Saturday, May 26, 2007

Hidup kerana sokongan fanatik

Oleh: Mohd Nasir Awang

“AKU setuju. Walau pun bukan akhbar arus perdana, Harakah ada potensi maju ke depan. Ia makin diminati. Lebih penting, ia ada fanatical support daripada ahli PAS. Ia akan maju”, itulah antara kata-kata perangsang yang diungkapkan seorang rakan sebaik diberitahu saya dilamar pihak pengurusan Harakah pada hujung 1989 lalu.

Saya mendaftarkan diri untuk bertugas di ibu pejabat Harakah di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur pada 1 Januari 1990. Menurut surat tawaran, jawatan saya ialah sebagai “Perekabentuk Berkomputer”. Barangkali kemahiran menggunakan program Pagemaker hasil pengalaman mengarang dan menerbit majalah dan buletin sewaktu di kampus banyak diambil kira pihak pengurusan untuk menawarkan jawatan tersebut kepada saya.

Walaupun bidang tugas khusus saya hanya merekaletak mukasurat untuk dicetak, ia sebaliknya menjadi tapak amat bermakna bagi saya menggilap karier di bidang penulisan. Tambahan pula Jalan Pahang Barat ketika itu turut dihuni nama-nama besar di dunia penulisan seperti Subky Latif, Zin Mahmud dan Ahmad Lutfi Othman, yang telah lama saya kagumi.

Saya masuk menggantikan seseorang bernama Lokman Ahmad. Saya tidak sempat mengenali beliau kerana dia dikatakan menapak keluar sejurus sebelum saya menjengah ke situ. Bagaimanapun, rakan-rakan di situ mengatakan rupanya tidak jauh beza dengan adik kandungnya, Abdullah Munawir Ahmad, yang turut bekerja sebagai pemandu di pejabat sama.

Telah ada untuk memandu tugas saya ialah perekabentuk berpengalaman, Alias Kamaruddin. Beliau anak jati Kuala Lumpur, lulusan komunikasi massa dari sebuah universiti tempatan. Kemasukan saya disusuli beberapa rakan lain seperti Taufek Yahaya dari Melaka, Ahmad Tarmizi Mohd Jam @ TMJ (Perak) dan Mohd Sabri Razak (Kelantan) sebagai pemberita. Mereka diawasi Zulkifli Sulong selaku Ketua Pemberita, bersama-sama Zulkifli Yahya (kami memanggilnya Pak Ya), Abu Bakar Mohd Rashid (Hulk) dan Pak Mashudi Bunyani.

Keterbatasan tenaga mahir yang membimbing kami menyebabkan kami saling menunjuk-ajar sesama sendiri. Wartawan veteran seperti Pak Subky dan Ibnu Muslim (Allahyarham Pak Hussain Yaakob) hanya datang seketika di waktu siang, biasanya untuk menaip atau menyerahkan bahan untuk kolum masing-masing.

Yang paling berpengalaman di antara kami hanyalah Zin Mahmud, bekas wartawan Utusan Malaysia sebelum menyertai Harakah dan kini kembali semula ke Utusan Malaysia), Hulk dan Zul Sulong. Ada pun Lutfi lebih banyak menumpukan masa kepada dua majalah yang diurus terbit oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat, iaitu al-Muslimah dan Dunia Islam.

Ditakdirkan Allah, dalam keadaan begitulah juga pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan permohonan menerbitkan Harakah dua kali seminggu. Maka bertambah-tambahlah bebanan tugas kami. Sehinggakan saya juga diminta menyumbang beberapa rencana sebagai menampung tugas rakan-rakan. Di situlah secara tidak langsung bermulanya pembabitan saya secara lebih luas dalam penulisan.

Seketika kemudian, penstrukturan semula Jabatan Pengarang Harakah terpaksa dibuat. Beberapa tenaga baru dibawa masuk. Mohd Nor Bujang dan Rosli Daud sebagai perekabentuk, Zalina Bujang (adik Mohd Nor) dan Siti Hajar Ibrahim sebagai jurutaip. Zahrin Ibrahim turut diambil sebagai wartawan. Isteri saya, Saodah Mohd Ajil pula diambil bekerja sebagai penterjemah.

