Saturday, December 1, 2007

Menilai Generasi Pewaris Negara


Oleh: Mohd Nasir Awang

USIA kemerdekaan negara kita telah melangkau separuh abad bermula 31 Ogos lalu. Rakyat seluruh negara telah dibawa mengimbau detik keramat kemerdekaan Malaysia lima dekad lalu, sekali gus menandakan bermula pula fasa kedua perjalanan negara untuk 50 tahun akan datang.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengajak seluruh rakyat bersama-sama bersumpah setia untuk tidak membenarkan bumi Malaysia dan minda rakyatnya dijajah semula.

“Hari ini saya berdiri di pentas negara, memikul amanah untuk membawa negara dan warga melangkah perjalanan memasuki fasa 50 tahun kedua kemerdekaan negara. Bersamalah kita membara puntung-puntung perjuangan, untuk kita himpunkan, untuk kita terus menyemarakkan semangat kemerdekaan, untuk kita terus nyalakan obor kemerdekaan,” katanya pada acara kemuncak Persembahan Perayaan Raksasa Merdeka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, 31 Ogos lalu.

Kebetulan pula, dalam minggu-minggu terakhir sebelum sambutan kemerdekaan itu, sebahagian rakyat di seluruh negara memberikan tumpuan kepada persiapan menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Untuk itu, berbagai acara persiapan diri para pelajar Tahun Enam dianjurkan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Ada yang dinamakan majlis temu mesra, ada yang dipanggil seminar keibubapaan, kem motivasi dan berbagai lagi.

Matlamat utama dianjurkan pelbagai program itu ialah bagi mempertingkatkan kesedaran dan kerjasama ibu bapa dalam memastikan kejayaan anak-anak mereka. Sehinggakan timbul persoalan di kalangan sesetengah pihak, apakah selama ini ibu bapa tidak begitu mengambil pusing soal pendidikan anak-anak mereka sehingga perlu diberikan peringatan oleh pihak sekolah mengenainya?

Mengapa pihak sekolah begitu mengambil berat soal kejayaan anak-anak itu tidak sukar difahami. Sebabnya, sebarang kejayaan diraih anak-anak dalam UPSR juga bakal memberi saham dan nama baik kepada sekolah masing-masing. Sebab itu, pihak sekolah dengan bantuan PIBG selalunya sehabis daya memastikan kejayaan akademik anak didik masing-masing. Dalam usaha itu, pertemuan demi pertemuan diadakan dengan ibu bapa. Berbagai kursus, kem dan latihan turut dipaksakan ke atas para pelajar.  

Namun, sejauh manakah persoalan pembentukan peribadi, akhlak dan agama murid-murid terbabit diambil berat sebagaimana diambil beratnya soal pencapaian akademik mereka? Apakah tanda ambil berat itu cukup dibuktikan hanya dengan penganjuran majlis solat hajat di saat menjelang peperiksaan?

Dalam hal ini, kisah diceritakan seorang ustaz dari Terengganu boleh dijadikan iktibar. Ogos lalu ustaz tersebut diundang memberikan ceramah motivasi keibubapaan sempena persediaan UPSR di salah sebuah sekolah di negeri itu. Majlis tersebut dihadiri kesemua murid yang bakal menduduki UPSR beserta ibu bapa mereka. Dalam ceramahnya, ustaz itu mengambil kesempatan bertanyakan calon UPSR di sekolah tersebut, berapa ramai antara mereka yang menunaikan solat Subuh pagi itu?

Jawapan yang diterima amat mendukacitakan. Hanya 33 orang daripada seramai 138 calon itu mengaku menunaikannya. Ustaz tersebut tidak pula menanyakan mengenai waktu-waktu lain sepanjang hari. Cuma beliau kesal kerana 33 daripada 138 adalah tidak sampai seperempat.  Beliau lalu menyimpulkan bahawa murid-murid itu masih belum diajar tanggungjawab terhadap Tuhan. Maka bagaimana mereka mengharapkan Tuhan akan merestui hasrat yang ingin mereka capai?

Beliau lalu mengingatkan ibu bapa yang hadir dengan katanya, “sebelum puan-puan dan tuan-tuan meletakkan harapan agar anak-anak mendapat 5A (dalam UPSR), tolong selesaikan dulu soal lima waktu anak tuan puan ini!”. Beliau menambah, tidak ada gunanya kejayaan akademik semata-mata jika anak-anak tidak turut diasuh dengan keinginan menegakkan agama dalam diri mereka. Solat adalah tiang agama. Tidak tertegak agama tanpanya.

Kebimbangan ustaz tadi ada asasnya memandangkan pemahaman murid-murid sekolah di negeri itu berkaitan solat amat mendukacitakan. Pernah dilaporkan sebelum itu betapa lebih 51,000 atau kira-kira 34 peratus daripada 149,000 pelajar tahun dua hingga enam di Terengganu tidak tahu jumlah rakaat setiap solat lima waktu.

Perangkaan itu didedahkan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Mohd Nasir Harun, Mei 2006. Menurutnya, angka itu berasaskan kajian oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu awal tahun lalu, “Menakutkan, tetapi inilah realiti yang perlu diakui. Selain tidak tahu rakaat setiap solat lima waktu, sebahagian besar murid sama ada tidak tahu langsung atau tergagap-gagap ketika diminta membaca ayat asas solat termasuk al-Fatihah. Tidak tahu bilangan rakaat dan tidak pandai baca al-Fatihah, maknanya tak tahu solat,” katanya.

Di Terengganu juga, hanya 2,824 orang daripada 61,956 murid sekolah rendah dilaporkan mampu menguasai pembacaan al-Quran dengan baik. Perkara itu didedahkan Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Mohd Zulkifli Abu Bakar, Jun lalu.

Penulis sengaja membawakan contoh-contoh yang berlaku di Terengganu. Dalam konteks negara kita, diakui semua pihak bahawa masyarakat negeri itu adalah antara rakyat yang lebih menitikberatkan soal agama berbanding sebilangan negeri lain. Justeru, jika negeri sebegitu pun jumlah generasi muda yang menghayati ajaran dan tuntutan agama masih mendukacitakan, bagaimana agaknya di negeri-negeri lain?

Tapi, apa pula kaitannya soal kegagalan murid-murid sekolah menunaikan solat dan membaca al-Quran dengan kemerdekaan negara yang diperkatakan tadi? Bagi manusia, usia 50 tahun sering dikaitkan dengan kematangan dan kejayaan hidup. Seseorang di usia itu selalunya telah mula memikirkan tentang pelapis yang bakal meneruskan apa jua yang dilakukan atau mewarisi apa yang dimilikinya.

Dalam konteks itu, pesanan PM mengenai fasa kedua perjalanan negara tadi sebenarnya sangat berkait rapat dengan agenda pembinaan generasi masa depan negara. Kanak-kanak dan remaja hari ini adalah bakal pemimpin di masa akan datang. Maka apakah, dengan keperibadian remaja dan kanak-kanak yang ada kini, segala kemakmuran yang kita kecapi hari ini mampu dikekalkan hingga ke masa depan?

