Sunday, January 27, 2008

Senarai kedua perubahan besar Terengganu di bawah Idris


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

OLEH kerana semua pihak yang ditemubual akhbar-akhbar harian minggu lalu dilaporkan bersetuju bahawa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh telah berjaya membawa perubahan besar dan drastik sepanjang menerajui kerajaan negeri, maka ada baiknya diteliti semula apakah perubahan-perubahan yang dimaksudkan itu.

Penelitian itu dirasakan perlu agar kita tidak berlaku tidak adil terhadap hakikat sebenar yang sedang melanda negeri itu. Bagi memberikan gambaran lebih seimbang, adalah tidak wajar mana-mana pihak sekadar mengulangsebut perkara-perkara yang sedap dan muluk sahaja. Sedangkan “senarai kedua” perubahan-perubahan yang memberikan kesan negatif kepada masyarakat negeri itu kita sembunyikan di bawah tikar.

Minggu lalu akhbar-akhbar menyiarkan pandangan balas pemimpin politik dan anggota masyarakat di Terengganu mengenai kesediaan Idris meninggalkan jawatan tertinggi kerajaan negeri itu. Kononnya beliau diura-urakan akan dilantik sebagai menteri Pusat pula selepas pilihan raya nanti.

Perkara itu disebut beliau sendiri dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco, 16 Januari lalu. Ekoran itu, akhbar menyiarkan pula pandangan pelbagai pihak yang mahukan Idris kekal menerajui negeri itu. Keseluruhan alasan mereka berkisar soal kejayaan beliau memacu pembangunan besar dan drastik sepanjang menjadi Menteri Besar.

Sebetulnya cerita pembangunan fizikal di Terengganu sudah tidak perlu diulangsebut. Selama ini pun ia telah jenuh diperkatakan. Tidak cukup menerusi bahan-bahan terbitan kerajaan negeri, usaha Barisan Nasional (BN) mengubah wajah Terengganu turut dipaparkan di dada akhbar dan media elektronik. Ia dimasyhurkan lagi dengan paparan ratusan papan tanda di tepian jalan serata negeri.

Apa yang sengaja tidak disebut ialah sekumpulan lagi perubahan besar yang juga dicetuskan pemerintahan BN. “Senarai kedua” ini melibatkan kerja-kerja kotor dan jahat BN yang tidak dapat dinafikan mana-mana pihak. Rakyat sendiri menjadi saksi atas segala perbuatan durjananya itu.

Di antara kejayaan besar pemerintahan BN ialah mengubah suasana kerja yang mesra di kalangan kakitangan awam kepada suasana takut dan terkongkong. Ia bermula dengan ugutan diterima beberapa pegawai tinggi kerajaan.

Sebahagian mereka malah dipaksa melepaskan jawatan. Yang bertegas mempertahankan jawatan “disejuk-bekukan” sebelum akhirnya dicarikan justifikasi untuk ditamatkan perkhidmatan mereka.

Kongkongan terhadap penjawat awam tidak terhenti setakat itu. Diperkenalkan pula berbagai konsep perkhidmatan yang menjurus kepada tekanan dan ancaman tindakan disiplin.

Suasana tidak mesra itu ditambah pula dengan pemasangan tv litar tertutup (CCTV) di Wisma Darul Iman. Nampak sangat sikap curiga kerajaan negeri terhadap kakitangan awam di tahap sangat melampau.

Para pemimpin tidak percaya kepada anak buah sendiri hingga sanggup membuat pengawasan atas segala gerak-geri mereka. Ataukah rakyat Terengganu memang suka kerja mereka diawasi ketua pejabat setiap masa?

Dalam perkembangan terbaru, kumpulan demi kumpulan guru-guru di Terengganu dikerahkan untuk menyatakan ikrar serta akur kepada BN. Bermula 13 Januari lalu, kumpulan guru-gruru J-QAF dihimpunkan dan dipaksa membaca ikrar tersebut. Isnin lalu (21 Januari) kumpulan guru-guru sekolah kebangsaan pula dihimpunkan untuk tujuan sama.