Perubahan kecil perjawatan turut dibuat. Zin diangkat menjadi Pengarang Kumpulan Harakah, dibantu Zul Sulong sebagai Pengarang Harakah dan Lutfi sebagai Pengarang Majalah. Pak Ya dinaik taraf sebagai Pengarang Berita Harakah dan saya pula dilantik sebagai Penyunting Rencana Harakah.

Membantu Lutfi di unit majalah ialah Ruhana Ahmad dan Saridah Abdul Hamid. Lutfi juga diberi tugas menjaga beberapa muka surat Harakah , terutama berkaitan berita kampus dan aktiviti pelajar.

Pengajaran paling bermakna bagi saya sepanjang berkhidmat di situ (Januari 1990 hingga Ogos 1991) ialah semangat bekerja yang ditunjukkan rakan-rakan. Kami bekerja bagaikan satu keluarga. Semangat bantu-membantu dan persefahaman antara kami dalam menyempurnakan tugasan tidak boleh dipertikaikan. Persahabatan erat yang terjalin antara kami terbukti kekal hingga kini, walaupun sebahagian besar kami telah membawa hal masing-masing di serata negara.

Ikatan “kekeluargaan” itu menyebabkan pejabat Harakah bagaikan “rumah kedua” kami. Tiada batasan waktu dalam menyempurnakan tugasan masing-masing. Ia amat dirasai terutamanya di setiap malam deadline, iaitu malam terakhir sebelum Harakah dihantar untuk cetakan.

Kami akan bersengkang mata hingga ke pagi bagi memastikan semua muka surat siap untuk difilemkan. Selalunya tukang filem yang bernama Toh Kuang akan “menemani” kami hingga ke separuh malam, untuk membawa balik mana-mana muka surat yang sempat disiapkan.

Seringkali di atas sebab-sebab politik dan keselamatan beberapa bahan yang telah dipersetujui, bahkan telahpun siap direkaletak, terpaksa ditarik balik. Kadang-kadang berlaku pertindihan atau pengulangan berita, menyebabkan wujud kekosongan ruang.

Saya masih ingat beberapa kali sewaktu saya masih sebagai perekabentuk, Zin akan mengejutkan TMJ atau Sabri yang terlentang di celah-celah meja untuk membikin berita tambahan. Masih terbayang di mata saya bagaimana dengan mamai dan merah mata, TMJ kembali menghadap komputer di sebelah saya memerah idea untuk membikin berita. Waktu itu jam sudah hampir 4 pagi.

Dalam kes lain, Pak Ya yang baru pulang ke rumah sewanya di Rampai Court terpaksa dipanggil semula ke pejabat, juga kira-kira jam 4 pagi, untuk menyediakan bahan tambahan. Namun, atas kepentingan jamaah, kesukaran sebegitu tidak pula dirungutkan. Sebaliknya, kami masih mampu berjenaka dan menyambung tugas di waktu dini hari begitu.

Seperkara yang turut meninggalkan nostalgia bagi saya ialah kehadiran beberapa rakan Cina Muslim yang sering meraikan tugasan malam kami. Antara mereka ialah Kamal Koh, Redhuan Daniel Oon dan Ridhuan Tee. Usikan jenaka dan celoteh lucu mereka sering mengendurkan tekanan dan ketegangan kerja kami.

Tahap kesungguhan rakan-rakan dalam menjayakan Harakah ketika itu amat tinggi. Mereka sanggup bekerja tanpa mengira waktu, walaupun ganjaran yang menanti mereka hanyalah beberapa ratus ringgit sahaja. Seingat saya, yang menerima bayaran paling tinggi antara kami ialah Zin. Itu pun hanya RM770 sebulan.

Barangkali ketika itu bebanan hidup masing-masing tidak mendesak mereka menuntut bayaran lebih tinggi. Ketika itu, TMJ, Taufek, Pak Ya, Alias, Sabri, Zahrin dan Rosli masih belum berumahtangga. Walaupun sekali-sekala kedengaran juga suara nakal mempertikaikan pulangan tidak seberapa itu, komitmen masing-masing terhadap jamaah segera memadamkan desakan itu.