Beberapa kes salah laku sosial dan jenayah berat membabitkan remaja, terutama kanak-kanak di usia mentah yang kerap dilaporkan media kebelakangan ini menghidangkan suatu gambaran menakutkan tentang masa depan negara.

Sebagaimana contoh kes UPSR tadi, kebanyakan kita nampaknya terlalu menekankan soal kejayaan akademik anak-anak. Sedangkan terbukti betapa seseorang yang cemerlang akademiknya belum tentu cemerlang juga peribadinya. Sedangkan di bahu mereka ini bakal disandarkan masa depan negara.

Kita pernah didedahkan dengan pengakuan para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang bersedia menerima rasuah sekiranya diberi peluang berbuat demikian. Ada pula siswi IPT tempatan yang hidup mewah ditaja ‘sugar daddy’. Manakala satu kajian lain menemukan pengakuan sejumlah besar siswi IPT bahawa mereka lebih cenderung memilih lelaki yang berharta, biarpun jauh lebih tua daripada mereka.

Mereka ini adalah generasi pemimpin di fasa kedua kemerdekaan negara. Sebagai golongan terpelajar, kejayaan akademik mereka tidak dipertikaikan. Malangnya, kemuliaan peribadi mereka tidak seimbang dengan pencapaian akademik itu. Mereka menjadi terlalu materialistik. 

Di masa sama, soal dosa-pahala bagaikan tidak langsung menjadi perkiraan. Dengan keperibadian sebegitu, apakah mereka ini boleh diharapkan untuk meneruskan cita-cita PM tadi, iaitu “tidak akan membenarkan bumi Malaysia dan minda rakyatnya dijajah semula”?

Tiada siapa menginginkan masa depan negara yang haru-biru. Justeru, menjadi tanggungjawab semua memastikan ia tidak berlaku. Setiap kita ada peranan masing-masing kerana Rasullullah s.a.w. berpesan, “setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin itu akan dipersoalkan tentang orang yang kamu pimpin”.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Disember 2007 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)

Thursday, November 1, 2007

Jenayah Kanak-kanak: Beri Peluang Perundangan Islam Buktikan Kemampuan

Oleh: Mohd Nasir Awang

KES penderaan seksual dan pembunuhan adik Nurin Jazlin Jazimin September lalu bukan lah isu picisan. Ia melibatkan nyawa seorang insan kerdil dan tidak berdosa yang menjadi mangsa kerakusan manusia berjiwa haiwan. Lebih memilukan, ia menambah panjang senarai kezaliman serupa yang berlaku terhadap kanak-kanak di negara kita.

Nurin Jazlin, 8, dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Operasi mencarinya oleh berbagai pihak gagal, sehinggalah polis menjumpai mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg sukan di hadapan sebuah kedai di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 17 September. Keputusan ujian asid deoksiribonukleid (DNA) ke atas mangsa, bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil dan ibunya, Norazian Zaman mengesahkan mayat kanak-kanak malang itu sebagai Nurin Jazlin.

Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mati kurang daripada 24 jam sebelum mayatnya ditemui. Kematiannya turut disahkan berpunca jangkitan kuman dalam kemaluannya selain ususnya yang pecah akibat penderaan seksual.

Sebelum kes membabitkan adik Nurin Jazlin, negara telah beberapa kali digemparkan kes seumpama itu. Nama-nama seperti Harirawati Saridi, Nurul Huda Abdul Ghani, Ang May Hong, Nor Shuhada Burak dan Siti Norazlina Azalan adalah mangsa-mangsa kerdil yang menemui ajal dalam keadaan tragis di tangan manusia rakus. Pembunuhan kesemua mereka itu dikaitkan dengan jenayah seksual.

Mayat May Hong, 10, ditemui bapanya di sebuah rumah kosong yang menjadi sarang penagih, hanya 70 meter dari rumahnya di Jalan Tun Razak, di ibu kota. Selain lehernya dijerut, alat sulitnya turut dirodok dengan kayu tajam sepanjang semeter menyebabkan ususnya, perut dan jantungnya pecah. Kes berlaku pada April 1987.

Pada 23 November 2000, Nor Shuhada yang berusia enam tahun ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat di Selayang Baru, Selangor. Mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel. Terdapat juga kesan lebam pada muka dan tangan mangsa.

Harirawati pula murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Tebobon, Menggatal, Sabah. Beliau dibunuh kejam sebelum dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolahnya pada 8 Januari 2004.  Mayatnya yang lengkap berbaju kurung seragam sekolah dan masih menggalas beg ditemui berlumuran darah dalam belukar kira-kira satu kilometer dari rumahnya. Enam kesan tikaman ditemui di lehernya.

Nurul Huda, 10, dirogol dan diliwat di pondok pengawal pencawang Tenaga Nasional Berhad di Tanjung Kupang, Johor Bahru pada 17 Januari 2004. Ketika ditemui abangnya di pondok tersebut, mangsa tidak berseluar dan berkeadaan amat mengerikan. Dia disahkan meninggal sebaik tiba di Pusat Kesihatan Gelang Patah.

Mayat Siti Norazlina, 7, pula ditemui terapung di sungai berhampiran Kampung Sungai Pinang Dalam, Klang, Selangor pada 12 Januari lalu. Sekumpulan kanak-kanak yang bermain di situ menemui mayat itu yang hanya memakai baju Melayu kepunyaan abangnya. Siti Norazlina dilaporkan hilang dari rumahnya sejak dua hari sebelumya. Beliau dipercayai dirogol sebelum dibunuh dan mayatnya dicampakkan ke sungai itu.

Selain motif seksual, beberapa kes pembunuhan kanak-kanak lain didorong berbagai motif termasuk wang, emosi melampau dan krisis rumah tangga. Mohd Airell Azim Azhar, seorang bayi berusia lapan bulan ditekup dengan bantal di mukanya sehingga tidak dapat bernafas oleh suami pengasuhnya. Kes berlaku di Bandar Putera Jaya,Sungai Petani, 2 Januari lalu. Mohd Airell dikatakan menangis dengan kuat sehingga menyebabkan suspek tidak dapat mengawal emosi lalu bertindak ganas terhadapnya.

Sherway Ooi Ying Ying, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan hilang selepas bersarapan bersama ibunya di Bayan Baru, Pulau Pinang, pada 6 Julai lalu. Dua hari selepas itu, polis menemui abu mayatnya dekat tanah perkuburan Cina di Paya Terubong, selain saki-baki tulang serta cebisan pakaiannya dengan kesan dibakar. Difahamkan sebahagian abu mayat Ooi dibuang berasingan termasuk dalam longkang tidak jauh dari kawasan perkuburan itu. Motif pembunuhan dipercayai ekoran krisis rumah tangga.

Dalam kes serupa, gara-gara marahkan suami yang disyaki curang, seorang wanita mencekik dua anaknya hingga mati. Muhammad Alif Hakimi, lima tahun dan adik lelakinya, Muhammad Alif Hazimi 17 bulan dipercayai dicekik dengan wayar sterika oleh ibu mereka sendiri dalam kejadian di Batu Maung, Pulau Pinang, 18 Februari lalu.