Perubahan besar kedua di bawah pemerintahan BN ialah suburnya perpecahan dam benci-membenci di kalangan anggota masyarakat, terutama membabitkan kumpulan berbeza fahaman politik. Perubahan ini juga drastik apabila BN secara rakus dan zalim merampas tanah dan merobohkan rumah rakyat.

Golongan paling dibenci mangsa-mangsa kezaliman itu ialah para penjuak BN di peringkat bawahan, terutama pemimpin Umno cawangan dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Kehidupan harmoni di kampung-kampung seakan kembali ke era 70-an dan 80-an, ketika mana perpecahan memuncak di Terengganu.

Ketiga, pupusnya majlis-majlis ilmu dan kemakmuran masjid-masjid. Punca utama perubahan besar ini ialah tindakan jahat BN memecat imam/bilal, mubaligh dan penceramah agama. Jumlah mangsa mencecah ratusan orang di seluruh negeri.

Tindakan terhadap imam/bilal itu menyebabkan makmum mereka juga turut lari daripada masjid. Bahkan, ketiadaan penceramah agama berwibawa menyebabkan majlis ilmu dianjurkan BN gagal menarik kunjungan ahli kariah.

Di masa sama, BN gagal mengisi kekosongan mereka itu. Sehinggakan masalah kekurangan imam/bilal itu ditegur Sultan Terengganu dalam satu titah Baginda pada Julai 2006.

Tindakan BN menamatkan khidmat puluhan penolong penguatkuasa agama sukarela di seluruh negeri juga mencetuskan perubahan besar. Apabila penguatkuasa agama atau lebih dikenali sebagai ‘pencegah maksiat’ tidak mencukupi, para pelaku maksiat semakin berani berbuat demikian.

Bangangnya BN ini, ia tidak berusaha menggantikan mereka yang dipecat itu, menyebabkan operasi pencegahan maksiat sering tidak dapat disempurnakan. Akibatnya, maksiat berleluasa di segenap ceruk negeri pada tahap yang semakin sukar dikawal.

Perubahan kelima ialah lambakan ketara pesta-pesta hiburan dan pertunjukan pentas. Barangkali perubahan ini memang sealiran dengan cara hidup pemimpin BN.

Jangan lupa kadar jenayah pelbagai kategori juga meningkat ketara semenjak empat tahun lalu. Itu juga satu perubahan besar di bawah pemerintahan Idris.

Justeru, rakyat tidak wajar diajak sekadar mengingati perubahan besar dan drastik di Terengganu dari sudut pembangunan fizikal sahaja. Segala keburukan dan kezaliman, pembaziran dan pemborosan yang dilakukan kerajaan BN sebenarnya turut menghasilkan perubahan besar dan drastik.

Cuma ia diletakkan di “senarai kedua” yang cuba disembunyikan.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 18-24 Muharram 1429/27 Januari-2 Februari 2008 dengan tajuk sama)

‘Negara Berkebajikan’ bukan omong kosong


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SILAP besar sekiranya ada mana-mana pihak menganggap cita-cita PAS mewujudkan “Negara Berkebajikan” sebagai omong kosong. Malah agak melampau dan pesimis andainya hasrat murni membantu rakyat itu diremehkan sebagai sekadar angan-angan.

Apatah lagi, dalam keupayaan terbatasnya, PAS telah membuktikan kesungguhannya merealisasikan perkara itu secara praktikal menerusi pemerintahannya di Kelantan dan Terengganu.

Sabtu, 19 Januari lalu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan hasrat partinya menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Berkebajikan’ sekiranya rakyat memberi peluang kepada PAS memerintah negara selepas pilihan raya umum nanti.