Segala episod yang mewarnai pengalaman saya di Harakah membenarkan kata-kata rakan saya tadi. Bahawa kekuatan utama Harakah ialah sokongan fanatik yang diberikan pendokongnya. Bukan sahaja ahli dan penyokong PAS yang memberikan sokongan fanatik mereka dengan membeli Harakah, kawan-kawan seperjuangan saya yang sanggup bekerja keras dengan pulangan ala-kadar itu juga merupakan satu lagi bentuk sokongan fanatik kepada Harakah.

Saya percaya rakan-rakan yang sedang meneruskan tugas di Harakah sekarang juga memiliki semangat bekerja seumpama kami dahulu. Tidak syak lagi, “sokongan fanatik” pelbagai pihak antara saham utama memungkinkan Harakah menyambut ulang tahunnya yang ke-20 tahun ini.

(Catatan nostalgia ini ditulis khas untuk buku “2 DEKAD TERAJUI PERUBAHAN” yang diterbitkan sempena 20 Tahun Harakah (1987-2007). Kolaborasi diterajui Ahmad Lutfi Othman ini diterbitkan oleh Jabatan Penerangan dan Penyelidikan PAS Pusat, Kuala Lumpur pada 26 Mei 2007)

Wednesday, May 16, 2007

Halau pengundi hantu guna ayat Kursi atau kerusi


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

MUKTAMAR Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) pada 28 April lalu berlangsung penuh meriah dan bersemangat. Selain menyaksikan sebahagian besar pemimpin sesi lalu mengekalkan jawatan masing-masing, ia dirasakan lebih bermakna apabila perasmiannya disempurnakan Presiden parti sendiri.

Menjadi kelaziman dalam setiap ucapan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, akan ada sesuatu yang baru dilontarkannya. Cetusan idea bernas beliau sekali gus menjadi dorongan dan inspirasi untuk anak-anak buahnya.

Di Muktamar DPPNT tempohari Tuan Guru banyak menyentuh soal persiapan dan ranjau menghadapi pilihan raya. Kesungguhan ahli parti di kawasan Marang yang sanggup keluar beramai-ramai mempertahankan imej dan maruah parti baru-baru ini turut disebut.

Dalam kejadian yang memuncak 20 April lalu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Marang cuba bertindak menyentap dan menurunkan bendera-bendera PAS yang dipasang di jalan utama daerah itu. BN mendakwa ia sengaja dipasang bagi ‘mengganggu’ kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak ke daerah itu pada hari sama. Najib ke Terengganu untuk meredakan persengketaan dalaman BN negeri dengan melancarkan strategi ‘Lautan Biru’.

Bersalahan apa yang dilaporkan media, bendera-bendera PAS itu dinaikkan bersempena ceramah umum Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu di situ pada hari sama. Minggu sama juga mesyuarat agung tahunan PAS kawasan-kawasan di Terengganu dilangsungkan. Menjadi kelaziman bagi PAS menaikkan bendera di sepanjang jalan berdekatan lokasi mesyuarat bagi menyemarakkan semangat ahli setempat.

Alasan itu bagaimana pun gagal diraikan BN Terengganu. Operasi membuang bendera PAS diteruskan. Tidak cukup tenaga PBT, BN sanggup memperalatkan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Bagi Tuan Guru, mempertahankan bendera parti bukan soal menunjuk kekuatan atau semangat politik semata. Ia soal imej dan maruah parti. Beliau memetik kisah Nabi saw memerintahkan para pemuda Islam mengangkat bendera dan panji-panji berhadapan musuh. Dalam apa keadaan sekali pun bendera yang menjadi lambang keagungan Islam itu tidak boleh dibiarkan jatuh, sekali pun tangan terpaksa putus (dicantas pedang musuh).

Satu lagi ranjau pilihan raya ialah soal kehadiran ‘pengundi hantu’. Bagi Tuan Guru, sejarah hitam 2004 yang menyaksikan puluhan ribu pengundi tidak dikenali di Terengganu adalah pengalaman paling pahit.

