oleh: MAT ZAIN MAT ISA
SEJAUH MANA rasionalnya jika ada pihak mendakwa kekurangan aktiviti
kebudayaan di kalangan anak muda menjadi penyebab mereka terjebak dengan gejala
sosial? Persoalan itulah yang bermain di kotak fikir setiap warga Terengganu
yang membaca laporan kenyataan Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri,
Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini.
Akhbar harian 9 Mei lalu melaporkan Ahli Parlimen Kemaman itu berkata,
“kita selalu dengar ada orang kata kebudayaan itu haram dan tak boleh sehingga
jiwa anak muda kita kosong dan mendorong mereka terjebak dengan gejala sosial”.
Tanpa sembunyi, Shabery turut menjelaskan pihak yang cuba
dipersalahkannya. Laporan itu memetik katanya, “ini dapat dilihat ketika
Terengganu ditadbir kerajaan PAS dahulu apabila terdapat banyak kes penagihan
dadah dan sosial dilaporkan berlaku”.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung
PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Rasau Kertih Lima, Kemaman.
Beberapa persoalan timbul ekoran kenyataannya itu. Apakah beliau
bermaksud, di bawah kerajaan BN yang mengagungkan kebudayaan, Terengganu
sekarang bebas gejala sosial? Ataukah tahap gejala itu jauh lebih kecil
berbanding zaman kerajaan PAS dahulu?
Kata orang, kenyataan orang politik yang dirasuk sentimen kepartian
seringkali membelakangkan rasionaliti. Dia terdorong melihat hanya keburukan
parti lawan, sehingga sanggup mengemukakan hujah yang kadang-kadang tidak masuk
akal dan tidak menepati fakta sebenar. Dalam hal ini, Shabery tidak terkecuali.
Kebetulan atau tidak, persoalan mengenai gejala sosial turut berbangkit
semasa persidangan Dun Terengganu pertengahan April lalu. Ahmad Kamal Abdullah (BN-Sura) dalam soalan bertulisnya bertanyakan
kerajaan negeri mengenai tahap gejala sosial di negerinya sejak 2004. Beliau
juga meminta diberikan peratus penurunan atau peningkatan berbanding
tahun-tahun sebelumnya.
Dalam jawabannya, kerajaan Terengganu membandingkan kes-kes yang berlaku
sepanjang dua tempoh iaitu bagi tahun 2004-2005 dan tahun 2002-2003. Tanpa
disedari, perbandingan itu adalah di antara dua tahun pertama pemerintahan BN
dengan dua tahun terakhir pemerintahan PAS.
Sebanyak sepuluh jenis kes disebutkan, meliputi kes penderaan
kanak-kanak, pembuangan bayi, anak tak sah taraf (luar nikah), disiplin dan
salahlaku pelajar, kes juvana bersalah serta lumba haram. Empat lagi kes ialah
jenayah umum, dadah dalam pengawasan/pemulihan, jangkitan HIV dan jangkitan
AIDS.
Secara jujur kerajaan negeri mengakui enam daripada 10 kes tadi menunjukkan
peningkatan ketara. Antaranya, kes anak tak sah taraf meningkat 140 peratus kes
atau 36.7 peratus. Bagi 2002-03, sebanyak 381 kes direkodkan, manakala tahun
2004-05 ia naik kepada 521 kes.
Kes jangkitan HIV naik 0.27 peratus dan jangkitan AIDS naik 17.8
peratus. Kes juvana bersalah bertambah sebanyak 333 kes atau 48.7 peratus dalam
masa dua tahun pertama pemerintahan BN.
Bagi kes jenayah umum pula, peningkatan sebanyak 20.3 peratus dari 7,697
kes pada 2002-03 kepada 9,258 kes pada 2004-05. Paling ketara kes pembuangan
bayi yang meningkat empat kali ganda atau 300 peratus.
Bagi baki empat kes lagi, dua daripadanya tiada rekod lengkap, iaitu
lumba haram dan disiplin pelajar. Ertinya hanya dua kes gejala sosial yang menunjukkan
penurunan sejak BN memerintah Terengganu, iaitu kes penderaan kanak-kanak dan
kes dadah dalam pengawasan dan pemulihan.
Penurunan kes dadah itu dipercayai ekoran langkah BN menutup Kem Seliaan
dan Latihan Pemadam Negeri Terengganu (KESIHAT), sebuah pusat rawatan dan pemulihan
penagih dadah secara Islam yang dibuka kerajaan PAS di Kem Cadur, Marang.
Dalam perkembangan lain, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu
(JHEAT), Sheikh Harun Ismail turut mendedahkan peningkatan ketara kes-kes
perceraian. Menurutnya, kes perceraian pada 2005 ialah sebanyak 1,285,
meningkat 143 kes berbanding 1,142 kes pada tahun sebelumnya.
Sebagai perbandingan, dalam satu tempoh di zaman pemerintahan PAS, pihak
JHEAT pernah menyelamatkan lebih 50 peratus kes pasangan Islam yang ingin
bercerai melalui khidmat kaunseling. Kejayaan itu bagaimana pun tidak dihebohkan
media.
Fakta dan angka yang disebutkan itulah yang menyebabkan warga Terengganu
tertanya-tanya akan rasionaliti kenyataan setiausaha parlimen tadi. Bagaimana seorang
terpelajar dan bekas pensyarah seperti Shabery terlepas pandang fakta-fakta
itu?
Lebih menjadi tanda tanya ialah apakah sebenarnya ‘kebudayaan’ yang para
pemimpin BN cuba perjuangkan? Ini kerana, sering berlaku mereka hanya
berselindung di sebalik kebudayaan, tetapi apa yang cuba dibawa ialah hiburan
yang merosakkan.
Lihatlah saja program Pekan Budaya Daerah-daerah yang dijadikan acara
tahunan kerajaan Terengganu. Secara jujur, tanyalah berapa peratuskah program
selama seminggu itu diisi dengan aktiviti yang benar-benar memartabatkan kebudayaan
Melayu?
Kemudian, lihatlah pula ke negeri-negeri lain yang tidak pernah
diperintah PAS, di mana tiada sekatan terhadap ‘kebudayaan’ itu. Apakah anak-anak
muda di sana tidak terjebak dengan gejala sosial?
Mahu tidak mahu, Shabery perlu akui setakat ini rumusan beliau itu amat
meleset berbanding fakta yang ada!
(Artikel ini disiarkan akhbar
Harakah, 4-18 Jamadilawal 1427/1-15 Jun 2006 dengan tajuk sama)