Pada 25 April 2006, kanak-kanak berusia lapan tahun, Lo Chin Poon didapati hilang dan dipercayai diculik kenalan ibunya. Mayatnya ditemui pada 6 Mei di Taman Teknologi Senai, Johor Bahru.

Mayat murid tahun satu, Ho Ping yang dipercayai diculik dan dijerut hingga mati oleh abang iparnya ditemui dalam sebuah beg pakaian dalam Sungai Sitiawan, Perak, pada 21 Mei 2006.  Mangsa adalah anak pemilik ladang sayur di Cameron Highlands, Pahang. Motif pembunuhan dipercayai kerana wang.

Kes-kes disebutkan tadi kesemuanya melibatkan mangsa berusia 10 tahun ke bawah. Dalam usia itu, apalah daya mereka untuk menangkis apa jua perbuatan kejam ke atas mereka? Siapa pun bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu jelas sekali tidak meletakkan soal pertimbangan kemanusiaan dan perhitungan belas kasihan.

Yang wujud di hati dan fikiran pelaku ketika itu hanyalah kepuasan diri, sama ada dorongan seksual, emosi melampau mahu pun dorongan lain. Bagi yang beragama Islam, soal dosa di sisi Allah seakan tidak terlintas langsung di benak mereka.

Apakah fenomena ini harus dibiarkan berterusan? Apakah dosa kanak-kanak sepeti Nurin Jazlin, Nurul Huda, Ho Ping dan lain-lain itu? Mereka tidak mengerti apa-apa dan tidak punya apa daya untuk menolak apa jua bentuk kezaliman terhadap mereka.

Kasihan anak-anak itu yang menjadi mangsa kepada manusia berjiwa haiwan. Apakah manusia seumpama ini wajar dibiarkan hidup bebas dengan dosa besar yang telah mereka lakukan? Sampai bila kita akan melihat perbuatan gila ini berlanjutan?

Sebagaimana dilaporkan media massa, kes terbaru membabitkan adik Nurin Jazlin telah membangkitkan kemarahan masyarakat negara ini. Dapat dibayangkan bagaimana tangisan kesejukan, jeritan kelaparan atau laungan kesengsaraannya sepanjang dikurung dan diseksa itu.  Segala penderitaan itu jelas sekali tidak mewujudkan sedikit pun perasaan belas kasihan kepada “haiwan” yang menderanya.

Tanpa mengira kaum atau agama, masyarakat negara ini mendesak pembunuhnya dikenalpasti dan dipastikan menerima hukuman seberat mungkin. Soalnya, apakah undang-undang sedia ada kini cukup kuat untuk menakutkan masyarakat daripada melakukan jenayah itu? Apa yang jelas dengan berlakunya kes demi kes serupa berulangkali, seakan membuktikan bahawa hukuman sedia ada masih gagal menggerunkan penjenayah apatah lagi membasmi jenayah tersebut dari berterusan.

Barangkali sudah sampai masanya segala undang-undang berkaitan jenayah terhadap kanak-kanak ini disemak semula. Sesuatu perlu dilakukan agar hukuman disediakan nanti bakal menggerunkan masyarakat daripada melakukan jenayah.

Di kesempatan itu, mengapa tidak diberi peluang kepada undang-undang Islam membuktikan kemampuannya? Bukankah Allah Ta’ala telah menegaskan di dalam al-Quran bahawa pelaksanaan hukum jenayah di dalam Islam itu mampu menggerun dan mencegah manusia daripada melakukannya? Apakah kita tidak yakin dengan janji Allah ini?

Undang-undang negara kita kini berdasarkan kepada Common Law Inggeris. Kelemahannya seiring diakui pelbagai pihak, sama ada pengamal undang-undang, ahli politik mahu pun ahli akademik. Kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, 21 Ogos lalu mengesahkan hakikat itu. Beliau mencadangkan agar rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini.

Kenyataan itu disusuli pula penegasan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail bahawa sudah tiba masanya untuk semua pihak memikirkan sumber lain selain Common Law Inggeris bagi mendapatkan prinsip-prinsip keadilan. Lebih menarik, beliau menegaskan undang-undang Islam adalah yang terbaik untuk dijadikan rujukan kerana ia menekankan kepada keadilan dan pembahagian hak yang sama.

Menyediakan hukuman sahaja bagaimana pun tidak memadai untuk membendung jenayah.  Langkah-langkah pencegahannya juga perlu dipertingkatkan. Jika jenayah itu dikenalpasti berpunca masalah runah tangga atau krisis keluarga, suatu sistem kehidupan berkeluarga yang baik mesti dipupuk berterusan. Gaya hidup sihat dan menitikberatkan ajaran agama juga mampu menstabilkan emosi manusia. Selain itu, pemahaman tentang dosa-pahala boleh menghalang manusia daripada terjerumus ke alam jenayah.

Di sudut lain, desakan dan dorongan kuat ke arah aktiviti seksual perlu dibanteras. Dewasa ini, dorongan ke arah itu sangat berleluasa terutama menerusi media elektronik dan siber. Penjualan video lucah, penayangan filem-filem tidak senonoh dan seumpamanya banyak mempengaruhi rangsangan seksual seseorang. Pencegahan dorongan ini memerlukan tindakan bersepadu semua pihak, terutama pihak pemerintah.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, November 2007 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)

Saturday, September 1, 2007

Rasional Mengharamkan Filem Mencemar Akidah


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Baru-baru ini ada diperbahaskan di media cetak negara ini mengenai kemasukan sebuah filem baru terbitan Hollywood, Evan Almighty. Filem itu memaparkan pelakon Morgan Freeman sebagai God (Tuhan) yang telah mengarahkan pelakon Steve Carell untuk membina sebuah bahtera bagi menghindari banjir besar yang akan melanda New York.

Filem itu sudah mendapat kelulusan pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia dan dijadual ditayangkan di pawagam negara ini bermula 23 Ogos. Kelulusan itu mendapat bantahan pelbagai pihak. Filem itu didakwa mengandungi babak menghina dan menyentuh sensitiviti umat Islam terutama menerusi dua watak utamanya yang boleh difahami mempersendakan Tuhan dan Nabi Nuh a.s. Ekoran itu, pelbagai pihak mendesak agar kerajaan mengharamkan penayangan filem tersebut.
           
Pandangan-pandangan yang bersetuju dengan penayangannya bagaimana pun lebih mendapat tempat di dada akhbar-akhbar. Mereka merasionalkan beberapa alasan bahawa tindakan mengharamkan penayangan filem itu tidak akan menyelesaikan masalah.

Pertama, kata mereka, apa yang lebih utama ialah peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mengukuhkan akidah anak masing-masing. Perkara itu dikatakan akan menjadi benteng yang kukuh bagi melindungi generasi muda Islam daripada dipengaruhi oleh elemen tertentu yang cuba menggugat keimanan mereka.

Bagi mereka, umat Islam tidak sepatutnya menjadi lemah dan melatah hanya disajikan filem seumpama itu. Logik mereka mudah, jika ibu bapa takut kepercayaan anak mereka tergugat, adalah menjadi tugas mereka untuk melarang anak-anak daripada menonton filem berkenaan.