Terengganu menerima peningkatan pemilih baru paling tinggi dalam sejarah. Sejumlah 68,585 orang atau 17.71 peratus pemilih baru didaftarkan. Secara purata, negeri itu mendapat lebih dua ribu pengundi baru bagi setiap kawasan Dun. Peningkatan itu adalah kedua tertinggi di seluruh negara selepas Selangor.

Lebih 60,000 nama dalam keseluruhan daftar pemilih dikategorikan sebagai ‘orang luar’. Bantahan dan rundingan pihak PAS dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyelesaikan pertikaian itu tidak berhasil.

Fenomena 2004 itu tidak mustahil akan berulang. Beberapa kenyataan para pemimpin negeri seakan membayangkannya. Mereka yakin akan menambah majoriti kemenangan 500 undi di setiap Dun dalam pilihan raya umum nanti.

Sehubungan itu, seramai 77,000 rakyat Terengganu yang layak mengundi didakwa belum mendaftar sebagai pemilih sah. Angka itu saja sudah pun melebihi penambahan bersih sepanjang 1999-2004 dulu. Bagaimana dengan jumlah yang telah didaftarkan sepanjang 2004-07 ini?

Dengan jangkaan kebanjiran pengundi baru seramai itu, apakah ada jaminan fenomena ‘pengundi hantu’ tidak akan berulang? Jika ia masih wujud, bagaimanakah cara terbaik mengatasinya?

Setiausaha SPR, Dato’ Kamaruzzaman Mohd Noor mungkin ada cara tersendiri mengenali ‘pengundi hantu’. Katanya di Ijok baru-baru ini, “angkat seluarnya, kalau kaki berpijak ke tanah, itu bukan hantu”. Agak loyar buruk bunyinya, bukan?

Di Muktamar DPPNT pula, Presiden PAS mencadangkan dua kaedah lain, Pertama, menggunakan ayat Kursi, dibaca dan dihembuskan ke arah ‘hantu’ itu.

“Jika (hantu) masih ada, bermakna ia bukan hantu sebenar. Jika dengan ayat Kursi ‘hantu’ tak lari, kita kena guna kerusi”, tegasnya.

Walau pun dalam nada sedikit bergurau, cadangan pemimpin utama parti itu wajar diperhalusi. Meski pun sekali imbas kelihatan agak keras, kaedah itu tidak lari dari tabiat kehidupan manusia.

Dalam setiap pertelingkahan, agama dan resam kehidupan mengajar manusia dua kaedah – lembut dan keras. Dalam pergeseran antara suami dan isteri misalnya, ada uslub lembut iaitu nasihat. Apabila isteri tidak makan nasihat, agama meminta sang suami memulaukan isteri dan memisahkan tempat tidur. Jika kaedah lembut itu juga tidak berhasil, Islam membenarkan suami memukul isteri.

Dalam pendekatan mendidik anak juga begitu. Dua kaedah yang sering disebut orang ialah psikologi dan ‘sekehlogi’. Pendekatan psikologi ialah dengan nasihat dan tunjuk ajar. Ia kaedah lembut.

‘Sekehlogi’ pula istilah rekaan, dari perkataan ‘sekeh’ (sekadar untuk menghasilkan irama dengan psikologi). Ia bermaksud pendekatan fizikal, termasuk meluku, mencubit dan seumpamanya.

Dalam konteks perjuangan politik, masyarakat dunia memilih sama ada demokrasi atau demonstrasi. Banyak negara dunia menuntut perubahan melalui pilihan raya. Apabila pilihan raya tidak menjamin perubahan yang telus dan adil, ada yang memilih uslub jalan raya (rapat umum). Ertinya setiap pertelingkahan itu ada dua kaedah penyelesaiannya – lembut dan keras.

Pemuda PAS tidak perlu menggunakan kerusi untuk menghalau ‘pengundi hantu’ jika masalah itu dapat diselesaikan SPR lebih awal. Tetapi, andai ia tidak ditangani secara adil dan telus, jangan dikatakan kerusi, bangku dan meja pun mungkin turut diguna. Harap-harap keadaan tidak memaksa hingga ke tahap itu.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 28 Rabiulakhir-14 Jamadilawal 1428/16-31 Mei 2007 dengan tajuk sama)

Tuesday, May 1, 2007

Serakah politik gagalkan program pertanian TPNT06


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

DALAM satu majlis temu mesra para pemimpin PAS Terengganu dengan warga petani, penternak dan nelayan di Kuala Terengganu baru-baru ini, pelbagai maklumat mengenai kegagalan kerajaan membela nasib golongan tersebut didedahkan. Para peserta meluahkan rasa terkilan dengan sikap tidak prihatin kerajaan negeri terhadap permasalahan mereka.