Dasar utama manifesto partinya itu disebutnya pada Majlis Ceramah Perdana Bersama Presiden PAS dekat Kuantan, Pahang. Antara langkah kebajikan yang dijanjikan PAS ialah menurunkan harga runcit minyak, menawarkan sistem pembelajaran percuma di sekolah rendah dan menengah bagi semua aliran, serta memastikan perkhidmatan kesihatan percuma di hospital dan klinik kerajaan.

Menerusi konsep ‘Negara Berkebajikan’ juga, PAS berjanji akan memansuhkan segala akta dan peraturan yang mengongkong dan menyukarkan kehidupan rakyat, terutama Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sebenarnya apa yang dinyatakan Presiden PAS itu bukan perkara baru. Saya sendiri pernah mendengar kalimah “negara berkebajikan” itu diucap berkali-kali dalam beberapa Ucapan Dasar Presiden PAS, sama ada oleh Almarhum Datuk Fadzil Noor mahu pun Almarhum Pak Yusof Abdullah Rawa.

Kalimah sama turut terkandung dalam ucapan-ucapan penting para pemimpin PAS terdahulu seperti Allahyarham Tan Sri Mohd Asri Muda, Almarhum Prof. Zulkiflee Muhammad dan Almarhum Dr. Burhanuddin Mohd Noor.

Ertinya, konsep itu telah lama diutarakan, bertitik-tolak daripada apa yang disebutkan Tuhan di dalam al-Quran, “Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur”.

Pengumuman Tuan Guru minggu lalu bagaimana pun disambut sinis beberapa pemimpin parti lawannya. Antara yang paling awal memberikan komen ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa dan rakan sejawatnya di Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris menyifatkan janji PAS mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Berkebajikan’ sebagai karut dan ‘omong kosong’. Beliau mendakwa parti itu telah gagal merealisasikan perkara itu ketika berpeluang memerintah Terengganu sebelum ini. Betulkah begitu?

Annuar pula mencabar PAS agar terlebih dahulu menjadikan Kelantan yang telah diperintahnya sebagai contoh negeri berkebajikan itu sebelum berangan-angan mewujudkan pemerintahan sedemikian di peringkat negara.

Saya kira komen kedua-dua pemimpin Umno itu agak emosional dan tidak realistik. Apatah lagi kedua-dua mereka hidup di tengah-tengah dua negeri yang telah menyaksikan beberapa juzuk daripada konsep itu telah direalisasikan kerajaan PAS.

Sebagai seorang yang mengambilalih teraju pemerintahan daripada PAS, Idris sendiri tidak dapat menafikan bahawa kerajaan pimpinannya telah mengekalkan beberapa pendekatan dan keputusan dibuat kerajaan PAS sebelum ini. Antaranya ialah penghapusan tol di Jambatan Sultan Mahmud, merentangi Sungai Terengganu.

Sepanjang pemerintahan BN dulu, setiap kenderaan empat roda ke atas dikenakan tol sebanyak 50 sen sehala setiap kali melintasinya. PAS berjanji menerusi manifesto pilihan raya 1999 lalu untuk menghapuskan kutipan itu. PAS tidak mengambil masa walau 24 jam untuk menunaikannya sebaik memenangi pilihan raya tersebut.

Mana mungkin Idris tidak tahu perkara itu, sedangkan kerajaannya kini masih meneruskan penghapusan tol itu? Jika dia menganggap janji manifesto PAS itu “karut”, mengapa tidak dikutipnya semula tol itu?

Dalam tempoh pemerintahan hanya empat tahun itu juga, PAS Terengganu telah berjaya melakukan banyak perkara untuk kebajikan rakyat. Antaranya menaikkan elaun imam dan bilal. Bayangkan, selama 38 tahun di bawah BN dengan pendapatan royalti minyak yang banyak, elaun imam hanya RM180 sebulan.

PAS telah menaikkannya kepada RM350 sebulan. Langkah itu memberi ilham kepada lain-lain negeri diperintah BN menawarkan elaun lebih munasabah untuk imam/bilal mereka. Kerajaan Pusat kemudiannya menetapkan elaun bulanan kepada para imam di seluruh negara pada kadar lebih tinggi.

