinaan mahu pun ejekan terhadap peribadi teragung dan termulia itu. Seruluh dunia Islam yang sensitif jiwa mereka terhadap kesucian agama bangkit membantah.

Kami mengambil kesempatan ini untuk ikut menyatakan bantahan terhadap karya yang jelas bermaksud memberikan gambaran sangat salah terhadap Islam itu. Malah, kita beranggapan bahawa kes terbaru ini adalah salah satu mata rantai perjuangan kuffar yang sengaja dan berterusan berusaha menjatuhkan imej dan maruah agama suci ini.

Sebagai pengiktibaran, berikut kami paparkan sorotan siri penghinaan serupa yang pernah berlaku dan menjadi fokus bantahan umat Islam serata dunia dalam tempoh lebih dua dekad lalu. – Editor

Innocence of Muslims
Innocence of Muslims ialah video anti-Islam, dihasilkan oleh Nakoula Basseley Nakoula, menggunakan nama samara “Sam Bacile”. Biar pun pada awalnya dia menafikan, siasatan pihak berkuasa di Amerika Syarikat (AS) mendapati Nakoula dan Sam Bacile adalah orang yang sama.

Dalam pengakuannya, Nakoula mendakwa hasrat sebenarnya ialah menghasilkan filem epik berdurasi dua jam. Bagaimana pun filem dimaksudkan itu tidak pernah disahkan kewujudannya.

Klip video 14 minit ini mula dimuatnaik ke YouTube pada Julai 2012, di bawah tajuk The Real Life of Muhammad dan Muhammad Movie Trailer. Video yang menggunakan bahasa Arab dimuatnaik pada awal September 2012, dan dipromosi oleh seorang bernama Morris Sadek, menerusi emel dan blog National American Coptic Assembly.

Pada 9 September, 2012, petikan video YouTube itu disiarkan Al-Nas TV, sebuah stesen tv milik gerakan Islam Mesir. Ekoran itu, pada 11 September, protes dan demonstrasi membantah filem tersebut meletus di Mesir dan Libya. Ia kemudiannya merebak dengan cepat ke negara-negara Arab lain dan seluruh dunia Islam.

Kematian Duta AS ke Libya, J. Christopher Stevens dan tiga pegawainya sering dicatat sebagai kasualti utama bantahan itu. Bagaimana pun, menurut pegawai AS dan Libya, serangan ke atas misi diplomatik AS di Benghazi, Libya pada 11 September yang mengakibatkan kematian itu mungkin sesuatu yang telah pun dirancang lebih awal dan tiada kaitan dengan video tersebut.

Apa pun yang sebenarnya berlaku di situ, yang jelas ialah video tidak bertanggungjawab itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia. Mereka memprotes dan menyatakan bantahan terbuka, termasuk mengadakan rapat umum di jalan-jalan raya, menyerahkan nota bantahan kepada kedutaan AS di negara masing-masing serta mendesak agar Google selaku pengendali YouTube segera memadamkan paparan video di laman itu.

Charlie Hebdo
Charlie Hebdo (bahasa Perancis, bermaksud Mingguan Charlie) ialah majalah/akhbar satira mingguan yang memaparkan kartun, laporan dan berita, polemik dan lawak jenaka. Dengan sikap non-conformist dan tidak menghormati kemuliaan pihak lain, penerbitan ini menzahirkan sikapnya yang anti-agama, berhaluan kiri dan anarkis.

Berbekalkan sikap dan prinsip itu, majalah ini tidak sunyi dari usaha memburukkan kepercayaan orang lain, terutama umat Islam. Dilaporkan antara penghinaan terawalnya terhadap Islam ialah menerusi paparan edisi 9 Februari 2006.

Muka depannya memaparkan lakaran yang ditujukan kepada Nabi Muhammad saw dalam keadaan menangis, disertakan tajuk "Mahomet débordé par les intégristes" (Muhammad dikerumuni para fundamentalis"). Disertakan juga kata-katanya, "C'est dur d'être aimé par des cons" (amat sukar apabila anda disayangi oleh para penyangak ).

Majalah ini juga menyiarkan semula 12 karikatur kontroversi (yang didakwa menggambarkan Nabi Muhammad saw) yang pernah disiarkan akhbar Denmark, Jyllands-Posten, tanpa menghiraukan bantahan umat Islam yang sedang memuncak ketika itu.