Bagi mereka, sikap itu amat bertentangan dengan hasrat kerajaan membantu rakyat sebagaimana yang disasarkan menerusi program Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2006 (TPNT06) yang baru berlalu.

TPNT06 dilancarkan di atas hasrat membasmi kemiskinan di kalangan petani, penternak dan nelayan. Untuk itu, kerajaan Terengganu memperuntukkan puluhan juta ringgit bagi pelaksanaan pelbagai program pertanian dan industri asas tani melibatkan golongan tersebut.

Objektif utama TPNT06 ialah mempertingkatkan pendapatan seramai 10,000 golongan sasar dari kalangan petani, penternak dan nelayan. Pendapatan bulanan setiap mereka disasarkan dapat ditambah paling kurang RM500 sebulan.

Malangnya, hingga kini objektif itu masih jauh untuk dicapai. Promosi dan tumpuan kerajaan negeri selama setahun bagi menjayakan misi pertanian gagal membuahkan hasil sepatutnya.

Punca utama kegagalan itu amat politikal. Betapa campur tangan berlebihan orang politik dalam pelaksanaan program TPNT06 menyebabkan ia terpesong dari sasaran sebenar. Ia sebaliknya lebih bersifat propaganda dan terlaksana tanpa perancangan rapi. Malah ada projek dinikmati kelompok peserta di luar golongan sasar dimaksudkan.

Pelaksanaan TPNT06 tertumpu kepada empat projek utama – fertigasi, penanaman pitaya (dragon fruit), akuakultur dan Kempen Bumi Hijau. Keempat-empat projek tersebut dikatakan mensasarkan golongan berbeza.

Projek fertigasi dimulakan sekitar Mei 2006 dengan peruntukan sebanyak RM20 juta. Ia diluluskan untuk pelaksanaan kepada Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC), sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang ditubuhkan khusus untuk memasarkan hasil projek ini.

Oleh kerana TADC tidak mempunyai cukup sumber manusia dan kepakaran, bahkan penubuhannya lebih bersifat propaganda politik BN, tugas itu gagal disempurnakannya. Pelaksanaan projek fertigasi akhirnya terpaksa diserahkan kepada Jabatan Pertanian negeri pada Oktober 2006.

Peruntukan RM16 juta yang diagihkan ke daerah-daerah (baki RM4 juta dipegang oleh TADC) bagaimana pun mesti dikeluarkan sebelum akhir tahun bagi mengelakkan ia dikembalikan kepada kerajaan Pusat (jika tidak dibelanjakan).

Maka semua kontraktor pelaksana projek dibayar jumlah sepenuhnya kos projek pada akhir 2006, walau pun kerja-kerja penyediaan barangan dan input kepada peserta belum disiapkan (apa cerita ni?).

Malangnya, Jabatan Pertanian negeri dikatakan tidak pernah dirunding dalam pemilihan peserta dan kontraktor pelaksana. Kuasa memilih mereka diberikan sepenuhnya kepada Adun kawasan masing-masing.

Seramai 275 peserta dipilih di seluruh negeri. Setiap peserta diberi pinjaman dalam bentuk barangan dan input bernilai RM50,000 yang dibekalkan kontraktor. Ia adalah untuk 2,000 beg/pokok. Setiap kontraktor pula dikatakan memperolehi indent RM200,000 (untuk empat peserta).

Fertigasi merupakan kaedah pertanian baru yang melibatkan aplikasi teknologi. Jangan dikatakan petani biasa (peserta), para pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian sendiri pun belum memiliki pengetahuan dan kemahiran mencukupi untuk melaksanakannya.