Kerajaan PAS Terengganu juga menubuhkan beberapa dana awam seperti Tabung Darul Iman, Dana Masjid dan Tabung Kebajikan Bukan Islam. Diwujudkan juga pusat perubatan Islam bagi menawarkan perkhidmatan percuma atau dengan caj berpatutan mengikut kemampuan pesakit.

Untuk kakitangan awam, diperkenalkan skim pinjaman tanpa faedah untuk perumahan dan kenderaan. Turut dilaksanakan ialah sistem kerja lima hari seminggu dan kemudahan cuti bersalin 90 hari untuk kakitangan wanita serta cuti isteri bersalin untuk suami selama tujuh hari.

Sistem kerja mingguan itu turut dilaksanakan di peringkat nasional. Manakala kemudahan cuti bersalin lebih panjang itu dalam pertimbangan kerajaan Pusat untuk turut dilaksanakannya.

Sebahagian langkah itu telah didahului kerajaan PAS Kelantan. Selain sistem kerja lima hari, cuti bersalin 60 hari dan pinjaman tanpa faedah untuk kakitangan, Kelantan juga mewujudkan Tabung Serambi Mekah, Skim Armalah dan Anak Yatim, Takaful Kifaalah dan banyak lagi. Masakan Annuar tidak tahu perkara itu?

Asas utama “Negara Berkebajikan” ialah mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Ia tidak terbatas kepada aspek ekonomi sahaja. Kekuatan konsep itu akan lebih menyerlah jika dinilai dalam konteks lebih luas, termasuk aspek agama, sosial dan politik.

Sudah tentu apa yang telah dilakukan PAS di Kelantan dan Terengganu bukan segala-galanya yang hendak dicapai menerusi konsep tersebut. Apatah lagi kemampuan sebuah kerajaan negeri amat terbatas, dari sudut kewangan mahu pun undang-undang.

Pun begitu, langkah-langkah yang telah dilaksanakan itu telah membuktikan bahawa janji PAS itu bukan sekadar angan-angan atau omong kosong. Kalau nak tahu keupayaan sebenar PAS merealisasikannya di peringkat negara, berilah peluang kepadanya!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 18-24 Muharram 1429/27 Januari-2 Februari 2008 di kolum ‘PERSPEKTIF’ dengan tajuk sama)

Sunday, January 20, 2008

Dr Mahathir akui Abdullah tiada kualiti?


Oleh: MOHD NASIR AWANG

NAMPAK sangat mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya terhadap kepimpinan negara yang ada sekarang. Asal saja ada kesempatan yang baik untuknya meluahkan isi hati itu, beliau tidak akan membiarkan peluang itu berlalu.

Ahad lalu (13 Januari) kesempatan itu datang lagi. Beliau diundang berucap pada Persidangan Siswazah 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Kebetulan pula tema perhimpunan itu dikatakan berkisar soal kepimpinan.

Di dalam ucapannya Dr. Mahathir sekali lagi menyentuh aspek kualiti dan kegagalan dalam kepimpinan. Beliau menegaskan seseorang itu perlu mempunyai kualiti yang betul untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.

Tambahnya, cara seseorang pemimpin itu mengendalikan kegagalannya akan memperlihatkan sama ada dia benar-benar mempunyai kualiti tersebut atau sebaliknya.

“Ini kerana mungkin terdapat ribuan orang di negara ini mempunyai kualiti kepimpinan yang baik tetapi mereka tidak berjaya cuma kerana beberapa keadaan yang tidak membantu mereka”, kata Dr. Mahathir.

Sebaliknya, katanya mungkin terdapat mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan yang lemah tetapi mereka mungkin menjadi pemimpin kerana kepimpinan diamanahkan kepada mereka.