Siri penghinaannya terhadap Islam diteruskan. Edisi 3 November 2011 memaparkan karikatur seseorang yang dinamakan sebagai Muhammad, yang berserban dan berjanggut panjang. Ada kata-kata di sebelahnya bermaksud, “100 sebatan jika anda tidak mati akibat ketawa."

Edisi khasnya itu turut menamakan “Nabi Muhammad” sebagai “ketua pengarang”. Dipercayai akibat persendaan yang wewenangan itu, pejabat majalah itu diserang pada awal pagi 2 November, 2011.

Umat Islam Perancis membantah. French Council of Muslim Faith dalam kenyataan awalnya menganggap penyiaran itu sebagai sikap biadab majalah tersebut terhadap Islam dan Nabinya, walau pun menegaskan tidak bersetuju dengan sebarang bentuk serangan fizikal terhadap kepentingan majalah tersebut.

Tabiat jahat itu bagaimana pun diulangi lagi. Pada September 2012, majalah itu menyiarkan siri kartun satira memaparkan “Mohammed”, sebahagiannya dalam keadaan berbogel. Mengambilkira penyiaran ini dibuat hanya beberapa hari selepas siri serangan ke atas kedutaan AS di Timur Tengah sebagai reaksi terhadap filem anti-Islam Innocence of Muslims, kerajaan Perancis terpaksa mengambil langkah keselamatan menutup kedutaan, konsulat, pusat kebudayaan dan sekolah antarabangsa miliknya di lebih 20 negara umat Islam.

Menteri Luarnya, Laurent Fabius, malah menganggap kesengajaan Charlie Hebdo itu tidak ubah ibarat “menuangkan minyak ke dalam api” kemarahan umat Islam serata dunia ketika itu. Pejabat majalah itu turut diberikan kawalan ketat.

Submission

Submission ialah filem pendek berdurasi 10 minit dihasilkan pengarah dan penerbit filem Belanda, Theodoor “Theo” van Gogh. Ia dihasilkan berdasarkan skrip ditulis Ayaan Hirsi Ali, Ahli Parlimen Belanda kelahiran Somalia.

Filem ini menyentuh apa yang didakwa sebagai keganasan terhadap wanita di sebilangan masyarakat Islam; dengan menggunakan teknik visual, ia menceritakan kisah empat wanita Islam yang didakwa didera.

Tajuknya, Submission, ialah terjemahan perkataan "Islam", bermaksud “penyerahan”, merujuk kepada penyerahan diri umat Islam kepada Tuhan. Di dalam filem ini, wanita berbogel dengan teks al-Quran tertulis di badan mereka dan dilitupi pakaian separuh lutsinar dipaparkan sedang melutut dan berdoa, seolah-olah meluahkan penderitaan mereka kepada Allah.

Pada Ogos 2004, selepas Submission ditayangkan di tv awam Belanda, Van Gogh and Hirsi Ali menerima ancaman bunuh. Sementara Hirsi Ali menyembunyikan diri, Van Gogh sebaliknya tidak mengambil ancaman itu suatu yang serius dan menolak diberikan perlindungan keselamatan.

Sebelum itu pun, Van Gogh memang sudah dikenali sebagai seorang yang sangat kuat mengutuk Islam, terutama selepas serangan 11 September 2001 ke atas Pusat Dagangan Dunia, di New York, AS. Bukunya yang menyusul selepas itu (2003) bertajuk Allah weet het beter (Allah lebih mengetahui) sarat dengan kutukan dan penghinaannya terhadap agama Islam.

Pada pagi 2 November 2004, Van Gogh ditembak mati ketika berbasikal dalam perjalanan ke pejabatnya di Amsterdam Eastborough. Ekoran kejadian itu, pihak keselamatan Belanda menahan sebilangan individu Islam yang disyaki terlibat. Manakala bantahan masyarakat awam mensasarkan masyarakat Islam turut tercetus.

Lebih seratus serangan fizikal ke atas orang-orang Islam direkodkan. Berbelas masjid dan pusat kepentingan umat Islam turut menjadi sasaran pengkhianatan, termasuk beberapa buah sekolah rendah Islam yang dilontar bom api.