Dengan pelaksanaan yang tergesa-gesa tanpa perancangan terperinci, projek ini kini diambang kegagalan. Antaranya, selepas tempoh tertentu, pohon masih belum berbuah dan peserta gagal mengenal pasti puncanya. Bagaimana diharapkan projek ini bakal meningkatkan pendapatan golongan sasar?

Projek penanaman pitaya (dragon fruit) pula dilaksanakan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Peruntukan RM40 juta disalurkan terus daripada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Pemilihan peserta dibuat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan diajukan terus kepada UPEN. Jabatan-jabatan berkaitan PPRT seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dikatakan tidak dirunding di dalam pelaksanaan projek ini. Sudah tentu pemilihan peserta terdedah kepada mainan politik.

Pengisian ketiga TPNT06 ialah akuakultur. Di antara projek terbesar ialah Zon Industri Akuakultur (ZIA) di Tasik Kenyir. Ia melibatkan kawasan 3,000 hektar yang bakal dimuatkan dengan 6,000 unit sangkar bernilai RM50 juta. Pembangunannya sehingga 2010 dijangka melibatkan 240 peserta.

Projek ini juga dijangka menghadapi masalah. Pengalaman penternak sebelum ini membuktikan projek di situ gagal memberikan pulangan memuaskan. Antara sebab dikenal pasti ialah faktor air Tasik Kenyir yang terlalu panas dan terlalu jernih sehingga memberi kesan kepada tumbesaran ikan. Ertinya, tidak banyak yang dapat diharapkan para penternak dari projek itu.

Ada pun Kempen Bumi Hijau adalah semata-mata propaganda pemerintah. Walau pun program ini agenda utama diputuskan kementerian, tidak ada peruntukan kewangan khusus bagi pelaksanaannya, sama ada oleh kerajaan negeri mahu pun Jabatan Pertanian negeri. Bagaimana diharapkan ia boleh membantu meningkatkan pendapatan rakyat?

Itulah jadinya apabila perancangan dan pelaksanaan sesuatu projek terlalu dibayangi perkiraan dan serakah politik. Akhirnya yang mengaut manfaat dari pelaksanaannya ialah golongan tertentu yang dipilih orang politik, bukan golongan sasar dari petani, penternak dan nelayan.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 1-15 Mei 2007 mengisi kolum ‘Bingkisan Dari Pantai Timur’ dengan tajuk sama)

Membendung Jenayah Seksual Terhadap Wanita

Oleh: Mohd Nasir Awang

Keganasan terhadap wanita berada pada tahap membimbangkan dan semakin meningkat di seluruh dunia, dengan negara ‘polis dunia’ Amerika Syarikat (AS) sendiri mencatatkan purata seorang wanita dirogol setiap dua minit. Demikian menurut laporan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) awal Oktober lalu.

Meski pun pelbagai usaha diambil bagi membasmi keganasan terhadap wanita, fenomena ini masih berterusan. Kes-kes seperti rogol, sumbang mahram, mencabul kehormatan dan keganasan rumah tangga semakin membimbangkan.

Kajian mengenai keganasan terhadap wanita yang dilaksanakan di 71 negara menunjukkan sebahagian besar wanita menderita akibat keganasan fizikal, seksual dan psikologi. Fakta ini terkandung dalam laporan bertajuk “Mengakhiri Keganasan Terhadap Wanita: Daripada Kata-Kata Kepada Tindakan” yang dikeluarkan badan dunia itu.

Menurut laporan itu, antara 40 dan 50 peratus wanita di negara Kesatuan Eropah melaporkan pernah mengalami gangguan seksual. Beratus ribu wanita dan kanak-kanak pula menjadi mangsa perdagangan manusia dengan sebahagian besar mereka dieksploitasi untuk seks.

Kajian turut mendedahkan angka menyedihkan mengenai keganasan seksual di negara-negara yang dilanda konflik bersenjata. Antara 20,000 dan 50,000 wanita dirogol ketika tindakan penghapusan etnik di Bosnia pada awal 1990, manakala antara 250,000 hingga 500,000 mengalami nasib sama ketika konflik Rwanda pada 1994.