Sepintas lalu, tiada apa yang luar biasa pada ucapan sebegitu. Ia hanyalah konsep kepimpinan yang mungkin dikongsi ribuan motivator atau penceramah lain.

Bagaimana pun, mengambilkira pendirian Dr. Mahathir yang sangat sinis terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, istilah “kualiti kepimpinan yang lemah” tadi bagaikan ditujukan kepada seseorang.

Siapa lagi kalau bukan penggantinya itu? Apatah lagi ini bukan kali pertama Dr. Mahathir membuat kritikan terbuka terhadap Abdullah.

Dalam satu majlis dialog anjuran NGO pada Jun 2006, Dr. Mahathir dikatakan memperlekeh Islam Hadhari yang dipelopori Abdullah. Di ketika lain, Dr. Mahathir mendakwa kepimpinan Abdullah telah menukar corak pemerintahan menjadi “Negara Polis”.

Ekoran kritikan terbukanya, bekas Presiden Umno itu menjadi sasaran kecaman dan kutukan pelbagai lapisan partinya sendiri. Rakan-rakan dari parti-parti kerabat Barisan Nasional juga ada yang tumpang sama menempelak bekas pemimpin utama mereka itu. Dr. Mahathir dianggap pelupa dan pengacau yang cuba mengganggu-gugat perjalanan kerajaan.

Pertemuan empat mata antara beliau dengan Abdullah dua hari sebelum Eidulfitri 2006 juga gagal meredakan kekecewaannya. Dalam pertemuan dua jam itu Dr. Mahathir dikatakan mengambil masa satu jam setengah mengkritik Abdullah secara berdepan.

Tidak cukup dengan itu, beliau kemudiannya mengadakan beberapa sidang akhbar dan terus mengkritik penggantinya itu. Abdullah dalam reaksinya menyifatkan kritikan Dr. Mahathir itu “umpama racun yang berbisa”.

Ogos lalu, Dr. Mahathir sekali lagi menjadi perhatian. Beliau dikatakan menyeru rakyat khusunya orang Melayu supaya tidak lagi memberi sokongan kepada kepimpinan negara hari ini yang disifatkannya telah banyak melakukan kerosakan selain membiarkan amalan rasuah berleluasa. Beliau dilaporkan berkata demikian dalam syarahannya di program anjuran Majlis Prihatin Malaysia (Prima) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Di majlis sama mantan Perdana Menteri itu turut melahirkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan awam yang dilihatnya semakin buruk berbanding ketika era pemerintahannya. Dakwaannya itu ada benarnya mengambilkira fakta terkini peningkatan pelbaga jenayah dalam negara.

Pendirian Dr. Mahathir itu dilihat mengukuhkan lagi pengakuannya sebelum itu bahawa beliau mungkin telah membuat keputusan yang silap dengan memilih Abdullah sebagai penggantinya. Tanpa selindung Dr. Mahathir turut mengakui bahawa Abdullah bukanlah pilihan pertamanya untuk mengambil alih teraju negara apabila beliau bersara pada Oktober 2003.

Dr. Mahathir dilaporkan pernah menyebut, “saya telah membuat banyak kesilapan sepanjang kerjaya saya. Saya telah membantu ramai orang tetapi mereka telah menikam saya dari belakang.... saya ada tabiat silap memilih orang”.

Ahad lalu, Dr. Mahathir bagaikan mengulangi pengakuan itu apabila berkata, “tidak kira berapa banyak yang kita belajar mengenai kualiti untuk menjadi pemimpin yang baik, masih tidak mustahil yang kita memilih pemimpin yang salah”.

Beliau turut menggariskan tujuh kualiti untuk menjadi pemimpin yang baik. Antaranya, seseorang pemimpin itu perlu bijak dan lebih pintar sekurang-kurangnya berbanding orang yang berada di bawah pimpinannya. Dia patut tahu bagaimana mengendalikan pengikutnya.