Kedua, mereka juga berhujah kita hidup dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum dan agama. Justeru, kita perlu lebih bijak dalam menghadapi isu berkaitan keagamaan. Dalam ertikata lain, adalah tidak bijak bagi umat Islam membantah filem bikinan kaum dan agama lain meski pun ia mengandungi unsur menghina Islam dan pegangan umatnya.

Ketiga, mengharamkan filem itu ditayangkan di pawagam tidak akan dapat menghalang masyarakat negara ini daripada menontonnya. Kata mereka, orang ramai masih boleh mendapatkannya menerusi internet.

Sepintas lalu, tiada apa yang tidak kena dengan alasan-alasan itu. Apatah lagi ada pihak yang merasionalkan betapa kehadiran filem-filem seumpama Evan Almighty itu sebenarnya memberi ruang untuk kita berfikir lebih luas tentang keburukannya. Justeru, mengapa perlu diperkecilkan kemampuan berfikir semata-mata dengan penerbitan filem kecil itu, kata mereka.

Namun bagi penulis, alasan-alasan yang cuba dirasionalkan itu sebenarnya cerminan sikap liberal pihak-pihak terbabit dalam menangani isu-isu berkaitan agama. Apatah lagi dalam konteks sebuah kerajaan, adalah tanggungjawabnya menaungi dan melindungi segenap aspek kehidupan rakyat semampu mungkin.

Jika rasional tadi digunapakai, maka tidak perlu diharamkan apa jua benda yang buruk dan memudaratkan masyarakat. Biarlah pihak lain yang bertanggungjawab melindungi dan melarang orang di bawah jagaannya dari perkara buruk itu. Biarlah rakyat yang memilih dengan fikiran terbuka apa yang mahu dibuat dan apa yang wajar ditolak. Apakah prinsip itu betul dengan ajaran agama kita?

Jika segala yang disajikan itu tidak elok dan tidak menepati agama, apakah pilihan yang ada pada penonton? Memang rakyat boleh memilih untuk tidak mengunjungi pawagam. Tetapi peraturan meluluskan untuk tayangan sesebuah filem tidak terbatas sekadar di pawagam. Ia sekaligus sebagai kebenaran untuk filem sama dipasarkan menerusi video cakera padat (VCD), DVD atau seumpamanya.

Soal tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak tidak sepatutnya dibangkitkan. Masing-masing ada tanggungjawab di peringkat masing-masing. Malah pembendungan segala unsur negatif dan buruk di peringkat tertinggi (kerajaan) sebenarnya lebih memudahkan ibu bapa mengawal anak-anak.

Mengharamkan sesebuah filem ditayangkan di pawagam dikatakan tidak menyelesaikan masalah kerana orang ramai masih boleh mendapatkannya menerusi internet. Jika alasan itu diterima, logiknya dadah, video lucah dan segala macam benda yang diperangi kerajaan habis-habisan kini juga sepatutnya tidak diharamkan. Bukankah masih ada orang mendapatkannya menerusi internet dan lain-lain sumber?

Satu lagi, kehidupan berbilang kaum dan agama. Mengapa setiap kali berhadapan isu antara budaya sebegini umat Islam dipaksa berkompromi dan menunjukkan toleransi terhadap pihak lain? Benarkah, sebagaimana anggapan sesetengah pihak, jika bersuara menentang penghinaan terhadap agama Islam, Allah Ta’ala dan Nabi-Nya dalam masyarakat berbilang kaum ini, kita bertindak tidak bijak dan tidak toleran? Apakah semata-mata demi menjaga perasaan kaum dan agama lain kita perlu menerima apa sahaja?

Umat Islam perlu sedar bahawa industri hiburan dunia yang diterajui industri perfileman Hollywood adalah salah satu mata rantai perancangan Yahudi untuk menghancurkan pemikiran manusia sejagat. Sebab itu, meski pun ada pihak yang menganggap Evan Almighty hanyalah filem kecil dan bukan filem mega yang ditunggu-tunggu, kita jangan mudah menafikan bahawa Yahudi ada matlamat tersendiri dalam setiap filem bikinannya, walau sekecil mana pun filem itu.

Tambahan pula, ini bukanlah kali pertama kes melibatkan filem seumpama itu diperbahaskan.  Pada 2003 lalu, filem Bruce Almighty menghadapi pertikaian serupa. Ia turut memaparkan watak Tuhan yang juga dilakonkan pelakon sama. Tidak mustahil watak rekaan itu bukan sekadar kebetulan. Ia adalah perancangan bagi menyucuk pemikiran penonton yang nantinya akan mengaitkan watak Tuhan dengan Freeman.

Diakui, sama ada oleh ajaran Islam mahu pun dunia psikologi, bahawa sesuatu yang dilakukan secara berulang akan akhirnya memberi kesan kepada manusia, walau pun pada awalnya ia dianggap tiada apa-apa. Tahukah anda berapa kali syaitan datang kepada Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa a.s. menggodanya agar memakan buah yang diharamkan kepada mereka menyentuhnya di syurga?

Allah Ta’ala merakamkan episod itu menerusi firman-Nya (bermaksud): “Dan Kami berfirman: Wahai Adam, tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.  Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya. Kami berfirman: Turunlah kamu”. (Surah al-Baqarah 2:35-36).

Moral kisah ini ialah kesungguhan syaitan mengulangi ajakan sama kepada dua manusia pertama itu. Pada awalnya keimanan Adam dan Hawa sangat kebal, tetapi disebabkan sangat kerap disumbati godaan sama, akhirnya mereka terpengaruh dan tergoda juga. Jika taraf nabi dan ibu sekalian manusia pun mampu tewas ekoran ajakan dan godaan berterusan, apakah jaminan untuk kita manusia biasa ini?

Di antara faktor utama banyak manusia terjebak dengan keburukan ialah kerana terlalu yakin dengan keimanan atau kekebalan diri sendiri. Akhirnya mereka tertipu oleh kehebatan diri dan tanpa sedar terpengaruh dengan perkata buruk. Lebih-lebih lagi perkara memesongkan itu datang secara halus tanpa disedari.

Banyak pihak sebenarnya telah sedar akan bahaya pengaruh media elektronik sebegini. Sebab itu sering dicetuskan isu mengenai sesuatu paparan di kaca tv, sama ada menerusi filem, drama, acara hiburan mahu pun iklan. Bulan lalu, sebagai contoh, dipertikaikan orang tentang satu iklan sebuah syarikat roti yang memaparkan seorang budak bertindak kurang sopan sewaktu membeli roti tersebut.

Di masa sama, turut diperbahaskan isu artis berpakaian seksi. Jika kita berpegang kepada ketiga-tiga rasional tadi, tidak perlu lagi kita pertikaikan apa jua yang dipaparkan di kaca tv. Kita kata rakyat berfikiran terbuka dan boleh menilai secara rasional mana baik dan buruk. Tidak perlu juga disekat penyiaran mana-mana paparan berunsur negatif kerana jika disekat pun, alternatif mendapatkannya menerusi saluran lain seperti internet juga terbuka luas untuk rakyat.