Meski pun usaha dan tindakan bagi membendung keganasan terhadap wanita masih belum berjaya membasmi kejadian itu sepenuhnya, langkah-langkah positif itu semestinya diteruskan.  Secara keseluruhan, langkah-langkah itu terbahagi kepada tiga:

Pertama:Mewujudkan suasana persekitaran yang baik
Kebanyakan kajian psikologi mendapati suasana persekitaran banyak merangsang seseorang melakukan perbuatan keji itu. Fakta ini pernah didedahkan Pengerusi Persatuan Komuniti Ikram Penyayang, Datuk Dr. Wan Halim Othman beberapa tahun lalu.

“Orang berperangai baik macam mana sekali pun boleh berubah secara perlahan-lahan andainya tarikan luaran gagal dibendung”, kata beliau.

Sebab itu tidak menghairankan apabila Kementerian Sumber Manusia merekodkan lebih 200,000 kes gangguan seksual setiap tahun membabitkan gangguan secara mental dan fizikal. Jumlah itu membabitkan dua peratus daripada 11.58 juta pekerja di seluruh negara, kata Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahman Bakar, 20 Mac lalu.

Beliau menambah, dianggarkan antara dua hingga tiga peratus lagi pekerja di negara ini tidak melaporkan kejadian berkenaan kerana malu dan takut kehilangan pekerjaan.

Berbanding banyak negara di dunia, suasana persekitaran tempat kerja di negara ini adalah antara yang terbaik. Maka, jika dalam suasana persekitaran sebegitu baik pun masih berlaku keganasan seksual, ia mungkin disebabkan pengaruh luaran yang terbawa-bawa ke tempat kerja.

Di beberapa negara dunia, segala yang berbaur seks adalah halal di sisi undang-undang atas nama kebebasan individu. Di antara medan utama yang melambakkan bahan berunsur seks ialah internet.

Penyelidik psikologi di AS malah menganggap penyalahgunaan kecanggihan teknologi maklumat (IT) sebagai antara punca kes seksual meningkat. Rasional mereka, jika sebelum kehadiran internet, rakyat AS hanya membaca majalah lucah seperti Playboy, hari ini mereka mempunyai alternatif kepada lebih 100,000 web lucah percuma atau berbayar.

Salahguna IT juga menyebabkan pelbagai firma telekomunikasi negara itu berjaya menjana pendapatan lebih RM3.8 bilion setahun menerusi talian telefon lucah yang mendapat sambutan hangat. Tidak hairanlah kadar jenayah seksual di AS sangat tinggi ekoran kebebasan tanpa had rakyatnya mengakses sumber hiburan lucah.

Statistik Interpol sejak beberapa tahun lalu meletakkan kuasa besar dunia itu pada kedudukan teratas kes rogol daripada 181 negara anggota PBB. Kadar kes jenayah rogol di AS adalah empat kali ganda lebih tinggi daripada Jerman, 13 kali ganda daripada England dan 20 kali ganda daripada Jepun.

Di negara kita, kes rogol dilaporkan meningkat daripada 1,217 kes pada 2000 kepada 2,341 kes pada 2006. Purata dalam sehari kejadian rogol meningkat daripada 3.2 kes pada 2000 kepada 6.6 kes pada 2006. Kes sumbang mahram juga meningkat daripada 213 kes pada 2002 kepada 332 kes pada 2006.

Fakta di atas didedahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika berucap pada Forum Membanteras Keganasan Terhadap Wanita sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan pertengahan bulan lalu.

Apakah fakta itu membuktikan suasana persekitaran di negara kita juga belum cukup baik untuk kehidupan yang selesa bagi wanita?

Kedua: Segregasi gender
Sambutan Hari Wanita Sedunia bulan lalu mengemukakan pelbagai perkembangan menarik, terutama membabitkan aspek keselamatan wanita. Sambutan tahun ini antara lain mengetengahkan beberapa langkah segregasi gender yang diambil beberapa negara dunia, khusus bagi menjamin keselamatan wanita yang perlu berada di luar rumah, sama ada bekerja atau memenuhi tuntutan lain.

