Saturday, June 16, 2007

Penyelewengan subsidi angkara penipuan JKKK


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

TAK HABIS-HABIS cerita rakyat Terengganu memalsukan butiran peribadi semata-mata bagi mendapatkan bantuan subsidi kerajaan. Lebih membingungkan, perkara itu secara jelas mengulangi ‘kesilapan’ dan salah penyaluran yang didakwa disedari kerajaan negeri beberapa tahun lalu.

Minggu lalu, sekurang-kurangnya dua wakil rakyat parti pemerintah meluahkan kekecewaan masing-masing di atas perbuatan segelintir penerima bantuan di bawah skim Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) untuk nelayan yang menyalahgunakan perkakasan yang diberikan kepada mereka. Semuanya ekoran mereka yang menerima perkakasan itu sebenarnya bukan dari kalangan nelayan atau golongan yang benar-benar layak menerimanya.

Adun Tepoh, Muhammad Ramli Nuh, menyelar perbuatan segelintir individu yang menjual bantuan subsidi yang mereka terima demi mendapatkan keuntungan segera. 

“Sikap masyarakat yang terlalu ambil mudah untuk mengaut keuntungan segera atau mengambil jalan singkat sebagai tukaran terhadap barangan serta peralatan bantuan subsidi itu amat mengecewakan”, katanya sebagaimana disiarkan akhbar harian, 4 Jun lalu.

Menurutnya, pihaknya ada menerima laporan segelintir anggota masyarakat yang mendapat bantua bot fiber serta kelengkapan lain menjual barangan itu. Lebih mengecewakan, penerima sama, kata beliau, tidak teragak-agak memohon semula bantuan itu tahun berikutnya.

Kebetulan atau tidak, perkara sama turut dibangkitkan seorang lagi Adun BN beberapa hari sebelum itu. Adun Bukit Tunggal, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar meneliti secara terperinci kelayakan para pemohon bantuan subsidi kerajaan, sebelum sesuatu kemudahan peralatan disalurkan.

Katanya, langkah itu perlu memandangkan ada segelintir penerima terbabit tidak memanfaatkan sepenuhnya sumbangan yang diberikan.

“Saya dapati ada penerima banyuan bot kecil di sesetengah kawasan yang bukan terdiri daripada nelayan turut menerima sumbangan tersebut, sedangkan masih ada individu yang benar-benar layak tetapi tercicir”, katanya.

Beliau berharap pihak JKKK lebih telus dalam menangani masalah tersebut dan tidak sewenang-wenangnya memberi surat sokongan kepada individu yang tidak sepatutnya menerima bantuan.

Kenyataan kedua-dua Adun BN itu adalah pengakuan terbuka betapa penyelewengan dan salah penyaluran bantuan subsidi nelayan masih berlaku di Terengganu. Soalnya, patutkah perkara tersebut berulang, sedangkan kerajaan negeri sebelum ini mendakwa ia telah disedari pihaknya.

Jika diperhatikan, apa yang diluahkan Muhammad Ramli dan Mohd Nasir itu langsung tidak ada beza dengan apa yang pernah didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Wilayah negeri, Mohd Jidin Shafee pertengahan 2004 lalu.

Menurut anggota Exco negeri itu, pihaknya mendapat maklumat terdapat di kalangan penerima bantuan bot fiber, enjin sangkut, pukat dan tong fiber di bawah skim bantuan DKKP yang diuruskan pihaknya terdiri golongan yang tidak layak menerimanya. Antara mereka ada golongan berada dan bukan nelayan miskin.

Manakala sebilangan penerima lagi memang seumur hidup mereka tidak pernah menjadi nelayan. Akhirnya, dalam masa tidak sampai sebulan selepas menerima ‘anugerah’ itu, para penipu itu mula menjual barangan subsidi berkenaan untuk mendapat keuntungan mudah.

Ertinya, salah penyaluran atau penyelewengan bantuan itu telah disedari Exco berkenaan tiga tahun lalu. Sepatutnya, jika perkara tersebut betul-betul diambil serius, ia tidak akan berulang lagi. Namun, apa yang didedahkan dua Adun BN tadi menjelaskan sebaliknya.

Perbuatan penerima bantuan menyalahgunakan subsidi yang diterima, termasuk menjualnya, adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Bagaimana pun, apakah pilihan yang ada pada mereka? Sedangkan mereka sebenarnya tidak berhajat kepada perkakasan tersebut untuk mencari pendapatan hidup.

Tambahan pula antara mereka itu ada yang seumur hidup tidak pernah turun ke laut. Jangan dikatakan untuk mengendalikan bot di laut, untuk mengangkut enjin pada bot pun mereka tidak berkemahiran. Sebab itu banyak kedengaran cerita beberapa unit enjin sangkut tersebut terjatuh ke dalam laut akibat tidak diikat dengan betul pada bot. Akhirnya, jalan terbaik bagi mereka ialah menjual barangan yang diterima itu.

Kejadian-kejadian tersebut adalah bukti nyata bahawa mereka sebenarnya tidak layak menerima bantuan yang dihulurkan kerajaan itu. Soalnya, bagaimana golongan yang tidak layak disahkan sebagai layak? Di sinilah letaknya peranan dimainkan JKKK, sebagaimana dibangkitkan Mohd Nasir minggu lalu itu.

Dalam lain perkataan, salah penyaluran bantuan subsidi sebenarnya berpunca daripada salah pertimbangan pihak JKKK. Justeru, jika penyelewengan ini dianggap suatu kesalahan yang wajar dihukum, JKKK juga patut menerima hukuman sama. JKKK bertanggungjawab merekomen atau mengeluarkan surat pengesahan atas setiap permohonan.

Adalah tidak munasabah JKKK tidak mengenali anak mukimnya sendiri. Sebaliknya, tidak mustahil sudah ada pakatan antara JKKK dengan pemohon berkenaan mengenai butiran peribadi yang dikemukakan itu.

Kedua-dua mereka ini patut dihukum. Macam kisah dalam cerita Nujum Pak Belalang arahan P. Ramlee. Sultan Shahrulnizam yang murka terhadap temberang Pak Belalang tidak hanya menyalahkan Pak Belalang. Tok Penghulu Hujung Jambatan yang beriya-iya memperkenalkan Pak Belalang sebagai Tok Nujum juga dikenakan hukuman. Jika Pak Belalang dititahkan hukuman pancung, Tok Penghulu pula menghadapi kemungkinan dipenjara seumur hidup!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 16-30 Jun 2007 mengisi kolum ‘Bingkisan Dari Pantai Timur’ dengan tajuk Penyelewengan subsidi dan Nujum Pak Belalang’)