Lebih dahsyat lagi, akan ada pihak berkata tidak perlu disekat sebarang maksiat dalam negara, kerana ia sebenarnya sebagai ujian kepada keimanan umat Islam. Jika rasional yang liberal itu diterima pakai, nescaya akan rosak binasalah akidah dan akhlak rakyat jelata.

(Artikel ini disiarkan majalah al-Muslimah, September 2007, di ruangan 'Pendapat' dengan tajuk sama).

Sunday, August 5, 2007

Apa dosa Abdullah Haris, anak Zakaria Dagang?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Menjadi impian setiap ibu bapa untuk melihat setiap anak yang mereka lahirkan berjaya dalam kehidupan mereka di dunia dan bahagia di akhirat. Dalam proses mencapai cita-cita paling murni itu, setiap ibu bapa mengharapkan anak mereka diberi peluang secukupnya terutama dalam menimba ilmu pengetahuan.

Setiap ibubapa juga akan merasa terkilan dan dukacita sekiranya anak yang mereka harapkan menjadi harta paling berharga di masa depan (anak yang soleh) dinafikan peluang menimba ilmu semata-mata disebabkan perkiraan kemanusiaan yang sama sekali tidak menepati saranan dan anjuran agama.

Pelajar cemerlang
Itulah persis apa yang sedang dialami pasangan Ustaz Zakaria Dagang dan Puan Maryani Ismail dari Seberang Takir, Terengganu. Anak ketiga mereka, Abdullah Haris yang sebelum ini diiktiraf pelbagai pihak sebagai pelajar cemerlang, diberitakan telah dinafikan sebarang pembiayaan pelajaran oleh kerajaan negeri Terengganu tanpa sebarang alasan munasabah.
Sekurang-kurangnya dua akhbar harian edisi Terengganu minggu lalu menyiarkan cerita mengenai nasib malang menimpa Abdullah Haris itu.

Kedua-dua akhbar itu menyifatkan Abdullah Haris sebagai pelajar sangat cemerlang, terutama mengambil kira prestasinya dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2006 lalu.
Abdullah Haris adalah antara sebilangan kecil pelajar yang menduduki peperiksaan STAM tahun lalu yang mendapat keputusan Mumtaz dalam semua 10 mata pelajaran yang diambilnya.

Kecemerlangan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu itu bukan setakat didakwa ibu bapa atau media sahaja. Ia dibuktikan dengan sijil-sijil dan anugerah diterimanya dari pelbagai pihak.

Penulis sendiri sempat meneliti salinan sijil-sijil dimaksudkan. Antara sijil penghargaan dimilikinya ialah:
1. Sijil Penghargaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan STAM Peringkat Kebangsaan 2007 di Alor Setar, Kedah.
2. Sijil Anugerah Kualiti Y.A.B. Menteri Besar Terengganu (Kategori Pelajar Terbilang STAM 2006) Peringkat Negeri.
3. Sjil Kecemerlangan Lembaga Pemegang-Pemegang Amanah Yayasan Terengganu (Pencapaian Akademik Cemerlang dalam STAM 2006).
4. Sijil Anugerah Kecemerlangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (untuk STAM 2006).
5. Sijil Penghargaan Penerima Anugerah Pelajar Cemerlang STAM 2006 SMAASZA.

Tiada makna
Abdullah Haris turut mewakili sekolah untuk beberapa acara seperti Tilawah, Tafsir dan Kesenian Islam ke peringkat daerah. Beliau muncul sebagai Johan Pertandingan Pidato Bahasa Arab (Peringkat Menengah Atas), Karnival Soleh Pintar 2005 yang diadakan di Dungun. Program tersebut anjuran Yayasan Terengganu (YT).

Di SMAASZA, beliau adalah Ketua Pengawas sekolah, selain memegang berbagai jawatan dalam kegiatan ko-kurikulum.

Segala kecemerlangan dan komitmen beliau dalam pelajaran dan ko-kurikulum bagaimana pun seolah-olah tidak memberi makna buat kerajaan negerinya sendiri. Permohonannya mendapatkan biasiswa/pinjaman daripada YT ditolak mentah-mentah. Pihak YT tidak mengambil masa walau sehari untuk menjawab surat permohonan itu. Surat Abdullah Haris bertarikh 24 Julai lalu, surat jawaban YT juga bertarikh 24 Julai.

Tiada sebarang alasan disertakan, melainkan “permohonan tuan untuk mendapatkan pinjaman dukacita tidak dapat dipertimbangkan dan ditolak”. Seolah-olah keputusan itu telah pun ada dan sedia untuk dilaksanakan. Mudah, bukan?

Banyak pihak memberikan reaksi negatif terhadap tindakan kerajaan Terengganu itu. Lebih-lebih lagi mengambilkira kesungguhan kerajaan melaungkan hasrat melahirkan generasi pintar dan cemerlang.

Bahkan, ada juga disebut hasrat mewujudkan generasi ulul-albab, dalam ertikata penghayatan agama yang tinggi dalam kehidupan akan datang. Apakah pelajar seumpama Abdullah Haris ini tidak menepati ciri-ciri generasi ulul-albab yang nak dibentuk itu?

Bermurah hati
Kerajaan Terengganu juga diketahui sangat bermurah hati dalam membiayai para pelajar yang dipilihnya untuk menyambung pelajaran. Soal peruntukan kewangan rasanya bukan masalah. Sebabnya, jangan dikatakan anak-anak orang miskin, anak para Exco kerajaan yang dah kaya-raya pun turut diberikan biasiswa.

Hingga kini sudah dua kes sebegitu berlaku. Awal 2006 dulu ada kes anak dua Exco negeri diberikan biasiswa kerajaan RM20,000 setahun. Wan Mohd Afif Wan Mohd dan Abdul Hakim Abdul Latiff adalah antara hanya sembilan yang dipilih menerima biasiswa itu daripada sejumlah 81 pelajar cemerlang yang ditemuduga pihak YT.

Awal tahun ini, kes serupa dikatakan berulang lagi. Anak kepada dua lagi Exco turut diberikan biasiswa kerajaan. Alasannya, mereka adalah pelajar-pelajar cemerlang. Tanpa menafikan hak anak-anak itu mendapat kemudahan dan pembiayaan disebabkan kelayakan akademik masing-masing, mengapa dalam kes pelajar cemerlang seperti Abdullah Haris ini pertimbangan sama gagal digunapakai?

Kes pelajar pintar Adi Putra Abdul Ghani juga satu lagi contoh betapa kerajaan Terengganu tiada masalah kewangan. Jangan dikatakan yang tinggal di negeri itu sahaja, yang bermastautin di negeri lain pun akan turut dibiayainya jika ia mahu.

Adi Putra tidak tinggal di Terengganu, tetapi disabitkan ada talian keluarga dengan rakyat Terengganu. Atas alasan itu pun sudah cukup bagi kerajaan negeri menjadikannya “anak angkat” dan mengeluarkan belanja sekian banyak bagi membiayai pengajiannya.

Mengapakah kesungguhan sama tidak dipamerkan dalam kes Abdullah Haris ini?