Beberapa negara seperti Rusia, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Brazil, Mexico, Iran dan terbaru, India, telah memperkenalkan khidmat teksi khas untuk wanita. Perkhidmatan teksi tersebut meliputi ciri-ciri khas feminin dan menyediakan kemudahan untuk wanita seperti mempunyai cermin pandang belakang lebih besar, beg alat mekap, cecair pemadam pengilat kuku dan rak majalah. Paling utama, ia dipandu pemandu wanita dan dikongsi hanya di kalangan penumpang sesama gender, selain kanak-kanak lelaki di bawah 12 tahun.

Indonesia malah bertindak lebih jauh dengan melancarkan perkhidmatan bas eksklusif untuk wanita, 20 Februari lalu. Manakala sebuah syarikat penerbangan di Jepun, Skymark Airlines Come memperkenalkan tempat duduk untuk wanita sahaja dalam kapal terbang. Langkah itu, menurut jurucakap syarikat, sebagai reaksi terhadap permintaan berulang kali penumpang wanita.

Di negara kita masih belum ada teksi atau koc keretapi, mahu pun bas eksklusif untuk wanita sahaja. Agak aneh apabila segregasi gender sering dijadikan isu sensitif di negara kita. Sering ada pandangan serong apabila ada pihak cuba mengemukakan konsep segregasi ini.

Antara yang pernah diutarakan ialah segregasi salon (sebagai kontra kepada salon unisex), kaunter bayaran berasingan di pasaraya dan tempat duduk berasingan dalam majlis atau perhimpunan.

Terbaru ialah langkah sebuah kerajaan negeri menganjurkan temasya sukan khusus untuk wanita pertengahan Februarri lalu. Setakat ini, reaksi dan tanggapan umum terhadap langkah-langkah tersebut agak sinikal dan serong.

Langkah negara-negara luar mengutarakan konsep segregasi pengangkutan awam tadi patut dicontohi Malaysia. Sepatutnya tidak akan ada lagi pandangan sinikal terhadap sebarang usaha memberikan keselesaan kepada wanita, dalam apa jua aktiviti hidup mereka.

Ketiga:Pertahanan diri wanita
Saranan tokoh agama, Datuk Abu Hassan al-Hafiz baru-baru ini agar pemakaian cawat besi dihidupkan semula ternyata menggemparkan negara. Bekas Penasihat Agama di Istana Negara itu memberikan alasan amalan itu wajar dipertimbangkan memandangkan wanita zaman ini banyak terdedah kepada jenayah rogol.

“Mungkin ia (pakai cawat besi) janggal dan kurang seronok didengar, namun inilah saranan terbaik kepada wanita bagi mengelak diri mereka dirogol”, katanya. Beliau berkata demikian dalam majlis Forum Ma’al Hijrah di Terengganu pada 15 Februari lalu.

Walau pun praktikalitinya dipertikaikan pelbagai pihak, cadangan tokoh agama itu secara tidak langsung membuktikan betapa jenayah rogol dan seksual di negara kita kini di tahap sangat membimbangkan. Sekira-kira ia tidak mungkin dapat dibendung melainkan dengan memaksa wanita memakai ‘perisai diri’.

Kebetulan atau tidak, lebih kurang pada masa yang sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan hasrat kerajaannya menyediakan kelas seni mempertahankan diri untuk wanita di negeri itu.

“Kebolehan pertahankan diri sangat penting memandangkan peningkatan kadar jenayah terhadap wanita, seperti rogol, mencabul kehormatan dan kes-kes ragut”, katanya sewaktu berucap merasmikan Nisa’ Games 2007 di Kota Bharu, Februari lalu.

Cadangan serupa turut diutarakan Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Datuk Omardin Mauju.

Apa pun langkah diambil, penentu utama kejayaan membendung keganasan terhadap wanita ialah kesedaran setiap individu tentang baik-buruk dan dosa-pahala. Perkara itu sudah tentu tidak akan ditemui di dalam mana-mana doktrin atau peraturan dunia, melainkan menerusi ajaran agama yang suci.

Justeru, langkah kembali menghayati kehidupan beragama adalah cara terbaik menangani jenayah yang semakin membimbangkan ini.

(Artikel ini disiarkan majalah al-Muslimah, Mei 2007 di ruangan 'reaksi' dengan tajuk sama).