Jyllands-Posten
Jyllands-Posten ialah sebuah akhbar Denmark. Kontroversi mengenainya tercetus ekoran tindakannya menyiarkan 12 karikatur yang didakwa menggambarkan Nabi Muhammad saw dalam berbagai gaya dan perbuatan. Karikatur itu disiarkan pada edisi 30 September 2005, dengan tajuk "Muhammeds ansigt", bermaksud "Wajah Muhammad".

Masyarakat Islam Denmark membantah dan isu itu kemudiannya mencetuskan protes seluruh dunia. Kemuncak protes berlaku empat bulan kemudian, iaitu antara lewat Januari dan awal Februari 2006.

Kedutaan Denmark di Pakistan dibom. Kedutaannya di Syria, Lubnan dan Iran pula dibakar. Sebilangan syarikat multinasional dari negara-negara Arab memboikot urusan dagang dengan syarikat-syarikat Denmark. Di beberapa negara, protes aman bertukar ganas, mengakibatkan keseluruhannya lebih 100 nyawa terkorban.

Perdana Menteri Denmark, Anders Fogh Rasmussen menyifatkan apa yang dialami negaranya itu sebagai krisis antarabangsa paling buruk sejak Perang Dunia II.

Taslima Nasreen
Taslima Nasreen adalah penulis kelahiran Bangladesh yang sangat konsisten melontarkan pertikaian terhadap hukum dan peraturan Islam, khususnya bersabit hal ehwal wanita. Bukan sekali-dua, malah berkali-kali beliau menghasilkan karya yang mengundang kontroversi, sekaligus membuakkan kemarahan umat Islam.

Sikapnya itu berkekalan sedari awal dekad 90-an hingga kini. Kerap kali pula subjek dipertikaikannya itu menyerlahkan lagi kecetekan ilmunya terhadap hukum dan peraturan Islam dimaksudkan.

Walau pun dilahirkan di dalam sebuah keluarga Islam, Nasreen memilih untuk menjadi seorang atheis. Manakala di dalam penulisannya, beliau mengambil pendekatan feminis.

Hasil karyanya tidak begitu diperkatakan orang, sehinggalah terbitnya novel Lajja (Keaiban) pada 1993. Novel ini mengisahkan bagaimana sebuah keluarga Hindu dihukum oleh masyarakat Islam. Ia turut memaparkan grafik menceritakan bagaimana seorang wanita Hindu dirogol lelaki Islam. Buku ini diharamkan oleh kerajaan Bangladesh pada tahun sama.

Penerbitan novel ini jelas cubaan memfitnah umat Islam. Ia membangkitkan kemarahan mereka. Akibatnya, Nasreen berdepan serangan fizikal, kutukan dan ancaman.

Pada Oktober 1993, sebuah kumpulan fundamentalis Islam dinamakan Majlis Tentera Islam menawarkan ganjaran untuk kematiannya. Pada Ogos 1994, beliau didakwa di mahkamah atas dakwaan mengeluarkan kenyataan menghina Islam dan berdepan ancaman bunuh daripada kumpulan fundamentalis.

Selepas menghabiskan masa dua bulan menyembunyikan diri, di penghujung 1994, beliau memboloskan diri ke Sweden. Beliau tidak pernah dapat kembali ke Bangladesh selepas itu, sebaliknya hidup dalam pelarian di Eropah Barat dan Amerika Utara selama sedekad. Pasportnya dibatalkan oleh kerajaan Bangladesh, sebaliknya diberikan kerakyatan oleh Sweden, dan hidup di Jerman.

Antara 2004-2007, beliau tinggal di Kolkata, India. Di kesempatan itu beliau meneruskan tabiatnya yang suka mengusik hukum dan peraturan Islam menerusi tulisan di akhbar tempatan. Umat Islam bangkit membantah dan mendesak tindakan sepatutnya oleh pihak pemerintah. Beliau akhirnya dipaksa meninggalkan India pada Mac 2008.

Di antara kenyataannya yang paling dipertikaikan ialah apabila beliau menyifatkan perkahwinan hanyalah sebagai lesen untuk kaum lelaki menjadikan wanita (isteri) sebagai hamba seks dan mangsa deraan.