Mangsa keadaan
Bagi penulis, Abdullah Haris adalah mangsa keadaan. Tiada dosa yang dilakukannya sehingga melayakkan dia dilayan sedemikian oleh sebuah kerajaan yang kononnya bercakap soal menjana generasi ulul-albab.

Satu-satunya alasan yang dapat difikirkan ialah penglibatan ibubapa dan keluarganya dalam perjuangan Islam yang tidak sealiran dengan aspirasi pemerintah. Itu sahaja.

Bapanya, Ustaz Zakaria Dagang adalah seorang aktivis Islam yang komited. Sebahagian besar hidupnya sedari usia remaja diwakafkan kepada perjuangan Islam. Beliau aktif di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Terengganu. Beliau antara penggerak utama sehingga tertubuhnya Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (Taski) pertama di Terengganu di akhir 70-an dulu.

Ustaz Zakaria tidak pernah memikirkan untuk memilih kerjaya berpendapatan lumayan. Mungkin baginya, memperhambakan diri kepada usaha menegakkan Islam adalah jauh lebih suci dan berbaloi dibandingkan kemewahan dunia. Satu-satunya kerja yang dilakukannya sejak usia remaja ialah sebagai pegawai sepenuh masa di pejabat Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Bermula sebagai setiausaha kerja (suk) Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI), kemudian suk Dewan Pemuda PAS Terengganu. Hingga kini, beliau khabarnya masih menjadi petugas sepenuh masa di pejabat Perhubungan PAS Terengganu.

Satu-satunya jawatan bergaji yang pernah disandangnya ialah sebagai Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), sewaktu kerajaan PAS dahulu. Beliau pernah bertanding mewakili PAS untuk kerusi DUN Seberang Takir sebanyak dua kali (pilihan raya umum 1999 dan 2004), tetapi belum menang.

Isteri beliau (ibu Abdullah Haris) adalah surirumah sepenuh masa. Perkongsian hidup mereka menghasilkan sembilan cahaya mata. Alhamdulillah, setakat ini kesemua anaknya turut diniatkan untuk diwakaf kepada perjuangan Islam. Anak sulungnya, Ahmad Suhail telah tamat pengajian Islam dan kini aktif menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Anak kedua, Abdul Alim, sedang menuntut di Mesir. Abdul Alim adalah bekas pelajar Maahad Tahfiz Padang Midin, seorang yang dianugerahkan suara sangat merdu dan daya ingatan sangat tajam. Selain mampu menghafaz ayat-ayat suci dan mengalunkannya dalam lagu yang indah, Abdul Alim juga berkebolehan mendendangkan nasyid.

Barangkali antara pembaca ada yang pernah mendengar album nasyid Shoutul Amal yang terbit sedekad lalu. Budak kecil yang menjadi vokalis utama dan mendayu-dayu mengalunkan lagu “Marilah Beramal”, “Guruku” dan lain-lain itu adalah Abdul Alim ini.

Dua lagi adik kepada Abdullah Haris juga sedang menuntut di SMAASZA dan bakal mengikuti jejak kecemerlangan ditinggal abang mereka. Manakala kesemua bapa saudara dan emak saudara Abdullah Haris dikatakan sangat aktif di dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini. Antara mereka ialah Ustaz Ismail Che Dagang dan Fakhrul Anwar Dagang, kedua-duanya petugas sepenuh masa di pejabat parti.

Layanan buruk
Latar belakang keluarganya yang sedemikian dikatakan penyebab utama mengapa Abdullah Haris mendapat layanan buruk dari kerajaan negeri. Sejauh manakah wajarnya alasan itu dijadikan sandaran pemerintah untuk menafikan haknya mendapatkan kemudahan pelajaran disediakan kerajaan, para pembaca sendiri barangkali boleh menilainya.

Kita boleh berbeza pendapat dan pendirian tentang politik kepartian. Tetapi apakah itu mewajarkan kita mendiskriminasi dan menindas sesama bangsa dan agama, sehingga tergamak memangsakan anak-anak yang masih mentah dalam soal sepak-terajang politik?

Apa yang menimpa Abdullah Haris itu suatu yang sangat tidak rasional. Sebagai antara pelajar paling cemerlang di seluruh negara dalam STAM, apa lagi kriteria paling munasabah untuk melayakkan beliau menerima kemudahan pembiayaan pelajaran itu?

Kini tinggal jaminan Rasulullah s.a.w. yang memberi keyakinan kepada kita bahawa niat murni Ustaz Zakaria dan isteri untuk melihat Abdullah Haris berjaya menyambung pelajaran ke Mesir itu akan terlaksana. Janji Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya Allah menjamin rezeki penuntut ilmu”.

Untuk pembaca, tolong selami maksud hadis berikut sebagai renungan bersama. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menerangkan kelebihan para ulama. Sabdanya: “Keutamaan orang yang berilmu di atas orang yang beribadat itu seperti keutamaan bulan purnama di atas seluruh bintang-bintang lainnya.” (riwayat Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa-i dan Ibnu Hibban).

Sabdanya lagi, “sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala juga malaikat serta para penghuni langit dan bumi, sampai-sampai semut yang di dalam lubangnya dan ikan yang ada di dalam lautan, semuanya memohonkan rahmat bagi orang yang mengajarkan kebaikan pada orang banyak.” (riwayat Tirmidzi).

Jalan ke syurga
Kelebihan penuntut ilmu pula disebut Baginda s.a.w., “Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah akan melorongkan baginya jalan menuju ke syurga.” (riwayat Muslim).

Sabdanya juga, “Sesungguhnya para malaikat akan melindungi penuntut ilmu dengan sayap-sayapnya kerana redha dengan apa yang dibuatnya.”

Dan lagi, “Barangsiapa yang dikehendaki baik oleh Allah, maka ia dipintarkan dalam hal keagamaan dan diilhami oleh-Nya kepandaian dalam hal itu.” (hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Tabrani).

Penulis percaya (dan berdoa), Abdullah Haris adalah antara insan yang dikehendaki baik oleh Allah sebagaimana dimaksudkan hadis ini. Maka bagaimanakah kita mampu menolongnya mencapai cita-cita murninya? Ingatlah bahawa sumbangan kita untuk melahirkan ilmuan Islam atau ulama adalah saham berkekalan.

Sabda Rasulullah s.a.w. “pendorong kepada kebaikan adalah sama dengan yang mengerjakannya (perihal pahalanya).” (riwayat Tirmidzi).

Ustaz Zakaria boleh dihubungi menerusi talian 019-9878693. Allahu Akbar!

(Artikel ini disiarkan laman harakahdaily.net pada 5 Ogos 2007. Ia mendapat reaksi dan respons amat positif dari para pembaca. Ramai yang menghubungi talian Ustaz Zakaria untuk membantu Abdullah Haris. Menurut Ustaz Zakaria sendiri, jumlah sumbangan dimasukkan ke akaun beliau selepas itu amat membanggakan.)

Wednesday, August 1, 2007

Perkahwinan Usia Tua Bukan Sekadar Seksual


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Perkahwinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Datin Seri Jeanne Abdullah pada 9 Jun lalu disambut penuh gembira oleh segenap lapisan rakyat. Rata-rata warganegara turut mendoakan agar PM dan isteri dicucuri kebahagiaan hingga ke akhir hayat.