Meski pun kenyataan Dr. Mahathir itu agak umum, ia tidak dapat lari daripada maksud tersirat, terutama mengambilkira pendirian sinis beliau terhadap kerajaan yang ada. Apatah lagi jika dinilai dalam konteks semasa, penegasan itu seolah-olah mengingatkan rakyat supaya membuat pemilihan yang tepat dalam pilihan raya akan datang.

“Rakyat mungkin sama, latar belakang dan kekayaan sumber mungkin sama, tetapi apabila pemimpinnya tidak cekap atau lemah, dengan itu negara-negara terkemuka, malah empayar besar pun boleh jatuh”, katanya lagi.

Kita akui sebahagian perselisihan pendapat dan perbezaan pendekatan antara Dr. Mahathir dan penggantinya lebih bersifat peribadi. Bagaimana pun, kita tidak wajar menolak kesemuanya sehingga menafikan pengalamannya menerajui negara selama 22 tahun.

Paling tidak pandangan dan kritikan Dr. Mahathir telah membuka ruang kepada rakyat untuk menilai semula kepimpinan negara kini. Dengan segala kelemahan dan kebobrokan pentadbiran negara, rakyat tidak wajar dihalang daripada berfikir dan membuat penentuan bijak tentang masa depan mereka.

“Siapa yang tahu apa seseorang itu akan lakukan apabila dia tidak lagi di bawah kawalan kita (sudah ada kuasa). Jadi, saya sangka saya telah membuat pilihan yang baik”, kata bekas Perdana Menteri itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 11-17 Muharram 1429/20-26 Januari 2008 di kolum ‘PERSPEKTIF’ dengan tajuk sama)

Tuesday, January 1, 2008

Rokok: Apa Tanggungjawab Sosial Anda?


Oleh: Mohd Nasir Awang

PERHATIKAN dua fakta berikut. Pertama, ada tiga juta rakyat Malaysia yang membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari bagi membeli rokok. Agak besar jumlah itu bukan?

Jangan terkejut, kerana fakta kedua ini sepatutnya lebih membuatkan anda menggeleng kepala.  Kerajaan dikatakan membelanjakan RM3.5 bilion tahun ini bagi memberi rawatan kepada perokok yang menderita tiga jenis penyakit berpunca daripada tabiat buruk mereka itu.

Kedua-dua fakta ini didedahkan oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon, selepas melancarkan Infoline Berhenti Merokok anjuran kementeriannya di Kuala Lumpur, 20 November lalu.

Dua fakta itu menjuruskan kita kepada satu persoalan, apakah berbaloi perbelanjaan sebesar itu untuk menyelamatkan nyawa orang yang sengaja mencari pasal atas penyakit mereka? Maaf cakap, hakikat yang terpaksa dihadapi kerajaan itu sebenarnya suatu yang sangat malang bagi negara.

Dari satu sudut, perbelanjaan besar ditanggung kerajaan untuk tujuan merawat perokok yang sakit tidak ubah seperti kerugian ditanggung negara akibat menangani gejala penagihan dadah dan seumpamanya. Penyakit akibat merokok adalah bala yang sengaja ditempah. Justeru, apa perlunya menghabiskan wang rakyat kepada mereka yang seumpama itu?

Berbaloikah Tabiat Itu?

Lebih merugikan, tidak semua perbelanjaan besar dikeluarkan kerajaan itu berbayar. Mengikut statistik dikeluarkan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, lebih 10,000 kes kematian di kalangan perokok direkodkan di negara ini setiap tahun.

Jika anda seorang perokok tegar, jangan mudah tersinggung kalau ada orang persoalkan tabiat anda. Sebaliknya, tanyakan soalan mudah kepada diri anda sendiri, apakah faedah yang anda dan masyarakat perolehi hasil tabiat buruk anda itu?

Apakah baju dan pakaian anda kekal sewangi pakaian orang lain yang tidak merokok? Apakah persekitaran bilik, kereta atau pejabat anda menyelesakan rakan-rakan atau anak-anak buah dengan tabiat merokok anda? Itu baru kita ambilkira soal baunya.