Di kesempatan lain, Nasreen mempersoalkan kenapa wanita Islam perlu menerima hukuman sama berat dengan kaum lelaki, sedangkan dalam hal pembahagian harta pusaka kaum itu hanya berhak memperolehi separuh bahagian diperolehi kaum lelaki. Begitu juga dalam bab kesaksian, penerimaan kesaksian daripada seorang lelaki sama nilai dengan dua saksi wanita. Justeru, beliau mencadangkan agar wanita yang didapati bersalah melakukan apa-apa sepatutnya menerima hanya separuh hukuman berbanding lelaki (buku Nirbachita Column)

Banyak juga kenyataannya disifatkan para ulama terhasil ekoran kedangkalannya terhadap ilmu agama, sebaliknya menjadikan pemikiran logik akal sebagai sandaran. Antaranya apabila beliau menulis, ‘wanita Islam berhak melalukan hubungan seks dengan 72 jejaka sewaktu hidup ini, memandangkan mereka tidak akan mendapat keistimewaan ini di syurga nanti” (berbanding lelaki yang dijanjikan bidadari syurga).

Kemudian, Nasreen memperlekehkan amalan melontar Jamrah dalam ibadat Haji. Katanya, “apabila Allah tidak dapat membunuh syaitan, lalu bagaimana mungkin orang Islam dapat membunuhnya dengan melontar anak-anak batu?”

Hingga kini sikap yang suka mempertikai (baca: Mempersenda) hukum Islam itu tidak berubah. Beliau juga kekal hidup dalam pelarian dan ketakutan di Eropah.

The Satanic Verses
The Satanic Verses ialah karya keempat oleh Salman Rushdie, diterbitkan pada 1988 dan sebahagiannya mengambil inspirasi kehidupan Nabi Muhammad saw. Novel ini mencetuskan kontroversi meluas apabila umat Islam berasa terhina oleh persendaan dibentangkan di dalamnya.

Novel ini antara lain menghidangkan gubahan semula periwayatan kisah hidup Nabi saw menerusi watak bergelar “Mahound” atau “Messenger” yang hidup di sebuah tempat bernama “Jahilia” (dimaksudkan kepada Mekah). Mainan bahasanya dalam menggambarkan watak utama ini sangat jijik, tidak bertanggungjawab dan amat biadab terhadap kemuliaan Nabi saw.

Di dalam bab lain digambarkan juga sebilangan isteri nabi di dalam watak sebagai pelacur.
Kemuliaan kitab suci al-Quran dan risalah kenabian Baginda saw turut dinodai menerusi perbuatan sebilangan watak “sahabat” Nabi yang bukan sahaja mempertikaikan kenabian Baginda, malah sewenangnya mengabaikan ajaran kitab suci itu.

Sepertimana pengkarya lain, Rushdie dan khalayak yang menyokong novel ini berhujah di atas kebebasan bersuara. Ia dianggap tidak lebih daripada satu karya kreatif yang tidak perlu dibantah atau dianggap menghina Islam.

Bantahan di kalangan umat Islam bagaimana pun semakin meluas. Rushdie dianggap menyalahgunakan kebebasan bersuara dan berkarya. India mengharamkan pengimportan buku itu. Sejumlah naskhah novel itu dibakar dalam demonstrasi di beberapa negara. Satu-satunya negara bermajoriti penduduk Islam yang tidak mengharamkan novel tersebut ialah Turki.

Pada 14 Februari 1989, Ayatollah Ruhollah Khomeini, pemimpin agung Iran mengeluarkan fatwa agar Rushdie dibunuh. Kerajaan British terpaksa memberikan perlindungan 24 jam kepada beliau.

Walau pun Rushdie sendiri tidak pernah diserang akibat karyanya itu, beberapa pihak yang ada hubungkait dengan novel tersebut menerima akibatnya. Antara yang menjadi mangsa ialah penterjemah berbangsa Jepun, Hitoshi Igarashi, yang ditikam hingga mati pada 11 Julai 1991. Di bulan sama Ettore Capriolo, penterjemah Itali, cedera parah ditikam.

William Nygaard, penerbit di Norway, ditembak di Oslo pada Oktober 1993, tapi terselamat. Manakala penterjemah Turki, Aziz Nesin, turut menjadi sasaran cubaan bunuh.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Bil;10 (November 2012) di Kolum "SOROTAN SEMASA" dengan tajuk sama)