Abdullah berusia 67 tahun manakala Jeanne, 54. Usia kedua-dua mereka itu sering dianggap sebagai “usia pencen”. Sebab itu perbincangan dan tanggapan awal mengenai perkahwinan di usia itu sering bersifat sinikal. Malah ada yang menganggap ia sesuatu yang melucukan.

Hujah yang menganggap perkahwinan di usia emas sudah tidak perlu sering dikaitkan dengan aktiviti seksual mereka. Memang semua orang tahu di antara dorongan utama seseorang mendirikan rumah tangga ialah bagi mengekang runtutan nafsu seks. Islam turut mengiktiraf dorongan seksual sebagai salah satu faktor utama menggalakkan umatnya berkahwin.

Sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): “Sesiapa yang mampu mendirikan rumah tangga, hendaklah ia berkahwin kerana yang demikian itu lebih menjamin untuk menutup pandangan dan lebih selamat untuk menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu berupaya menahan keinginan syahwat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Secara realistik, Islam mengakui keinginan seksual manusia. Sebab itu Rasulullah s.a.w. mengesyorkan kepada para sahabat agar memilih isteri dari kalangan gadis, berbanding janda.  Dalam satu hadis diriwayatkan seorang sahabat bernama Jabir r.a. telah menikahi seorang janda.  Tatkala diberitahu perkara itu, Baginda s.a.w. bersabda kepada Jabir, “Alangkah baiknya kalau isterimu itu seorang gadis yang engkau dapat bermain-main dengannya dan ia dapat bermain-main denganmu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di atas maksud sama, Islam mengutuk keras tindakan mana-mana isteri yang menolak ajakan suami untuk menidurinya. Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seorang suami memanggil isterinya ke ranjang tetapi tidak diperkenankan oleh isterinya, lalu semalaman itu suaminya marah kepadanya, maka si isteri itu mendapat kutukan malaikat sampai ke Subuh”. (Riwayat Muslim).

Dalam beberapa hadis lain, Rasulullah s.a.w. mengangkat martabat isteri sebagai penyelamat sang suami daripada api neraka, kerana kehadiran isteri menghalang suami daripada terjebak dengan perzinaan. Malah persetubuhan antara suami dan isteri dijamin memperolehi pahala sedekah.

Ertinya, faktor seksual memang diambilkira oleh Islam dalam pembentukan rumah tangga.  Tahap kemampuan dan keinginan seksual seseorang dewasa bagaimana pun berlawanan dengan peningkatan usia. Semakin lanjut usia seseorang, aktiviti seksualnya juga semakin menurun. Di situlah timbul persoalan tentang kewajaran perkahwinan di usia tua.

Al-Quran ada menjelaskan di antara sebab-sebab disyariatkan perkahwinan, selain faktor seksual, ialah untuk pemupukan kasih sayang dan kemesraan antara dua insan. Firman Allah: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Ia menciptakan untuk kamu (kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan”. (Ar-Rum 30:21)

Kekerapan berlaku kes perkahwinan di usia tua kebelakangan ini membuka perbincangan lebih rasional mengenai perkara tersebut. Paling tidak semakin ramai mengakui bahawa perkahwinan di usia lanjut bukan lagi semata-mata atas dorongan seksual.

Pada Mac 2006, seorang wanita berusia 55 tahun mendirikan rumah tangga dengan seorang warga emas berusia 78 tahun di Johor Bahru. Jamilah Ismail yang tidak pernah bertemu jodoh disatukan dengan pasangannya, Ahmad Nordin, 78, yang telah mempunyai 10 anak dan 48 cucu.

Ahmad berkata, dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Jamilah kerana inginkan seorang teman hidup yang menjaga makan dan minum serta pakaiannya selepas setahun hidup menduda.

Alasan sama mendorong Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu membenarkan permohonan seorang warga emas berusia 88 tahun untuk berpoligami pada 7 Jun lalu. Selepas mendengar alasan kukuh daripada pemohon, bakal isterinya dan dua saksi pemohon, hakim mendapati pemohon layak untuk berpoligami.

“Sejak isteri terlantar sakit akibat lumpuh 10 tahun lalu, kehidupan saya sudah tidak terurus.  Makan minum menjadi tidak menentu. Kadangkala saya terpaksa berlapar dari malam hingga ke pagi memandangkan lauk-pauk yang dikirimkan anak bertukar basi. Selain itu, saya juga memerlukan teman untuk berbicara, menjaga sakit demam serta teman untuk beribadat”, luah Ngah Sulong, dari Cukai, Kemaman.

Dalam perbicaraan itu, Ngah hadir ke mahkamah bersama bakal isterinya, Khatijah Ali, 56, dari Binjai, Kemaman. Ngah turut mengemukakan dua saksi bagi memberi keterangan dan sokongan berhubung permohonan yang difailkannya bersama isterinya, Tengku Fatimah Tengku Muda, 80.

Hujah dikemukakan Ngah tadi membuktikan bahawa selain faktor seksual dan urusan makan minum, kehadiran isteri juga menjadi teman bicara sang suami. Hal ini dikatakan turut diluahkan Allahyarham isteri PM, Datin Seri Endon Mahmud semasa hayatnya.

Beberapa hari menjelang pernikahan PM dan isteri bulan lalu, sebuah akhbar harian menyiarkan apa yang didakwa sebagai perbualan wartawannya dengan Allahyarham Kak Endon. Penulis membayangkan seoalah-olah Allahyarham memang mengharapkan Pak Lah mencari ganti beliau di atas sebab-sebab kemanusiaan.

Allahyarham dicatatkan berkata, “Kak Endon redha jika pergi dulu dan Pak Lah berkemungkinan akan berkahwin lain. Dia perlu ada seseorang untuk berbual, untuk berbincang.  Kak Endon tak boleh...doktor tidak benarkan”.

Pak Lah dan Jeanne dikatakan telah lama mengenali antara satu sama lain. Jeanne adalah ipar Allahyarham Kak Endon dan antara individu yang paling rapat dengan Allahyarham. Sebagai Pengelola Kompleks Seri Perdana, kediaman rasmi PM, Jeanne juga bertanggungjawab menyempurnakan beberapa perkara dan keperluan Pak Lah sejak beberapa waktu ini.

Kedua-dua anak perempuan Jeanne, Nadiah dan Nadene, masing-masing 29 dan 27 tahun turut mengharapkan ibu dan bapa saudaranya itu bahagia dan mampu mengambil berat antara satu sama lain. Manakala kedua-dua anak serta menantu PM turut merestui perkahwinan beliau.

Ertinya, selain kebahagiaan diri, restu dan kebahagiaan anak cucu turut menjadi perkiraan bagi pasangan mendirikan rumah tangga di usia tua. Dalam hal ini, PM dan isteri tidak keseorangan.  Faktor tersebut turut dikongsi pasangan tua di Changlun, Kedah yang disatukan setahun lalu.  Seorang peniaga yang tawar hati dengan wanita sejak bercerai dengan isterinya 30 tahun lalu, akhirnya berkahwin semula dengan jandanya itu selepas didesak anak dan cucu.