Bayangkan pula berapa banyak faedah didapati jika belanja sebegitu besar dihabiskan pada perkara-perkara lain. Bayangkan dengan RM15 juta sehari dihabiskan untuk rokok, bermakna dalam sebulan kosnya, RM450 juta atau dalam setahun RM5.4 bilion.

Kita mungkin merasakan tidak ada hak mempersoalkan duit yang dibelanjakan untuk membeli rokok. Ia adalah hak individu. Jika dipersoalkan, nanti ada pula yang menjawab, “itu duit aku.  Suka hati aku nak beli apa pun!”

Ya, memang. Itu duit engkau. Masalahnya, apabila engkau kena serangan jantung, kena tibi, batuk berdarah dan seumpamanya, engkau tidak terus mati. Engkau pergi hospital, pergi klinik.

Jangan Menyusahkan Orang Lain...

Masalah lagi, tidak semua perokok yang sakit itu bergantung kepada duit mak bapak mereka untuk tampung kos rawatan. Alih-alih hospital kerajaan juga yang jadi tumpuan.

Duit dibelanjakan kerajaan sebanyak RM3.5 bilion setahun itu adalah duit rakyat. Bayangkan, jika tidak dihabiskan untuk merawat perokok yang sakit itu, betapa banyak pihak lain yang dapat memanfaatkan peruntukan sebesar itu.

Katakanlah untuk menyediakan gelanggang futsal bagi kegunaan remaja. Bukankah itu yang semakin digilai anak-anak muda kini? Kos pembinaan sebuah gelanggang itu adalah sekitar RM100,000.

Dengan peruntukan sebanyak RM3.5 bilion yang dihabiskan untuk merawat perokok yang sakit itu, kita boleh membina 35,000 buah gelanggang futsal di seluruh negara. Jika dibahagikan kepada 14 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan), maka secara purata sebanyak 2,500 buah gelanggang tertutup itu dapat dibina di setiap negeri.

Bayangkan pula jika duit sebanyak itu digunakan untuk membantu golongan fakir-miskin.  Katakanlah untuk membina rumah percuma bagi keluarga mereka berteduh. Sebuah rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) membabitkan kos sekitar RM33,000.  Bermakna untuk tiga buah rumah, kita perlukan RM99,000. Untuk memudahkan perkiraan, kita genapkan saja angkanya kepada RM100,000.

Ertinya, dengan duit RM1 juta, kita akan dapat membina 30 buah rumah orang miskin. Maka dengan peruntukan RM3.5 bilion tadi, sebanyak 105,000 buah rumah PPRT dapat dibina.

Bayangkan, kalau tidak kerana tabiat anda dan 3 juta rakan setabiat anda, kerajaan mungkin ada peruntukan bagi menyediakan tempat tinggal untuk lebih 100,000 fakir miskin secara percuma.

Berdasarkan kecenderungan yang ada, Kementerian Kesihatan meramalkan jumlah perokok di negara ini akan meningkat kepada 3.8 juta pada 2015 dan melebihi empat juta menjelang 2020.

Apa yang diutarakan ini bukan soal kempen dibuat kerajaan. Ia bukan semata-mata ekoran kesungguhan kementerian atau jabatan kesihatan memberi amaran tentang bahaya merokok. Ia malah turut membabitkan tanggungjawab sosial yang sepatutnya dimainkan setiap warga negara.

Perlu diingatkan bahawa asas utama dalam hidup kita ini ialah, kita tidak mahu orang lain menyusahkan kita. Di atas hasrat sama, kita juga sepatutnya berfikir agar sebarang perbuatan atau tabiat kita tidak menyusahkan orang lain. Apatah lagi jika tabiat itu menyebabkan faedah-faedah lain yang sepatutnya diperolehi orang lain turut terjejas.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Januari 2008 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)