Ali Md Saman, 81, dan Halijah Hashim, 67, dinikahkan semula akhir Mei 2006 setelah bercerai pda 1976. Perkongsian hidup mereka sebelum ini menghasilkan 16 anak berusia antara 32 dan 55 tahun. Ali yang menduda sejak bercerai pada 1976 berkata perkahwinan mereka adalah untuk menggembirakan anak dan cucu yang sering mendesaknya supaya berkahwin semula dengan Halijah.

“Selepas bercerai, saya tawar hati dengan wanita dan tidak berminat lagi untuk mendirikan rumah tangga kerana sudah tua. Bagaimana pun, selepas anak berbincang, akhirnya saya diminta berkahwin semula dengan Halijah”, kata Ali.

Beberapa kes yang diutarakan tadi menjelaskan bahawa perkahwinan di usia tua ada faktor dan peranan tersendiri, yang bukan semata-mata seksual. Suami isteri adalah teman makan-minum, rakan berbicara dan berkongsi masalah, juga teman beribadat. Lebih penting lagi, kebahagiaan mereka di usia emas akan turut menaungi kebahagiaan anak-anak dan cucu-cucu mereka.

(Artikel ini disiarkan majalah al-Muslimah, Ogos 2007 di ruangan 'Pendapat' dengan tajuk sama).

Sunday, July 1, 2007

Susu Ibu Basmi Anak Derhaka?


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Katakanlah satu kajian saintifik telah dibuat bagi mengesan faktor biologikal terhadap masalah anak menderhakai ibu bapa yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini. Hipotesis kepada kajian tersebut ialah, selain faktor-faktor asuhdidik dan persekitaran sepanjang peningkatan usia seseorang, susu ibu juga menjadi faktor penting mempengaruhi pembentukan peribadi sejak awal usianya.

Secara lebih khusus, hipotesis yang cuba dibuktikan ialah seseorang yang tidak disusui dengan susu ibu ketika bayi mempunyai kadar penderhakaan lebih tinggi berbanding mereka yang menyusu dengan susu ibu. Tanpa mengenepikan faktor-faktor lain, kajian tersebut mengandaikan suatu kaitan sangat rapat antara ketidakhadiran susu ibu dalam tubuh seseorang dengan kecenderungannya untuk tidak menghormati ibu bapanya tatkala ia dewasa.

Isu penderhakaan dan pengabaian anak-anak terhadap ibu bapa yang telah uzur dan tidak upaya berlaku sepanjang zaman. Jika dahulu kala ada cerita anak derhaka menerusi watak “Si Tanggang”, kini timbul pula istilah “Si Tanggang Moden”. Ia merujuk kepada watak serupa di zaman kini yang tidak mempedulikan ibu bapa. Malah ada antara mereka yang lebih selesa menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan.

Islam memandang berat perlakuan anak-anak yang biadab dan tidak mengenang budi sebegini.  Tempat ibu bapa tersangat tinggi dan mulia di sisi Islam. Sehinggakan suruhan mentaati ibu bapa dirangkaikan bersama dengan suruhan menyembah Allah Ta’ala.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil”. (Surah al-Isra’ 17:23-24).

Dalam ayat lain, Allah Ta’ala menggandingkan perbuatan membalas jasa ibu bapa dengan bersyukur kepada-Nya: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (selama sembilan bulan) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (oleh itu) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. (Luqman 31:14).

Jelas sekali Islam amat menuntut si anak mengenangkan kepayahan si ibu mengandungkannya serta menyusukannya sewaktu ia masih tidak bermaya dan tidak berkeupayaan melakukan apa-apa.

Firman Allah lagi: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur, (An-Nahl 16:78).

Dan lagi: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu” . (Surah al-Baqarah 2:233).

Tentu ada hikmat yang besar mengapa Allah Ta’ala merakamkan soal penyusuan susu ibu dalam ayat di atas dan beberapa ayat lain. Secara saintifik, telah dibuktikan bahawa susu ibu mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi untuk tumbesaran bayi.

Ia mudah dihadam dan digunakan oleh bayi dengan berkesan serta melindungi bayi daripada penyakit dan bebas daripada sebarang risiko pencemaran.

Susu ibu memiliki ramuan terbaik untuk pertumbuhan bayi dari jumlah asid lemak, laktosa, air, asid amino untuk pencernaan, pertumbuhan minda bayi dan antibodi.

Malah susu ibu memberi kesan kepada pembentukan minda dan meningkatkan IQ anak. Kajian menunjukkan IQ bayi yang menyusu susu ibu adalah 5.2 mata lebih tinggi daripada yang tidak menyusu ibu (baca American Journal of Clinical 1991).

Berbeza dengan susu formula yang diperkayakan dengan pelbagai zat, kandungan zat dalam susu ibu berubah mengikut umur dan perkembangan bayi. Penghasilan susu ibu itu sendiri adalah reaksi kepada rangsangan yang dihasilkan oleh aktiviti bayi, seperti menangis, menetek dan sebagainya.

Menyedari kelebihan susu ibu, Polisi Kebangsaan Penyusuan Susu Ibu menggalakkan semua ibu menyusukan anaknya dengan susu ibu selama enam bulan (dikenali tempoh penyusuan eksklusif) dan meneruskannya sehingga dua tahun. Makanan tambahan pula hanya dimulakan ketika bayi berusia enam bulan.

Menurut satu perangkaan, 88.6 peratus ibu di Malaysia pernah menyusukan anak. Bagaimana pun, hanya 29 peratus daripada jumlah itu yang mampu menyusukan bayi mereka secara eksklusif. Manakala hanya 11.7 peratus yang menyambung penyusuan sehingga bayi berusia dua tahun.

Kebanyakan ibu hanya mampu menyusukan anak mereka sehingga dua bulan atau sepanjang tempoh pantang. Apabila kembali bekerja, ramai yang mengambil jalan mudah dengan memberikan bayi mereka susu formula.

Seperkara yang diakui semua pihak, tempoh penyusuan adalah tempoh jalinan perasaan dan kasih sayang antara ibu dan anak. Jalinan emosi antara kedua mereka meninggalkan kesan psikologikal dan biologikal yang berkekalan.

Tidak mustahil sentuhan awal itu mempengaruhi pembentukan peribadi anak sehingga dewasa.  Persepsi dan sikap anak terhadap ibu bapa di belakang hari adalah hasil benih asuhan dan belaian yang disemai di peringkat paling awal dalam hidup mereka itu.

Itulah kesan susu ibu terhadap perwatakan seseorang yang cuba dibuktikan. Andaikata hipotesis tadi dapat dibuktikan, nescaya ia bukan sahaja suatu pencapaian saintifik menakjubkan. Ia malah sekaligus membongkar satu lagi mukjizat dan pengajaran mengapa al-Quran sebegitu menitikberatkan penyusuan susu ibu.

(Artikel ini disiarkan majalah al-Muslimah, Julai 2007 di ruangan 'Pendapat' dengan tajuk sama).